Wajah si suami nampak jelas hiba dengan limpahan air
mata yang hangat mengalir. Pedih mengenangkan permintaan isteri yang dulunya
pernah dikejami. Lissa.. bagilah abang peluang.. hatinya merintih lagi tanpa henti.
Benarlah
kata orang. Andai perkahwinan itu ada, maka kadang-kala wujudnya juga
perpisahan. Dan andai adanya perpisahan, maka akan ada jua pertemuan. Lumrah
kehidupan. Bertemu dan berpisah..
“ Fir tak
boleh, Lissa..” Firdaus nampak jelas tertekan. Dipegang rambutnya kasar.
Kepalanya terasa sakit. Berdengung hebat.
“ Lissa
mohon pada Fir, lepaskan Lissa. Cukuplah apa yang Fir dah buat pada Lissa.
Lissa tak salahkan Fir. Memang Lissa dulu suka mempermainkan perasaan lelaki.
Dan Lissa dah dapat balasannya.” Allah.. remuk hatinya mendengarkan permintaan
itu. Hancur berkecai jasad dari roh mengenangkan perpisahan yang dipinta oleh
si isteri yang dah mengisi ruang hati. Terlambatkah dia? Atau dia memang tidak
layak untuk wanita bernama Merlissa Umairah?
“ Fir tak
sanggup, Lissa. Macam mana Fir nak lepaskan nyawa Fir? Fir boleh mati, Lissa.
Tolonglah, Fir pernah khilaf sebab menghakimi Lissa sedangkan Fir tak patut dan
tak layak. DIA ada untuk menghakimi Lissa. Tapi, Fir diamuk rasa marah waktu itu. Lissa, jangan tinggalkan Fir. Anak
kita perlukan Fir,” pujuk Firdaus lalu duduk melutut di kaki isteri. Merlissa
mengelak sedikit. Air mata masih hangat mengalir ditemani sedu-sedan yang
semakin lantang melontar keluar.
Ya Allah..
apa yang perlu aku lakukan? Dia, lelaki yang pernah meragut mahkotaku sebelum
waktu halalnya. Dia, lelaki yang sering menghadiahkan caci-maki dan sepak
terajang pada tubuh ini. Dia, lelaki yang kini sudah berjaya mencuit hatiku.
Dan dia, lelaki yang sudah menanamkan benih dalam rahim ini. Lantas, keputusan
apa yang perlu ku ambil? Monolog Merlissa perih sebelum tubuh melorot menyembah
lantai. Dia menangis semahunya. Buntu sungguh dia tika ini.
“
Tolonglah, Fir.. Lissa. Fir minta ampun. Fir sujud pada kaki Lissa.” Firdaus mula
bertindak di luar jangkaan. Hujung kaki isterinya dicari dengan niat yang satu.
Kemaafan dan keampunan yang dipinta.
Merlissa
tersentak. Dia melarikan pantas kakinya. Sungguh, hatinya tidak tegar melihat
insan bergelar suami menjatuhkan martabatnya seperti di hujung kaki sahaja.
Biarlah dia yang pernah merasai keperitan apabila maruahnya diinjak kejam. Dia
takkan membalas dendam. Oleh, itu jalan yang terbaik adalah perpisahan.
“ Fir.. apa
Fir buat ni??” marah Merlissa lantang. Firdaus semakin meraung hebat. Hujung
kaki si isteri cuba dicapai. Merlissa mengelak. Firdaus benar-benar rasa
bersalah. Semua dosa-dosanya pada Merlissa bergentayang menjenguk ruang mata.
“ Fir..
tolonglah jangan buat Lissa serba-salah. Tolonglah..” rayu Merlissa hiba. Firdaus
kalih pandang. Wajahnya lencun dek air mata. Sumpah, sepanjang perkahwinan
mereka.. tidak pernah Merlissa melihat wajah itu teruk mengalirkan mutiara
jernih. Cuma, sesekali Firdaus tertangkap apabila hatinya dijentik rindu pada
arwah Nadzril. Mengenangkan arwah Nadzril, rasa bersalah menghambat jiwa.
Maafkan Lissa, Nadz. Pinta hatinya.
“ Lissa nak
Fir mati ke?” soal suara itu polos. Zap! Bagaikan halilintar membelah hati
perkataan itu memberi kesan pada jiwanya. Tak, dia takkan benarkan seorang lagi
insan bernama lelaki mati kerana cinta Merlissa Umairah meskipun itu bukanlah
punca utamanya. Walaupun dia tahu hakikat sebenarnya pemergian Nadzril. Sedikit
sebanyak dia tetap salahkan diri sendiri.
Takkan! Dia
bertekad kuat. Segera dia memangku wajah Firdaus. Air mata di wajah itu disapu
perlahan. Firdaus tergamam.
“ Fir
sayangkan Lissa? Benar-benar sayangkan Lissa?” soal Merlissa tidak diduga.
Firdaus terdiam sejenak sebelum lambat-lambat dia mengangguk yakin. Tangan
kecil itu dicapai lalu digenggam bersama panahan mata redup memohon simpati.
“ Lissa pun
sayangkan Fir. Sangat sayangkan Fir. Entah bila rasa ini hadir.. cuma Lissa
yakin cinta, kasih dan sayang Lissa hanya untuk Fir. Tapi..” Merlissa terhenti.
Ah, beratnya mulut ini hendak meluahkan. Merlissa pejam matanya berkali-kali.
Cuba menahan air mata dari terus mengalir.
“ Tapi,
apa?” soal Firdaus tidak sabar-sabar. Merlissa tarik nafas berat.
