Pagi itu, awal-awal
pagi lagi Abang Bidin tersengih di hadapan meja. Boleh agak yang bos dah bagi green light.
Heh.
Aku
hanya mampu sengih aje bila dia mengangkat kening beberapa kali, gembira sebab
aku tolong dia lepaskan diri.
Beg
sandang aku capai dari atas meja sebelum menutup komputer.
Sepanjang
perjalanan ke Viva Home Shopping Mall aku tersenyum lebar. Nampaknya cadangan
aku untuk bawa Abang Bidin sekali memang satu cadangan yang bernas.
Tak boleh disangkal lagi.
Sebabnya, sepanjang perjalanan aku
tidur aje, Abang Bidin yang ambil tugas
memandu. Lagipun, aku mana pandai nak bawa kereta manual. Auto pun aku masih
terkial-kial.
Tadi pagi, nasib baiklah bos tak
banyak soal bila Abang Bidin minta untuk temankan aku sepanjang masa di Expo
Doraemon ni. Lagipun, kerja urusetia dekat bengkel tu apalah sangat. Tukang
susun kerusi, tukang edar modul bla…bla…
Sekurang-kurangnya, kalau Abang
Bidin ikut aku, adalah gambar yang ‘kebaboom’
daripada dia nanti. Lagipun, bukannya kami tak tahu yang Abang Bidin punya skill ni memang susah nak cari dekat
mana-mana jurugambar yang lain.
Aku pun pelik kenapa Abang Bidin tak
pernah nak cari kerja yang lagi sesuai dengan kemahiran dia tu. Rasanya dalam
Malaysia ni, kerja jurugambar pun boleh pergi jauh.
Tapi Abang Bidin tak. Dia nak
dekat-dekat aje, dekat ofis aku. Heh.
“Kau nak makan dulu ke nak masuk
terus?”
Laju aku mengurut dada, terkejut dek
soalan tiba-tiba daripada Abang Bidin. Dia ni macam tahu aje yang aku tengah
kutuk dia. “Makan dulu la. Saya tak breakfast
lagi pagi tadi. Abang nak masuk dulu ke?”
“Aku pun tak makan lagi Naurah oi.
Kita makan dulu lah.” Jawab Abang Bidin sambil memasukkan keretanya ke dalam
petak parkir. “Kalau aku ambil gambar pakai
handphone aje boleh tak? Malas aku nak bawak beg kamera besar-besar.”
Bulat terus mata aku memandang Abang
Bidin yang tersengih-sengih sebelum mematikan enjin kereta. tahulah dia guna
Iphone 5S.
“Kalau
saya siku abang sekarang jangan tanya kenapa,” aku bersuara keras. Tak puas
hati. “Semalam beria-ia nak ikut saya, nak jadi jurugambar la, nak asah skill la. Sekarang nak ambil gambar
pakai kamera telefon bimbit aje? Kalau macam tu, baik saya datang sendiri aje.”
Balas aku panjang lebar tanpa memandang. Geram.
“Kau
ni pun, aku nak gurau sikit pun tak boleh.” Abang Bidin dah ketawa kuat. Dia
keluar ke tempat duduk belakang, mencapai segala jenis beg yang dia bawa tadi.
“Patutlah kau tak kahwin sampai sekarang.”
Muka
Abang Bidin aku pandang tajam. Bab inilah yang aku paling tak suka.
Tak
suka.
Takkan
sampai tempat kerja pun ada orang nak tanya aku pasal kahwin? Dekat kampung pun
dah cukup menggelegak jiwa aku. “Dah, abang boleh balik sekarang. Saya pakai
kamera phone je.”
Sekali lagi tawa Abang Bidin meletus.
Beberapa orang yang baru sahaja keluar dari kereta mencuri pandang. Abang Bidin
ni pun, nak ketawa tu agak-agak la.
“Kau ni Naurah…” ketawanya masih
bersisa.
Aku hanya mampu mencebik lebar
sebelum meninggalkan Abang Bidin di belakang. Lagi melayan Abang Bidin ni lagi
sakit otak aku.
“Nak gurau siang pandang-pandang
bang, saya ni belum makan. Karang kalau saya makan abang lain ceritanya.” Jari
jemari mula membetulkan ikatan rambut yang longgar.
