“ASSALAMUALAKUM,
mak ngah.”Aku beri salam sebaik sahaja jawab panggilan mak ngah. Hanya aku dan
Zakuan sahaja di ruang tamu. Mak Cik
Midah dan Kak Odah sedang buat lepat labu di dapur. Pak Cik Saad pula
menghadiri majlis mesyuarat rukun tetangga kampung selepas solat isyak tadi.
“Waalaikumusalam. Amboi, dah balik
rumah bakal mak mertua, tak ingat mak ngah langsung.” Mak ngah perli. Memang
pun. Aku lupa mak ngah terus.
“Memang tak ingat pun.” Aku gelak
jahat selepas tu.
“Mak ngah nak beritahu, Joey dah
sampai.”
Kenapa masa mak ngah sebut nama
Abang Joey seperti tersentap saja perasaanku? Semacam takut saja mendengar nama
itu.
“Dah balik…?”
“A’ah. Tengah hari tadi. Dia terus
cari Lia. Mak ngah cakaplah Lia pergi rumah bakal mertua.”
“Oh…”
“Habis diamuknya satu rumah.”
“Abang Joey mengamuk? Kenapa?”
“Entahlah. Majlis pun batal.”
“Kesiannya Puan Hendon…” Waktu ini
aku hanya terbayangkan wajah Puan Hendon saja. Pasti dia kecewa dengan tindakan
Abang Joey.
“Menangis dia…”
“Abang Joey tu memang teruklah!” Aku
rasa nak karate saja Abang Joey. Balik pun menyusahkan orang.
“Mak ngah nak beritahu pasal tu aje.
Pandai-pandai bawa diri di tempat orang tu.”
“Insya-Allah mak ngah.”
“Assalamualaikum.”
“Waalaikumusalam…”
Lepas aku letak telefon bimbit di
tepi, aku menyandar di dinding. Zakuan sedang menonton TV. Dia menyandar di
tiang utama yang betul-betul terletak di tengah-tengah ruang tamu dengan kaki
berlunjur. Berbaju Melayu warna coklat cair dan berkain pelekat. Nampak segak
dia begitu. Ke mata aku saja yang nampak segak?
Kemudian
aku pandang sekeliling ruang tamu yang masih kekal dengan ciri rumah Melayu.
Tiada perabot melainkan almari pinggan. Rumah pusaka yang diperbuat dari kayu
sepenuhnya itu masih dijaga dengan baik walau sudah berusia puluhan tahun.
Aku kembali mengeluh. Kalau mak ngah
sendiri yang menjadi tukang sampai, aku rasa perkara tersebut memang besar. Bukan
sedikit amuk Abang Joey. Entahlah, apa nak jadi dengan Abang Joey tu. Tunjuk
samseng tak bertempat.
“Kenapa?” Zakuan tanya dan pusing
kepala pandang aku.
“Abang Joey mengamuk.” Aku jawab
jujur. Sebenarnya Zakuan sendiri pernah kena ‘sound’ dengan Abang Joey sebab
kerap sangat bawa aku keluar dulu. Jadi, tak hairanlah kalau Zakuan kenal rapat
perangai Abang Joey tu.
“Mengamuk? Balik-balik mengamuk? Apa
kes?” Berderet soalan yang keluar dari mulut Zakuan. Kemudian Zakuan pandang
semula TV.
“Tak tahulah. Bukan tak kenal Abang
Joey tu.” Aku bangun. Nak tengok dapur. Memang tadi sudah kena halau dengan Mak
Cik Midah masa aku nak tolong, tapi tak manislah kalau berdua-duan dengan
Zakuan begitu.
Tapi belum sempat aku melangkah, Kak
Odah sudah datang dengan dulang. Ada sepinggan lepat labu dan juga air kopi.
Masih berasap lagi. Jadi aku duduk semula.
“Mai makan lepat labu
panas-panas,” kata Kak Odah sambil letak
dulang atas lantai.
“Lepat pisang tak dak ka?”soal
Zakuan.
“Orang buat lepat labu, dia cari
lepat pisang. Orang buat lepat pisang
dia cari lepat labu. Eh, kalau lagu ni punya perangai, tak dak sapa sanggup
buat laki tau dak!” bidas Kak Odah. Kak Odah yang berbadan agak gempal itu
tunjuk muka kurang senang. Nampak dia keletihan. Mana tak letih, siang tadi
sudahlah sepetang siang ikan. Malam pula kena tolong buat lepat labu. Tapi dia
langsung tidak merungut. Bahkan selorohnya yang bersahaja, sentiasa menceriakan
suasana.
“Ada aje orang nak. Tu dah ikut
balik tu…” Zakuan tak pandang pun kami, sebaliknya pandang TV.
