MERAH betul inai
di jemari. Corak ukiran awang larat memenuhi belakang tapak tangan. Tak cukup
di tangan kat kaki pun ada. Aku tengok muka di cermin. Cantiknya aku. Tak salah
kalau puji diri sendiri, kan? Walaupun muka aku ni dah terbiasa dengan
warna-warna mekap, tapi hari ini aku rasa lain. Mungkin seri pengantin, kata
orang tua. Aku mendongak muka untuk memudahkan Bobby menyapu gincu di bibir.
Sentuhan terakhir sebelum dia pergi menyiapkan Nas pula.
“Tak payahlah menjeling-jeling kat
cermin tu. Kau nak melaram sakan pun, bukannya Nas tu heran!”
Aku kerling
Bobby. Bibirnya asyik menjuih
saja setiap kali
aku bertentang mata dengannya. Aku tahu,
dia rasa kedudukannya tergugat
sebab dia fikir aku akan
memiliki ‘rakan sesotong’ dia. Eee! Tolonglah! Perjanjian tetap
perjanjian. Tak ingin
aku bersuamikan Nasrin Si Agar-agar Terlebih Air tu.
“Kau
duduk diam-diam kat sini. Nanti aku panggil Lily temankan kau
bersiap.”
Aku angguk saja. Malas nak bercakap.
Laju tangan Bobby mengemaskan semua peralatan solek di atas meja dan bergegas
ke bilik sebelah. Kalau ikutkan, boleh sangat kalau Bobby nak pergi ke bilik
Nas melalui pintu tengah. Tapi buat masa sekarang aku tak mahu tengok muka Nas.
Aku bangun dan berdiri di jendela hotel bertaraf lima bintang itu. Kecil saja saiz kenderaan
dan bangunan di bawah. Seperti kotak permainan pula aku tengok. Dalam
banyak-banyak kenderaan, aku ternampak sebuah kereta polis peronda sedang
berlegar –legar di bawah. Automatik saja kepala otak aku ni teringatkan Ikmal.
“Kau dah
sedia Rin?”
Ya Allah! Nasib baik aku tak ada
sakit jantung. Bila masa pula Lily masuk? Aku pandang pintu yang ternganga
luas. Mesti Bobby lupa tutup pintu tadi. Lily letak busana untuk majlis nikah
di atas katil.
“Jom, tukar baju. Kita dah tak
banyak masa lagi ni,” kata Lily.
Aku pandang semula keluar tingkap.
Kereta polis tadi masih ada di bawah. Aku mengharapkan seseorang muncul dari
dalam kereta polis itu. Aku ambil telefon
di atas meja solek dan mendail
nombor Ikmal. Aku nak sangat bercakap dengan dia pada saat-saat genting ini.
Aku nak dia tahu yang aku masih sayangkan dia. Aku nak beritahu dia ini semua hanyalah lakonan.
“Tak guna lagi kau telefon dia Rin.
Dah terlambat.”
Aku tak suka Lily cakap macam tu.
Muka dia seperti orang yang tak ada
perasaan walaupun aku dah jeling.
“Tak payah nak jeling-jeling akulah.
Kalau Ikmal muncul sekarang pun dia tak boleh buat apa-apa?”
“Siapa kata? Kalau dia muncul
sekarang aku nak suruh dia bawa aku lari. Aku tak nak kahwin dengan Nas.”
Datang dah sawan aku. Mata ni dah
mula panas. Bulu mata palsu yang berat ni tak mampu menutup kolam air mata aku.
Perlahan-lahan ia mengalir. Kelam-kabut Lily mencari tisu.
“Kau janganlah menangis Rin. Cairlah
maskara kau nanti. Tak guna kau menangis sekarang. Sepatutnya dari dulu lagi
kau fikir kesan dan akibatnya. Sekarang tengok, siapa yang susah?” bebel Lily.
“Kau ni Lily! Tak habis-habis nak
salahkan aku. Aku buat semua ni
bersebablah!” Makin laju pula air mata ni turun. Aku dah terduduk di birai katil. Hibanya hati. Harapkan Lily mampu mengurangkan sedikit lara di hati. Tapi dia titiskan limau pula
pada luka yang sedang berdarah.
“Aku tahu, kau buat ni semua demi mak kau. Jadi kalau kau benar-benar ikhlas nak buat mak kau gembira, kau kena redalah dengan apa yang kau
buat sekarang.” Lily sambung
lagi ceramah percumanya.
Dia hulur persalinan yang aku kena
pakai untuk majlis nikah nanti. Aku
buat bodoh aje. Pandang baju tu tanpa
sebarang perasaan. Baju tu memang cantik. Hasil rekaan Nas sendiri. Sepanjang
tempoh Nas menyiapkan busana tu, aku tak pernah cuba pun. Tak berminat.
“Cepatlah Rin. Nanti nak bawa kau
turun bawah pula.” Lily pujuk aku.
Aku masih macam tadi. Konon-konon
nak boikot majlis sendiri, tapi tiba-tiba pintu bilik diketuk. Aku dengar suara
mak di luar. Kelam-kabut aku suruh Lily tolong tukarkan baju. Habis hilang
terbang wajah Ikmal. Mak dah mula terjerit-jerit kat luar. Sebab tak tahan
dengar mak menggendang pintu, aku suruh Lily buka pintu.
