Thursday, 16 April 2015

Bab 1: TEMANI AKU SELAMANYA -PENA KAYU


Bab1 - Temani Aku Selamanya

CARL IBRAHIM menyorot wajah tua datuknya. Ada senyuman yang terukir pada wajah yang penuh kerepot itu. Kulitnya juga telah rapuh. Namun hati datuk tidak pernah berubah. Hati datuk masih penuh dengan rasa sayang dan cinta.

"Jangan serik datang ke sini lagi. Kalau pun datuk dah tak ada nanti, Carl pun mesti datang sini juga. Rapatkan silaturrahim," pinta Datuk Latif dengan wajah yang nampak begitu tenang sekali.

Bohonglah kalau Carl Ibrahim kata hatinya tidak terkejut mendengar ayat Datuk Latif. Lihatlah tu, air muka Carl Ibrahim berubah terus.

"Datuk akan hidup sampai anak Carl lahir. Sampai anak Carl lahirkan keturunan datuk dan seterus-seterusnya."

Meletus juga tawa Datuk Latif. Kadang-kadang ayat cucu sulungnya ini pun boleh mengalahkan ayat anak kecil.

“Bila tu kamu nak ada anak? Buah hati pun tak ada.”

Sedikit pedas ayat bidasan Datuk Latif. Bahu Carl Ibrahim pun ditepuk berkali-kali.
Aduh… Selalu sangat isu buah hati ni dibangkitkan. Nantilah Carl Ibrahim cari buah hati tu. Selepas itu, pasti Carl Ibrahim bawa dia ke sini jumpa Datuk Latif.

“Simpan gambar ni, Carl. Ini gambar kenangan datuk dengan arwah nenek kamu,” cerita Datuk Latif pula. Itupun setelah melihat Carl Ibrahim terkulat-kulat saja sejak tadi.

Berkerut terus dahi Carl Ibrahim. Matanya tidak lepas menyorot gambar hitam putih tersebut. Kurang setuju dengan permintaan Datuk Latif.

“Jangan. Datuk simpanlah gambar ni. Gambar kenangan ni.”

“Datuk tak perlukan gambar ni lagi. Sekarang datuk nak Carl pula yang jaga. Jangan hilangkan.”

Carl Ibrahim masih juga dengan air muka kurang setujunya. Namun tidak disuarakan. Bimbang mengundang rasa sedih Datuk Latif.

“Siapa sebelah datuk ni?”

Datuk Latif melihat semula gambar lama tersebut. Lama-lama bibirnya kembali melukis senyuman.

“Itu anak murid datuk. Dia belajar mengaji dengan datuk. Nama dia Alif.”

Nampaknya bukan hanya senyuman, wajah Datuk Latif juga telah berubah bahagia.

“Datuk tak pernah cerita pun?”

“Cerita lama, Carl. Lagi pun datuk dah terputus hubungan dengan dia. Datuk pernah juga cari Alif, tapi tak kesampaian hasrat tu.”

“Datuk nak Carl tolong carikan?”

Lemah saja gelengan kepala Datuk Alif.

“Tak sempat, Carl.”

“Sempat. Walaupun Carl dekat Jerman, Carl boleh tolong cari. Hairi pun boleh tolong Carl.”

“Datuk tak nak susahkan, Carl. Pentingkan urusan Carl dulu. Bila ada masa terluang, baru Carl tolong cari Alif ya.”

Agak lama, barulah Carl Ibrahim mengangguk.

"Alif tu bagus budaknya, Carl. Otaknya cerdas. Pandai mengaji. Tapi datuk sempat ajar dia enam bulan saja. Kemudian Alif ikut ayah dia pindah ke Sarawak. Ayah Alif askar."

Datuk Latif merenung jauh. Mungkin sedang membayangkan susuk tubuh Alif yang telah dewasa.

“Mula-mula memang Alif hantar surat. Lama-lama surat Alif tak sampai ke tangan datuk lagi.”

Carl Ibrahim membisu. Yang pasti ada air muka cemburu yang Carl Ibrahim persembahkan bila Datuk Latif memuji orang lain.

“Arwah nenek kamu cantik, kan?”

Untuk soalan mendadak ini, laju saja Carl Ibrahim mengangguk. Setuju seratus persen dengan ayat Datuk Latif. Lihatlah, sebab soalan ringkas ini, air muka cemburu Carl Ibrahim terus lenyap.

"Nanti Carl nak kahwin, cari isteri yang sifatnya serupa arwah nenek kamu. Tak cantik macam arwah nenek kamu pun tak apa, asalkan iman dia cantik. Susah senang, selalu ada di sisi. Pandai sejukkan hati. Pandai masak. Pandai jaga keluarga."

