Wednesday, 22 October 2014

BAB 4 : KAU JELITA - ZANANIS ALI


BAB 4
Fatehah mundar-mandir di ruang tamu rumah sewa mereka. Risau sungguh hatinya bila mana jam dah mencecah pukul sepuluh malam tapi batang hidung Nisa masih tak muncul di rumah. Jangankan batang hidung, bayang Nisa pun dia belum nampak lagi! Nisa masih belum pulang.
“Mana Nisa ni? Ke manalah mamat tu heret Nisa pergi? Ya Allah selamatkanlah kawan aku yang seorang ni…” Fatehah tak henti-henti berdoa, dalam hatinya berdoa sangat-sangat di jauhkan perkara yang tidak di ingini berlaku kepada Nisa. Petang tadi masa Luth menarik tangan Nisa pun dia sudah merasa tidak sedap hati. Entah ke mana diangkutnya kawannya yang seorang itu. Dia risau kalau-kalau sesuatu buruk terjadi. Terselit rasa menyesal kerana tak mengekori Nisa dengan lelaki asing itu petang tadi.
Nisa tu luaran sahaja nampak kuat tetapi sebenarnya hati Nisa sangat rapuh. Mudah tersentuh, mudah terasa! Itu yang Fatehah risaukan… takut hati rakannya terluka.
Tanpa dia sedar itulah yang sebenarnya telah terjadi. Hati Nisa cukup terluka bila dia dihina oleh Melina petang tadi.
Tiba-tiba pintu gril rumah mereka dibuka oleh seseorang dan wajah suram Nisa muncul. Fatehah mengucap syukur apabila melihat wajah sahabatnya itu. Nisa dah balik… hatinya berbisik.
“Nisa…” Fatehah menyeru lembut nama sahabatnya.
Wajah mendung Nisa jelas menunjukkan apa yang hatinya rasa ketika itu. Sedih! Nisa tak menyahut langsung teguran Fatehah. Sebaliknya kakinya terus diatur memanjat tangga rumah dan menuju ke bilik tidurnya di tingkat dua. Sepatah kata tak terkeluar dari bibir Nisa.
“Ada benda yang tak elok ke jadi?” Lebih kepada menyoal dirinya sendiri. Fatehah bertambah risau lalu dia turut membuntuti Nisa memasuki ke biliknya.
Nisa duduk di birai katil. Lama dia merenung lantai biliknya dengan pandangan kosong. Mula-mula Nisa cuma diam tak berkata apa-apa tapi kemudian tiba-tiba saja dia mula menangis dan menangis lagi. Kejadian petang tadi bermain-main dimindanya, kata-kata hinaan yang dilemparkan oleh perempuan tadi yang Luth panggil Melina itu seolah-olah sebuah filem yang diulang tayang banyak kali!
Nisa memegang kepalanya dengan kedua belah tangannya. Malu! Marah! Sakit hati! Semua bercampur baur. Apa hak perempuan tu nak hinanya? Nisa masih tersedu, luka di hati tu Tuhan saja yang tahu dalamnya macam mana. Malu yang tak boleh ditimbang bila di hadapan khalayak ramai dia dihina...
“Nisa, sabar. Ingat Tuhan…” Dipeluknya bahu Nisa supaya rakannya tu mampu bertenang. Fatehah cuba memujuk Nisa yang masih bersedih dengan kejadian yang baru menimpanya petang tadi.
“Aku… aku malu Fatehah… aku malu. Aku tahu aku tak cantik macam dia tapi janganlah hina aku macam tu. Dia siapa nak hina aku macam tu? Aku tak kenal pun dia... apa hak dia nak buat aku macam sampah depan orang tadi? Aku ada hati ada perasaan ada maruah. Semua orang ingat aku ni manusia yang tak sedar diri. Orang ingat aku perempuan yang tak ada harga diri. Orang ingat aku perampas!” Nisa semakin kuat menangis.
“Nisa dah la tu. Jangan bazirkan air mata kau. Air mata kau tu berharga… jangan menangis untuk perempuan tak guna tu. Sia-sia...” pujuk Fatehah. Melihat keadaan Nisa buatkan dia pun turut sama merasakan sedih dan rasa bersalah pada Nisa. Kalau dia setuju ikut Nisa balik tadi semua ni tak kan terjadi. Nisa tak akan dihina oleh perempuan entah apa-apa yang biadap tu.
“Aku menangis sebab maruah aku diinjak-injak Tehah… dia hina aku depan orang ramai. Dia tuduh aku sundal, dia tuduh aku macam-macam, Tehah.” Nisa lagi sebak.
“Nisa, perempuan tu cakap tak guna akal. Jangan dengar apa yang dia cakap. Kalau muka cantik pun tapi hati hitam tak guna jugak  Nisa. Abaikan perempuan tu. Kau ingat tak aku pernah cakap cantik tu tak boleh bawa ke mati pun. Nisa... bila masuk kubur nanti mungkar nangkir tak tanya pun kau kat dunia cantik macam Jessica Alba tak? Kalau ya kau masuk syurga. Kalau tak kau masuk neraka… Tak ada benda macam tu, yang penting cantik di mata Tuhan. Cantik di mata manusia ni nafsu je.”
Tangisan Nisa dah mula berkurangan… Fatehah ni nak memujuk pun bagi contoh tak boleh blah sungguh. Guna Jessica Alba bagai. Tengah bersedih ni! Agak-agak la...
“Nanti bila kau tua hodoh juga. Kendur sama jugak  tak ada maknanya kalau muda-muda cantik macam miss world sekalipun.” Fatehah cuba memujuknya. Melihat Nisa menangis membuatkan hati Fatehah turut bersedih. Bak kata pepatah melayu cubit paha kiri paha kanan pun terasa.
“Nah, kau tengok sekarang contoh terdekat. Perempuan tu muka je cantik tapi adab dengan budi bahasa fail! Kau tak payah nak hiraukan sangat apa yang perempuan tak bertamadun tu cakap.” Pada mata Fatehah… Nisa bukannya tak cantik cuma manisnya lebih. Tapi kalau nak dibandingkan Nisa dengan perempuan tadi tu memang langit dengan bumi! Nisa cantik asli. Melina tu plastik semata-mata. Harapkan make up saja. Kalau tak ada make up sekati tu… kirim salam sajalah. Entah tak ada lelaki pun yang lalu nak hadap muka dia.
Nisa mula berhenti menangis. Tapi hatinya tetap sakit.
“Aku tak kenal pun lelaki tu, kalau setakat jumpa dua kali macam tu pun bukan alasan kukuh dia boleh buat sesuka hati dengan aku. Apa dia ingat aku pinjam handphone dia tiga minit hari tu dia boleh buat aku macam ni? Dia ingat dia tu siapa?!” Suara Nisa sedikit meninggi. Angin kus-kus dah mula menyerang. Bengang.
Fatehah menggaru kepalanya yang tak gatal...
“Kenapa dia buat aku macam ni? Aku tak ada salah pun dengan dia.” Matanya memandang mata Fatehah meminta penjelasan. Penjelasan yang Fatehah sendiri pun tak boleh nak terangkan sebab dia sendiri pun tak tahu kenapa lelaki tu melibatkan Nisa.
Lama mereka terdiam. Dua-dua tak ada jawapan yang munasabah kenapa Luth bertindak sedemikian drastik dengan melibatkan Nisa dalam hal permasalahnya dengan Melina.
“Tehah, aku penat… aku nak tidur.” Nisa bersuara lagi. Air matanya dikesat dengan belakang telapak tangan.
“Baringlah… aku tahu kau penat. Lupakan semuanya Nisa dan banyakkan beristighfar biar hati kau tenang.” Nisa diselimutkan dan tombol pintu bilik tidur sahabatnya dicapai. Biarlah Nisa bertenang dulu.
Nisa memejamkan matanya, cuba mengusir semua bayangan kejadian yang baru menimpanya petang tadi.
“Tehah.”
Fatehah yang baru hendak menutup pintu bilik Nisa terhenti langkahnya apabila namanya dipanggil. Dia melihat Nisa yang sedang berbaring sambil kedua matanya tertutup rapat. “Kenapa? Kau perlukan apa-apa ke?” Prihatin sungguh nada Fatehah menyoal. Member tengah bersedih tu kenalah bagi muka.
“Aku belum bayar tambang teksi lagi. Pak cik tu tunggu dekat luar. Tolong bayarkan...”
Menyenget bahu Fatehah dengar apa yang Nisa cakap. “Kau... kau... kau panggil aku sebab tu je?”
Tiada jawapan dari Nisa. Sepi.
Dengkuran halus mula kedengaran... Nisa dah ke alam lain.
Hampeh!
Baru tadi sesi luahan perasaan, mood masing-masing pun tengah syahdu lagi. Tiba-tiba dah dekat setengah jam baru dia beritahu yang tambang teksi tak bayar lagi! Fatehah terus bergegas keluar rumah. Ternyata pak cik teksi yang Nisa sebut tadi masih ada. Masam mencuka wajah pak cik teksi.
