BAB
4
Fatehah mundar-mandir
di ruang tamu rumah sewa mereka. Risau sungguh hatinya bila mana jam dah
mencecah pukul sepuluh malam tapi batang hidung Nisa masih tak muncul di rumah.
Jangankan batang hidung, bayang Nisa pun dia belum nampak lagi! Nisa masih
belum pulang.
“Mana
Nisa ni? Ke manalah mamat tu heret Nisa pergi? Ya Allah selamatkanlah kawan aku
yang seorang ni…” Fatehah tak henti-henti berdoa, dalam hatinya berdoa
sangat-sangat di jauhkan perkara yang tidak di ingini berlaku kepada Nisa.
Petang tadi masa Luth menarik tangan Nisa pun dia sudah merasa tidak sedap
hati. Entah ke mana diangkutnya kawannya yang seorang itu. Dia risau
kalau-kalau sesuatu buruk terjadi. Terselit rasa menyesal kerana tak mengekori
Nisa dengan lelaki asing itu petang tadi.
Nisa
tu luaran sahaja nampak kuat tetapi sebenarnya hati Nisa sangat rapuh. Mudah
tersentuh, mudah terasa! Itu yang Fatehah risaukan… takut hati rakannya
terluka.
Tanpa
dia sedar itulah yang sebenarnya telah terjadi. Hati Nisa cukup terluka bila
dia dihina oleh Melina petang tadi.
Tiba-tiba
pintu gril rumah mereka dibuka oleh seseorang dan wajah suram Nisa muncul.
Fatehah mengucap syukur apabila melihat wajah sahabatnya itu. Nisa dah balik…
hatinya berbisik.
“Nisa…”
Fatehah menyeru lembut nama sahabatnya.
Wajah
mendung Nisa jelas menunjukkan apa yang hatinya rasa ketika itu. Sedih! Nisa
tak menyahut langsung teguran Fatehah. Sebaliknya kakinya terus diatur memanjat
tangga rumah dan menuju ke bilik tidurnya di tingkat dua. Sepatah kata tak
terkeluar dari bibir Nisa.
“Ada
benda yang tak elok ke jadi?” Lebih kepada menyoal dirinya sendiri. Fatehah
bertambah risau lalu dia turut membuntuti Nisa memasuki ke biliknya.
Nisa
duduk di birai katil. Lama dia merenung lantai biliknya dengan pandangan
kosong. Mula-mula Nisa cuma diam tak berkata apa-apa tapi kemudian tiba-tiba
saja dia mula menangis dan menangis lagi. Kejadian petang tadi bermain-main
dimindanya, kata-kata hinaan yang dilemparkan oleh perempuan tadi yang Luth
panggil Melina itu seolah-olah sebuah filem yang diulang tayang banyak kali!
Nisa
memegang kepalanya dengan kedua belah tangannya. Malu! Marah! Sakit hati! Semua
bercampur baur. Apa hak perempuan tu nak hinanya? Nisa masih tersedu, luka di
hati tu Tuhan saja yang tahu dalamnya macam mana. Malu yang tak boleh ditimbang
bila di hadapan khalayak ramai dia dihina...
“Nisa,
sabar. Ingat Tuhan…” Dipeluknya bahu Nisa supaya rakannya tu mampu bertenang.
Fatehah cuba memujuk Nisa yang masih bersedih dengan kejadian yang baru
menimpanya petang tadi.
“Aku…
aku malu Fatehah… aku malu. Aku tahu aku tak cantik macam dia tapi janganlah
hina aku macam tu. Dia siapa nak hina aku macam tu? Aku tak kenal pun dia...
apa hak dia nak buat aku macam sampah depan orang tadi? Aku ada hati ada
perasaan ada maruah. Semua orang ingat aku ni manusia yang tak sedar diri.
Orang ingat aku perempuan yang tak ada harga diri. Orang ingat aku perampas!”
Nisa semakin kuat menangis.
“Nisa
dah la tu. Jangan bazirkan air mata kau. Air mata kau tu berharga… jangan
menangis untuk perempuan tak guna tu. Sia-sia...” pujuk Fatehah. Melihat
keadaan Nisa buatkan dia pun turut sama merasakan sedih dan rasa bersalah pada
Nisa. Kalau dia setuju ikut Nisa balik tadi semua ni tak kan terjadi. Nisa tak
akan dihina oleh perempuan entah apa-apa yang biadap tu.