"Carl muda lagi, datuk. Carl nak cari duit dulu. Carl nak bina kerjaya sendiri. Bila dah stabil, baru Carl fikirkan fasal kahwin."

“Sekarang Carl belum jumpa perempuan tu lagi. Cuba kalau dah jumpa, datuk berani jamin Carl pasti minta dikahwinkan waktu tu juga. Tak boleh tangguh-tangguh dah. Gelojoh.”
“Takkanlah Carl nak buat perangai gelojoh macam tu.”

"’Sebab datuk lihat perangai kamu lebih kurang macam datuk. Jadi datuk bayangkan, kamu pun pasti tak menyempat nanti."

Aduh... Ayat Datuk Latif seperti satu doa pula. Tetapi tak mungkinlah Carl Ibrahim buat perangai gelojoh begitu. Bertentangan sangat dengan prinsip hidup Carl Ibrahim.

“Pilih isteri betul-betul, Carl. Jangan cari isteri yang hanya pandai jaga diri dari dosa besar. Dosa kecil pun mesti dititik beratkan. Paling penting, dia selalu beringat tentang bencana lidah dan tangan. Yang ini ramai orang selalu lupa.”

“Kalau Carl jumpa perempuan tu. Zaman sekarang ni, susah nak cari seorang perempuan yang betul-betul perempuan."

"Senang saja tu. Carl ajarkan supaya dia jadi perempuan yang betul-betul perempuan."

Carl Ibrahim hanya mengangguk. Sebenarnya Carl Ibrahim mati kutu kalau berbahas dengan Datuk Latif. Jadi jalan selamat, angguk saja dulu.

"Nanti kirim salam pada ibu, ayah dan adik kamu."

Carl Ibrahim mengangguk lagi.

"Dah, pergilah cepat. Teksi dah tunggu lama sangat tu. Bising pemandu teksi tu nanti."
Sekali lagi Carl Ibrahim memeluk tubuh kurus datuknya. Memeluk seperti tidak ingin dilepaskan lagi. Entah kenapa hati Carl Ibrahim tiba-tiba saja jadi sayu.

"Datuk tunggu Carl ya? Lagi tiga bulan, Carl datang sini semula. Carl selesaikan semua urusan dan kemudian pindah ke sini."

Datuk Latif melukis segaris senyuman. Pandangannya bertambah kelam. Sorotannya tidak lepas menatap Carl Ibrahim yang mulai mengorak langkah menuju ke muka pintu.

Carl," panggil Datuk Latif. Suaranya antara dengar dengan tidak. Apa yang jelas, tangannya yang hanya nampak seperti tinggal tulang itu diangkat sembari digoyangkan.

Semakin susah saja hati Carl Ibrahim mahu meninggalkan Datuk Latif. Lihatlah keadaan datuk sekarang. Datuk Latif nampak sedih. Nampak hiba. Nampak seperti sulit hendak melepaskan Carl Ibrahim pergi. Sudahnya, sekali lagi Carl Ibrahim meluru lalu memeluk tubuh tua itu seeratnya.

"Nanti jangan menangis rindukan datuk. Nanti datuk susah kalau Carl menangis."
"Datuk jangan risau. Carl lelaki kuat. Takkan menangis. Kalau Carl rindu sangat dengan datuk, Carl terbang ke sini semula. Tak cukup tiga bulan pun tak apa."

Datuk Latif manggut-manggut. Bersama segaris senyuman tipis, dia melepaskan Carl Ibrahim pergi.

Carl Ibrahim masih sibuk memasukkan begnya ke dalam bonet teksi. Baru dua beg yang masuk, Mak Uda sudah memanggilnya seperti orang gila. Suara Mak Uda pun tidak jelas. Yang jelas hanya suara Mak Uda mengongoi.

"Kenapa Mak Uda?"

"Datuk kamu… Datuk kamu dah tak ada," luah Mak Uda dengan suara yang tersekat-sekat. Kemudian Mak Uda mengongoi lagi. Mengongoi seperti tidak akan berhenti lagi.

Beg yang sedang Carl Ibrahim pegang melurut lalu jatuh menyembah rumput hijau. Otak Carl Ibrahim kosong. Hayunan langkahnya juga tidak segagah tadi. Tubuhnya bergetar dengan teruk menahan rasa sebak yang bergulir.

Saya ada seorang datuk. Nama datuk saya Latif. Dia datuk terbaik pernah saya miliki.

No comments:

Post a Comment