BAB 3
AIN meletak telefon bimbitnya di
atas meja solek untuk kesekian kalinya. Perlahan-lahan dia merebahkan tubuhnya
di atas katil. Dia mengiring menghadap tingkap yang terbuka dan membelakangi
pintu bilik yang sentiasa bertutup rapat. Hampir lima kali Osman menelefonnya
memintanya datang ke pejabat dan bekerja seperti biasa.
Perkara itu sudah dimaklumkan kepada Tuan Haji Amran, Ketua Jabatan
Khidmat Korporat itu juga mahu dia kembali ke pejabat dan bekerja seperti
biasa. Kenyataan Datin Fariza semalam dianggap sebagai masalah peribadi yang
tidak menjejaskan apa-apa tugasannya di syarikat.
Namun dia tetap dengan keputusannya. Surat perletakan jawatan sudah pun
dilayangkan kepada Akhabar Engineering pagi tadi melalui Yusof, suami Norliah,
jiran sebelah yang kebetulan bekerja di sebelah bangunan tempatnya bekerja
sahaja. Begitu pun dia merasa tidak senang apabila segala tugasannya
ditinggalkan begitu sahaja tanpa apa-apa penjelasan kepada Osman dan
pembantu-pembantunya.
Ahh... biarlah. Kenapa dia harus memikirkan semua itu sedangkan Datin
Fariza tidak pernah memikirkan tentang orang lain?
“Ain.”
Ain senyap. Tidak menjawab panggilan Puan Salmah yang sudah berada di
ambang pintu sebaik pintu bilik dibuka. Perlahan-lahan wanita itu melangkah
masuk.
“Tak kerja ke?” soal Puan Salmah ingin tahu.
Semasa dia pulang dari surau semalam anak itu sudah tidur. Terkejut juga
dia melihat Ain yang tidur agak awal. Selalunya Ain akan berbual-bual dengannya
atau Aizul. Ada rasa tidak enak bersarang di hatinya. Namun dipanjatkan kehadrat
ilahi agar tiada apa-apa yang buruk berlaku terhadap anak gadisnya.
“Tak,” jawab Ain sepatah tanpa memandang Puan Salmah.
Dipejamkan matanya dan cuba melupakan kisah-kisah semalam dan hari-hari
sebelumnya bersama Fendi. Terlalu banyak kenangan dengan lelaki itu. Mampukah
dia memadam semuanya? Soalnya sendiri.
Puan Salmah duduk di birai katil lalu memegang kaki Ain yang terjuntai. Pucat
kaki anak itu seperti tidak berdarah. Tapi tak pulak demam, desisnya sendiri
sebaik merasai kaki Ain.
“Kenapa ni? Ain tak sihat ke?” soal Puan Salmah mula rasa bimbang. Dia
mengesot menghampiri Ain. Rambut Ain diusap dengan penuh kasih sayang kemudian
meletak tangan di kepala anak itu. Tak pulak panas, desisnya sendiri.
Air mata Ain kembali mengairi pipi sebaik tangan Puan Salmah berada di
kepalanya. Usapan lembut itu benar-benar mendamaikan hatinya yang walang sejak
semalam. Terasa ada kelegaan biarpun masih tersimpan kejadian semalam di
fikirannya.
“Ain.” lembut suara Puan Salmah memanggil anak itu. Dia rasa tidak puas
hati melihat reaksi Ain yang membisu. Ini bukan pertama kali tetapi sudah
berkali-kali apabila hubungan anak itu dan Fendi putus.
“Dia dah bertunang, ibu.” Akhirnya suara Ain pecah bersama tangisan.
“Siapa?” Tercengang Puan Salmah mendengarnya.
“Fendi.” Ain mengiring menghadap Puan Salmah dan terus memeluk wanita itu.
“Astaghfirullah
al’azim.” Dikemaskan pelukan itu. “Bila dia bertunang?”
Ain tidak
segera menjawab dan terus melayan tangisannya. Puan Salmah mengusap lembut dan
memeluk erat anak itu sebagai menenangkan hatinya. Patutlah Ain memerap di
dalam bilik sejak semalam.
“Ain pun
tak tahu bila. Tapi semalam Datin Fariza datang dan bagi tahu yang Fendi akan
berkahwin hujung bulan depan, bu.”
“Apa? Datin
Fariza jumpa Ain di pejabat?” Rasa bimbang mula bersarang di hati sebaik
mendengar nama wanita itu. Kenangan beberapa minggu lalu kembali menerjah
ingatannya.
“Kau
nasihat anak kau tu, boleh tak! Jangan nak menggatal macam sundal!” jerkah
Datin Fariza yang datang bersama dua orang lelaki berkepala botak dan
berjambang. Lagak keduanya seperti samseng di dalam drama-drama yang
ditayangkan di TV.
Menyirap
darahnya mendengar anak gadisnya dicemuh sebegitu. Hatinya menghangat namun
cuba bawa bertenang. Wajah wanita yang mungkin sebaya atau lebih darinya itu
ditatapnya dan dipahat di dalam fikirannya.
“Suruh dia
cermin diri tu. Sepadan atau tak dengan anak aku. Dia tak mahu dengar cakap
aku. Dah berkali-kali aku cakap dan bagi amaran pada dia... jangan dekat dengan
Fendi. Tapi dia tak faham,” tekan Datin Fariza dengan rasa marah yang sudah
berkumpul di dadanya.
“Anak-anak
datin, apa yang saya boleh buat, hanya nasihat kan mereka agar sentiasa menjaga
nama baik ibu bapa masing-masing,” balas Puan Salmah lembut.
Mencerlung
mata Datin Fariza menatap wajah wanita cantik di hadapannya. Diakui yang wanita
itu begitu cantik walaupun tanpa solekan. Kalau dilihat antara Ain dan Puan
Salmah mereka seperti adik beradik sahaja.
