Sunday, 19 February 2017

TERBAHARU - TERBIT FEBRUARI 2017



MILIKI AKU SEJUJURNYA - Dhila Asyfa

HARGA : RM26/RM29*

Syifah terpaksa akur bila orang yang bakal dinikahi mengahwini perempuan lain. Nasib baik Huzair sudi menawarkan diri menjadi pengganti. Tapi, ikhlaskah lelaki itu?


“Aku nak kau patuh apa sahaja peraturan yang sepatutnya kau ikut sebagai isteri aku.”
Terkebil-kebil mataku memandang ke arah Huzair.
“Peraturan? Kontrak?” dugaku dan Huzair tergelak kecil pula.
“Kau ingat kita ni kahwin kontrak ke apa?”

Huzair yang dingin dan kasar bahasa pertuturannya tapi kadangkala mampu mengkhayalkan jiwa sehingga buat Syifah jadi keliru dengan perasaan sebenar Huzair terhadapnya.

“Aku nak kita berkenalan dulu. Kemudian, baru sama-sama jatuh cinta.” Huzair berbisik.
Aku terkedu.
“Macam pasangan kekasih,” sambung Huzair lagi.
Aku paksa diri untuk lelap. Mata kukatup rapat. Tidurlah wahai diri.
“Kau tak pandai bercinta. Aku boleh ajar kau sampai pandai.”
Meremang tengkuk mendengar bisikan Huzair yang ini. Harap ini hanya mimpi. Mimpi.

Mampukah perkahwinan tanpa cinta ini bertahan apabila di depan mereka ada Dayana dan Saidatul yang tak pernah puas mencari titik kelemahan Syifah?

“Syifah jangan sia-siakan Huzair, sebab dia tak pernah ada niat nak buat kamu derita dengan perkahwinan ni.” – Hajah Mastura.

Bolehkah Syifah yang polos itu mencipta bahagia bersama Huzair yang penuh rahsia?



SURVEY CALON JODOH - Ezza Mysara 
(Limited Edition)
Harga : RM26/RM29*


Apabila usia menginjak dua puluh lapan tahun, Nadrah sedar soalan ‘bila nak kahwin’ memang masuk dalam skop soalan wajib tanya bagi rakyat Malaysia. Apa mereka ingat jodoh itu seperti trofi yang harus dimenangi? Siapa cepat dapat, dia menang!

Berhadapan pula dengan isteri Dato Fahmi yang menuduhnya sebagai isteri kedua membuatkan Nadrah terperangkap bersama Naqi. Lelaki yang mengubah hidupnya yang landai menjadi huru hara.

“Hobi awak memang suka menyakitkan hati orang ke?”~ Nadrah
“Tak. Hobi saya mencuri.” ~ Naqi.
“Mencuri?” Terbeliak biji mata Nadrah.
“Yup. Curi senyum awak. Curi fikiran awak. Curi perhatian awak.
Dan skop jenayah yang paling unggul ialah, curi hati awak. Tangkaplah saya Nad, penjarakan saya di dalam hati awak!” Nakal Naqi membalas.

Pertemuan secara tak langsung dengan rakan lama telah menyingkap rahsia yang selama ini kemas disimpan oleh Nadrah. Rahsia yang membuatkan Naqi bertekad untuk membahagiakan si gadis.

“Kalau ya dia kecewakan awak dengan terlalu banyak, awak tak
seharusnya dera diri awak sendiri. Kenapa awak larang diri awak untuk bahagia?” ~ Naqi

Dulu Nadrah yakin untuk sendiri sampai ke tua? Namun dia sedar yang dia perlukan seseorang untuk teman dia sampai bila-bila. Tapi adakah Naqi orangnya?



SENTUHAN KECUNDANG - Hani Fazuha
(LIMITED EDITION)
Harga : RM26/RM29*

Arlina yang penuh misteri, itu yang Zarief rasa. Tapi bagi Hafif, siapa pun Arlina, wanita itu tetap istimewa di hatinya. Cuma, saat Arlina hadir sebagai isterinya, dia belum bersedia. Dan ketika Arlina minta dilepaskan, dia akur.


