Saturday, 19 April 2014

Bab 1 LELAKI SEDINGIN DIA Syah Shah




“WHAT the hell, bro? Gila?” Dia ketawa sambil mengibas baju yang terasa penuh melekat dengan debu.
“Desperate times require desperate measures, bro. Aku bagi cadangan aje. Terpulang dekat kau la nak buat atau tak.”
Fawwaz pandang tajam pada sahabat di sebelahnya itu sebelum menghela nafas panjang dan menggeleng.

“Aku tak nak menyusahkan hidup sendiri, Mike. Dibuatnya papa aku kata on, terus ready nak kahwinkan aku dengan budak yang kena upah tu, macam mana? Insane, bro! Totally insane! Aku nak lepaskan diri, bukan nak jerut leher sendiri!” Lehernya dicekik sendiri.
Mike dekat sebelah dah gelak sakan sambil menanggalkan topi keselamatannya. Peluh yang merenik di dahi dikesat dengan tapak tangan.

“Payah, bro. Berat masalah kau ni,” ujar Mike sambil melabuhkan duduk di atas kerusi. Topinya diletakkan atas meja.
“You don‟t have to tell me, bro. Aku tau sendiri,” keluh Fawwaz.

Dia ikut duduk di atas kerusi di sebelah Mike. Topi keselamatan putih atas kepala diletak atas meja. Tali leher yang dilipat masuk ke dalam poket kemeja tadi dikeluarkan dan dilurut turun dengan elok sebelum disematkan kembali pin tali leher supaya kemas terletak pada kemejanya.

Fawwaz hela nafas panjang sambil melemparkan pandangan ke sekitar tapak projek yang baru bermula. Sekejap kemudian dia mengilas pada jam di pergelangan tangannya. Dah hampir jam lima petang. Lengan kemeja dilipatnya sampai ke siku.
“Kau ada apa-apa plan tak malam ni?” soalnya.
Mike gelengkan kepala. “Tak ada. Apasal?” soalnya pula sambil mengipas tangan depan muka. Panas terik cuaca petang ini.
“Happy hour?” ajak Fawwaz.
Laju Mike menggeleng lagi.
“Malas sikitlah hari ni, Rabu. Standard kat mana-mana pun.”
“Aisey... Yalah…Ladies night...”
Masing-masing terus diam, cuba memikirkan alternatif lain yang ada.
diam, dan kemudian serentak ketawa.
“Perfect. Meet you there. Losers are buyers,” Mike dah tarik senyum senget.
Fawwaz gelak.
Not fair lah,bro. Kau naik motor!”
Mike jongket bahu sebelah dengan muka berlagak. Jaket dan glove kulit dari dalam poket beg sandangnya ditarik.
Well... Nasib kau lah, loser!” Simbol L diangkat ke dahi selepas menyarungkan jaket ke tubuh.
“Apa loser? Ni nampak?” Fawwaz tayang penumbuk.
Woah! Shaking in my boots right now lah bro!” sahut Mike sebelum ketawa.
Fawwaz ikut ketawa sambil bangkit berdiri.
“Fine, I‟ll race ye. The Library, eh?” Topi keledar keselamatan dikepit celah ketiak dan clip file atas meja turut diambil. Beriringan mereka berjalan ke tempat kenderaan di parkir.
Mike naik ke atas Cagiva Mito SP525 hitam likatnya. Pandangan terarah pada sang sahabat yang baru lepas meletakkan barang dekat seat belakang kereta. Dia tarik senyum senget.
“Jumpa sana, bro,” Dua jari diangkat ke dahi, salute, bersama kenyitan dan detakan lidah.
Alright. See you there.” Fawwaz ikut berbuat yang sama dan terus masuk ke dalam keretanya.

Enjin dihidupkan dan Lancer merah itu terus mengaum garang. Aviator yang terselit dalam poket. kemeja ditarik dan dikenakan. Handbrake sudah pun dia turunkan. Pandangan dihala pada Mike yang masih belum memulakan perjalanan. Sengaja dia bermain dengan pedal minyak sambil mata menangkap keadaan sekeliling, menunggu masa untuk bertindak.
Sebaik sahaja Mike angkat tangan, Fawwaz terus berdesup laju.

