BAB 6
“TOLONGLAH Ain, bolehlah,” pujuk Pak Din yang datang selepas bersolat
isyak di surau berhampiran. Selepas ke rumah Norliah dan Yusof yang terletak
bersebelahan, lelaki itu ke situ untuk memujuk Ain sekali lagi.
Ain senyap sambil mengetuk jarinya di meja batu yang menjadi tempat mereka
anak beranak atau sesiapa sahaja yang datang lepak dan berehat di situ.
“Bukan apa Pak Din... saya ni tak pandai mengajar. Walaupun Bahasa
Melayu.” Ain cuba mencipta alasan-alasannya dan memang dia tidak mahu mengajar
selain dari anak-anak Norliah.
“Cubalah dulu.” Pak Din mendesak.
“Terdesak sangat ke tengku tu?” soal Ain memandang ke wajah lelaki itu
yang mula tersenyum sebaik mendengar soalannya.
“Dia tak terdesak, tetapi anak dia tulah yang terdesak. Budak tu tak
pandai berbahasa melayu. Dalam periksa asyik gagal aje. Bila dah gagal semua
mata pelajaran gagal kan?”
Ain mengangguk membenarkan kata-kata Pak Din itu. “Kenapa tak cari
guru-guru sekolah yang boleh mengajar?”
“Dah jenuh Pak Din tanya. Cikgu sekarang bukan macam dulu... separuh hari.
Sekarang ada yang balik macam orang kerja pejabat. Penat. Mana masa nak layan
anak, suami, buat kerja rumah, memasak bagai,” jelas Pak Din.
Ain tersengih mendengar lelaki itu berkata-kata.
“Satu mata pelajaran aje Ain. BM tu aje. Yang lain tak perlu,” rayu Pak
Din sekali lagi.
“Ini mengajar anak orang kaya-kaya Pak Din. Takut nanti bapak emak dia tak
puas hati, mati saya.” Itulah yang dibimbangkan. Bimbang apa yang diajar tidak
dapat difahami oleh anak tengku itu. Macam manalah rupa anak tengku ni, ya?
Soalnya sendiri.
“Tengku ni okey, mungkin nampak dia macam sombong sebab dia tak kenal
orang. Orang kata tak kenal maka tak cinta.” Pak Din ketawa dihujung
kata-katanya.
Ain senyap sambil menongkat dagunya. Pandangannya tancap ke jalan raya.
Terlihat kelibat sebuah Toyota Alphard putih melintas di hadapan rumahnya.
Siapa punya kenderaan serba guna mewah itu? Soalnya.
“Yalah.” Akhirnya Ain bersetuju setelah dipujuk dan dirayu oleh lelaki
yang dianggap seperti ayah. Tak sampai hati hendak mengatakan tidak pula.
Pak Din mengangguk beberapa kali. “Pak Din percaya Ain boleh mengajar
Tengku Ellyna dengan baik sebagaimana Ain boleh mengajar along dan angah.
Tentang bayaran tu terpulang pada Ain untuk berbincang dengan tengku nanti.”
Pak Din memberikan cadangannya.
Sekali lagi Ain senyap. Tidak tahu apa yang patut dikatakan lagi. Dia mula
merasa serba tidak kena dengan rayuan lelaki itu yang bersungguh-sungguh
sekali. Apalah yang istimewanya sangat dia mengajar?
“Tapi sebelum tu, tengku nak jumpa dengan Ain dulu.”
Terangkat kening Ain mendengar kata-kata Pak Din. “Ada interview ke?” Peliknya. Dah dirayu-rayu
minta mengajar anak tengku itu dia kena ditemu duga pulak. Kalau macam tu baik
tak payah, omelnya sendiri.
“Pak Din pun tak faham dengan tengku tu. Tak apalah... Ain datanglah nanti
ya. Biar Pak Din confirmkan dulu
dengan tengku tu.”
Wah, lelaki ni dah pandai sebut confirm.
Lebar senyuman Ain. “Yalah,” jawab Ain dengan sedikit berat di hatinya.
“Nanti apa-apa Pak Din telefon Ain, ya.” Lelaki itu sudah pun bangun.
Wah, cepatnya Pak Din nak beredar. Dah dapat keputusan darinya terus
bangun nak balik. Ain senyum dengan apa yang difikirkan sebentar tadi.
“Tak masuk dulu, minum?” soal Ain ingin tahu.
“Tak apalah. Jawapan Ain tadi dah buat Pak Din kenyang. Lega sikit...
kalau tak ke hulu ke hilir Pak Din cari guru untuk anak dia,” keluh Pak Din.
“Kenapa mesti Pak Din yang cari? Kenapa dia sendiri tak cari?” berkerut
dahi Ain mendengar kata-kata lelaki itu. Eii... teruknya perangai tengku ni.
Masalah anak sendiri orang lain kena selesaikan. Ya Allah, kalau aku mengajar
anak dia nanti kena pastikan dia lulus ke?
“Bila orang dah minta tolong, rasa tak baik kita nak tolak. Macam Ain
tadi. Pak Din minta tolong dari Ain.” Lelaki itu menyerlahkan maksudnya.
Sekali lagi Ain senyap. Itu dinamakan pertolongan. Ini seperti melepaskan
tanggung jawab kepada orang lain untuk mencari guru untuk mengajar anak. Anak
tu kan amanah dari Allah. Tanggungjawab si bapalah yang patut mencari guru,
bukannya harap pada pembantu rumah.
Mentang-mentanglah Pak Din dibayar gaji, boleh dikuda-kudakan lelaki tu.
Tiba-tiba dia merasa geram dan tak sabar hendak bertentang mata dengan lelaki
yang sudah dianggap angkuh dan sombong.
Nanti kau tengku, kata hatinya sendiri sambil matanya mengiringi Pak Din
menuju ke motosikalnya selepas meminta diri untuk pulang.
BAB 7
LAMA dia memandang kepada gambar
gadis yang dimuat turun ke dalam komputer ribanya dari telefon bimbit Pak Din. Haish,
kalaulah budak ni tahu yang Pak Din ambil gambar curi entah apalah tindakan
gadis yang bernama Ain Najiha tersebut.
Bertudung. Bolehkah dia mengajar? Soalan itu sudah bertalu-talu di dalam
kepala otaknya sejak pertama kali Pak Din memperkenalkannya melalui gambar itu.
Kenapa dia begitu prejudis sangat dengan wanita bertudung? Tengku Adeline pun
bertudung dan boleh berbahasa Inggeris dengan baik malah lulusan dari salah
sebuah universiti terkemuka di UK. Tetapi budak ni lulusan universiti tempatan
aje, akalnya masih tidak mahu mengalah.
Lama dia menelek wajah gadis itu. Wajah itu seperti biasa dilihat. Tetapi
di mana? Soalnya sendiri.
“Siapa ni papa?”
Terkejut Tengku Ritzlan. Cepat-cepat dia menutup komputer riba sambil
tersengih memandang puterinya yang sudah duduk berhampirannya. Entah dari mana
puterinya itu muncul.
“Tak ada siapa?” Tengku Ritzlan mengangkat komputer ribanya dan diletak di
meja sisi sofa.
“Haa... papa dah ada girlfriend,
ya.” Tengku Ellyna sudah menggoyang-goyangkan jari telunjuknya dengan senyuman
comel di bibir.
“Bukan girlfiend, tapi guru yang
akan ajar Lyna Bahasa Melayu,” jelas Tengku Ritzlan untuk menutup setiap soalan
yang mungkin disoal oleh puterinya itu.
“Cantik,” pujinya.
Ya, hatinya mengakui yang gadis bernama Ain Najiha itu cantik walaupun
bertudung. Bibirnya mengulum senyum sendiri. Tengku Ritzlan berdeham dan segera
bangun.
“Jadi lebih baik Lyna mandi sekarang. Pukul 8.00 malam nanti dia akan
datang,” jelas Tengku Ritzlan. Itulah harapannya. Harap-harap dapatlah gadis
itu membantu anaknya. Kasihan puterinya yang menangis beberapa hari lepas
kerana mendapat markah 10 di dalam mata pelajaran Bahasa Melayu.
“Okey,” jawab Tengku Ellyna dan berlari menuju ke tangga.
