KENING aku berkerut bila melihat
ruangan parkiran di hadapan kedai penuh. Lama aku menoleh ke kiri dan kanan
mencari ruang kosong, tapi tak ada. Akhirnya, aku masukkan juga di antara dua
motosikal yang diparkir sedikit jarak.
Walaupun ruangan sempit, aku
sumbat juga ego aku masuk hingga ke depan.
Automatik bibir mencipta senyum.
Muat pun. Laju aje aku mematikan enjin dan menurunkan tongkat.
Terjengket-jengket aku turun dari tempat duduk dek ruangan yang terhad.
Beberapa kali mencuba, dapat jugak aku meloloskan diri dari situ.
Aku mengeluarkan kunci dari bawah
seat motosikal untuk kunci tayar macam biasa. Mak selalu pesan, letak motor je,
kunci.
Oleh sebab susah untuk ke tayar
depan dek ruangan yang sempit, aku berjalan membawa kunci hingga ke hujung barisan
motosikal dan masuk dari depan. Langkah dihentikan di hadapan Yamaha Ego merah
menyala yang baru saja aku basuh minggu lepas dan terus saja aku mengunci tayar
depan.
Siap. Tumpuan beralih pula pada
kedai Kak Hasya. Haraplah aku boleh buat kerja macam biasa. Pintu kaca aku
tolak perlahan sebelum menjenguk isi kedai.
Spontan aku menarik nafas
lega-seleganya bila melihat kedai kosong tanpa adik Kak Hasya. Hanya ada
beberapa orang pelanggan dan Ajim yang membuang pandang ke arah pintu masuk
bila loceng angin berbunyi nyaring. Terus saja aku mengangkat kening kepada
Ajim yang berada di muka pintu dapur.
“Hari selasa. Kelas kau pagi aje,
kan?”
Aku angguk. Dah jadi rutin bila
balik kelas singgah sini, sampaikan Ajim pun dah hafal jadual kelas aku.
“Lambat pulak kau datang sini.
Studi ke?” Dia sengih senget.
Aku mencebik. Saja la tu.
Bukannya dia tak tahu aku studi bila esok ada ujian atau peperiksaan aje.
“Bagi kopi latte ais satu.” Aku
terus meletakkan beg di kerusi sebelah sebelum mengeluarkan komputer riba yang
aku tinggalkan dalam mode ‘sleep’ tadi.
“Aik, tukar selera nampak? Aku
baru nak bancuh favourite kau.” Ajim mula berjalan ke tempat kerja dia.
“Saja. Nak sejukkan hati.” Aku
sengih lebar.
“Weh, bagi password.” Komputer
riba diletakkan di atas meja bersama-sama planner hitam yang dah jadi macam diari
aku. Segala benda tentang perniagaan online aku catat dekat situ. Oleh sebab
aku ni boleh tahan pelupa, jadi semua benda aku kena buat rekod.
“Ha, lama akak tunggu kau.”
Aku angkat kepala dari planner.
Kak Iqa terjengul di depan pintu dapur dengan senyuman yang susah aku nak
tafsir.
Kenapa Kak Iqa buat muka macam tu
pulak? Seriau aku tengok. Muka macam nak suruh aku jadi adik ipar dia je.
“Nah.”
Mata aku terarah pada piring
putih berisi sekeping congo bar yang sama seperti aku makan semalam. Apakah?
“Yang ini akak belanja kau.
Sorrylah pasal semalam. Akak pun tak sangka yang adik bos suruh kau bayar
pulak.”
Oh, patutlah!
“Ini pun yang dia buat ke?” Bibir
aku automatik mencebik. Bila dah nampak tuan punya congo bar ni punya perangai,
benda yang sedap pun boleh jadi super tak sedap.
“Akak yang ajar dia buat. Kira
kami sama-sama buat la...”
Bibir aku masih lagi mencebik
tanpa gagal. Bukan senang luka di hati yang tercalar dek gelaran pencuri yang
dia ungkapkan semalam tu boleh pulih, tahu? Memang aku pantang sungguh bila
orang tuduh aku benda yang aku tak buat.
Tahu tak yang tuduh menuduh,
fitnah memfitnah ni salah? Dosa?
Aku menjeling ke arah piring yang
diserahkan tadi. Benda sedap ni pun tak boleh nak pulihkan luka aku ni, tahu?
