RUANG
meja kerja yang masih kosong aku pandang dengan rasa bosan. Hari pertama memulakan
kerja di Gemilang Holdings, aku hanya melanguk. Tak tahu nak buat apa.
Mujur
jugalah ruang kerjaku betul-betul mengadap bilik encik Ikram. Boleh juga aku buat
kerja lapangan mengintai encik bos di sebalik tingkap kaca itu. Dapat jugalah aku
cuci mata dengan keindahan ciptaan Tuhan Yang Maha Kuasa.
Aku
sandarkan tubuh ke belakang kerusi dengan sedikit kasar. Nyaris-nyaris aku nak tersembam
bila gagal mengimbangi duduk ketika menyandar ke belakang kerusi yang berspring
itu. Kalau tidak percuma saja aku buat aksi summersault
sekali lagi. Aku tak rela kalau aksiku menjadi mangsa rakaman CCTV lagi.
“CCTV!”
jeritku kuat bila tiba-tiba teringat. Cepat-cepat aku menekup mulut dengan telapak
tangan. Aku pandang sekeliling. Mujur semua orang sedang khusyuk dengan kerja masing-masing.
Kalau tidak mahunya dia orang cop aku budak tak cukup suku.
Sebenarnya
sebaik diterima bekerja di Gemilang Holdings, aku ada satu misi rahsia yang perlu
dilaksanakan. Misi mencilok dan menghapuskan salinan rakaman CCTV masa aku jatuh
tergolek dari kerusi tempoh hari. Sebelum rakaman yang tak berapa senonoh itu tersebar,
lebih baik aku musnahkan dulu.
Elok
juga aku mulakan misi sekarang, sementara nak menunggu waktu makan tengah hari yang
masih berbaki lagi sejam. Tapi aku nak mula dari mana? Dengan siapa aku nak berurusan?
“Payah
juga kalau macam ni. Hmmm..fikir, ‘Ain. Fikir,” desisku perlahan pada diri sendiri.
Jari-jemariku mengusap dagu. Berfikir kononnya.
Kalau
tak silap, pusat kawalan CCTV ini dipantau pengawal keselamatan dalam sebuah bilik
khas. Bilik itu mesti penuh dengan deretan skrin TV yang menayangkan setiap ruang
yang dipasang kamera. Selalu aku tengok dalam TV macam tulah.
Jadi,
langkah pertama aku kena cari bilik tu dulu. Wah…tak sia-sia aku ada hobi menonton
TV. Ada juga ilmu yang aku kutip selama ini rupanya. Aku gelak jahat dalam hati.
“Tapi
masalahnya bilik tu dekat tingkat berapa? Macam mana aku nak cari? Bangunan Gemilang
ni bukannya kecil. Berpuluh-puluh tingkat,” omel aku sendirian sambil menggaru kepalaku
yang bertudung. Mata melilau mencari siapa yang sesuai untuk aku tanyakan soalan.
Aku
pandang ke arah Suraya yang merupakan setiausaha encik Ikram. Dia sedang tekun menghadap
skrin komputer. Apa kata aku minta Suraya saja tunjukkan aku dekat mana tempat kawalan
CCTV itu?
Dalam ramai-ramai pekerja yang satu pejabat denganku
ini, rasanya Suraya jelah yang paling mesra alam berbanding yang lain. Tadi masa
sesi memperkenalkan diri, masing-masing nak tak nak je tegurku kecuali Suraya. Mesti
dia tak keberatan nak melayan pertanyaanku.
“Errr…Su!”
panggilku apabila melihat Suraya sudah bangun dari tempat duduknya usai dia menjawab
panggilan telefon. Dia berpaling ke arahku dengan senyuman nipis di bibir.
“Boleh
tanya tak?” soalku sebaik Suraya menapak mendekati mejaku.
“Boleh.
Kalau ada apa-apa kau nak tahu atau nak minta tolong, cakap je,” balas Suraya ramah.