PUNGGUNG dilabuhkan atas sofa tunggal di ruang menonton itu. Televisyen dihidupkan dan dia bersandar malas dengan kedua kaki direhatkan atas arm rest. Lumia ditarik dari dalam poket, aktifkan skrin dan dia layangkan jari atas skrin tanpa sebarang fokus yang pasti.
Mesej-mesej lama diperiksa sebelum memadam apa yang tak perlu. Sesekali dia melirik ke skrin TV yang sedang menayangkan kisah siri penyiasatan yang gagal menarik minatnya. Tumpuan kembali ke skrin telefon bimbit.
“Fawwaz. Air.”
Kaki yang ditepuk dialihkan turun dari arm rest. Segelas teh sejuk diletakkan atas meja kopi di hadapannya. Fawwaz tarik gelas dan dibawa ke hidung lalu dihidu. Wangi. Aroma teh berperisa kegemarannya buat dia tersenyum lebar.
“Thanks,” ujarnya sebelum meneguk teh berperisa campuran buah Markisa dan Strawberi itu. Suku gelas lepas menuruni tekak, barulah dia letakkan gelas kembali atas meja sebelum bersandar dan kembali fokus pada telefon bimbitnya.
“Macam mana?”
Fawwaz angkat kepala. “Macam mana apa?” soalnya acuh tak acuh.
“Calon papa suruh cari.”
Fawwaz merengus kuat. “Jangan sibuklah Fai.”
Gelas teh dicapai kembali.
“Sebulan aje lagi Fawwaz. Tapi kau masih macam tu. Papa hari-hari bising.”
Gelas dihentak atas meja. Dia pandang tajam pada si abang yang masih tenang.
“Aku cakap jangan sibuk. Itu urusan aku. Kau jaga bini kau aje, cukup!” Tona suaranya keras. Darah sudah mula mendidih rasanya. Gigi diketap rapat.
“Aku concern, Fawwaz. Sampai bila kau nak hidup macam tu? Apa yang papa buat tu pada aku memang betul dah.”
Meja kopi dihentak kuat sebelum dia bangun. Telunjuknya lurus depan muka Fai.
“Aku cakap jangan campur, kau jangan campurlah! Jangan sibuk urusan aku! Taulah aku nak handle hidup aku macam mana.” Jaket kulit atas penyandar sofa ditarik kasar.
“Fawwaz! Tunggu dulu!”
Lengan yang dicengkam kuat buatkan langkahnya terhenti. Berapi pandangan matanya mencerun pada Fai yang tetap terlihat tenang.
“Kau nak apa lagi?!” Fawwaz rentap lengannya. Fai hela nafas panjang dan menggeleng.
“Kau tak perlu ikut cakap papa pun boleh. Dan papa takkan paksa kau kahwin juga. Dengan syarat kau ubah lifestyle kau. Ubah cara kau. Change for the better.”

Wednesday, 16 April 2014

Tajuk ASAL Semanis Scone, Sedingin Ice Tea telah ditukar kepada Lelaki Sedingin Dia.





FIND yourself a nice, decent woman yang ada quality wife material dalam masa tiga bulan. Kalau tak, papa yang akan arrange. I‟ve had enough of your wild antics!”
Kata-kata papa petang tadi masih terngiang-ngiang dengan jelas di telinga. Puas terlentang, dia bangkit dan duduk memanggung kepala di atas sofa kulit di tengah ruang unit kondominium miliknya.
Pendingin hawa yang meniup angin dingin terasa seolah tak berfungsi. Seluruh badan terasa berbahang. Tali leher yang telah dilonggarkan sejak menjejakkan kaki ke dalam rumah tadi, dirungkaikan terus dan dicampak ke tepi.
“Argh! Kalau Winnie tak datang tadi, memang tak kantoilah dengan papa!”....


Copyright : Syah Shah / Ideakreatif

Nota Kaki: Buah tangan ke-2 penulis untuk peminat & bakal peminat beliau. Boleh dapatkan di Booth Idea Kreatif (M30, Bilik Mawar) atau menghubungi Ejen-ejen Idea Kreatif di FB

