Bab 5
B
|
ERMULA dari hari itu Alena menjadi penyewa percuma di rumah Jad.
Dia tidak lagi pulang ke rumah sewanya. Ingin dibayar bulan-bulan kepada Jad
namun tidak diterima lelaki itu. Kononnya bukan rumahnya. Rumah orang tuanya.
Jadi dia tidak layak untuk menerima wang sewaan.
Argh
entah apa-apa Jad! Samalah kalau dah rumah orang tuanya dengan rumahnya. Itu pun
nak berkira.
Alena tidak kisah tinggal di situ. Mereka tidak
selalunya hanya berdua. Rumah itu sentiasa menjadi tempat lepak dan tempat
bermalam teman-teman mereka yang lain. Malah Jad juga seorang teman serumah
yang baik. Lelaki itu sentiasa memastikan keperluannya mencukupi. Segala
barangan makanan dan stok harian mereka berdua sentiasa ada. Wah! Itu untungnya duduk dengan anak
orang kaya macam Jad. Sudahlah muka tampan, baik hati pulak tu.
“Malam ni aku lepak kat luar, Al.”
Alena yang sedang termenung itu pantas memandang
Jad yang baru sahaja muncul dari kamar itu.
“Kat
mana? Aku nak ikut.” Alena mula melonjak tubuhnya untuk bangun dari sofa. Remote televisyen dicapai lalu
mematikannya.
“Hish
tak payahlah. Malam ni geng lelaki je
yang lepak. Orang perempuan tak boleh ikut.” Cepat-cepat Jad memberitahu. Dia
sudah berjanji dengan Zeki dan yang lain untuk melepak di rumah sewa Zeki. Nak jamming sama-sama. Kononnya nak
melepaskan tekanan.
“Weh! Korang nak pergi kelab gay ke?”
“Choi!
Mulut kau tu... tak ada insuran.” Jad menjegil matanya. Geram apabila dituduh
begitu. Ada pulak nak ke kelab gay. Dia ini tulen okey? Masih memilih perempuan
untuk dijadikan teman hidup.
“Manalah tahu... aku tengok kau dengan Zeki pun
lain macam je. Dua-dua tak ada girlfriend...”
“Kau ni Al! Kami tak ada girlfriend bukan sebab kami ni pasangan gay tau tak? Mental kau
ni!” balas Jad geram.
Jaket kulit berwarna coklat di pegangannya
segera disarung ke tubuh. Kunci di dalam poket seluar jeansnya diraba. Risau
andai tertinggal di dalam bilik. Buang masa nak kena ulang-alik.
Alena hanya diam tidak membalas. Perlakuan Jad
hanya dipandang sahaja.
“Kunci pintu. Aku mungkin tak balik malam ni,”
pesan lelaki itu.
Dia hanya mengangguk.
“Ada apa-apa, telefon aku.”
Sekali lagi dia mengangguk.
“Aku pergi dulu. Duduk rumah elok-elok. Kalau
lapar tengah malam nanti, kau panaskan je
pizza yang aku beli petang tadi. Sengaja aku beli lebih untuk kau.”
Jad mengarah pandang ke arah Alena.
Dia mula faham dengan tabiat gadis itu. Nampak
badan saja kurus tetapi nafsu makan mengalahkan dirinya sendiri. Tengah malam
gadis itu akan bangun mencari makanan. Pada awalnya dia hairan juga apabila
melihat gadis itu sibuk memasak spageti tengah malam buta. Bila ditanya,
katanya lapar. Rupanya memang tabiat gadis itu begitu. Hampir setiap tengah
malam Alena akan bangun dan mencari makanan. Kasihan pula.
“Kau dengar tak apa aku cakap ni?” Jad menyoal
apabila Alena kelihatan blur. Gadis
itu hanya memandangnya tanpa kata.
“Dengar...”
“Okay
good. Aku chow dulu. Kunci
pintu!” Sekali lagi Jad memesan. Kakinya sudah melangkah untuk beredar.
Sebaik sahaja dia memulas tombol pintu, Alena
memanggilnya.