Nisa ni memanglah!


Keesokkan paginya, Luth bergegas ke pejabat Waqif yang juga tempat Nisa bekerja. Ada perkara yang nak ditanyakan kepada Waqif mengenai Nisa.
            “Kau nak buat apa nombor telefon Nisa?” Kening Waqif bertaut dua. Pelik betul dia dengan perangai Luth. Pagi-pagi buta datang pejabat dia… Pak guard pun tak sempat tukar syif lagi, Luth  dah siap terpacak depan pintu pejabatnya. Lepas tu tiba-tiba minta nombor telefon Nisa. Yang ni lagi pelik! Demam ke apa budak ni?
“Erm, adalah hal aku. Apa nombor dia?” Luth menyoal lagi sekali.
“Mana boleh aku kasi dekat kau sesuka hati aku.”
“Ala, kau ni kawan sendiri pun tak boleh tolong. Berkiralah kau… aku minta nombor telefon Nisa je pun bukan aku banglo sebuah dekat kau.” Luth merengus kasar.
“Bukan masalah berkira, masalahnya… polisi syarikat. Yang kau tiba-tiba minta nombor telefon dia kenapa? Yang Nisa pun tiba-tiba ambil cuti mengejut… serentak. I smell something fishy here.” Riak muka Waqif seperti mengesan sesuatu yang tak kena sedang berlaku di hadapannya kini.
Dia nak berfishy-fishy pula dekat sini. Luth mengeluh. “Nisa tak masuk kerja?”
“A’ah… baru tadi kawan dia call cakap Nisa tak sihat. Dia minta emergency leave tiga hari. Pelik korang berdua ni… yang sorang awal-awal pagi lagi dah tercangak depan pintu pejabat, yang sorang lagi tiba-tiba ambil cuti mengejut. Mesti ada sesuatu yang terjadi kan? Entah-entah Nisa sakit sebab kau. Kau ada jumpa dia ke? Baik kau cakap dekat aku apa kau dah buat dekat Nisa. Kau buat apa dekat anak dara orang, Luth?” Bertubi-tubi soalan dilemparkan kepada Luth.
“Mana ada aku buat apa-apa dekat dia! Kau jangan nak menuduh aku.” Cepat-cepat Luth menafikan tuduhan Waqif. Luth berdehem beberapa kali menghilangkan resah di hati. Itu jawapan luaran… dalam hati? Aku tak buat benda pelik-pelik dekat anak dara orang. aku mengaku dia tunang aku je.
“Yang kau panik semacam ni kenapa? Aku tanya je.” Soal Waqif penuh syak wasangka. Pelik melihat rakannya yang tampak gelisah semacam ini.
“Tak nak tolong sudahlah.” Luth terus meninggalkan pejabat Waqif. Hatinya mula diserang rasa tak senang. Rasa bersalah mula menimpanya. Nisa sakit? Pasal semalam ke? Dia menyoal dirinya sendiri. Enjin kereta dihidupkan. Belum sempat Luth nak menukar gear tiba-tiba telinga menangkap satu bunyi.
“Bunyi telefon? Tapi bukan telefon aku.” Luth mula mencari dari mana datangnya bunyi telefon tu. Kemudian matanya terpandang sesuatu di kerusi penumpang bahagian belakang.
Beg tangan?
“YaAllah! Pelupanya aku ni… beg tangan Nisa.” Ditepuknya kepalanya berkali-kali. Tangannya cepat mencapai beg tangan Nisa dan telefon bimbit Nisa dicari tapi belum sempat dia menekan butang hijau, telefon tu sudah termati dengan sendirinya.
Luth kemudian menggelengkan kepalanya berkali-kali.
“Betullah kau ni bengap Luth. Sia-sia je kau merayu dekat Waqif macam pengemis. Padahal handphone Nisa ada dekat kau, kalau kau telefon dia tadi. Kau sendirilah yang jawab.” Dia mengetawakan kebodohan dirinya sendiri. Kerja pangkat tinggi benda basic macam ni pun dia boleh tak perasan.
Telefon bimbit Nisa digeledahnya. Dia tahu apa yang dia buat ini salah tapi dia cuma hendakkan nombor Nisa. Mesej-mesej Nisa langsung tak dibukanya. Sebaik saja nombor telefon Nisa berjaya perolehi, telefon bimbit itu disimpan semula ke tempat asalnya.
Handphone dia ada dekat aku. Tapi macam mana aku nak pulangkan beg tangan dia? Aku tak tahu dia tinggal kat mana…” Luth mula berdiolag sendiri. Memikirkan cara untuk berjumpa dengan Nisa.
“Dompet dia! Mesti ada dalam beg.” Diselongkarnya pula beg tangan Nisa tanpa izin tuan punya beg itu. Kesalahan kedua yang dia lakukan hari ini. Sebaik saja dia menemukan dompet Nisa terus dibukanya. Kad pengenalan Nisa pula menjadi mangsa.
“Khairunnisa bt. Khuwailid.” Luth menyebut perlahan nama Nisa.
“Hurmm, simple je nama dia. Klasik pun ya jugak .” Luth menyambung lagi.
Kali ni matanya memandang pula nombor kad pengenalan Nisa. “880808-xx-xxxx. Hish, banyak betul nombor lapan dia…” Luth ketawa. Sempat lagi dia mengutuk Nisa.
“Awal 20-an… muda lagi. Muda aku empat tahun. Hurmm, ada can nak masuk jarum.” Luth membuat kira-kira dalam kepala otaknya kemudian kepalanya terangguk-angguk sedikit seperti memikirkan sesuatu. Entah-entah tengah fikir taktik nak mengorat Nisa?
Lepas sudah puas menilik dan menganalisis maklumat Nisa, barulah dia kembali ke tujuan asal dia melihat kad pengenalan Nisa iaitu mencatit alamat Nisa! Tapi... ni alamat rumah jauh... takkanlah alamat ni kut? Luth menggaru kepalanya yang tak gatal.
“Minah ni tak ada simpan ke alamat rumah dia yang sekarang?” Bibir Luth tergerak-gerak membebel. Tangannya ligat memunggah beg tangan Nisa.
Tiba-tiba dia terjumpa sebuah buku kecil. Planner book Nisa. Luth tersenyum. Gotcha! Usai mencatit alamat Nisa disimpan kembali buku tersebut… Dompet Nisa yang hampir dimasukkan semula tapi tiba-tiba terdetik dalam hati Luth untuk melihat gambar yang ada di dalam dompet tu pula! Kesalahan Luth yang entah kali ke berapa ini.
Gambar passport Nisa menjadi perhatiannya. Dia tersenyum… Manis. Hatinya memuji Nisa. Memang dia akui Nisa taklah cantik, ramai lagi perempuan lain yang lebih cantik daripadanya dekat luar sana. Tapi Nisa ni manis orangnya… manis yang memikat hati.
Tanpa berfikir panjang terus diambilnya gambar yang berukuran passport Nisa tu dan disimpan ke dalam dompetnya. Mencuri? Iyalah kut… manalah tahu, kalau-kalau nanti gambar Nisa ni berguna pada masa depan nanti bukan kita tahu kan? Luth sengih.
“Tadi kau geledah handphone dia, lepas tu kau selongkar beg tangan dia… kemudian kau curi gambar dia! Wow, terbaiklah Luth… lepas satu, satu jenayah kau buat. Kalau Nisa saman kau, memang pedih nak membayar ganti rugi ni. Boleh je dia dakwa kau atas tuduhan menceroboh hak orang lain tanpa kebenaran dan mencuri…” Luth menggelengkan kepalanya. Semuanya sebab Nisa…
Wah, takkan jampi dalam ‘kopi mandrem’ Nisa memang berkesan kut? Ini baru betul tuah ayam nampak di kaki, tuah Nisa? Luth dah ternanti.


Kau dah cari betul-betul ke dalam bilik tidur kau tu?” Fatehah menyoal buat kesekian kalinya kepada Nisa.
“Dah. Aku dah cari berpuluh kali dekat bilik tidur aku tapi tak jumpa. Beg tangan aku tu besar mustahil aku tak nampak kalau ada dalam bilik tu,” jawabnya penuh yakin. Memang betul dah habis satu bilik dia geledah tapi tak jumpa pun beg tangannya tu. Pelik betul tiba-tiba boleh hilang macam ni.
Kali ni ruang tamu rumah pula menjadi mangsa, habis digeledah mereka berdua untuk mencari beg tangan Nisa yang hilang. Berterabur semua kusyen-kusyen sofa dikerjakan mereka. Kalau sekali pandang ada la juga rupa macam kena serang dengan taufan Katrina keadaan rumah mereka masa tu.