“Kenapa lambat sangat buka pintu?
Piah mana? Dah siap ke?” Mak tanya Lily bertalu-talu.
Terserlah sungguh kekepohan Puan
Juriah ni. Dengan gayanya yang
mengalahkan datin, mak menelek muka aku dari atas ke bawah. Sebelah tangannya
mencekak pinggang. Lama dia tenung muka aku. Sekali tengok macam dia tengah
menjampi serapah. Tapi lama-lama aku tengok bibir mak menggeletar.
“Akhirnya Allah izinkan juga mak
tengok kau kahwin Piah.”
Aduh, mak dah buat babak drama
melayu. Berkaca-kaca mata dia pandang aku. Aku gerenti kejap lagi hujan air
mata akan turun. Mak peluk dan tepuk-tepuk belakang badan aku. Alahai, bila dia
buat macam tu aku rasa macam nak menangis juga. Sebak sebab sekejap lagi aku
akan jadi isteri Nas tanpa rela. Aku balas pelukan mak. Buat seketika aku dan
mak melayan perasaan masing-masing.
“Terima kasih Piah sebab tunaikan
hajat mak. Lepas ni bolehlah mak main
dengan cucu pulak.”
Gulp! Amboi makin tinggi pula hajat
dia. Mula-mula suruh aku kahwin, pastu nak cucu pulak. Dia ingat aku ni kilang ke? Boleh ke Nas tu bagi dia cucu? Hish, tak sanggup aku bayangkan.
“Hei, ni apa pulak main peluk-peluk ni? Rin, kau menangis ke? Alamak! Habislah
cair mekap tu.” Bobby dah mula membebel.
“Alah, biasalah aksi-aksi drama melayu di hari
perkahwinan ni Encik
Bobby. Janganlah serius sangat. Bukan senang
makcik nak pujuk
Piah ni kahwin tau.”
Mak
mencuit bahu Bobby. Aku
hulur tisu pada mak, untuk
keringkan pipinya yang basah. Terdengar dengusan
kasar dari mulut
Bobby bila mak
peluk dan cium pipi aku.
“Okey, cukup-cukuplah tu
aksi peluk cium ni. Makcik
duduk jauh-jauh dulu ya.
Saya nak touch
up balik muka
Piah ni.”
Tak
semena-mena tangan aku menampar kuat lengan Bobby.
“Aww! Ni apahal
pulak tiba-tiba melepuk orang ni?” Bobby menjerit sambil menggosok
lengan yang perit.
“Mulut tu
jangan gatal-gatal nak
panggil aku Piah.
Mak aku sorang aje
yang boleh panggil
macam tu.”
Lurus telunjuk
aku tertuding ke
muka Bobby. Sakit pula hati
bila dia langsung
tak terkesan dengan
amaran aku. Diulang-ulang nama timangan
yang mak panggil sambil menarik
aku duduk semula
di kerusi. Aku ketap
bibir menahan geram. Mak
cuma menggeleng perlahan.
Mujurlah mak nampak lebih penyabar hari
ni. Kalau tidak aku rasa lembik Bobby mak kerjakan. Bobby menenyeh semula mekap
di muka aku.
“Okey, makcik boleh bawa Rin turun
ke bawah. Lily kau tolong pegangkan kain dia,” arah Bobby.
Masanya hampir tiba. Aku pandang
Lily. Dia pegang dan usap bahu aku
perlahan. Mak dah tunggu aku di
luar bilik.
“Sabar ya Rin. Setahun aje, lepas tu kau akan bebas. Nas pun
dah janji takkan halang kau lepas tu, kan? Apa-apa hal pun, kita kena
selesaikan majlis hari ni. Kau memang nampak cantik sangat hari. Naik seri
pengantin kat muka kau.” Lily cuba menyedapkan hati aku.
Ketika
aku tiba di dalam dewan, Nas sudah pun bersedia di atas pentas kecil bersama
abah. Pak Imam dan saksi-saksi pun ada di situ. Deretan barang hantaran
kepunyaan aku dan Nas tersusun indah di
sana. Mak dan Lily mengiringi aku ke pelamin mini yang disediakan khas untuk
majlis pagi ini. Bunyi flash kamera
di sekiling pentas membuatkan aku kurang selesa. Berpasang-pasang mata sedang
memandang. Biasalah, aku kan heroin dalam majlis hari ni. Tapi aku tak rasa
apa-apa pun. Hati rasa kosong sangat.
“Senyumlah sikit, masam sangat muka
tu ,” bisik Lin
Dia betulkan selendang yang hampir
menutup muka aku. Aku pandang dia dan cuba senyum. Tapi tak menjadi. Aku rasa
bibir aku berat sangat.
“Macam mana aku nak senyum Lily? Aku
tak mampu suruh hati aku
terima semua ni dengan rela.” Perlahan aku lirihkan suara sayu ku ke telinga Lily.
“Jadi kau nak tarik diri sekarang?”
tanya Lily.
Mata
kami bersabung. Berani dia mencabar semangat aku? Turun naik dada menahan
marah dan sebal yang menyerang serentak. Tangan Lily aku pegang kuat.