“Kau tak tahu apa yang aku boleh buat!” tekannya dengan rasa marah
mendengar jawapan Puan Salmah. “Knot, tunjuk sikit.” Dia memberi isyarat kepada
salah seorang lelaki yang mengiringinya tadi.
Pantas lelaki itu menolak payung yang meneduhi tempat Puan Salmah dan
Norliah menjual nasi lemak dan kuih muih. Beberapa orang pelanggan yang datang
hendak membeli segera beredar ketakutan. Kemudian lelaki itu menolak meja
jualan sehingga terbalik. Habis semua jualan mereka bersepah di atas dan bahu
jalan. Norliah menjerit lalu berlari balik untuk memanggil suaminya.
“Ingat ini amaran untuk kau dan Ain!” Datin Fariza memberi amaran sebelum
meninggalkan tempat itu apabila melihat beberapa orang jiran Puan Salmah datang
membawa pelbagai senjata.
“Ibu!”
Terkejut Puan Salmah lalu memandang Ain yang berada di sisinya. Erat dia
memeluk anak itu. Ya Allah, lindungilah anak-anakku, doanya dengan rasa tidak
menentu.
“Dia tak apa-apakan Ain ke?” soal Puan Salmah ingin tahu.
Gamam Ain mendengar soalan Puan Salmah.
“Err... tak.” Pelik dirasa soalan wanita itu.
Puan Salmah menarik nafas lega.
“Kenapa ibu tanya? Datin Fariza pernah datang ke sini ke?”
“Tak,” bohongnya sambil menggeleng.
Dia ada meminta Norliah dan Aizul merahsiakan apa yang berlaku. Dia tidak
mahu Ain bimbang. Namun dia kerap memberi isyarat agar anak itu sentiasa
berhati-hati sahaja.
“Fendi kat mana sekarang?” soal Puan Salmah mengalih topik tadi.
“Kat Penang. Tapi hari ni dia baliklah,” ujar Ain yang mula agak tenang.
Puan Salmah senyap. Tidak tahu apa yang patut dikatakan lagi. Pada
fikirannya biarlah Ain dan Fendi putus. Apa yang penting sekarang adalah
keselamatan Ain. Dia tahu Datin Fariza mampu untuk melakukan apa sahaja untuk
memisahkan keduanya.
“Tak apalah, nanti dia datang... bincang elok-elok. Tanya dia elok-elok.
Jangan marah-marah. Setiap yang berlaku ada hikmahnya. Mungkin ini baik untuk
Ain dan Fendi. Kita tak tahu. Dan Allah ada rancangannya sendiri yang lebih
baik untuk kau orang berdua,” nasihat Puan Salmah lembut. “Walau kita sayang
sekali dengan orang tu, dia akan meninggalkan kita juga. Lebih baik kita letakkan
kasih dan cinta kita pada Allah yang tak pernah meninggalkan kita.
Banyak-banyak bersabar dengan dugaan yang Allah berikan. Sebab Allah nak
menguji kita sejauh mana kasih sayang kita terhadapNya,” sambung Puan Salmah
lagi dengan lembut.
Laju air mata Ain mendengar setiap tutur lembut dari wanita itu.
Perlahan-lahan Ain memeluk Puan Salmah dengan erat.
“Ibu tahu, anak ibu seorang anak yang baik.” Diusap lembut rambut Ain. “Dah
jangan menangis,” pujuk Puan Salmah lagi.
Ain senyap dan cuba membawa dirinya bertenang. Perlahan-lahan dia menarik
nafasnya agar dapat mengawal diri dan perasaannya agar lebih positif kini.
“Ain dah berhenti kerja, bu,” beritahu Ain. Matanya beralih ke wajah
wanita itu untuk melihat reaksi Puan Salmah.
Puan Salmah membalas pandangan itu dengan rasa terkejut. Nafas ditarik
dalam-dalam. Nampaknya permainan Datin Fariza terhadap Ain sudah bermula,
bisiknya lagi.
“Tak apalah... rezeki ada di mana-mana kan. Rezeki tu datang bukan dari
manusia tetapi Allah,” nasihat Puan Salmah lembut.
Ain mengangguk.
“Dah jangan fikirkan sangat benda-benda ni. Jom kita makan,” ajaknya lalu
bangun menuju ke pintu bilik yang terbuka.
Ain juga turut bangun dan sempat menyambar telefon bimbit. Bimbang
kalau-kalau Osman menelefonnya lagi. Tidak patut dia meninggalkan kerja yang
belum selesai begitu sahaja. Ahh... biarlah dulu. Dia akan tunggu Osman telefon
semula dan kemudian akan difikirkan apa yang patut dilakukan nanti.
“Siapa jaga gerai, bu?” soal Ain sebaik melihat ruang tamu sepi.
“Aizul,” jawab Puan Salmah dari ruang makan.
Setelah apa yang berlaku anak itu menawar diri untuk menjaga gerainya.
Syukur alhamdulillah, ada hikmah dengan kejadian itu. Namun begitu gerainya kini
menjadi tempat teman-teman Aizul melepak pula.
“Mahu pulak dia.” Kini dia sudah berada di hadapan meja makan di ruang
makan.
“Duit nak. Kerja tak nak! Haa... sekarang nak duit, kerja!” seloroh Puan
Salmah.
Ain senyum. Telefon bimbit di tangan ditatapnya. Sangkaannya Osman tetapi
mesej dari Fendi yang diterima.
I on the way.
Ain menghela nafas beratnya.
“AIN... please dengar apa yang I nak cakap,” pujuk Fendi.
Dari Pulau Pinang dia terus menuju mendapatkan Ainnya. Dia diberitahu oleh
Osman yang Ain sudah pun menghantar surat perletakan jawatan. Dia benar-benar
terkejut dengan tindakan Ain yang dianggap terburu-buru. Menurut kata Osman,
Tuan Haji Amran masih hold, untuk
kemasukan Nelly untuk jawatan pengurus. Kelayakan Nelly tidak setaraf untuk
menjawat jawatan pengurus. Kalau begitu di mana mereka hendak letak Osman pula.