Nisa baru sedar yang beg tangannya hilang ketika dia mencari telefon bimbitnya untuk telefon Waqif a.k.a bosnya. Dia mahu memberitahu yang dia tak boleh ke pejabat hari tu kerana sakit. Senang cakap, istilah orang office guna… emergency leave. Last-last, Fatehah yang kena call bos dia cakap dia sakit. Mujur Fatehah ada… kalau tak entahlah Nisa pun tak tahu nak contact bosnya macam mana. Luaran memang dia sihat tapi dalaman tu yang sakit. Dia perlukan masa untuk bertenang selepas apa yang berlaku semalam.
Kemudian tak disangka-sangkakan, dia tak jumpa pula beg tangan dia. Mahu tak panik Nisa pagi tu mencari beg tangannya. Semua barang berharga dia ada di dalam beg tangannya. Kad pengenalan, telefon bimbit, lesen, kad kredit, kad atm, kad kerja, duit… semualah! Tak ada semua benda tu susah hidup dia nanti. Nak-nak lagi kalau memang betul beg tangan dia tu hilang. Nak kena buat balik kad pengenalan dengan segala jenis kad yang ada di dalam dompet tu... Lepas tu, mesti kena bayar denda. Ah, duit lagi keluar…
Lepas satu, satu masalah muncul. Ni baru betul kalau orang cakap sudah jatuh di timpa tangga pula… Cuma bezanya Nisa tak tahu yang kejap lagi lepas kena timpa dengan tangga, siling rumah pula nak menghempapnya!
“Cuba ingat balik baik-baik semalam kau letak mana.” Kali ni Fatehah memaksa Nisa untuk duduk dan bertenang. Nisa akur, dia duduk di atas sofa, perlahan-lahan Nisa menarik nafas dan lepas… matanya dipejamkan memikirkan kejadian semalam dan di mana beg tangannya berada.
“Masa tengah shopping semalam dengan kau beg tangan tu ada lagi, pergi makan dekat kedai sushi pun ada lagi. Kemudian, masa aku bergaduh dengan minah langsuir tu pun beg tangan aku ada lagi. Aku yakin ada lagi masa tu sebab beg tangan tu aku guna buat defends aku. Lepas tu mamat tak center tu tarik aku, masa tu pun beg aku ada lagi…” Nisa mula mengimbas kembali detik-detik semalam.
“Mamat tu bawak kau pergi mana?”
“Aku pun tak tahu, yang aku tahu kat tempat tu tak ada orang pun. Sunyi je… kemudian kami bergaduh. Aku pukul dia sebab aku sakit hati. Masa tu beg tangan aku ada lagi kalau tak silap aku.” Nisa mencerita lagi.
Lama Nisa diam… kepalanya tengah mengingati sesuatu. Dia bergaduh dengan mamat tu, dia lari balik rumah naik teksi.
Teksi semalam…
“YaALLAH!” tiba-tiba Nisa menjerit.
“Apa-apa? Kenapa? Dia ada buat benda yang tak senonoh ke dekat kau?” Fatehah tiba-tiba menjerit panik. Matanya membulat memandang Nisa. Manalah tahu kut-kut Nisa baru teringat balik kalau-kalau mamat tu ada buat benda jahat dekat dia.
“Teksi semalam aku lupa bayar tambang dia. Kesiannya pak cik tu…” keluhan kecil terlepas dari mulut Nisa. Semalam dia terlampau melayan perasaan sampaikan terlupa membayar tambang teksi tu.
“Hurmm...  semalam lagi aku dah tolong bayarkan. Ingatkan apalah kau ni. Jerit tiba-tiba. Suspen je.” Fatehah membebel. Nampak sangat semalam Nisa otak tengah tak betul, dia yang suruh Fatehah bayar tambang teksi semalam, dia yang lupa.
Tiba-tiba Fatehah memetik jarinya.
“Ha! Semalam masa kau masuk rumah aku tak nampak pun kau pegang apa-apa. Beg tangan kau tak ada pun masa tu.”
“A’ahlah… semalam aku balik tanpa beg tangan aku. Maknanya…” ayat Nisa tergantung.
“Kau tinggal beg tangan kau dengan mamat tak center tu!” Fatehah melengkapkan ayat Nisa.
Dengan spontannya badan Nisa terus tersandar ke belakang. Keluhan berat dilepaskan, dia memandang Fatehah seketika sebelum mengambil kusyen di sebelahnya dan terus menekup mukanya dengan kusyen sofa itu… benci! Maknanya lepas ni bakal ada lagi pertemuannya dengan mamat tak center tu. Argh, stress, stress! Aku tak nak jumpa mamat tu lagi dah. Aku benci dia. Eii, ini yang rasa nak menangis ini. Hati Nisa menggerutu.
“Nisa kau ok ke ni?” Takut Fatehah melihat Nisa yang tiba-tiba menarik rambut dengan kedua-dua belah tangannya. Macam orang gila pun ada.
“Aku tak ok! Aku tak nak jumpa mamat tu dah.” Suara Nisa mengendur…
“Tak apa… aku temankan kau jumpa dia nanti untuk ambil beg tangan kau tu. Kalau dia berani buat apa-apa kat kau. Taulah aku nak tangan-tangankan dia macam mana.” Fatehah memberi jaminan.
“Sob, sob, sob… terharu aku… kaulah sahabat dunia akhirat aku.” Nisa terus memeluk Fatehah dan mereka berpelukan.
Tiba-tiba…
“Assalamualaikum!” Ada orang memberi salam dari luar rumah sewa mereka.
Nisa dengan Fatehah berpandangan. Jarang mereka terima tetamu… siapa pula yang datang ni?
Bala dah datang. Ini bukan Bala anak lelaki Krishnan ke apa ke... Ini bala menempah maut namanya!
            Nisa dengan Fatehah bingkas bangun dan terus mencapai tudung arini yang memang dah sedia mereka gantungkan di belakang pintu bilik bawah. Spare untuk kes-kes orang datang rumah mengejut, contohnya macam sekarang inilah. Entah siapalah tetamu tak diundang yang datang ke rumah mereka tika itu.
Tangan Nisa tangkas memegang tombol pintu dan dibukanya dari dalam.
“Waalaikummussalam…” Nisa mengangkat wajahnya mememandang wajah tetamu mereka dan serentak itu mata Nisa terus membulat! Mulutnya ternganga… jari telunjuknya tertunjuk-tunjuk ke arah tetamu mereka.
“Kau!” Nisa menjerit kuat. Riak wajah Nisa terus berubah sepenuhnya…
Fatehah yang menyusul dari belakang Nisa pelik bila mendengar Nisa menjerit kuat. Dia belum nampak lagi wajah tetamu mereka yang datang tu.
“Kau ni kenapa terjerit-jerit macam tarzan?” Fatehah merungut, dia menolak ke tepi sedikit bahu Nisa. Sebaik sahaja kepalanya berpaling memandang tetamu yang datang... mulutnya ternganga. Sama macam Nisa keadaannya, jari telunjuk terarah kepada tetamu mereka sambil matanya tak berkelip-kelip.

Ha, kan betul tu… sudah jatuh ditimpa tangga dihempap pula dengan siling rumah! bertubi-tubi. Tapi persoalannya… siapakah gerangan tetamu tak diundang mereka tu? Kenapa Nisa tiba-tiba menjerit macam kena histeria?

BAB 3 : KAU JELITA - ZANANIS ALI



BAB 3
Bak kata pepatah melayu... sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada guna lagi. Nisa setuju sangat dengan pepatah ni. Sungguhlah Nisa terasa agak menyesal sedikit sebab mengajak Fatehah pergi shopping! Macam manalah dia boleh lupa yang kawannya yang seorang ini bila bab-bab shopping boleh naik hantu? Yang sengsara hidup… dia!
Nisa mengeluh perlahan.
“Wei, sudah-sudahlah shopping. Lutut aku ni dah nak tercabut skru dah pun. Jom balik.” Nisa menarik tangan Fatehah yang tengah galak membeli-belah gaya macam tak ingat dunia.
“Kejap-kejap...” Kepala Fatehah dah terteleng tengok tanda sale 50% yang elok terpacak dekat sebelahnya. Gila ah! Blaus ni murah gila... Fatehah dah hilang kawalan, dia pula yang menarik Nisa.
“Tehah, aku syorkan bila kau nak kahwin nanti make sure bakal suami kau tu poket dia tebal setinggi gunung Everest. Kalau tinggi macam gunung Jerai kau reject jangan terima. Mati laki kau nak support kau kalau macam ni punya gaya.” Nisa memberi nasihat yang tak serupa nasihat sebenarnya tu. Tapi kalau fikirkan, logik jugalah kalau tengok gaya si Fatehah ni.
“Ok, jangankan gunung Everest. Yang tinggi macam gunung daik bercabang tiga pun aku rembat.” Fatehah buat muka serius kononnya nasihat Nisa tu memanglah boleh dipakai.