“Kau bukan pergi kelab gay kan J?” Sekali lagi
soalan itu terbit dari mulut Alena.
“Hish...
jangan nak mengarut. Pergi tidur. Aku dah lambat ni. Bye.” Jad terus berlalu dan meninggalkan Alena memandang belakang
pintu kayu bercat biru muda itu.
“Jad... kau gay ke?” Alena menyoal sendiri. Dia
risau andai sahabat baiknya itu bernafsu songsang begitu. Sudahlah dilaknat
Allah SWT. Rugi pula tu. Muka kacak dengan badan sasa, tetapi mendambakan
golongan sejenis. Nauzubillah.
Alena teringat akan teman-teman Jad yang lain.
Zeki, William, Atesh dan Nate. Masing-masing kacak dan pintar. Golongan berada
juga. Tetapi masalahnya mereka berlima tidak pernah kelihatan berteman dengan
mana-mana wanita. Bukannya tiada yang minat. Contohnya Jad. Laura itu sudah
terhegeh-hegeh benar ingin couple
dengannya. Tetapi dilayan endah tak endah sahaja. Entah apa yang dicari oleh
lelaki itu. Hish! Please Jad... jangan kau gay.
ALENA cepat-cepat menghampiri pintu utama apabila loceng rumah itu
berbunyi. Dia baru sahaja ingin beredar masuk ke dalam bilik setelah selesai
menghabiskan sebiji pizza yang Jad beli siang tadi.
“Hish...
kau suruh aku kunci pintu, tapi kau tak bawak kunci. Menyusahkan betullah kau
ni, J,” bebel Alena. Tangannya sudah berada di tombol. Namun dia sempat
menjengket dan mata kanannya menghampiri lubang kecil pada pintu tersebut untuk
melihat sama ada memang benar Jad atau orang lain.
“Khan!” Tubuhnya sudah berinjak ke belakang.
Terkejut melihat wajah itu yang terpampang dari lubang kecil itu.
Tangannya menutup mulutnya rapat. Kononnya risau
andai lelaki itu terdengar suaranya. Malah nafasnya yang dihela juga terasa
kuat dan risau akan sampai ke pendengaran lelaki di luar sana.
Dia mula mundar-mandir. Tidak tahu untuk membuat
apa. Loceng masih berbunyi menandakan yang lelaki itu seakan-akan tahu yang dia
sedang keseorangan.
Tidak cukup dengan menekan loceng, pintu itu
pula diketuk bertalu-talu. Sayup-sayup kedengaran suara Khan dari luar sana.
“Alena! Open
the damn door. I know you can hear me. Open
the door!”
Dia semakin menjauhi pintu itu. Risau
seakan-akan Khan dapat membolos masuk. Dia buntu. Tidak tahu berbuat apa.
Tidak lama, baru dia teringat akan pesan Jad
sebelum lelaki itu keluar sebentar tadi. Cepat-cepat dia mencari telefon
bimbitnya dan menghubungi lelaki itu.
“J...”
“Al? Al?”
Bunyi bising di sebelah sana membingitkan
telinganya.
“Khan ada kat
depan rumah kau ni.”
“Kau cakap apa Al? Aku tak dengar.”
“Khan... dia ada sini!” jerit Alena. Geram
apabila lelaki itu tidak dapat mendengar apa yang dia cakapkan.
“Hish
aku tak dengar kau cakap apa. Kau tunggu sekejap. Aku call kau balik.”
Talian dimatikan dan Alena kembali mundar-mandir
di ruang tamu itu. Ketukan di pintu masih kedengaran. Debaran pada hatinya
langsung tidak kurang.
Tidak sampai lima minit, dia menerima panggilan
dari Jad.
“Al? Kau kenapa? Lapar ke?” soal lelaki itu.
“Tak! Hmm...
Khan...”
“Kenapa?” Suara Jad sudah naik oktafnya sebaik
sahaja dia menyebut nama Khan.
“Dia... ada kat
depan pintu rumah kau ni.”