Semua itu akan melibatkan bajet, kenaikan pangkat dan carta organisasi yang
sering dibuat oleh Ain. Dan perkara itu harus dilanjutkan kepada Dato Johan
untuk mendapat pengesahan.
“I tak mahu dengar apa-apa lagi. Apa yang mama you cakap semalam dah
jelas. You dah bertunang. Hujung bulan depan, kahwin!” tegas Ain dengan rasa
geram dan bengang.
Fendi senyap dan hanya mampu memandang Ain yang berdiri agak jauh darinya.
Tangan sudah berada di pinggang. Mulanya Ain tidak mahu menemuinya tetapi
dipujuk oleh Puan Salmah supaya selesaikan perkara itu secara baik dan gadis
itu mengalah.
“Semua itu rancangan mama I dan tanpa persetujuan I. I langsung tak tahu.”
Tidak tahu bagaimana hendak menerangkan kepada Ain tentang perkara itu.
“Habis tu kenapa you rahsiakan dari I? Kenapa you tak cakap awal-awal
dulu?”
“I tak mahu you...” ayat itu tidak mampu disudahkan.
“I rasa malu tahu tak? Macam orang bodoh. Semua orang dah tahu yang you
dah bertunang tapi I keluar ke hulu ke hilir dengan tunang orang. Eii...” Ain
merengus bengang dengan apa yang berlaku. “Rasa murah sangat diri I ni tau
tak!” tengking Ain.
“Okey, I’m sorry sayang. I salah,”
akui Fendi.
“Boleh ke sorry you tu cover apa yang dah berlaku?!” soal Ain
yang kini sudah bercekak pinggang memandang Fendi. Ikutkan mahu sahaja ditelan
lelaki itu.
Fendi senyap.
“I dah malas nak fikir lagi.” Dia sudah pun menyatakan keputusannya semalam
dan itulah keputusannya hari itu. Tidak akan berganjak biarpun terasa amat
sakit.
“Ain, please... don’t do this. You tahu I sayang kan
you.”
“You cakap sayang. Tapi you akan kahwin. Jadi I ni apa? Simpanan you?”
hampir sahaja Ain memekik. Matanya sudah berkaca. “You dah tipu I. Dah
memalukan I. Lepas ni apa lagi yang you nak buat pada I!”
“I tak bermaksud begitu Ain,” sanggah Fendi sedih mendengar apa yang
dikatakan oleh gadis itu. “I tak mahu kita berpisah setelah apa yang berlaku.
Semua tu mama I yang buat masa kita ke Penang dengan mak cik dan Aizul dulu. I
tahu pun selepas seminggu majlis tu berlangsung,” jelas Fendi.
“Apa pun alasan you, perkara tu tak akan berubah. You akan kahwin jugak
akhirnya.” Ain menarik nafasnya dalam-dalam. “You setuju nak berkahwin kan?”
Fendi mengangkat muka memandang Ain tanpa suara. Dia terpaksa kerana tidak
mahu buah hatinya itu menjadi mangsa mamanya lagi.
Ain berdengus kasar melihatkan reaksi Fendi yang tidak menolak
kata-katanya. Dia sudah dapat jawapannya. Ain mengesat matanya yang sudah
berair. Perlahan-lahan dia melangkah masuk tanpa pamitan.
Fendi hanya memandang. Perlahan-lahan dia melangkah meninggalkan rumah
Puan Salmah. Beginikah akhirnya kisah cintanya dan Ain? detiknya sendiri.
FENDI melangkah longgar masuk ke dalam
selepas membuka pintu rumah. Dari luar dia dapat mendengar suara Dato Johan dan
Datin Fariza berbalah tentang Ain, gaji pekerja kontrak dan entah apa-apa lagi.
Sesekali keluar nama Osman dan Tuan Haji Amran. Kepalanya semakin berat
memikirkan apa yang berlaku.
“Fendi...”
Datin Fariza bergegas mendapatkan Fendi yang sedang memandangnya dan Dato
Johan di ruang tamu. Dato Johan kelihatan menggeleng-gelengkan kepalanya lalu
melabuhkan punggung di salah sebuah sofa di ruang tamu.
“Macam mana? Sihat sayang?” soal Datin Fariza sambil mengusap lembut
rambut anak bujangnya yang kelihatan penat dan berwajah kucam.
Fendi senyap.
“Ain datang sekejap tadi. Sudah kan kerja dia. Kalau tak langsung tak
bergaji pekerja kontrak kita. Mahu datang ke pejabat mengamuk tak bergaji!”
sengaja Dato Johan menyindir si isteri yang suka campur tangan dalam hal ehwal
pejabat.
Datin Fariza menjeling bengang.
Fendi mengangguk lalu melangkah naik tanpa pamitan. Terasa begitu letih
tubuhnya. Selepas ke rumah Ain dia ke pejabat di tapak projek di Brickfields.
Memang dia tidak menjenguk langsung pejabat hari itu. Hatinya benar-benar rusuh
dengan apa yang berlaku.
“Fendi,” panggil Datin Fariza masih mengekori si anak yang sudah berada di
hujung tangga atas.
Fendi menoleh dan dilihat wanita itu berlari anak-anak mendaki tangga
mendapatkannya.
“Mama nak apa lagi?” soal Fendi lemas dan rimas. Sebolehnya dia mahu pergi
dari situ tetapi tidak boleh. Dia sayangkan kedua orang tuanya yang tidak punya
anak lain selain dari dirinya. Kalau apa-apa berlaku, pasti dia sendiri akan
menyesal.
“Dah makan?” soalnya ingin tahu. Tetapi bukan itu tujuannya. Dia ingin
tahu apa yang berlaku pada pertemuan Fendi dan Ain siang tadi. Dia mendapat
tahu daripada orang suruhannya yang Fendi datang ke rumah Ain dan berjumpa
dengan gadis itu.