Bab 5 (Part i) DIA KEKASIH HATI - SARNIA YAHYA


KE MANA Haikal pergi kalau bukan ke Gunung Nuang? Soalan itu sudah berpuluh-puluh kali berbisik di telinganya sejak bertemu dengan Farhan dia rumah mertuanya. Kepalanya kembali berdenyut-denyut.
Khalisha memandang ke tingkap yang masih belum dibuka. Selesai bersolat subuh dia kembali berbaring di katil. Cuba melelapkan matanya agar dapat melupakan apa yang sedang bersarang dan bersawang di kepala dan hati. Memang sukar kalau sudah mula menjadi tapak. Beginikah mulanya permasalahan? Soalnya sendiri.
Akhirnya Khalisha bangun dan menutup penghawa dingin dengan alat kawalan jauh. Selesai mengemas katil dia membuka tingkap bilik. Lama dia memandang pemandangan pagi dari tingkap biliknya di tingkat 8. Pandangannya beralih kepada telefon bimbit yang berbunyi di atas meja di sisi katil.
Dia melangkah malas lalu mencapai telefon bimbitnya dan duduk di birai katil. Nafas dihela perlahan-lahan sebaik melihat mesej Haikal.
Hai sayang, abang on the way back to your arm mlm ni. Miss U like crazy. Sorry coverage x ada dlm hutan. Peluk cium dari abg. Love U till Jannah.
Dibiarkan sahaja mesej itu tidak berbalas. Sebelumnya beria-ia dia cuba menelefon si suami, bila sudah mendapat mesej begitu, hatinya rasa tawar hendak membalas. Selalunya dia akan balas mesej Haikal dan mereka akan saling balas membalas mesej kemudiannya. Diletak kembali telefon bimbit tadi di atas meja sisi katil.
Khalisha bangun namun langkahnya terhenti sebaik mendengar telefon bimbitnya berbunyi. Pantas dia menyambar telefon bimbitnya tadi. “Kak long,” katanya sebaik melihat nama Khalida di skrin gajetnya itu.
“Assalammualaikum.” Khalisha kembali duduk di birai katil. Cadangnya hendak mandi memandangkan tubuhnya berasa agak panas. Tidak pasti sama ada dia demam atau memang badannya panas.
“Waalaikumusalam. Lisa sihat ke?”
Sedih dia mendengar soalan Khalida. Tiba-tiba dia teringat kepada Puan Rohaya. Wanita itu pantang mendengar dia demam atau sakit suatu masa dahulu. Berburu wanita itu datang mendapatkannya di rumah sewa dan dibawanya ke rumah Khalida untuk menjaganya di sana. Sekarang...
“Okey, sikit. Mungkin panas kuat sangat kan.” Bohongnya sebagai tidak mahu Khalida bimbang tentang kesihatannya.
“Ayah ada singgah semalam?” soal Khalida.
“Ada.”
“Ibu ada?”
“Tak,” jawab Khalisha perlahan.
Kedengaran Khalida berdengus kuat. “Sabarlah. Kecewa dia masih belum hilang lagi tu.”
Sebak hatinya mendengar kata-kata Khalida. Dia tidak menyalahkan Khalida. Dia yang menyebabkan wanita itu merajuk. Berdosakah dia memilih jodohnya sendiri? Terasa begitu berat hukuman Puan Rohaya terhadap dirinya. Ditahan rasa sebaknya.
“Salahkah pilihan Lisa, kak long?” soalnya seolah-olah mengadu terhadap apa yang berlaku.
“Tak, tak ada yang salah kerana itu dapat membahagiakan Lisa. Membuat pilihan memang sukar. Salah satu terpaksa kita lepaskan. Memang begitulah Lisa. Apa-apa pun banyak-banyak bersabar, ya. Banyak-banyak berdoa untuk orang tua kita. Baca al fatihah dan sampaikan kepada ibu, niat agar lembut hatinya. Insya-Allah, Allah pun tahu kita sayangkan ibu,” nasihat Khalida lembut.
Khalisha mengangguk-anggukkan kepalanya sendiri. Ada rasa lega dalam kekusutan memikirkan tentang Haikal.
“Ibu mana yang tak sayangkan anak. Biarlah dulu, lambat laun hati dia akan lembut juga.” Sekali lagi Khalida cuba memujuk Khalisha.
Khalisha mengesat air matanya yang sudah mengairi pipi. Nafas ditarik dalam-dalam agar dapat menenangkan hatinya yang tiba-tiba rawan dengan sikap Puan Rohaya. Ya, dia berharap wanita itu akan lembut hatinya dan dapat menerima Haikal. Kasihan Haikal dan dia benar-benar rasa berdosa dengan ibunya.
“Dahlah, bawa berehat. Jangan fikirkan sangat sikap ibu tu. Banyak-banyakkan berdoa untuk dia. Syurga kan dibawa tapak kakinya.” Ada nada ceria di suara wanita beranak 6 itu.
“Insya-Allah.”
“Okeylah, kak long nak keluar ni. Nak pergi pasar. Jangan lupa makan ubat, tau!” keras suara Khalida mengingatkan Khalisha.
“Ya.”
“Assalammualaikum.”
“Waalaikumusalam,” jawab Khalisha perlahan.
Lama dia memandang telefon bimbitnya. Matanya dipejam sebagai menahan kepala yang kembali berdenyut-denyut. Kemudian memicit kepalanya. Perlahan-lahan dia merebahkan tubuhnya kembali ke katil. Telefon bimbit tadi dilepaskan.

Dia memandang telefon bimbit yang kembali berbunyi menanda ada mesej yang masuk. Dibiarkan sahaja sambil terus memicit kepalanya. Biarlah siapa pun. Dia mahu melelapkan matanya barang seminit dua. Mahu menghilangkan rasa sakit di kepala dan rawan di hatinya. Cuba dilupakan tentang Haikal mahupun Puan Rohaya. Untuk seketika dia mahu merehatkan fikirannya yang sedang tenat dan sendat.

copyright: Sarnia Yahya/Ideakreatif

Nota Kaki: dapatkan novel ke-2 Penulis sarnia Yahya bersama Idea Kreatif. Akan mula di jual di Pesta Buku Antarabangsa di Booth M30, Bilik Mawar. 