Elok saja Kak Iqa ke dapur, Ajim
pula datang mendekati dengan gelas latte ais di tangan.
Nah password.” Kertas kecil
bertukar tangan.
“Kau jangan ambik hati dengan bos
kecik tu. Dia tu okey je sebenarnya.” Sambung dia lagi.
Okay haper? Dahlah panggil aku
pencuri. Lepas itu suruh aku bayar pulak makanan yang orang suruh rasa.
Ada ke patut? Mana ada orang kena
bayar bila makan tester?
“Dia ada?” Aku menghirup latte
ais senafas. Macam biasa, kopi buatan Ajim memang terbaik.
“Ada, dekat dapur.”
Hampir tersembur kopi yang aku
minum mendengar jawapan Ajim. Aiseh. Dia ada la pulak!
“Apahal?”
“Aku takut dia humban aku keluar
macam semalam.”
Ajim ketawa lepas. Dulang hitam
yang dibawanya bersama latte ais aku tadi dibawa rapat ke dada. Ajim. Rambut
panjang melepasi kolar tapi dikemaskan dengan cekak rambut hitam.
Pada badannya sentiasa tersarung
apron coklat pekat yang dipadankan dengan uniform kafe. Merah darah. Sekali
tengok, memang ada gaya kafe Jepun punya barista. Padanlah ramai awek yang
singgah sini beli kopi.
“Dia okey la...”
“Okey apa macam tu?” Sekali lagi
aku mencebik. “Ajim...”
Belum sempat aku menjawab, satu
suara asing memenuhi ruang kafe. Laju aje aku dan Ajim berpaling ke arah suara
tadi. Bos dia, adik Kak Hasya.
“Ya, bang?”
Dia pandang aku lama sebelum
kembali kepada Ajim yang bertanya.
“Kejap, aku tak jumpa ni...”
Ajim bergegas mendekati dia di
muka pintu. Aku mengeluh perlahan sebaik sahaja kelibat Ajim hilang dari pintu
dapur. Tangan mula mengeluarkan headphone dari perut beg.
Okey.
WiFi ada. Minuman ada. Makanan...
er...
Aku pandang congo bar yang masih
tidak disentuh. Biar ajelah dekat situ dulu. Sikit pun aku tak rasa nak jamah.
Congo Bar.
Ruangan Google yang kosong tanpa
carian pada skrin komputer riba itu aku pandang lama. Tanpa dipinta, jari
menaip congo car pada petak carian. Tak sampai seminit, carian aku menyediakan
berpuluh-puluh jawapan.
These Congo Bar (aka Blondies)
are soft, decadent, and chewy in the center with ooey gooey chocolate strewn
throughout.
Blondies? Apa tu?
Sekali lagi jari menari-nari pada
papan kekunci.
A blondie (also known as a
"blond[e] brownie" or "blondie bar") is a rich, sweet
dessert bar
OK. Kelakar.
Brownies pun ada blonde tak
blonde ke? Heh, macam-macam!
Aku menggeleng laju. Piring
blondies atau congo bar itu aku pandang lama. Sudah-sudahlah tu Nani. Fokus.
Fokus.
Headphone diletakkan pada kepala.
Laman Facebook aku buka dengan menggunakan tetikus di tangan kanan.
Facebook page dan Instagram. Jom
bekerja!
AKU kembali ke dunia realiti saat
Ajim meletakkan gelas berisi air kosong di atas meja. Spontan bibir mencipta
senyum sambil menarik headphone dari kepala.
“Serius betul.” Komen dia
sepatah. Kerusi di hadapan aku ditarik sebelum dia duduk di situ.
Aku mula bersandar pada kerusi
sebelum menggeliat kecil. Membetulkan urat. Dah lebih pukul tiga pun. Patutlah
leher ni lenguh semacam. Nasib baiklah aku cuti hari ni. Kalau tak, sia-sia je
lambat solat sebab khusyuk sangat mengadap komputer riba. Sibukkan hal dunia.
“Kalau kau belajar pun serius
macam ni kan bagus?”
Sengihan manis aku bertukar
masam. Ajim ni pun, sempat lagi nak perli aku. Gelas air kosong yang dibawanya
tadi aku capai dengan sebelah tangan. Tiba- tiba terasa perit pulak tekak.
