Bab 3
A
|
KU fikir,
inilah waktu tamatnya perang antara
aku dengan Shah. Dan aku boleh tenang dah lepas ni, tak payah nak runsing
memikirkan kerenah dia lagi.
Tapi
rupanya tak juga, bahkan akulah yang lebih teruk makan hati.
Seperti
yang dinasihatkan Liza, malam tu aku ke perpustakaan macam biasa. Betul-betul
dah bersedia menghadap Shah. Aku tunggu dia muncul, sambil-sambil tu buat-buat
sibuk berurusan dengan staf di Kaunter Sirkulasi.
Tepat
seperti dijangka, Shah datang untuk ambil phone
dia. Tersengih panjang aje aku masa tu, menunggu dia panggil aku dan paksa aku
terima phone tu. Tapi yang jadi...
Dia
berurusan di kaunter tu, mesra berterima kasih pada staf yang konon dia memang
kehilangan barang tu, dan lepas tu dia terus beredar.
Nyaris
tercengang aku.
Sempat
dia terpandang aku, dan aku tahu dia sedar siapa yang dia tengah pandang ni.
Tapi dengan lagak selamba macam tak pernah kenal aku, dia alih pandangan ke
tempat lain. Dia keluar dari perpustakaan. Macam tu aje!
Dan
sekarang, aku juga yang terkepung kat depan perpustakaan ni. Hujan lebat sangat
sampai aku tak yakin payung boleh elakkan aku dari kebasahan. Bilik bukannya
dekat. Minggu depan pulak aku ada ujian, killer
subject. Masak aku kalau demam dalam waktu-waktu macam ni.
Perpustakaan
dah lama berakhir waktu operasi. Dari berbelas orang, sekarang tinggal aku seorang
di lobi tu. Shah ada sekali, tapi tak menunggu di tempat yang sama dengan aku.
Bersendirian dia kat bangunan sebelah, Bangunan Canseleri. Sejak tadi berpeluk
tubuh sambil merenung titis-titis hujan. Mungkin tengah tunggu kawan jugak.
Ataupun
sebenarnya, tak ada siapa sanggup jemput dia. Yalah, tahun akhir. Semua orang
sibuk. Dia pula, entah-entah langsung tak ada erti di mata kawan-kawan dia.
Tersungging
senyuman sinis di bibirku. Dah tahun akhir, tapi belum juga ada sahabat yang
boleh diharapkan. Rumit betul kalau aku jadi dia.
Tiba-tiba
angin bertiup kuat. Dingin mencucuk hingga ke tulang. Aku kesejukan, segera
berpeluk tubuh dan serentak itu juga aku bersin. Ah, sudah!
Kedinginan
makin menggigit. Aku mula tak yakin mampu bertahan. Lantas kupandang Shah di
bangunan sebelah. Kelihatan dia juga berpeluk tubuh sambil berganjak menjauhi
longkang di tepi bangunan. Dia usap-usap belakang tengkuknya bagai cuba
dapatkan haba.
Dalam
serba salah, aku telan liur. Dan dalam teragak-agak, aku gagahkan juga diri aku
mendapatkan dia.
Memang
kalau boleh, aku tak nak berurusan langsung dah dengan dia. Mindset aku macam dah percaya
bulat-bulat yang dia pembawa bala. Tapi waktu ni dia saja yang ada. Mahu
tak mahu, kena juga minta bantuannya.
Waktu berlari-lari anak meredah
hujan, aku lihat dia menoleh. Aku buat muka selamba saja, terus melompat ke
tempat teduh. Tapi tiba-tiba kaki tersalah pijak. Tubuh hilang imbangan.
Argh!!!
Gedebuk!
Sebijik macam nangka busuk!
Hah, kan dah cakap! Aku tak
boleh berurusan langsung dengan dia, ada aje yang tak kena!
Dalam keadaan sakit yang amat
sangat tu, tak termampu langsung untuk aku bangun. Nak bergerak pun susah.
Lantas aku mendongak, cuba minta tolong. Tapi tiba-tiba terhenti pergerakan.
Yang terlihat di hadapanku kini hanyalah muka terkejut mamat itu.
Aku terdiam. Hangat wajah bila
hati rasa tak enak. Lagi-lagi bila melihat muka terkejut mamat tu tiba-tiba
berubah. Dia pantas berpaling arah lain, sebelum kedengaran tawanya meledak.
Besar gila!
Cepat-cepat aku bangun walau
tubuh tengah sakit. Mahu pergi dari sini. Tak jadi mintak tolong!
“Farisya!” laungnya.
Makin sakit hatiku. Aku tahu dia
cuma mahu mengejek lantas kuluaskan lagi langkah.