Bab 2 YANG DIA PILIH - Hani Fazuha


Bab 2
MELANGKAH perlahan ke lif untuk ke lobi utama Hotel Shangri-La tengah hari itu, pintu lif hampir tertutup tetapi jemari Hareez masih sempat menekan butang dan pintu terbuka kembali. Di dalamnya hanya ada seorang gadis.
            Masuk ke dalam, matanya menjeling gadis tersebut. Sebenarnya, dia mahu melihat butang lif tetapi disebabkan gadis itu berdiri betul-betul di depan butang tersebut, pandangannya jadi terhalang.
            “Excuse me…” Hareez bersuara.
            Sepantas kilat gadis itu berpaling dan keningnya diangkat tanda menyoal. Sesaat mata Hareez bagai dipaku. Bukan cantik yang dia nampak tetapi kelembutan di wajah itu menarik perhatiannya.
            Hareez hulurkan senyuman sambil memberi isyarat mahu menekan butang lif tetapi gadis tersebut hanya memandang tanpa perasaan.
Oh! dia sentap tiba-tiba. Belum pernah lagi dia senyum orang tak balas. Mungkinkah dia tak cukup handsome di mata si gadis?
            Gadis tersebut cuba berundur, namun langkahnya sedikit pincang, mungkin sebab high heels yang dipakai atau terpijak skirt labuh meleret ke lantai yang dipakainya, dia gagal mengimbangi badan dan…
            “Arrgggghh.” Si gadis terus terjerit sambil tangan menggagau untuk berpaut.
            Tidak bersedia, Hareez pula yang hilang imbangan badan apabila tubuh si gadis terdorong ke arahnya.
            Gedebukkk!!!
            “Aduhhhh” Hareez mengaduh sambil menggosok belakang kepala yang terasa sakit. Dia sudah separuh terbaring kerana tersekat dengan dinding lif dan si gadis elok landing di atasnya.
Saat yang sama pintu lif terbuka di lobi hotel dan beberapa pasang mata manusia yang sedang menunggu lif membulat memandang ke arah mereka.
            Hareez senyum dalam usaha untuk menenangkan diri sendiri. Sebenarnya, cuba untuk menenangkan jantung sendiri yang seakan lari tempo rentaknya. Lelaki yang kuat iman pun rasanya boleh menipis imannya jika ditindih begini oleh gadis secantik ini.
Si gadis yang sedang menindihnya itu pula macam tak tahu nak bangun sendiri. Agaknya dah jadi blur. Wajahnya yang putih gebu dah berubah warna merah.
            “Errkk… Apa yang sedang berlaku?” Tiba-tiba petugas hotel datang dan menahan pintu lif yang hampir tertutup kembali.
            Bagai tersedar dari lamunan, gadis tersebut cepat-cepat bangkit. Saat itu, barulah Hareez boleh bangun dan meluruskan badan yang terasa sedikit sengal.
            “Tak ada apa-apa. Cik adik ni cuba nak cabul I tapi tak sempat.” Hareez buat-buat terbatuk kecil sambil menjeling ke arah si gadis.
            Dan, cik adik manis yang sudah sedia merah wajahnya jadi bertambah merah tatkala mendengar kenyataan dari bibir Hareez. Apatah lagi, orang-orang yang melihat tadi sedang menekup mulut menahan tawa.
            “You!” hanya itu yang sempat keluar dari bibir si gadis sebelum Hareez meloloskan diri keluar dari pintu lif sambil menyimpan tawa. Siapa suruh tak balas senyum dia, kan dah kena.
            Langkahnya terus diatur menuju ke Lemon Garden kafe. Pagi ini dia ada pertemuan jejak kasih dengan teman lama di hotel tersebut.
            Baru kaki memasuki pintu kafe, Hareez tercari-cari telefon bimbitnya. Habis diselongkar poket baju dan seluar tetapi tak nampak pun bayang telefonnya. Cuba mengingati di mana dia tercicir. Kebiasaannya, keluar dari rumah atau dari kereta, telefon akan diselitkan di dalam poket seluar. Kali ni, tak ada pula.
Mungkinkah tercicir sewaktu dia terjatuh di dalam lif tadi? Mindanya berfikir sendiri. Pantas dia berpusing, melencong langkah menuju ke arah lif kembali.
            Namun, langkahnya terhenti tatkala matanya terpandang adegan tarik menarik di tengah lorong menuju ke lif parkir. Seorang lelaki berbadan tegap kemas berkemeja kelabu siap bertali leher sedang menarik tangan seorang wanita manakala wanita itu pula enggan mengikut.
            Sekejap!
Itukan cik adik manis yang dalam lif tadi. Segera langkahnya melencong ke arah pasangan tersebut.
Excuse me….?” Hareez menegur. Terus adegan tarik-menarik terhenti.
“Abang!” tiba-tiba saja si gadis meluru ke arahnya. Tiba-tiba saja, lengannya dipaut erat.
Eh? Diakah yang diseru oleh si gadis ini sebentar tadi? Kalau betul, sejak bila pula dia ada adik perempuan?
Hareez berpaling dan senyuman si gadis menyapa pandangannya. Buat seketika matanya bagai terlupa untuk berkelip sebab senyuman itu manis bergula.