“Kau
jangan cabar aku Lily. Aku lari dari sini karang.” Bibir ku kemam kuat. Kau
cabarlah sekali. Memang aku akan bangun
dan pergi dari sini. Pedulilah apa orang nak kata apa pun nanti.
“Boleh
Rin, kejap lagi abah kau akan datang jumpa kau. Kalau kau berani, kau cakaplah
dengan dia yang kau tak nak kahwin dengan Nas. Aku cabar kau.” Lily berbisik.
Eh,
betul-betul dia cabar aku? Lily angguk sekali. Beria benar minah kenit ni mencabar aku. Dia balas genggaman tangan aku.
Dah macam nak bergusti lengan pula gamaknya. Perlahan-lahan
aku tertunduk rapat ke dada. Beranikah aku menyahut cabaran Lily? Sanggupkah
aku nak menentang wajah bengis mak kalau aku batalkan majlis hari ini?
“Assalamualaikum anak abah.”
Aku tersentak tatkala tangan kasar
abah memegang bahu aku. Genggaman tangan Lily
aku lepaskan. Wajah abah aku renung.
“Waalaikumsalam, abah...” Ada getar
di hujung suara. Namun aku tutup
kegugupan dengan senyum simpul. Malulah konon!
“Cantik anak abah hari ni,” puji
abah.
Aku kerling pak imam yang
berdiri di belakang abah. Dia
tunduk sedikit tanda hormat. Baru hari ni
ke abah tahu anak dia ni cantik? Lupa ke anak dia ni model? Ceh! Perasan bagus pula aku ni. Macam tak biasa pula
orang puji cantik, kan?
“Sofea, kejap lagi abah nak nikahkan
Sofea dengan Nasrin Bin Rusydi. Abah nak tanya ni, betul ke Sofea sudah bersedia nak jadi isteri dia?”
Aku ketap bibir. Lily yang duduk kat
sebelah aku pandang sekejap. Teringat dengan cabaran dia tadi. Mata aku
ternampak pula kelibat mak yang duduk di kerusi bersama adik-adik. Senyum lebar
mak buat aku rasa marah. Tapi bila teringatkan kata –kata mak kat bilik tadi,
tak sampai hati pula aku nak hancurkan harapan orang tua tu. Tapi aku masih
sayangkan Ikmal. Boleh ke Ikmal terima aku balik nanti?
“Cik Zarin Sofea dengar tak abah tanya tu?” tanya Pak
Imam.
Tak nak! Aku tak nak kahwin dengan
Nas. Aku nak kahwin dengan Ikmal. Cuma dia aje
yang boleh membahagiakan aku.
“Rin!”
tegur Lily.
Dia menepuk lembut peha aku. Aku
kembali semula ke alam nyata. Aku telan kata-kata tadi bersama anggukan
perlahan tanda setuju. Lumpuh rasanya segala kekuatan aku bila
melihat wajah gembira mak. Tak tergamak rasanya nak buat dia
sedih.
“Awak kenal Nasrin Bin Rusydi?” Pak
Imam pula tanya aku.
Aku angguk sikit. Mestilah aku kenal
agar-agar tu. Gila tak kenal?
“Cuba tengok kat tengah pentas tu.
Betul ke itu bakal suami awak?” sambung Pak Imam.
Leceh betullah Pak Imam ni. Nak kena
buat kawad cam pula ke? Aku panjangkan leher nak pandang Nas di tengah pentas.
Apa yang aku nampak sekarang ni, Nas bersongkok hitam dan memakai baju warna
sedondon dengan aku. Muka dia aku tak nampak. Tapi aku pasti itu Nas, bos merangkap suami olok-olok aku. Aku pandang
Pak Imam dan aku angguk. Kepala abah dan
pak Imam dah macam burung belatuk aku tengok.
Asyik terangguk-angguk aje dari tadi.
“Aku ingatkan berani sangat tadi.”
Lily senyum sinis.
Nak aje aku tepuk mulut minah kenit ni. Kenapalah dalam keadaan macam ni pun dia masih nak
perli-perli aku? Tak kuasa aku nak menjawab. Nanti makin panjang pula perginya.
“Nasrin Bin Rusydi. Aku nikahkan
engkau dengan anakku Zarin Sofea …”
Sebak rasa dada bila mendengar suara abah di mikrofon. Wajah Ikmal sedikit
demi sedikit hilang dari pandangan. Musnahlah impian aku untuk bersuamikan
Ikmal, lelaki yang aku cinta sepenuh hati. Aku sorot wajah setiap orang yang
berada di situ. Masing-masing nampak gembira dan terharu. Tapi aku, segala rasa
yang berada dalam diri ini telah bergabung menjadi satu, hambar.
“Tahniah Rin. Selamat pengantin
baru,” ucap Lily.
Aku senyum kelat. Di tengah pentas,
Nas sedang bersalam-salaman dengan Pak Imam, abah dan saksi-saksi pernikahan
kami. Kemudian dia bangun dan berdiri tegak. Dia sedang melakukan sujud syukur!
“Mak rasa kau dah buat pilihan yang
tepat Piah. Sejuk hati mak tengok Nas sembahyang. Mak yakin dia boleh bimbing
kau.”
Eh, bila pula mak duduk sebelah aku
ni? Tiba-tiba aje dia dah cium pipi
aku. Aku dapat rasakan mak betul-betul gembira. Lensa kamera dah mula terarah
pada aku. Nas seterusnya diarak menghampiri pentas mini. Maka, acara
seterusnya, membatalkan air sembahyang.
