Bab 2
TELEFON bimbit aku berdering beberapa kali sebelum aku menekan
butang hijau. Panggilan daripada mekanik tempat aku menghantar kereta milik
ayah yang aku gunakan. Memberitahu aku jumlah yang harus aku bayar atas
perkhidmatan membaiki kerosakan kenderaan tersebut. Pening sedikit kepala aku
mendengar jumlah yang disebut. RM550.00. Mana entah aku nak cekau duit sebanyak
itu tengah-tengah bulan ni?
|
Kata mekanik itu, jumlah itu cuma
anggaran kasar selepas menilai tahap kerosakan yang dialami oleh kenderaan
tersebut. Ada tambahan atau tidak, dia akan umumkan kemudian. Manalah tahu ada
komponen atau bahagian kenderaan yang perlu diganti. Aku mengeluh mendengarkan
itu.
Petang semalam, ketika aku mengundurkan
kenderaan keluar dari kawasan parkir, aku telah melanggar sebuah kereta jenama
Kia Sorento model yang terkini.
Nombor plat baru pula tu. Mungkin baru
dalam sebulan dua merasa dipandu di atas jalan raya. Aku tak tahulah milik
siapa sebab ketika kejadian itu berlaku, tuan punya kereta tidak ada. Marah
betul aku atas kecuaian diri sendiri.
Setelah beberapa ketika aku menunggu,
pemiliknya tidak muncul-muncul. Aku mengambil keputusan untuk mengambil
beberapa gambar kerosakan yang dialami oleh kereta tersebut serta mencatat
butir-butir penting dan perlu.
Sebelum pergi, aku tinggalkan nota
dengan nombor telefon bimbit untuk pemilik kereta itu menghubungi aku. Namun
sampai kini, dia masih belum menghubungi aku. Aku cuak juga memikirkan berapa
banyak perbelanjaan untuk membaiki kenderaan tersebut. Manalah tahu mencecah
ribu-ribu.
Tiba-tiba Fariq Hatta melintas di
hadapanku. Dia mengerling aku sekilas. Lagi sekali pandangan yang sukar
ditafsirkan itu mengisi ruang mata. Ekor mata aku terus mengiringi langkahnya
sehinggalah dia masuk ke dalam bilik pejabat.
Minggu ini orang lain, minggu depan
orang lain. Entah apa nak jadi dengan makhluk Tuhan yang kacak seorang ini?
Mana hilang pasangannya tadi, tidak bersama pula. Agaknya sudah pergi setelah
melampiaskan rindu yang membuak-buak. Aku jeling Fariq Hatta yang keluar dari
bilik pejabat dan sekarang sedang berdiri di hadapan Kak Su, sedang mengarahkan
setiausahanya itu untuk melakukan sesuatu. Bila dia menoleh secara tiba-tiba, pandangan
kami bertembung lagi dan aku tundukkan kepala, segera buat-buat sibuk.
“Siapa letak fail bertimbun-timbun atas
meja aku ni?” Terkejut aku bila perasan meja aku penuh dengan fail-fail klien
syarikat. Muntah hijau aku kalau hendak siapkan semuanya hari ini.
Argh! Aku mengeluh sendirian sambil
memulakan kerja. Lupa seketika akan wajah kacak Fariq Hatta melihat lambakan
kerja yang perlu aku langsaikan.
“Yaya?”
Aku menoleh ke arah Kak Su yang mejanya
terletak selang tiga buah meja dari tempat aku. Dia buat isyarat agar aku
mengangkat telefon.
“Kenapa Kak Su?” soalku selepas gagang
telefon aku angkat.
“Yaya buat bos akak marah ke?”
“Kenapa Kak Su cakap macam tu?” Aku
pandang Kak Su yang juga sedang memandang aku.
“Dia minta Kak Su ambilkan fail Yaya
daripada HR. Nampak serius aje.”
Hah? Hati aku jadi tidak keruan.
Takkanlah ambil hati dengan kata-kata aku sampai nak buang aku dari kerja. Isk!
“Apapun, kalau bos akak panggil Yaya...