Dua-dua sama je sengalnya!
Muka serius, muka serius juga tapi baju murah depan mata tak terlepas daripada tangan Fatehah tu.
“Tehah, shopping complex ni tak runtuh lagi. Kau jangan risau... nanti kita datang lagi.” Cubaan terakhir Nisa memujuk Fatehah. Tiba-tiba rasa menyesal pula mengajak kawannya yang satu ni keluar. Tapi manalah dia tahu hari ini ada sale gila babeng punya murah macam tadi 50%! Half price tu. Manalah si Fatehah tu tak rambang mata. Jualan murah gila yang sikit lagi nak gila namanya ini.
“Ala, kau ni… kalau dah penat sangat kau tunggu aku dekat depan kedai sushi tu. Lagi sejam aku siap, aku terus pergi dekat kau.”
Mata Nisa membuntang... “Sejam! Lama tu.”
Fatehah tak pedulikan langsung omelan Nisa. Apa taknya matanya dah aim nak rembat blaus berwarna ungu muda yang berada dalam timbunan baju-baju itu tapi dalam pada masa yang sama ada seorang lagi perempuan muda ni turut nak mengambil baju yang Fatehah dah aim tu. Sepantas kilat Fatehah menyambar baju tu dan buat muka tak bersalah, kononnya dia tak perasan pun perempuan tu... baju itu dicubakan pada badannya.
Nisa menggelengkan kepalanya melihat perangai Fatehah. Masuk je bab shopping  boleh berperang mak cik seorang ni! “Ish, yalah-yalah… aku tunggu kau kat sana,” balasnya mengalah. Usai bercakap Nisa terus melangkah lemah meninggalkan Fatehah yang tengah berebut-rebut membeli barang. Tak berjaya mengheret Fatehah kembali ke pangkal jalan yakni balik ke rumah mereka. Sebaliknya dia pula yang kena ke jalan lain. Jalan kedai sushi depan tu... sigh.
Sambil menunggu Fatehah di kedai sushi itu, mata Nisa galak melilau memandang kiri kanannya. Bosan betul menunggu seorang diri disitu... tapi tiba-tiba matanya tertancap pada satu pasangan yang nampak macam tengah bertengkar.
Eh, wait memang tengah bertengkarlah! Awek tu tengah maki-maki pakwe dia sambil pukul pakwe dia dengan handbag. Nisa teruja! Bukan senang ni dapat tengok drama melayu live macam ni.
“Ni sah pakwe dia minta clash ni. Ish, ish, ish kesian awek tu. Muka cun macam tu pun kena tinggal.” Sesedap rasa Nisa mengarang skrip drama sendiri sambil menggelengkan kepalanya. Air oren di dalam gelas disedut lagi.
Makin kuat pula suara gadis itu. Adalah sikit-sikit macam orang tengah histeria. Mata Nisa masih tak lepas memandang pasangan yang sedang bertengkar tadi. Ah, bukan mata Nisa je yang melekap kat situ boleh dikatakan semua pelanggan dekat restoran tu dapat tengok free soap opera petang tu. Yalah, soap opera ni kan orang selalu kaitkan dengan dramatic scene dekat televisyen waktu petang-petang. Scene gaduh-gaduh macam ni memang scene wajib yang ada la! Lepas tu, mesti ada scene munculnya watak jahat yang ketiga... si perempuan perampas. Klimaksnya ada scene tarik-tarik rambut pula.
Nisa ketawa dengan ‘skrip’ ciptaannya sendiri tanpa tahu skrip rekaannya itu bakal jadi realiti.
“You ada perempuan lain?! How dare you cheat on me?!” Suara perempuan tu bergema lagi bagaikan halilintar.
“La, pakwe dia main kayu tiga ke? Ish, ish, kesian dekat dia…” Nisa menggelengkan kepala lagi. Air oren di dalam gelas disedutnya lagi. Best juga tengok drama sepetang live macam ni. Nisa ketawa kecil.
“I tak pernah main kayu tiga dan you kena ingat kita tak pernah bercinta pun! You yang tergila-gilakan I dan untuk pengetahuan you... I dah bertunang dengan dia.” Suara pakwe pulak yang menyapa telinga Nisa.
“Oh, pakwe dia dah bertunang dengan orang lain. Patutlah kena tinggal. Ish, ish, kesian dekat dia… muka macam artis pun kena reject.”  Nisa menggelengkan kepalanya lagi. Air oren di dalam gelas disedutnya lagi.
“Siapa dia? Siapa! Baik you cakap dekat I siapa perempuan sundal tu! Biar I  belasah dia.” Awek itu menjerit kuat.
Nisa masih lagi memerhatikan mereka.
Aisemen, kesian perempuan ketiga tu kena label sundal. Ini kalau perempuan perampas tu ada depan mata awek ni... confirm! Confirm kalu inna lillahi wa inna ilayhi raji'un digulaikannya.” Kepala Nisa tergeleng-geleng sebelum dia mengangkat pandangan memandang pasangan itu semula dan secara tak sengaja mata lelaki itu bertembung dengan mata Nisa.
Nisa terkedu.
“Eh, macam pernah tengok je pakwe dia ni? Kat mana ya?” Nisa menggaru perlahan kepalanya.
Mukanya ditundukkan semula dan disedut lagi air orennya. Otaknya ligat memikirkan di mana dia pernah jumpa lelaki itu. Tiba-tiba air oren yang disedutnya dah tak naik. Nisa memandang gelas air orennya... “La, dah habis ke?” Nisa mengangkat tinggi gelasnya. Diterbalikkan ke atas dan ke bawah berulang kali. Macamlah air oren tu boleh ada balik kalau dia buat macam tu.
“Kalau you nak tahu sangat… ni la buah hati I. Kami dah bertunang dan akan berkahwin tak lama lagi.” Spontan lengan Nisa yang sedang duduk itu ditarik sehingga dia terbangun dari tempatnya duduk.
Nisa tercengang…
Apa? Apa? Apa? Tunang? Eh, bila masa? Masa bila dia orang bergaduh sampai ke aku ni? Air oren aku! Semuanya jadi kacau bilau… Nisa gelabah.
What? You got to be kidding, right? Perempuan hodoh macam ni tunang you? Mana pergi taste hebat you, Luth? You dah buta ke ha? Atau you dah kena mandrem dengan betina ni?”
Luth?
Kawan bos! Eh, eh… mana dia tau aku mandrem mamat ni hari tu. Nisa panik. Matanya memandang Luth dan perempuan tadi bersilih ganti.
Tapi... tapi bila aku bertunang dengan mamat ni? Aku baru dua kali jumpa dia… Eh, apa ni?? Nisa bingung! Kepalanya terasa serabut.
Eh, kejap... perempuan tu cakap aku hodoh?? Kurang manis betul! Nisa sempat lagi merenung tajam kepada perempuan mulut hampagas tu.
“Melina back off...” Nada suara Luth tegang.
Oh, nama perempuan tak ada adab ni Melina. Sayang seribu kali sayang. Nama dah cantik, rupa dah lawa tapi perangai? Tak boleh pakai langsung.
Tak boleh jadi ni! Mana boleh diamkan diri sahaja biar diri kena fitnah. Nisa cepat-cepat menarik tangannya yang masih dalam genggeman erat Luth, tapi tak berjaya! Terlalu kejap pegangan lelaki itu. Nisa memandang Melina, segera dia membuka mulut hendak mempertahankan dirinya lalu dia mencelah dalam pertengkaran Luth dan makwenya. “Cik dah salah faham ni... saya dengan dia...”
“Kau diam! Dasar perempuan tak tahu malu! Dah tak ada laki lain ke kau nak rampas? Kau ingat kau tu cantik sangat? Sedarlah sikit muka kau ni layak buat lap kaki aku je.” Melina terus mematahkan kata-kata Nisa dengan cacian. Jari telunjuknya tepat menunding ke arah muka Nisa sampaikan juling mata Nisa yang ikut memandang jari yang runcing itu.
Nisa menggelengkan kepalanya perlahan membetulkan balik matanya yang juling tadi. Tetapi berkerut terus dahi Nisa mendengar kata-kata cacian Melina. Dia terdiam. Perempuan tak tahu malu? Muka layak buat lap kaki? Nisa tergamam... bibirnya kelu.
Luth perasan riak wajah Nisa dah berubah. Segera dia membela Nisa. “Jaga sikit mulut you Melina. Dia jauh lebih baik daripada you! I dah bertunang. That’s it. You jangan ganggu hidup kami lagi. Forever.”
Tanpa membuang masa Luth terus menarik lengan baju Nisa untuk keluar dari situ tetapi Melina lagi cepat bertindak! Secara drastik ditariknya tudung Nisa dengan kasar. Rentapan kasar Melina sekaligus menyebabkan badan Nisa tertarik dan terlontar ke belakang.