Tiba-tiba dia memintas dan
berdiri menghadapku. Langkahku ikut mati tapi tak langsung memandang wajahnya.
Aku pantas berpeluk tubuh dan berpaling ke arah lain.
Kalau dia merepek yang
bukan-bukan nanti, tahulah aku nak buat apa.
“Nak mintak tolong apa, Isya?”
soalnya, buat aku terdiam. Berkerut dahiku lantas menjelingnya.
“Siapa kata nak mintak tolong?”
Dia tersenyum, penuh dengan
maksud tersendiri.
“Kalau tak, takkan awak sanggup
redah hujan datang sini. Awakkan alergi sikit dengan saya.”
Aku makin terdiam. Makin tajam
menjeling, lagi-lagi bila sedar ada kelainan pada senyuman di wajahnya.
Senyuman di muka dia tu...
Kembali hangat mukaku. Dia! Dia
buat muka ketat, muka tahan gelak! Dia tengah mengejek!
“Gelaklah kuat-kuat! Gelak
lagi!” bentakku.
“Mana ada gelak!”
“Itu apa!” Kuacu tangan ke
mukanya.
Dia terkejut, tapi sesaat
kemudian wajah tahan gelaknya muncul semula bahkan lebih ketara. Akhirnya dia
berpaling arah lain, sebelum pecah lagi tawanya. Lebih besar dari tadi, lebih
menyakitkan hati. Argh!
Cepat-cepat aku pergi dari situ.
Redah hujan dan tiba semula di hadapan perpustakaan. Lagi lama duduk situ
dengan mamat tu, lagi sakit hati aku dikerjakannya. Mamat sengal!
Waktu menoleh sekilas ke arah
mamat tu, aku lihat dia juga tengah pandang aku. Senyuman masih tidak lekang
dari bibirnya. Kepalanya pula tergeleng-geleng. Seakan aku ini budak kecil saja
di matanya.
Aku paling muka arah lain.
Menyampah!
Tercegat semula aku di situ.
Berpeluk tubuh tunggu hujan berhenti. Tapi makin lama makin merosot harapanku.
Nampak gayanya hujan ini akan mencurah hingga ke pagi, sama seperti malam-malam
sebelum ini. Aku juga, nampak gayanya akan terus menunggu di sini.
Kujeling mamat itu. Dia sedang
berbual-bual di telefon bimbit, mungkin menghubungi temannya. Mungkin tidak
lama lagi akan ada kereta yang datang menjemputnya, dan aku akan tinggal
sendirian di sini.
Resah semula kurasakan.
Memikirkan yang keselamatan lebih penting, mahu tak mahu, aku lawan juga hati.
Untuk kali kedua, aku redah hujan untuk mendapatkan mamat tu.
“Shah,” panggilku bila tiba
tidak jauh darinya. Dia seakan tersedar dari lamunan lantas menoleh. Senyap
saja dia, hanya pandangan yang menyoal. Dalam serba salah, aku tersengih.
“Pinjam phone?”
Dia diam. Aku ikut senyap, cuba
meneliti reaksi dia. Tapi kali ini dia senyap memanjang. Tidak lagi
tersenyum-senyum seperti tadi. Bila dia hulurkan telefon bimbit, aku segera menyambut.
“Pinjam kejap, eh.”
Dia angguk sedikit, tenang. Aku
berganjak dari sisinya. Kucari-cari nombor telefon Zara dalam simpanannya. Dan
nafas lega serta-merta terlepas dari bibirku sebaik berjaya menemuinya.
Segera kutekan butang hijau.
Dalam pada itu, ekor mataku sesekali mengawasi mamat itu. Bila melihat dia
berpeluk tubuh membelakangiku, aku jarakkan lagi diri dari dia. Mahu lebih
selamat.
“Helo?” Lembut dan mesra suara
Zara di hujung talian, buatkan aku mengeluh lega.
“Helo, Zara.”
“Ni aku weh... Rish. Zara, tolong ambik aku
kat library kejap. Terkepung ni.”
“Kau dengan siapa kat sana?”
“Sorang aje.”
“Habis mana kau dapat phone Shah tu?”
Terdiam. Aku fikir, dia menyoal
tadi disebabkan mahu tahu berapa ramai pelajar wanita yang berteduh denganku di
sini. Jika ramai, mungkin dia akan gunakan MPVnya. Tak terfikir pula aku yang
dia bermaksud lain.
“Oi, aku tanya ni.” Panggilan
itu segera buat aku tersedar.
“Dia pun terkepung sama. Boleh
datang tak ni?”
