Melihat jarum jam menghampiri pukul
11 pagi, Anis segera mempercepatkan langkah kakinya. Dia memang tidak suka
berurusan dengan pihak bank.
Tapi suka atau pun tidak, dia terpaksa juga.
Ketika kaki melangkah masuk ke dalam butik, Zarul memandang ke arahnya dengan
pandangan semacam.
"Kenapa? Bos ada datang ke?" Anis
sedikit risau. Kalau-kalau Winie Sin muncul dan dia tiada di butik. Kalau boleh
dia tidak mahu rekodnya buruk di mata majikannya itu.
"Tak." Mendatar suara Zarul
menjawab.
Anis dah tarik muka mendengar nada suara
Zarul yang ada aura-aura hendak cari fasal itu.
Tanpa memperdulikan mood lelaki itu, Anis segera menghampiri mejanya, bergegas
menyimpan dompet ke dalam laci.
"Betul ke pergi bank?" tanya Zarul
tanpa mengangkat wajah daripada memandang telefon bimbitnya.
"Buat apa aku nak tipu pula? Selalunya
kalau aku nak pergi merayap pun aku akan bagi tahu kau, kan?" Anis pandang
Zarul semacam.
"Yalah, mana tahu sekarang dah ada
rahsia." Sekali lagi Zarul bersuara acuh tak acuh,
"Kenapa kau ni? PMS ke?" Anis
kerut dahi memandang ke arah Zarul.
Hujan tidak, ribut pun tidak, tiba-tiba pula
Zarul berangin semacam. Pagi tadi okey saja. Dan sebelum ni Zarul tidak pernah
ragu pun dengan dia. Kalau setakat nak keluar pergi merayap sekejap, cuci-cuci
mata di shopping mall berdekatan
memang dia orang selalu berkompromi. Tapi kenapa kali ni Zarul hendak menyindir
pula?
Sedang kepalanya memikirkan tentang Zarul,
hidungnya tercium sesuatu yang wangi. Anis segera menoleh ke tepi dinding dan
matany terlihat sejambak bunga ros di atas meja kecil.
"Wow, bunga untuk siapa tu?" Anis
memuncungkan bibir ke arah meja tersebut.
"Takkan ada orang nak bagi bunga kat
kumbang kut?" Zarul bersuara sinis.
"Sah kau PMS, nanti kalau nak extra pad
minta dengan aku tau. Aku bawa lebih ni," balas Anis geram.
Dia bingkas bangun menghampiri meja tersebut.
Kemudian mengambil jambangan bunga dan menghidu harumannya. Emmm... wangi.
"Ada orang bagi dekat bos ke?”
Anis tercari-cari kad, ingin melihat
siapakah pengirim bunga tersebut. Untung bos dapat bunga segar. Entah bila
agaknya dia akan dapat hadiah bunga segar dari teman lelaki.
Teman lelaki?
Masalahnya sekarang, bukan bayang bunga,
tapi bayang teman lelaki pun entah bila dia akan dapat. Anis tergelak dalam
hati.
Bab hendak mencari teman lelaki bukan
perkara yang susah dalam hidup Anis. Cuma yang menjadi masalah untuk mencari
bakal suami itu yang payah.
Semua lelaki yang dia kenal sebelum ini
memang tidak boleh dipakai! Setakat buat stok simpanan sebagai teman untuk
pergi jalan-jalan dan berhibur di hujung minggu bolehlah. Tapi kalau untuk
dijadikan pemimpin dalam keluarga, memang payah.
Jasmin kata dia cerewet. Tapi bagi Anis, dia
ingin mencari calon suami yang baik seperti arwah ayahnya. Seorang penyayang.
Seorang yang sanggup lakukan apa sahaja demi menjaga kebajikan keluarga.
Seorang suami yang sangat romantik dan
seorang ayah yang bertanggungjawab.
"Bos apa pula, itu untuk kaulah."
Suara kuat Zarul pantas mencantas lamunan Anis.
Bulat matanya memandang ke arah Zarul. Biar
betul? Takkan kut? Siapa pula yang bagi bunga dekat dia? Orang tu nyanyuk ke
apa?
"Siapa?" Lekas Anis bertanya.
"Entah, tengoklah dekat kad tu."
"Tak ada." Tangan Anis segera
membelek kuntuman bunga tersebut.
"Oh lupa, aku dah letak atas meja
kau," jawab Zarul tanpa memandang ke arah Anis.
