MATAKU seakan tidak mahu berkelip.
Urat-urat mata bagai kekejangan. Aku
pandang Nas dari kepala sampai ke kaki. Dia ni nak pergi kursus kahwin ke nak
pergi pejabat kadi?
“Nas,
kenapa kau pakai macam ni?”
“Apsal? Tak
elok ke aku pakai macam ni?” Nas tanya aku balik.
Aku tepuk
dahi. Pening kepala aku dengan perangai dia.
“Nas, kita
ni nak pergi kursus kahwin. Bukan nak pergi nikah. Kau pakai macam ni, nanti
orang gelakkan kau.Tukarlah, pakai baju biasa aje. Bersongkok bagai!”
“Rin,
biarlah apa orang nak kata pun. Aku peduli apa? Kalau kau tak suka, kau tutup
mata. Cepatlah masuk! Kita dah lambat ni,” jerit Nas.
Sebelum suara Nas makin tinggi, lebih
baik aku ikut cakap dia. Aku betulkan selendang yang asyik melurut dari kepala.
Walaupun aircond dalam kereta Nas ni
dah full level, aku masih rasa rimas.
Almaklumlah jarang pakai baju kurung. Aku sinsing lengan baju sampai paras
siku.
“Kenapa kau buat macam tu? Kedutlah
nanti. Cuba duduk elok-elok sikit. Macam cacing panas ni kenapa?” tanya Nas.
“Aku rimaslah pakai baju ni. Kain tebal
pulak tu. Panas tau tak?”
Nas pandang aku atas bawah. Dia halakan
semua lubang penghawa dingin ke arah aku.
“Ala, tahanlah sikit. Kat akhirat nanti
lagi panas...”
Terhenti tangan aku mengipas badan bila
dengar Nas cakap macam tu. Aku letak belakang tapak tangan di dahi dia. Lepas
tu aku pandang dia dan sedekahkan senyuman yang paling manis.
“Wah, abang Nasrin kita ni tiba-tiba
dah menjelma jadi Ustaz Nasrin. Baiklah abang Ustaz, adik Rin akan patuh dengan
segala nasihat dari abang Ustaz.”
Nas tersengih. Sukalah tu kena usik.
Aku lempang laju-laju nanti baru dia tahu.
“Kalau cakap macam tu hari-hari kan
bagus. Sejuk hati abang dengar. Barulah dikatakan calon isteri solehah.”
Eh, dia pun tak nak kalah! Makin lebar
pula senyum dia.
“Banyaklah kau punya calon isteri! Kau
jangan lupa perjanjian kita Nas. Aku tengok kau macam dah terlebih ni.”
Aku tuding jari pada Nas. Tapi dia
cebik aku pula.
“Aku ingatlah Rin. Tapi kut ya pun nak
berlakon, kenalah buat betul-betul. Barulah nampak real. Aku lebih-lebih pun untuk siapa? Untuk kau juga kan?”
Malas aku nak menjawab. Lebih baik aku
diam sebelum Nas mengarut lagi. Dia terlebih dulu keluar dari kereta sebaik
saja sampai ke destinasi kursus. Aku betulkan selendang di kepala sebelum turun
menyaingi Nas. Tapi belum sempat aku keluar, Nas dah sambut aku dulu. Banyak
mata yang memandang kami. Ada yang tersengih macam kerang busuk melihat Nas
berpakaian macam orang nak pergi akad nikah. Eee,malunya aku!
“Aku dah cakap tadi, tukar baju. Cuba
kau tengok, mana ada orang pakai baju macam kau. Buat malu ajelah!”
Aku jalan lebih laju dari Nas. Tapi dia
pun sama lebar langkahnya dengan aku. Dia pegang tangan aku. Sambil berjalan
dia bercakap dengan nada perlahan.
“Kau nak malu apa? Kita ni kan public figure. Biasalah tu kalau orang
pandang. Kau tu, boleh tak jangan buat
muka sendat macam tu? Kalau tak nak jaga air muka aku pun, jagalah air muka
sendiri. Kau yang minta ni semua kan? Aku cuma merealisasikan aje.”