Tengku Ritzlan hanya memandang dengan senyuman sehingga puterinya itu
hilang dari pandangannya.
“Ku!”
Tengku Ritzlan menoleh sebaik mendengar suara Pak Din di belakangnya.
Pasti lelaki itu dari dapur. Pak Din dan Mak Gayah sudah tinggal bersamanya
sejak 5 tahun yang lalu. Daddynya, Tengku Ritzaini yang memperkenalkan dia
dengan lelaki yang berusia 54 tahun itu.
“Jangan lupa pukul 8.00 malam ni. Si Ain tu datang,” pesan Pak Din yang
melangkah menghampiri Tengku Ritzlan.
Tengku Ritzlan senyap tetapi mengangguk-anggukkan kepalanya. Memandang Pak
Din yang memandangnya.
“Kenapa?” soal Pak Din seperti dapat melihat keraguan di wajah Tengku
Ritzlan.
“Dia bertudung. Boleh ke dia mengajar?” soal Tengku Ritzlan memecah rasa
ragunya.
“Astaghfirullah al’azim,
Ku!” Mengucap panjang Pak Man mendengar keluhan lelaki itu. “Tudung tu kan
wajib bagi setiap wanita islam. Wanita islam kan wajib menutup aurat. Kenapa
tudung Ku jadikan alasan pula? Apakah tudung itu ukuran tinggi atau rendahnya
pelajaran seseorang. Wanita wajib menutup aurat sejak seribu lima ratus tahun
dahulu. Semenjak Quran diturunkan,” tegas Pak Din penuh emosi.
“Bukan
begitu, Pak Din.” Cemas dia melihat lelaki itu yang sudah beremosi.
“Maaf Ku,
saya tak boleh orang pandang-pandang rendah pada orang bertudung. Ini bukan
orang yang suruh tetapi Allah yang perintah. Suruhan Allah. Kalau Ku rasa si
Ain tu tak menepati cita rasa Ku untuk mengajar Ellyna, saya telefon dia. Tak
perlulah dia datang. Ku carilah sendiri cikgu nak mengajar Ellyna,” balas Pak Din
lalu mengeluarkan telefon bimbitnya untuk menghubungi Ain. Dia benar-benar
kecewa dengan pandangan cetek seorang yang berpelajaran tinggi.
“Pak Din!”
Pantas Tengku Ritzlan merampas telefon bimbit lelaki itu. “Saya minta maaf. Bukan
begitu maksud saya,” kata Tengku Ritzlan serba salah untuk menjelaskan. Walaupun
diakui yang dia kurang percaya dengan kemampuan wanita yang bertudung.
“Saya tak
tahu maksud Ku. Tapi tolonglah jangan pandang rendah pada orang seagama kita.
Dia islam dan Ku juga seorang islam. Tak semestinya orang yang bertudung tak
pandai dan tak cerdik seperti Ku,” tegas Pak Man dengan rasa kecewanya dengan
tanggapan majikan yang sudah dianggap seperti anaknya sendiri. Dia cuba membawa
dirinya bertenang. “Ku fikirlah sendiri dan tengoklah dia sendiri nanti,” balas
Pak Din lalu melangkah meninggalkan Tengku Ritzlan di situ.
Marah sungguh-sungguh Pak Din ni, sungutnya sendiri.
“Dan Ain boleh berbahasa Jepun dan Cina dengan fasih,” kata Pak Din
berhenti sejenak sebelum melangkah meninggalkan Tengku Ritzlan.
Terkedu dia mendengar kata-kata terakhir lelaki itu.
“SAYA Tengku Ritzlan.” Dia
menghulurkan tangannya ingin bersalam dengan Ain yang sudah pun berada di
hadapannya. Wajah gadis itu lebih cantik dan manis daripada gambar yang diambil
oleh Pak Din beberapa hari yang lalu.
“Maaf, saya bukan mahram tengku,” pinta Ain sambil menggengam erat
tangannya ke dada.
Kaget dengan reaksi yang ditunjukkan oleh Ain sebentar tadi. Entah mengapa
dia merasa terhina dengan cara Ain. Rasa malu menyelinap ke hati dan membuat
wajahnya berasa sedikit panas.
“Ya, maaf.”
Mengakui kesilapannya walaupun rasa marah membakar hatinya. Melihatkan
cara Ain bercakap dan tingkah laku gadis itu dia sudah dapat mengagak yang Ain
seorang yang cukup tegas.
“Saya Ain Najiha,” balas Ain memperkenalkan dirinya dengan suara mendatar
tanpa senyuman.
Tengku Ritzlan mengangguk-anggukkan kepalanya. Sombongnya, getusnya
sendiri apabila senyumannya tidak berbalas. Nafas dihelakan. Terasa menyesal
menyetujui cadangan Pak Din. Tetapi apa yang hendak dilakukan sekarang. Ain
sudah pun berada di hadapannya.
“Sila duduk,” pelawa Tengku Ritzlan.
Ain akur dan duduk berhadapan dengan lelaki di hadapannya.
“Boleh mengajar?” soal Tengku Ritzlan terus kepada tujuannya.
Boleh tahan juga Ain ni, sekali lagi hatinya memuji dalam rasa bengang
yang masih belum reda. Tudung yang dikenakan memang sesuai dengan wajahnya yang
berbentuk bujur telur. Berpakaian begitu ringkas. Mengenakan cardigan yang agak
labuh dan hampir mencecah lutut. Berblaus putih di dalamnya dan berseluar
jeans. Sekali lagi wajah itu diteleknya. Mujurlah Ain tidak memandangnya.
“Tak,” jawab Ain jujur.
Tengku Ritzlan menghela nafasnya.
“Kata Pak Din, anak jiran awak dapat 5A dalam UPSR dia tahun lepas.”
Memang dia kagum dengan gadis itu dapat mengajar sehingga budak itu berjaya.
Tentulah kejayaan budak itu satu kejayaan bagi Ain.
“Itu usaha dia dan saya tolong sikit-sikit aje,” balas Ain. “Memang saya
tak ada skill untuk mengajar. Saya
ajar pun ikut buku dan apa yang diajar oleh guru mereka di buku latihan aje,”
jelas Ain.
Dia tidak mahu lelaki itu terlalu mengharap dia boleh mengajar anak lelaki
itu. Entah mengapa dia merasa begitu berat sekali sebaik menjejakkan kaki ke
situ. Ia sebuah kesilapan, bisiknya sendiri.
“Sebelum ini awak kerja ni mana?” soal Tengku Ritzlan ingin mengetahui
serba sedikit latar belakang gadis itu.
“Akhbar Engineering. Sebagai Pegawai Sumber Manusia,” jelas Ain. Tiada apa
yang perlu disorokkan. Kalau lelaki itu hendak menelefon bekas majikannya pun
dia tidak punya masalah.
“Hmm...” Tengku Ritzlan mengangguk-anggukkan kepalanya. Syarikat milik bapa
saudaranya. Arwah Syed Akhbar adalah datuk saudaranya.
“Sebelum bekerja, awak buat apa?” soal Tengku Ritzlan lagi.
“Belajar,” jawab Ain sepatah.
Sambunglah. Di mana? Masakan dia ingin bertanya semua itu, desisnya dengan
rasa sedikit bosan dengan perbualan itu. Sepatah ditanya, sepatah juga dijawab
oleh Ain.
“Di mana?” soal Tengku Ritzlan.
“UUM,” jawab Ain.
Kaget Tengku Ritzlan mendengar jawapan itu. Universiti Utara Malaysia.
“Kenapa berhenti?” soal Tengku Ritzlan.
Ain memandang lelaki yang duduk di hadapannya. “Perlukah saya bercerita
semuanya?” soal Ain selamba.
“Kalau awak rasa perlu,” balas Tengku Ritzlan lalu menyilangkan kakinya sambil
merenung tepat ke mata Ain yang menentang matanya. Mata siapakan ini? Soalnya
sendiri.
Ain menghela nafasnya.
“Ya melibatkan peribadi,” jawab Ain pendek.