Yaya get ready aje lah ek.”
Gagang telefon aku letak. Aku jadi
gelabah seketika. Minda ligat berfikir mencari pelbagai alasan untuk
dikemukakan kiranya benar seperti yang dijangka. Kalau betul, Fariq Hatta boleh
sahaja jadikan lebihan tenaga kerja sebagai alasan untuk memberhentikan aku.
Tapi, bukankah tadi Kak Su ada berkata, manpower
tak cukup.
Kata-kata Kak Su kembali
terngiang-ngiang di telinga. Niat aku untuk meneruskan kerja tergendala
seketika. Aku pandang jam dinding, sudah masuk waktu zohor. Baik aku tunaikan
solat dulu. Mudah-mudahan hati aku akan jadi lebih tenang selepas itu.
Sekembalinya aku dari surau, aku terus
mengatur langkah ke bilik pejabat Fariq Hatta. Daun pintu aku buka dan tutup
kembali.
“Encik Fariq panggil saya?”
“Awak, Yasmin Hidayah?” Dia pandang aku
sejenak.
Aku angguk.
“Awak ada kembar seiras atau saudara
yang seiras dengan awak?” Mata dia labuhkan pada fail terbuka yang berada di
atas mejanya. Membelek helaian kertas yang berada di dalamnya.
Aku menggelengkan kepala. Seingat-ingat
aku, mak dan ayah tidak pernah pula bercerita yang aku ini dilahirkan kembar.
Tak tahulah kalau perkara itu disembunyikan daripada pengetahuan aku. Tiada
juga di kalangan keluarga sebelah mak mahupun ayah yang ada gen kembar ni.
Saudara seiras? Kakak dan adik aku mungkinlah ada terbias wajah, sedikit
sebanyak, nama pun adik beradik kan?
“Yasmin Hidayah, awak ada masalah dengan
saya?” Dia bersuara tanpa memandang wajah aku.
Aku yang masih berdiri di hadapannya
menggeleng tidak faham. Masalah? Setahu aku, hati aku sahaja yang ada masalah. Masalah
hati yang entah bila boleh diselesaikan, yang belum tentu ada jalan untuk menyelesaikannya.
“Awak ada masalah dengan saya?” Kali ini
Fariq Hatta berhenti seketika sambil menikam tepat anak mataku buat dadaku mahu
luruh.
“Tak ada.” Pantas aku menjawab.
“Jadi tak akan ada masalah kalau saya
nak keluar dengan awak, kan?”
“Encik
Fariq nak keluar dengan saya? Like a
date?” Bulat mataku memandang wajah Fariq Hatta. Buang tebiat atau apa?
Selama ini tak pernah pun pandang aku, alih-alih ajak aku keluar. Bukanlah aku
tak suka. Suka! Suka sangat! Tapi, peliklah!
Fariq Hatta masih menatap wajahku dengan
secebis senyuman. Mungkin sedang meneliti reaksi aku. Mungkin juga sedang
mengutuk aku dalam diam.
Like a
date? Kening aku terjongket. Liur kutelan, suara pula bagai
tersekat di kerongkong.
“Awak ada apa-apa rancangan malam ni?”
Berkerut dahi aku tak faham.
Terkebil-kebil mata aku memandang wajah Fariq Hatta. Hati aku seakan bertempik
gembira tapi akal aku mengatakan sebaliknya. Lelaki ini menyimpan muslihat.
“Kenapa Encik Fariq nak keluar dengan
saya?” Anak mataku mengecil.
“Awak tak suka?”
Mestilah aku suka. Tapi, aku sengaja
mencebir sebab aku tidak dapat menelah tujuan dia berbuat begitu. Tidak ada
tanda-tanda dia menunjukkan yang dia sebenarnya pernah ada niat mahu keluar
dengan aku. Sebelum ini, hari-hari yang lepas mahupun ketika ini.
Mata dia masih melekat pada wajahku.
“Kenapa saya nak keluar dengan Encik
Fariq pula?”
Kenapa? Apa yang dia mahu? Apa yang aku
mahu? Tidak mungkinlah aku bertindak memalukan diri sendiri.
