Sunday, 15 June 2014

Bab 8 : TEMU DUGA CINTA - Ridhya Iman


Hampir tiga puluh lima minit aku membuntuti langkah Uzair yang masih tidak menunjukkan tanda mahu berhenti. Menonong laju ke depan. Meninggalkan aku jauh ke belakang. Lelaki berkaki panjang ini memang tak reti jalan perlahan ke?
Dah naik kebas kakiku mengejar langkahnya. Mahunya tak kebas. Seawal pagi lagi kaki ini dah mengukur jalan sejauh empat kilometer dari Titiwangsa ke Jalan Ampang. Memang tak pernah dibuat orang.
Aku melilau pandangan ke sekeliling. Hanya bangunan pencakar langit yang menghiasi penglihatan. Sebiji butik pun aku tak nampak lagi di sepanjang jalan.
“Awak nak bawa saya ke mana ni?” soalku menahan nafas.
Uzair tidak membalas pertanyaanku. Kakinya terus diayun laju. Dia ni tak dengar ke atau sengaja buat-buat pekak? Aku mengeluh berat.
“Awak! Saya tanya ni. Awak nak bawa saya ke mana?” Aku mengulangi pertanyaan. Nada suaraku naik satu oktaf agar dapat menyaingi bunyi bising kenderaan yang bertali arus di atas jalan raya.
Untuk kali kedua pertanyaanku masih dibiarkan sepi. Aku mengetap bibir. Dia ni sengaja nak mencabar kesabaranku. Lalu aku berlari anak untuk menyaingi langkahnya.
“Jauh lagi ke nak sampai butik yang awak cakap tu?” soalku sedikit mengah. Bercakap sambil berjalan laju-laju memang memenatkan. Apatah lagi untuk aku yang selalu dapat keputusan tercorot dalam ujian kecergasan sewaktu di bangku sekolah dulu-dulu.
Uzair masih tidak menghiraukan pertanyaanku. Dia tetap menonong dengan pandangannya menghala ke depan. Bibir pula tersenyum senget. Kemudian, ketawa kecil meletus dari mulutnya. Macam sedang mengelamun je. Dah terbang ke mana agaknya.
“Awak!” panggilku.
Masih juga tiada respons daripada Uzair. Malah dia gelak semakin kuat. Dia ni psiko ke? Tiba-tiba bulu romaku meremang. Tapi kalau tengok rupa dan gaya dia ni macam manusia normal je. Hish..kenapa aku fikir yang bukan-bukan ni?
“Uzair!!!”
Kenyaringan nada suaraku dah macam melebihi kekuatan bunyi enjin keretapi. Lengan bajunya aku tarik sedikit kuat. Huh..kalau tak ada tindak balas juga aku nak sarankan dia ke klinik pakar. Pakar telinga atau pakar mental. Dua-dua pun sesuai!
Uzair menghentikan langkah. Dia berpaling. Dahinya berkerut memandang aku. Raut wajahnya menghantar satu pertanyaan bisu. ‘Apa?’
“Saya tanya awak nak bawa saya ke mana ni?” Aku mengulangi pertanyaan. Ya Allah. Berikanlah aku kekuatan untuk menghadapi lelaki ini. Jadikan aku hamba-Mu yang beriman dan bersabar.
“Hah? Saya tak dengar tadi. Apa awak cakap?”
Aku mengetap bibir geram. Kalau ikutkan hati, mahu aku buka bunga silat kat tengah-tengah kota raya ni.
“Awak ni pekak ke? Dah berapa tahun tak servis telinga tu?”
“Ooi cik adik. Tak nampak ke saya tengah dengar lagu? Awak tu sebenarnya dah berapa tahun tak servis mata? Rabun dekat ke?” balas Uzair sinis sambil menarik headphone yang disumbat ke telinganya. Sempat lagi dia memulangkan paku buah keras padaku.
“Jangan nak kelentong sayalah. Dengar lagu apa sampai tersenyum-senyum..tergelak-gelak sorang-sorang? Orang kalau dengar lagu macam ni haa.,” tingkahku sambil mengangguk-angguk dan menggeleng-gelengkan kepala meniru gaya manusia yang sedang syok melayan muzik, ala-ala macam dalam kelab malam tu.