Abang Bidin muncul di sebelah dengan
sengihan. Tak puas hati lagi la tu. “Cepatlah kau kahwin Naurah, aku nak pesan something dekat bakal suami kau.”
Aku berpaling ke arahnya dengan
kening terangkat. Kedua-dua tangan masih sibuk mengikat rambut tinggi menjadi ekor
kuda. Senang. “Abang nak pesan apa?”
Aku nampak dia tersenyum nipis
sebelum menjawab, “Aku nak pesan dekat suami kau, jangan bagi kau kebulur. Karang
satu dunia kau terbalikkan. Muka lapar kau serius menakutkan.”
“Saya call bos sekarang suruh abang balik ofis.”
“Dah tu, kau nak balik dengan bas
nanti?” dia sengih lagi.
Aku terdiam. Kalah.
“Tengok tu. Muncung sedepa.
Naurah…Naurah.”
“I need food!”
SELESAI MEMBERI
TIKET, aku dan Abang Bidin terus ke pintu masuk. Ramai juga manusia yang
memenuhi ruang expo ni. Tapi yang paling excited,
mak-mak budak.
Mana
taknya, budak-budak sekarang mana layan dah bab-bab Doraemon ni. Cerita
Doraemon ni zaman aku aje yang popular. Zaman sekarang budak-budak lagi suka
main game dekat android.
Masuk
aje ke dalam, Abang Bidin terus buat kerja dia. Ambil gambar apa yang patut.
Aku biarkan aje sebab itu memang kerja dia. Aku pula sibuk dengan PR dan
urusetia Expo. Mencatat apa yang patut.
Tak
lama pun kami dalam tu. Sejam kemudian, aku dahpun keluar ke tempat cenderamata.
Dua tiga kali aku menoleh ke kiri dan ke kanan, mencari kelibat Abang Bidin,
tapi tak jumpa.
Seronok
sangat agaknya bila jumpa dengan Doraemon.
Beberapa
keping fridge magnet dan keychain aku bawa ke kaunter bayaran. Buat
kenangan kononnya.
“Dah
siap?”
Sikit
lagi nak keluar latah aku bila ditegur dengan tiba-tiba. Laju aku berpaling ke
kiri, Abang Bidin yang tersengih lebar dengan beg kamera di bahu aku pandang
pelik.
“Bila
abang keluar?”
“Baru
keluar la ni…” dia membelek kepingan magnet di atas kaunter. “Nak buat apa
benda ni?”
Aku
hampir tepuk dahi bila mendengar soalan yang langsung tak disangka dari dia.
“Dah namanya fridge magnet, lekat
dekat peti la abang oi.”
Dia
ketawa perlahan, lucu dengan soalan dia sendiri la kot.
“Manalah
aku tahu. dekat rumah aku mana pernah ada beli benda-benda macam tu.”
“Abang
nak ke? Saya belanja satu.” Pelawa aku, ikhlas. Kesian pulak dengar cerita dia.
Ada lagi ke orang zaman sekarang tak tahu apa tu fridge magnet?
“Tak
payah. Kalau kau beli, satu itu aje yang melekat dekat peti aku. Kau nak aku
ingatkan kau tiap-tiap hari eh?”
Pulak
dah…
“Tak
nak sudah.” Laju aku menjawab. Seriau pulak kalau Abang Bidin ingatkan aku
tiap-tiap hari… er…
“Jomlah
balik. Abang nak solat jumaat pulak ni.”
“Abang
nak kena pancung dengan bos? Tengah hari pun belum ni.” sangkal aku. Bukan tak
bagi dia pergi solat jumaat, tapi baru pukul 11.00 pagi. Kalau balik sekarang,
tak ke bos jeling-jeling sotong nanti?
“Haah,
iya tak ya jugak. Kalau tak, sia-sia ajelah aku ikut kau kan?”
Aku
senyum nipis. Tumpuan aku kembali kepada amoi
yang bertugas di kaunter bayaran. Setelah plastik kecil bertukar tangan,
aku melangkah keluar dari kedai cenderamata. Abang Bidin mengikut dari
belakang.
