RIDWANA keluar dari pejabat sebaik jam mencecah ke angka lima setengah. Dia sudah berjanji untuk singgah di kedai Kak Halimah. Ada tempahan hantaran pengantin yang perlu disiapkan. Itulah kerjanya bila ada masa terluang.
Ketika seorang rakan pejabatnya melangsungkan perkahwinan, dia yang menyiapkan semua barang hantaran termasuk sirih junjung. Kak Halimah yang kebetulan berada di majlis tersebut sibuk bertanya siapa yang menyediakan hantaran itu. Kak Halimah sendiri yang datang padanya setelah mengetahui gubahan yang tersusun di atas katil itu hasil kerjanya. Dia ditawarkan untuk bertugas di kedai Kak Halimah. Jika tidak sepenuh masa, cukuplah sekadar secara sambilan.
Sejak hari itu, apabila ada tempahan yang terima, Kak Halimah akan menghubunginya, meminta dia menyiapkan hantaran pengantin. Dua minggu sebelum majlis, pelanggan akan menghantar barang-barang yang hendak digubah ke kedai Kak Halimah.
Sesetengah pelanggan akan meminta dia menggubah mengikut kehendak mereka. Ada juga pelanggan yang memberi sepenuh kepercayaan padanya, mengubah barang-barang tersebut mengikut kehendaknya.
Barang-barang yang diperlukan diambil dari kedai Kak Halimah. Kedai menjual alat-alat jahitan dan pelbagai jenis barang-barang yang berkaitan dengan majlis perkahwinan termasuk bunga pahar. Dia dibayar mengikut jumlah hantaran yang disiapkan, itu perjanjiannya dengan Kak Halimah tapi ada kalanya, bayaran yang lebih diberikan padanya jika gubahan yang dihasilkan memerlukan belanja yang banyak dan merumitkan. Jika ada tempahan bunga pahar dan pekerja Kak Halimah tidak dapat menyiapkannya dalam masa yang ditetapkan, dia akan dipanggil untuk membantu.
Dia senang dengan kerja-kerja yang sebegitu. Ketika usianya mencecah tujuh belas tahun, dia pernah memenangi tempat pertama dalam pertandingan gubahan hantaran. Menggubah bunga juga sebahagian dari hobinya.
Dia juga punya cita-cita, ingin memiliki sendiri sebuah butik pengantin. Butik yang menyediakan kemudahan menyewa pakaian pengantin, menyiapkan pelamin, barang hantaran dan apa saja yang berkaitan dengan majlis perkahwinan. Emak hanya tersenyum ketika dia bercerita tentang cita-citanya. Kata emak, sibuk siapkan hantaran orang, hantaran untuk diri sendiri bila lagi. Dia hanya tersengih, belum ada jodoh, apa nak buat.
Keretanya diberhentikan di hadapan kedai runcit, itu saja tempat yang kosong. Terpaksalah dia menapak ke kedai Kak Halimah yang terletak di bahagian hujung deretan kedai tersebut.
“Assalamualaikum.”
“Waalaikumussalam. Hah... dah sampai pun. Ingatkan tak jadi datang.” Kak Laila pembantu Kak Halimah yang menyambut kedatangannya.
“Kalau Wana dah kata nak datang, Wana mesti datang. Kak Limah mana?”
“Ada kat belakang. Masuklah.”
Ridwana tersenyum, diatur langkahnya ke bilik yang terletak di bahagian belakang kedai. Bilik yang digunakan oleh Kak Halimah dan Kak Laila untuk berehat dan menyimpan barang-barang.
“Assalamualaikum.”
“Waalaikumussalam. Wana! Panjang umur.”
“Oooo... Kak Limah mengumpat Wana ya.”
“Ha’ah... mengumpat dengan Kak Laila.” Kak Halimah ketawa kecil. Ridwana turut sama ketawa sambil menarik kerusi di hadapan Kak Halimah.
“Berapa barang Kak Limah ?”
“Amboi! Tak sabar pula Wana.”
Ridwana hanya tersengih.
“Dah lama tak menggubah Kak Limah. Tangan ni dah rasa lain macam, tak boleh nak duduk diam.”
“Hmm... start bulan ni jenuhlah kita. Cuti sekolah nak mula. Ramai yang nak buat kenduri kahwin. Tempahan bunga pahar dah banyak yang Kak Limah terima, itu pun dah ditolak tapi bila pelanggan dah minta juga, tak sampai hati pula nak menolak.”
“Jangan terima saja Kak Limah, tak cukup kaki tangan Wana nanti.”
“Itulah... tapi Sita ada kan, tentu dia boleh tolong. Bukan tolong saja, adalah upahnya.”
Ridwana hanya tersenyum, memang Rosita juga berbakat dalam menyiapkan gubahan dan bunga pahar tapi Rosita lebih berminat membuat bunga pahar.
“Nah... ini barang-barangnya. Ada lima, pelanggan kata tak kisah Wana nak gubah bentuk apa. Dia minta tambah satu gubahan yang guna coklat, tak kisah coklat apa, bentuk apa.”
“Hmm... tak kisah apa-apa ya.”
Kak Halimah mengangguk.
“Bila nak barang ni semua ?”
“Minggu depan.”
“Minggu depan hari apa Kak Limah. Ada tujuh hari tu.”
“Amboi! Sempat nak kenakan Kak Limah ya.”
Ridwana sudah ketawa, geli hati melihat memek muka Kak Halimah.
“Kalau boleh hari Khamis Wana siapkan semuanya. Hari jumaat customer nak ambil.”
“Coklat tu macam mana ? Wana beli ke ?”