Anis mencebik. Bukannya nak cakap awal-awal
tadi. Puas dia membelek. Terus saja dia bergegas ke arah mejanya.
Di situ baru dia ternampak kad kecil di atas
fail. Tanpa buang masa dia segera membuka kad tersebut.
Istimewa
untuk gadis seindah mutiara, sewangi haruman bunga.
-Ikmal
Hah? Terbuntang mata Anis melihat nama si
pengirim bunga tersebut.
"Eh, Ikmal mana ni?" Anis pandang
Zarul. Takkan Ikmal, si model handsome dan
popular tu? Macam tak percaya saja.
"Berapa banyak Ikmal yang kau
kenal?" tanya Zarul bersahaja.
"Seorang je."
"So?"
"Eh, takkan Ikmal model handsome tu bagi kat aku kut? Kenapa
pula dia nak bagi kat aku?" wajah Anis berkerut. Masih tak percaya.
"Dia nak jual minyak la tu," perli
Zarul.
"Zarul, seriuslah. Betul ke Ikmal tu
bagi kat aku? Atau, kau saja nak prank aku
letak nama Ikmal supaya aku syok sendiri?" Anis memandang sangsi pada
Zarul.
Zarul ni bukan boleh dipercayai sangat.
Sebelum ni selalu juga Zarul kenakan dia. Tapi, dia selalu terkena masa April Fool dan birthday sajalah.
Eh! kejap, hari ni hari apa?
Mata Anis pandang kelendar di atas meja.
Hari Rabu, tak ada tarikh istimewa apa-apa pun.
"Apa hal aku nak prank kau pula. Kalau aku nak bagi bunga, aku bagi je terus direct depan kau. Sekali dengan cincin
aku bawa nanti," jawab Zarul bersahaja.
Baru saja Anis hendak buka mulut, tiba-tiba
telefon bimbitnya berbunyi. Tertera 'Private
Number' di skrin telefon bimbitnya.
“Hello?”
"Hai, Anis." Terdengar suara
lelaki di hujung talian.
"Ya saya, siapa ni?"
"Ikmal, you dah terima bunga dari
I?"
"Oh, ya ada. Baru je dapat ni."
Anis senyum gembira. Dadanya tiba-tiba saja berdebar.
"Suka tak?" soal si dia di hujung
sana.
"Eh, mestilah suka. Tak pernah-pernah I
dapat bunga secantik ni." Hati Anis dah seperti jambangan bunga yang
diterimanya.
"Baguslah kalau you suka. Lain kali I
kirim yang lagi besar dan cantik."
"Eh, tak payah susah-susah. Dapat
sekali ni pun dah cukup." Anis mula rasa tak sedap hati. Harap-harap Ikmal
tak salah faham dengan kata-kata dia sebentar tadi.
"Tak susah pun. I pergi je kedai, pilih
bunga. Mereka yang bungkuskan dan hantar." Terdengar Ikmal ketawa kecil.
Anis dah dapat menahan diri dari tersenyum.
"Itu I tahu. Cuma, perempuan yang
selalu dapat bunga ni, perempuan yang special
dalam hidup seseorang lelaki. Dan I ni bukan sesiapa pun, dapat sekali pun dah
seronok," balas Anis dan kemudiannya dia tepuk dahi sendiri.
Kenapa aku cakap macam tu? Macam bagi
isyarat pada Ikmal saja bunyinya.
"Sebab you speciallah I bagi bunga tu."
Anis terus tersengih. Tidak tahu hendak
membalas apa. Dia garu kepala. Masih terasa seperti mimpi Ikmal bagi bunga dan
telefon dia.
Eh! kejap. Macam mana Ikmal boleh tahu
nombor telefon dia?
"Ikmal," panggil Anis.
"Yes
honey."
Wah! Belum apa-apa lagi Ikmal dah panggil dia
'honey'? Haish, biar betul ni? Takkan Zarul prank
dia sampai tahap buat panggilan palsu kut? Atau, ini panggilan hangit?
Anis pandang Zarul. Tapi lelaki tu masih
asyik membelek telefon bimbitnya. Takkan Zarul upah kawan dia menyamar jadi
Ikmal? Apa hal pula Zarul beria-ia nak kenakan dia?
"Anis?" Terdengar suara di hujung
sana memanggil.