“Sebenarnya
saya kena beli barang bang. Boleh tak abang temankan saya beli barang dulu
sebelum solat jumaat?”
“Barang?”
Aku
mengangguk laju tanpa memandang. Plastik yang berisi pelekat peti dan rantai
kunci aku sumbat ke dalam beg sandang. Rambut yang diikat satu tadi aku
lepaskan bebas. Biar bernafas.
“Barang
apa?” soal Abang Bidin lagi, tak puas hati.
Aku
mencipta senyum nipis. Kalau aku kata aku nak cari barang untuk dulang
hantaran, agak-agak Abang Bidin terkejut tak?
Heh.
“Abang
ikut aje. Kang saya bagitau.”
“NAK BUAT APA
DEKAT sini?”
Aku
terus keluar dari kereta tanpa memadang Abang Bidin yang masih dalam kepelikan.
“Hish,
bencilah aku cakap dengan kamu ni Naurah, bukannya nak jawab.” Dia terus
mematikan enjin dan keluar dari kereta.
Aku
ketawa kuat bila mendengar dia merungut. Dengan umur dia yang dah hampir empat
puluh tahun, terasa lucu bila mendengar dia merungut macam tu.
“Saya
nak beli barang untuk hias dulang la…” aku menjawab dengan ketawa yang masih
bersisa. “Kalau abang nak tunggu dalam kereta, tunggulah. Tapi rasa rasa saya
lama dekat sini.” Aku angkat kening tinggi.
“Kau
ni…saja nak dera aku, kan?” kereta dikunci menggunakan remote controller. “Kau nak aku kena panggang kalau tunggu dalam
kereta tu lama-lama?”
Aku
sengih sendiri. Pintu masuk kedai bunga dan hiasan itu aku tolak dari luar.
Loceng angin yang diletakkan berhampiran dengan pintu berbunyi nyaring sebaik
sahaja pintu ditolak.
Seorang
pembantu kedai terus melemparkan senyuman, menyambut aku dan Abang Bidin.
Spontan bibir aku mencipta senyum membalas.
“Kau
nak kahwin ke Naurah? Aku tak tahu pun?”
“Abang
duduk je la kat situ,” jari telunjuk aku melurus ke arah kerusi kayu yang
terletak elok pada sudut kedai. “Dah siap nanti saya panggil.” Aku kenyitkan
mata kanan sebelum melangkah ke arah rak-rak yang meletakkan pelbagai jenis
hiasan untuk dulang hantaran. Soalan dia tadi aku biarkan tak berjawab.
“Naurah…”
Tangan aku ditarik dari belakang dengan tiba-tiba. Kedua-dua kaki aku terus
kaku, tak jadi untuk mengatur gerak.
Apakah?
“Sorry,”
Abang Bidin mengangkat kedua-dua tangannya, tanda ‘minta maaf’.
Aku
masih tergamam di tempat aku berdiri. Terkejut sebenarnya.
“Kau
ke yang nak kahwin ni?” Suara Abang Bidin mengendur.
“Bukanlah.”
Aku menjawab sepatah. Tangan kanan yang ditarik Abang Bidin tadi aku lipat di
dada. Awkward…oh no. kenapa terasa awkward gila ni?
“Oh…
okay.” pendek jawapan yang terkeluar
dari mulut dia. “Pergilah cepat. Kejap lagi aku nak cari masjid pulak.”
Aku
mengangguk. Cepat-cepat aku menyusup ke dalam deretan rak yang tersusun rapi di
dalam kedai. Aku menarik nafas lama, meredakan getaran dada sendiri.
Fokus
Naurah, fokus. Kau datang sini nak cari hiasan dulang Wanda. Fokus.
Sempat
aku menjeling ke arah kerusi kayu tempat Abang Bidin duduk tadi. Dia mula leka
dengan kamera yang dari tadi digantung pada leher. Melihat kemali imej yang
diambil dia tadi. Aku mengeluh lagi tanpa sedar.
Tanpa
menghiraukan debaran dada yang mula kembali normal, aku terus bergerak ke
kaunter untuk mengambil bakul plastik yang disediakan untuk pelanggan. Senang
nak letak barang-barang yang akan diambil nanti.