Dahaga dia lain macam. Mungkin
sebab cuaca yang tengah jerebu sekarang ni. Ajim pulak, macam tahu- tahu aje
yang tekak aku tengah haus air kosong. Bravo Ajim. 100 markah untuk kau.
“Senyap sunyi je kedai...” Aku
membuang pandang ke seluruh isi kafe. Pelanggan yang duduk minum pun dua orang
aje. Pasangan agaknya. Dari tadi bergelak ketawa, bergurau senda.
Dan, Ajim aje yang ada dekat luar
ni. Bos dia tadi entah dekat mana.
“Khalisha cuti lagi ke?”
Ajim mengangguk sekali. “Balik
kampung rasanya.”
Oh, patutla lama betul dia cuti.
Kak Iqa pun lepas keluar bagi blonde brownie tadi, terus hilang.
Blonde brownie...
Laju saja mata aku mencari piring
yang berisi congo bar tadi. Melihatkan piring putih itu kini kosong, serta
merta aku menelan air liur. Tak percaya.
Aku dah habiskan benda tu? Bila
masa? Kenapa aku tak sedar pun?
“Kau kenapa?” tegur Ajim dengan
kening terangkat.
Jari telunjuk aku tepat pada
piring kosong tadi.
“Benda ni...” Ayat aku terhenti
di situ.
Ajim senyum meleret. Kedua
tangannya dilipat ke dada.
“Suka betul kau dengan congo bar
tu. Setahu aku, kau tu bukannya hantu kek. Satu slice kek pun kau tak pernah
habis.”
Aku masih lagi diam, tak
memberikan reaksi. Masih tak percaya yang aku dah habiskan pencuci mulut tu.
Memang betul kata Ajim. Tak pernah aku habiskan hatta satu potongan kek yang
aku beli.
Sebab utama. Manis. Sebab kedua,
aku cepat muak.
Tapi benda yang aku makan tadi
tak rasa manis pun. Muak pun tak. Just nice.
“Lepas ni, nampaknya kau kena
berbaik dengan Abang Tri tu.”
Giliran kening aku pula yang
terangkat.
“Abang tiga mana pulak ni?”
Meletus jugak tawa Ajim.
“Bos kecik tu la. Abang Tri.”
Ajim menjawab pendek.
“Nama dia Fitri. Rupanya dia
tinggal dekat KL nun. Jauh betul ulang alik datang Shah Alam tiap-tiap hari.
Bos memang paksa dia datang sini, tengok kedai. Sambil belajar...”
“Chup... chup!” Aku mengangkat
kedua-dua tangan ke depan, memotong penerangan Ajim yang dah panjang berjela.
“Yang kau buat karangan biografi
bos kecik kau tu kenapa? Aku sikit pun tak rasa nak tahu. Tahu tak?” Tiba-tiba
pulak telinga terasa panas dek nama yang disebut Ajim tadi.
“Kau ni la. Aku nak bagitahu je.”
Ajim ketawa lepas. Perlahan-lahan dia menggeleng.
“Tak payah. Aku tak nak tahu
pun.” Aku buat muka bosan.
“Tapi, apahal aku kena berbaik
dengan dia pulak?” Kepala tiba-tiba teringatkan topik asal tadi. Topik ‘Aku
kena berbaik dengan Abang Tri ‘
“Sebab dia suka buat benda yang
kau suka makan ni.” Ajim memuncungkan mulut tepat pada piring putih yang hanya
berbaki sisa congo bar tadi.
“Tak ke sesuai tu?” Keningnya
diangkat berkali- kali.
“Langsung tak.” Aku menjuihkan
bibir.
“Dah. Pergi kerja, jangan nak
mengarut.”
Ajim ketawa lagi. Nak tak nak,
dia terus ke kaunter bila pasangan tadi mula bergerak ke kaunter bayaran.
Tumpuan aku kembali pada komputer riba yang dibiarkan sepi dari tadi. Belum
sempat jari jemari menyentuh papan kekunci musik intro entah lagu apa tiba-tiba
memenuhi ruang kafe. Aku dan Ajim mula berpandangan.
Tak pernah-pernah pun kafe ni
pasang lagu. Aku pasang telinga, mengamati.
Berapa lamakah lagi
Terpaksa aku menanti
Sehingga teguhnya pendirian di
hati
Lirik pertama mula dinyanyikan.
Serta merta mata aku bulat, tak percaya.