“Saya cabar awak, Yasmin Hidayah.”
Berubah sedikit riak wajah Fariq Hatta, mungkin tidak menjangkakan itu daripada
aku.
Agaknya dia fikir aku tidak mungkin
menolak diajak keluar oleh seseorang yang mempunyai kedudukan hebat seperti
dia.
“Cabar saya?” Aku terkedu.
“Saya tahu awak bencikan saya. Tapi
percayalah, awak takkan mampu mempertahankan ego awak walau sehari pun dengan
saya. I will make you fall in love with
me… in less than a day.”
Nonsense!
Hati aku sudah menggelegak. Bila masa pula aku ego? Sikapnya
yang over-confident itu memang
menjengkelkan. Kecil mata aku menikam matanya. Memang aku sukakan dia tapi
tidak bermakna aku harus merendahkan maruah aku.
“I
don’t accept no as an answer.” Dia sudah melayangkan sebuah senyuman
kepadaku. Kalau tidak ikutkan hati aku yang panas, mungkin aku sudah cair
dengan senyuman itu.
“Try
me.” Mataku mengecil. Bibir kuketap menahan tubuh yang seakan mahu
menggigil memikirkan betapa dia sedang memperkotak-katikkan ego aku.
“You
wait and see.” Kening itu terjongket.
Tapi kedengaran seperti I’ll make you suffer di telingaku. Well, Encik Fariq Hatta, I’m
already suffering inside.
“6 p.m, today.”
“Whatever.”
Apa dia ingat aku akan tunduk? You are
wrong, Fariq Hatta. Definitely wrong.
“Atau, awak nak saya buat laporan
polis?” Kening dia terjongket lagi. Senyuman sinis dia lemparkan.
“Hah?” Dahiku berkerut seribu. Apa
kena-mengena polis dalam hal ini?
Selembar kertas ditarik keluar dari fail
yang sejak dari tadi terbuka. Tiba-tiba terlintas di minda, bahawa fail
tersebut mungkin fail peribadi aku yang diminta oleh Fariq Hatta daripada pihak
HR. Sepertimana, yang dikhabarkan Kak Su tadi.
“Nota ini awak tinggalkan untuk saya,
bukan?”
Eh! Nota itu, nota yang aku tinggalkan
semalam. Macam mana boleh berada di dalam tangan dia? Diakah pemilik kereta Kia
Sorento yang aku langgar itu?
“Awak nak settle cara saya atau di balai? Saya boleh dakwa awak sengaja
melanggar kenderaan saya atas motif cemburu.”
Aku ternganga. Rasa macam nak
debik-debik mulut dia. Berani dia mengugut aku begitu. Mata aku terkebil-kebil,
nafas pun turun naik tidak menentu. Selebihnya risau jika hal ini dipanjangkan
hingga ke balai. Argh! Masaklah kalau begitu, kemalangan kecil sahaja pun.
Setakat calar sedikit, boleh sahaja diselesaikan di luar tidak perlulah
melibatkan pihak penguat-kuasa.
“Jadi, macam mana?” Nota itu ditarik
balik bila tangan aku panjang saja mahu merenggut dari genggamannya.
“Encik Fariq tak akan buat begitu.”
“Ya, tak akan kalau awak patuh dengan
apa yang saya cakapkan tadi. 6 p.m.
today. Not a minute late.”
“Kalau tak...”
“Awak tahulah nasib awak nanti. And trust me, it won’t be good.” Dia
angkat kening sambil kepalanya ditelengkan.
Aku teguk air liur. Runsing aku,
runsing!
LAGI sepuluh minit jam 6 petang. Aku resah sebenarnya.
Berbelah bahagi sama ada hendak pergi atau tidak janji temu bersama Fariq
Hatta? Kalau aku pergi, berkemungkinan besar aku akan kalah kepada lelaki yang
bernama Fariq Hatta itu. Bukankah aku sudah maklum yang namanya memang sudah
tertulis dalam hati ini? Tidak mustahil aku akan tersungkur dan mencalarkan
sendiri maruah aku.