Lenovo
S890 aku keluarkan dari poket seluar dengan tangan kanan sebelum membuka
ruangan whatsapp. Jam ditangan aku
pandang sesaat sambil membawa jari jemari berlari di atas skrin telefon.
‘Abg nak pergi masjid dulu pun tak apa.
Dh habis nanti saya call.’
Tak
sampai seminit.
Lambat lagi
Aku duduk sini je la.
Dah dekat pukul 12.30.
Sy lama lagi ni.
Banyak barang nak kena pilih.
Takut abg bosan pulak
Tak
bosan pun
Take
ur time.
OK
Aku
memandang ke arah Abang Bidin yang sudahpun bersila di atas bangku kayu tadi. Bagaikan
memahami, dia terus mengangkat tanda ‘OK’ sebelum kembali mengalihkan
pandangannya ke arah DSLR di tangan.
Aku hanya mampu tersenyum nipis
sambil mengeluh perlahan. Rasa bersalah pulak heret Abang Bidin datang sini.
“Nak pilih apa kak?”
Jantung aku hampir terloncat keluar
bila mendengar suara asing dari belakang. Aku mengurut dada. Wajah manis
pembantu kedai yang berada di kaunter tadi tersenyum lebar.
“Boleh saya tolong?” sambung dia
lagi.
Aku memandang tag nama yang tertulis
‘Rosie’ pada bajunya. Spontan kening
aku terangkat tinggi. Zaman sekarang ni pekerja di kedai bunga pun pakai tag
nama eh? Hebat.
“Er, tak apa. akak cari sendiri.”
Aku membalas dengan senyuman. Tangan kanan menolak rambut ke belakang telinga.
“Terima kasih ya.”
Rosie mengangguk perlahan sebelum
kembali ke kaunter hadapan. Aku mula memilih beberapa jenis riben dan bunga
yang mengikut tema majlis Wanda nanti. Merah jambu dan ungu.
Jari jemari mula membelek pelbagai
jenis bunga tiruan yang tersusun di atas rak. Semuanya cantik! Beberapa batang
bunga merah jambu dan ungu aku capai dan terus dimasukkan ke dalam bakul.
Bunga kecil, bunga sederhana, dan
bunga besar. Semua sekali aku bedal. Biar lebih, jangan tak cukup.
“Pandai akak pilih.”
Sekali lagi jantung aku mengepam
darah dengan lajunya. Bunga tiruan yang dipegang hampir terlucut dari tangan.
Budak Rosie ni la…
“Tema majlis akak pink dan purple ya?” dia menegur dengan senyuman.
“Eh, bukan…”
“Oh, saya tahu. Hantaran je warna
ni, tema akak warna lain, kan?” laju Rosie memotong.
Sikit lagi aku nak tepuk dahi
sendiri.
“Tapi apa-apa pun, warna ni cantik.
Ramai customer yang pilih warna macam
akan pilih ni. Bunga ni pun baru aje sampai stok kelmarin.”
Aku hanya mampu tersenyum mendengar
penerangan dari Rosie. Ramah sungguh budak Rosie ni.
“Dik, akak tak jumpa span keras
untuk cucuk bunga ni. ada jual tak?” tiba-tiba aku teringatkan sesuatu. Puas
aku intai di segenap pelusuk rak, tapi tak jumpa. Mana entah dia orang letak
span hijau keras tu.
“Akak nak cucuk bunga untuk dulang
ke. Yang hijau tu kan?”
Laju aku mengangguk. Ha, iya la tu.
“Saya cadangkan akak pakai
polisterin, senang. Kalau pakai span hijau tu, dia akan keluarkan habuk. Nanti
leceh pulak nak bersihkan.” Rosie mencapai kepingan polisterin setebal dua inci
dari rak yang berdekatan.
“Oh, iya tak ya jugak, kan?”
“Balik nanti akak potong je ikut saiz dulang. Kalau akak nak kita orang buatkan pun boleh.
Bunga akak pilih sendiri, kami akan hiaskan dulang ikut citarasa akak. Jimatlah
sikit tenaga bakal pengantin.” Dia tersenyum di hujung kata sambil menjeling ke
arah Abang Bidin yang masih leka dengan kamera.