Aku
diam beberapa saat untuk menyusun kata. Silap cakap nanti, bimbang Suraya dapat
menghidu pula agenda rahsiaku ini.
“Emm...dekat
sini semua staf selalu balik lambat ke?” Aku memulakan soalan. Sebenarnya aku nak
tanya benda lain tapi terkeluar pula soalan lain.
“Taklah
juga. Tapi kalau time closing tu ramailah
staf yang terpaksa stay back,” terang
Suraya.
“Oooo…”
Aku angguk perlahan. Ligat kepala otakku berfikir apa lagi soalan yang patut aku
tanya. Macam mana aku nak korek maklumat fasal CCTV tu secara berlapik?
“Kalau
stay back sorang-sorang kat pejabat ni
selamat tak?”
Suraya
pandang aku dengan dahi yang sedikit berkerut. Pelik sangat ke soalanku itu? Atau
soalanku dah menjerat diri sendiri? Takkanlah kot.
“Errr..manalah
tahu kalau aku kena stay back sorang-sorang
nanti. Maklumlah, aku ini penakut sikit,” ujarku memberi alasan.
“Kalau
fasal keselamatan kau jangan bimbang, ‘Ain. Setiap level bangunan ni ada pak guard
yang jaga. Lagipun bangunan ni lengkap dengan CCTV,” beritahu Suraya kemudiannya.
Bingo!
Suraya dah mula sebut tentang CCTV. Peluang dah terbentang luas untuk aku korek
maklumat.
“CCTV?
Maksud kau pergerakan kita semua dalam bangunan ni ada yang monitor? Walau dalam
toilet pun?” Aku tunjuk muka terkejut.
Kalau
dalam toilet pun ada CCTV nampaknya aku
kena cari jugalah rakaman masa ‘tragedi berdarah’ aku tempoh hari. Mana aku nak
letak muka kalau rakaman tu tersebar? Tak fasal-fasal popular seantero dunia. Kalau
popular fasal benda baik tak apalah juga.
“Hish..tak
adalah. CCTV tu hanya dipasang kat ruang-ruang tertentu dan terbuka je. Contohnya
macam dekat pintu masuk dan ruang pejalan kaki. Kalau dalam toilet pun ada, tak adanya aku nak kerja
dekat sini.” Suraya menghamburkan gelak kuat. Lucu mungkin dengan pertanyaanku.
“Dato’
Rashid memang pentingkan keselamatan dalam bangunan ni. Kau tahu, tahun lepas pejabat
Dato’ Rashid pernah kena ceroboh masuk. Orang dalam bangunan ini juga yang jadi
dalangnya. Sejak tulah keselamatan dalam bangunan ni diketatkan,” cerita Suraya
berbisik perlahan di telingaku. Gaya dia macam tengah beritahuku rahsia sulit negara.
“Sungguh? Bahayanya. Lepas tu apa yang berlaku?
Dapat tangkap tak?” tanyaku bertalu-talu. Sengaja aku tekankan sedikit suara. Biar
Suraya nampak aku berminat dengan cerita dia. Lagipun aku tengok Suraya dah teruja
benar nak menyambung cerita.
“Dapat
tangkap. Kau tahu, sebab CCTV tu jugalah penceroboh tu dikenal pasti. Rupa-rupanya
penceroboh tu tali barut syarikat Alfonso, musuh ketat Gemilang Holdings. Dia bekerja
di syarikat Gemilang ni pun semata-mata nak korek rahsia company. Lepas tu makin banyak pula CCTV yang dipasang sampaikan kat
dalam bilik mesyuarat pun ada CCTV,” tutur Suraya dengan mata yang bulat. Sepenuh
perasaan dia menyampaikan berita. Kalau masuk pertandingan penglipur lara peringkat
sekolah aku rasa Suraya ni boleh menang tempat pertama.
