MULUTKU terlopong luas sebaik kaki menapak masuk
ke dalam bilik temu duga. Sungguh aku kagum dengan dekorasi dan susun atur perabot
yang ada dalam bilik ini.
Kerusi berwarna hitam yang disusun mengelilingi
meja putih panjang yang berada di tengah-tengah menjadikan ruang itu tampak cukup
elegan dan eksklusif dalam gaya moden yang tersendiri.
“Cik, sila duduk,” pelawa Suraya sambil
menarik salah satu kerusi. Sebuah senyuman manis diukirkan padaku.
Suraya merupakan staf yang bertanggungjawab
menguruskan sesi temu duga terbuka itu.
“Terima kasih.” Aku mengangguk seraya membalas
senyumannya.
Teragak-agak aku nak melabuhkan duduk di
atas kerusi itu. Kerusi berspring yang direka dengan lima roda itu nampak sungguh
eksklusif. Rasa macam tak layak untuk punggung ini dilabuhkan di situ. Bimbang juga
kalau aku meninggalkan kesan berdarah yang tak diingini. Sudahlah aliran tenat sedang
berlaku ini. Menderun laju macam air paip.
“Sama-sama,” jawab Suraya lembut sebelum
bergerak ke arah cermin kaca yang memisahkan bilik itu dengan ruang pejabat yang
lain.
Dia mencapai alat kawalan bidai dan menekan
butang pada alat tersebut. Secara automatik bidai venetian itu bergerak perlahan menutupi cermin kaca. Sekali lagi mulutku
terlopong kagum. Canggihnya!
Kemudian wanita yang berusia pertengahan
20-an itu bergerak ke bahagian meja yang betul-betul berhadapan denganku dan meletakkan
sekeping fail putih di situ. Dia mengangkat wajahnya apabila menyedari aku masih
tegak berdiri.
“Kenapa tak duduk? Tak lenguh ke kaki tu
asyik berdiri je?” Suraya menegur. Kedua belah keningnya sedikit terangkat.
Aku sengih. Perlahan-lahan punggung aku
labuhkan di atas kerusi empuk itu. Cukup berhati-hati. Manalah aku biasa duduk di
atas kerusi mewah begitu. Fail aku letakkan di atas meja dan beg plastik yang aku
bimbit sejak tadi aku simpan di bawah meja.
“Cik Suraya,” panggilku.
Suraya berpaling.
“Ya, saya,” sahutnya mesra.
“Err..kat luar tu saya tengok ada beberapa
orang yang tengah tunggu untuk interview.
Tapi kenapa saya
yang dipanggil dulu?” Aku menyoal ingin tahu.
Pelik juga bila Suraya memanggil nama aku
sedangkan aku antara pemohon yang mendaftar paling lambat. Mana tak lambat hampir
dekat pukul 3.00 petang baru aku selesai mengisi borang permohonan.
“Kenapa?” Suraya menyoal aku balik. Dahinya
yang licin sedikit berkerut memandang aku.
“Err…tak adalah. Saya cuma takut kalau-kalau
Cik Suraya tersilap,” beritahuku teragak-agak.
“Tersilap?” Lipatan di dahi Suraya semakin
berlapis.
Aku mengangguk sebelum menyambung kata.
“Sepatutnya saya orang terakhir yang dipanggil
sebab saya yang paling lambat mendaftar. Kesian pula dekat pemohon yang datang awal
daripada saya. Dia orang pun dah lama tunggu,” jelasku jujur.
Memanglah aku mengharapkan pekerjaan ini
tapi itu bukan tiket untuk aku mencantas peluang orang lain. Bila sesuatu kejayaan
itu kita peroleh dengan cara yang adil dan telus, barulah datangnya kepuasan.
“Ooo…sebenarnya yang di luar tu calon-calon
distribution manager,” tutur Suraya lembut.
“Habis tu tak ramai ke yang apply untuk post storekeeper ni?”
“Emm..kalau ikut senarai ni, rasanya Cik
‘Ain sorang je yang memohon,” beritahu Suraya sambil menyelak helaian kertas dalam
fail putih yang berada di hadapannya.
“Haa..saya sorang je?” soalku terkejut dan
pelik. Syarikat bukan main gah macam ni, takkan tak ada seorang pun yang nak mohon
kerja penyimpan stor tu kecuali aku? Kes aku ini pun sebab secara tak sengaja tersinggah
masuk ke dalam bangunan ini dan terjumpa pula dengan Uzair.
“Ya.” Suraya mengangguk.