Ini bukan ke lagu zaman...
Gila!
Coffee house pasang lagu jiwang
zaman 90-an? Biar betul? Lagipun, bukan ke coffee house sepatutnya tempat yang
tenang dan mendamaikan? Ini dah macam pusat permainan boling pulak jadinya.
Cuma lagu je versi Rock Kapak dan
Rock Jiwang.
Bukan hanya kepentingan Malahan
keegoan
Telah ku korbankan
“Ajim, tutuplah radio tu. Bising!
Berdarah telinga aku dengar lagu ni.” Aku melaung dari kerusi sebaik sahaja
pasangan tadi keluar dari kafe.
“Bukan aku lah.” Dia menjawab
pendek.
“Dah tu?”
Belum sempat Ajim menjawab, tak
semena-mena ‘Abang Tri’ tadi keluar dari dapur dengan muka selamba. Dua pasang
mata terus jatuh pada dia yang selamba meletakkan kek ke dalam chiller.
“Kenapa?” soal dia sepatah. Dia
memandang aku dan Ajim bersilih ganti.
Ajim tahan gelak. Aku mencebik
sesaat sambil meletakkan kembali headphone tadi ke kepala. Nasib baiklah aku
bawa benda ni. Kalau tak, mahunya aku pengsan dengar lagu jiwang dia.
Windows Media Player yang
dibiarkan dalam keadaan pause tadi mula mengeluarkan bunyi bila beralih pada
play.
Suara Beyonce dan Jay-Z mula
menjamah telinga. Dejavu.
Sempat aku menjeling dia sesaat
sebelum kembali pada kerja di depan. Latte ais dah habis. Air kosong tadi pun
dah tinggal sisa. Haraplah mamat suka tukar password tiap-tiap hari ni tak
tendang aku keluar. Kalau betul dia tendang, aku mengadu dekat Kak Hasya.
Mulut aku masih lagi mengomel
saat ‘Abang Tri’ Ajim tu keluar dari dapur tanpa apron dan topi chef. Sebelah
tangan memegang telefon bimbit ke telinga sambil berjalan keluar dari kedai.
Aku tarik nafas lega. Akhirnya,
keluar jugak dia dari kedai.
Belum sempat senyuman aku mati,
kelibat dia kembali memenuhi mata. Aku hanya memerhati lagak dia yang berulang
alik ke sana ke mari dengan muka berkerut. Entah apa masalah yang dibincangkan
dengan si pemanggil tu. Sikit pun aku tak dapat tangkap butir bicara dari mulut
dia.
Suara Beyonce yang menyanyikan
lagu Dejavu masih memekak di telinga. Tumpuan kembali pada komputer riba di
depan. Tak payah sibuk hal oranglah Nani.
TEPAT pukul lima, aku lurutkan
headphone dari kepala. Komputer riba dibiarkan dalam keadaan stand by sebelum
aku menutupnya rapat. Cukup lah tu. Lepas ni boleh balik rumah, buat tugasan
pulak.
Andainya aku bertanya Padamu
tentang bahagia Di mana nilai setia
Di manakah puncak cinta
Laju aku menggeleng. Ingatkan dah
habis sesi lagu 90-an ni.
Sekali lagi aku meluruskan tangan
ke depan, membetulkan urat yang hampir tegang.
“Aku tak boleh keluar.”
Sikit lagi aku nak terlompat dari
kerusi bila suara itu tiba-tiba menyapa telinga. Betul-betul sebelah aku pulak
tu.
Kepala terus berpaling ke kanan.
Adik Kak Hasya. Ajim punya Abang Tri.
“Kau datang ambil aku. Entah
malaun mana pergi kunci tayar motor aku tu.”
Spontan aku sengih bila mendengar
perkataan malaun dari mulut dia. Suka-suka je cakap orang. Dia tu yang malaun.
“Kau ambik dekat kedai kakak aku,
tahu kan?”
Melihatkan muka masam perisa cuka
dia, aku menggeleng laju. Tak habis-habis lagi ke masalah negara dia dari tadi?
“Ya, aku tahu aku cakap nak pergi
sendiri tadi. Masalahnya motor aku tak boleh gerak ni.”
Tanpa menghiraukan dia yang ke
hulu ke hilir dengan telefon bimbit, aku mula mengemas segala barangan yang
bersepah di atas meja. Selesai semuanya, aku bingkas dari kerusi.