"Ya, sorry. I terlupa nak tanya apa." Sekali lagi Anis garu kepala.
"Tanyalah apa saja yang you nak tanya.
Demi you I sanggup bergayut berjam-jam. You nak tanya I dah kahwin ke belum,
ke?"
"Erkkk..." Terus saja dia jadi
gagap dengan keberanian Ikmal.
"Jawapannya belum. Atau, you nak tanya
I ada teman wanita atau pun tak? Dan jawapannya, I masih single and available." Terdengar Ikmal ketawa kecil di hujung
talian.
"Eh! bukan-bukan. Buat apa I nak tanya
pasal peribadi you pula."
"Tak apa, jangan segan-segan. I memang open book. Terutama dengan you." Suara
Ikmal seakan ingin mengoda.
Perasaan was-was dengan panggilan tersebut
semakin mendesak hati Anis. Takkan Ikmal nak mengatal dengan dia kut? Ini mesti
Zarul punya kerja!
Anis pandang lelaki di depannya. Zarul
memang dah tahu dia minat Ikmal. Jadi, mesti lelaki tu sengaja hantar bunga ni
dan tulis nama Ikmal. Lepas tu suruh kawan telefon supaya dia syok sendiri dan
lepas ni Zarul akan gelakkan dia sampai tujuh hari tujuh malam!
"Okey, you boleh berhenti berlakon
sekarang!" Marah Anis, sempat melempar jelingan maut pada Zarul. Ni mesti
Zarul tengah pasang telinga ni.
"Eh! kenapa pula? I baru nak
berjinak-jinak dengan lakonan. You suruh berhenti? You tak suka dengan pelakon
ke?"
"Ya, I tak suka dan you boleh berhenti
sekarang."
"Anis..." Panggil suara itu
lembut.
"I tahu ramai pelakon di luar sana tak
boleh dipercayai. Tapi you tak boleh tuduh I sama dengan dia orang. I dengan dia
orang tak sama tau."
"Dah! cukup-cukup. Tak payah nak
berlakon sangat. I tahu, Zarul upah you suruh call I, kan?" Anis tersenyum sinis.
Pantas Zarul angkat kepala apabila terdengar
namanya disebut oleh Anis.
Anis pula menghadiahkan senyuman sinis pada lelaki
di depannya. Jari menghala lurus memberi amaran.
Zarul berkerut dahi, terpinga-pinga
memandang Anis.
"Zarul? Zarul mana? Zarul Umbrella ke?
I tak kenal dia pun. Zaman muda-muda dulu memang I biasa dengar lagu-lagu
dia." Suara di hujung sana kedengaran ragu-ragu.
"Dah, sudah I kata. Jangan berlakon.
You dah kantoi. I tahu, Zarul upah you." Anis makin berangin.
"Upah? Anis, you cakap apa? I tak
fahamlah, honey."
Anis berdesit geram. Masih cuba nak berlakon
lagi mamat ni!
"I tahu you bukan Ikmal yang I minat
tu. You memang kawan Zarul, kan? Dia upah you menyamar jadi Ikmal sebab saja
nak usik I, kan?"
Anis memandang tajam pada Zarul,
menghadiahkan senyuman mengejek pada temannya itu. Akhirnya, dia berjaya
mematahkan prank yang dibuat oleh
lelaki itu. Padan muka! Nak kenakan dia konon!
"You ingat I menyamar?" soal suara
di hujung sana. Kemudian terdengar pula suara tersebut ketawa mengekek.
Anis masih tidak lepas memandang Zarul.
Lelaki itu membalas dengan pandangan terpinga-pinga, kemudian mengangkat kening
menghantar soalan ‘kenapa’ tanpa mengeluarkan suara.
"Anis, ini memang I lah. Ikmal. Kita
jumpa semalam, ingat tak?"
"Emmm... mestilah ingat." Anis
mula was-was. Kalau tengok dari segi air muka, tak nampak macam Zarul sedang
seronok kenakan dia.
"So? Dah percaya?"
"Emm... kalau betul you Ikmal, I nak
tanya satu soalan."
"Silakan."
"Semalam I sanggul rambut atau ikat
tocang?"
"Sanggul." Yakin suara ‘si dia’
menjawab.
"I pakai lipstik pink atau merah?"
"Tentulah pink. I suka warna tu. Very kissable…"
Anis telan liur. Dada mula bergemuruh. Tak
mungkin!