“Sayang… siapa ni?” soalan lelaki berkemeja kelabu memanggil Hareez mengalihkan pandangan.
Lama-lama pandang anak gadis orang, takut juga jantungnya buat perangai. Dalam lif tadi pun dia dah rasa lain macam. Sekarang ni pula tubuhnya dah rasa seram sejuk sebab kedudukan dia dengan si gadis teramatlah rapat sehingga badannya terasa membahang.
“Sayang??” suara lelaki itu bergema lagi.
Hareez sekali lagi menoleh memandang si gadis di sebelahnya. Wajah cik sayang nampak mengharap bantuannya.
“Sini!!” lelaki tersebut tiba-tiba saja menarik tangan cik sayang.
“Tak nak!” Cik sayang pula terjerit membantah. Pautan tangan cik sayang di lengannya terasa semakin kejap.
“Abang cakap ikut abang!” Lelaki itu cuba menarik lengan cik sayang.
“Eh, wait! Wait! Saudara, tak elok berkasar dengan perempuan.” Hareez cuba meleraikan.
Tarikan kuat lelaki tersebut membuatkan dia tertarik sama. Apa taknya, pautan di lengannya oleh cik sayang kejap sekali.
“Kau ni siapa? Jangan campur urusan aku boleh tak?” Lelaki tersebut mula naik angin. Dada Hareez ditolak kasar.
“Dia tunang aku, kau jangan nak sibuk!” sergah lelaki itu lagi.
“Tak! Kita dah putus. Tolong jangan kacau Tia lagi,” balas cik sayang.
Oh! Namanya Tia. Hareez sematkan ke dalam kepala.
“Fatia Alesya! Mengikut adat kita masih belum putus dan abang akan pastikan ianya takkan putus,” tegas lelaki tersebut. Mukanya dah merah padam. Mungkin tengah marah.
“Abang… Apa sekalipun, Tia anggap kita dah tak ada apa-apa lagi.” Cik sayang tarik nafas panjang-panjang.
“Ni! Tia akan kahwin dengan dia… soon, very, very soon.”
Hah? Hareez blur sekejap apabila jemari cik sayang yang bernama Fatia Alesya itu menunjuk ke arahnya.
Kahwin? Adakah itu yang disebut cik sayang tadi? 
Bila masa dia pinang anak dara orang ni? Takkan mama buat kerja gila pergi meminang tanpa pengetahuan dia? Hati Hareez terlompat berkali-kali.
“Tapi kita masih belum putus.” Si jejaka seperti tak berpuas hati.
“Saudara.. baru tunang aje kan? Belum kahwin lagi. Bab putus memutus tu kemudian ceritalah. Kami dah lambat ni.” Hareez cuba mencantas, mahu memendekkan apa jua kisah yang secara tidak langsung sudah melibatkan dirinya. Dia dahlah lambat, telefon pula entah di mana cicirnya.
“Kau jangan nak berkurang ajar dengan aku boleh tak?” lelaki tersebut sekali lagi menolak dada Hareez. Kali ini lebih kuat sehingga menyebabkan dia dan cik sayang terundur ke belakang.
“Abanggg!!!!” cik sayang menjerit. Saat itu sudah ada beberapa pengunjung yang datang menyaksikan drama tersebut. Dah rupa macam sesi penggambaran drama sinetron pula.
“Kalau orang dah tak nak tu, jangan dipaksa-paksa,” sinis Hareez bersama senyuman. Saat ini sabarnya masih menebal dan dia tak mahu jatuhkan martabat lelaki bergaduh di tempat umum.
“Hey! Watch your mouth!” lelaki tersebut memberi amaran dengan jari telunjuk hampir ke muka Hareez.
“Saudara jari tu jaga sikit. Kalau kena muka, I tak jamin jari you akan selamat.” Hareez tenang-tenang saja tapi ayatnya buatkan lelaki tersebut membuntang mata.
Waktu itu, orang sudah ramai datang ke arah mereka termasuklah security guard. Mungkin ada yang memanggil pengawal tersebut apabila melihat keadaan semakin kecoh.
Tanpa lengah, Hareez tarik cik sayang mengikut langkahnya. Dah alang-alang menolong tu, biar terus sampai selamat.
Masuk ke dalam lif, mereka berdiri bertentangan. Saat itulah mata Hareez ternampak iPhonenya di tangan kiri cik sayang.
Dia terus atur langkah mendekati cik sayang. Waktu itu, mata cik sayang sudah lurus memandang ke arahnya, nampak takut-takut tapi berlagak berani.
Turun naik dada cik sayang ditenung penuh minat. Selendang kuning berbunga halus yang dipakainya agak pendek dan blouse kain satin yang dipakainya melekat ke badan menampakkan segala bentuk.
Hareez rasa macam nak cucuk mata sendiri sebab dah tak tahu nak pandang tempat lain. Rasa macam nak hantuk kepala sendiri sebab tiba-tiba saja berfikir yang bukan-bukan.
Kenapa tiba-tiba dia jadi nakal begini? Walhal selama ni, pandang perempuan pun macam nampak tak nampak. 
“Kenapa pandang I macam tu?” Spontan si gadis angkat kedua tangan bersilang menutup dada sendiri. Ngeri tatkala jejaka kacak di depannya ini memandang di tempat yang tidak sepatutnya. Nampak smart bergaya, takkanlah gila kot?
Hareez ketawa perlahan melihat reaksi spontan cik sayang. Sengaja dia mahu mengusik, matanya dikenyitkan, gaya kasanova.
“Gatal!” Cik sayang terus terjerit perlahan.