“Maksudnya
apa yang berlaku setiap saat dalam bilik mesyuarat tu akan dirakam? Semua video
rakaman tu disimpan kat mana?” soalku buat-buat tak tahu. Sengaja aku ingin pastikan
fasal rakaman insiden aku jatuh kerusi tu.
“Ha’ah.
Semua aktiviti yang dirakam tu akan disimpan terus ke dalam komputer di bilik pengawal,”
jawab Suraya mengiakan pertanyaanku.
“Bilik
pengawal?”
“Yup.
Dekat lobi sebelah kanan dalam cermin gelap tu bilik pengawal. Betul-betul sebelah
kaunter reception,” panjang lebar Suraya
menjelaskan tanpa langsung dia syak apa-apa.
“Oooo..dekat
situ ke?” Aku mengangguk kepala. Otakku dah ligat merencana rancangan seterusnya.
“Suraya!
You dah cari ke dokumen yang I minta tadi?” Kelibat encik Ikram yang sedang
tercegat di muka pintu biliknya dengan wajah yang serius mengganggu perbualan kami.
“Errr…”
Suraya kematian kata. Dia nampak gugup semacam. Pucat terus wajahnya tiba-tiba.
“You tak cari lagi ke?” Nada suara encik Ikram
naik satu oktaf. Dia sudah bercekak pinggang.
“Saya…errr..saya..”
Aku lihat Suraya terkebil-kebil hendak menjawab pertanyaan encik Ikram. Dia menggaru
kepalanya. Resah semacam.
“You tahu tak I nak dokumen tu urgent,” tekan
encik Ikram.
Encik
bos bila dia berwajah serius dan tegas begitu aku pun jadi naik seram. Pagi tadi
mood dia ceria saja. Dah nak hampir tengah
hari ni, dah mula nak meroyan semacam.
“Saya
minta maaf, encik Ikram. Saya terleka melayan pertanyaan ‘Ain tadi.” Suraya mengakui
kesilapannya.
Aku
pandang Suraya dengan rasa bersalah. Silap aku juga kerana menyoal Suraya macam-macam
tadi. Itulah, nak menyiasat kononnya tapi tak kena tempat dan masa.
“Salah
saya juga, encik Ikram. Saya yang sibuk tanya Su macam-macam fasal selok-belok syarikat
ni.” Aku turut mengakui kesilapan. Tak adil kalau aku letakkan kesalahan seratus
peratus di bahu Suraya seorang.
Encik
Ikram pandang aku dan Suraya silih berganti.
“Su,
in five minutes, I nak dokumen tu ada atas meja I,” arah encik
Ikram akhirnya. Walaupun nada suaranya dah sedikit kendur tetapi ketegasan tetap
ada. Dia kemudian berlalu masuk ke dalam biliknya.
“Sorry, Su. Sebab aku tak fasal-fasal kau
kena marah.” Aku buat muka minta simpati. Yalah, takkan nak tunjuk muka minta penampar
pula kan.
“It’s okay. Aku pun salah juga. Kalau bercerita
terus lupa diri.” Suraya gelak perlahan, cuba menutup keresahannya mungkin. Makin
menebal pula rasa bersalah dalam hatiku ini.
“Aku
nak pergi ambil dokumen yang encik Ikram nak tu. Nanti kalau lambat aku kena boom
lagi sekali,” ujar Suraya cepat-cepat sebelum dia kalut melangkah ke dalam bilik
fail.
Usai
kelibat Suraya hilang dari pandangan, aku kembali melangut seorang diri. Aku pandang
kiri dan pandang kanan. Tak tahu nak buat apa. Haih..tak boleh jadi ni.
Jam
di pergelangan tangan kujeling sekilas. Ada lebih kurang setengah jam sebelum waktu
makan tengah hari. Sementara aku ada masa terluang ini lebih baik aku terus laksanakan
misi pengamanku untuk mencari rakaman CCTV tu. Tapi kalau aku keluar macam tu saja
dari pejabat tak apa ke? Atau aku kena minta kebenaran encik Ikram?