Aku kemam bibir. Nak marah pun tak
guna. Terpaksalah aku harung sepanjang
hari ini dengan redha. Awal-awal lagi Nas dan aku sudah mendapat perhatian
peserta-peserta kursus yang lain. Ada juga yang nak bergambar. Kalau bergambar
seorang kira okeylah juga. Ini tidak, mesti nak suruh aku bergambar sekali
dengan Nas. Bakal pengantinlah konon!
Dalam kelas, kami juga yang menjadi
perhatian penceramah. Tapi Nas lebih menonjol dari aku. Banyak kali juga dia
disoal oleh penceramah. Mujur dia boleh jawab. Pandai juga Nas ni. Mungkin dia
dah buat homework di rumah. Setiap
kali disoal aku tengok Nas menjawab dengan yakin. Dia berdiri tegak. Hilang
terus sifat agar-agar dan nilai-nilai
kelembutan. Hmmm... kan bagus kalau Nas tu lelaki sejati. Eh, kenapa sampai ke
situ pula aku ni?
“Apakah tanggungjawab seorang suami di
dalam Islam?
Penceramah berjanggut tebal itu
memandang wajah setiap peserta kursus. Ada yang sengaja tunduk. Nak mengelaklah
tu. Aku tunduk memandang buku nota.
Kursus yang banyak sesi soal-jawab macam ni betul-betul buat aku mengantuk.
“Tanggungjawab seorang suami di dalam
Islam adalah bersikap adil pada isteri, memimpin isteri ke jalan yang diredhai
Allah, memberi nafkah yang cukup pada isteri
secara zahiriah dan batiniah, memberi pendidikan agama pada isteri dan
anak-anak, melindungi isteri dan ahli
keluarga dan yang terakhir melayan dan menggauli isteri dengan baik.”
Aku angkat kepala. Lancarnya jawapan
dia. Untung betul siapa yang kahwin dengan lelaki tu nanti. Aku memanjangkan
leher, nak juga tengok juga macam mana rupa lelaki yang cerdik pandai tu.
Ya Allah! Biar betul. Tak mungkin dia
yang menjawab soalan tadi. Tapi kalau bukan Nas, kenapa dia berdiri?
“Terima kasih saudara Nasrin. Jawapan
yang tepat dan padat. Harap nanti awak akan melakukan segala tanggungjawab yang
awak sebutkan tadi dengan sempurna.”
Sah! Memang betullah lelaki yang
berdiri itu Nasrin. Aku dengar dengan jelas ustaz janggut panjang tu menyebut
nama Nas. Aku tengok Nas khusyuk mendengar ceramah. Tidak seperti aku, tak
sampai setengah jam aku dah tersengguk-sengguk.
“Sila baca surah Al-Kafirun.”
Sekali lagi aku tengok kepala para
peserta macam kepala penyu. Tunduk saja masing-masing. Bilik itu juga tiba-tiba
senyap sunyi. Kalau jarum jatuh pun boleh dengar.
“Hah, kamu baca,” suruh penceramah
berjanggut itu.
Siapa pula yang kena kali ni? Aku
memasang telinga. Mungkin kali ini peserta perempuan pula yang kena.
“Bismillahirrahmanirrahim…”
Aku tersentap untuk kesekian kalinya.
Suara Nas kedengaran lagi. Sedapnya dia mengalunkan ayat suci itu. Ada perasaan
lain pula aku rasa dalam hati ni. Kenapa tiba-tiba aku rasa sebak pula ni?
Nampaknya dia memang dah buat persediaan yang cukup untuk kursus ini. Alangkah
bagusnya kalau yang bersama aku sekarang
ni adalah Ikmal.
Tapi sejak aku berkawan dengan Ikmal,
aku tak pernah tengok dia solat. Berlainan betul dengan Nas. Walaupun pada mata
kasar orang melihat dia lembut dan seperti perempuan, setakat hari ini aku tak
pernah tengok dia ponteng sembahyang Jumaat. Ya Allah! Apa dah jadi dengan aku
ni?
Tidak Zarin Sofea, jangan terbawa-bawa
dengan perasaan. Ingat, Nas cuma berlakon saja tu. Ya, dia cuma berlakon.
Jangan risau, lepas setahun nanti aku akan jadi milik Ikmal semula. Tak mungkin
aku akan bersama agar-agar tu.