Fendi tunduk sambil bercekak pinggang kemudian beralih memandang mamanya.
“Mulai hari ni mama jangan ganggu Ain atau keluarga dia lagi. Fendi dah
ikut apa yang mama cakap,” katanya. Dia pasti, itulah yang ingin didengarkan
oleh wanita itu.
Bersinar-sinar mata Datin Fariza mendengar kata-kata anak tunggalnya.
Dipeluk Fendi yang bertubuh sasa. “Terima kasih sayang. Mama tahu Fendi
sayangkan mama... dan apa yang mama buat ni semuanya untuk kebahagiaan Fendi.”
“Janji dengan Fendi!” tekan Fendi menikam pandangan wanita itu sebaik
pelukan di tubuhnya dilepaskan oleh Datin Fariza. “Jangan ganggu Ain lagi!”
tekannya sungguh-sungguh. Tidak sangka dia akan mengalah kerana ugutan wanita
itu. Ya Allah, rintihnya sendiri.
“Ya, mama janji. Fendi jangan risau ya,” akui Datin Fariza dengan
senyuman.
Fendi senyap. Dia tidak pasti dengan janji wanita itu. Namun dia berharap
wanita itu tidak mengapa-apa Ain mahupun keluarganya lagi. Cukuplah dengan apa
yang menimpa Ain dahulu. Daripada dia kehilangan Ain cara begitu biarlah dia
kehilangan gadis itu dengan meninggalkannya.
“Dah, pergi mandi, kemudian turun kita makan sama-sama. Mama ada masak
lauk kegemaran Fendi,” suruh Datin Fariza sambil menolak tubuh Fendi ke
biliknya.
Datin Fariza hanya memandang sehingga anak itu menutup rapat pintu
biliknya. Dia melangkah menuju ke bilik untuk mencari gajetnya. Lincah
jejarinya yang runcing dan berkuku merah mencari nombor orang suruhannya.
“Ya bos?”
Kedengaran suara Not di sebelah sana.
“Buat apa yang aku suruh semalam,” katanya sebaris sebelum memutuskan
talian. Dia tersenyum sendiri. “Aku tak akan tinggalkan macam tu aje,” bisiknya
sendiri.
BAB 4
BANGKAI kucing tergantung di pintu pagar.
Apa maknanya tu? Ada orang cuba hendak menganiaya diakah? Tetapi siapa? Jenuh
kepalanya memikirkan siapa yang mahu menganiayanya mahupun keluarganya.
Kasihan Puan Salmah yang terkejut melihat perkara kejadian itu dan
mujurlah ada Aizul. Adiknya itulah yang membuat bangkai itu entah ke mana.
Sementara
itu dia membantu Puan Salmah mengembangkan payung dan menyusun meja untuk
jualan nasi lemak ibunya. Beberapa ketika Ain kembali semula ke rumah. Lama dia
memandang sekitar ruang tamu. Kalau sebelumnya di waktu itu dia sedang
bersiap-siap hendak pergi bekerja.
“Nak buat
apa? Soalnya sendiri.
Kakinya
melangkah ke pintu dapur. Mungkin Puan Salmah sedang memesin baju. Ternganga
dia sebaik melihat ampaian sudah bergantung dengan baju-baju.
“Semua dah
siap... nak buat apa ni?” soal Ain kembali menutup dan mengunci pintu dapur.
Dia membawa dirinya ke bilik tidurnya. Melihatkan telefon bimbitnya
terkelip-kelip menandakan ada panggilan tidak berjawab atau mesej yang masuk. Pantas
dia menyambar gajet yang terletak di atas katilnya.
Sedikit
hampa apabila melihat mesej dari Osman. Namun ada rasa lega apabila gajinya
akan dilepaskan hujung bulan yang tinggal seminggu bersamaan dengan cuti
tahunannya yang tinggal 15 hari. Year of
service yang sudah melebihi 6 tahun akan dibayar kemudian.
“Tak apa...
janji gaji aku dia orang bayar,” kata Ain sendiri.
Buat masa
itu dia tidak pasti apa yang patut dilakukan. Sudah lebih enam tahun dia
bekerja di bawah bumbung Akhabar Engineering bermula sebagai seorang kerani
biasa dan kemudiannya naik apabila Osman dan Tuan Haji Amran melihat
prestasinya. Diakui yang dia seorang
workholic. Sesuatu kerja yang diserahkan adalah tanggung jawab dan dia perlu
menjaga tanggung jawab yang telah diamanahkan kepadanya oleh pihak majikan.
Tetapi dia
tidak bertanggung jawab dua hari lepas kerana Datin Fariza. Ketika itu emosi
mengatasi kewarasannya. Ya Allah... memang dia rasa bersalah sangat-sangat
terhadap Osman dan Tuan Haji Amran. Begitu pun segalanya sudah diselesaikan
semalam dan dia memohon maaf daripada mereka berdua.
“Tak
apalah Ain, saya faham. Saya pun rasa kesal dengan apa yang terjadi. Saya di
sini pun makan gaji. Kalau berhenti belum tentu orang nak kan saya memandangkan
saya dah tua begini. Carilah syarikat yang agak kukuh dan stabil, saya percaya
awak akan berjaya di sana. Awak seorang pekerja yang komited dengan tugas-tugas
yang diberikan. Jangan risau, saya akan beri good recommendation letter pada mereka. Awak jangan bimbang, saya
tak akan black list seorang pekerja
yang baik semata-mata kerana masalah peribadi.”
Kata-kata
Tuan Haji Amran benar-benar mengharukannya. Lelaki itu sudah dianggap seperti
seorang ayah. Bukan pada dia sahaja tetapi pada pekerja-pekerja lain. Ain
mengesat air matanya. Ada rasa pilu meninggalkan tempat di mana dia bermula
mengenal dunia luar selepas tamat belajar.