“Abang pilih untuk penuhi permintaan Linn. Tapi Linn tak boleh paksa abang untuk lepaskan Linn dari hati abang....” Nafas Hafif tarik panjang.
“Someday, no matter how, I’ll find you.”
Arlina telan liur mendengar sumpah janji Hafif. Adai Hafif kembali, mahukah sekali lagi dia pertaruhkan hatinya pada lelaki ini?

Hafif yang penuh rahsia dan Zarief yang lebih banyak diam dari bersuara. Hafif yang pernah menjadi suami dan Zarief yang mahu menggantikan tempat adiknya.

“Alonggg...”

“Panggil saya Zarief. Jangan panggil Along lagi. Sebab panggilan tu akan mencipta jarak antara kita.” Zarief memintas.
Arlina terus terdiam.
“Atau, kalau nak mesra lagi, panggil sayang.”

Mampukah seorang Arlina membuat pilihan apabila yang disajikan di depan mata adalah dua lelaki yang lahir dari rahim yang sama?

Hidup ini bukan hanya tentang apa yang orang lain fikir dan apa yang orang lain mahukan. Tapi yang lebih penting dari itu, apa yang kita fikir dan kita mahu untuk diri sendiri.





TAWARAN HEBAT KHAS UNTUK ANDA..


untuk pembelian 3buah novel Februari (KOMBO) kami tawarkan dengan harga RM80(SM)/RM90(SS) termasuk pos. 
Tawaran harga ini sah sehingga 25hb Februari 2017 sahaja.


Untuk Pembelian:-


ANDA BOLEH TERUS MEMBUAT BAYARAN KE

IDEA KREATIF PUBLICATION 
MAYBANK :562-807-533172  
CIMB: 800-722-6815

Sila email slip pembayaran & alamat ke ke info.ideakreatif@gmail.com Atau PM kami DI FB & Page.

**sila buat bayaran yang secukupnya kerana BAKI TIDAK AKAN DIPULANGKAN.


*harga sebuah novel tidak termasuk kos pos.

Sunday, 5 February 2017

Bab 5 : SEINDAH MAHARKU - HANNA HAIFA


Bab 5

T
ERGESA-GESA Ain melangkah keluar dari Book Garden yang merupakan kedai yang menjual buku rujukan dan alat tulis bagi pelajar universiti. Tadinya dia berkunjung ke sini untuk membeli beberapa batang pen dan juga menukar bateri kalkulator. Sebaik sahaja berdepan dengan lelaki yang tiba-tiba muncul di hadapannya sebentar tadi buat semua yang ada dalam fikirannya berterbangan. Beg sandang ditarik kemas. Tangan yang sudah menggigil digenggam kemas. Insiden sebentar tadi berulang tayang bagai pita rakaman yang tidak mampu dibuang.

Baru sahaja tangan memegang bekas berisi pen yang mengandungi pelbagai warna, ada tangan lain yang turut sama mendarat dibekas tersebut sehingga tersentuh jarinya. Terlepas bekas tersebut dari tangan.

“Lembutnya tangan.”

Tanpa mengendahkan renungan tajam lelaki di hadapannya, Ain rendahkan posisi badan untuk mengutip pen-pen yang sudah bergelimpangan jatuh di hujung kaki. Dengan tangan yang terketar-ketar, sebatang pen digenggamnya erat. Baru dia perasan lelaki itu turut sama membantu mengutip pen yang masih berselerak di hujung kakinya.

So, dekat sini ye awak larikan diri?” Zarul berbisik rendah dekat dengan cuping telinga Ain. Nasib baik tidak ramai yang ada di Book Garden. Berani la dia berada dekat dengan Ain.

 Ain tentang berani pandangan pemilik mata hazel di hadapannya. Untuk tiga saat, matanya berdegil mahu melihat lelaki itu. Lelaki itu segak bertali leher berwarna biru tua dipadankan dengan kemeja biru cair dan slek hitam. Lelaki di hadapannya memang punya daya tarikan yang tersendiri. Sejak dari zaman sekolah lagi tarikan itu sudah dirasakan tapi gara-gara perangai yang tak serupa orang, lelaki itu buat dia jelek. Biar muka tak kacak janji perangai tak menyakitkan hati.