“Macam dah biasa je. Selalu jadi pengunjung kelab malam ke? Atau dah jadi ahli seumur hidup?” Sindiran Uzair membuatkan aku tersentak. Aku angkat wajah memandangnya geram.
Excuse me Mr. Uzair, aksi angguk-angguk, geleng-geleng macam tu dalam TV pun berlambak. Penonton yang berbakat macam saya ni, kacang je nak tiru semua tu,” ujarku memetik jari.
Dia tak tahu yang aku ini peminat tegar drama Melayu. Drama Melayu sekarang ni macam tagline astro juga, macam-macam ada. Baik, buruk lengkap semuanya. Apa yang penting benda yang baik kita jadikan teladan, yang buruk tu jadikan sempadan.
“Bakat terendam bolehlah. Dah rupa orang yang kurang satu per empat je saya tengok.” Bibirnya herot menahan senyum.
Kurang satu per empat? Maknanya ada baki tiga per empat lagi. Tiga per empat tu sama dengan tiga suku. Bukan ke tiga suku tu maknanya…
“Awak mengata saya kurang siuman ya?” Aku bercekak pinggang.
“Ha’ah..betullah tu. Tak sangka orang tiga suku pun pandai mengira juga ya.” Uzair mengangguk selamba. Raut wajah dia kalau aku nak gambarkan saat ini rasa macam nak aku lumat-lumat dalam lesung batu mak yang sebesar periuk kat kampung tu. Biar kemik wajah yang tampan tu.
“Awak ni memang hobi menyakitkan hati orang eh? Kalau saya terus melayan awak, otak saya yang waras ni pun boleh bertukar jadi tiga suku sungguh. Jadi, sebelum saya hilang kewarasan saya, lebih baik saya blah,” tuturku dalam sisa sabar yang dah senipis kulit bawang ni.
Aku berpusing mula mengayun langkah ke arah jalan yang berlawanan. Bimbang kalau aku terus berlama di situ nanti ada yang makan kasut BATA saiz enam di kakiku ini.
“Nak pergi mana pula tu?”
Aku tidak mempedulikan pertanyaan Uzair. Tak apalah kalau sehari aku terpaksa berfesyen macam orang sakai sekalipun, aku rela. Lagipun kalau aku tengok jam di tanganku yang hampir menginjak ke pukul 10 pagi ni, aku tak rasa tawaran kerja itu masih ada untuk aku. Lebih baik aku pulang ke rumah untuk menukar pakaian dan fikirkan macam mana aku nak ubahsuai kain yang dah terkoyak ni.
“Awak nak ke mana pula tu? Kita dah nak sampai pun ni.” Suara Uzair mula mengendur. Dia turut menyaingi langkahku.
“Balik rumah,” jawabku ringkas.
“Saya tak kisah kalau awak nak balik rumah. Tapi kot saya tu pulangkan balik.” Kata-kata Uzair membuatkan langkahku terhenti.
“Memanglah saya akan pulangkan balik. Saya nak buat apa simpan kot awak ni,” tingkahku menjelingnya sekilas. Dia ingat aku hadap sangat kot dia ni?
I mean pulangkan sekarang.”
“Sekarang? Habis tu saya nak jalan macam mana dengan kain yang terkoyak ni?” soalku. Dia ni buruk siku betullah. Memang sungguh tak bertimbang rasa permintaan dia ni.
“Sebab itulah saya ajak awak beli pakaian baru. Kot saya ni mahal. Beratus-ratus harga dia. Saya tak nak awak bawak balik rumah dan buat harta kot saya ni.” Katanya yang berbaur tuduhan itu menyentap hatiku.
“Sungguhpun saya ni miskin dan tak berharta, tapi saya tak hadap barang yang bukan hak saya ni. Saya cuma pinjam sekejap. Itu pun sebab terdesak,” balasku menahan perasaan.
“Macam nilah. Besok awal-awal pagi lagi, saya akan sampai ke pejabat awak dengan kot awak ni. Saya janji,” tambahku seraya mengayun kembali langkah yang terhenti.
Uzair memintas jalanku dan berhenti betul-betul di hadapanku membuatkan aku terpaksa membrek kaki secara mengejut. Dia ni kalau nak potong sekali pun berilah signal dulu.