"Masa you siap fitting dan shooting semalam, I ada dalam butik atau I
keluar?"
"Yes, you keluar. Dan I pun tak boleh
lama untuk tunggu you kembali ke butik. Sebab tu I hantar bunga pagi ni. Sebab
I tak puas hati kita tak sempat nak berbual semalam."
Anis tepuk dahi. Memang sah yang sedang
bercakap ni Ikmal!
Alamak, malunya!
“Errr... dari mana you dapat nombor telefon
I?” Baru terkeluar soalan yang ingin ditanya Anissejak tadi.
“I minta dengan Bill.”
Anis terus terdiam.
"Okey, kalau tak percaya lagi I ni
Ikmal. Why not, lunch hour nanti kita
lunch sama-sama, nak?"
"Emmm..." sekali lagi Anis telan
liur.
“Come
on, honey. Lunch with me? Pretty please?” Ikmal memujuk.
"O…okey." Akhirnya, Anis beri kata
setuju.
"Okey, kalau memang betul I Ikmal, you
berhutang dengan I."
"Hah, hutang apa?" tegak badan
Anis bila dengar perkataan hutang.
"Nanti masa lunch I bagi tahu."
"Err..."
“Kat Chatz Brasserie restoran bawah tu okey
tak?” Suara di hujung sana memintas.
Anis terus terdiam. Tak terkata.
"So, kita jumpa nanti. Pukul 1,
ok?"
"Okey."
Anis mematikan panggilan. Tapak tangannya
sudah berpeluh. Macam mana dia boleh tersalah teka ni! Matanya berterusan
merenung Zarul.
"Kau dah kenapa tadi? Duk
pandang-pandang aku macam ada hutang je?" Zarul menegur, tak puas hati.
"Bila aku pandang kau?" Anis berdalih.
Masak dia kalau Zarul tahu. Mesti terbahak-bahak lelaki itu ketawa nanti.
Untuk selamat, lebih baik Zarul tak tahu
teori dia tadi dah salah. Dah masuk kategori menuduh.
“Habis tadi tu kalau bukan pandang kau buat
apa?”
"Tak ada apalah." Anis terus
beredar menyelamatkan diri sebelum disoal siasat oleh Zarul.
TEPAT pukul satu tengah hari, Anis bersiap-siap untuk keluar. Dia mengeluarkan cermin kecil untuk
memeriksa mekupnya.
Setelah puas hati dengan solekannya, dia
segera memasukkan cermin tersebut ke dalam beg tangan. Hatinya mula
berdebar-debar. Tidak pernah dalam sejarah hidup dia keluar makan dengan lelaki
kacak, pula tu bukan calang-calang lelaki. Model popular!
Anis tersenyum sendirian. Kalau kawan-kawna
dia tahu memang masing-masing mesti terkejut. Dan mesti ada yang cemburu.
"Kau ni kenapa tiba-tiba teruja semacam?”
Zarul menegur dengan pandangan pelik.
“Macam tak pernah keluar lunch je sebelum ni?" Dia pandang
Anis atas bawah.
"Jangan cemburu, aku nak keluar makan
dengan... Ikmal!" ujar Anis teruja.
Zarul mencebik.
"Setakat Ikmal aku tak hairan. Lainlah
kalau tengku mahkota mana-mana negeri ke... jutawan atau hartawan ke... setakat
lelaki macam Ikmal, memang tak hairan."
"Kau lelaki memang kau tak hairan.
Okey, aku pergi dulu. Kerja elok-elok ya. Kalau aku terlambat sikit jangan
marah," Anis mengenyitkan mata, kemudian terus melangkah keluar dari
butik.
Namun, sebaik saja melangkah keluar, dia
terpandang kelibat seorang lelaki tercegat di laluan di depan pintu butik.
Langkah Anis terus terhenti. Dadanya mula
berdebar.
Lelaki itu!
Untuk seketika kedua-duanya saling
berpandangan. Dunia terasa seakan terhenti berpusing buat beberapa detik.
Tiba-tiba lelaki tersebut tersenyum,
kemudian mengenyitkan matanya pada Anis dan terus berlalu pergi.
Anis masih terkedu di situ. Terpaku melihat
senyuman manis lelaki itu. Seakan terbayang-bayang si pemilik mata bening
mengenyit mata kepadanya. Terkebil-kebil dia melihat lelaki itu berlalu pergi.
Apakah?
No comments:
Post a Comment