“Aku
menangis sebab maruah aku diinjak-injak Tehah… dia hina aku depan orang ramai. Dia
tuduh aku sundal, dia tuduh aku macam-macam, Tehah.” Nisa lagi sebak.
“Nisa,
perempuan tu cakap tak guna akal. Jangan dengar apa yang dia cakap. Kalau muka
cantik pun tapi hati hitam tak guna jugak
Nisa. Abaikan perempuan tu. Kau
ingat tak aku pernah cakap cantik tu tak boleh bawa ke mati pun. Nisa... bila
masuk kubur nanti mungkar nangkir tak tanya pun kau kat dunia cantik macam Jessica
Alba tak? Kalau ya kau masuk syurga. Kalau tak kau masuk neraka… Tak ada benda
macam tu, yang penting cantik di mata Tuhan. Cantik di mata manusia ni nafsu je.”
Tangisan
Nisa dah mula berkurangan… Fatehah ni nak memujuk pun bagi contoh tak boleh blah
sungguh. Guna Jessica Alba bagai. Tengah bersedih ni! Agak-agak la...
“Nanti
bila kau tua hodoh juga. Kendur sama jugak
tak ada maknanya kalau muda-muda
cantik macam miss world sekalipun.”
Fatehah cuba memujuknya. Melihat Nisa menangis membuatkan hati Fatehah turut
bersedih. Bak kata pepatah melayu cubit paha kiri paha kanan pun terasa.
“Nah,
kau tengok sekarang contoh terdekat. Perempuan tu muka je cantik tapi adab dengan budi bahasa fail! Kau tak payah nak hiraukan sangat apa yang perempuan tak
bertamadun tu cakap.” Pada mata Fatehah… Nisa bukannya tak cantik cuma manisnya
lebih. Tapi kalau nak dibandingkan Nisa dengan perempuan tadi tu memang langit
dengan bumi! Nisa cantik asli. Melina tu plastik semata-mata. Harapkan make up saja. Kalau tak ada make up sekati tu… kirim salam sajalah.
Entah tak ada lelaki pun yang lalu nak hadap muka dia.
Nisa
mula berhenti menangis. Tapi hatinya tetap sakit.
“Aku
tak kenal pun lelaki tu, kalau setakat jumpa dua kali macam tu pun bukan alasan
kukuh dia boleh buat sesuka hati dengan aku. Apa dia ingat aku pinjam handphone dia tiga minit hari tu dia
boleh buat aku macam ni? Dia ingat dia tu siapa?!” Suara Nisa sedikit meninggi.
Angin kus-kus dah mula menyerang. Bengang.
Fatehah
menggaru kepalanya yang tak gatal...
“Kenapa
dia buat aku macam ni? Aku tak ada salah pun dengan dia.” Matanya memandang
mata Fatehah meminta penjelasan. Penjelasan yang Fatehah sendiri pun tak boleh
nak terangkan sebab dia sendiri pun tak tahu kenapa lelaki tu melibatkan Nisa.
Lama
mereka terdiam. Dua-dua tak ada jawapan yang munasabah kenapa Luth bertindak
sedemikian drastik dengan melibatkan Nisa dalam hal permasalahnya dengan
Melina.
“Tehah,
aku penat… aku nak tidur.” Nisa bersuara lagi. Air matanya dikesat dengan
belakang telapak tangan.
“Baringlah…
aku tahu kau penat. Lupakan semuanya Nisa dan banyakkan beristighfar biar hati
kau tenang.” Nisa diselimutkan dan tombol pintu bilik tidur sahabatnya dicapai.
Biarlah Nisa bertenang dulu.
Nisa
memejamkan matanya, cuba mengusir semua bayangan kejadian yang baru menimpanya
petang tadi.
“Tehah.”
Fatehah
yang baru hendak menutup pintu bilik Nisa terhenti langkahnya apabila namanya
dipanggil. Dia melihat Nisa yang sedang berbaring sambil kedua matanya tertutup
rapat. “Kenapa? Kau perlukan apa-apa ke?” Prihatin sungguh nada Fatehah
menyoal. Member tengah bersedih tu
kenalah bagi muka.
“Aku
belum bayar tambang teksi lagi. Pak cik tu tunggu dekat luar. Tolong
bayarkan...”