“Ooo... kemudian?” soal Tengku Ritzlan mula berminat hendak mengetahui
akan perkara itu. Dengan siapa? Fikirannya mula menjalar memikirkan beberapa
orang sepupunya. Fendi? Sean? Wafi? Siapa? Ahh... tentu dengan orang lain. Hisy,
kalau dengan orang lain masakan terpaksa berhenti kerja.
“Saya rasa yang lain-lain tidak perlu. Cukuplah saya kata ia sangat-sangat
peribadi,” balas Ain dalam nada yang sedikit keras.
Tergamam Tengku Ritzlan. Sombongnya perempuan ni. Kalau tak mahu beritahu
jawablah elok-elok, gerutunya sendiri. Nampaknya dia tidak akan menerima dan
mempertimbangkan keputusannya. Hatinya bulat berkata yang Ain langsung tidak
layak menjadi guru kepada anaknya.
“Kalau macam tu tak apalah,” kata Tengku Ritzlan.
Ain tiba-tiba bangun sebaik mendengar kata-kata Tengku Ritzlan. Pantas
sungguh lelaki itu membuat keputusan dan dia pun tidak ingin mengajar anak
lelaki itu. Tidak perlulah dia memikirkan atau memutuskan apa-apa keputusan.
“Maaf sebab kedatangan saya membuang masa tengku. Saya balik dulu. Assalamualaikum,”
ucap Ain lalu melangkah menuju ke pintu tanpa menoleh lagi.
Terkebil-kebil Tengku Ritzlan dengan reaksi Ain. Mungkin Ain tersilap
sangka. Dia tidak bermaksud menolak gadis itu dengan begitu sahaja.
“Biarlah!” katanya sebaik Ain hilang daripada pandangannya. Tak perlulah
dia bersusah payah untuk memberitahu Ain dengan keputusannya.
“Papa?!”
Tengku Ritzlan menoleh dan tersenyum melihat Tengku Ellyna yang sedang
menuruni tangga.
“Mana Ainnya?” soal Pak Din yang sedang menatang dulang air dan di belakang
isterinya, Mak Gayah yang sedang menatang dulang kuih muih.
“Dah balik,” jawab Tengku Ritzlan sambil menggaru-garukan kepalanya yang
tidak gatal.
Memandang Tengku Ellyna yang tidak faham dengan kata-katanya. Dia hanya
tersengih sambil menjongket bahu memandang Tengku Ellyna yang memandangnya.
PANTAS Ain menyeluk telefon bimbitnya
sebaik masuk ke dalam kereta. Kaget dia melihat nombor telefon Dato Johan. Apa
orang tua ni nak? Adakah tentang Datin Fariza? Aduhai... bertambah-tambah
pening kepalanya. Yang sudah tu sudahlah, bisiknya.
“Assalamualaiakum dato.”
“Waalaikumusalam... Ain apa khabar?” soal lelaki itu di sebelah sana.
“Alhamdulillah, sihat seadanya. Dato macam mana?” soal Ain sebagai berbasa
basi.
“Alhamdulillah...” ada tawa dihujung jawapan itu.
Ain cuma menganggukkan kepalanya seolah-olah lelaki itu nampak reaksinya.
“Saya minta maaf dengan apa yang berlaku. Isteri saya tak patut campur tangan
dalam urusan pejabat.”
“Tak ada apalah dato.”
“Entahlah Ain, saya tak sangka dia boleh buat perkara macam tu. Sepatutnya
awak tak perlu ikut cakap dia. Abaikan kata-kata dia hari tu. Isteri saya tu
bukan tahu apa-apa pun. Yang dia tahu ke salon, persatuan entah apa-apa yang
saya sendiri tak tahu,” keluh Dato Johan lagi.
Ain senyum mendengar keluhan lelaki itu. Tidak tahu apa yang patut
dibalasnya.
“Saya minta maaf sekali lagi Ain,” pinta lelaki itu lagi.
“Tak apalah dato...”
Diakui, yang lelaki itu begitu baik sekali dan sudah dianggap seperti bapa
apatah dia selalu mengikut lelaki itu dan pembantunya jika bertemu dengan klien
mereka daripada Jepun.
“Ain buat apa sekarang?”
“Tolong ibu saya berniaga nasi lemak,” jawab Ain.
“Sungguh?”
“Ya dato,” balasnya lalu menghidupkan enjin keretanya. Dia pasti sangat
yang lelaki itu menelefonnya sendiri pasti ada tujuan. Begitulah Dato Johan.
Dato Johan ketawa di sebelah sana. “Sebenarnya saya ada tujuan telefon
awak ni Ain?”
“Mr Takashima ada di KL ke?” soal Ain seperti dapat mengagak.
“Ya.” Dato Johan ketawa. “Tahu sahaja awak ya.”
Ain senyum. “Dato takkan call saya kalau lelaki jepun tu tak ke sini,”
balas Ain. Dan dia mendengar Dato Johan terus ketawa. Berbeza sungguh karater
lelaki itu dan Datin Fariza. Ahh... lantaklah dengan perempuan tu, bisiknya
sendiri. “Bila dato nak jumpa dia?” soal Ain ingin tahu.
“Kalau awak tak keberatan... esok dalam pukul 10.00 pagi kita jumpa di
lobi Shangri-la. Kemudian dia nak belanja makan di Lemon Garden Cafe pulak,” jelas
Dato Johan.
Sekali lagi Ain mengangguk-anggukkan kepalanya.
“Ya, insya-Allah saya datang esok,” janji Ain.
“Pasal bayaran Ain jangan bimbang, ya.”
“Jangan macam tu dato, saya cuma nak tolong selesaikan tugasan ni sampai
berjaya.” Itulah matlamatnya. Apalah sangat menjadi juru bahasa lelaki itu.
“Terima kasih Ain. Awak buat saya rasa lagi bersalah.”
“Kalau dato mahu juga bayar saya, saya tak akan datang esok.” Ain mengugut
lelaki itu.
Dato Johan ketawa kuat di sebelah sana.
Ain senyum mendengar tawa lelaki itu.
“Baiklah. Esok kita jumpa pukul 10.00 pagi.”
“Ya, insya-Allah,” jawab Ain dengan rasa lega.
“Okey, Assalamualaikum dan terima kasih sekali lagi Ain,” ucap lelaki itu
sebelum suaranya hilang.
“Waalaikumusalam,” jawab Ain.
Nafas dihelakan sambil meletak telefon bimbitnya di tempat duduk sebelah.
Matanya beralih ke rumah agam yang didiami oleh Tengku Ritzlan. Pelik. Baru dia
perasan... di mana isteri lelaki itu. Dan selama ini Pak Din asyik menyebut
nama tengku sahaja. Tidak pula lelaki itu menyebut isteri lelaki itu.
Ahh... untuk apa difikirkan perkara yang tidak bersangkut paut dengannya.
Lebih baik dia pulang sebelum hari merangkak lebih lewat lagi. Pantas dia
menekan minyak dan seketika keretanya meluncur laju menuju ke destinasi yang
sudah pasti.
BAB 8
“PAK DIN nak jumpa Kak Liah ke?” jerit
Ain dari pintu rumah.
Dia baru sahaja menutup dan mengunci pintu besi selepas Puan Salmah dan
Aizul masuk ke dalam. Keduanya dari surau berdekatan selepas bersolat maghrib
dan isyak di sana.
“Tak. Pak Din nak jumpa Ain. Tadi Pak Din datang di gerai ibunya tapi Ain
tak ada,” jelas Pak Din dengan senyuman.
“Ya, saya ada hal sikit Pak Din.” Ain sudah membuka pintu besi semula dan
keluar untuk membuka pintu pagar pula. Dia keluar untuk bertemu dengan Dato
Johan dan Mr Takashima yang tidak tahu berbahasa Inggeris apatah lagi berbahasa
melayu.
“Ooo...” balas Pak Din.
Dia menarik pintu belakang kenderaan serba guna itu dan keluar seorang
gadis kecil berwajah Inggeris. Berambut perang, bertocang dua dan memakai blaus
bersama seluar jeans hitam. Tersenyum sebaik matanya menangkap mata Ain.
Inikah anak Tengku Ritzlan? Soalnya Ain. Alahai, comelnya anak mat salih
ni, pujinya sendiri sebaik melihat gadis kecil itu senyum memandangnya.