“Aduh...” Nisa mengaduh sakit bila tudungnya ditarik terasa seperti lehernya dicekik dan sedikit pedih bila pin di bawah tudungnya tu seperti mencucuk isi dagunya. Pedih! Di tambahkan lagi dengan perit yang dirasakan pada tulang pinggulnya yang terhentak akibat jatuh tadi.
“Perempuan sundal. Dah la muka hodoh! Ada hati nak rampas buah hati aku! Rasakan perempuan buruk… biar kau sedar siapa diri kau! Kau ingat kau lagi bagus dari aku ke ha? Kau tak kenal lagi siapa Melina!” Melina dah bertindak macam orang gila. Dipukulnya Nisa sekuat hati dengan tangan, kasut, beg tangan. Pendek kata apa-apa yang sempat dicapai yang itulah dihempuknya ke atas Nisa.
“Apa ni cik?!” Nisa bergelut untuk mempertahankan dirinya. Kedua-dua belah tangannya dijadikan penghadang untuk menghalang pukulan Melina. Sepenuh daya Nisa cuba mempertahankan dirinya daripada menjadi mangsa amukan Melina. Tapi sayangnya tak cukup... Melina betul-betul naik minyak!
“Rasakan! Hey, sedarlah sikit kau mana layak nak bertanding dengan aku. Muka macam kau ni bersepah kat tepi jalanlah perempuan! Kau ingat kau siapa nak rampas Luth daripada aku? Kalau kau miskin sangat, pergi tandas awam tengok cermin dekat sana!” Melina betul-betul sudah hilang akal, hilang pertimbangan. Mulutnya laju memaki Nisa tapi tak boleh lawan tangannya yang masih belum berhenti menghempuk Nisa.
Orang ramai yang berkerumum menyaksikan pergaduhan mereka mula berbisik sesama sendiri. Masing-masing membuat telahan sendiri. Mungkin ada yang label Nisa sebagai watak jahat. Mungkin juga ada yang kesiankan Nisa. Tapi kalau tengok pada keadaan mereka sekarang pasti Nisalah yang dipersalahkan. Dia perampas! Ya, dialah watak ketiga perampas yang dia cipta tadi.
Sakit badan akibat pukulan Melina memang terasa sampai ke tulang. Tapi rasa sakit dihina Melina lagi perit terasa sampai ke dasar hati! Sehabis daya Nisa menahan hatinya daripada menangis apabila dihina di hadapan orang ramai.
Dia tak bersalah!
Luth terus menarik Melina daripada dekat dengan Nisa sekuat hatinya. Betullah orang cakap. Perempuan bila bergaduh tenaga yang mereka ada memang luar biasa! Kuat semacam. Berkerut dahi Luth ketika cuba menarik Melina daripada mengamuk pada Nisa.
“You jangan sentuh dia!” Ditolak jauh Melina sehingga jatuh terduduk apabila Melina masih lagi cuba untuk mendekati Nisa.
“Sampai hati you tolak I, Luth.” Kali ni Melina pula bersuara lirih. Dia menangis! Ala, menangis yang dibuat-buat. Huh, nampak sangat! Bukannya Luth tak tahu yang Melina ni drama sahaja yang lebih.
Nisa pula?
Empangan air matanya dah tak mampu ditanggung. Menitik juga air matanya. Nisa menangis… malu tu Tuhan sahaja yang tahu. Tudungnya sudah tercabut dek direntap Melina tadi dan sekarang mahkotanya dah dipertontonkan di khalayak ramai. Terasa maruahnya betul-betul diinjak ketika itu.
Tiba-tiba ada sesuatu menutupi rambutnya yang terdedah. Luth menutup kepalanya dengan jaket kulitnya. Ditariknya lengan Nisa meninggalkan tempat yang sudah dikerumuni orang ramai dan Melina yang tengah menangis sambil terduduk tu. Menangis yang sungguh-sungguh sampai habis luntur maskaranya... tapi Luth tak peduli. Nisa lebih utama sekarang.
Fatehah yang daripada tadi gila membeli-belah mula terasa pelik, melihat orang ramai berkerumun di hadapan kedai sushi yang dia janji untuk berjumpa dengan Nisa tadi. Bila dia mendekat barulah dia nampak drama melayu yang baru terjadi tadi dan yang paling mengejutkannya adalah Nisa pun turut terlibat! Apa kes ni?
“Nisa!!” Suara Fatehah menjerit dari jauh.
Nisa dengar panggilan Fatehah tapi tangan Luth lebih cekap bertindak mencengkam lengannya memaksa dia untuk mengikuti langkah lelaki itu. Otaknya dah tak mampu nak proses apa-apa maklumat ketika itu. Hati tengah sedih sekarang, ingat dia boleh melambai-lambai lagi ke dekat Fatehah? Memang tak la!
Fatehah dah cuak... tapi bila dia tenung lama muka lelaki yang mengheret Nisa tu baru dia perasan. “Eh, tu bukan mamat yang aku jumpa dekat bus stop teman Nisa hari tu ke? Mana dia nak angkut Nisa ni? Ha, sudah...” hati Fatehah mula dipagut rasa risau.


Kereta Luth berhenti di suatu tempat yang sangat asing bagi Nisa, yang pasti tiada sesiapa pun di tempat itu melainkan mereka berdua sahaja. Dari mula mereka menaiki kereta Luth sampailah sekarang sepatah kata pun tak terlahir dari bibir Luth mahupun Nisa… yang kedengaran cumalah sendu tangis Nisa.
“Awak ok Nisa?”
Nisa mencebik. Dia ingat lagi rupanya nama aku. Pastinya Waqif, bos Nisa yang memberitahu lelaki ini namanya.
“Encik rasa lepas apa yang dah terjadi, saya ok lagi ke?” Nisa memandang sekilas ke arah Luth. Matanya sembap dek kerana menangis tadi… merah saga matanya kerana menangis terlampau banyak tadi.
“Err…” Luth menggaru kepala. Betul jugak , soalan tak relevan langsung yang dia tanya pada Nisa. Kalau dia ok takkanlah dia menangis!
“Apa salah saya dengan encik?” Soalan tak bernada itu dilemparkan pada Luth sambil pandangannya masih setia memandang Luth. Menagih jawapan yang pasti, jawapan yang kukuh atas semua yang telah terjadi sebentar tadi. Kenapa perlu maruahnya diinjak seteruk tadi? Sedangkan dia langsung tak bersalah! Dia tak kenal pun lelaki di hadapannya ini! Hati Nisa memberontak dalam diam.
Luth terdiam... lama.
Mungkin sedang memikirkan jawapan terbaik buat soalan Nisa. Selepas beberapa ketika baru Luth menjawab. “Awak tak ada salah apa pun dengan saya. Saya minta maaf, saya yang salah.”
“Habis tu, kalau saya tak ada salah dengan encik kenapa encik libatkan saya dalam masalah encik?!” suara Nisa meninggi.
Luth melontarkan pandangannya keluar tingkap kereta. Tak sanggup rasanya nak membalas pandangan redup mata Nisa ketika itu... rasa bersalah bertubi-tubi menerpanya. Dia tak sengaja nak libatkan Nisa. Sebetulnya Luth cuma nak jauhkan diri daripada Melina yang suka betul mengganggu hidupnya, merayu padanya supaya mereka menjadi kasih. Melina cakap dia dah jatuh hati pada Luth tapi bila Luth tak layannya dia membentak, saban hari diganggu gadis yang tak faham bahasa itu buatkan Luth rasa rimas.
Petang tu bukannya dia ada temujanji dengan Melina sevara kebetulan sahaja mereka terserempak di situ dan Luth yang sudah dah tak tahan dengan gangguan Melina mula mereka alasan supaya gadis itu akan menjauhkan diri daripadanya. Bila tadi dia nampak Nisa spontan dia mengaku yang Nisa tu tunangnya! Dia harap Melina boleh terima apa yang dia cakap tu dan berhenti menggangu dia. Tapi ternyata telahannya silap sebaliknya Nisa pula yang jadi mangsa amukan Melina.
 “Saya… saya minta maaf.” Luth bersuara perlahan.
“Senang je kan encik cakap? Dah buat salah… lepas tu minta maaf. Senang kan?” Nisa tergelak sinis sebelum tiba-tiba dia menghentak dashboard.
“Maaf encik tak berharga langsung sekarang! Tak ada nilai!” Nisa menjerit. Geram hatinya. Geram sangat. Geram yang tak boleh disukat.
“Aku benci kau! Aku benci kau!” Kini Nisa pula yang mengamuk dengan Luth. Kalau tadi Melina yang mengamuk bagai tersampuk dek histeria kali ni giliran Nisa pula. Dipukulnya bertubi-tubi badan Luth dengan kedua-dua belah tangannya sambil menangis.