“Saya tak lari.  Saya naik bas. Awak pun tahu saya ni student, takkan mak mertua tak bagitau,” sindir Ain. Takkan la nak mengaku dia sengaja balik awal ke kampus untuk mengelak daripada berjumpa dengan Zarul. Mereka hanya bersua muka semasa majlis akad nikah. Hanya itu. Kerana dia yang meminta tiada majlis resepsi diadakan. Cukup hanya doa selamat yang dihadiri oleh keluarga terdekat. Sehingga saat ini, tiada siapa yang tahu dia sudah menjadi isteri orang.

“Ain…Ain. Saya tahu awak ni student, tapi tak sangka berdedikasi sangat sampai balik hostel seminggu awal.” Sindir Zarul tajam. Ain ketap bibir geram.

“Awak buat apa dekat sini? Takkan ibu suruh awak datang jumpa saya sampai kat sini?” Ain genggam tangan yang sudah menggigil. Ingatkan dah balik awal ke kampus takkan mengadap muka Zarul, tak sangka sampai ke sini lelaki ini menjejakinya.

“Ain, saya tak perlu dengar arahan sesiapa terutamanya untuk jumpa isteri saya. Nanti jumpa saya dekat kafe. Saya tunggu awak habis kelas.” Zarul ukir senyum. Kemudian berlalu tanpa pamitan.

 Hilang kelibat Zarul, Ain teruskan langkah kaki laju menuju ke tingkat 2 Bangunan Siswa. Dia sudah 5 minit lewat untuk kelas Ekonometrik. Gara-gara berfikir sambil berjalan, langkahnya agak lambat. Persoalan yang makin kuat mengasak kepala, kenapa lelaki yang seorang itu muncul di pagi Isnin di bumi Seri Iskandar. Bukankah sepatutnya lelaki itu berkerja?

Ain berjalan pantas. Sekejap-sekejap mata menoleh kebelakang.
"Ain!"

Serta merta langkah Ain mati. Tapi dia masih tidak berani untuk mencari siapa yang memanggil namanya. Mata dipejam seketika. Kemudian barulah dia menoleh ke belakang. Ain tarik nafas lega.

 “Kau kenapa Ain?” Pelik Hariz tengok Ain tertoleh ke belakang. Macam dikejar seseorang.

“Tak ada apa-apa. Aku cuma nak cepat dah lambat 5 minit.” Ain tilik jam ditangan. Nasib baik ada geng masuk kelas lambat. Tak ada la malu sangat masuk lambat sorang-sorang.

"Relaks la, awal-awal sem ni tak ada maknanya lecturer nak punctual," balas Hariz selamba. Dah masuk semester 4 ni kira otai dah. Gelagat pensyarah dah ada dalam poket.

Ain tarik nafas lega sebaik sahaja pintu kelas ditolak masih tiada pensyarah.  Biasanya minggu pertama dan kedua awal semester memang jarang ada kelas melainkan pensyarah betul-betul rajin buat kelas.

“Muka kau pucat.” Jiha tegur sebaik sahaja Ain tarik kerusi duduk di sebelahnya.

 Ain pegang pipi. Memang dia akui terjumpa dengan Zarul sebentar tadi buat darah dia berhenti mengalir. Jantung terkejut bagaikan baru sahaja berjumpa dengan makhluk paling menakutkan.

“Nak aku hantar kau pergi UK?” pelawa Jiha. UK adalah nama singkat untuk Unit Kesihatan dikalangan pelajar UiTM. 

Ain geleng kepala. Hantar la dia ke Hospital Bainun pun tak mampu nak pulihkan jiwa dia yang dah separuh lumpuh saat ini.