“Lagi baik kalau Wana yang beli. Wana yang nak buat.”
“Siapa customer ni Kak Limah? Nak juga Wana tahu, nanti buatnya ada yang tak kena dengan gubahan kita, mengamuk pula. Tau ajalah kalau dah statusnya mak datin ke, puan sri ke. Silap sikit aja, melentinglah pula.”
“Ha.... baru Kak Limah nak cakap, Wana dah tanya. Wana ingat tak Puan Roslina.”
Terdiam Ridwana untuk seketika. Mencari-cari wajah dan nama yang disebut oleh Kak Halimah. Puan Roslina mana pula ni.
“Tak ingat la... Wana ni slow sikit kalau nak ingat muka orang.”
“Ala... yang puji Wana melambung masa Wana gubah set sofa dengan coklat tu.”
“Ooo.... yang tinggal kat banglo besar tu.”
“Hmm... ingat pun.”
“Huh... miang betul laki dia.” Terkeluar juga kata-kata itu dari bibirnya. Terbayang-bayang wajah tua suami Puan Roslina yang tersenyum-senyum padanya. Sempat pula mengenyitkan mata.
Kak Halimah sudah ketawa, memang Ridwana mengadu dengannya tentang perkara itu. Sempat dia diusik ketika menghantar barang-barang yang sudah siap digubah ke rumah Puan Roslina.
“Puan Roslina yang kenalkan customer baru ni. Siapa namanya... ah lupa pula. Kak Limah pun dah tua, susah nak ingat nama orang.”
Giliran Ridwana pula ketawa kecil. Kak Limah sudah menggaru kepalanya, tiba-tiba sahaja terasa gatal.
“Wana ambillah apa yang Wana nak.”
“Okey.”
Ridwana angkat beg kertas yang berisi kain tuala, sejadah, kain pasang dan beberapa jenis barang yang hendak digubah untuk dibawa ke bahagian hadapan.
“Wana tak ambil dululah Kak Limah. Kat rumah ada lagi yang Wana ambil hari tu. Kalau Wana perlukan apa-apa nanti Wana datang.”
Kak Halimah hanya mengangguk.
“Eh... gubahan ni nanti, masuk dalam kotak ke tidak ?”
“Wana rasa macam mana ?”
“Ikutkan Wana. Wana lagi suka kalau masukkan dalam kotak tapi tengok dululah. Wana tak tahu lagi nak gubah apa. Ha... Wana nak bakullah Kak Limah. Kain pasang ni, Wana nak buat bunga. Senang sikit, tak cerewet.”
“Ikut suka Wanalah.”
Kak Halimah sudah melangkah ke arah bakul-bakul yang bergantungan di satu sudut.
“Nak yang mana ?”
“Yang sederhana cukuplah. Satu lagi Wana nak tanya. Dia ada pesan sirih junjung tak.”
“Hisy... apasal Kak Limah pelupa sangat ni.”
Ridwana sudah menggeleng sambil tersenyum-senyum. Bakul yang dihulurkan oleh Kak Halimah sudah berada di tangannya.
“Ada... sirih junjung ada tapi Wana kena hantar ke rumah dialah. Hari sabtu.”
“Biasalah tu Kak Limah, so hari khamis, Wana hantar barang-barang tu kat sini. Sirih junjung Wana hantar ke rumah dia, pagi sabtu. Hmm... ada tema colour tak ?”
Kak Halimah tersengih, terlupa pula dia hendak bertanya pada Puan Zawiyah yang menghantar sendiri barang-barang yang hendak digubah itu ke kedainya.
“Lupa lagi.” Ridwana memandang ke arah Kak Halimah sambil tersenyum-senyum.
“Dah nyanyuk la Kak Limah ni.”
Ridwana ketawa kecil.
“Wana call sendirilah. Namanya Puan Zawiyah. Laila tengok nombor telefon Puan Zawiyah dalam buku.”
“Yang datang tadi ke Kak Limah ?”
“Ha’ah...”
Kak Laila menyelak buku di atas meja, senarai nama dan maklumat lengkap pelanggan mereka ditulis di dalam buku tersebut. Nama dan nombor telefon Puan Zawiyah ditulis di atas kertas kecil kemudian dihulurkan pada Ridwana.
“Sirihnya macam mana. Kak Limah belilah... susah sikit Wana nak beli. Hari-hari kerja, nak ke pasar pun tak sempat. Beli awal-awal nanti kecut pula.”
“Yalah.. yalah.. hari jumaat Kak Limah beli.”
“Kotaknya Wana ambil kemudian ya, Wana buat dulu, karang tak kena saiz pula.”
“Yalah... Wana datanglah, ambil barang apa yang Wana nak guna, tapi kena tulislah, nanti short pula stok Kak Limah.”
“Yes boss.... No problem boss.” Ridwana sudah ketawa sebaik saja menghabiskan ayatnya. Kak Halimah dan Kak Laila turut sama ketawa.
Ridwana sampai di rumah ketika azan maghrib berkumandang di surau yang berdekatan. Sudah lama dia tidak menjejakkan kakinya di surau tersebut, selagi tidak sampai bulan Ramadan, tak sampailah dia di situ.
Itulah manusia... termasuk dia sendiri. Terlalu sibuk mengejar urusan dunia, mengejar apa yang nampak dek mata akan hasilnya hingga terlupa untuk menyediakan diri untuk akhirat kelak. Ridwana hela nafas perlahan, akui kesilapan diri sendiri. Cepat-cepat dia masuk ke dalam rumah sambil mengangkat barang-barang yang dibawa balik dari kedai Kak Halimah.
No comments:
Post a Comment