“Harap-harap
ada rezeki di tempat lain,” katanya sendiri memandang pada surat acceptance resignation yang diberi oleh
Osman semalam dan ditandatangani oleh Fendi.
“DARIPADA akak duduk tak ada kerja dan goyang kaki ni apa
kata tolong ibu masak. Buat sambal kerang ke, rendang ayam ke, sambal tumis
udang letak petai ke? Dapat juga duit,” keluh Aizul lalu duduk berhadapan Ain
yang sedang menelek majalah yang dia sendiri tidak pasti.
Ain
menjeling.
“Hmm...
apa kata...”
“Banyak
sangat apa kata kau, ya,” balas Ain bengang.
Aizul
sengih. “Cadangan.”
“Yalah
tu.” Ain kembali menatap majalah di ribanya.
“Apa kata
kakak bukak pusat tuisyen aje.”
“Oh tidak!
kau ingat senang nak mengajar anak orang.” Ain menggeleng-gelengkan kepalanya.
“Budak
berdua tu?” Aizul maksudkan kepada anak-anak Norliah dan Yusof sebelah rumah
mereka.
“Akak tak
minta satu sen dari Kak Liah nak ajar budak-budak tu tau. Gaji Abang Ucop
berapa sangat kalau dia nak hantar ke pusat tuisyen. Kak Liah meniaga untuk
tambah-tambah belanja budak-budak tu. Tak kesian ke?”
Aizul
mengangguk dan mulai faham maksud Ain. Dia memang tidak tahu akan perkara itu.
Apa pun dia rasa kagum dengan keikhlasan Ain yang mahu mengajar anak-anak jiran
sebelahnya. Dan Alhamdulillah, anak sulung pasangan itu mendapat keputusan
cemerlang dalam peperiksaan UPSR tahun lepas.
“Surat dalam laci kabinet tu kakak dah ambik?” soal Aizul ingin tahu.
Surat itu diletak di dalam peti surat mereka semalam. Sampulnya tertulis sebuah
syarikat.
“Surat apa?” soal Ain lalu bergegas
bangun dan melangkah menuju ke kabinet yang dimaksudkan oleh Aizul sebentar
tadi. Kaget dia melihat sampul surat berlogo dan tertulis Raizuddin Resources
Corporation. Dadanya mula rasa resah. Dia ada menerima sepucuk surat yang sama
dan keputusannya amat mendukacitakan. Dan apakah maksud kedatangan surat itu
lagi? Soalnya lagi.
“Surat apa tu?” soal Aizul tidak sabar melihat kebisuan Ain yang sudah
membuka surat itu dan meneleknya beberapa kali.
“Akak dipanggil untuk bekerja di Raizuddin Resources Corporation,” jawab
Ain memandang Aizul. Entah mengapa dia langsung tidak teruja seperti
sebelumnya. Perlahan-lahan dia melabuhkan punggungnya di sofa semula.
“Alhamdulillah. Macam mana akak terima?”
“Nanti akak fikirkan.”
Ain bangun dan melangkah masuk ke dalam bilik. Dia akan menolak tawaran
itu. Biarlah dahulu, bisiknya. Untuk sementara ini dia mahu berehat sambil
membantu Aizul dan Puan Salmah berniaga.
Rezeki ditentukan oleh Allah. Bukan di tangan manusia. Kembali dia melihat
surat tawaran berlogo Raizuddin Resource Corporation berwarna biru. Lama dia
bercita-cita hendak ke situ. Melihat profail syarikat hartanah yang begitu
berprestij itu membuat hatinya bagai terbang menyusuri setiap ruang yang pernah
dilalui di dalam bangunan tersebut yang berketinggian 40 tingkat.
Insya-Allah, bisiknya sendiri.
HAMPIR sejam Fendi memerhati sekitar rumah
Puan Salmah dari jauh. Dia ingin memastikan bawah Ain dan keluarganya selamat.
Jam dipergelangan tangan dijelingnya. Sudah hampir ke pukul 6.30 petang.
Selepas menunaikan solat asar tadi dia terus keluar dengan menggunakan kereta
syarikat. Dia tidak mahu ada sesiapa dikalangan jiran-jiran Ain yang perasan
akan kehadirannya di situ.
Ramai dikalangan mereka yang mengenalinya sejak dia mengenali keluarga
gadis itu. Jika ada gotong royong dia juga dijemput oleh mereka. Beberapa
minggu yang lepas salah seorang jiran Ain mengahwinkan anak pun dia dijemput
dan tidak sampai hati untuk menghampakan mereka. Semua di situ begitu baik
terhadapnya. Walaupun kehidupan mereka sederhana tetapi mereka kaya dengan budi
bahasa yang tidak dijual di mana-mana.
Nafas dihelakan. Sudah tiga hari dia tidak menghubungi Ain atau menghantar
apa-apa mesej kepada buah hatinya itu. Begitu juga dengan Ain. Dia terpaksa melakukan begitu semata-mata
tidak mahu Ain diapa-apakan oleh Datin Fariza.
“Ya Allah, mengapa mama sanggup buat perkara-perkara macam ni?” keluhnya
sendiri sambil meraup rambutnya yang sudah kusut. “Kalaulah papa tahu...” keluhan
itu terhenti di situ. Tidak tahu apa yang patut difikirkan sekarang. Dia
menggeleng-gelengkan kepalanya. Memang dia tidak menyangka wanita yang
dipanggil mama sedari lahir sanggup berbuat begitu.
“Maafkan I, Ain, maafkan I,” pintanya sendiri. Dahinya sudah tunduk
bersandar di stereng kereta. Matanya masih menatap foto Ain di gajetnya.
Rindunya dia dengan gadis itu. Bagaimana untuknya mengetahui khabar Ain? Lama
dia menatap foto-foto mereka. Ada fotonya dengan Aizad, Aizul dan Puan Salmah.
Tiba-tiba...
“Aizul!” sebutnya. Pantas jarinya mencari nombor Aizul dan segera
menghubungi lelaki itu. “Waalaikumusalam,” jawabnya sebaik mendengar salam dari
Aizul.