Tapi sebelum tu Nas berlutut di depan mak. Eh, apa dia nak buat ni?
“Mak terima kasih kerana terima Nas
dalam keluarga ni,” ucap Nas penuh
kesungguhan.
Tangan mak dan abah dikucup penuh perasaan. Muka dia kemerahan.
Nas menangis ke? Apa yang dia sedih sangat tu? Dia lupa ke yang kitaorang ni cuma berlakon aje? Tak payahlah nak lebih-lebih
sangat.
“Okey, Nas mari duduk sebelah
Rin ni,” arah Bobby.
Mak bangun dan bagi ruang untuk Nas
duduk. Aku tak pandang pun muka dia.
“Assalamualaikum.”
Itu suara Nas. Ikutkan hati, tak
ingin aku jawab salam dia. Tapi aku pun bertanggungjawab juga dalam majlis ni,
kan? Perlahan aje aku jawab salam
dia. Dia suakan cincin yang dia tempah tempoh hari untuk disarungkan ke jari
manis aku. Nak tak nak aku hulurkan juga tangan pada Nas. Bibir ni rasa berat
sangat nak menguntum senyum. Plastik sangat rasanya.
“Cium
tangan suami tu Piah,” suruh mak.
Alamak,
bahagian ni yang paling aku lemah ni. Masak aku kena usik kejap lagi ni. Aku
pandang Nas yang dah sedia menghulur tangan. Cerianya muka dia. Aku salam
tangan Nas dan cium di hujung jari.
“Ada
pulak salam macam tu? Salamlah
betul-betul Rin. Jangan cepat sangat. Kitaorang nak ambil gambar ni.” Bobby
pula menegur.
Cis!
Kurang asam betul sotong gergasi ni lah! Lembap sangat buat kerja tu kenapa? Tak pasal-pasal kena
buat sekali lagi.
“Nas,
cium dahi Rin.”
Suara
siapa pula tu? Suka-suka dia aje nak suruh buat macam-macam. Tak
sempat aku nak toleh kiri kanan, Nas dah pegang bahu. Saat dua ulas bibir Nas
mendarat di dahi, aku rasa satu badan ni
macam kena simbah dengan air sejuk. Oh tidak! Apahal pula ni? Satu macam
rasanya.
“Terima kasih sebab bagi aku peluang untuk jadi suami
kau,” ucap Nas.
Mata dia berkaca-kaca. Kenapa Nas pula
yang menangis? Sepatutnya akulah yang menangis sebab terpaksa kahwin dengan
dia. Lama dia tenung mata aku. Macam nak beritahu sesuatu.
“Okey, bergambar dengan keluarga
pengantin pulak. Jangan lama sangat
ya. Lepas ni pengantin nak kena bersiap untuk majlis resepsi pulak,” kata Bobby.
Semua ahli keluarga aku naik ke
pelamin. Ketika masing-masing sibuk posing,
tiba-tiba Nas buat hal. Mula-mula cuma menangis, lama-lama tersedu-sedu pula
dia. Apahal pula ni? Masing-masing dah pelik tengok Nas. Aku pegang lengan dia.
“Nas, kenapa?”Aku tanya.
Dia tak terus jawab, tapi dia tenung
aku. Adoi, tolonglah jangan tenung aku macam tu. Aku tak pandai pujuk orang
menangis ni. Takkan nak suruh aku peluk pula.
“Rin, selama ni aku membesar kat
rumah anak-anak yatim. Aku tak kenal pun mak dan ayah aku. Tapi hari ni, aku
rasa macam dilahirkan semula. Aku ada mak, abah dan adik-adik. Apa yang penting
sekali, aku ada kau. Terima kasih Rin. Tak ada hari yang lebih bermakna dalam
hidup aku selain dari hari ini.”
Aku terkedu kejap. Rasa-rasanya aku
tak pernah pun ajar dia dialog macam tu. Nak jadi lebih terperanjat lagi, Nas
peluk aku dan sambung menangis di bahu. Apalagi, bukan main laju lensa kamera
merakamkan aksi spontan Nas. Dalam keadaan terpaksa, aku tepuk-tepuk perlahan
belakang badan Nas. Aku kerling mak dan abah. Laa, diaorang pun menangis juga? Ini apa kes pula menangis secara
berjemaah ni?
“Nas, dahlah tu. Banyak masa lagi
boleh peluk bini kau tu.”
Fuh, usikan Bobby berjaya melepaskan
pelukan Nas. Suasana jadi syahdu kejap. Aku tak sangka pula sejauh itu hebatnya
lakonan Nas. Betul ke dia berlakon, atau memang dia cakap betul-betul? Aku cuba
ingat balik apa yang dia cakap tadi. Meremang bulu tengkuk aku. Hish, dia main-main aje tadi kut.
“Ok, kita bagi peluang pengantin
berehat dan tukar baju ya. Kita jumpa semula untuk majlis resepsi nanti,” kata
Bobby.
Dia tarik tangan Nas. Lily pula
pegang tangan aku. Aku dan Lily yang
lebih dahulu masuk ke lif. Nas masih
belum selesai berurusan dengan wartawan.
