Bab 9
Zahin membawa Izyan
hingga ke Jerteh. Di situ, mereka turun bersama-sama lantas memasuki kedai KFC
yang ada.
“Saya nak order, awak pergi cari tempat kat tingkat
satu,” suruh Zahin.
Izyan angguk. Menaiki anak tangga perlahan-lahan
sambil berfikir. Dia tahu bahawa tak lama lagi pastilah Zahin akan singkap
semula kisah yang berlaku pagi tadi. Jadi dia harus bersedia untuk berterus
terang.
Izyan memilih untuk duduk di luar, di kawasan yang terbuka.
Angin sepoi-sepoi bahasa membawa kedinginan. Nyaman terasa. Lebih nyaman kalau
nak dibandingkan dengan angin daripada alat pendingin hawa.
Zahin tiba ke meja bersama ayam goreng dan kentang
putar beserta air strawberi. Terharu rasa hati. Dalam marahkan dia, Zahin masih
ingat pada air dan makanan kegemarannya di KFC ini.
“Saya nak mintak maaf pasal pagi tadi.” Zahin
memulakan mukadimah.
Izyan angguk. “Maaf diterima,” ujarnya sambil
tersenyum.
“Tapi saya masih terkejut.”
“Saya faham, Zahin. Maafkan saya sebab tak berterus
terang.”
Lama baru Zahin berkata-kata semula. “Yan, boleh tak
awak ceritakan kisah lama awak dengan dia? Saya nak tahu semuanya.”
“Apa yang awak nak tahu, Zahin?”
“Buat permulaan, saya nak tahu macam mana awak kenal
dia.”
Izyan tarik nafas panjang. “Saya jumpa dia di Giant. Dia nak beli tali leher dan saya
jurujual di situ.”
Zahin tarik nafas panjang. Saat ini hatinya galau
melihat air wajah Izyan yang sedang leka bercerita tentang pertemuan pertama
antara dia dengan Raif. Wajah manis itu sangat ceria pada pandangan matanya.
“Saya ingatkan itu kali pertama dan terakhir kami
jumpa. Tapi tak. Raif cari saya lagi. Mula-mula kenal macam tu aje, lama-lama
makin mesra. Dia layan saya dengan baik. Tak pernah ambik kesempatan. Mungkin
sebab itu saya tertarik pada dia. Lagipun Raif tak ada kawan perempuan yang
lain. Dia rapat dengan saya seorang saja.” Izyan membongkar kisah lama.
“Berapa lama kau orang berkawan?”
“Tak sampai dua bulan pun.”
“Sekejap ajelah. Lepas tu dia ajak awak kahwin dengan
dia?”
Izyan angguk.
“Apa yang terjadi dalam rumah tangga awak, Yan?”
“Awak ni semua benda awak nak tahu,” gerutu Izyan.
“Mestilah. Yang awak nak sorok sangat tu kenapa?”
Zahin dah mula marah.
“Sebab itu rahsia saya dengan Raif saja. Saya tak akan
kongsi dengan awak. Cuma, apa yang boleh saya beritahu ialah dah takdir, jodoh
kami tak panjang.” Izyan bertegas. Baginya kisah rumah tangganya dahulu adalah
miliknya yang eksklusif. Tak siapa perlu tahu apa yang dia alami waktu itu.
“Dah berapa lama awak berbual dengan dia kat stesen
bas tu tadi? Dia cakap apa dengan awak?” Zahin tak sembunyi perasaan cemburu
yang mencengkam hatinya saat ini.
“Sorry,
Zahin.
Tapi sebenarnya saya pun tak sangka yang dia akan datang bersembang dengan saya
kat situ.” Izyan membela diri.
“Hmm, lamalah ya kau orang berdua bersembang? Bincang
apa?” tanya Zahin lagi.
Izyan tarik nafas panjang.
Dia pusing tubuhnya untuk menghadap Zahin. “Dia bekas suami saya, Zahin. Awak
rasa apa yang dia cakap?”
“Tentu kisah lama awak
dengan dia.”
“Tahu pun.”
“Tak tanya kenapa dia ke
mari?” Zahin terus merisik.
“Tanya.”
“Apa dia jawab?”
“Awak tak payah tahulah, Zahin.”
“Kenapa? Ada sesuatu yang saya tak patut tahu ke?”
Zahin dah mula marah.
Kemarahan Zahin merimaskan Izyan. “Penting ke untuk
awak tahu?” soalnya.
“Saya boyfriend
awak. Jadi saya kena tahu apa yang dia mahu dari awak, Yan.”
Nak tahu sangat? Okey, ambik ni!
“Dia cakap dia nak mengurat saya. Nak buat saya jatuh
cinta pada dia sekali lagi.”
Mata Zahin tak berkelip memandang wajah Izyan yang
sudah merona merah. “Melampau betul dia!” marahnya.
Izyan tak mampu bersuara lagi. Kepalanya semakin
berdenyut kini.
“Kenapa dia nak buat awak jatuh cinta pada dia? Apa
tujuan dia, Yan? Dia nak rujuk balik dengan awak ke?” Kasar nafas disedut.
Kerana sakit hati dengan Raif punya pasal. Geram betul dibuatnya.