Hareez senyum jahat. Entah kenapa dia tiba-tiba tumbuh tanduk tatkala berdepan dengan si gadis yang tidak dikenali ini. Apa sebenarnya yang ada pada si gadis sehingga dia boleh bertukar seperti transformer?

Copyright : Hani Fazuha/Idea Kreatif

Nota Kaki : dapatkan di Booth M30, Bilik Mawar, PWTC- Pesta Buku Antarabangsa atau                          menghubungi ejen-ejen kami. 

Tuesday, 15 April 2014

Bab 5 KALAU SUDAH BERKENAN - Cempaka Rembulan



“AWAK rasa tepat ke keputusan kita nak jodohkan Adra dengan anak Abang Mezah?” Razali keresahan. Wajah isterinya dipandang meminta jawapan.
            “Saya pun tak tahu bang. Yang peliknya, nak pula si budak Adra tu.” Rahimah meneruskan kembali aktiviti melipat kain yang tergendala kerana mendengar pertanyaan suaminya tadi.
            “Abang takut dia terima sebab abang je Mah.” Rokok daun ditangan dihisap dan dihembus berkali-kali. Dia sayangkan Adra. Tidak mahu kerana ingin memenuhi permintaannya dan Tan Sri Hamzah, anak gadisnya itu sangup mengorbankan diri. Jauh disudut hati dia berat melepaskan Adra memasuki gerbang perkahwinan di usia yang muda. Mungkin rasa itu berkurangan jika calon suami anaknya, menepati piawaian seorang menantu. Masalahnya, pemuda bernama Umar Zafry itu langsung tidak termasuk dalam calon menantu pilihannya. 
            Dengan ayah sendiri sudah biadap cara pertuturan, apatah lagi dengan mereka yang tiada pertalian. Entah alam rumahtangga yang seperti manakah bakal dibina nanti. Kalau diikutkan rasa hati, dia mahu menolak permintaan Tan Sri Hamzah, sebab itulah dia tidak memberikan jawapan pasti. Padanya Adra berhak menentukan hala tuju hidup sendiri. Tetapi sungguh, dia langsung tidak menyangka yang Adra akan memberikan persetujuan. Sanggup berkahwin dengan pemuda itu.
            “Dah itu pilihan dia. Kita dah cuba halang, dia tetap nak terima. Apa lagi kita boleh buat?” Rahimah mengeluh berat. Dia langsung tidak berkenan pada Zafry. Baginya, Adra layak mendapat suami yang lebih baik. Anaknya itu masih muda. Masih panjang jalan hidup yang perlu dilalui.
            “Kusut fikiran abang Mah. Adham pun tak setuju. Dia sendiri dah bercakap dengan Adra. Tapi tak nak didengarnya. Entah apa kena dengan budak Adra tu.” Habis sebatang rokok daun, Razali mencapai pula kotak rokok Dunhill. Dikeluarkan sebatang. Pemetik api yang berada di atas lantai dicapai. Dia kalau runsing memang begitu. Menjadi akrab dengan rokok secara tiba-tiba.
            “Sudah-sudahlah jadi kereta api bang… Duit kita simpan untuk sekolahkan anak-anak lagi baik.” Rahimah menegur bila sejak tadi dia melihat suaminya tidak berhenti menghisap rokok. Sebatang demi sebatang. Tidak senang dia melihat keadaan itu.
            “Mah, kalau abang pergi jumpa Abang Mezah tolak cadangan itu macam mana?” Hatinya berbelah bagi. Tapi dia lebih rela hilang pekerjaan dari melihat kehidupan anak gadisnya musnah tanpa dia dapat melakukan apa-apa.
            “Janganlah Abah. Kan Adra dah setuju. Abah jangan risau. Inshaallah, semuanya akan baik.” Adra melangkah keluar dari bilik. Sejak tadi dia mendengar perbualan antara umi dan abahnya. Dia tahu mereka bimbangkan dirinya.
Umar Zafry, lelaki itu bagaikan bacteria yang menakutkan semua orang sekeliling. Kerana janjinya untuk merubah seorang ‘anak’ dia terikat, dan dia juga tidak mahu digelar manusia munafik. Berjanji tetapi tidak ditunaikan.
            “Macam mana Abah tak risau Adra? Kamu muda lagi. Kalau boleh Abah nak tengok kamu belajar balik. Nanti sudah berjaya kahwinlah dengan sesiapa pun. Abah takkan halang.” Wajah anak kesayangannya dipandang. Berharap benar dia yang Adra akan bersetuju dengan cadangannya.
            Tersenyum Adra mendengar kata-kata Abah kesayangannya. Langkah kakinya semakin mendekat kepada lelaki itu. Tubuh dilabuhkan, lengan itu dikaut dan dipeluk erat. Cuba meredakan keresahan dihati lelaki itu.
            “Abah tak percayakan Adra ke?” Wajah abahnya ditatap. Senyuman dibibirnya semakin melebar. Rokok ditangan lelaki itu dicapai dan dimasukkan ke dalam bekas abu. Tidak suka lelaki itu membahayakan kesihatan diri hanya kerana risaukan masa depannya.
            “Sebab percayalah Abah tak nak kamu korbankan diri. Banyak lagi cara yang uncle kamu boleh guna nak sedarkan anak dia tu.” Kepala Adra diusap lembut. Bagaikan semalam sahaja dia melihat anak itu belajar berjalan. Terbayang-bayang dimatanya saat Adra boleh menyebut perkataan pertama. Abah… saat itu dirasakan hatinya berbunga indah.
            Dan sekarang? Dia tidak mahu senyuman yang selama ini menghiasi bibir itu, tidak dapat dia tatap lagi. Umar Zafry! Pemuda itu boleh mencari gadis lain sebagai isteri, apa yang pasti bukan Adra Afeefa, anak kesayangannya.
            “Abah nak tahu tak?” Lengan abahnya dipicit-picit. Cuba meredakan keresahan dihati itu.
            “Apa?” Razali berdebar. Takut jika Adra memberitahu sesuatu yang tidak ingin dia dengar.
            “Umar Zafry akan jadi suami yang terbaik untuk Adra Afeefa. Adra nak abah dengan umi yakin. Kami akan bahagia. Dia takkan jadi lelaki yang sempurna, tapi Adra harap dia akan jadi lelaki yang hebat sama seperti abah nanti. Cuma abah kena beri dia peluang.” Perlahan Adra berkata. Jelas riak wajah abah dan uminya berubah setelah mendengar kata-katanya.
            Razali melepaskan keluhan berat. Wajah isterinya ditatap sebelum dia kembali memandang wajah Adra.
            “Kalau itu keputusan kamu, abah nak kamu tahu, restu abah dengan umi sentiasa ada. Sampai bila-bila abah harap anak kesayangan abah akan bahagia.” Adra yang tiba-tiba memeluknya membuatkan Razali sebak. Dia berharap keputusan Adra adalah keputusan yang tepat. Tetapi, andai kata sesuatu terjadi dalam hubungan itu nanti, dia sentiasa berbesar hati menerima Adra kembali kepangkuannya.