Tapi, kalau aku tak pergi pula, aku
tetap akan diisytiharkan kalah kerana berundur seperti itu bermakna mengaku
kalah terlebih dahulu sebelum berjuang. Lagipun seperti kata Fariq Hatta, dia
akan mendakwa aku atas kerosakan yang tidak aku sengajakan terhadap kenderaan
miliknya. Argh! Susahnya!
Kenapalah aku harus memikirkan semua
ini? Kalah atau menang, bukannya akan mendatangkan hasil kepada aku. Lebih baik
aku balik dan tidur sahaja di rumah. Aku percaya, ada jalan lain untuk
menyelesaikan hal kemalangan semalam. Baik aku jumpa Kak Su dan tinggalkan
pesanan buat Fariq Hatta. Dengan keputusan itu, aku mengemaskan meja lalu
beredar mendapatkan Kak Su.
“Kak Su, boleh tolong Yaya tak?” tanya
aku pada Kak Su sedikit berhati-hati, tidak mahu Fariq Hatta perasan yang aku
berada di luar bilik pejabatnya. Lagipun, ketika ini dia sedang sibuk melayan
klien syarikat.
Kak Su kalihkan pandangan daripada skrin
komputer kepada wajah aku. Bibirnya menguntum senyum, menanti patah-patah
bicara selanjutnya daripada aku.
“Nanti, tolong bagitahu Encik Fariq. Hal
semalam, saya akan bincang dengan dia esok.”
“Hal apa?” Wajah Kak Su penuh tanda
tanya.
“Adalah, Encik Fariq tahulah.”
“Tunggulah, cakaplah sendiri dengan bos.
Lagipun, klien tu tak lama. Sekejap lagi dah nak pergi dah.”
“Tak apalah, Yaya tengah rushing ni.” Aku berdalih. Tunggu?
Haish, tak boleh. Masak aku nanti.
“Boleh, Kak Su?”
Kak Su mengangguk lambat-lambat dan aku
melangkah keluar meninggalkan pejabat sedikit rasa lega.
Sudah lebih sepuluh minit aku berdiri di
hentian teksi. Tidak ada sebuah teksi pun yang mahu berhenti bila aku
panjangkan tangan menahan. Isk! Aku bukan naik percuma, aku bayarlah.
Tiba-tiba masuk pula sebuah kereta ke
laluan menunggu yang disediakan. Hai, suka-suka hati aje. Ingat jalan tu ada
tertulis nama dia, agaknya. Pintu sebelah pemandu terbuka, seorang lelaki
keluar.
“Yasmin Hidayah!” Kaca mata hitam
ditanggalkan.
“Ada saya batalkan janji temu kita?”
Gulp! Berderau darah aku melihat Fariq
Hatta yang muncul. Apalah malang nasib aku, kalau aku tak melanggar kereta dia
semalam, semua ini tak akan terjadi.
“Masuk dalam kereta. I don’t want to create a scene here.”
Create a
scene? Siapa yang nak buat drama? Aku tercengang seketika tidak
tahu mahu berbuat apa. Aku masih terpaku di situ, tidak berganjak sepicing pun.
Fariq Hatta merengus kasar lalu segera datang hampir, menarik lengan aku
sebelum memaksa aku masuk ke dalam kereta.
“Bukankah saya dah bagi amaran kepada
awak. I don’t accept no as an answer.”
“Encik Fariq, behave yourself.” Aku tarik lengan aku daripada genggaman Fariq
Hatta.
Fariq Hatta pandang wajah aku sekilas.
Nafas dihela.
“Nobody say NO to me. Ever!” ujar dia
sebelum menutup daun pintu.
Aku tarik nafas panjang. Rasa macam nak
tampar muka dia!
Tak sampai seminit, Fariq Hatta sudah
pun berada di sebelah aku, di bahagian tempat duduk pemandu. Dia menoleh
menatap wajahku. Pandangannya yang menikam, buat jantung aku bagai mahu
berhenti berdegup.