Sedang
aku termangu-mangu seorang diri, tiba-tiba encik Ikram keluar dari biliknya. Dia
ni macam tahu-tahu saja aku tengah sebut namanya. Nak tanya ke tak ni? Agak-agak
kalau aku minta keluar awal dia bagi tak? Kecut juga perutku dengan wajah kelat
encik Ikram tu. Tapi kalau tak tanya lagilah tak tahu boleh ke tak.
“Err..encik
Ikram,” sapaku seraya bangun dari duduk.
Encik
Ikram pandang wajahku dengan sebelah keningnya terangkat.
Aku
telan liur.
“Errr…ada
apa-apa kerja yang saya perlu buat tak, encik Ikram?” tanyaku menyusun kata. Melencong
terus pertanyaanku.
“Oh,
I’m so sorry, ‘Ain. Pagi ni abang tak
sempat lagi nak brief ‘Ain fasal tugas
‘Ain kat pejabat ni,” ujar encik Ikram lembut dengan riak bersalah.
Nampaknya
angin encik bos dah kembali normal. Tapi yang tak berapa nak normal bila dia membahasakan
diri dengan panggilan abang. Masuk kali ini dah dua kali dah. Naik seriau bulu
roma di tengkukku.
“Emm…macam
inilah. Apa kata ‘Ain pergi lunch dulu.
Dalam pukul 2.30 petang nanti, ‘Ain jumpa I kat bilik. Boleh?” tambah encik Ikram
kembali membetulkan panggilan dirinya.
“Err…maksudnya
saya boleh keluar lunch sekarang?” tanyaku
separa terkejut. Tak sangka sebenarnya yang encik Ikram akan benarkan aku keluar
rehat awal. Macam tahu-tahu je.
“Yes, dear. Atau ‘Ain nak lunch dengan I?”
Pertanyaan
encik Ikram membuatkan aku hilang suara nak menjawab. Mulalah rasa kalut semacam
sehingga tanpa sedar aku menganggukkan kepala.
“Okay,
kalau macam tu ‘Ain tunggu abang siapkan kerja sikit,”
Aku
tersentak mendengarkan kata-kata encik Ikram. Aku silap bagi respons ke?
“Eh…tak...tak...bukan.”
Aku geleng kepala laju.
Berkerut
dahi encik Ikram dengan reaksi aku.
“Err...tak
apa, encik Ikram. Saya lunch sendiri.
Lagipun nanti saya nak singgah bank sekejap,” tuturku.
Memang
kirim salam jelah aku nak keluar makan tengah hari dengan encik bos. Tengok muka
spesies tak boleh dipercayai langsung. Buaya tembaga pun surrender. Nak-nak bila dia dah berapa kali tersasul membahasakan diri
dia abang denganku. Berbulu telinga ini.
“Ooh...sure ke ‘Ain nak lunch sorang ni?” tanya Ikram meminta kepastian.
“Ya..ya..sangat-sangat
pasti. Saya kunci jawapan saya,” balasku dengan mengangguk laju. Dah macam burung
belatuk dah aku rasa.
Ikram
ketawa besar dengan kata-kataku. “Okeylah kalau macam tu. Next time kita lunch sama-sama.”
“Okey,
encik Ikram. Saya pergi dulu.” Cepat-cepat aku mempermisikan diri. Langkah aku
besarkan ke ruang lif. Takut juga kalau encik Ikram tiba-tiba berubah fikiran.
Keluar
saja dari perut lif, aku berkobar-kobar melangkah ke arah bilik pengawal. Tiba-tiba
kakiku berhenti di tengah jalan. Macam mana aku nak masuk ke dalam bilik tu? Takkan
nak main terjah macam tu je? Mesti pak jaga pelik pula tengok aku, manusia yang
tak dikenali tiba-tiba tercongok dalam bilik itu.