“Ini anak tengku tu ke Pak Din?” soal Ain ingin tahu. Matanya masih
memandang Tengku Ellyna yang tangannya erat memegang tangan Pak Din.
“Ya,” jawab Pak Din sepatah.
“Masuklah,” pelawa Ain yang sudah pun membuka pintu pagar dengan luas.
“Di sini ajelah, Ain.” Pak Din menunjuk kepada bangku rehat yang terletak
di anjung rumah itu. Pak Din sudah pun melabuhkan punggungnya di situ dan
begitu juga dengan Tengku Ellyna.
“Kalau macam tu Ain masuk dulu nak buat air.”
“Eh, tak payah. Tak payah,” tegah Pak Din.
Ain tidak jadi melangkah namun masih berdiri di ambang pintu.
“Si Lyna ni... Pak Din tak tahu dia cakap apa. Yang Pak Din dengar nama
Ain aje yang dia sebutnya,” jelas Pak Din dengan sengihan.
Ain memandang kepada Tengku Ellyna yang memandangnya dengan senyuman. Comel
sungguh anak kacukan ni, pujinya sendiri. Lama dia menatap wajah gadis itu
sehingga merah pipi Tengku Ellyna yang berkulit putih kemerah-merahan itu
“Betul ke atau dia sebut lain yang lebih kurang sama dengan nama saya.” Ain
sudah ketawa-ketawa mendengar kata-kata Pak Din sebentar tadi.
“Saya Ellyna.” Tengku Ellyna memperkenalkan dirinya kepada Ain di dalam
Bahasa Inggeris.
Ain tersenyum. Petahnya mulut anak kecil ni. Tetapi anak mat salih memang
macam ni. Nampak comel kalau berbahasa Inggeris, di dalam Malaysia yang
majoritinya berbahasa Melayu, desis Ain sendiri.
“Saya Ain Najiha. Tengku boleh panggil kakak Ain.”
“Panggil Lyna aje. Saya tak suka orang panggil saya tengku,” balas Tengku
Ellyna yang masih memegang tangan Ain tetapi bukan lagi bersalam.
“Ooo... baik, Lyna,” ucap Ain sambil mengangguk.
Tengku Ellyna tersengih menampakkan giginya yang putih dan kemas. “Kenapa
kakak Ain balik semalam. Papa kata kakak Ain akan ajar Lyna Bahasa Melayu.”
Ain memandang Pak Din yang memandang mereka berdua silih berganti.
“Dia cakap apa Ain?’ soal Pak Din ingin tahu. Pening dia apabila keduanya
berbahasa Inggeris.
Ain tersengih.
“Tolong ajar Lyna. Lyna asyik gagal dalam Bahasa Melayu. Tolong ya, kak
Ain,” rayu Tengku Ellyna dengan memek wajah yang sudah dikerutkan memohon
simpati Ain.
Tercengang Ain mendengar rayuan gadis kecil itu. Bila teringat peristiwa
semalam memang dia berjanji tidak akan menjejaki lagi ke rumah Tengku Ritzlan.
Tidak dapat mengajar pun dia tidak kisah. Gaya Tengku Ritzlan benar-benar
membuat dia bengang.
“Ain!”
Ain memandang Pak Din yang memandangnya.
“Macam mana?” soal Pak Din yang masih tidak faham dengan apa yang
dikatakan oleh kedua mereka.
“Pak Din datang malam-malam ni... si tengku tu tak marah ke bawak anak dia
keluar malam-malam macam ni?” soal Ain ingin tahu tanpa menjawab soalan lelaki
itu.
“Dah keluar. Katanya ada function.
Function apa, Pak Din pun tak tahu,”
jelas Pak Din. “Jadi macam mana?” soal Pak Din ingin tahu.
“Entahlah, Pak Din!” keluh Ain lalu duduk di salah sebuah kerusi yang ada.
Tangannya masih digenggam erat oleh Tengku Ellyna. Gadis itu juga duduk
bersebelahan Ain. Ain senyum sambil mengusap lembut rambut perang gadis itu. Rasa
simpati bercampur baur dengan rasa menyampah terhadap sikap Tengku Ritzlan
semalam.
“Apa tengku cakap dengan Ain semalam? Cuba cerita pada Pak Din.” Pak Din
membetulkan duduknya menghadap Ain dan Tengku Ellyna. Matanya beralih ke pintu
apabila melihat Puan Salmah muncul.
“Eh, dah lama kau sampai Din?” soal Puan Salmah sedikit terkejut dengan
kehadiran lelaki itu di waktu begitu.
“Baru aje. Lyna...” tegur Pak Din sambil menunding jari kepada Puan Salmah
menyuruh anak itu bersalam dengan wanita itu.
Ain tersenyum lalu memberitahu Tengku Ellyna di dalam Bahasa Inggeri
meminta agar gadis itu bersalam dengan orang yang lebih tua darinya sebagai
tanda hormat dan santun. Tengku Ellyna melakukan seperti yang disuruh oleh Ain.
Kemudian kembali duduk bersebelahan dan memegang tangan Ain seolah-olah tidak
membenarkan gadis itu ke mana-mana lagi.
“Anak majikan kau ke?” soal Puan Salmah dengan senyuman. Sempat dia
mencuit gadis comel itu.
“Ya,” jawab Pak Din.
“Duduklah dulu, aku buat air kejap.” Seketika Puan Salmah menghilangkan
diri sebelum sempat dia berkata apa-apa.
“Cuba beritahu Pak Din, apa tengku tu cakap?”
“Saya tak ada skill mengajar Pak
Din... carilah orang lain yang tahu teknik mengajar.”
“Bukannya suruh mengajar macam cikgu tu. Cakap-cakap dengan dia dalam
Bahasa Melayu, kemudian Bahasa Inggeris. Itu aje. Lama-lama dia tahulah,” balas
Pak Din sedikit keras sambil mengesat peluhnya yang sudah mereneh di dahi.
“Kalau macam tu, Pak Din pun boleh,” balas Ain mengusik lelaki itu.
“Aku setakat yes, no, alright,
thank you tu bolehlah.” Pak Man
memandang Tengku Ellyna yang sudah ketawa-ketawa. “Kan Lyna?” dia juga turut
ketawa melihat anak kecil itu mentertawakannya.
Ain ketawa mendengarnya.
“Dia sekolah di mana?” soal Kak Liah ingin tahu.
“Sri Mahkota.”
“Dah tahu anak tak boleh berbahasa Melayu, kenapa tak hantar sekolah
kebangsaan aje. Biar dia bercampur dengan budak-budak biasa. Bingung sungguh,” cemuh
Ain dengan rasa jelek mendengar nama sekolah yang diagungkan sangat kebanyakan
orang kaya-kaya.
Pak Din tersengih. “Tolonglah Ain... kesian si Lyna ni,” rayu Pak Din
pula.
“Nak tolong macam mana? Dah bulat-bulat si tengku tu tolak saya. Masakan
saya nak tersua-sua pergi dapat dia. Maaflah, saya tak akan jejak rumah tu
lagi,” tekadnya.
Pak Din senyap lalu memandang Tengku Ellyna yang masih memandang Ain.
“Kalau macam tu tak apalah. Jom Lyna kita balik.” Pak Din bangun sambil
menghulurkan tangannya mengajak anak majikannya pulang. Memang dia rasa sedikit
kecewa.
Tengku Ellyna akur. “Bye Kak
Ain,” ucap gadis itu sambil melambaikan tangannya kepada Ain.
Ain hanya memandang keduanya masuk ke dalam kenderaan serba guna yang
diparkir di luar kawasan rumahnya. Seketika kenderaan itu meluncur laju
membelah kepekatan malam.
“Mana Dinnya?” soal Puan Salmah yang muncul tiba-tiba. Di belakang Aizul
yang sedang menatang dulang berisi cawan-cawan dan seteko air.
“Dah balik,” jawab Ain pendek.
“Pulak...” keluh Puan Salmah lalu meletak dulang di atas meja bulat di
hadapan kerusi rehat. “Zul, letak kuih tu atas meja. Kitalah yang menjamu.”
Aizul tersengih dan menurut kata Puan Salmah.
Ain menghela nafasnya lalu bangun.