Bagus! Layanlah diaorang tu. Muka aku
ni dah naik kejang dek senyum palsu yang aku ukirkan.
“Alhamdulillah,
selesai sesi pertama.”
Lily
melambung badan ke katil. Dia pula yang lebih penat dari aku. Tapi memang patut
pun dia kelesuan. Sejak awal pagi tadi dia yang sibuk ke sana ke mari
menguruskan keperluan aku dan keluarga. Aku duduk di depan almari solek.
Melihat cincin yang tersarung di jari
manis. Sepatutnya aku seperti pengantin-pengantin yang lain. Terharu, gembira
dan teruja untuk menerokai alam baru. Tapi cincin bertatahkan berlian satu mata itu langsung tak memberi impak yang istimewa bagi aku.
“Nampaknya
lepas ni aku kena cari kerja lainlah...”
Keluhan
berat Lily yang
masih terbaring berjaya memancing
perhatian aku. Aku bangun dan menyertai
dia di hujung katil.
“Eh,
apsal pulak nak pergi cari kerja
lain? Bila masa aku pecat kau? Kau dapat offer
lain eh?”
Bertubi-tubi
soalan aku ajukan pada minah kenit tu. Dia mengeliat malas. Sambil meletakkan kedua-dua tangannya di dahi,
Lily pandang aku.
“Kau
ingat tak? Nas pernah cakap masa kat
Penang dulu. Dia nak kau pecat
aku lepas korang kahwin nanti. So...”
“Eh,
kau tak payah nak termakan sangat dengan
cakap agar-agar tu eh. Aku ni bos, merangkap kawan kau. Tak ada sesiapa pun yang boleh
paksa aku pecat kau.” Cepat-cepat aku bidas kata-kata Lily. Langsung tak
terlintas dalam kepala aku nak pecat dia. Melainkan dia sendiri yang nak berhenti kerja, aku takkan buang dia begitu
sahaja.
“Tapi
dia dah jadi suami kau Rin...”
“Ah!
Peduli apa aku. Dia cuma suami kat atas kertas aje.” Suara aku dah mula tinggi. Susahnya nak meyakinkan minah
kenit.
“Berdosa
kalau ingkar arahan suami...”
Terpempan
sekejap. Lily ni sengaja nak kenakan aku
ke? Berapa kali aku nak ulang. Aku dan
Nas cuma berlakon. Ah! Malaslah nak
berdebat dengan dia. Aku tukar baju lagi bagus.
“Dah,
tak payah nak buat muka teduh tu. Cepatlah tolong bukakan baju ni.”
Perlahan
saja Lily turun dari katil. Muka dia masih suram. Masih fikirkan
pasal tadilah tu.
“Lily...”
“Hmm...”
“Nanti
aku pujuk Nas. Dia takkan sempat nak
uruskan aku. Jadual dia sendiri pun dah kelam-kabut.”
Lily
senyum sikit. Dia angguk tanda akur. Aku duduk semula di depan almari solek,
dia pula tolong tanggalkan veil labuh yang
masih terlekat di atas kepala aku.
“Tapi
kalau dia tak nak, kau jangan paksa pula Rin. Aku tak nak kau
jadi isteri derhaka pulak
nanti.”
“Diam
ajelah! Kau ni tengah sedih pun masih nak banyak cakap ya. Cepatlah buka selendang ni.
Rimaslah!”
Diam
pun dia. Elok saja siap menyalin kebaya sendat untuk majlis nikah tadi, kena bersiap-siap untuk
majlis resepsi pula. Lenguh segala urat sendi. Mujur semuanya dibuat dalam masa sehari. Dua jam kemudian kami dah
bersedia untuk acara seterusnya.
“Lily,
aku rasa tak sedap hatilah.”
Lily pandang aku atas bawah. Lepas
tu dia senyum. Eh, dia ni. Aku cakap betul-betul, dia boleh tersengih-sengih
pula.
“Ada-ada ajelah kau ni. Kau kan raja sehari. Biasalah perasan
gemuruh tu. Sekarang tak berapa nak gabra. Tunggu bila malam menjelma
nanti.”
Pap!
Spontan
tapak tangan aku melekap di dahi Lily.
Dia dah terkekek-kekek ketawa. Kurang asam! Ke situ pula dia fikir.
“Kau
gelaklah lagi. Aku sumbat kasut tumit ni kat dalam mulut tu karang.” Aku acah
sebelah kasut yang masih belum ku sarung
ke kaki. Lily tekup mulut, buat-buat
takut. Dia pergi ke pintu. Sudah
bersedia untuk mengiringi aku ke dewan
utama. Tapi hati aku ni makin tak keruan pula rasanya.
“Tunggu
sekejap Lily.” Aku pegang kuat tangan Lily. Terjongket kening dia melihat tingkah
aku. Tak sempat aku nak buka mulut, Nas muncul dari bilik sebelah.
“Kenapa ni?” tanya Nas.
Hish,
kenapa dia handsome sangat ni? Tak
macam selalu. Kut warna baby blue yang dia pakai memang kena betul dengan
warna kulit Nas yang cerah. Dia pandang
aku atas bawah. Nampak risau aje muka
dia. Nak ambil beratlah konon!
“Tak ada apa-apa? Baju ni macam
ketat sikit.” Aku bohong dia.