Aku terpinga-pinga memandang Suraya.
“The interview will start any minute. So,
get ready and good luck,”
pesan Suraya menyambung bicara sebelum melangkah keluar dari bilik temu duga, meninggalkan
aku melongo sendirian dalam ruang yang cukup besar itu.
Kalau aku seorang saja yang memohon jawatan
ini, maknanya aku tidak ada pesaing. Maknanya hanya aku calon tunggal untuk jawatan
ini. Maknanya memang jawatan ini sah-sah akan menjadi milikku. Senyumanku mula mekar
di bibir.
“Yes! Alhamdulillah,” ucapku lega.
Dengan rasa yang cukup teruja aku sandarkan
tubuh ke belakang kerusi. Badan kerusi yang berkeupayaan melentur sehingga 45 darjah
menyebabkan aku hilang kawalan tiba-tiba. Dan akhirnya…bump!
Tubuhku tersadai di atas lantai marmar dengan
kaki terangkat ke atas. Sebelum kain itu terselak jatuh sampai ke pangkal paha,
aku cepat-cepat bangkit. Kain baju yang tersarung di tubuhku betulkan agar terletak
elok. Tudung yang senget turut aku baiki lipatannya.
Rasa sakit yang mencucuk aku tahan sekuat
hati. Kesan jatuh tadi pun tak hilang lagi. Kali ini ditambah pula dengan rasa sakit
dek hentakan kuat di lantai marmar pula. Patah riuk sungguh tubuhku kalau macam
ni.
Hujung minggu ni memang aku kena balik kampung.
Khidmat mengurut bidan Lijah sangat-sangat aku perlukan saat ini untuk betulkan
balik peranakan aku yang dah dua kali jatuh ni.
Aku melilau pandangan ke sekeliling bilik.
“Fuh!” Aku mengeluh lega. Mujurlah hanya
aku seorang saja yang berada di dalam bilik itu. Kalau tak, mahunya aku bawa diri
bertapa dalam gua andai ada yang melihat aksi aku jatuh gaya somersault tadi.
Kerusi yang terbalik segera aku dirikan
semula. Belakang punggung aku libas dua tiga kali sebelum aku kembali melabuhkan
duduk di atas kerusi itu. Berlagak selamba biarpun rasa sengal-sengal masih kuat
terasa.
Tiba-tiba pintu bilik terkuak dari luar.
Bunyi derap tapak kaki yang melangkah masuk membuatkan aku berpaling ke arah pintu.
Mataku bulat melihat lelaki yang sedang menghampiri meja di depanku.
Encik Ikram! Bibirku berbicara dalam bahasa
bisu. Tanpa sedar aku turut berdiri dengan mulut yang separuh terlopong.
"Hi! We meet again. Have a seat," arah encik Ikram sambil dia turut
melabuhkan duduk di hadapanku. Senyuman manis memang tidak lekang di bibirnya. Agaknya lelaki inilah
yang akan menemu duga aku.
Bagaikan dipukau aku hanya menurut katanya.
Perlahan-lahan aku betulkan duduk biarpun cukup canggung berada di atas kerusi empuk
itu. Bimbang juga kalau tiba-tiba aku tersembam lagi sekali.
Aku pandang encik Ikram yang sedang tekun
meneliti kertas di dalam fail putih. Entah apa soalan yang bakal ditanya padaku.
Sudahlah aku langsung tak buat apa-apa persediaan untuk menghadiri temu duga formal
begini.
Sasaran aku sebaik melangkah keluar dari
rumah tadi cuma nak cari apa-apa kerja di restoran segera. Sungguh aku tak sangka
langkahku akhirnya membawa aku untuk ditemu duga di syarikat besar macam Gemilang
Holdings ini.
"So…” Kata-kata encik Ikram mengejutkanku. Dia
mendongak memandangku. Renungan dia biarpun tidak setajam Uzair tapi dia punya sepasang
mata yang cukup menggoda.
“You're miss Qurratul 'Ain Ariffin, right?”
sambungnya menyoal
aku lembut.
"Yes, I am," balasku mengangguk yakin. Aku angkat
sedikit dagu. Keyakinan itu perlu biarpun dalam hati ini perasaan resah menggelodak
seribu.
"Miss..emmm....can I call you miss ‘Ain?”
“Boleh..err..yes..yes..you can.” Aku menekup mulutku sambil mengangguk laju.
Macam mana boleh tersasul jawab dalam Bahasa Melayu pula ni?
Bukankah Madam Susan, pensyarah Bahasa Inggeris
sewaktu aku belajar di universiti pernah berikan tips ketika menghadiri temu duga.