Luth hanya membiarkan sahaja tubuhnya dihentam Nisa. Memang salah dia. Dia akur dengan pukulan Nisa. Dia sedar sakit yang dia rasa sekarang tak sesakit apa yang Nisa rasakan. Lama Luth biarkan Nisa melepaskan geramnya kepada dirinya. Akhirnya Nisa berhenti daripada memukul Luth setelah rasa tenaganya mula berkurangan. Badannya letih hari ni! Letih sangat-sangat… dia tak pernah nak jangka semua tu akan berlaku dalam hidupnya. Tak pernah nak jangka yang skrip rekaan tu menjadi realti dan dialah watak ketiga, perempuan perampas!
Sungguh dia tak pernah bayangkan dirinya terlibat dengan masalah yang rumit ini. Baru petang tadi dia dan Fatehah keluar membeli-belah dan dia melihat satu pasangan yang bertengkar di kedai makan tanpa dia sedar dia bakal terlibat sama dalam pergaduhan tu. Percaturan apa yang cuba Tuhan tunjukkan padanya? Nisa bingung.
Beberapa ketika kemudian Luth nampak kemarahan Nisa mulai reda, dia nampak lebih tenang sedikit berbanding tadi cuma wajahnya masih menunduk dan beriak sedih tapi entah kenapa wajah sedih Nisa menarik simpati Luth.
Melihat keadaan Nisa, Luth kehilangan kosa kata. Takut kalau-kalau dia buka mulut, dia tersilap kata lagi. Jadi lebih baik dia diamkan diri dan biarkan Nisa bertenang terlebih dahulu. Lalu sepi lagi ruang diantara mereka tapi tiba-tiba Nisa bertindak cuba membuka pintu kereta Luth.
Luth nampak, dia segera menarik tangan Nisa.
“Awak nak ke mana Nisa?”
“Lepaskan aku, aku nak balik.” Keras suara Nisa. Tiada lagi Nisa yang lemah lembut. Tiada lagi encik dan saya. Panggilan dah bertukar… hanya kau dan aku kini. Tandanya Nisa benar-benar tak dapat maafkan Luth tika itu.
“Saya hantarkan.”
“Tak payah! Dah cukup kau rosakkan hidup aku hari ni. Tak payah kau nak buat baik dengan aku.” Nisa bersuara kasar. Siapa pun Luth sebelum ini, dah tak ada apa-apa makna pada Nisa. Sekalipun Luth adalah sahabat bosnya waima anak raja berdaulat mana sekalipun dia dah tak peduli… dia dah hilang rasa hormat pada Luth. Bukan salah Nisa kalau dia bercakap dalam nada lebih kurang sebabnya Luth yang mencari pasal dulu!
“Nisa. Please… I’m sorry.” Luth merayu.
“Pergi matilah dengan sorry kau tu! Jangan berani tunjuk muka kau depan aku lagi. Aku benci!” Tangan Luth ditepis dengan kasarnya.
Nisa yang nekad mahu keluar dari kereta terus dibuka pintu kereta itu dan keluar. Tapi sebaik sahaja kaki Nisa melangkah keluar dari kereta tu tiba-tiba dia sedar sesuatu, kepalanya terasa sejuk ditiup angin.
“YaALLAH tudung aku!”
Rasa bersalah menerpa-nerpa dalam diri Nisa kerana membiarkan auratnya terdedah. Tangannya memegang kepalanya yang tak berkerudung itu. Baru Nisa perasan yang daripada masa dia bergaduh dengan perempuan gila tu lagi tudungnya dah tercabut. Menangis lagi Nisa...
Nisa teringatkan kata-kata abahnya. “Seorang wanita yang tak menutup auratnya ketika keluar dari rumah akan menarik empat golongan lelaki bersama-samanya memasuki neraka. Ayah, suami, saudara lelaki dan anak lelakinya. Nisa sayangkan abah kan? Jadi lepas ni Nisa kena janji dengan abah jangan sesekali Nisa tak tutup aurat ketika di luar rumah. Boleh sayang?”
“Ok, Nisa janji!” Nisa tersenyum manja. Jari kelingking Nisa dan jari kelingking abahnya bersatu. Mereka membuat perjanjian tu ketika Nisa baru berumur sembilan tahun dan kini Nisa telah memungkiri janji itu. Tetapi bukan salahnya!
“Abah…”
Auratnya terdedah…
“Nisa...”
Suara Luth kedengaran lembut menyeru namanya.
“Nah… tutuplah kepala awak. Ini saja yang ada dalam kereta saya.” Luth meghulurkan sehelai selendang kepada Nisa. Selendang milik umminya yang tertinggal ketika dia menghantar umminya ke lapangan terbang KLIA. Ada hikmah rupanya selendang ummi tertinggal dalam keretanya. Padahal sebelum ini Luth berleter panjang apabila umminya tertinggal selendang itu. Kini Luth bersyukur sangat selendang itu tertinggal dalam keretanya. Ada hikmahnya…
Ego mahu Nisa menolak selendang huluran Luth tapi hati Nisa tegas menyuruh Nisa menyambut huluran itu. Nisa, aurat kau lebih penting dari ego! Dalam keterpaksaan Nisa menyambutnya. Dibelit ala kadar selendang itu di sekeliling kepalanya. Nisa langsung tak mengucapkan terima kasih kepada Luth sebaliknya jelingan tajam yang dihadiahkan kepada lelaki tu. Nisa tekad manusia bernama Luth tak akan diberi muka lagi!
Luth terpana dengan jelingan Nisa. Wajah Nisa nampak lain ketika itu, hidungnya merah, matanya kuyu penuh kesedihan tapi tampak memikat pada mata Luth. Bahkan, jelingan maut Nisa seolah-olah menusuk terus ke hatinya. Jantungnya berdegup kencang.
Cepat-cepat Luth menyedarkan dirinya...
“Saya hantar awak pulang.” Luth menawar dirinya lagi sekali untuk membantu Nisa. dia yang pandai-pandai bawa Nisa ke sini. Sepatutnya dia juga yang menghantar Nisa pulang.
Nisa berdiri bertentang mata dengan Luth.
“Tak payah.” Lantas dia berlalu meninggalkan Luth.
Kebetulan sebuah teksi lalu berhampiran mereka. Nisa tanpa memikir dua kali terus menahan teksi tersebut. Dalam fikirannya sekarang cuma ada satu benda iaitu dia tak mahu melihat lagi muka Luth! Sakit hatinya dek perbuatan Luth masih terasa lagi. Tanpa membuang masa dinaikinya teksi itu dan ditinggalkan Luth seorang diri di tempat asing tempat mereka bertengkar tadi.
Luth hanya mampu memerhatikan sahaja Nisa yang meninggalkan dirinya. Ada rasa sedih bertamu di hati. Tapi kenapa pula nak rasa sedih? Luth sendiri tak mengerti. Mungkin bukan rasa sedih tapi rasa bersalah agaknya. Hurmm, entahlah...
Dia terus menghidupkan enjin keretanya. Ketika hendak menukar gear kereta mata Luth tertancap kepada sesuatu di tempat penumpang sebelahnya. Eh?
“Beg tangan...” Nisa tertinggal begnya. Luth mengukir senyuman kecil.
Sorry Nisa… saya terpaksa muncul depan awak lagi lepas ni.” Tiba-tiba hatinya berbunga riang pula lepas memikirkan dia akan berjumpa lagi dengan Nisa. Beg tangan Nisa harus dipulangkan… dan untuk memulangkan beg tangan ini dia mesti berjumpa dengan Nisa. Tiada cara lain lagi.

Bibirnya membentuk satu senyuman.

Bab 2 : KAU JELITA - ZANANIS ALI




Sebaik sahaja habis waktu kerja, Nisa terus keluar dari pejabatnya. Dah tak sanggup nak selisih dengan bosnya yang hensem dan mamat yang telah dia ‘mandremkan’ tadi. Memanglah esok-esok pun Nisa nak kena hadap juga muka bos dia yang hensem tu. Tapi untuk hari ni cukuplah. Nisa memang dah tak sanggup... malu gila buat perangai tak senonoh macam tu depan orang ramai.
            Sungguh, muka Nisa masa tu kalau boleh diukur, dah tebal sekati gamaknya malu dia. Sudahlah air kopi bancuhan tersasar sasaran, boleh pula dia praktik lontoran vokal di depan bos dengan tetamunya itu! Heh, memalukan keturunan betul Nisa ni.
            “Lain kali taubat tak buat kerja macam ni...” Nisa membebel pada dirinya sendiri sambil langkahnya yang diatur menuju ke perhentian diteruskan. Adat orang tak ada lesen kereta memang macam inilah. Datang dan balik bus stop tu la tempat yang pertama dia jejak. Tapi belum kakinya melangkah ke bus stop dia ternampak sesuatu yang menarik perhatiannya.  Seorang budak kecil yang sedang menjual tisu dalam bekas kecil. Tapi bukan itu yang menarik perhatian Nisa sebalik keadaan budak itu yang jadi perhatiannya.