“Aku ok. No worries. Dah lambat 5 minit ni. Ada ke tak ada kelas ni?” Ain pandang pintu kelas. Cuba mengalih perhatian Jiha dari terus memandangnya. Buku nota dalam beg ditarik. Baru dia perasan tadi dia tak sempat beli pen waima sebatang gara-gara sibuk nak melarikan diri.

Yang sebenarnya, gara-gara terserempak dengan Zarul mood dia melayang entah ke mana. It’s really a monday blues! Thank you Zarul, you really spoiled my day!

“Kau bila sampai sini Ain?” Jiha buka sembang kedai kopi bila pensyarah yang ditunggu masih tak nampak bayang.

“Dari last week lagi.”

“Wei, awalnya? Buat apa?” Jiha bersuara sedikit terkejut.

“Aku jadi fasilitator untuk Minggu Destini Siswa.” Yang sebenarnya dia hanya fasilitator bidan terjun disebabkan ada yang tarik diri saat-saat akhir. Kebetulan Sheera tawarkan padanya untuk turut serta. Dari duduk melangut dekat rumah sewa baik la dia layan adik-adik junior.

“Ooo..”

“Kau dah register semua kelas ke? 

“Dah.

“Berapa jam kredit semester ni?”

“20. Aku ingat nak tarik yang sem depan satu subjek. Jadi tak adalah semester 5 nanti tough sangat. Aku tengok next sem semua 4 credit hour.”

“Ok jugak tu. Kalau kau jadi ambil subjek next sem bagitau aku ye. Nak join juga. At least aku ada la kawan sama batch.”

“Insya-Allah.”

Guys!”

Ain dah Jiha memandang ke arah Hariz yang sudah berdiri di hadapan. Seperti ada pengumuman penting yang ingin disampaikan.

“Kelas batal.”

Dengar sahaja tak ada kelas, bersorak pelajar BM 230. Dah masuk universiti, perkara yang paling menggembirakan adalah bila ada pengumuman dari wakil kelas memaklumkan kelas batal. Tambah-tambah kelas Econometric. Didakwa subjek ni susah tahap dewa kelapan.

Ain mengeluh. Punya la dia semangat pergi cetak soalan-soalan tahun lepas. Alih-alih kelas batal  pulak. Ain menatap buku teks depan mata.

Fikirannya mula menerawang memikirkan kemungkinan bagaimana lelaki itu boleh menjejaki dia hingga ke sini. Takkan la Abang Izham yang pecah lubang. Bukan main baik dia buat perjanjian dengan abang sepupunya semata-mata untuk kembali awal ke kampus. Sudah diingatkan biar jadi rahsia antara mereka berdua. Dia belum bersedia untuk berterus terang hal la yang sebenar.
Tanpa sedar Ain sudah membebel sendiri.

“Farahain!”

Terasa diri disiku, tersembam muka atas meja. Terus Ain buka mata. Keadaan sekeliling diperhati. Dia masih dalam kelas yang sama. Kira-kira 30 pasang mata memandang ke arahnya. 

Dan sepasang mata helang itu bagai ingin menelannya. Air liur ditelan. Terasa kesat.

So, you’re Farahain? Jangan ingat awak best student, kelas saya ikut suka awak je. Dalam kelas saya hanya seorang yang bercakap. It’s either me or you.”

“Lagi satu kalau nak mengelamun ingatkan boyfriend tak payah masuk kelas saya. ”

Ain tunduk menekur lantai. Kecut perut.

“Kalau awak rasa kelas saya boring, pick up your stuff and get out.”  Laung pensyarah itu dari hadapan. Tajam dan pedas. Boleh pecah gegendang telinga. 

Ain terpempan. Rasa nak nangis bercampur geram. Pertama kali kena malukan dalam dewan kuliah. Bilik yang dipenuhi oleh hampir 60 orang pelajar. Matanya tajam merenung raut bengis depan mata. Langsung dia tak perasan bila pensyarah ini masuk ke kelasnya.

“Bukan ke tadi cakap kelas cancel?” soal Ain kepada Jiha.