Menyenget
bahu Fatehah dengar apa yang Nisa cakap. “Kau... kau... kau panggil aku sebab
tu je?”
Tiada
jawapan dari Nisa. Sepi.
Dengkuran
halus mula kedengaran... Nisa dah ke alam lain.
Hampeh!
Baru
tadi sesi luahan perasaan, mood masing-masing
pun tengah syahdu lagi. Tiba-tiba dah dekat setengah jam baru dia beritahu yang
tambang teksi tak bayar lagi! Fatehah terus bergegas keluar rumah. Ternyata pak
cik teksi yang Nisa sebut tadi masih ada. Masam mencuka wajah pak cik teksi.
Nisa
ni memanglah!
Keesokkan paginya,
Luth bergegas ke pejabat Waqif yang juga tempat Nisa bekerja. Ada perkara yang
nak ditanyakan kepada Waqif mengenai Nisa.
“Kau nak buat apa nombor telefon
Nisa?” Kening Waqif bertaut dua. Pelik betul dia dengan perangai Luth.
Pagi-pagi buta datang pejabat dia… Pak
guard pun tak sempat tukar syif lagi, Luth dah siap terpacak depan pintu pejabatnya.
Lepas tu tiba-tiba minta nombor telefon Nisa. Yang ni lagi pelik! Demam ke apa
budak ni?
“Erm,
adalah hal aku. Apa nombor dia?” Luth menyoal lagi sekali.
“Mana
boleh aku kasi dekat kau sesuka hati aku.”
“Ala,
kau ni kawan sendiri pun tak boleh tolong. Berkiralah kau… aku minta nombor
telefon Nisa je pun bukan aku banglo
sebuah dekat kau.” Luth merengus kasar.
“Bukan
masalah berkira, masalahnya… polisi syarikat. Yang kau tiba-tiba minta nombor
telefon dia kenapa? Yang Nisa pun tiba-tiba ambil cuti mengejut… serentak. I smell something fishy here.” Riak muka
Waqif seperti mengesan sesuatu yang tak kena sedang berlaku di hadapannya kini.
Dia
nak berfishy-fishy pula dekat sini.
Luth mengeluh. “Nisa tak masuk kerja?”
“A’ah…
baru tadi kawan dia call cakap Nisa
tak sihat. Dia minta emergency leave
tiga hari. Pelik korang berdua ni…
yang sorang awal-awal pagi lagi dah tercangak depan pintu pejabat, yang sorang
lagi tiba-tiba ambil cuti mengejut. Mesti ada sesuatu yang terjadi kan?
Entah-entah Nisa sakit sebab kau. Kau ada jumpa dia ke? Baik kau cakap dekat
aku apa kau dah buat dekat Nisa. Kau buat apa dekat anak dara orang, Luth?”
Bertubi-tubi soalan dilemparkan kepada Luth.
“Mana
ada aku buat apa-apa dekat dia! Kau jangan nak menuduh aku.” Cepat-cepat Luth
menafikan tuduhan Waqif. Luth berdehem beberapa kali menghilangkan resah di
hati. Itu jawapan luaran… dalam hati? Aku tak buat benda pelik-pelik dekat anak
dara orang. aku mengaku dia tunang aku je.
“Yang
kau panik semacam ni kenapa? Aku tanya je.”
Soal Waqif penuh syak wasangka. Pelik melihat rakannya yang tampak gelisah
semacam ini.
“Tak
nak tolong sudahlah.” Luth terus meninggalkan pejabat Waqif. Hatinya mula
diserang rasa tak senang. Rasa bersalah mula menimpanya. Nisa sakit? Pasal
semalam ke? Dia menyoal dirinya sendiri. Enjin kereta dihidupkan. Belum sempat
Luth nak menukar gear tiba-tiba
telinga menangkap satu bunyi.
“Bunyi
telefon? Tapi bukan telefon aku.” Luth mula mencari dari mana datangnya bunyi
telefon tu. Kemudian matanya terpandang sesuatu di kerusi penumpang bahagian
belakang.
Beg
tangan?
“YaAllah!
Pelupanya aku ni… beg tangan Nisa.” Ditepuknya kepalanya berkali-kali.
Tangannya cepat mencapai beg tangan Nisa dan telefon bimbit Nisa dicari tapi belum
sempat dia menekan butang hijau, telefon tu sudah termati dengan sendirinya.