“ Untuk
bersama Fir buat masa sekarang, Lissa tak mampu. Lissa terseksa. Peristiwa tu..
peristiwa yang merenggut mahkota Lissa mengganggu ketenteraman hidup Lissa
sejak kejadian hari tu. Peristiwa Fir memukul dan memaki hamun diri ini mula
kembali menghantui mimpi lena Lissa. Lissa tak nak berdendam. Lissa tak nak
bila peristiwa tu terus mengasak, ianya akan melahirkan sebuah dendam. Dendam
itu penyakit hati, Fir. Jadi, eloklah.. kita berpisah untuk sementara.”
Berat ayat
di belakang dimuntahkan. Firdaus melurut kasar rambutnya. Ya, kerana dendam dia
menyeksa insan di hadapannya ini. Dendam, pemusnah segalanya. Ah, teganya dia
tika itu. Peristiwa hitam itu terlalu perit jika dikenang.
“ Lissa,
anak kita?” soal Firdaus sayu. Anak matanya terlekap pada perut kempis is
isteri. Merlissa cuba untuk tersenyum.
“ Lissa
akan jaga dia macam nyawa Lissa. Andai.. andai kata kita perlu berpisah untuk
selamanya, Fir masih punya hak ke atas bayi ini. Lissa takkan halang Fir untuk
bertemu dengannya. Fir papanya dan sampai bila-bila akan tetap jadi papanya,”
jelas Merlissa. Firdaus diam bersama rasa perih yang menebal di sukma. Mungkin
demi kebahagiaan Merlissa yang dah direnggutnya, dia perlu melepaskan Merlissa.
Ya, perlu. Tapi.. bukan dengan lafaz cerai. Dia yakin itu.
“ Lissa..
Fir tak sanggup berpisah dengan Lissa walaupun sesaat. Apatah lagi, melenyapkan
ikatan suci ini. Jadi.. Fir izinkan Lissa cari ketenangan Lissa. Bila Lissa dah
mampu buang kenangan itu jauh-jauh.. pulanglah. Pulanglah pada Fir. Fir akan
tetap tunggu Lissa dan anak kita,” putus Firdaus bersama hati yang dah hancur
lumat. Dia dah mengalah sebab dia tahu Merlissa sudah tekad.
Mata
dipejam kejap sebelum dia dapat rasa tangan sasanya dipaut Merlissa. Mata
dicelikkan. Rapuh hatinya apabila melihat si isteri tunduk mencium hormat
tangannya. Ah.. sakitnya jiwa ini, Tuhan. Desis hatinya retak seribu. Tanpa
disuruh-suruh.. tangannya mengusap lembut ubun-ubun milik Merlissa. Beberapa
titisan jernih mengenai kepala yang dah bertudung litup itu. Pada waktu yang
sama, dia dapat rasa tangannya sudah ditimpa air mata jernih milik isteri tercinta.
“ Lissa
minta ampun, Fir. Terima kasih kerana memahami diri ini. Lissa bukan nak buang
Fir dari hidup Lissa. Lissa perlu cari ketenangan yang dah lama menjauh. Lissa
janji, kalau Lissa dah jumpa dengan apa yang dicari.. Lissa akan pulang dengan
anak kita. Pulang ke rumah ni lagi, Fir,” balas Merlissa syahdu.
“ Fir..
halalkan makan minum Lissa selama menumpang di sini. Maafkan segala dosa Lissa
andai Lissa gagal menjadi isteri buat Fir.” Sambung suara itu lagi. Firdaus
sebak. Tanpa kata, tubuh itu diraih ke dalam pelukan. Erat dua jiwa itu
bersatu. Berkali-kali ubun-ubun Merlissa dicium Firdaus. Merlissa hanya mampu
menangis membasuh luka.
“ Fir
halalkan. Lissa isteri terbaik buat Fir, Fir yang tak layak untuk Lissa.
Ampunkan Fir, sayang,” balas Firdaus dengan esak tangisnya.
“ Fir..
Lissa kena pergi dulu. Lissa bimbang kalau Lissa terus macam ni, hati Lissa
akan berubah. Lissa tak nak keliru. Lissa nak betul-betul yakin yang Lissa
memang dah boleh hapuskan kenangan silam. Izinkan Lissa?” soal Merlissa lirih.
Firdaus pegang dadanya. Lambat-lambat.. dia mengangguk.
“ Fir
izinkan. Fir izinkan. Pergilah, cari apa yang Lissa perlukan dalam hidup Lissa.
Fir akan tetap menjadi penunggu setia.” Lemah suara itu berlabuh pergi dari
bibir yang terketar-ketar menahan sebak.
“ Izinkan
Lissa panggil Fir ‘abang’ buat kali pertama dan juga mungkin kali terakhir?”
pohon Merlissa tiba-tiba. Seketika, Firdaus meraung kuat. Allah.. terlukanya
jiwa ini. Seksanya diri ini.
“ Fir
izinkan. Takkan ada kali terakhir, sayang. Takkan, sebab Fir yakin Lissa jodoh
Fir. Pendamping diri Fir di syurga. Fir yakin, sayang,” ucap Firdaus
teresak-esak sebelum tubuh Merlissa diraih kejap sekali lagi ke dalam dakapan
hangatnya. Pelukan yang bakal mengiringi perpisahan. Tuhan, temukanlah kami
kembali andai perpisahan ini benar-benar wujud. Doa Firdaus penuh harapan.
:Copyright Hana Efriena:
No comments:
Post a Comment