“Aduh!” Aku mengaduh kesakitan bila secara tiba-tiba
tubuhku dirempuh kuat dari belakang. Habis terbang melayang semua idea. Hampir-hampir
tubuhku nak terdorong ke depan bila tiba-tiba terasa ada tangan yang memegang kejap
lenganku.
Pelanggaran
itu membuatkan bahuku terasa sengal yang teramat sangat. Kesakitan yang mencucuk
membuatkan hatiku mendongkol marah. Tulang besi urat dawai ke orang yang merempuh
aku ini?
“I’m so sorry,” ucap satu suara garau yang
terasa begitu dekat dengan telingaku. Terus hati yang sebal menjadi sejuk dengan
ucapan maaf itu. Aku mendongakkan wajah untuk melihat tuan empunya diri.
“Awak!!!”
Serentak suaraku dan Uzair bergabung. Masing-masing menghalakan jari telunjuk sesama
sendiri. Terkejut.
“Awak
buat apa dekat sini?” soal Uzair.
Aku
terkedu. Liur yang terasa kelat aku telan perlahan. Macam manalah boleh pula terserempak
dengan encik sarkastik ni? Habis aku kalau dia tahu yang aku sedang jalankan misi
rahsia aku ini.
“Err...nak
pergi bank,” balasku tanpa berfikir panjang.
Uzair
pandang wajahku. Kemudian dia mengerling sekilas jam di pergelangan tangannya.
“Cik
adik, lunch break pukul 1 tengah hari.
Sekarang ni waktu kerja lagi. Takkan hari pertama dah pandai nak mengular?” Sinis
sungguh tuduhan encik sarkastik ini.
“Eleh..setengah
jam awal pun nak berkira,” omel aku perlahan pada diri sendiri.
“Walau
setengah jam ke sepuluh minit ke atau seminit sekalipun, selagi belum waktu rehat,
awak tak boleh sewenang-wenangnya keluar masuk pejabat sesuka hati tanpa kebenaran.
Tak belajar etika kerja ke?” sindir Uzair pedas berapi. Rupa-rupanya dia dengar
apa yang aku cakap.
Aku mencebik geram. Over acting betullah lelaki ini. Pagi tadi dengan selamba dia bawa aku
tawaf KLCC waktu kerja boleh pula. Agaknya masa itu dia letak mana etika kerja dia?
Atau sebab dia kenal dengan encik Ikram, dia boleh buat sesuka hati dia?
“Saya
dah minta kebenaran encik Ikram nak keluar lunch
awal. Nak ke bank sekejap. Lagipun, saya bukannya ada kerja apa-apa pun lagi
kat dalam pejabat tu. Daripada duduk tercongok tak buat apa, lebih baik saya pergi
‘cucuk’ duit,” beritahuku menahan rasa sebal.
“Betul
ke ni?” Dia tunjuk muka ragu.
“Tak
percaya pergilah tanya sendiri dengan encik Ikram,” bentakku. Amboi! Dia ingat aku
ini kaki kelentong ke? Walaupun aku pernah sekali berbohong pada dia tapi aku ini
jujur orangnya. Cuma kadang-kadang tu nakal je sikit.
Tiba-tiba
telefon bimbitnya berbunyi nyaring. Wajahnya sedikit berubah apabila dia memandang
skrin telefonnya. Agaknya bos besar cari kot? Entah-entah dia pun tengah mengular
juga. Haa..padanlah muka tu. Mengata orang je lebih.
“Kali
ini awak terlepas. Ingat! I’m watching you!”
Sempat dia memberikan aku amaran sebelum berlalu untuk menjawab panggilan.
Aku
mendengus geram. Jam di tangan kukerling sekilas. Dah hampir pukul satu tengah hari!
Tak fasal-fasal aku dah buang masa macam tu saja. Nampaknya misi aku hari ini tergendala.