“Serius kak habaq. Kalau kak jadi
dia, tak hinginlah lelaki lagu ni. Kirim salam!”
“Awat? Buruk sangat ka Wan ni?”
“Sendiri mau ingatlah. Malia, mailah
makan. Jangan layan sangat Zakuan ni. Banyak cerita, payah nak jaga…”
Aku menghampiri Kak Odah. Zakuan
juga.
“Jangan kempen bukan-bukan. Satgi
dari ada yang suka terus tak jadi…” kata Zakuan kepada Kak Odah.
“Buatlah perangai macam tu, kita
tengok berapa lama dia tahan.” Tak tahu Kak Odah sound siapa. Selepas bercakap,
Kak Odah tinggalkan kami berdua.
“Awak tak kisahkan orang usik awak
selalu…” Zakuan tanya sambil buka daun pisang.
“Dah faham sangat. Bukan sehari dua
saya bersama awak. Kalau tak tahan dah lama saya tak kawan dengan awak. Mungkin
saya sudah kahwin dengan orang lain.” Cakap lepas aje. Mana tahu dia faham yang
aku ni memang tunggu dia.
“Terima kasih sebab sudi kawan
dengan orang.” Dia senyum.
Eh, awak ingat sudi kawan tu sama
dengan sudi jadi sahabat ke? Fahamkanlah sikit. Aku maksud kekasih! Sudi jadi
isteri awak! Adoi, payahnya nak bagi faham.
Lepat labu yang sudah sejuk dia
hulurkan kepadaku. Sejukkan untuk aku rupanya. Aku sambut dan terus sumbat
mulut.
“Sedapnya…”Aku puji.
“Belajarlah dengan mak nanti…”
“Tak payah belajaq. Kalau teringin
nak makan, balik saja… Selagi mak cik larat, mak cik boleh buat. Tak ada
masalah setakat lepat labu. Senang saja buatnya.” Mak Cik Midah muncul bersama
Kak Odah. Kak Odah sudah siap-siap nak balik rumah.
“Kalau sayang pun, tak kan sampai
lagu tu. Kenalah ajaq sama.” Zakuan senyum sambil buka lagi lepat labu.
“Asal Malia suka kat Wan, mak sanggup
buat apa saja…”
“Mak tau dak, ayat mak tu sudah
melukakan perasaan Wan. Nampak sangat Wan tak laku.”
“Betullah apa mak cakap tu. Sapa nak
hitam legam macam hang ni…” Kak Odah menyampuk. Nak gelak pun ada. Apsallah Kak
Odah ni bengang sangat dengan Zakuan.
“Hitam bukan sebarang hitam…try
tengok dulu, tak berderet anak!”
“Janganlah nak eksen sangat. Anak
konon, eh nak pikat hati mak anak tu pun tak lepas!”
Aku makin tak faham dengan bicara
dua beradik ini. Sebenarnya ‘depa’ni cakap pasai apa?
Zakuan ketawa perlahan bila bahunya
ditolak Kak Odah. Manja rupanya Zakuan ni. “Kak balik dulu Malia. Jangan layan
sangat Zakuan ni. Dia nama saja belajaq tinggi, tapi dalam hal lain dia memang
kurang!”
Aku salam Kak Odah dan ekori Kak
Odah dengan hujung jelingan. Suka dengan Kak Odah. Walau dia ni macam banyak
mulut, tapi dia tetap menyenangkan.
“Mak cik nak tidoqlah. Mengantuk sangat ni…” kata Mak Cik
Odah selepas itu.
“Uiks, dah nak tidoq ka? Tak tunggu ayah dulu ka?”
“Awat gatai sangat ni…?” Mak Cik
Midah jeling sekali. Memang, aku rasa pun Zakuan memang gatal sejak akhir-akhir
ini. Serupa ulat bulu naik daun sahaja.
Zakuan sambut dengan ketawa
perlahan.
“Malia makanlah. Kalau lapaq cari
aje nasi kat dapoq. Buat saja macam rumah sendiri. Bukan orang lain pun…” Mak
Cik Midah atur langkah ke dapur. Di situ ada lagi sebuah bilik.
Aku hirup air kopi sampai habis. “Awak,
temankan saya pergi bilik air…”
“Penakut jugak awak ni…”
“Bukan takut, tapi tak biasa toilet
kat luar.”
“Hmm, siapa suruh berkenan dengan
orang kampung.”
“Kalau tak nak saya berkenan dengan
orang kampung, tak mengapalah. Esok saya cari orang bandarlah. Tak jadi masalah
buat saya…”
“Eh, janganlah. Orang awak nak letak
kat mana?”
“Tahu pun takut…”
Zakuan senyum sambil gosok perut.
No comments:
Post a Comment