“Sial! Kau tunggu! Aku balik sekarang. Tak guna
betul.”
Alena hanya memandang telefon yang berada di
genggamannya. Dia jadi risau. Menyesal pula dia menelefon Jad. Kalau berlaku
pergaduhan di antara lelaki itu dengan Khan, dia bakal rasa bersalah yang amat.
Disebabkan dia, dua lelaki itu bergaduh dan bermusuhan.
Ya Allah! Kenapalah susah benar kau nak terima,
Khan? Kita tak ada jodoh. Kau bebas. Boleh cari sesiapa sahaja yang kau
inginkan. Kau cukup serba-serbi. Cuma mungkin bukan aku yang selayaknya untuk
kau. Aku tak mampu untuk terus berada di dalam kongkongan kau. Aku sudah biasa
bebas. Tiada siapa yang menghalang. Tiada siapa yang akan mengatakan tidak
untuk aku. Aku sudah biasa sendiri.
Sesungguhnya Alena sentiasa bersendirian. Selama
19 tahun dia menghabiskan masa di rumah anak yatim di Selangor. Dia tidak
pernah kenal siapa ibu dan bapanya. Dia tidak pernah tahu yang dia sebenarnya
mempunyai seorang adik perempuan yang berbeza umur lima tahun dengannya.
Tiba-tiba ketika dia di kolej Matrikulasi, pihak pengurusan anak yatim tersebut
menghubunginya mengatakan segala hal tersebut.
Dia menjadi buntu dan terkelu dengan berita yang
diterimanya. Dia tidak mampu menghadam segala apa yang diberitakan.
Ayah kandungnya, Tuan Safuan Ali merupakan salah
seorang ahli perniagaan yang berjaya dengan memiliki beberapa francais gedung
tekstil di seluruh Malaysia. Malah ibunya, Puan Natrah Hanif mempunyai beberapa
cawangan pusat kecantikan di ibu kota. Hebat!
Namun dia tidak laparkan segala kemewahan dan
kehebatan begitu. Dia sudah biasa hidup serba kekurangan. Dia sudah biasa makan
berkongsi. Dia sudah biasa memakai pakaian yang sama bertahun-tahun. Dia sudah
biasa menguruskan hidupnya sendiri. Jadi, dia tidak memerlukan orang lain untuk
mengurus atau mengatur hidupnya.
Dan disebabkan itu juga dia menerima tawaran
melanjut pelajaran di Leeds itu. Dia sanggup meninggalkan matrikulasi dan teman-teman
rapatnya di Rumah Cahaya. Ingin melupakan segala rasa yang tidak enak semenjak
menerima kunjungan yang tidak dijemput itu.
Dia tahu apa inginnya keluarga ‘barunya’ itu.
Malah dia juga sentiasa maklum dengan wang ringgit yang berada di dalam akaun banknya.
Namun satu sen pun dia tidak pernah ambil. Cukup dengan wang tajaan yang dia
terima dari MARA. Dia tidak perlu ihsan orang lain. Dia sudah biasa dengan
berusaha sendiri. Dia ingin bergerak sendiri tanpa gangguan atau kawalan
sesiapa. Bukan keluarga Tuan Safuan. Dan bukan juga Khan.
Dia mula mengeluh di atas sofa itu. Lututnya
dibawa rapat ke dada. Tubuhnya menekur. Risau berlaku sesuatu yang tidak baik
di luar sana. Telinganya tidak lagi mendengar bunyi loceng atau ketukan pada
pintu itu.
“Al?” Suara Jad kedengaran dari belakang
tempatnya duduk. Dia pantas bangun dan mendapatkan lelaki itu.
“Khan?” soalnya sebaik sahaja dia melihat hanya
Jad di situ.
“Aku sampai dia dah tak ada. Dah blah kut?”
Jad menarik lengan Alena dan membawa ke sofa.
“Kau okey?” soalnya. Wajah Alena di sebelah
dipandang penuh prihatin. Dia menyesal meninggalkan Alena sendirian di situ.
“Okey...”