Hari kedua kursus kahwin, Nas
berpakaian lebih santai. Dia nampak lebih senyap hari ni. Tidak seperti
semalam. Dalam kereta pun dia tak banyak mengomel. Sepatah aku bertanya,
sepatah dia menjawab. Pelik pula rasanya bila Nas buat perangai macam tu.
“Nas, kau tak sihat ke? Tak rancak pun
aku tengok hari ni.”
Teguranku langsung tak diendahkan. Tenang saja
dia memandu. Memang dia nampak lain sangat hari ni. Muka dia pun tak ada
secalit mekap. Kalau tidak tu, dengan pelembab bibir, maskara tebal dan bedak
asas yang tebalnya dekat empat inci.
“Nas, cakaplah! Janganlah diam aje macam orang sakit tekak.”
Aku menolak bahu Nas dengan kasar. Dia
pandang aku sekejap. Dia senyum. Tapi nampak sangat dia senyum tidak ikhlas.
“Malam tadi aku siapkan baju resepsi
kau. Cantik sangat Rin. Lepas kita kahwin nanti aku nak hadiahkan gaun
pengantin tu untuk kau. Tak payah bayar.”
Lembut saja tutur kata Nas.
“Takkan sebab gaun pengantin tu kau
jadi macam ni? Ni mesti ada hal lain. Cuba cakap betul-betul. Kita ni dah nak
jadi suami isteri. Suami isteri tak boleh ada rahsia. Kau ingat tak penceramah
tu cakap tu semalam?”
Eh, dia gelak pula. Kelakar ke ayat aku
tu? Boleh pula dia pandang aku sambil menggosok-gosok hidung. Sejak bila pula
Nas ni ada resdung?
“Memang dah nak jadi suami isteri. Tapi
suami isteri atas kertas aje. Jadi
tak payahlah nak berkongsi rahsia sangat. Tak sesuai!” bidas Nas.
Entah kenapa, aku rasa tersinggung
dengan kata-kata Nas. Terasa sangat,
rasa macam nak menangis. Perasaan ini semakin bertambah pelik ketika
sesi kursus bermula. Penceramah menerangkan nilai-nilai dalam sebuah
perkahwinan dan keajaiban penyatuan dua hati yang sah. Tidak aku nafikan memang
aku agak terkesan dengan ceramah yang diberikan. Namun cepat-cepat aku biaskan
rasa walang itu ke arah lain. Hati aku masih ingin berpaut pada dahan cinta
Ikmal. Aku masih menyimpan janjinya yang akan memperisterikan aku nanti.
“Jauhnya menung. Ingatkan Ikmal ke?”
Nas seakan boleh membaca fikiran aku.
Aku mengalihkan pandangan keluar tingkap. Tak nak dia nampak mata aku yang
berair.
“Rin, batalkan ajelah majlis perkahwinan ni. Aku tahu kau tak suka dengan apa yang aku
buat. Batalkan aje. Masih
sempat lagi. Aku tak kisah.”
Laju kepala aku mencari muka dia. Sawan
ke dia ni? Tiba-tiba pula berubah fikiran.
“Kau cakap apa ni Nas? Ada ke aku cakap
nak batalkan rancangan kita?”
“Memanglah kau tak cakap. Tapi aku dah tak nampak kau
senyum sejak kita jadi ‘kekasih plastik’ ni. Dari situ aje aku tahu. Kau tak ikhlas pun nak suruh aku buat
semua ni, kan?”
“Mana ada manusia yang akan tersenyum
kalau terpaksa buat perkara yang
dia tak suka? Aku buat semua ni semata-mata nak jaga hati mak aku aje. Soal ikhlas ke tidak dah tak ada dalam kepala aku ni. Jadi tak
payahlah kau nak
pertikaikan soal keikhlasan ni. Apa yang
aku nak sekarang, kita
selesaikan semua ni secepat mungkin.
Cukup setahun, kau lepaskan aku. Habis
cerita!”
Mulalah aku nak melenting. Muka Nas
selamba sangat. Ikut hati mahu aku
menarik brek tangan tu dan suruh dia keluar. Tapi ni kereta dia, tak logiklah
kalau aku yang halau dia.
“Aku bukannya apa Rin. Lepas aku dengar
ceramah kat tempat kursus tadi, aku rasa lain macamlah,” kata Nas.
“Rasa lain macam mana pula?”