“Ke mana?” soal Puan Salmah.
“Masuk,” jawab Ain.
“Duduk dulu kita jamu selera sambil makan angin malam,” ajak wanita itu.
Aizul sudah ketawa-ketawa mendengar kata-kata ibunya. “Lawak betul ibu
ni.”
“Ibu makanlah, Ain nak masuk. Penat.”
Ya, dia penat. Tubuhnya penat, hatinya penat. Seperti seluruh tenaganya
sudah tiada untuk menghadapi situasi yang tidak disangka-sangka. Selepas Fendi
kenapa datang pula masalah Tengku Ritzlan dan puterinya. Ain menghela nafasnya.
Biarlah, pandai-pandailah Tengku Ritzlan mencari guru untuk anaknya.
Mengapa harus disusahkan Pak Din? Yang peliknya... kenapa dia pula yang susah
hati. Aduhai hati...
“BETUL
ke Pak Din dan Ellyna ke rumah budak perempuan tu?” soal Tengku Ritzlan
yang duduk di antara sofa-sofa yang ada di situ. Tidak tersebut nama Ain
biarpun nama gadis itu sudah melekat di dalam ingatannya. Ain Najiha. Binti?
Ah... pandai sahaja dia berpura-pura di hadapan Pak Din.
“Ya. Kenapa?” soal Pak Din merenung ke wajah Tengku Ritzlan.
Entah mengapa dia merasa yang lelaki itu seperti memperlekehkan diri Ain
yang bertudung. Rasa menyesal menemukan mereka berdua. Namun pada siapa lagi
dia hendak bertanya.
Kaget dia mendengar soalan lelaki itu. Tiada langsung rasa bersalah lelaki
itu apabila dia bertanya malahan mengakuinya. Majalah yang hanya sebagai mainan
mata menunggu Pak Din tadi di letak di atas meja sisi lalu bangun.
“Saya tak suka Pak Din bawa Lyna ke sana dan berjumpa dengan budak tu,”
tegas Tengku Ritzlan lagi. “Nampak sangat yang saya ni tak boleh nak cari orang
lain untuk mengajar Ellyna,” tegas Tengku Ritzlan dalam lembut.
“Memang pun,” akui Pak Din selamba dalam nada yang cukup jujur. “Lyna
desak saya. Dia sendiri mahu berjumpa Ain. Saya nak kata apa lagi. Saya ni
hanya pemandu Ku. Pemandu pada anak Ku. Yang saya mampu cari hanya Ain aje,”
jelas lelaki itu berharap agar lelaki itu faham dengan kata-katanya.
Terkelip-kelip mata Tengku Ritzlan. Rasa terpukul dengan kenyataan Pak Din
sebentar tadi. Nampak sangat selama ini dia sudah mengabaikan keperluan anak
tunggalnya dan dibebankan kepada Pak Din.
“Saya minta maaf, Pak Din,” pinta Tengku Ritzlan tunduk memandang karpet
yang sedang dipijak.
“Bukan apa Ku, saya kesian tengok Lyna,” keluh Pak Din.
“Nanti saya cuba cari seorang guru yang betul-betul guru untuk mengajar
Ellyna.” Perlahan suara Tengku Ritzlan. “Budak tu dahlah tak ada skill nak mengajar. Nanti entah apa-apa
yang diajar Ellyna,” sambung Tengku Ritzlan dengan nada bersungut.
“Tapi Ku, Ellyna hanya tak fasih berbahasa Melayu. Nak fasih perlulah
bercakap. Ku banyak bercakap dengan dia bahasa orang putih. Patutnya Ku lah
yang mula kan dulu,” selar Pak Din dengan senyumannya.
Gamam dia mendengar kata-kata Pak Din. Lama dia memandang lelaki itu yang
memandangnya dengan wajah selamba dan tanpa perasaan.
“Nak fasih kita hanya perlu bercakap setiap hari. Saya ni tak pandai nak
cakap bahasa orang putih. Kalau tidak saya pun boleh ajar Ellyna berlawan cakap
Bahasa Melayu.” Pak Din tersengih dengan kata-katanya sendiri.
Hisy, kita pula ditembaknya! Terasa sakit pula hatinya dengan kata-kata
Pak Din walaupun ia mengakui kebenaran itu. Tengku Ritzlan menghela nafasnya.
Dia meraup rambutnya beberapa kali.
“Saya tak ada masa Pak Din.” Tengku Ritzlan memberi alasan.
Pak Din ketawa kecil. “Allah bagi kita masa 24 jam Ku. Tak lebih dan tak
kurang. Sebenarnya masa untuk kita tu dah lebih daripada cukup untuk kita guna
dengan perkara-perkara yang diredai oleh Allah Subhanahuwataala. Tetapi kita
tak pandai nak membahagi-bahagikan masa kerana kita banyak buat perkara-perkara
yang Dia tak suka.”
Sekali lagi dia terasa dirinya diselar oleh lelaki itu namun dia tidak
mampu untuk melawan kata-kata yang penuh dengan kebenaran. Dia masih lagi menaruh
rasa hormat terhadap lelaki yang lebih tua daripadanya dan banyak membantunya
dalam menguruskan Tengku Ellyna.
“Sambil-sambil makan pun, Ku boleh cakap-cakap dengan dia.”
Tengku Ritzlan senyap.
“Jadi apa salahnya kita minta tolong Ain ajar kan Ellyna.” Sekali lagi Pak
Din menyusul cadangannya kepada lelaki itu.
“Tak payahlah Pak Din nak pujuk-pujuk dia lagi!” Tengku Ritzlan sengaja
melangkah menuju ke tingkap. Entah mengapa rasa tidak sanggup memandang wajah lelaki
itu. Silap-silap dirinya pula terpujuk dengan kata-kata Pak Din. Mengingatkan
kisah semalam hatinya berbahang.
Takkan dilupa wajah itu. Sombong! Cemuhnya sendiri.
Pak Din mengangguk-anggukkan kepalanya sambil mengurut-urut dagunya yang
sedikit berbulu kasar sambil memandang Tengku Ritzlan.
“Kenapa Ku marah sangat dengan Si Ain tu?” soal Pak Din ingin tahu.
Kenapa soalan dan jawapan lelaki itu sering membuat dia tersentak sendiri.
“Sombong! Macam dia tu bagus sangat,” cemuh Tengku Ritzlan.
Pak Din menggeleng-gelengkan kepala. “Manusia ni semuanya serupa Ku. Tak
ada satu pun yang bagus dan sempurna. Yang sempurna dan terbaik hanya Allah
yang satu,” balas Pak Din dengan suara yang begitu lembut sebelum beredar.
Sekali lagi dia terasa dengan kata-kata Pak Din. Dia menoleh dan
dilihatnya Pak Din sudah pun melangkah menuju ke bilik makan dan hilang di
sana. Sekali lagi nafas dihela.
Kenapa dengan orang tua ni? Semua tak kena? Atau aku yang tak kena?
Soalnya sendiri.
BAB 9
TKASIH byk2 krn tolong papa I
jadi translator utk Mr Takashima tempoh hari. Miss you sayang. Tak perlu balas,
ya...
Ain menarik nafasnya sebaik menatap mesej daripada Fendi. Dia tidak faham
dengan setiap mesej Fendi. Tak perlu balas. Kenapa?
Telefon bimbit dicampak ke atas sofa.
“Kenapa pulak tu?” soal Aizul sedikit terkejut melihat tingkah laku Ain.
“Tak ada apa-apa,” jawab Ain lalu mengekori Aizul yang sudah pun menuju ke
pintu rumah. Sekejap lagi Aizul dan Puan
Salmah mahu keluar membeli barang keperluan dapur dan berniaga di Pasaraya
Tesco.
“Senarainya dah ambik tadi kan?” soal Ain ingin tahu.
Dia melangkah ke kabinet yang tersandar di ruang tamu untuk mengambil
dompetnya. Lalu dikeluarkan beberapa not seratus dan diberikan kepada Aizul.
“Terima kasih kak,” usik Aizul sebaik menerima duit tadi.
“Ini duit dapur dan beli barang untuk meniaga, bukan duit kau!” balas Ain
sedikit bengang walaupun dia tahu itu hanyalah gurauan Aizul.