“Ikut saya,” arah Uzair tegas. Wajahnya berubah serius. Tidak semena-mena dia terus menarik lenganku untuk mengikuti langkahnya.
“Eh, awak ni kenapa?” bentakku keras. Aku meronta-ronta untuk melepaskan lenganku dari cengkamannya. Ternyata tenaga aku tidak setanding kudrat lelaki milik Uzair.
“Ikut jelah. Jangan banyak soal.”
“Lepaslah! Awak tak boleh buat saya macam ni. Pegang-pegang tangan orang tak takut dosa ke? Nak masuk api neraka?” Aku bertanya sinis sambil menarik kuat tanganku.
Uzair melonggarkan pegangan.
“Baiklah, saya beri awak dua pilihan,” gumam Uzair menahan suara.
“Ikut saya shopping pakaian awak atau awak nak saya tarik kot di pinggang awak ni. Awak pilih mana satu yang awak nak. Pakaian baru atau malu seumur hidup yang awak nak tanggung,” sambung Uzair mengugut. Senyuman sinis terukir di pinggir bibirnya.
Bulat mataku memandang Uzair tidak berkelip. Dalam hati terdetik juga rasa bimbang. Manalah tahu Uzair sungguh-sungguh memaknakan kata-katanya. Tak dapat aku bayangkan kat mana aku nak sorokkan mukaku ini kalaulah dia benar-benar menarik kot yang terlilit kemas di pinggangku ni.
“Yalah, saya ikut awak,” putusku.
"Pilihan bijak. Jom." Uzair bergerak maju ke depan. Seperti biasa meninggalkanku sedikit ke belakang.
Aku mengetap gigi menahan perasaan. Lelaki macam ni pun ada ke kat dalam dunia ni?
“Awak nak bawa saya ke mana sebenarnya ni?” Rasanya dari tadi lagi dah aku duduk ulang soalan yang sama pada lelaki ini.
Dia berpaling sebelum tangannya mengarahkan pada menara berkembar yang terpacak tegak di depan mataku. “Sana.”
“KLCC?”
“Nasib baik kenal.” Uzair mengangguk mengiakan pertanyaanku.
Aku menelan liur. Bukan ke kedai-kedai dalam KLCC itu kebanyakannya menjual barang-barang yang berjenama. Pastilah harga barang berjenama itu hanya mampu dibeli golongan-golongan ternama. Bukannya golongan kasta rendah macam aku ni. Yang ibarat kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.
Dengan perasaan yang membengkak, aku mengikut juga langkah Uzair masuk ke dalam menara berkembar Petronas itu. Dia membawa aku ke Butik CiTie yang terletak di tingkat tiga. Setahu aku butik ini terkenal dengan fesyen pakaian Muslimah hasil rekaan artis-artis bertudung di Malaysia.
“Awak..nak beli baju kat sini ke?” Aku menyoal sebaik Uzair menolak pintu butik tersebut.
“Yup.” Uzair angguk sekali. Dia menghadiahkan senyuman manis pada jurujual wanita yang mesra menyambut kedatangan kami. Tahu pula nak senyum elok-elok pada orang lain.
Aku melilau pandangan ke sekeliling butik. Bulat mataku melibat pelbagai fesyen pakaian Muslimah yang dipamerkan di segenap ruang di situ. Dan bertambah bulat mataku tatkala terpandangkan tag harga yang tergantung. Boleh dikatakan semua pakaian dijual tiga kali ganda daripada harga pakaian yang aku boleh dapat di pasar malam.
“Mahal semua baju kat sini. Awak tak rasa membazir ke? Tak payahlah beli kat sini,” bisikku menolak.
“Mahal pun tak apalah. Bukan guna duit saya pun,” tukas Uzair mudah sambil mengangkat bahu.
“Saya mana mampu nak beli baju yang beratus-ratus ni.”
“Kita ke sana,” ajak Uzair tanpa membalas kata-kataku. Dia menapak ke arah gantungan pakaian yang terletak pada bahagian hujung butik. Dari jauh terpampang label “Discount 70%”.
“Yang ni awak memang mampu beli. Cepat pilih,” arahnya sambil menyandar pada dinding kaca butik.