“Fasten
your seat belt unless you want me to do it for you.” Matanya masih melekat
pada wajah aku, menunggu tindak balas aku agaknya.
Isk! Mata aku mengecil memandangnya.
Fariq Hatta mendekat, sambil tangannya
cuba mencapai tali pinggang keledar. Tubuh aku spontan terdorong ke belakang,
pantas tangan aku menarik tali tersebut sambil mengerling dia tajam. Geram!
Terjongket sedikit kening dia sebelum
membetulkan postur.
“Encik Fariq, this is not a date. It’s more like me being abducted,” ujarku bila
kenderaan sudah mula bergerak.
“Call
it what you want.” Selamba sahaja dia berkata sambil memandu keluar dari
hentian teksi.
“Urgh!” Aku melepaskan geram. Pandangan
aku buang ke luar tingkap. Hati mendecit marah. Dia fikir dia siapa?
Fariq Hatta menekan pedal minyak. Kereta
terus meluncur laju meninggalkan kota yang bakal menjadi sesak dalam seminit
dua lagi.
“Encik Fariq, kita nak ke mana?” Hati
aku sudah mula kecut bila melihat laluan yang dipililh sedikit asing buat aku.
“It’s
a surprise.” Jawapan yang diberikan Fariq Hatta mengundang rasa bimbang
dalam hati.
“Saya tak boleh balik lambat,” beritahu
aku jujur lagipun ketika itu tubuhku terasa seperti diserang seram sejuk.
“Kenapa? Ada suami tunggu awak di
rumah?”
“I
am staying with my parents, okay.”
“How
old are you? Masih dalam jagaan family?”
Dia bertanya seolah-olah mengejek.
“Of
course! Selagi saya belum berkahwin, saya masih lagi di bawah tanggungjawab
ibu bapa.” Kening aku sudah bertaut.
“Awak tak boleh buat keputusan sendiri?
Nak balik lambat, nak keluar ke mana-mana?”
“Bukan sebab saya tak boleh buat
keputusan sendiri, it’s about respect and
trust. Saya tak boleh betray
kepercayaan yang diberikan oleh keluarga saya.”
“Hmm..”
Sepi seketika. Aku jeling Fariq Hatta,
dahinya berkerut-kerut. Agaknya sedang memikirkan sesuatu.
Tiba-tiba, dia menekan brek. Aku hampir
terdorong ke depan impak tindakan mengejut Fariq Hatta. Kenderaan kemudiannya
dibelok ke sebuah hentian rehat.
Tanpa mematikan enjin, Fariq Hatta memberhentikan
kenderaan di salah sebuah ruang parkir. Dia membuka tali pinggang keledar yang
dipakainya. Kemudian berpaling menghadapku dengan pandangan yang sukar untuk
aku tafsirkan. Hati aku sudah debak-debuk, resah.
Jangan pandang aku begitu, Fariq Hatta.
Aku meneguk air liur. Aku bisa cair!
“Bagi saya alamat rumah awak.”
Aku terkebil-kebil mendengarnya. Nak
buat apa?
“Rumah awak atau atau kita ke balai
sekarang?”
“Awak nak report pasal hal kereta awak kepada ayah saya?” Takkanlah?
Dia tidak menjawab. Dia cuma buat muka
tak ada perasaan.
“Tolonglah, hal ini boleh diselesaikan
tanpa melibatkan keluarga saya, kan?”
“Biar saya yang decide. Awak bagi sahaja alamat rumah awak. Awak tentu tak mahu kes
ini dipanjangkan ke balai, kan? Awak kena saman, awak kena bayar ganti rugi.
Awak kena bayar kerosakan kereta awak sekali. Lagi, kalau saya nak dakwa awak
atas motif tertentu, it will become
another story. ”
Jatuh rahang aku.
“Awak juga tentu tak nak tahu berapa
harga anggaran untuk membaiki kereta saya. Bukan sikit tahu. Awak dah langgar bumper, sampai berlekuk dan dalam pula
tu. Body kereta saya pun habis
bercalar awak kerjakan.”
Aku teguk liur. Hilang semua kata-kata.
No comments:
Post a Comment