“Ketat? Mari sini aku tengok,” kata
Nas.
Laju dia berdiri di belakang aku.
Lily dan Bobby memerhatikan saja. Entah apa pula yang dia nak buat kat belakang aku ni.
“Eh, takpelah Nas. Aku okey aje.”
Cepat-cepat aku jauhkan diri dari
Nas. Aku tarik tangan Lily dan pergi ke pintu lif yang akan bawa aku turun
semula ke dewan. Kami berempat diam membungkam saja di dalam lif. Tapi bila
pintu lif terbuka, sekali lagi Nas buat aku terkejut.
“Kau berdua keluar dulu. Aku ada hal
nak cakap dengan Rin kejap,” arah Nas.
Lily dan Bobby keluar. Nas tutup
semula pintu lif, tapi tak tekan apa-apa nombor pun. Dia pandang aku dengan
mata dia yang dah tak ada bulu mata palsu.
“Rin, aku tahu ini cuma lakonan.
Tapi janganlah kau tunjuk sangat yang kau tu tengah berlakon. Cuba maniskan
sikit muka tu. Kat luar tu nanti macam-macam orang ada. Aku dah cakap dulu,
tapi aku nak cakap lagi hari ni. Kalau kau tak nak jaga air muka aku,
sekurang-kurangnya jaga air muka sendiri dan keluarga kau.”
Aku pandang muka Nas, dia
nampak sedih. Aku tarik nafas
dalam-dalam. Ada benarnya juga kata-kata Nas tu. Aku sepatutnya berterima kasih
pada dia, bukan menjadikan dia seteru.
“Aku minta maaf Nas. Aku tak ada
niat pun nak gagalkan rancangan ni. Cuma aku rasa tak berapa selesa.” Aku cuba
berterus-terang pada Nas.
“Mula-mula memanglah tak selesa. Kau
jangan risau, aku takkan lupa perjanjian kita. Tapi kau pun kena sedar satu
perkara ni Rin. Aku suami kau yang sah untuk tempoh masa setahun ni. Dan status
tu takkan berubah selagi kita masih bersama. Jadi apa-apa hal yang melibatkan
kau, aku perlu ambil tahu.” Tegas Nas.
Aku telan air liur bila Nas cakap
macam tu. Untuk mengelakkan dari aku fikir yang bukan-bukan, lebih baik aku
bawa Nas keluar dari lif. Aku lingkarkan tangan aku di celah tangan Nas.
“Baiklah wahai suamiku. Marilah kita
selesaikan majlis ini segera. Hal-hal yang lain tu nanti kita bincang kemudian,
ya.”
Aku tekan butang di dinding lif.
Terbuka saja pintu lif, paluan kompang mula kedengaran. Maka bermulalah majlis
resepsi pasangan pengantin sensasi Zarin Sofea dan Nasrin. Sensasi ke?
“Lily, aku macam nampak Ikmal.”
Aku bisik kat telinga Lily. Para tetamu masih lagi melangsungkan acara tepung tawar. Melingas mata Lily mencari
orang yang dimaksudkan.
“Mana ada Ikmal kat sini Rin.
Perasaan kau aje kut.” Lily
menidakkan kata-kata aku.
Aku rasa mata aku tak salah. Memang
aku nampak Ikmal tadi. Sejam berada di atas pentas utama, akhirnya aku dan Nas
beralih pula ke meja makan. Lensa kamera tak penat-penat ikut kami berdua.
Habis berposing di pelamin, sambung pula aksi suap-menyuap di
meja makan.
“Selamat pengantin baru Puan Zarin
Sofea.”
Laju kepala aku menoleh ke arah
suara yang menegur di depan meja santapan. Serentak itu juga mata aku bagai
dipukau. Tak percaya dengan apa yang aku lihat sekarang.
“Ikmal…”
Dia cuma senyum bila aku panggil.
Mahu saja aku peluk dia. Tapi aku dah tak mampu nak berdiri. Kaki aku rasa lembik tak bermaya. Menggeletar
bibir untuk berbicara. Tapi Ikmal tetap senyum. Dia kelihatan tenang. Aku jadi
keliru dengan reaksi Ikmal.
“Semoga berbahagia hingga hujung
nyawa,” ucap Ikmal.
Dia menepuk bahu Nas yang juga
sedang memandangnya. Kemudian tanpa menoleh lagi, Ikmal terus pergi. Oh tidak!
Janganlah pergi. Aku nak bangun dan
kejar Ikmal tapi Lily pegang tangan aku.
“Lily please. Aku nak jumpa Ikmal. Sekejap pun jadilah.” Aku rayu Lily.
“Kau gila ke? Orang tengah ramai ni.
Kau tak ingat ke apa dia buat kat kau kelmarin?” tanya Lily.
Mata aku melingas mencari bayang
Ikmal yang sudah hilang dari pandangan. Aku sentap tangan Lily. Kali ni aku
goncang pula tangan Nas.
“Nas,
tolonglah Nas. Bagilah aku jumpa Ikmal. Aku nak terangkan pada dia semua ni.
Aku tak mahu dia fikir aku curang . Aku masih sayangkan dia Nas. Please…” Aku rayu Nas pula.