“Aku rasa apa yang bakal kita buat ni
salah. Kau ingat tak penceramah tu cakap? Perkahwinan ni sama seperti
mendirikan sebuah masjid. Perceraian itu memanglah dibolehkan, tapi itulah
perkara yang Allah tak suka. Bergegar tiang Arasy bila sebuah rumah Allah tu
cuba dirobohkan. Kau tak takut ke?” Nas pandang aku.
Aku tarik nafas dalam-dalam. Cuba
mencari jawapan yang sesuai untuk memahamkan Nas tentang keadaan aku sekarang. Aku kena
berhati-hati, kalau tak kena cara alamatnya merajuk lagilah agar-agar ni.
“Nas, penceramah tu pun ada cakap.
Perkahwinan ni adalah penyatuan kasih sayang
antara dua manusia yang berlawanan jantina. Perkahwinan itu terjadi bila
seseorang itu sudah bersedia dan ingin mengelak dari melakukan dosa zina.
Masalahnya sekarang ni, aku tak bersedia lagi nak kahwin. Mak aku tu yang
paksa. Alah, tak payah pening-pening
sangat nak fikir pasal ni lah Nas. Kita ikut aje seperti yang kita rancang tu. Lagi pun tak salah kalau kau
pergi kursus sekarang. Mana tahu ada jodoh nanti kau kahwin betul-betul dengan
gadis idaman, dah tak payah nak pergi kursus lagi.”
Aku harap sangat Nas tak bersoal jawab
lagi dengan aku mengenai isu ni. Otak aku masih ligat memikirkan jalan nak
memesongkan Nas dari topik ini. Aku tak suka tengok keadaan dia sekarang. Muram
saja. Nas yang aku kenal bukan macam ni. Aku nak Nas yang mulut becok dan suka
bergaduh dengan aku walaupun tentang perkara yang kecil saja.
“Nas, Lily cakap dengan aku pagi tadi
lepas kursus ni kita ada pre- wedding
photoshoot. Jadi ke tidak?” tanya aku.
“Jadi, ni nak pergi ke sanalah. Steven dah call aku tadi. Diaorang tunggu kita kat
I-City.”
“I-City? Kenapa tak ambil gambar kat
studio aje? Malulah buat photoshoot kat situ. Ramai orang.”
Aduh, selesai satu masalah, hal lain
pula datang menyemakkan kepala. Kalau aku tahu Nas nak buat photoshoot kat luar, awal-awal lagi aku
dah bangkang. Salah aku juga, semua benda aku serah bulat-bulat pada dia.
Sekarang aku tanggunglah akibatnya.
“Bagilah aku peluang nak merasa glamour macam kau juga Rin. Kalau ambil
gambar dalam studio, orang tak tahu aku ni bakal suami kau. Tahu-tahu siap aje gambarnya. Aku pilih tempat tu sebab
banyak tempat cantik kat situ. Selalunya pasangan pengantin ambil gambar tepi
tasik atau taman bunga kan? Tapi aku nak lain sikit. Nanti aku nak suruh Steven
ambil gambar kita dalam rumah salji.”
Dah muncul balik dah perangai asal Nas.
Aku diam saja. Dengan dia ni tak guna dibawa bergaduh, mesti dia juga yang nak
menang. Sampai saja di sana dia dah kembali ke watak agar-agar semula. Dia dengan Steven sama saja satu kapal. Kalau dah
jumpa, tak sah kalau tak main laga-laga pipi. Eee, geli aku. Masing-masing
kalau bercakap siap dengan kaki dan tangan sekali melayang-layang. Gelak
mengilai-ngilai. Kaki tu terkepit saja macam tengah tahan kencing.
“Rin, you ikut Vivian pergi make up
dan tukar baju okey. Nas, biar I yang kerjakan you,” ujar Steven.
Nakal betul mata dia merenung Nas.
Sengaja dia menggigit bibir sambil meramas-ramas bahu Nas. Ya Allah! Tolonglah.
Nak muntah aku tengok gelagat diaorang.
Tak banyak masa yang aku ambil untuk bersiap. Aku harap sangat sesi photoshoot ni akan selesai cepat. Ramai
pula pengunjung hari ni. Hari minggulah katakan. Penat mulut aku nak senyum
sepanjang jalan. Tak senyum nanti orang
kata aku sombong pula. Terkial-kial Vivian mengikut langkah aku yang agak laju.