“Tapi kau nampak macam tak okey, Al. Mamat tu
memang tak dapat masuk dalam rumah kan?”
Alena mengangguk. “Aku tak bukak pintu pun.”
Jad menarik nafas lega. Risau andai Khan
mengapa-apakan Alena.
“Maafkan aku, Al?”
“Untuk apa?”
“Sebab aku tinggalkan kau sendirian kat rumah ni.”
“Aku okey, J. Kau bebas nak ke mana-mana. Jangan
sebab aku kau rasa bersalah dan terkongkong. Aku bukan Khan...” balas Alena
serba-salah. Wajah temannya itu dipandang lama. Dahinya berkerut risau.
“Tahu... tapi aku rasa bersalah.”
“Tak ada apalah, J. Tak payah nak rasa macam tu.
Yang penting tak ada apa pun yang jadi kat aku. Aku okey je ni.”
Jad mengangguk mendengar kata-kata Alena itu.
Nafasnya dihela walau tersekat-sekat. Jenuh dia memecut dengan Vespa
kesayangannya itu. Sudahlah jauh juga rumah sewa si Zeki. Berbakul-bakul dia
berdoa di dalam hati agar tidak berlaku sesuatu yang buruk kepada Alena.
Menyesal juga dirinya apabila mengikut sangat
keinginan untuk berjamming dengan
temannya yang berempat itu. Kalau jadi apa-apa pada Alena sebentar tadi, memang
dia tidak akan dapat memaafkan dirinya sendiri.
“J?” panggil Alena apabila dia melihat temannya
itu sedang berkhayal. Wajah itu berkerut sahaja.
Jad mengangkat kening sebagai tanda menyoal
‘kenapa’ kepada Alena.
“Maafkan aku sebab dah susahkan kau?”
“Al! Aku tak nak dengar kau cakap macam tu. Kau
tak menyusahkan aku pun. Aku okey. Kau kawan baik aku. Aku tak nak apa-apa jadi
kat kau.” Cepat Jad membalas. Dia
tidak gemar Alena berkata begitu. Bukan selalu gadis itu meminta pertolongan
darinya. Selalu Alena akan berdikari dan mengurus dirinya sendiri. Bila
betul-betul terdesak baru mencarinya.
“Tapi...”
“Sushhh...
dah! Pergi tidur,” arahnya. Tubuh gadis itu ditolak agar bangun dan pergi
berehat.
Dalam keterpaksaan, Alena bangun. Dia menunduk
memandang Jad yang masih duduk di situ.
“Thank
you, J.”
Jad mengangguk. Dia kemudiannya bangun dari situ
dan ingin sama-sama bergerak ke kamar.
“J?”
“Ada apa?”
“Kau memang bukan pergi kelab gay kan tadi?”
Tik!
Satu jentikan tepat mengena dahi Alena apabila soalan itu keluar dari mulutnya.
“Weh
sakitlah!” Tangan kanannya naik menggosok dahi yang dijentik Jad sebentar tadi.
“Kau tanya lagi macam tadi, siap kau!”
“Aku tanya je
lah...” balas Alena tidak puas hati.
“Kau boleh tanya apa saja tapi bukan pasal gay
tu. Aku tak nak dengar.” Jad terus meninggalkan Alena di situ. Pintu biliknya
dibuka dan ditutup rapat.
“Tanya pun nak marah. Jawab jelah, bukan susah pun.”
“Aku tak suka kau tanya macam tu!” jerit Jad
dari dalam biliknya.
“Aik?
Dengar?” Alena sudah terbahak-bahak ketawa sambil berlalu menuju ke kamarnya.
Lupa sebentar rasa tidak enak yang dirasainya sebentar tadi. Berada dengan Jad,
cepat membuatnya sembuh dari segala duka dan risau.
Dia sentiasa senang bersahabat dengan lelaki
itu. Dia tidak tahu bagaimana hidupnya nanti setelah tamat dari pengajian.
Sudah pasti masing-masing akan membawa haluan sendiri. Tidak selamanya Jad akan
berada di sampingnya kelak.
No comments:
Post a Comment