Luth
kemudian menggelengkan kepalanya berkali-kali.
“Betullah
kau ni bengap Luth. Sia-sia je kau
merayu dekat Waqif macam pengemis. Padahal handphone
Nisa ada dekat kau, kalau kau telefon dia tadi. Kau sendirilah yang jawab.” Dia
mengetawakan kebodohan dirinya sendiri. Kerja pangkat tinggi benda basic macam ni pun dia boleh tak
perasan.
Telefon
bimbit Nisa digeledahnya. Dia tahu apa yang dia buat ini salah tapi dia cuma hendakkan
nombor Nisa. Mesej-mesej Nisa langsung tak dibukanya. Sebaik saja nombor
telefon Nisa berjaya perolehi, telefon bimbit itu disimpan semula ke tempat
asalnya.
“Handphone dia ada dekat aku. Tapi macam
mana aku nak pulangkan beg tangan dia? Aku tak tahu dia tinggal kat mana…” Luth
mula berdiolag sendiri. Memikirkan cara untuk berjumpa dengan Nisa.
“Dompet
dia! Mesti ada dalam beg.” Diselongkarnya pula beg tangan Nisa tanpa izin tuan
punya beg itu. Kesalahan kedua yang dia lakukan hari ini. Sebaik saja dia
menemukan dompet Nisa terus dibukanya. Kad pengenalan Nisa pula menjadi mangsa.
“Khairunnisa
bt. Khuwailid.” Luth menyebut perlahan nama Nisa.
“Hurmm,
simple je nama dia. Klasik pun ya jugak .” Luth menyambung lagi.
Kali
ni matanya memandang pula nombor kad pengenalan Nisa. “880808-xx-xxxx. Hish,
banyak betul nombor lapan dia…” Luth ketawa. Sempat lagi dia mengutuk Nisa.
“Awal
20-an… muda lagi. Muda aku empat tahun. Hurmm, ada can nak masuk jarum.” Luth
membuat kira-kira dalam kepala otaknya kemudian kepalanya terangguk-angguk
sedikit seperti memikirkan sesuatu. Entah-entah tengah fikir taktik nak
mengorat Nisa?
Lepas
sudah puas menilik dan menganalisis maklumat Nisa, barulah dia kembali ke
tujuan asal dia melihat kad pengenalan Nisa iaitu mencatit alamat Nisa! Tapi...
ni alamat rumah jauh... takkanlah alamat ni kut? Luth menggaru kepalanya yang
tak gatal.
“Minah
ni tak ada simpan ke alamat rumah dia yang sekarang?” Bibir Luth tergerak-gerak
membebel. Tangannya ligat memunggah beg tangan Nisa.
Tiba-tiba
dia terjumpa sebuah buku kecil. Planner
book Nisa. Luth tersenyum. Gotcha!
Usai mencatit alamat Nisa disimpan kembali buku tersebut… Dompet Nisa yang
hampir dimasukkan semula tapi tiba-tiba terdetik dalam hati Luth untuk melihat
gambar yang ada di dalam dompet tu pula! Kesalahan
Luth yang entah kali ke berapa ini.
Gambar
passport Nisa menjadi perhatiannya.
Dia tersenyum… Manis. Hatinya memuji Nisa. Memang dia akui Nisa taklah cantik,
ramai lagi perempuan lain yang lebih cantik daripadanya dekat luar sana. Tapi
Nisa ni manis orangnya… manis yang memikat hati.
Tanpa
berfikir panjang terus diambilnya gambar yang berukuran passport Nisa tu dan disimpan ke dalam dompetnya. Mencuri? Iyalah
kut… manalah tahu, kalau-kalau nanti gambar Nisa ni berguna pada masa depan
nanti bukan kita tahu kan? Luth sengih.
“Tadi
kau geledah handphone dia, lepas tu
kau selongkar beg tangan dia… kemudian kau curi gambar dia! Wow, terbaiklah
Luth… lepas satu, satu jenayah kau buat. Kalau Nisa saman kau, memang pedih nak
membayar ganti rugi ni. Boleh je dia
dakwa kau atas tuduhan menceroboh hak orang lain tanpa kebenaran dan mencuri…”
Luth menggelengkan kepalanya. Semuanya sebab Nisa…
Wah,
takkan jampi dalam ‘kopi mandrem’ Nisa memang berkesan kut? Ini baru betul tuah
ayam nampak di kaki, tuah Nisa? Luth dah ternanti.