“Memang la kelas cancel, tapi Puan Ainun minta lecturer baru gantikan. Handsome siot. Dia ajar budak diploma sem lepas. Imran nama dia.” Ayu sudah tersengih-sengih. Pantang nampak pensyarah kacak, terus dilanda perasaan.

“Aku cau dulu. Nanti jumpa kat library.” Sebaik sahaja Ain angkat muka, pandangannya dengan  Imran  bersabung. Cepat dia menunduk. Entah kenapa berangin pulak pensyarah yang seorang itu. Tak pasal-pasal dia tuang kelas hari ni, lagi malang kena belajar sendiri. Harap-harap dia mampu faham buku rujukan Ekonometrik setebal 600 mukasurat itu.

Segera, dia mengemas semua perkakas alat tulis. Beg sandang disangkut ke bahu. Tak fikir dua kali, segera dia cari pintu keluar. Nasib baik awal semester, sempat lagi kalau nak tukar kelas lain. Ahaks!



Bab 4

AIN letakkan tangan di dada. Jantung kencang bukan main sebaik sahaja ibu memberitahu rombongan pengantin lelaki dalam perjalanan. Ain sudah rasa seriau. Macam nak berdepan dengan apa je.  Rasa seperti kaki tidak berpijak di lantai. Wahai jantung kembalilah berdegup dengan normal.

“Ain, kau OK ke?” Kak Asma pandang Ain tak berkelip. Sepupu, yang juga mak andam tak bertauliah Ain. Tangannya berhenti dari merapikan selendang Ain. Usai meletak brooch di kiri dan kanan, dia duduk di sebelah Ain. Dahi Ain dipegang.

“Ain demam ni.” Tisu di tangan Kak Asma tekap ke dahi Ain yang sudah lembab dengan peluh.

“Sikit je.” Ain tarik tangan Kak Asma yang masih berada di dahi. Dari semalam memang dia sudah rasa sakit tekak. Memang itu selalunya petanda dia akan demam.

“Relaks, jangan gelabah.” Nasihat Kak Asma. Pengantin gemuruh agaknya.

 Ain angguk. Entah tiba-tiba dia rasa seram sejuk. Mungkin takut untuk melalui fasa baru kehidupannya sebagai isteri orang.

 “Kak As, pengantin lelaki dah sampai. Handsome macam Hang Tuah.” Zahir, adik bongsu Kak Asma yang berumur tujuh tahun, sudah tercunggap-cunggap sebaik sahaja berhenti depan pintu bilik pengantin. 

“Dia bawak keris la.” Sampuk Amira.

“Dah…dah! Jangan berdiri dekat sini. Bagi laluan ye. Kak Ain nak keluar ni.” Kak Asma menarik budak-budak yang berdiri di hadapan pintu bilik Ain duduk di atas permaidani berhampiran katil pengantin supaya tidak menghalang laluan.

Ain bangun dari duduk. Jenguk ke jendela untuk melihat bakal suami. Rombongan bakal suami sudah sampai. Sudah berada depan pintu rumah. Namun wajah lelaki yang sedang menunduk itu hanya samar-samar dia nampak. Inilah padahnya bila Kak Asma suruh pakai kanta lekap dia berkeras tak mahu. Jadi kejelasan pandangan sedikit terbatas bila tak ada alat bantu melihat, cermin mata.

“Jom keluar. Ain kena dengar suami baca taklik. Kejap lagi nak tengok tak berkelip pun tak ada yang nak halang.” Kak Asma menarik Ain yang berdiri di jendela bilik, dipimpin ke pelamin akad nikah.
Ain pegun melihat lelaki seusia ayahnya, berdiri di sebelah lelaki yang baru sahaja dia intai tadi. Mata dipicingkan, macam pernah nampak. Raut wajah lelaki itu seolah-olah pernah dia lihat. Lama otaknya mencerna. Itu…Pengetua SMK Tun Mutakhir, Cikgu Zaid! Matanya lama pegun di situ.
“Har, duduk dekat sana.” Tunjuk seorang lelaki ke arah tempat yang disediakan untuk majlis akad nikah.