“Upah tak ada?” terkelip-kelip matanya memandang si kakak.
“Tiap-tiap bulan bagi tu tak cukup lagi?” soal Ain sudah bercekak
pinggang. Dahlah aku tak kerja, gumamnya sendiri.
Aizul tersengih. “Ibu cepatlah!” jerit Aizul di pintu.
Ain keluar sebaik menyarung tudungnya. Matanya melingas sekitar perumahan
yang sepi. Tiba-tiba matanya terpandang pada sebuah Toyota Alphard bercermin
gelap.
“Siapa punya Alphard tu?” soal Ain sambil menghampiri Aizul yang sudah pun
menghidupkan enjin keretanya. Serasanya jiran yang duduk di tepi sana hanya
menggunakan kereta Toyota Corolla tahun 1986. Jenis apa dia pun tidak pasti.
Aizul menoleh sebaik mendengar Ain menyebut Alphard. Dadanya
berdebar-debar sebaik melihat Toyota Alphard putih dan bercermin gelap. Itulah
kenderaan yang digunakan oleh Datin Fariza menyerang gerai ibunya beberapa
bulan yang lalu. Dan sehingga kini Ain dan Aizad tidak tahu. Dia pasti mereka
sedang mengintip gerak gerinya.
“Entahlah...” gagap-gagap Aizul menjawab.
“Pak Ali tak berniaga pulak tu,” keluh Ain. Dia baru bercadang hendak
membeli goreng pisang lelaki itu untuk minum petangnya. Pandangannya masih
kepada Toyota Alphard. Tidak pasti sama ada ada orang ataupun tidak di
dalamnya.
Aizul tidak bersuara. Tangannya sudah menekan nombor-nombor menghubungi seseorang.
Dan dia melangkah agak jauh agar perbualannya tidak didengari oleh Ain.
Ain masih memandang kepada kenderaan tadi dan seketika kenderaan itu
bergerak laju melewati rumahnya. Hmm... ada orang, bisiknya sendiri.
Pandangannya beralih kepada Puan Salmah yang sedang melangkah menghampirinya.
“Lamanya tuan puteri bersiap,” usik Ain kepada ibunya.
Tersengih Puan Salmah mendengar usikan si anak. Memang begitulah dia dan
anak-anaknya. Walaupun bergurau tetapi anak itu masih tahu menjaga batas-batas
bahasa terhadapnya.
“Senarainya mana?” soal Puan Salmah kepada Ain.
“Pada Aizul.” Ain menuding jari pada Aizul yang sudah menghampiri mereka.
“Kalau macam tu ibu pergi dulu,” kata Puan Salmah lalu masuk ke dalam
kereta MyVi Ain berwarna merah ‘menawan’.
“Kak, kang kawan-kawan nak datang lepak depan ni. Jangan marah pulak,”
pesan Aizul.
“Kenapa lepak kat sini. Suruh duduk kat gerai tu. Kejap lagi Abang Bob nak
buka gerai kan?” rimas dia kalau kawan-kawan Aizul melepak di depan rumahnya.
Bukan budak-budak tu tahu senyap. Seorang-seorang bercakap macam jauh sepuluh
batu.
“Haa... yalah. Nanti Zul cakap dengan dia orang.” Aizul memboloskan
dirinya ke dalam kereta.
Seketika dia melihat keretanya dilarikan oleh Aizul menuju ke jalan besar.
Sekali lagi dia memandang kepada tempat Toyota Alphard tadi diparkir. Siapa
punya kereta mewah tu? soal itu kembali berlegar-legar di fikirannya. Dia
seperti pernah melihat kenderaan mewah itu tetapi di mana? Ahh... lantaklah di
mana pun, bisiknya sendiri.
“KENAPA Zul tak cakap pada abang dari
dulu. Kenapa senyap?!” tekan Fendi dengan rasa marah. Matanya melingas
memandang sekitar jalan di situ. Bimbang kalau-kalau kenderaan serba guna
mamanya ada disekitar.
“Zul baru nampak semalam. Kakak kata dah dua kali dia nampak Alphard tu
parkir kat situ.” Aizul menunding jarinya ke rumah jiran di mana terparkir
sebuah Toyota Corolla lama di dalam pagar.
Fendi bercekak pinggan menahan rasa geram dan marahnya. Dia tidak sangka
yang mamanya mungkir janji.
“Dia nak apa-apakan ibu dan kakak saya ke?” soal Aizul mula rasa bimbang
dengan keselamatan Puan Salmah dan Ain.
Fendi tidak bersuara.
“Bang?” Aizul mula bimbang apabila tiada suara dari Fendi.
“Insya-Allah, dia takkan buat apa-apa. Sebab dia dah janji dengan abang!”
keras suaranya.
Aizul senyap. Barulah dia faham mengapa Ain dan Fendi terpaksa berpisah.
Semuanya berpunca dari Datin Fariza. Dia tidak menyangka yang wanita itu
sanggup bertindak sebegitu hanya untuk memuaskan hatinya sahaja.
Bodoh punya perempuan! Kutuknya sendiri sambil memandang Fendi yang
dilihat sedikit gelisah. Dia menghantar mesej bertanyakan nombor plat kenderaan
mewah Datin Fariza. Dari situlah Fendi mengasaknya dengan pelbagai soalan dan
akhirnya dia menceritakan tindakan Datin Fariza menyerang ibunya yang sedang
berniaga.
“Kakak tak ada?’ soal Fendi.
Matanya berlari ke rumah. Kereta Ain tiada di situ. Dia beralih memandang
Aizul yang sedang membungkus nasi lemak seorang pelanggannya yang baru sahaja
berhenti di hadapan mereka bersama motosikalnya yang tidak dimatikan enjinya.
“Ke pasar dengan ibu.”
Fendi mengangguk-anggukkan kepalanya. Dia memandang Norliah yang sibuk
berbual dengan beberapa orang teman Fendi di situ. Perlahan-lahan dia menarik
kerusi lalu duduk tidak jauh dari Fendi.
“Abang nak nasi lemak tak? Ada rendang ayam, ayam goreng, sambal tumis
kerang dan sambal tumis udang dengan petai.”
Fendi memanjangkan lehernya menjenguk lauk-lauk itu. Kalau dahulu Ain
rajin bawa bekal nasi lemak ibunya bersama lauk pauk yang dimasaknya sendiri.
Yalah, mana kuah tumpah kalau tidak ke nasi.
“Bolehlah... sambal tumis udang,” kata Fendi. Terliur dia melihat lauk
pauk yang berada di dalam tupperware. Ain masak memang boleh buat dia meleleh.
“Jadi macam mana ni bang?” soal Aizul tanpa memandang Fendi. Tangannya
sibuk menyiapkan nasi lemak Fendi di dalam bekas polistrin.
“Jaga-jaga ajelah. Atau pun Aizul buat repot, kata ada kereta yang tak
dikenali lalu lalang di sini dan mencurigakan.” Fendi memberi cadangan kepada
Aizul. Matanya kembali liar memandang kepada jalan masuk di situ. Jalan di
rumah Aizul adalah jalan terakhir dan amat mudah mengenali jiran-jiran di situ
walaupun sedikit berbukit. Ada dua laluan masuk dan keluar
Aizul mengangguk mendengar cadangan Fendi. “Mujurlah tempat ni tak sunyi
dan sentiasa ada orang,” jelasnya.
Selepas dia berniaga, Pak Ali Goreng Pisang pula berniaga sehingg pukul
5.00 petang. Bersambung pulak Abang Bob dari pukul 6.30 petang sehingga pukul
3.00 atau 4.00 pagi. Antara waktu itulah yang amat dibimbangkan. Semenjak dia
menolong Puan Salmah, belum pukul 12.00 malam matanya sudah tidak boleh dibuka
lagi. Kalau dahulu 24 jam dia boleh berjaga.
Giliran Fendi pula senyap. Perlahan-lahan dia bangun selesai Aizul
membungkus nasi lemaknya. Dia menyeluk sakunya dan menghulurkan RM10 kepada
lelaki itu.
“Tak payah.” Tahan Fendi sebaik Aizul hendak memberi bakinya.
“Terima kasih bang.”