“Abang... kenapa?” suara Aizul seperti berbisik.
“Aizul kat mana ni?” soal Fendi ingin tahu.
“Kat rumahlah. Dalam bilik Zul,” jelas Aizul di sebelah sana.
Fendi mengangguk sendiri. “Kakak macam mana?” soal Fendi ingin tahu.
“Alhamdulillah. Nampak macam sihat.”
Fendi senyum sendiri.
“Kenapa?” soal Aizul pula.
“Tak ada apa-apa.”
“Betul ke abang dan kakak dah putus? Hari tu dah bincang pasal nak bertunang.
Alih-alih macam ni pulak jadinya.”
Kedengaran Aizul seperti orang kecewa. Fendi senyum dalam terluka. Memang
dia ada berbincang dengan Puan Salmah dan sudah memaklumkan kepada Dato Johan.
Tetapi Ain meminta dia bersabar dahulu. Mungkin kerana Datin Fariza yang
menolak Ain sebelum ini.
“Susah nak cakap Zul. Mungkin ini yang terbaik untuk kakak.” Perlahan
suara Fendi.
“Ini pasal mama abang tu ke?”
“Lebih kurang macam tulah.” Pandangan Fendi tancap ke rumah yang diduduki
Puan Salmah dan anak-anaknya.
“Kalau macam tu, tak apalah bang. Ibu lebih penting dari segala isi dalam
dunia ni. Kita boleh putus dengan seribu manusia tetapi bukan dengan ibu. Abang
jangan risau pasal kakak, dia tu kuat semangatnya. Cuma penakut sikit.” Aizul
ketawa dihujung kata-katanya.
Fendi juga ketawa.
“Entah siapa letak bangkai kucing di pintu pagar rumah. Terkejut dia...
apa lagi menjeritlah.” Sekali lagi Aizul ketawa.
Gamam Fendi mendengarnya. “Bangkai kucing?” dadanya mula berdebar-debar.
Adakah ini permainan ibunya? Fendi tersandar di badan kerusi sambil memegang
kepalanya. Wanita itu sudah berjanji tidak akan mengganggu Ain tetapi kenapa
tetap dilakukan perkara sebegitu.
“Hmm... mungkin budak-budak nakal. Tapi tak pernah pula jadi sebelum ini
kat kawasan ni.”
Fendi menggeleng-gelengkan kepalanya. “Abang dah tak ada ni, jaga kakak
dan ibu tu baik-baik tau. Kalau ada apa-apa, jangan segan-segan telefon abang.”
“Insya-Allah, bang... best kan kalau abang dapat jadi abang ipar Zul.” Aizul
ketawa lagi.
Fendi senyum kelat. Hatinya terusik dengan harapan yang pernah diharap
oleh lelaki itu. “Okeylah... Assalamualaikum,” ucapnya sebagai menamatkan
perbualan itu.
Sebaik mematikan talian dia segera menghidupkan enjin kereta dan terus menggerakkan
keretanya menuju ke pejabat untuk
mengambil keretanya sebelum pulang ke rumah. Apa yang harus dilakukan untuk
menyekat tindakan seterus Datin Fariza?
BAB 5
“ASSALAMUALAIKUM,” sapa lelaki berusia dalam
lingkungan 50-an yang tadinya memarkir kenderaan serba guna iaitu, Toyota
Estimanya di seberang jalan berhadapan dengan gerai Puan Salmah dan Norliah.
Awalnya orang tua ni datang. Baru pukul 9.30 pagi, desisnya sendiri.
“Waalaikumusalam, Pak Din,” jawab Ain dengan senyuman.
“Liah mana? Tak meniaga ke?” soal Pak Din yang sudah pun berdiri di
hadapan gerai Puan Salmah.
“Tak... letih. Sabtu dan Ahad ada Family Day tempat Abang Ucop kerja.
Penatlah agaknya tu.” Ain pun tidak pasti hanya Puan Salmah yang memberitahunya
setengah jam tadi apabila dia bertanya dan diminta menjaga gerai. Aizul pula ke
kedai untuk membeli bekas polistrin.
Pak Din mengangguk-anggukkan kepalanya.
“Pak Din kena tunggu kejap sebab Zul pergi beli bekas polistrin,” jelas
Ain.
“Kalau macam tu, Pak Din tunggu dulu. Tiga ya.” Pak Din menunjuk tiga
jarinya. Dia menarik salah sebuah kerusi yang ada di bahagian belakang Ain lalu
duduk di situ.
“Ain cuti ke?” soalnya. Memang dia
tidak pernah melihat Ain menjaga gerai Puan Salmah. Kalau tidak Puan Salmah
pasti Aizul. Dan sejak akhir-akhir itu Aizul bersama beberapa orang temannya
menjaga gerai nasi lemak Puan Salmah.
“Tak,” jawab Ain sepatah.
Dia pasti akan ada soalan susulan dari Pak Din. Lelaki itu adalah bapa
saudara kepada Norliah, jiran sebelah yang berniaga bersama Puan Salmah sejak
lebih lima tahun. Lelaki itu dan isterinya, Mak Gayah yang memelihara Norliah
sedari kecil. Sementelah Pak Din dan Mak Gayah tidak punya anak.
“Habis tu?”
Kan... dia mengeluh sendiri. “Dah berhenti Pak Din.”
“Kenapa?” soal Pak Din.
“Tak ada jodoh.” Entah apa-apa jawapan yang diberi. Pandangannya beralih
kepada Aizul yang sedang menunggang motosikal menuju ke situ. Bersinar-sinar
matanya. Tidak sabar hendak beredar dari situ.
“Laa... apa hal jodoh dengan kerja pulak? Ada...” lelaki itu berdeham
sambil tersenyum mengusik.
“Apalah Pak Din ni... maksud saya dah tak ada rezeki lagi di sanalah.”