Ain pandang ke arah lelaki yang sedang memegang DSLR memberi arahan. Kenalan pengantin lelaki barangkali. Melihat susuk tubuh yang duduk membelakangkannya dia bagaikan teringat kepada seseorang. Lelaki dari masa silamnya. Makhluk tuhan yang dia tak mahu jumpa seumur hidupnya.

“Zarul Azhar bin Zaid…” Tidak berkelip mata Ain saat terdengar suara tenang tok kadi menyebut sebaris nama itu.

“Saya.” Si dia menjawab yakin. Ain genggam tisu di tangan. Orang yang sama! Sebaris nama itu dia takkan lupa.

“Aku nikahkah dikau...”Suara tok kadi bagaikan terdengar sayup-sayup di telinga Ain. Saat ada tangan yang menyambut huluran tangan tok kadi, peluh sudah merenek laju di dahi. Kalau orang lain rasanya dah sebak menahan rasa sayu. Bagi Ain, dia tengah cuba menenangkan hati yang sedang mengila dengan amukan marah.

“Akak…” Ain sudah masuk mode merengek. Tangan dah pegang hujung kain busana pengantinnya. Aci tak kalau dia lari sekarang?

“Shhhh…dengar suami kau baca taklik tu.” Omel Kak Asma geram. Tangan Ain digenggam kemas supaya diam.

Ain pandang kiri dan kanan. Rumah dipenuhi oleh saudara mara yang datang dari segenap pelusuk. Nak lari ke tak? Kepala rasa berselirat tiba-tiba. Baru sahaja dia berkira-kira untuk bangun, lengannya sudah dicuit orang sebelah.

 “Ain, sini sikit. Suami nak sarung cincin.” Arah Kak Asma agar Ain yang ayu bersimpuh, berganjak sedikit supaya lelaki yang mara mendekat ada ruang untuk duduk di sebelah.

Dongak sahaja kepala, pandangan Ain bertembung dengan renungan seorang lelaki  yang memakai baju dari warna yang serupa, sudah duduk di hadapannya. Memang tidak syak lagi. Lelaki yang sudah meninggalkan warna kelam dalam kanvas hidupnya yang selama ini putih tidak tercela.

Sign sini.” Bagaikan dipukau, Ain sambut huluran kertas dari tangan lelaki itu. Lambat-lambat tandatangan diturunkan.

“Cantiknya isteri abang,” bisik si dia di telinga Ain. Orang di sekeliling sudah riuh ketawa. Ingat sweet la buat macam tu.

 Ain rasa kaki sudah tidak jejak lantai.  Peluh makin melebat di dahi dan seluruh tubuh. Migrain tiba-tiba. Inilah padahnya bila dia hanya sambil lewa tandatangan surat persetujuan nikah dan borang-borang yang diberikan oleh ibunya beberapa hari yang lalu. Semua ibu yang uruskan, dia cuma menurut perintah bila ibu suruh buat itu dan ini. Kononnya dah habis reda, terima segalanya sebagai satu ketentuan. Tambah pula dia malas nak ambil cermin mata yang tertinggal dalam bilik. Setakat nak tandatangan, pejam mata pun boleh buat.

Kalau lah dia selidik terlebih dahulu, mungkin dia tak ada di sini hari ini.

Ain kaku menunggu tindakan seterusnya lelaki yang dia sudah dipangkah daripada senarai insan yang perlu wujud dalam dirinya. Pandangan mula berbalam. Dia sudah nampak Zarul menjadi tiga.

“Awak…” Ain tersembam di dada Zarul.

Cepat-cepat Zarul sambut kepala Ain yang tersungkur di dadanya. Pipi Ain ditepuk perlahan. Berharap Ain sedar. Bukan reaksi begini yang dia mahu.

Allah..Allah.. Jantung sendiri sudah lari pecut.

 Gamat seketika ruang tamu rumah pengantin. Zarul angkat kepala melihat ke arah Puan Ainun yang berdiri di sebelah Puan Azma. Jelas kedua-duanya turut terkejut.

Maafkan abang, ma. I never expected this to happened. Not like this.