Izyan angguk dengan mata yang terpejam. Pandangannya
sudah mula berpinar. Kepala pun dah mula berpusing-pusing. “Tolong hantar saya
balik, Zahin. Kepala saya sakit sangat ni.”
“Nak mengelaklah tu.”
Izyan pejamkan mata. Tak
mahu melayan kemarahan Zahin.
“Jauhkan diri awak daripada
dia, Yan. Saya tak suka awak layan dia. Kisah lama awak dengan dia dah lama tamat.”
Jeda. Zahin sedang mencari perkataan yang sesuai untuk disambung.
“Dah habis cakap?” tanya
Izyan.
“Mulai hari ini awak kena ingat yang awak akan mulakan
hidup baru. Dalam hidup baru awak tu cuma ada saya. Saya akan buat apa saja
untuk lindungi awak. Dengar tak ni?”
“Dengar, Zahin. Saya
dengar. Saya belum pekak lagilah.” Izyan menjawab. Geram sudah!
"Dia tak ada hak nak
paksa awak terima dia semula. Yang dah lepas tu, lepaslah. Dia patut cari
pengganti. Bukan cari awak semula, Yan." Lelaki itu masih dengan rasa tak
puas hati dia. Langsung tak peduli pada Izyan di sebelah yang sudah mula
memicit pelipis.
"Zahin..."
"Oh
no!
Awak jangan nak suruh saya beralah. Dah lama saya tunggu awak, Yan. Dah lama
saya harapkan awak. Jangan nak hampakan saya pulak.”
“Bukan pasal itulah.”
“Awak kena buka pintu hati awak tu untuk saya. Bukan untuk
dia, Yan.”
“Ya Allah! Zahin, saya tak nak bincang pasal benda ni
lagi.” Izyan rasa macam nak menjerit dah.
Zahin tetap degil. Masih hendak terus bercakap lagi.
Langsung dia tak endah pada Izyan yang mula marah. Dia menyambung, “Ingat, Yan!
Sekali dia boleh lepaskan awak bermakna dia boleh aje tinggalkan awak lagi.
Berapa kali awak nak jadi janda dia hah?"
Sakit hati Izyan mendengar ayat-ayat yang baru sahaja
meniti keluar dari bibir Zahin. Sesedap rasa dia saja hendak menjerkah. Bagi
nasihat pun, nasihat yang menyakitkan hati. Bukan main lagi tanya...
Berapa kali awak nak jadi janda dia hah?
Apakah Zahin menganggap dia suka sangat nak kahwin
lepas tu bercerai?
“Izyan,” panggil Zahin tak lama selepas tu. Tahu
bahawa dia sudah menyinggung perasaan wanita kesayangannya.
“Yan,” panggilnya lagi apabila Izyan buat pekak, tidak
menyahut.
Izyan masih bersahaja. Memekakkan telinga sambil
memejamkan mata. Orang lelaki ini memang tak boleh dilayan. Buat sakit hati
adalah.
“Jom kita balik.” Zahin mengajak.
Suasana sepi di dalam kereta. Elok sampai di hadapan
rumah sewa Izyan, Zahin laju mengunci pintu. Cara untuk menghalang wanita itu daripada
meninggalkannya dalam keadaan marah.
“I’m
sorry,” katanya.
“Buat apa nak minta maaf? Jangan risau sangatlah. Saya
tak ambil hati dengan apa yang awak cakap tadi.”
“Boleh percaya ke?”
Izyan lepaskan keluhan. “Suka hati nak percaya atau
tidak.”
“Yan, I love
you. Lupakan dia dan terima cinta saya. Boleh kan?”
“Tapi saya ni kan janda, awak?”
Saja Izyan nak pulangkan paku buah keras. Kemarahan
Zahin pagi tadi masih terbayang di ruang mata. Masa tu dia rasa macam hina
sangat jadi janda tu.
“Izyan, tolonglah lupakan semua yang saya dah cakap.
Saya dah fikir panjang. Siapa pun awak saya akan terima awak seadanya.” Zahin
cuba meyakinkan.
Izyan tatap wajah lelaki muda yang terlalu baik
dengannya sejak kali pertama dia bekerja di hotel ini. Lelaki yang berumur 29
tahun dan merupakan pemegang ijazah dalam bidang perhotelan daripada UiTM.
Memang tak sekacak Raif tapi dia tetap sempurna di matanya.
Yalah tu, Izyan. Kalau sempurna kenapa setiap kali pun
kau tolak cinta dia? Kenapa tolak lamarannya?
“Beri saya masa untuk fikirkan tentang ni. Boleh kan
Zahin?”
Sudahnya itu yang keluar daripada bibir Izyan.
Zahin mengangguk. Satu keluhan terlontar juga. Kerana
dia sedang terlalu hampa.
“Terima kasih sudi dengar kisah hidup saya, Zahin.”
“Saya masih ada harapan lagi tak ni, Yan?” tanya Zahin
dengan muka yang cukup serius.
Izyan tidak menjawab soalan itu. Tidak menoleh ke arah
Zahin pun. Menonong dia keluar dari kereta dan berlalu begitu sahaja.
Zahin hanya mampu memandang bersama seribu resah.
No comments:
Post a Comment