“Abang pergi dulu.” Fendi segera berlalu. Dia harus pergi sebelum Ain atau
orang-orang Datin Fariza melihatnya.
PINTU pagar itu sudah lama terbuka
tetapi dia masih tidak memandu masuk keretanya ke dalam. Lama dia memandang
Toyota Alphard yang sering digunakan oleh Datin Fariza sejak Dato Johan membeli
kenderaan itu dua tahun lalu.
Lelaki itu membeli kenderaan serba guna itu adalah untuk mereka sekeluarga
untuk pergi bercuti atau ketika ada kerja di luar dan kini telah disalah
gunakan oleh mamanya. Dia menggeleng-gelengkan kepalanya. Fendi menyandar
kepalanya di kepala tempat duduknya. Terasa apa yang berlaku seperti sebuah
drama di TV. Memang dia tidak menyangka yang Datin Fariza boleh bertindak kejam
semenjak dua menjak itu.
“Ya Allah, berikanlah hidayah kepada ibuku, janganlah kau biarkan dia hanyut
dengan daki-daki dunia ni,” doanya sendiri.
Perlahan-lahan dia memandu masuk dan memarkirkan keretanya bersebelahan
kenderaan mewah mamanya. Beberapa minit dia sudah berada di dalam rumah mewah
milik orang tuanya. Suara Datin Fariza kedengaran sedang bercakap-cakap dengan
seseorang. Mungkin ditalian, bisiknya. Dia melangkah masuk ke ruang tamu. Datin
Fariza tidak menyedari akan kehadiran anak itu di situ kerana sibuk membelek
beberapa majalan pengantin.
Tiba-tiba Datin Fariza berdiri dan sedikit terkejut melihat Fendi di
hadapannya. “Nanti I call you balik, Richard. Ya... esok,” janji Datin
Fariza sebelum memutuskan talian.
“Sayang.” Datin Fariza segera mendapatkan Fendi lalu memeluk anak itu
dengan erat dan kemudian menarik tangannya. “Mama ada berita gembira,” katanya
bernada gembira.
Fendi hanya menurut biarpun dia tidak ingin mendengar apa-apa lebih-lebih
lagi kisah persiapan perkahwinannya. Ia amat menyakitkan. Dia pernah merancang
semua itu bersama Ain dan rancangan itu musnah.
“Okey, Richard Wang, pereka fesyen terkenal tu dah setuju nak reka gaun
pengantin untuk Nelly dan texudo
untuk Fendi.” Wanita itu menepuk paha Fendi dengan rasa teruja sekali.
Fendi menarik nafasnya dalam-dalam. Penat. Setiap hari dia akan mendengar
status persiapan perkahwinannya.
“So, esok mama nak Fendi dan Nelly pergi butik dia. Tengok design macam
mana semualah, ya?”
Fendi bangun. “Fendi tak ada masa lah mama. Esok ada meeting di RRC dengan
Uncle Zain dan team projek di sana,” jelas Fendi bengang dengan rancangan
mamanya.
“Alah, cuba tundakan hari lain.” Datin Fariza mula risau dengan sikap anak
itu yang banyak membantah segala cadangannya.
Fendi menggeleng tidak mahu berganjak dengan rancangannya. Dia melangkah
mahu meninggalkan Datin Fariza.
“Fendi, pleaselah sayang. Mama
dah cakap dengan Richard yang Fendi dan Nelly akan pergi.” Ditarik tangan anak
itu menandakan perbincangan itu belum lagi selesai.
“Apa kata, mama suruh bakal menantu kesayangan mama tu aje yang pergi. Nak
ukuran Fendi, baju Fendi berlambak dalam almari tu.” Fendi menarik tangannya
dan menuju ke tangga.
Berapi dada Datin Fariza mendengar bantahan anak itu. “Syed Mohammad Fendi
Akmal.” Sebut Datin Fariza dengan nada agak keras.
Fendi yang baru sahaja menjejak satu anak tangga menoleh memandang Datin
Fariza yang sudah bercekak pinggang.
“Mama mintak sikit aje Fendi. Yang lain mama uruskan.” Cuba diraih simpati
anak itu dengan suara separuh merayu.
Fendi menghela nafasnya. “Fendi juga minta sikit aje, supaya mama faham
perasaan Fendi dan Fendi boleh uruskan semuanya dulu. Tetapi kenapa mama tak
pernah faham?”
Bulat mata Datin Fariza mendengar kata-kata Fendi yang berupa sindiran.
“Mama suka berjanji... dan janji itu mama tak pernah tepati.”
Fendi kembali melangkah naik menuju ke biliknya. Dia dapat mendengar
namanya dipanggil oleh wanita itu. Dia sudah penat hendak melayan kerenah Datin
Fariza. Apa yang dibimbang sekarang adalah keselamatan Ain dan keluarganya.
Begitu pun dia sudah meminta seorang temannya yang bertugas di sebuah
balai berhampiran membuat rondaan disekitar tempat tinggal buah hatinya.
Perlahan-lahan dia merebahkan tubuhnya di atas katil.
Lama dia memandang siling putih berukiran di setiap penjuru bilik. Dia
bangun kembali dan menarik gajetnya dari poket seluar. Lama dia memandang wajah
Ain yang tersenyum
As salam sayang. Miss you so
much. Jangan balas mesej ni.
Seketika dia menghantar mesej itu dan kemudian dipadamkan agar Datin
Fariza tidak mengesan apa-apa dari telefon bimbitnya. Perlahan-lahan dia
merebahkan tubuhnya kekarnya semula.
BAB 10
TERKEJUT Ain menerima kehadiran
Pak Din dan Tengku Ellyna di hadapan pagar rumahnya. Melihat gadis itu datang
bersama buku sekolahnya hati Ain terusik. Tegarkah dia menolak keinginan Tengku
Ellyna?
“Tolonglah, Ain,” rayu Pak Din untuk kesekian kalinya.
“Tolong, kak Ain” rayu Tengku Ellyna pula sambil menggocang-gocang
tangannya.
Ain memandang Pak Din yang tersenyum memandangnya sebaik mendengar rayuan
Tengku Ellyna.
“Bapak dia tahu ke Pak Din datang ke sini? Kang tak semena-mena saya pulak
yang kena.” Ain cuba memberi alasan. Begitu pun hatinya tercuit melihat
kesungguhan Tengku Ellyna untuk mempelajari Bahasa Melayu.
“Tengku Ritzlan dah keluar. Ada majlis, apa entah. Tu yang Ellyna ajak Pak
Din ke sini. Yang Pak Din tahu dia sebut kak Ain aje. Yang lain haram, sepatah
apa pun Pak Din tak tahu.” Pak Din ketawa dihujung kata-katanya.
Begitu juga dengan Ain mendengar kata-kata lelaki itu. Mata Ain beralih ke
wajah Tengku Ellyna. “Baiklah,” putus Ain menyetujui untuk mengajar Tengku
Ellyna.
Tengku Ellyna memandang Ain dan Pak Din tidak faham apa yang dikatakan
oleh Ain. Pak Din menunjuk tanda bagus. Sepontan gadis kecil itu melompat
memeluk Ain sambil mengucap terima kasih berkali-kali di dalam Bahasa Inggeris.
Ain hanya tersenyum sambil mengusap lembut kepala anak itu. Matanya
kembali memandang Pak Din.
“Berapa jam ni Pak Din?” soal Ain ingin tahu.
Lelaki itu memandang kepada jam dipergelangan tangannya. “Sekarang pukul
8.15. Habis pukul 9.15 boleh tak. Sebab budak ni tidur pukul 10.00.”
Ain mengangguk-anggukkan kepalanya. “Esok?” soal Ain.
Bersinar-sinar mata lelaki itu mendengar tawaran daripada Ain secara tak
langsung. “Kalau petang macam mana?” soal Pak Din ingin tahu.
Ain mengangguk-anggukkan kepalanya. “Dalam pukul 3.00 macam tu?” soal Ain
ingin tahu.
“Boleh. Kalau macam tu, Pak Din beritahu pada tengkulah,” kata Pak Din.
“Tak payah!” bantah Ain.
Mengingatkan nama lelaki itu dia sudah naik meluat. Sombong bukan main.