Dah hilang rasa malu aku pada orang sekeliling. Lensa kamera yang sibuk
merakamkan aksi spontan aku pun tidak aku hiraukan. Apa yang penting bagi aku
sekarang adalah Ikmal.
“Kalau
kau rasa kau dah cukup berani untuk malukan mak dan abah, kau pergilah kejar
jantan tu,” kata Nas.
Nada
kerasnya menyentap aku. Aku pandang wajah Nas. Dia masih mampu menguntum senyum
walaupun baru sebentar tadi aku dengar suara dia melarang aku pergi mengejar
cinta hatiku. Aku tiada pilihan, terpaksa ikut cakap Nas. Aku tak sanggup nak
malukan mak dan abah. Sudahnya sepanjang majlis itu senyum yang aku pamerkan
hanya plastik semata-mata. Kolam air mata ni macam dah beku. Walaupun sedih,
aku tak boleh menangis. Apa yang aku boleh buat sekarang adalah senyum.
“Akhirnya
selesai juga majlis kita,” kata mak.
Dia
dah tersandar keletihan. Walaupun penat, aku tengok mak gembira sangat hari
ini. Abah pun sama juga. Adik-adik aku dah balik dulu sebab anak masing-masing
dah mula buat perangai.
“Lily,
nanti aku balik dengan kau, ya.” Aku cakap perlahan pada Lily.
Rupa-rupanya
Nas terdengar apa yang aku cakap. Bukan setakat Nas, mak dan abah pun menelinga
sama. Tak pasal-pasal diaorang gelakkan aku. Kelakar ke aku
cakap macam tu?
“Puan Zarin
Sofea, kau tu dah jadi isteri orang. Maka dengan ini aku mengisytiharkan
bahawa, aku akan bercuti selama seminggu. Jadi sepanjang seminggu ni dan
mungkin minggu-minggu seterusnya suami kaulah yang akan menghantar dan membawa
kau ke mana-mana sahaja. Betul tak Nas?” Lily menyinggung lengan Nas yang
sedang berdiri di sebelah aku.
Benci
pula aku tengok muka Nas waktu tu. Hati aku ni memang dah bengkak sejak tadi.
Aku salam mak dan abah, lepas tu terus
naik ke bilik. Dah tak peduli dengan orang sekeliling yang sudah beransur pulang. Saudara-mara yang masih berada di situ langsung tak aku
hiraukan. Sempat jugaklah Nas ikut aku masuk dalam lif. Tapi dia tak cakap
apa-apa pun.
“Eh,
ni apahal pulak masuk bilik aku?
Bilik kau kat sebelah kan?”
Terperanjat
aku bila Nas ikut aku sampai ke bilik.
Aku cuba menghalang tapi tangan aku pula
yang ditarik masuk ke dalam bilik.
Terduduk aku di hujung katil ditolaknya. Aku nampak beg baju Nas kat tepi almari.
Alamak, kena tidur sebilik dengan dia ke malam ni? Habislah aku. Nas buka beg
baju dan keluarkan baju tidur.
“Kau
nak tidur dengan gaun pengantin tu ke? Atau kau nak aku tolong tanggalkan?”
tanya Nas.
Cepat-cepat
aku bangun dari katil bila dia nak datang dekat. Walaupun dia ni agar-agar, tapi dia tetap lelaki.
Buatnya tiba-tiba datang pula aura jantan dia, kat mana pula aku nak lari?
Takut punya pasal, sampai terlupa nak
bawa tuala dan baju salin. Dah masuk ke bilik mandi baru teringat. Aduh
macam mana ni? Hampir sejam aku dalam bilik air. Dah siap mandi dan cuci mekap,
tapi takut nak keluar. Yalah, takkan aku nak sarung balik gaun meleret tu. Nak
minta tolong Nas ambilkan baju, seganlah pula.
“Oi
makcik! Kau tidur ke kat dalam tu? Cepatlah keluar, aku nak mandi pulak,” jerit Nas dari luar.
Alamak,
macam mana ni? Takkan aku nak keluar dengan tuala hotel yang singkat ni. Nak
minta tolong dia ke tak ni?
“Rin,
cepatlah! Aku nak kencing ni. Aku kira sampai sepuluh, kalau tak aku tendang
pintu ni nanti.” Nas ugut aku pula.
Ala,
mana aci main ugut-ugut ni. Nas dah mula mengira. Nak tak nak aku buka jugalah
pintu tu. Tapi aku buka sikit aje.
Aku jenguk kepala ke luar. Eh, belum sempat aku cakap apa-apa lagi Nas dah
hulur bath robe.
“Ambil
wuduk sekali. Kejap lagi kita solat sama-sama,” arah Nas.
Aku
tutup pintu balik. Sambil pakai bath robe,
kepala aku ni ligat berfikir. Apahal pula Nas ajak aku sembahyang sama-sama ni?
Takkan dia nak… Hish, aku tak berani
nak fikir sejauh tu. Ya Allah, selamatkanlah aku dari agar-agar ini. Dah siap
ambil wuduk aku keluar dari bilik mandi. Di hujung bilik dah siap terhampar dua
helai sejadah. Di atas satu sejadah tu ada telekung yang Nas bagi dalam dulang
hantaran semalam.
“Siap-siap
dulu. Aku mandi kejap,” ujar Nas.