            Entah kuasa apa yang meminta Nisa mendekati kanak-kanak perempuan itu. Perlahan-lahan langkah kakinya diaturkan menuju ke sana pula.
            “Akak beli tisu?” Polos kanak-kanak itu menyoalnya.
Nisa tersenyum. “Berapa harganya?”
“30 sen je kak.”
Nisa mengangguk kepalanya. Dia hendak mengeluarkan dompetnya dari beg tangan tetapi seketika kemudian terhenti sekejap. Sambil tersenyum Nisa kembali memandang gadis cilik di hadapannya itu.
“Ada berapa bungkus semua tisu adik ni?” soalnya.
“20 bungkus je kak. Kenapa ya?” Budak perempuan itu membetulkan tongkatnya. Untuk lebih selesa mungkin. Tak seperti orang lain yang normal kakinya yang sebelah kiri terjengket sedikit menampung berat badannya disebabkan kakinya yang sebelah lagi pendek.
“Kalau macam tu akak beli semua ya. Nah...” Not RM50 ringgit dihulurkan kepada budak itu tanpa ragu-ragu.
Sedikit terkejut dengan jumlah pemberian Nisa, dia merenung anak mata Nisa. “Eh, akak biar betul? Kalau ya pun, saya tak ada baki nak pulangkan pada akak.” Naif sungguh riak budak perempuan tu menjawab. Jujur.
“Tak apa... baki simpan buat belanja sekolah.” Nisa masih dengan senyumannya. Ikhlas.
Budak perempuan tu tersenyum gembira. Tangannya menyambut huluran Nisa sambil mengucapkan kata terima kasih. “Nama akak siapa?” tiba-tiba dia menyoal Nisa.
Nisa senyum segaris. “Nisa.”
“Kak Nisa jom ikut saya...” pintanya secara tiba-tiba.
Nisa terperanjat dengan ajakan yang tiba-tiba daripada budak perempuan itu. “Eh, nak ke mana?”
“Serba salah saya rasa, akak bayar sampai lima puluh ringgit tapi dapat tisu biasa-biasa ni je. Saya nak bagi benda lain dekat akak. Jomlah. Kita jumpa mak saya. Tak jauh kak, depan tu je.”
Berkerut seketika dahinya mendengar jawapan itu tapi bila Nisa fikirkan balik, apa salahnya kalau jumpa mak budak ni kan? Dia tak rugi apa pun. Lagipun tak ada apa yang nak dikejarkan. Akhirnya, Nisa membuat keputusan untuk turutkan sahaja kemahuan kanak-kanak itu. Perlahan-lahan dia mengikuti langkah budak perempuan tu yang terjengket-jengket. Simpati Nisa dengan keadaaannya, perlahan sahaja setiap pergerakannya. Sambil berjalan mereka berbual-bual. Waktu itu barulah Nisa tahu nama budak perempuan ni Shifa, baru darjah lima. Anak yatim, dia cuma ada ibu. Setiap kali pulang sekolah dia akan tolong ibunya menjual kerepek tak pun tisu macam sekarang yang dia tengah lakukan.
Budak sekecil ini pun sudah diajar berdikari menolong keluarga. Betullah orang cakap, kita kalau rasa diri kita banyak kekurangan... hidup serba tak sempurna. Kita kena tengok orang lain. Masih ada lagi orang yang jauh lebih susah hidupnya daripada kita. Jangan bandingkan hidup kita dengan yang lebih baik sebab itu akan buat kita rasa tak bersyukur sebaliknya bandingkan dengan mereka yang serba kekurangan kerana kita akan sedar yang sebenarnya nikmat yang kita ada jauh lebih berganda banyak daripada mereka. Dalam diam Nisa bersyukur, walaupun keluarganya bukanlah asal dari orang yang berada tapi abah mampu sediakan semuanya untuk dia. Tak kurang apa pun. Alhamdulillah.


Bibir Nisa masih lagi dihiasi dengan senyuman. Seronok juga berbual dengan ibu Shifa tadi... macam-macam yang disembangkan seolah-olah sudah lama mereka saling mengenali. Nisa memandang pula kiri kanan tangannya bersilih ganti, sarat dengan dua bungkus plastik yang penuh dengan kerepek! Sekali tengok memang macam mak cik indon jual kerepek keadaan Nisa masa tu. Tapi apa ada kisah? Rezeki orang nak bagi, jangan ditolak. Kan?
            Asyik Nisa merenung kerepek-kerepek yang berplastik banyaknya, tiba-tiba bas yang dia tunggu datang. Kelam-kabut Nisa bangun dari duduknya lalu beratur seperti penumpang lain juga. Sebaik saja tiba giliran Nisa untuk membayar tambang, dengan penuh susah payah Nisa mengeluarkan dompetnya dari beg tangannya untuk mengambil duit.
Tapi...
Nisa terdiam...
Matanya terpaku memandang ke dalam isi dompetnya.
Perlahan-lahan dia mengalih matanya memandang pak cik konduktor bas dan pak cik tu pun turut memandangnya kembali.
Nisa tarik sengih panjang.
“Puan ni kenapa? Nak bayar ke tidak ni? Orang lain ramai lagi nak naik bas bukan puan seorang je.”
Pergh! Menusuk kalbu ayat pak cik bas ni. Nisa menelan air liurnya. Amboi, garang pula pak cik konduktor bas ni. Dah la tak hensem! Eh, sempat lagi Nisa ni mengutuk pak cik konduktor bas yang boroi tu.
“Er, pak cik... saya bayar tambang bas guna kerepek ni boleh?” Nisa sengih lagi panjang. Tangannya yang penuh dengan kerepek ditunjuk pada pak cik konduktor bas yang garang itu. Ingat dia sengih panjang-panjang cecah lantai pak cik bas tu mulia hati la nak bagi naik bas bayar tambang guna kerepek? Heh.
Wassalam.
“Turun!” Pak cik konduktor bas itu menghalau Nisa.
Semua penumpang bas ketika itu memandang Nisa. Ada yang berbisik-bisik sesama sendiri. Mesti mereka ingat Nisa ni baru sampai dari kampung mana entah. Bak kata pepatah melayu macam rusa masuk kampung! Aisemen, malu...
Malu untuk kali keduanya hari ni!
Dengan sebalnya Nisa turun dari bas tadi dan sebaik sahaja Nisa kakinya cecah jalan tar, laju sahaja drebar bas tadi menekan minyak... berkepul-kepul asap hitam keluar daripada ekzos bas tu.
Heh, banyak betul karbon dioksida dilepaskan, penyumbang pencemaran udara betul! Tapi tak boleh lawan lagi asap yang dah berkepul-kepul keluar dari telinga Nisa masa tu. Bengang dengan sikap biadap pak cik konduktor bas tadi.
“Kalau ya pun, tak boleh ke cakap baik-baik dengan aku. Cik tak boleh naik, tak ada lagi sistem bas dekat dunia ni bayar tambang guna kerepek. Sila turun ya cik.” Nisa cuba mengajuk cara pak cik bas tu cakap.
“Ni tak! Dihalaunya aku macam kucing kurap. Hish, dah la garang... tak hensem pulak tu! Siap panggil aku puan lagi. Apa nampak macam mak anak tiga ke aku ni? Hah!” Nisa masih tak puas hati... ringan mulutnya membebel-bebel.
Penat berdiri, Nisa kembali duduk semula di kerusi tempat menunggu bas tadi. Nisa mengeluh perlahan. Sungguh dia tak perasan duit RM50 yang dia beri pada Shifa tadi adalah duit terakhir yang dia ada di dalam dompet. Baru dia ingat, RM50 tadi tu dia nak pecahkan untuk buat tambang tapi belum sempat dia ke kedai dia ternampak Shifa tadi dan sekarang ini jangankan nak panggil teksi, nak naik bas pun kena halau!
Nisa menggaru kepalanya yang ditutupi tudung, “Dah nak masuk maghrib... macam mana nak balik ni?” soalnya perlahan, cukup untuk dirinya sendiri dengar sambil matanya tak lepas memandang jalan raya. Kalau-kalau ada pak cik teksi yang baik hati sudi tumpangkan dia balik.
Tiba-tiba Nisa teringatkan sesuatu. “Fatehah!” ligat tangannya mencari telefon bimbitnya di dalam tas tangan. Bibir yang tadi tersenyum lega, kononnya dapat balik sekarang dah termati sebaik sahaja memandang skrin telefonnya. Kini riak bahagia tadi bertukar dengan riak tak-percaya-nak-menangis-berguling-guling-atas-lantai!
Ya allah... it can't possibly be any worse than this.” Nisa memandang ke langit yang suram.
Memang tuhan dengar agaknya doa Nisa. Spontan bunyi kilat dan hujan turun renyai-renyai...
Great... just great.