Eii... memang dia tidak mahu ingat wajah lelaki bapa kepada gadis kecil
berwajah Inggeris itu.
“Habis, kalau tak cakap. Mana Pak Din nak cari duit nak bayar pada Ain?”
keluh lelaki itu.
“Tak perlu. Saya buat sukarela. Sebab Ellyna sungguh-sungguh datang cari
saya,” jelas Ain. Dia benar-benar terharu dengan kesungguhan Tengku Ellyna.
Kalau budak-budak lain pasti tidak ambil pusing akan perkara itu disebabkan ibu
dan bapa mereka juga tidak kisah akan perkara itu.
“Betul ke ni?” soal Pak Din pula tidak percaya.
“Betullah,” balas Ain. “Dah, dah... saya nak mula mengajar Ellyna. Dah
banyak masa terbuang,” kata Ain lalu menarik Tengku Ellyna ke dalam biliknya.
“Pak Din duduklah, sembang-sembang dengan budak tu.” Ain memuncungkan bibirnya
kepada Aizul yang sedang asyik bermain video games tanpa mempedulikan tetamu
yang sedang datang.
“ALAMAK, dia dah balik. Macam mana
ni? Nak cakap apa? Kata ada function,
mesti lama. Ini tak sampai dua jam dah balik,” gerutu Pak Din sendiri. Terkejut
dia sebaik pintu automatik itu
terbuka. Kereta Tengku Ritzlan sudah ada di tempat biasa lelaki itu memakirkan
keretanya. Selalunya kalau ada majlis-majlis melibatkan badan-badan korporat,
selagi jam tak menunjuk ke angka 11 atau 12, Tengku Ritzlan tidak akan pulang.
“Macam mana dia boleh balik awal pulak ni?” sungutnya sendiri. “Matilah,
aku,” keluhnya. Apakah alasannya kerana membawa Tengku Ellyna keluar di waktu
begitu tanpa kebenaran lelaki itu.
Tengku Ellyna di sebelahnya di pandang. Gadis kecil itu memandang ke
hadapan apabila melihat dia memandang Tengku Ellyna.
“Macam mana ni Lyna?” soal Pak Din resah. Namun begitu diparkir kereta
yang dipandu di tempat biasa. “Matilah atok, Lyna,” keluhnya lagi.
“Jangan bimbang atok,” pujuk Tengku Ellyna di dalam Bahasa Inggeris. Tahulah
dia apa yang hendak dicakapkan kepada papanya. Ain sudah mengingatkan dia walau
apa pun jangan beritahu kepada Tengku Ritzlan tentang apa yang sedang berlaku.
Ini semua adalah rahsia. Dan dia akan simpan rahsia itu sampai bila-bila.
Itulah janjinya kepada Ain.
Terkebil-kebil mata Pak Din memandang Tengku Ellyna yang tersengih
memandangnya. Yang dia tahu anak itu menyebut gelarannya sahaja. Sebaik keluar
dari kereta, keduanya melangkah masuk ke dalam rumah agam mewah dua tingkat itu.
Dan kelihatan Tengku Ritzlan sedang menunggu mereka di ruang tamu dengan
membentang akhbar di hadapan mukanya.
“Ke mana malam-malam ni?” soal Tengku Ritzlan tanpa memandang Pak Din
mahupun puterinya. Memang dia menunggu Pak Din dan puterinya yang hilang entah
ke mana tanpa memberitahunya terlebih dahulu.
Berteguk Pak Din meneguk liurnya. Tiada jawapan untuk soalan majikannya
itu. Nampaknya lelaki itu memang menunggu kepulangan mereka berdua.
“Tadaa...” Tengku Ellyna
menunjukkan bungkusan kuetiau yang dimasak oleh Ain sebelum mereka pulang.
Disebabkan tidak sempat untuk makan. Ain membungkus kuetiau itu untuk dia dan
Pak Man.
“Apa ni?” berkerut dahi Tengku Ritzlan melihat bungkusan seperti nasi di
dalam plastik.
Pak Din kaget. Apa budak ni buat? Soalnya sendiri. Jangan disebut nama Ain,
dahlah, keluhnya bimbang dengan reaksi yang ditunjukkan oleh Tengku Ellyna.
“Kuetiau,” sebut Tengku Ellyna sambil memandang Pak Din sebagai bertanya
adakah betul sebutannya.
Pak Din mengangguk laju membenarkan kata-kata Tengku Ellyna. Berkerut dahi
Tengku Ritzlan memandang Pak Din dengan senyuman.
“Keluar, pergi cari kuetiau goreng?” soal Tengku Ritzlan disusuli tawa
kecilnya.
“Jalan-jalan cari kuetiau goreng,” kata Tengku Ellyna mengingatkan
kata-kata Ain semasa gadis itu memberitahunya tadi.
Bulat mata Tengku Ritzlan memandang Tengku Ellyna mengeluarkan ayat Bahasa
Melayunya biarpun sedikit pelat. Dia ketawa sambil mengangguk-anggukkan
kepalanya memandang Pak Din.
“Siapa ajar Lyna cakap macam tu?” soal Tengku Ritzlan. Rambut puteri itu
dielus dengan lembut.
Tengku Ellyna menunding jari kepada Pak Din. Kaget lelaki itu dengan
reaksi Ellyna. Apa hal pula Lyna ni? Terasa darahnya laju turun naik seperti rollercoaster disegenap urat dan
sarafnya.
Tengku Ritzlan senyum lalu menggeleng-gelengkan kepalanya. Plastik beg
yang berbungkus kuetiau goreng di tangan Tengku Ellyna diambilnya. Dihidu
seketika. Lama dia tidak menikmati makanan itu. Baunya pun membuat seleranya
terbuka semula.
“Awal Ku balik.” Pak Din menghampiri kedua beranak itu. Tengku Ritzlan
sudah pun berdiri.
“Saya tak pergi pun.”
Tengku Ritzlan melangkah sambil menarik tangan Tengku Ellyna menuju ke
dapur untuk menikmati kuetiau goreng yang dibawa oleh Pak Din dan Tengku Ellyna
tadi. Tidak dapat dipasti di mana lelaki itu membeli kuetiau goreng.
“Kenapa?”
“Tak ada apa,” jawab Tengku Ritzlan. Tidak perlu orang lain tahu.
Sebaik sampai di Hotel Airisz, dilihatnya tetamu pada majlis
penganugerahan Tokoh Usahawan untuk tahun 2012 begitu ramai dan salah seorang
daripadanya adalah Razin dan isterinya, Hani. Mereka kelihatan cukup mesra.
Hatinya benar-benar terluka dengan pemandangan itu. Kenangan lalu kembali
terimbas dihalaman fikirannya. Bertahun-tahun sudah berlalu tetapi hatinya
sentiasa berdarah apabila melihat kebahagiaan mereka.
Kuat hatinya mengatakan agar melupakan Hani yang sudah pun hidup bahagia
bersama Razin teman rapatnya suatu ketika dahulu. Tanpa berlengah dia terus
pulang.
“Papa, makan.”
Mata Tengku Ritzlan memandang Tengku Ellyna yang sudah menjamah kuetiau
goreng yang sudah diletakkan di dalam pinggan oleh Mak Gayah. Jauh sungguh dia
mengelamun.
“Sedapnya bau kuetiau goreng ni,” puji Tengku Ritzlan sungguh-sungguh
sebelum menyudu dan memasukkan ke dalam mulutnya.
“Sedap ni Ku,” balas Pak Din.
“Nanti boleh beli lagi, ya,” kata Tengku Ritzlan. Kena sungguh dengan
tekaknya.
“Boleh, boleh,” jawab Pak Din dengan senyuman sambil mengenyitkan matanya
menunjuk tanda bagus kepada Tengku Ellyna.
Tengku Ellyna tersengih dan membalas isyarat yang serupa. Mujurlah Tengku
Ritzlan tidak perasan dengan reaksi berbalas antara pemandu dan puteri lelaki
itu.
“Tambah lagi Ku, sedap ni,” suruh Pak Man dengan senang hati.
Untuk baca sambungan boleh dapatkan Novel ini di kedai buku berdekatan atau, beli secara online di website kami Idea Kreatif Publication.
No comments:
Post a Comment