“Kau dah cari betul-betul ke dalam bilik
tidur kau tu?” Fatehah menyoal buat kesekian kalinya kepada Nisa.
“Dah.
Aku dah cari berpuluh kali dekat bilik tidur aku tapi tak jumpa. Beg tangan aku
tu besar mustahil aku tak nampak kalau ada dalam bilik tu,” jawabnya penuh
yakin. Memang betul dah habis satu bilik dia geledah tapi tak jumpa pun beg
tangannya tu. Pelik betul tiba-tiba boleh hilang macam ni.
Kali
ni ruang tamu rumah pula menjadi mangsa, habis digeledah mereka berdua untuk
mencari beg tangan Nisa yang hilang. Berterabur semua kusyen-kusyen sofa
dikerjakan mereka. Kalau sekali pandang ada la juga rupa macam kena serang
dengan taufan Katrina keadaan rumah mereka masa tu.
Nisa
baru sedar yang beg tangannya hilang ketika dia mencari telefon bimbitnya untuk
telefon Waqif a.k.a bosnya. Dia mahu memberitahu yang dia tak boleh ke pejabat
hari tu kerana sakit. Senang cakap, istilah orang office guna… emergency leave.
Last-last, Fatehah yang kena call bos dia cakap dia sakit. Mujur
Fatehah ada… kalau tak entahlah Nisa pun tak tahu nak contact bosnya macam mana. Luaran memang dia sihat tapi dalaman tu
yang sakit. Dia perlukan masa untuk bertenang selepas apa yang berlaku semalam.
Kemudian
tak disangka-sangkakan, dia tak jumpa pula beg tangan dia. Mahu tak panik Nisa
pagi tu mencari beg tangannya. Semua barang berharga dia ada di dalam beg
tangannya. Kad pengenalan, telefon bimbit, lesen, kad kredit, kad atm, kad
kerja, duit… semualah! Tak ada semua benda tu susah hidup dia nanti. Nak-nak
lagi kalau memang betul beg tangan dia tu hilang. Nak kena buat balik kad pengenalan
dengan segala jenis kad yang ada di dalam dompet tu... Lepas tu, mesti kena
bayar denda. Ah, duit lagi keluar…
Lepas
satu, satu masalah muncul. Ni baru betul kalau orang cakap sudah jatuh di timpa
tangga pula… Cuma bezanya Nisa tak tahu yang kejap lagi lepas kena timpa dengan
tangga, siling rumah pula nak menghempapnya!
“Cuba
ingat balik baik-baik semalam kau letak mana.” Kali ni Fatehah memaksa Nisa
untuk duduk dan bertenang. Nisa akur, dia duduk di atas sofa, perlahan-lahan Nisa
menarik nafas dan lepas… matanya dipejamkan memikirkan kejadian semalam dan di
mana beg tangannya berada.
“Masa
tengah shopping semalam dengan kau
beg tangan tu ada lagi, pergi makan dekat kedai sushi pun ada lagi. Kemudian,
masa aku bergaduh dengan minah langsuir tu pun beg tangan aku ada lagi. Aku
yakin ada lagi masa tu sebab beg tangan tu aku guna buat defends aku. Lepas tu mamat tak center
tu tarik aku, masa tu pun beg aku ada lagi…” Nisa mula mengimbas kembali
detik-detik semalam.
“Mamat
tu bawak kau pergi mana?”
“Aku
pun tak tahu, yang aku tahu kat tempat tu tak ada orang pun. Sunyi je… kemudian kami bergaduh. Aku pukul
dia sebab aku sakit hati. Masa tu beg tangan aku ada lagi kalau tak silap aku.”
Nisa mencerita lagi.
Lama
Nisa diam… kepalanya tengah mengingati sesuatu. Dia bergaduh dengan mamat tu,
dia lari balik rumah naik teksi.
Teksi
semalam…
“YaALLAH!”
tiba-tiba Nisa menjerit.
“Apa-apa?
Kenapa? Dia ada buat benda yang tak senonoh ke dekat kau?” Fatehah tiba-tiba
menjerit panik. Matanya membulat memandang Nisa. Manalah tahu kut-kut Nisa baru
teringat balik kalau-kalau mamat tu ada buat benda jahat dekat dia.