Dia merenung lantai di hadapannya a.k.a merenung nasibnya tadi. Tak pernah-pernah seumur hidup kena halau turun dari bas macam tadi. Nak sedapkan lagi drama sebabak dia, di dalam dompet langsung tak ada duit waima sepuluh sen pun! Kemudian battery phone kong (habis). Lepas itu boleh pula nak hujan! Haila, memang dah macam cerita hindustan.
Tapi Nisa tak menyesal pun sedekah duit terakhir dia pada Shifa tadi. Dia yakin dengan janji Allah... kita buat baik, kita dapat balasan baik. Allah cuma nak uji, sama ada dia ikhlas ke tidak sedekah duit tu tadi. Nisa mengangguk...
“Tak apa Nisa... small matter, chill. Tarik nafas... lepas...” Nisa dah macam gaya orang nak buat Tai chi. Tarik... lepas... tarik...
“Tak pernah lagi saya nampak orang buat Tai Chi waktu hujan.”
Tak sempat nak dilepas...
Erk?
Tangan yang tergawang separas dada sambil mulut muncung katik terhenti. Mata Nisa yang terpejam dicelikkan sedikit sebelah kiri dan dikerling ke sebelah kirinya.
Eh, ada manusia lain rupanya dekat sini. Lelaki pula tu! Oh, jatuh saham. Malu buat kali ketiga untuk hari ni. Cepat-cepat Nisa turunkan tangannya. Dia berdehem beberapa kali. Terkaku dia di situ... tak tahu nak bereaksi macam mana.
Lama Nisa diamkan diri sebelum cuba curi-curi pandang ke arah lelaki itu. Sebaik sahaja wajah lelaki itu jelas pada pandangannya... mulut Nisa ternganga!
OMG! Oh Mak Guard... Nisa terus berpaling membelakangkan lelaki tadi. Dahinya ditepuk berkali-kali.
“Apa kau dah buat ni, Nisa?” Nisa memarahi dirinya sendiri. Dikawal suaranya sedaya upaya supaya perlahan.
Need my help?” Lelaki tadi senyum kepada Nisa, dia yang tadi duduk di sebelah Nisa kini dah tercongok di hadapan Nisa.
Nisa mengangkat kepalanya perlahan-lahan memandang tuan punya badan. Luth, kawan bosnya a.k.a mamat yang dah minum kopi ‘mandremnya’ tadi. Heh. Kenapa tiba-tiba dunia terasa jadi malap ni? Earth hour lambat lagi kan?
“Saya rasa awak ada masalah nak balik ni,” tutur Luth lembut sahaja nadanya.
Nisa menelan air liurnya. Kesat!
“Saya ada tiga pilihan untuk awak. Satu, pinjam dulu duit saya. Dua, pinjam telefon saya and call your friend atau yang ketiga, saya hantar awak balik.”
Eh, boleh pula dia bagi pilihan masa macam ni. Ingat game pilih dan menang ke apa? Tapi Nisa tak beranilah nak cakap kuat-kuat. Nisa dah memandang ke arah lain. Ya allah, kenapalah dalam banyak-banyak manusia dekat kawasan ni kenapa mesti mamat ni yang ada dekat sini? Kenapa bukan ane yang kerja dekat kedai mamak tu? Kenapa?! Hati Nisa dah menjerit.
            “Cik, yang mana satu?”
            “Err... tumpang tanya.” Soalan Luth tak dijawab tapi dia pula yang nak menyoal. Elok sangatlah tu.
Luth tak kata apa-apa tapi riak wajah seolah-olah berkata. Shoot, tanyalah.
“Dah lama ke encik ada kat sini?”
Luth ketawa. “Lama tu kalau ikut definisi awak dari mula saya nampak awak bayar duit RM50 dekat budak perempuan tadi, kemudian tangan awak penuh dengan kerepek-kerepek ni... awak kena halau turun dari bas. Awak buat tai chi dalam hujan and last but not least... awak kutuk pak cik konduktor bas tu tak hensem. I guess the answer is yes... lama dah la saya dekat sini tapi awak tak perasan.” Selamba Luth menjawab kronologi hari malang Nisa hari ini.
Great. Malu yang kali ke lapan puluh lapan kali untuk hari ni!
Nisa dah menunduk cecah lantai. Malu Nisa masa tu dah tak payah timbang pakai kati, sekarang dah cecah bawah paras negatif! Silap hari bulan mesin penimbang tu pun boleh pecah dibuatnya. Satu keluhan kecil dilepaskan tapi bagus juga dia tahu daripada A sampai Z. Tak payahlah dia nak berpura-pura wallet dia kena curi ke, bas tadi orang ramai la sampai dia tak boleh naik ke, drebar bas tadi asyik usya dia sampai rasa menyampah nak naik bas ke, tak pun bas tu terlebih muatan ke. Senang kerja, Luth dah tahu semuanya.
So?
Hurmm...
“Nombor dua... pinjam telefon.”
Luth ketawa lagi. Main aci redah aje awek depan dia ni.
Apa nama dia tadi?
Ha, Nisa...


Fatehah merenung Nisa dalam jarak enam inci jauhnya... tapi makin lama makin dekat. Hidungnya hampir bertemu dengan pipi Nisa.
“Dah kenapa dengan kau ni? Buang tebiat?” Nisa menolak muka Fatehah jauh darinya.
            “Aku ke kau yang buang tebiat?” soal Fatehah semula.
            Eh, eh... kita tanya dia, dia tanya kita balik. “Apa?”
            “Siapa mamat tadi yang muka macam Baim Wong tu?”
            Nisa mencebik. Datang sudah hantu Baim Wong dia. “Ah, kau ni semua lelaki kau cakap muka macam Baim Wong. Anak Maniam yang jual roti pagi-pagi tu pun kau cakap macam Baim Wong. Padahal dah sah-sah warna sikit punya kontra. Seorang cerah, seorang macam bulan mengambang.”
            Pap! Paha Nisa dah jadi mangsa. Nisa mengaduh.
“Kurang asam... kau kutuk kekasih hati aku. Aku tak peduli... jawab siapa mamat yang tunggu dekat bus stop dengan kau? Kenapa kau guna telefon dia? Telefon kau mana? Kenapa kau tak naik bas ke teksi tadi balik? Ha, jawab-jawab.”
            Mak buntal ni... memanglah macam stereo bergerak.
“Kan aku dah cakap dekat kau tadi. Aku tak ada duit. Aku kena halau bas. Battery phone aku habis dan mamat tu tadi kawan bos aku. Ok? Kali kesepuluh dah ni aku cakap. Kalau kau tak faham juga... aku tak tahu nak cakap tahap fahaman bahasa melayu kau ni macam mana.”
Mata Fatehah menjuling ke atas. “Kawan bos kau, apahal dia teman kau?” nampak sangat Fatehah tak puas hati dengan jawapan Nisa.
“Dah dia nak tunggu situ takkan aku nak halau? Situ tempat awam bukan rumah aku.” Nisa dah naik angin. Tapi sungguhlah logik juga pertanyaan Fatehah. Yang berkawan tu dengan bosnya... yang Nisa ni apahal pula?
Lepas Nisa pinjam telefon bimbit Luth, Nisa ingatkan mamat tu akan balik terus. Rupa-rupanya tak... dia teman Nisa sampai Fatehah sampai. Penat Nisa yakinkan Luth yang dia ok kalau kena tunggu sorang-sorang dekat situ tapi lelaki itu tetap berkeras mahu tunggu Nisa. Katanya...
Bahaya perempuan tunggu seorang diri kat sini. Lagipun dah nak maghrib... kalau ada lelaki selamat la sikit.
Gentlemen? Gila tak.... ahaks. Terharu kejap Nisa dengar ayat mamat tu. Agaknya effect minum air kopi ‘mandrem’ Nisa tadi kut. Cepat betul tindak balasnya. Nisa dah tersengih-sengih seorang diri.
“Hoi, mengelamun kau!” Spontan paha Nisa ditampar kuat lagi sekali. Pedih. Main kasar Fatehah ni... ini mengundang nestapa ni.
“Kau... kau...” Mata Nisa kecil besar je tengok Fatehah.
“Arghh... cancel nak ajak kau pergi shopping esok!”
Shopping? Ada sale ke?” muka Fatehah bertukar bercahaya. Mata bersinar-sinar sebut perkataan sale. Dia terlupa dengan semua persoalan pasal mamat yang muka macam Baim Wong tu.
“Hurmm...”
Cayalah... sayang kau.” Pipi Nisa jadi mangsa Fatehah, diciumnya kiri kanan sebelum dia berlari-lari anak naik ke biliknya sambil menyanyi lagu apa entah tapi yang penting bunyi sumbang pada telinga Nisa. Dengar perkataan sale tu macam bunyi rahmat turun dari langit sahaja gaya Fatehah ni. Entah apa-apa... tiga suku.
“Tengok tu... dengar sale je terus jadi macam tu.” Kepalanya tergeleng-geleng.