Takkan
budak ni dah silap faham kut?
“Eh,
tak apa. Akak memang nak hiaskan sendiri.”
“Untung
kan kalau pengantin sendiri pandai buat semua.”
Hah,
sah. Dia dah salah faham.
“Tapi
kan kak,” Rosie tiba-tiba mendekati aku dengan nada suara yang tiba-tiba
berubah. Kening aku terangkat tinggi, menanti apa yang ingin disuarakan. “Akak
yakin ke nak kahwin dengan abang tu? Dari tadi nampak dia tak minat langsung
dengan hiasan hantaran ni.”
Aduhai…sampai
ke situ kau dik oi!
“Selalunya
la kan, pelanggan yang datang sini, bakal suami dia orang yang paling banyak
mulut, cadangkan itu ini.” Mata Rosie sekali lagi memandang ke arah Abang Bidin
sebelum kembali menatap wajah aku. “Akak okay ke dengan abang tu?”
Aku
menarik senyum lebar sambil memandang wajah Rosie yang jelas penuh tanda tanya.
Aku
tak tahulah kalau kerja dia dekat sini termasuk dengan ‘masuk campur’ hal-hal
pelanggan. Heh.
“Adik
sayang, sebenarnya hantaran ni bukan untuk akak.” Aku berhenti sesaat sebelum
menyambung, “dan abang yang duduk dekat atas bangku tu bukan bakal suami akak.”
Rosie
nampak terkejut dengan kenyataan aku. Berkali-kali dia menelan air liur dan
tersengih dengan sengihan bersalah.
“Akak
buat hantaran untuk orang dik. Abang tu satu ofis dengan akak.” Sambung aku
lagi. “Lain kali, nak tahu, tanya.” Aku nampak Rosie menggigit bibir beberapa
kali. Itulah, tak tau tanyo dolu, jangan
goma momandai-mandai.
Heh,
tiba-tiba masuk lirik Gadis Jolobu
pulak.
“Sorry kak.”
Aku
mengangguk. Nak brain wash lama-lama,
kesian pulak. “Ini je dik. Buat resit ye. Akak nak claim dengan bakal pengantin nanti.” Sambung aku lagi. Sengaja aku
tekankan ayat bakal pengantin tu.
Rosie
hanya tersengih sambil membawa bakul aku ke kaunter. Selesai membayar harga
barang, aku terus mendapatkan Abang Bidin yang masih setia menunggu.
“Sorry lambat.”
“Takde hal.”
“Nak ke masjid sekarang?” aku
menolak daun pintu untuk keluar.
“Haah. kau nak tunggu ke?”
Aku senyum nipis. Segala barang yang
aku beli tadi aku sumbat ke tempat duduk belakang setelah Abang Bidin membuka
kunci. “Saya ada pilihan lain ke?”
“Ikut aku pergi masjid la. Apa ada
hal.”
Darah merah terus berlari ke muka.
aku tahu Abang Bidin tak bermaksud untuk perli aku.
Kan?
“Saya tunggu abang sampai habis
solat la.” Aku menjawab perlahan.
“Kau nak tunggu dekat mana?” Abang
Bidin sudahpun masuk ke tempat pemandu. Aku turut sama melangkah masuk ke dalam
kereta, mengambil tempat di bahagian penumpang.
“Abang dropkan saya dekat jalan TAR. Dah habis nanti abang call saya.”
“Nak
buat apa pergi jalan TAR tengah hari macam ni?”
“Cari
tudung.” aku menjawab tanpa memandang. Sebenarnya aku teringatkan pesanan Iqa
semalam. Alang-alang dah tak ada tempat nak pergi, baik aku singgah beli
selendang yang dia kirim terus.
“Okay.”
“Thanks.”
Aku berdehem beberapa kali, membetulkan suara. Entah apa yang Abang Bidin fikir
nanti.
Aku
nampak Abang Bidin tersenyum nipis sebelum membelokkan kereta menuju je Jalan
Tunku Abdul Rahman. “Beli banyak-banyak ye.”
Dan
aku hanya buat-buat tak dengar.
No comments:
Post a Comment