“Ajim, balik dulu!” Sempat aku
angkat tangan kepada Ajim yang khusyuk membancuh kopi untuk pelanggan di
kaunter kopi. Dia mengangkat tangan ke dahi, tanda ‘selamat tinggal’.
Hampir sahaja aku bertembung
dengan dia di pintu keluar. Dia melepas nafas kasar sebelum masuk ke dalam
kedai. Spontan aku mencebik. Kurang tatasusila betul. Dahlah hampir langgar
orang, minta maaf pun tidak. Siap bagi jelingan maut pulak tu.
Sungguhlah aku tak boleh nak percaya
yang dia tu adik Kak Hasya!
Dengan rungutan yang masih
berbekas di bibir, aku mula melangkah ke tempat parking untuk mendapatkan
motosikal yang di parkir tadi. Sebaik sahaja tiba di depan motosikal kepunyaan
aku, aku menyeluk poket seluar, mengeluarkan kunci sebelum duduk mencangkung
untuk membuka kunci tayar.
“Eh?”
Melihatkan tayar kosong tanpa
kunci, tangan aku terkaku tiba-tiba. Aku yakin yang aku dah kunci tadi. Tapi
kenapa tak ada?
“Hah, ingat dalam dunia ni kau
sorang pakai Ego? Motor sendiri pun tak kenal!”
Tak semena-mena suara asing
menegur dari belakang. Laju aku berpaling ke belakang. Bulat terus mata aku
bila nampak wajah tuan punya suara.
Tri?!
Kejap, dia cakap apa tadi?
Sekali lagi aku memandang ke arah
tayar motosikal aku. Macam mana boleh hilang pulak kunci aku ni?
Alamak!
Sikit lagi aku nak terduduk di
atas jalan tar bila melihat kunci merah aku berada di tayar motosikal sebelah!
Aiseh, macam mana aku boleh terkunci tayar motor sebelah pulak ni?
“Cepatlah bukak. Ingat orang tak
ada kerja macam dia agaknya. Lepak dekat kedai sepanjang hari...” Dia masih
membebel sambil bercekak pinggang.
“Orang tak sengaja pun nak
kecoh.” Cepat saja aku membuka kunci tayar Yamaha Ego merah di sebelah.
Aku pun tak ingin nak kunci tayar
kau sesuka hati, tahu? Tak sengaja tu, tak sengaja lah! Takkan tak faham?
Lagipun, semua motosikal Ego merah sama aje bentuk dia. Manalah aku nak
perasan.
“Tak sengaja satu hal. Perkataan
maaf tu tak boleh nak sebut? Berjam-jam aku tunggu siapa punya motosikal. Dalam
kedai tadi pun aku bising, kau boleh buat bodoh?” Dia bercekak pinggang dengan
wajah merah menyala.
Aku tergelak tanpa sempat
ditahan.
Aku pakai headphone, mana la nak
dengar. Padan muka! Siapa suruh kau pasang lagu jiwang karat dalam kafe tadi?
Lagi satu, nasib kaulah beli skuter merah sama dengan aku.
“Dah, tepi.”
Belum sempat aku melawan, sebuah
Satria hitam berhenti betul-betul di hadapan kedai. Cermin tingkap dibuka penuh
menampakkan seorang lelaki berkulit sederhana cerah dengan cermin mata hitam gelap.
“Oii Tri, tadi cakap terkunci?”
Lelaki berkaca mata hitam itu melaung dari dalam kereta. Tri sempat menjeling
aku sesaat sebelum mendekati tuan punya Satria.
“Malaun tadi dah bukakan kunci.”
Selamba dia menjawab.
Aku terus ternganga. Apa dia? Dia
cakap aku malaun? Malaun sungguh!
Perhatian : novel ini sudah pun berada dipasaran.
untuk pembelian layari http://ideakreatif.net/book.details.php?id=62
atau Mesej kami di Facebook atau facebook page (penerbitan Idea Kreatif)
atau WhatsApp ke 012-312 9793
Perhatian : novel ini sudah pun berada dipasaran.
untuk pembelian layari http://ideakreatif.net/book.details.php?id=62
atau Mesej kami di Facebook atau facebook page (penerbitan Idea Kreatif)
atau WhatsApp ke 012-312 9793
No comments:
Post a Comment