Jika soalan ditanya dalam Bahasa Inggeris, maka aku perlu menjawab menggunakan bahasa
yang sama. Biarpun Bahasa Inggeris aku azabnya hanya Tuhan saja yang tahu.
Encik Ikram mengangkat keningnya sebelah.
Pandangannya yang serius membuatkan aku mula terasa gugup. Tiba-tiba macam ada rama-rama
yang sedang menggeletek usus perutku ini.
“Okay, miss ‘Ain. In a few words, please
tell me about yourself.”
Intonasi suara encik Ikram berubah serius. Gaya dia sungguh profesional. Berkarisma
habis. Hilang terus gatal-gatal keladi masa pertama kali aku terserempak dengan
lelaki ini tadi.
Liur yang aku telan terasa tersekat di kerongkong.
Aku berjeda beberapa detik memikirkan jawapan. Kalau dalam bahasa Melayu, secepat
kilat bibirku ini boleh memuntahkan ayat. Tapi bila terpaksa bertutur dalam Bahasa
Inggeris ini, kelajuan aku terus merudum ke paras negatif.
“Err.. my name is Qurratul ‘Ain Ariffin…”
“Yes.. I know that,” sampuk encik Ikram dengan senyum senget.
“Err..I’m twenty four years old. I’m from Pahang.
My father name is Ariffin bin Ahmad. He dead already. My mother name is Halijah
binti Sulong. She works..errr…” Aku
kematian kata. Alamak..bidan kampung tu apa dalam bahasa Inggeris?
“My mother…she works…err...nurse village.” Bolehlah. Bidan tu kan skop kerja dia
lebih kurang sama macam jururawat juga kan. Cuma tak pakai uniform putih tu je.
“Nurse village?” Encik Ikram mengerutkan dahi.
“Yes. You know when a woman want to born
a baby from her stomach, then my mother will greet the baby. And my mother also
works to massage people body. But for woman only. My mother said it is haram if
she massage a man,” terangku
panjang lebar. Sehabis kosa kata yang ada dalam kepala otakku keluarkan.
Bulat mata encik Ikram memandangku. Mulutnya
sedikit terlopong. Hebat sangat ke bahasa Inggeris aku sampai dia terpegun begitu
sekali? Itulah jangan sangka budak kampung macam aku tak reti cakap orang putih.
“Haa.. one more thing. I have no brother
and I also have no sister. Err..that all about myself,” sambungku sambil tersengih. Kembang juga
tangkai hatiku bila dapat bertutur dalam bahasa mat salleh ni.
Mata encik Ikram masih meratah wajahku tidak
berkelip. Takkanlah kagum sangat dia denganku sampai macam tu sekali?
“Mr. Ikram.” Aku lambaikan tangan.
“You have any more question?” Soalanku membuatkan encik Ikram menundukkan wajahnya.
Aku perasan bahunya sedikit bergerak, macam menahan senyum pun ada. Kelakar sangat
ke soalanku tu?
“Ehem..” Encik Ikram berdeham. Dia kembali
memanggungkan wajah. Merenung aku dengan serius.
Aku menunggu soalan seterusnya dalam penuh
debar. Janganlah dia tanyaku fasal syarikat Gemilang Holdings ini. Dahlah pengetahuan
aku tentang syarikat ini berada pada tahap zero. Masak aku nak menjawab kalau ditanya
fasal latar belakang syarikat ini. Bukan kata latar belakang, senarai ahli lembaga
pengarah syarikat ini pun aku tak tahu. Nak menjawab dalam bahasa Inggeris lagi
satu hal. Rentung aku!
Pernahlah aku dengar nama syarikat ini sekali.
Itu pun melalui cerita kawan sekampungku, si Gayah. Waktu itu aku cuma acuh tak
acuh saja mendengar Gayah bercerita. Masuk telinga kanan keluar telinga kiri. Sebabnya
aku tahu Gayah tu kaki propa. Sepuluh yang dia beritahu, satu pun belum tentu lagi
betul.
Ada ke patut dia gebang denganku yang dia
bekerja di Gemilang Holdings sebagai pengurus pemasaran. Dengan bangga dia canang
yang kononnya jawatan dia tu bergaji lebih dari lima ribu ringgit. Kelulusan setakat
sijil ada hati nak gaji ribu-ribu.
“Miss ‘Ain, why did you apply for this position?” Pertanyaan Encik Ikram memangkas lamunanku.
Tapi aku tak berjaya nak menangkap kata-katanya.