Aku memerhatikan susunan baju kurung, baju kurung moden, jubah maxi dan jubah berseluar yang dimaksudkan Uzair. Enzim liur yang laju merembes kutelan berkali-kali. Perempuan mana yang tak terliur dengan deretan pelbagai fesyen baju menarik yang terhidang di depan mata. Tetapi mengenangkan kemampuan diri yang tak seberapa, keinginanku merudum.
“Cepatlah pilih,” gesa Uzair apabila melihat aku masih kaku berdiri di sebelahnya.
“Sekarang butik kami ada clearance stock. Potongan sehingga 70%. Cik nak cari baju berjubah ke?” sampuk jurujual wanita yang mengekori langkah kami.
“Err..tak..saya..tak nak...” Aku menggeleng laju.
Biarpun dah potong 70% sekalipun, aku tahu aku masih tak mampu nak membeli pakaian di situ. Lagipun buat apa membazir untuk sesuatu yang aku boleh dapat dengan harga yang jauh lebih murah dan kualiti yang sebanding.
“Cubalah tengok dulu. Banyak pilihan yang kami ada ni. Lagipun pakaian di butik kami ini memang banyak saiz cik,” pujuk jurujual itu mempromosi.
 “Err..tak apalah.” Aku menggaru dagu.
 “Jomlah. Saya tak nak beli baju ni. Tak mampu.” Aku berpaling pada Uzair yang sedang berpeluk tubuh. Aku berkira-kira untuk melangkah keluar bila Uzair bersuara.
“Kak, tolong pilihkan baju untuk dia ni.”
“Okey, encik nak fesyen yang macam mana untuk isteri encik ni?” tanya jurujual itu sambil membelek sehelai demi sehelai pakaian yang berada di situ.
“Awak..saya tak..”
“Mana-mana yang sesuai asalkan longgar, menutup aurat dan selesa,” beritahu Uzair memangkas kata-kataku.
“Saya tak nak beli.”
“Kena beli juga,” paksa Uzair.
“Awak tak nampak ke tag harga kat baju tu semua? RM 99.90 selepas potongan 70%. Saya mana ada duit sebanyak tu!” tekanku geram.
“Beli baju ni atau saya tarik kot saya tu,” gertak Uzair.
“Yang awak ni asyik nak gertak saya kenapa?”
“Akak rasa baju kurung Riau ni sesuai sangat dengan isteri encik,” cadang jurujual itu menghentikan pertikaman pendek antara kami. Kenapa semua orang ingat aku ini bini lelaki sarkastik ni?
“Kak, saya bukan isteri dia!” jeritku kuat. Tiba-tiba aku terlepas geram pada jurujual yang tak bersalah ini. Terkulat-kulat dia memandangku sambil tangannya menghulurkan baju kurung Riau berwarna biru firus kepadaku.
“Err..maaf, kak.” Rona wajahku berubah merah. Dek rasa bersalah, nak tak nak terpaksalah aku sambut huluran kakak jurujual ini.
“Tak apa. Fitting room kat sana, ya.” Jurujual itu tersenyum kelat. Tangannya menghala ke arah bilik persalinan.
Aku menundukkan wajah. Tanpa banyak soal, aku melangkah ke bilik persalinan.
“Macam mana? Padan tak?” tanya kakak jurujual itu sebaik aku melangkah keluar dari bilik persalinan. Setia menungguku di luar bilik. Uzair entah ke mana menghilang.
“Err…”
“Kalau longgar atau ketat, cik boleh cuba saiz yang lain,” saran kakak itu.
“Bukan-bukan. Baju tu memang padan. Tapi...” Aku berhenti seketika untuk melihat reaksi jurujual wanita itu sebelum menyambung bicara.
“Harga baju ni tak boleh kurang ke?”
“Hah?” Rahang kakak jurujual itu jatuh memandangku.
“RM 99.90 tu mahal sangatlah, kak. Kalau RM 87 saya ambil,” ujarku membuat tawar menawar.
“Cik sekarang ni berada kat butik. Bukannya pasar malam. Dekat sini harga semua tetap,” balas jurujual itu memandang aku semacam.
Aku menggaru kepala yang tidak gatal. Habis tu aku nak buat macam mana dengan baju ni?



No comments:

Post a Comment