“Kalau aku kata tak boleh, kau
tetap paksa aku ke sana kan?”
Aku terdiam dengan soalan itu
sebelum tersengih akhirnya. Beberapa ketika kemudian setelah dia nyatakan
persetujuan, talian berakhir. Aku dapatkan mamat itu semula. Kuhulur telefon
bimbit padanya.
Dia seakan tersedar lantas
menoleh. Bila melihat telefon bimbit di tanganku, dia pandang aku semula. Aku
tersenyum nipis.
“Terima kasih.”
Dia senyap, mengangguk sedikit.
Pelik aku bila dia tak menyambut huluran.
“Nahlah…”
Berkerut dahinya. Aku yang memandang
pulak jadi bingung.
“Kenapa?”
“Awak tak rasa susah ke bila tak
ada phone?” Perlahan suaranya.
“Memanglah susah, tapi berapa
lamalah sangat. Boleh beli yang baru, kan?”
“Kalau ada emergency case sementara tunggu yang baru tu ada?”
Aku terdiam.
“U ni kan bebas, orang luar
boleh masuk macam itu aje. Bahaya kalau tak boleh nak contact sesiapa.”
“Tapi takkanlah sampai saya nak
ambik hak orang...”
“Tapi yang buatkan phone awak kena rampas tadi pun saya
jugak.” Tenang pintasnya.
“Tapi saya tak nak benda ni.”
“Tapi benda tu memang hak awak.”
“Apa pulak hak saya?”
Dia terdiam, tajam memandangku.
Aku serius tunggu dia ambik telefon dari tangan aku. Sesaat dua, dia mengeluh
sudahnya.
“Okey, anggap aje phone tu hadiah sebab dah susah payah
siapkan assignment.”
“Tapi Prof. dah reject.” Aku segera membalas.
“Sekurang-kurangnya awak dah
buat.”
“Macam mana dengan markah awak?”
“Boleh repeat kalau fail.”
Giliran aku terdiam, keliru. Dia
nampak tak serba salah langsung. Seakan mengulang subjek sudah jadi kebiasaan
baginya. Kalau aku, jangan kata mengulang, dengar perkataan gagal pun dah rasa
ngeri semacam.
“Jangan campak pulak phone tu kat mana-mana.”
Aku tersedar spontan bertembung
pandangan dengannya. Dia tersenyum sambil mengangkat kening. Penuh erti, seakan
dia tahu fikiranku.
Perlahan-lahan, terlepas keluhan
lemah dari bibirku, tak tahu apa lagi harus kukata. Kupandang telefon bimbit di
genggaman sebelum beralih semula mata ke wajahnya. Dia sudah tidak lagi
memandangku, sebaliknya merenung titis-titis hujan yang jatuh ke bumi.
“Nanti jangan sesekali ungkit
pasal phone ni,” ujarku.
Dia senyap saja, hanya tersenyum
nipis tanpa menoleh sedikit pun. Nampak seperti acuh tak acuh.
Aku terdiam lagi. Sungguh, susah
benar mahu faham peribadi sebenar dia. Ada waktu dia terlalu menyakitkan hati,
ada waktu nampak seperti mengambil berat pula. Kemudian, sekelip mata dia boleh
bertukar jadi endah tak endah.
“Tak apalah.” Perlahan suaraku,
tenggelam-timbul dalam kebingitan hujan. Dalam masa yang sama, ekor mataku
menyedari sebuah kereta menghampiri bangunan di sebelah.
“Terima kasih, Shah.” Sejurus,
aku bergegas meninggalkannya dan meredah hujan.
MASUK saja
dalam kereta, Zara menyambutku dengan pandangan tajam. Hanya kubiarkan lalu
meletakkan beg di kerusi belakang. Tapi selepas itu, dia tidak juga mula
memandu. Pelik aku lantas menoleh.
“Apasal?” soalku.
“Shah tak nak tumpang sama?”
Masih tajam dia merenungku. Tersenyum nipis aku dibuatnya, kembali pandang
hadapan.
“Dia tunggu kawan.”
“Tak sampai lagi dari tadi?”
“Ntah, sibuk kut. Biasalah final year.”
Dia senyap. Nampak teragak-agak
memandu pergi dari kawasan itu. Seketika, hanya kebisuan jadi pengantara. Zara
seperti memikirkan sesuatu. Melihat dia begitu, aku enggan mengganggu. Kubiar
saja dia memandu sementara aku melontarkan pandangan ke luar kereta, melayan
fikiran sendiri.
“Shah bagi?”
Berderai lamunanku lantas
menoleh. Zara sedang memusatkan tumpuan pada jalan.
“Bagi apa?” soalku.