“Teksi
semalam aku lupa bayar tambang dia. Kesiannya pak cik tu…” keluhan kecil
terlepas dari mulut Nisa. Semalam dia terlampau melayan perasaan sampaikan
terlupa membayar tambang teksi tu.
“Hurmm...
semalam lagi aku dah tolong bayarkan.
Ingatkan apalah kau ni. Jerit tiba-tiba. Suspen je.” Fatehah membebel. Nampak sangat semalam Nisa otak tengah tak
betul, dia yang suruh Fatehah bayar tambang teksi semalam, dia yang lupa.
Tiba-tiba
Fatehah memetik jarinya.
“Ha!
Semalam masa kau masuk rumah aku tak nampak pun kau pegang apa-apa. Beg tangan
kau tak ada pun masa tu.”
“A’ahlah…
semalam aku balik tanpa beg tangan aku. Maknanya…” ayat Nisa tergantung.
“Kau
tinggal beg tangan kau dengan mamat tak center
tu!” Fatehah melengkapkan ayat Nisa.
Dengan
spontannya badan Nisa terus tersandar ke belakang. Keluhan berat dilepaskan,
dia memandang Fatehah seketika sebelum mengambil kusyen di sebelahnya dan terus
menekup mukanya dengan kusyen sofa itu… benci! Maknanya lepas ni bakal ada lagi
pertemuannya dengan mamat tak center
tu. Argh, stress, stress! Aku tak nak jumpa mamat tu lagi dah. Aku benci dia. Eii, ini
yang rasa nak menangis ini. Hati Nisa menggerutu.
“Nisa
kau ok ke ni?” Takut Fatehah melihat Nisa yang tiba-tiba menarik rambut dengan
kedua-dua belah tangannya. Macam orang gila pun ada.
“Aku
tak ok! Aku tak nak jumpa mamat tu dah.” Suara Nisa mengendur…
“Tak
apa… aku temankan kau jumpa dia nanti untuk ambil beg tangan kau tu. Kalau dia
berani buat apa-apa kat kau. Taulah aku nak tangan-tangankan dia macam mana.”
Fatehah memberi jaminan.
“Sob,
sob, sob… terharu aku… kaulah sahabat dunia akhirat aku.” Nisa terus memeluk
Fatehah dan mereka berpelukan.
Tiba-tiba…
“Assalamualaikum!”
Ada orang memberi salam dari luar rumah sewa mereka.
Nisa
dengan Fatehah berpandangan. Jarang mereka terima tetamu… siapa pula yang
datang ni?
Bala
dah datang. Ini bukan Bala anak lelaki Krishnan ke apa ke... Ini bala menempah
maut namanya!
Nisa dengan Fatehah bingkas bangun
dan terus mencapai tudung arini yang memang dah sedia mereka gantungkan di
belakang pintu bilik bawah. Spare
untuk kes-kes orang datang rumah mengejut, contohnya macam sekarang inilah.
Entah siapalah tetamu tak diundang yang datang ke rumah mereka tika itu.
Tangan
Nisa tangkas memegang tombol pintu dan dibukanya dari dalam.
“Waalaikummussalam…”
Nisa mengangkat wajahnya mememandang wajah tetamu mereka dan serentak itu mata
Nisa terus membulat! Mulutnya ternganga… jari telunjuknya tertunjuk-tunjuk ke
arah tetamu mereka.
“Kau!”
Nisa menjerit kuat. Riak wajah Nisa terus berubah sepenuhnya…
Fatehah
yang menyusul dari belakang Nisa pelik bila mendengar Nisa menjerit kuat. Dia
belum nampak lagi wajah tetamu mereka yang datang tu.
“Kau
ni kenapa terjerit-jerit macam tarzan?” Fatehah merungut, dia menolak ke tepi
sedikit bahu Nisa. Sebaik sahaja kepalanya berpaling memandang tetamu yang
datang... mulutnya ternganga. Sama macam Nisa keadaannya, jari telunjuk terarah
kepada tetamu mereka sambil matanya tak berkelip-kelip.
Ha,
kan betul tu… sudah jatuh ditimpa tangga dihempap pula dengan siling rumah!
bertubi-tubi. Tapi persoalannya… siapakah gerangan tetamu tak diundang mereka
tu? Kenapa Nisa tiba-tiba menjerit macam kena histeria?
No comments:
Post a Comment