Puan Ainun sebak melihat raut sedih Zarul Azhar. Tidak sangka Ain terkejut begitu sekali. Lain yang diharap  lain pula jadinya.

“Don’t worry. Everything is going to be fine.” Bisik Encik Zaid memberi semangat buat isteri. Padahal dia juga turut merasai perasaan terkejut si isteri. Tidak sangka Ain sampai rebah saat melihat Zarul. Hati tuanya hanya mampu berdoa semuanya disebabkan rasa terkejut sahaja.



AIN pegang kepala. Ligat otaknya berfikir. Setahunya tadi dia sedang bersimpuh di atas pelamin akad nikah sambil menunggu si suami sarung cincin. Jari manis sebelah kanan dipandang. Cincin bertakhtakan sebutir berlian itu dipandang tidak berkelip. Eh..bila masa pula cincin ini ada di jarinya? Dekat dengan cincin belah rotan yang sudah lama berada  di situ.

“Ain..”

Ain angkat kepala dari terus menilik cincin di jari. Cepat dia mengengsot ke penjuru katil saat Zarul mendekat.

“Awak jangan nak berani buat apa-apa. Saya ada tae kwan do.” Ain dah buka satu langkah walaupun dia dah lupa langkah yang mana. Lantak la Zarul nak percaya ke tak.

“Ain, abang cuma nak kita berbincang. Shall we?” Zarul melabuhkan duduk di atas katil yang sama. Kaki yang berjuntai  diangkat membentuk sila. Betul-betul menghadap Ain. Melihat Ain yang menarik selimut hingga ke bahu, Zarul geleng kepala. Tubuh sendiri dipandang.  Nak kata bogel, lengkap berbaju melayu. Tapi reaksi Ain macamlah dia ini perogol bersiri.

“Duduk jauh sikit boleh? One more thing, tak payah nak berabang sangat la. Geli tau!” Bentak Ain kasar. Tak payah nak berlakon jadi suami pilihan la. 

Sebiji bantal dibaling ke arah Zarul. Malangnya Zarul lebih cekap mengelak. Nasib baik dia sudah dapat mengagak tindakan Ain. Hanya terkena bahu kirinya sahaja.

“Ain, ini pun dah cukup jauh tahu. Kalau ikut saya tak nak ada jarak pun antara kita.” Zarul mengengsot lebih dekat. Ain tarik muka masam. Jangan harap la nak gula-gulakan dia.

Melihat Ain yang masam mencuka, Zarul hulurkan segelas susu yang baru sahaja dibancuhnya sebentar tadi.

“Nah, minum dulu.  Tak elok biarkan perut Ain kosong.” Gelas dihulurkan kepada Ain.

“Tak nak la.” Tepis Ain. Gelas sudah terlepas dari tangan Zarul. Tergolek atas permaidani.

Zarul pandang tubuh sendiri yang sudah bermandikan air susu. Sabar yang tinggal cuma senipis bawang itu, cuba diajar untuk bertahan agar jadi setebal kayu manis.

“Come here.” Arah Zarul garang. Melihat Ain yang mula berundur kebelakang, Zarul mara mendekat. Pergelangan tangan Ain digenggam. Tubuh Ain di tarik agar bangun mengikut langkahnya. Biarpun Ain cuba keraskan badan, dia tidak mampu menghalang kudrat Zarul yang nyata berkali-kali lebih kuat dari kudratnya.

“Sakitlah.” Ain cuba tarik tangan dalam genggaman Zarul. Namun langsung tidak diendahkan oleh Zarul. Tubuh Ain ditarik masuk ke dalam bilik air.

Berada di bawah pancuran air, Zarul tarik Ain mendekat. Mujur saja bilik Ain ada bilik air sekali. Kalau di luar memang gila la dia nak buat perkara sebegini.

“Ni first lesson untuk Ain. Jangan sesekali cabar kesabaran saya. I’m not a very patient man, Ain. Ain tahu saya dulu macam mana, kan?” Zarul Azhar jongket kening. Saja mahu menakutkan Ain. Melihatkan Ain yang sudah diam tidak melawan dia tahu dia sudah memegang kunci keberanian Ain.