“Phone tu.”
Aku terdiam, baru teringat pada
perkara yang satu itu. Tertumpu anak mataku pada tangan di pangkuan. Hampir
saja terlepas keluhan dari bibir. Entah macam manalah aku boleh terlupa
menyimpannya dalam beg. Sekarang, nak tak nak aku terpaksa mengakui riak pelik
yang terlukis di wajah Zara.
“Ganti rugi. Phone aku berbunyi kat dalam kelas tadi
sebab dia yang hantar SMS.”
Tidak semena-mena tersungging
senyuman di bibirnya.
“Bertuahnya badan.”
Pecah tawa sinisku mendengarnya.
Tersandar tubuh di bangku, kembali lontar pandangan ke luar.
Entah kenapa, lucu benar
penyataan itu kurasakan. Dalam minggu ini saja, sejam aku tertinggal kelas.
Sejam lagi hilang fokus sebab kelaparan. Kemudian telefon bimbitku dirampas. Tugasan ditolak pensyarah. Tadi pula jatuh
tergolek depan perpustakaan. Semuanya
disebabkan mamat tak faham bahasa tu.
Setakat ganti rugi dengan
telefon secondhand ni, bertuah
apanya?
“Okey tak Shah layan kau?”
Berderai lagi lamunanku lantas memandangnya.
“Apasal tanya gitu?”
“Saja nak tahu...” Penuh rahsia
bunyinya. Aku terdiam, pelik dengan dirinya saat ini.
“Macam yang kau tengoklah.”
Perlahan suaraku.
“Kalau aku jadi kau, aku akan
gunakan peluang yang datang ni sebaik mungkin, Rish. Menyesal kalau kau
sia-siakan dia macam tu aje.”
Aku tersenyum sinis. “Tak
kuasalah.”
Zara membisu, tapi di bibirnya
terus ada senyuman penuh erti yang bermain-main. Makin mengelirukan, membuat
aku enggan bersuara lagi.
Senyap antara kami sesudah itu.
Lama.
“Eh, Rish. Aku pelik sebenarnya
dengan korang ni tau.” Tiba-tiba dia menyoal, memecahkan suasana.
“Korang?” Aku menoleh padanya.
“Isy, kau dengan Shah la!” Geram
nadanya sambil mengetap gigi, membuatku tertawa.
“Ohh... okey, okey. Sorry.” Bersama sisa tawa aku
mengangguk. Pura-pura baru mengerti, sedangkan hakikatnya aku sengaja berlagak
bingung. Waktu ini, aku sudah cukup malas untuk berbincang lagi mengenai lelaki
itu.
“Apa yang peliknya?” soalku bila
dia masih membisu.
“Korang ada masalah dalaman?”
Dia nampak teragak-agak.
Aku segera membuang pandangan ke
luar tingkap. Mendengar soalan itu, tiba-tiba saja hati jadi hangat. Entah,
mungkin sebab masih geram.
“Mana ada.”
“Habis, siang tadi tu kenapa?”
“Kenapa apanya?”
“Korang hantar assignment asing-asing.”
“Mmm?” Spontan aku menoleh
padanya. Tak percaya. Dia masih tenang memandu bahkan mengangguk kecil.
“Pagi tadi sebelum kelas, Shah
dah hantar assignment tu. Aku ingat
kau memang sengaja nak ponteng. Tu sebab aku tak call kau bila kau lambat...” Terhenti sejenak dengan dahi berkerut.
Dia bagai memikirkan sesuatu.
“Tapi lepas tu, kau pulak yang
hantar.” Makin perlahan suaranya. Dia menoleh.
“Korang tak ngam, eh? Sebab tu bila dia hantar assignment tu, kau boleh tak tahu.”
Aku terdiam. Mula
bertanya-tanya. Shah buat macam tu? Tapi dua tiga hari lepas dia sendiri yang
mengaku depan aku, tak siapkan tugasan sebab
tak tahu. Jadi kenapa pula dia yang bersungguh siapkan semuanya sendiri?
Dia tiru budak lain? Macam tu?
Berani dia buat macam tu dengan Prof.? Setahu aku, pengalaman Prof. Syikin
bukannya setakat setahun dua mengajar. Pelajar meniru, senang aje dia tahu. Silap-silap hari bulan, siapa tiru
siapa pun dia boleh tangkap.
Dan kalau betul Shah berani
temberang pensyarah yang sorang tu, maknanya dia memang jenis yang bukan
calang-calang punya orang. Pencilok licik! Kuat main toyol! Entah-entah semua
pensyarah lain pun habis ditibai mamat tu.
No comments:
Post a Comment