Ain tersenyum. Cepat-cepat dia membantu Aizul meletakkan bekas polistrin
yang dibeli dan kemudian dihidangkan tiga bekas untuk Pak Din selesai diisi
nasi lemak dan sebaiknya dia memasukkan ke dalam beg plastik. Lega dia melihat
Aizul melayan lelaki itu.
“Siap Pak Din,” katanya. “Zul, akak balik dulu.” Ain sudah melangkah
hendak meninggalkan mereka di situ.
“Ain...” panggil Pak Din sudah berdiri memandang gadis itu yang kelihatan
kelam kabut meninggalkan gerai ibunya.
Ain menoleh. Kenapa pulak ni? soalnya. “Ya, Pak Din?” perlahan-lahan dia
melangkah menghampiri lelaki itu semula.
“Kau mengajar anak Liah lagi?” soal Pak Din ingin tahu. Tangannya
menghulur duit kepada Aizul sebagai bayaran nasi lemak.
“Ya... angah dan along.”
“Kalau ambik lagi sorang boleh ke?” soal Pak Din ingin tahu.
Tercengang Ain. “Err... saya mengajar cincai-cincai aje Pak Din. Tak
berani nak ambil-ambil budak untuk mengajar.” Memang dia tidak pandai sangat
mengajar. Setakat mana yang boleh sahaja. Adakalanya dia terpaksa membuat ulang
kaji semula terutamanya matematik.
“Cincai-cincai pun si along tu dapat 5A dalam UPSR dia.” Bangga dia
menyebut cucunya mendapat 5A.
Ain senyap dan tidak pasti bagaimana bentuk senyumannya. “Rezeki dia Pak
Din.”
Itu yang dia tahu. Usaha dan doa. Anak-anak Norliah dan Yusof tidaklah
sepandai mana tetapi mereka berusaha dan selebihnya sentiasa berdoa. Kagum dia
melihat anak-anak kecil itu yang akan ke surau berhampiran setiap maghrib
bersama Yusof ataupun tidak. Mungkin itulah bakal penghuni syurga.
“Ya, alhamdulillah. Seronok aku dengar.”
Ain senyum.
“Boleh ke lagi?” soal Pak Din sekali lagi.
“Saya tak ambil sesiapa Pak Din. Cukuplah dua orang tu.” Memang dia tidak
ada niat hendak mengajar tuisyen pada sesiapa pun sebelum ini tetapi Norliah
memujuk dan merayu padanya, dia pun kalah sementelah sudah dianggap wanita itu
seperti kakak sendiri.
Pak Din menghela nafasnya seolah-olah kecewa dengan jawapan Ain.
“Anak siapa Pak Din?” soal Ain ingin tahu.
“Anak Tengku. Dia nak belajar Bahasa Melayu aje. Tahu ajelah anak-anak
orang kacukan ni... semua cakap orang putih aje. Mana nak tahu Bahasa Melayu.
Semua tu hanya untuk lulus periksa aje,” keluh Pak Din.
“Tak baik sangka macam tu tau.” Ain mengusik.
Pak Din senyum. “Boleh ke?” soal Pak Din memujuk.
“Maaflah Pak Din memang saya tak mahu mengajar sesiapa.”
“Tapi Ain dah tak kerjakan. Apa salahnya sementara tu mengajar untuk cari duit,”
pujuk Pak Din.
Ain menghela nafasnya. “Saya mengajar along dan angah secara sukarela Pak
Din.” Dia harap lelaki itu faham akan maksudnya.
Pak Din senyap dan mengangguk. Dia faham dengan maksud Ain yang langsung
tidak meminta satu sen untuk mengajar cucu-cucunya. Gadis ini memang baik.
“Yalah,” jawab Pak Din lemah.
“Saya balik dulu Pak Din.” Perlahan-lahan Ain melangkah meninggalkan
lelaki itu di situ bersama Aizul yang menjadi pendengar sebentar tadi.
“PAK DIN nak apa tadi?” soal Puan Salmah
yang berdiri di anjung rumah.
“Dia minta Ain ajar anak tengku. Tengku mana entah?” keluh Ain. Dia
sendiri tidak pasti siapakah tengku yang disebut oleh lelaki itu.
“Ain setuju?” soal Puan Salmah ingi tahu. Dia mengekori Ain yang sudah pun
masuk ke dalam rumah. Pintu besi ditutup dan dikuncinya.
“Tak.” Ain memandang Puan Salmah.
“Kenapa pulak?” soal wanita itu.
“Ain bukan pandai mengajar ibu. Along dan angah tu pun Ain ajar main redah
aje,” keluh Ain.
Puan Salmah ketawa mendengar kata-kata Ain.
“Ain masuk dululah, bu. Rasa dah mandi peluh duduk bawah payung tu.” Dia
bercadang hendak mandi. Badannya sudah melengas dengan peluh. Memang rasa
kurang selesa sekali.
“Yalah...”
Ain melangkah masuk ke dalam bilik. Matanya menjeling ke telefon
bimbitnya. Sejak seminggu yang lalu, Osman sentiasa menelefonnya berkenaan
tugas-tugas yang masih belum selesai. Hendak ke pejabat serasanya tidak selesa
dengan apa yang berlaku. Rasa tebal kulit mukanya tempoh hari sehari selepas
dia meletak jawatan. Begitu pun ramai yang bersimpati namun itu bukanlah tiket
untuk dia meraih simpati dari mereka semua.
“Dia tak tahu apa-apa, Ain. Pening I. Dah dekat sepuluh kali I ajar
bagaimana nak kira OT untuk contract
staff. You tahulah staf kontrak ni pantang silap sikit kita kira OT dia
orang. Cepat aje datang maki hamun,” keluh salah seorang teman sejabatannya
dahulu.
“I dulu pun macam tu juga. Banyak yang silap,” jelas Ain tidak mahu
memburukkan keadaan yang sudah sedia tegang di jabatan itu dan jabatan
kewangan.