Zarul tanggalkan baju melayu yang tersarung di tubuhnya. Kemudian sebelah tangan Ain diletakkan di tubuhnya.

“Cuci sampai bersih.” Arah Zarul. Sengaja tayang muka ketat. Tengok Ain berani nak terus memberontak. Kalau dengan berlembut tak jalan biar dia ubah pendekatan. Wajah Ain yang memerah menanggung malu tidak diendahkan.

Perlahan-lahan Ain ambil span dibakul alatan mandiannya. Langsung tak berani nak melawan. Sambil menyental otaknya ligat berfikir untuk menyusun strategi. Takkan dia nak duduk diam je. Ini Ain la! Jangan fikir badannya kecil, otak pun sama kecilnya.

“Ok, done.” Beritahu Ain geram. Zarul tarik tuala yang tersangkut di pintu bilik air. Ain masih diam tidak terkutik.

“Ain nak saya mandikan Ain ke?”  Zarul kunci Ain dalam pelukannya.

Ain menggeleng. Muka langsung tidak diangkat memandang Zarul. Malas nak bersuara.

“Ain tahu tak, kalau Ain dengar cakap saya tadi, mesti kita dah boleh berbincang dengan elok. Dah selesai pun rasanya.”

Ain tayang muka beku. Keluar cepat-cepat boleh tak?

“Boleh keluar tak? Saya nak mandi.” Arah Ain bila Zarul masih tidak menampakkan niat untuk keluar dari kamar mandi.

“Sure. Thanks, Ain.”  Pipi Ain dicium sekilas.

Berlalu sahaja Zarul, Ain terus kunci bilik mandi. Berdiri di hadapan cermin sebesar tapak tangan, kesan ciuman Zarul disental kasar. Tidak diizinkan dirinya ada kena mengena dengan lelaki itu. Air mata usah cerita. Sudah tiris tidak mampu ditampung. Meratapi nasib sendiri. Orang lain bergembira di hari bahagia sedangkan dia menangis hiba.

Penat dengan tindakannya Ain terduduk di lantai marmar. Menangis dan terus menangis. Kenapa tak ada yang nak faham dia? Kenapa lelaki ini muncul lagi? Tak puas lagi kah lelaki itu mahu memusnahkan hidupnya? Pancur air dipulas habis supaya tiada yang mendengar dia menangis.

I hate you, Zarul.” Ain baling bakul berisi alatan mandian ke lantai semahunya.

“I’ll never forgive you.” Rintih Ain kesal. Muka sudah diletakkan antara dua lutut. Tangan naik menutup mulut agar tidak kedengaran hingga ke luar.

Keluar dari bilik air, Ain lihat sudah tiada bayang Zarul dalam biliknya. Cepat dia menyarung persalinan baru. Tudung sarung segera disarung ke kepala. Ain keluar dari bilik mencari Puan Azma. Kelihatan beberapa orang kawan-kawan Puan Azma sibuk mencuci dan menyimpan semula perkakasan yang digunakan petang tadi.

“Ain, mari makan. Tu lauk petang tadi ada lagi. Ibu dah panaskan.” Puan Azma hulur pinggan berisi nasi putih kepada Ain. Kerusi di meja makan ditarik untuk Ain.

Ain geleng kepala. Lauk pauk di atas meja dipandang. Langsung  tiada selera. Perutnya kenyang  makan kejutan hari ini.

“Ain tak lapar la, bu.” Jag berisi sirap ais dituang dalam gelas. Sekali teguk 500ml air melalui tekak.

“Ain, makan sikit. Dari petang tadi Ain tak makan.”

Lambat-lambat Ain sambut juga huluran pinggan Puan Azma.

“Mama dan papa Zahar kirim salam dekat Ain. Diaorang tak boleh nak tunggu lama tadi sebab nak hantar adik Zahar ke asrama.”

Ain telan nasi yang tiba-tiba rasa keras.