Menggigil
badan aku tengok semua ni. Di atas katil pula ada taburan kelopak ros merah. Oh
tidak, apa yang aku pandang ni semua mimpi. Janganlah Nas langgar perjanjian.
Kalau dia langgar juga, aku takkan maafkan dia seumur hidup. Aku pandang aje telekung di atas sejadah bertekat
benang sulam itu. Hati ni masih berbelah bagi, nak ikut cakap Nas atau pun
melawan.
“Kenapa
kau tenung aje telekung tu? Kau period ke?” tanya Nas.
Eee,
malunya bila dia tanya macam tu. Dia ni
kalau cakap memang tak reti nak jaga bahasa tau. Aku geleng dan cepat-cepat
sarung telekung.
“Nas,
apa maksud kau dengan semua ni. Kau jangan lupa…”
“Perjanjian
kita?” Nas dah potong cakap aku dulu.
Dia
dah siap berbaju melayu, busana yang dipakai sewaktu akad nikah siang tadi.
“Rin,
aku belum nyanyuk lagilah. Aku takkan lupa perjanjian tu. Tapi sebagai seorang
suami, aku rasa aku perlu tunaikan tanggungjawab aku. Tanggungjawab suami bukan
setakat kat atas katil. Ini pun salah satu tanggungjawab juga. Aku dah lama
impikan nak jadi imam untuk isteri dan
anak-anak aku. Walaupun perkahwinan kita ni cuma lakonan, perintah Allah yang
satu ni jangan diabaikan. Sebab, hakikatnya kau
tu isteri aku yang sah. Semua ni
akan tergalas di bahu aku, faham?”
Kata-kata
Nas menusuk tepat ke jantung. Aku pandang dia yang sudah berdiri tegak di atas
sejadah. Inilah pertama kali aku jadi makmum buat seorang lelaki selain dari
abah. Lain sangat rasanya. Usai solat Isyak, kami mengerjakan solat sunat pula.
Rasa sebak tiba-tiba bertandang bila Nas mengharapkan kebahagiaan dan kesejahteraan
aku di dalam doanya. Alangkah bagusnya kalau yang berada di depan aku sekarang adalah Ikmal. Ah, kenapa dia muncul
di saat aku sedang cuba membuat mak
percaya bahawa perkahwinan aku dan Nas ini adalah benar? Nyaris lagi aku
membongkarkan rahsia sendiri. Aku mendengus kasar, melepaskan rasa kesal yang
tak pernah sudah.
“Zarin Sofea…”
“Hah!”
Aku pandang Nas yang duduk mengadap aku.
“Dah
habis dah doanya. Kau tadah apa lagi tu?” tegur Nas.
Aku
raup muka dan lipat sejadah.
“Rin…”
“Apa?”
Eh, tertinggi suara pula.
Nas
hulur tangan. Aku sambut sekilas dan tarik tangan aku semula dengan laju. Tapi
Nas tarik balik tangan aku. Dia pegang
dengan dua tangan, kemudian dia bawa ke bibir. Aduh, gelinya bila terkena kumis
Nas. Tak cukup dengan tangan, dahi aku pula dikucup. Lama bibir Nas mendarat di
situ. Alamak, apsal tiba-tiba bulu tengkuk aku meremang ni. Bahagianya bila Nas
buat macam tu. Sampai terlelap mata aku menikmati rasa yang agak pelik ni.
Tiba-tiba
Nas berdehem kecil. Dia melipat sejadah dan pergi ke bilik air untuk menyalin
baju. Aduh, malunya aku. Minta-minta Nas tak terperasan tadi. Aku sangkut
telekung dan sejadah di tempat penyangkut. Satu lagi masalah timbul. Macam mana
aku nak tidur malam ni? Takkan aku nak tidur sekatil dengan Nas? Dalam pada tengah berfikir tu, Nas keluar dari bilik
air. Dia terus pergi ke katil, ambil bantal dan selimut. Dia letak bantal dan
selimut kat atas sofa. Aku senyum, mujurlah dia faham.
“Terima
kasih.” Aku ucapkan pada Nas. Dia pandang aku dengan muka pelik.
“Untuk
apa?”
“Sebab
kau tak paksa aku tidur dengan kau. Kau tak kisah kan, tidur kat sofa?” Aku
tanya dia.
“Eh,
siapa cakap aku nak tidur kat sofa? Aku siapkan bantal dan selimut tu untuk
kau. Aku nak tidur kat sini,” kata Nas bersahaja.
Dengan
selambanya dia panjat naik atas katil yang penuh dengan taburan kelopak bunga
ros tu. Terlopong mulut aku tengok dia. Aku baru aje nak berbaik-baik dengan dia, dah dia buat perangai lagi. Ada ke
patut dia suruh aku tidur kat sofa? Bengkoklah tulang aku.
“Apsal
kau pandang aku macam tu? Tak puas hati? Kalau tak nak tidur kat sana, mari
sini tidur sebelah aku. Jangan risau, aku takkan sentuh kau tanpa rela. Tapi
kalau terpeluk nanti jangan marah pulak!”
Sakit
telinga aku dengar Nas gelak melambak. Dari kena peluk dengan dia, aku lebih
rela tidur kat sofa. Kurang asam punya agar-agar!
No comments:
Post a Comment