            “ZAFRY, betul ke apa yang I dengar?” Jeslina memainkan jari-jemari runcingnya didada Zafry. Berita yang sampai ke telinganya beberapa hari sudah benar-benar membuatkan dia mengelisah.
            “You dengar berita apa sayang?” Tangan Jeslina dicapai dan dikucup lembut. Gebar yang sudah melurut ke bawah ditarik kembali bagi menutupi tubuh mereka. Aircond yang dipasang kuat membuatkan bulu roma sedikit meremang, walaupun di sebelahnya ada yang sudi untuk memanaskan kembali tubuhnya yang kedinginan.
            “Betul ke you nak kahwin? Kecoh I dengar orang bercerita pasal benda merepek tu.” Berdebar dadanya menanti jawapan dari bibir Zafry. Pada perkiraannya lelaki itu sudah jatuh ke dalam genggamannya. Bukan sehari, bahkan sudah sebulan dia menjadi peneman lelaki itu. Satu kejayaan besar dirasakan.
            Bukannya dia tidak tahu prinsip lelaki itu. Pakai dan buang konon. Huh…boleh jalanlah. Penangan Jeslina takkan ada yang mampu menolak. Jeslina tersenyum. Berbangga dengan pencapaian sendiri.
            “Yup.” Pipi Jeslina dikucup lembut. Senyuman nakal tersadai dibibirnya. Pinggang ramping itu kembali dipeluk erat. Langsung tiada rasa bersalah terdetik dihatinya apabila membuat pengakuan itu.
            “You what?” Terus terbangun dia dari pembaringan. Terbeliak mata memandang ke arah Zafry yang sedang memandangnya tanpa riak.
            “Betullah tu. Yang you nak terperanjat sangat kenapa?” Sedikit sinis dia bertanya. Bukannya dia tak tahu, Jeslina sibuk menjadi Astro bergerak. Sana sini dicanang yang mereka sedang bercinta. What the…Dalam mimpi sekalipun tak akanlah!
            “Habis tu, you anggap I ni apa? Gundik you?” Jeslina panas hati. Suaranya melengking kuat. Pantas dia bangun. Tidak dipedulikan langsung tubuhnya yang tidak berpakaian. Menyilau pandangan matanya memandang ke arah Zafry.
            “You rasa?” Zafry tersengih. Bantal yang tadi digunakan oleh Jeslina dicapai. Diletak dikepala katil. Terus dia duduk menyandar sambil memeluk tubuh. Liur ditelan menikmati permandangan ‘syurga’ dihadapannya. Langsung tak agak-agak. Memang dasar perempuan murah! Sempat dia menyumpah seranah Jeslina di dalam hati.
            “You jangan nak biadap dengan I Zafry.” Jeslina menerpa ke arah katil. Tegak dia berdiri di sebelah lelaki itu. Kalau diikutkan rasa marah mahu sahaja dia mencarik-carikkan wajah kacak itu. Biar jadi hodoh. Itupun belum tentu hatinya puas.
            “Apa yang you nak marah sangat ni Jes? Hari itu lagi I dah cakap, you jangan nak expect perkara yang bukan-bukan. I cuma nak berseronok. You pun seronok kan? So, apa lagi masalahnya?” Panas hati pula dia melihat sikap Jeslina. Ada hati nak bergandingan dengan dia. Boleh blahla..
            “Apa masalahnya? Hey, you dah bagi harapan dekat I, You ingat senang-senang saja I nak lepaskan You? Jangan mimpilah!” Kali ini dia naik ke atas katil. Dada Zafry ditumbuk dan ditampar berkali-kali. Segala maki-hamun yang tersimpan dikeluarkan. Puas rasa hatinya.
            “Hey... You dengar sini, you jangan sampai I buat you tak nak hidup dekat dunia ni lagi tau.” Zafry menangkap kedua tangan Jeslina yang masih ‘ramah’ menumbuk dadanya. Wanita itu sudah melampau. Rambut Jeslina yang sudah mengerbang direntap kasar.
            “Sakitlah bodoh!” Jeslina menjerit kuat. Terasa perit kulit kepalanya dek kerana tarikan itu. Berusaha dia merungkaikan pegangan lelaki itu ke atas rambutnya.
            “Ini baru sedikit Jes. You jangan berani nak cabar I.” Ditolak kuat kepala itu. Terus dia turun dari katil. Kain tuala dicapai. Dibalut tubuhnya.
            “Kejap lagi I keluar dari toilet, I tak nak tengok muka you ada dalam bilik ni lagi. Kalau tak you jangan menyesal nanti.” Amaran dihantar. Dia tidak suka bergurau. Apa yang pasti Jeslina tak akan terlepas kalau masih mahu membuat onar. Tahulah dia bagaimana mahu mengajar wanita itu nanti.Dia pasti akan berikan pengajaran. Biar tiada siapa berani bermain api dengannya lagi.
            “You nak buat apa? Nak bunuh I?” Jeslina masih belum berpuas hati. Entah macam mana dia mahu berhadapan dengan rakan-rakannya nanti. Pasti malu besar kalau semua orang tahu yang dia sudah ditinggalkan. Umar Zafry, lelaki itu betul-betul tak berguna!
            “Kalau you berani buat macam-macam, jangan menyesal kalau I kata I sanggup hapuskan you. So, lebih baik you keluar dengan cara elok.” Zafry mula menapak ke arah bilik air. Tubuhnya mahu dibersihkan segera kerana dia sudah mula merasa sedikit tidak selesa.
            “You…” Jeslina mati kata. Sakit hatinya sukar digambarkan.
            “Sebelum I terlupa, you boleh ambil duit dalam wallet I. Suka hati you nak ambil banyak mana pun. Itu upah atas layanan tip top you tadi.” Flying kiss diberikan. Kenyitan mata berserta senyuman sinis turut dihadiahkan kepada Jeslina sebelum dia menutup pintu bilik air. Zafry ketawa kecil kemudiannya bila jeritan Jeslina kuat memetir.