“Errr…I beg your pardon, sir.” Mujurlah aku masih ingat apa yang pernah
diajar Madam Susan. Ayat sopan yang perlu digunakan bila kita mahu pertanyaan itu
diulang lagi sekali. Tak sia-sia aku duduk di barisan hadapan kelas.
“Why did you apply for this position since
you have no qualification in this area?” Encik Ikram mengulang soalannya.
Aku menggaru kening. Macam mana aku nak
jawab soalan ini sedangkan skop kerja penyimpan stor pun aku tak tahu.
“Errr..because I want to be Gemilang Holdings workers.
I want to take care the store. You know, I’m good in clean. Before this, I work
as housekeeper. So, to keep the store clean and organize, I have no problem with
that,” balasku separuh
yakin.
“Okay then.” Encik Ikram tersenyum senget sebelum menganggukkan
kepalanya. Dia mencatat sesuatu di atas kertas.
“How much are you expecting for the salary?” Encik Ikram menyoal lagi.
“One thousand ringgit.” Lancar mulutku meletakkan nilai. Aku tak
minta lebih. Cukuplah setakat seribu ringgit. Yang penting lepas aku nak bayar sewa
rumah, makan dan hulurkan sedikit pada mak aku di kampung. Aku mencongak dalam diam.
“Cukup ke? I mean is it reasonable for a degree holder
to earn only a thousand ringgit as the monthly income?”
“Cukup..errr…saya jawab dalam bahasa Melayu
jelah ya,” pintaku.
Encik Ikram hanya mengangguk sambil tersenyum
nipis.
“Seribu ringgit itu sangat besar nilainya
bagi saya. Apatah lagi saya datang ke sini tanpa pengalaman. Dan saya mempunyai
kelulusan dalam bidang yang berbeza. Tapi, saya janji. Kalau saya diberi peluang
bekerja di sini, saya tidak akan jemu belajar. Saya akan buktikan yang saya mampu
menggalas tugas sebagai storekeeper setanding
dengan mereka yang berpengalaman,” ucapku dengan penuh semangat. Dah gaya macam
nak masuk pencalonan pilihan raya pula.
“Well said, Miss ‘Ain. Bagus..bagus,” puji encik Ikram.
“Okey, saya rasa saya tak ada soalan lagi.
Terima kasih kerana berminat untuk menjadi sebahagian daripada warga kerja Gemilang
Holdings,” beritahu encik Ikram formal sambil menutup fail.
“Saya dapat tak kerja ni?” soalku terdesak
ingin tahu.
“Dalam masa beberapa hari lagi, pihak kami
akan hubungi Cik ‘Ain untuk maklumkan keputusan temu duga,” balas encik Ikram. Dia
bingkas bangkit dan mula melangkah ke pintu bilik.
“Kenapa tak boleh beritahu sekarang?” Aku
mengekori langkah encik Ikram. Sebaik kami berdua berada di luar bilik itu, encik
Ikram segera memusingkan tubuhnya mengadap aku.
“Unofficially, I tak ada masalah nak approve permohonan you ni. But I have to consult with the big boss
first.” Dia tersenyum
manis. Kali ini senyuman dia bukan setakat manis, tapi berubah sedikit nakal. Tiada
lagi gaya profesional dan formal seperti di dalam bilik temu duga tadi.
“Oohh..” Aku mengangguk. Malu pula bila
tunjuk gelojoh begitu di depan encik Ikram.
“Tapi, jangan risau. I akan yakinkan big boss untuk ambil you. I’m looking forward to work with a beautiful
and young lady like you,”
giat encik Ikram sambil mengenyitkan matanya padaku.
Aku melarikan wajah. Semakin membahang pipiku
bila dipuji begitu. Cantik ke aku ni? Tanpa sedar aku memegang pipi.
“Errr..by the way. Sorry ya sebab kat dalam tadi I tanya you soalan-soalan formal macam tu. You know, I have to follow a normal procedure
in the interviews. Lagipun
kat dalam tu ada CCTV and
everything in there is recorded,”
gumam encik Ikram perlahan di telingaku.
“CCTV???”
Aku angkat wajah. Bulat mataku memandang
encik Ikram. Semua yang berlaku dekat dalam bilik tadi dirakamkan CCTV? Termasuk
aksi somersault aku yang tersembam dari kerusi tadi? Pitam
aku kalau macam ni. Saat itu aku hanya mampu berdoa, janganlah ada sesiapa yang
menonton tayangan secara langsung dari aku itu!
No comments:
Post a Comment