Dipegangnya hujung gaun pengantin yang labuh. Bukan sikit-sikit punya labuh.
Aku rasa dekat tiga meter labuh gaun yang aku pakai ni. Lenguh pinggang aku nak
menyeretnya.
“Bertuah betul you dapat Nas tau Rin. Sayang betul dia dengan you. Dress ni seratus peratus hasil tangan dia tau,” kata Vivian.
Aku terkedu, tak percaya dengan apa
yang aku dengar.
“You
biar betul Vivian. Gaun ni bukan dari studio you ke?” tanya aku.
Vivian menggeleng kepala. Aku tenung
amoi berambut pendek yang sibuk membetulkan hujung gaun aku. Betul ke ni? Atau
Nas upah Vivian untuk cakap macam tu?
Eh, apahal pula Nas nak buat macam tu?
“Dah siap?”
Aku menoleh pada Steven. Nas pun ada di situ. Sekali lagi
aku tergamam. Nas senyum lebar melihat reaksi aku. Kenapa banyak sangat kejutan
dia buat untuk aku hari ni? Aku seperti tak percaya lelaki yang berdiri di depan
aku sekarang adalah Nasrin. Dengan tuksedo hitam dan bowtie warna merah, dia kelihatan sangat berbeza. Kalaulah aku tak
tahu yang Nas ni agar-agar, aku rasa dah lama aku tangkap cintan dengan dia. Nas
nampak sangat maskulin.
“Wah! Handsomelah you Nas. Nasib baik Rin sudah dapat dulu. Kalau
tidak, gerenti I jadi girlfriend
you sampai mati,” ujar Vivian.
Nas cuma tersengih. Sesi penggambaran
pun bermula. Berbagai-bagai pose yang
kami gayakan. Mungkin sebab sudah ada pengalaman dalam bidang peragaan, maka
kerja-kerja Steven menjadi lebih mudah.
“Ok, sekarang I nak you all berdua bagi
I pose yang lebih romantik,” kata
Steven.
Mulalah mulut Steven tu bising
mengarahkan aku dan Nas melakukan pose yang
dia nak. Mula-mula memang tak ada masalah. Tapi lama-kelamaan gayanya sudah
semakin daring.
“Nas, you dukung Rin dan pandang
mata dia,” arah Steven.
Alamak! Boleh ke Nas dukung aku ni? Aku
pandang Vivian yang sudah bersedia di
hujung gaun. Veil di kepala aku
dipegang untuk memudahkan Nas dukung aku nanti.
“Zarin Sofea, are you ready?”tanya Nas.
Aku mengangguk dan dalam sekelip mata
aku sudah berada di dalam dukungan Nas. Beberapa orang pengunjung yang dari
tadi jadi penonton setia mula bersorak sambil bertepuk tangan. Bila diaorang begitu, makin ramailah yang
ingin melihat sesi penggambaran kami. Aduh, tiba-tiba saja muka aku panas.
Malunya kena sorak macam tu.
“Pandang mata Nas tu Rin. Lembutkan
muka you. Express your love to him.”
Zas! Aku rasa macam ada arus elektrik
sedang mengalir di dalam badan aku. Apa sudah jadi? Rasa lain macam pula bila
bertentang mata dengan Nas. Lepas dukung, Nas rangkul aku dari belakang pula.
Muka dia dekat sangat dengan muka aku. Aku boleh dengar dengus halus nafas dia.
Oh tidak! Jantung aku, kenapa detaknya menjadi kencang?
Aku pandang muka Nas. Secara kebetulan
pula, Nas pun menoleh. Nyaris berlaga bibir aku dan dia. Tapi seakan ada magnet
yang melekat pada tangan Nas. Dia masih merangkul aku. Pandangannya seperti ingin
cuba menyampaikan sesuatu. Kami pegun buat seketika.
Mata kami bertatapan. Aku dapat rasakan
ada satu macam perasaan yang sedang
mengalir dalam diri ini. Tiba-tiba aku rasa bahagia berada di dalam pelukan
Nas. Aku rasa selamat. Aku rasa…
“Okay,
it’s a wrap!”
Jeritan Steven menghentikan lamunan
aku. Tepukan dan siulan dari para pengunjung buat aku malu sendiri.