Bulat matanya menatap mesej dari Fendi.
As Salam sayang. Sihat? Breakfast
apa pagi tadi. Miss you so much. Tak perlu balas mesej ni. I tau you akan baca.
Love U.
Ain menghela nafasnya lalu duduk di birai katil. Malam tadi pun dia
menerima mesej itu dan Fendi pesan tidak perlu dibalas. Memang dia tidak akan membalas
setiap mesej lelaki itu. Mudahnya menjadi lelaki. Bila nak itu ini sayang. Bila
tak mahu semua melayang. Eii... dicampak telefon bimbit itu dan melangkah masuk
ke bilik mandi sebaik menarik tuala di ampai.
FENDI menolak kasar pintu yang menjadi
penghalang antara jabatan Sumber Manusia dan jabatan-jabatan lain sebagai
tempat Private and Confidential.
Langkahnya laju mendapatkan Nelly dengan wajah mencuka. Rahangnya
bergerak-gerak memperlihatkan yang dia benar-benar marah.
Tiada siapa di antara kakitangan di situ yang menegurnya. Masing-masing
sudah sedia maklum dengan Pengurus Besar Projek itu. Tidak boleh ditegur
apabila sedang marah. Yang boleh melembutkan hatinya adalah Ain sahaja. Ain
sahaja yang berani menegur dan kadangkala menempelak lelaki itu. Memang Ain
tidak pernah dimarahi biarpun suatu ketika dahulu mereka kerap bertekak dan
saling kata mengata.
Fendi mencampak senarai nama pekerja-pekerja kontrak yang sudah dibayar ke
meja Nelly yang pernah diduduki oleh Ain suatu ketika dahulu.
“Semua salah! Macam mana you kira sampai short lebih tiga ribu?” soal Fendi geram. Tangannya berada di
pinggang memandang gadis itu. Bukan Nelly yang terpaksa menghadap pekerja-pekerja
kontrak tetapi dia dan seorang Pengurus Tapak Projek.
Terkejut Nelly dengan tindakan Fendi yang dirasakan kurang ajar. “I baru
lagi mana I tahu nak kira benda-benda ni semua.” Suara Nelly sedikit tinggi
untuk menyamai suara Fendi sebentar tadi. Dia benar-benar rasa tercabar.
Tambahan semua yang ada di situ memandangnya dengan senyuman sinis.
“Itu bukan alasannya. Ain dah tinggal banyak contoh yang dia buat sebelum
ni. Kenapa you tak ikut apa yang dia buat?!” herdik Fendi. Berkerut dahinya.
Bengang Nelly apabila dia disamakan dengan Ain. “Ain is Ain. I Nelly bukan
Ain, tau tak!” balas Nelly dengan rasa bengang. Sudahlah dia dimarah kemudian
disamakan pula dengan Ain. Semakin sakit hatinya. Lelaki itu langsung tidak
menghormatinya sebagai seorang tunang.
“Ya, I tahu. Apa yang orang dulu buat you tak boleh sambung? Ini short sampai tiga ribu tau tak? Kalau
gaji you short banyak tu, you tak
meroyan ke?!” balas Fendi.
Nafasnya sudah turun naik dan tidak sabar hendak pergi dari situ. Tempat
itu membuat dia sering teringat kepada Ain. Asal petang dia dan beberapa orang
teman lain seperti Osman dan Tuan Haji Amran akan melepak di situ sehingga azan
maghrib. Masing-masing meluahkan kisah pekerja dan masalah kerja masing-masing.
Memang Ain bengang ketika itu. Tugasannya banyak berkaitan rahsia pekerja
dan syarikat. Kehadiran mereka di situ serba sedikit mengganggu tugas-tugas
gadis itu namun dia tidak pernah peduli walaupun sudah beribu kali dia diberi
amaran oleh Ain. Sukar untuk dia melupakan kenangan-kenangan itu.
“So macam mana sekarang?!” soal Fendi ingin tahu. Dia ingin tahu apakah
solusi daripada masalah itu.
Nelly senyap. Matanya menentang mata Fendi yang memandangnya seperti singa
lapar. Hubungannya dengan Fendi tidak pernah baik semenjak mereka bertunang.
Sebelum itu adalah dua tiga kali mereka bertegur sapa dan lelaki itu
memperlihatkan sikap lembut seorang lelaki. Dia tahu, Fendi pernah berpacaran
dengan Ain dan hubungan itu tidak direstui oleh Datin Fariza meskipun disenangi
oleh Dato Johan.
“Dalam resume bukan main tulis pernah handle
pekerja asing sampai seribu orang,” sindir Fendi.
Merah pedam muka Nelly diperli ditengah-tengah kakitangan yang sedang memandangnya.
Memang dia tidak pernah bekerja sebagai Pengurus Pengajian seperti yang didakwa
oleh Datin Fariza dan tertulis di dalam resume mahupun di borang permohonan
kerja. Dia dahulu hanya eksekutif biasa di bahagian pemasaran sahaja. Itu pun
dia lebih banyak membantu pengurusnya sahaja dan membuat portfolio syarikat.
“I nak you settle kan tiga ribu
lagi. Esok tengah hari bagi pada finance
untuk cash dan petang I akan ke tapak
untuk bagi pada staf kontrak yang menunggu, faham!” Keras suara Fendi lalu
melangkah keluar. Dia segera menghubungi Osman untuk meminta bantuan Ain. Dia
pasti Nelly tidak dapat melakukan seperti yang dikehendaki. Lebih baik dia meminta
Osman menghubungi Ain untuk meminta bantuan gadis itu. Dia pasti Ain tidak akan
menolak kalau Osman ataupun Tuan Haji Amran yang menelefonnya.
Lagi, lagi Ain, bisiknya. Bagaimana untuknya melupakan gadis itu. Ya
Allah... keluhnya sendiri lalu memboloskan diri sebaik pintu lif terbuka.
No comments:
Post a Comment