Perlahan-lahan Nas melepaskan tangan. Tapi matanya masih tenggelam dalam
pandangan mata aku. Tidak Rin, kau masih ada Ikmal. Jangan curang dan ingat,
ini semua hanyalah lakonan.
“Nas, balik ni kau tak payah hantar
aku. Aku dah telefon Lily. Dia datang jemput aku kat sini nanti.”
Tanpa menunggu reaksi dari Nas, aku
cepat-cepat beredar dari situ. Aku tak sanggup nak balik dengan Nas sebab arus
elektrik yang mengalir tadi masih belum berhenti. Tiba-tiba aku jadi malu dengan dia.
“Betul ke Lily datang ambil kau kat
sini?” tanya Nas. Kami sudah selesai menyalin pakaian. Dia masih menemani aku
di situ. Seakan tidak percaya aku akan pulang bersama Lily nanti. Steven dan
Vivian baru saja beredar.
“Dia kata dalam sepuluh minit lagi
sampailah.” Aku menjawab ringkas.
“Rin, kenapa nampak gelisah aje ni?” tanya Nas.
“Mana ada, aku okey aje.”
Aduh, janganlah dia perasan yang aku ni
tiba-tiba dah jadi malu dengan dia.
“Rin…”
“Hmmm…”
“Terima kasih.”
“Untuk apa?”
Aku pandang dia sekejap. Sekejap saja.
Aku takut arus elektrik tu datang lagi.
“Sebab sudi hadir sesi pre-wedding ni.”
Aduh, kenapa pula tiba-tiba suara Nas
jadi macho
ni? Sekali dengar macam tertelan batang jagung, tapi sebenarnya suara Nas
dah buat aku jadi menggelabah semula. Aku tak selesa dengan keadaan macam ni.
Mana Lily ni? Lambatnya dia nak sampai
“Inikan sebahagian dari rancangan kau.
Aku ikut aje. Tapi aku nak berterima
kasih juga kat kau sebab buatkan gaun pengantin untuk aku.”
Aku cuba berlagak seperti biasa. Cuba
hindarkan aktiviti hati yang sedang tunggang langgang di dalam hati ini.
“Aku nak kau simpan gaun tu sebagai
kenang-kenangan. Itu hadiah ikhlas dari aku.”
“Eh, tak naklah. Dari kau bagi kat aku, lebih baik kau letak kat
butik. Tak pulang modal kalau kau bagi kat aku.” Sambil bercakap, mata melingas
melihat sekeliling. Aduhai hati. Cubalah
bertenang sikit, boleh tak?
“Aku dah lama design gaun tu untuk kau. Hanya untuk kau. Dan bila aku cakap
nak bagi kau, maknanya gaun tu
bukan untuk dijual. Sama juga dengan hati dan perasaan aku. Tak boleh dijaja, faham?”
Aku kehilangan kata. Otak dan
mulut tak mampu menghadam kata-kata Nas. Dada terasa sesak.
Kenapa lain benar cara Nas kali ni? Telefon bimbit aku berbunyi. Lily! Bagus, dia telefon tepat pada masanya.
“Aku pergi dulu Nas. Nanti apa-apa hal
kau call
ya.”
Laju saja kaki aku meninggalkan dia.
Tapi kenapa aku rasa seperti dia masih perhatikan aku? Tiba-tiba aku teringat satu
babak dalam filem hindustan. Aku tersengih sendirian. Terlintas di benak
fikiran ingin mempraktikkan aksi di dalam filem Dilwale Dulhania Le Jayenge.
“Aku kira sampai tiga. Kalau Nas tengah
pandang masa aku menoleh nanti maknanya dia dah jatuh cinta dengan aku. Kalau
dia tak pandang, faham-faham ajelah.”
Aku cakap sorang-sorang.
“Satu, dua…tiga.”
Berpusing! Alamak, betul ke apa yang
aku tengok ni? Nas masih ada di situ dan… dia tengah pandang aku! Mata ku
tenyeh berkali-kali. Posisi Nas masih
tidak berubah. Dia mendongak sedikit, hairan dengan tingkahku barangkali.
Sepantas kilat aku berpaling semula.
“Tak… tak mungkin. Aku cuma main-main aje. Tak mungkinlah! Mengarut aje semua ni.”
No comments:
Post a Comment