            “I akan buat you menyesal zafry. You tunggulah.” Bergetar seluruh tubuhnya menahan rasa amarah. Apa yang pasti dia tidak akan mengalah. Zafry pasti menyesal kerana mempermainkannya. Dia pasti akan membuat perhitungan dengan lelaki itu nanti. 

Copyright: Cempaka Rembulan/Idea Kreatif

Bab 4 KALAU SUDAH BERKENAN - Cempaka Rembulan


“AWAK, warna ini cantik tak?” Adra menarik sehelai baju pengantin bewarna biru dengan hiasan manik bewarna merah hati. Warna kegemarannya. Warna yang juga selama ini diharap bakal melatari majlis perkahwinannya.
            “Kau nak pakai warna terang macam ini semasa akad nikah nanti?” Zafry bertanya sinis. Entah mengapa, setiap gerak-geri dan perbuatan gadis itu, satu pun tidak diberkenankan oleh pandangan matanya. Kebudak-budakkan! Inikah ciri wanita yang ayah dia harap dapat membimbing dia?
            “Tak, maksud saya semasa kenduri nanti. Akad nikah saya nak warna putih gading.” Adra menghantar sebuah senyuman kepada bakal suaminya. Malangnya, senyuman itu bukan sahaja tidak berbalas, malahan dia menerima pulak cebikkan beserta jelingan tajam dari lelaki bernama Umar Zafry itu. Sayang dirasakan, bila nama yang bermaksud sangat baik tetapi tidak diserikan dengan peribadi seanggun nama oleh tuanya.
            Umar bermaksud yang memakmurkan, juga nama seorang khalifah yang terbilang. Dia tidak berharap lelaki itu menjadi sehebat Umar Al-Khattab, cukuplah menjadi seorang suami yang hebat dimatanya dan dapat dibanggakan akhlaknya.
            Zafry, kemenanganku. Dia tidak akan menang selagi lelaki itu masih hidup dalam kehidupan penuh maksiat seperti sekarang ini. Mendengar cerita dari Tan Sri Hamzah, dia sedar kehidupannya nanti tidak akan menjadi seindah drama Cinderella yang dapat berkahwin dengan putera raja hanya kerana sepasang kasut kaca. Dia sendiri bukanlah seorang yang sempurna, tetapi dia akan cuba menyempurnakan diri demi lelaki yang bakal bergelar suami.
            “Boleh cepat sikit tak? Aku ada hal kejap lagi.” Zafry mengelisah. Dia tidak betah berlama-lamaan bersama gadis itu. Bila mereka bertemu, semakin kerap dia memikirkan kemungkinan yang bakal terjadi pada masa akan datang. Bayangan alam rumah tangga yang tidak diingini sentiasa menjelma membuatkan harinya tidak lagi seindah dulu.
            “Hal apa? Uncle cakap dia dah bagi pelepasan untuk awak sepanjang hari ini.” Senyumannya masih tersadai dibibir. Dia tidak akan sesekali membiarkan mood lelaki itu yang kacau-bilau ‘memusnahkan’ harinya. Dia bukannya manusia bodoh yang tidak boleh membaca reaksi dari seorang lelaki. Tidak suka tak mengapa. Dia pasti akan buatkan lelaki itu menyukainya suatu hari nanti. Sedikit demi sedikit, hati itu pasti akan dapat ditawan.
            “Hal aku dengan kawan aku lah.” Suaranya sedikit meninggi. Tidak senang bila kehidupan peribadinya mahu dicerobohi.
            “You know what?” Kening diangkat. Serangan psikologi akan mula dilancarkan. Dia tahu apa yang patut dilakukan bagi mendiamkan terus lelaki itu.
            “What?” Berkerut dahinya cuba mencari apa yang bakal dituturkan oleh Adra.
            “I’m glad to be your future wife.” Adra tersenyum. Pantas dia berlalu menuju ke satu sudut yang lain. Jelas dimatanya wajah lelaki itu berubah riak.
           
            “AWAK tak nak pergi makan ke.” Adra bertanya lembut. Wajah lelaki itu dipandang sekilas sebelum pandangannya dibawa menjelajah segenap ruang kereta. Nampak mewah dan exclusive. Dia sendiri tidak tahu apa jenis nama kenderaan yang sedang dinaikinya. Setiap tahun entah berapa puluh jenis kereta baru dilancarkan di seluruh dunia, sampaikan dia sudah tiada rasa ingin mengetahui jenama setiap jenis kenderaan tersebut.
            “Kan aku dah cakap yang aku ada hal. Kau ni faham bahasa ke tidak?”
            “Tak. Yang saya tahu awak memang tak ada hal hari ini. Kan saya dah cakap tadi, uncle dah bagi pelepasan untuk awak.” Adra senyum segaris.
            Mendengar kata-kata Adra membuatkan dia semakin panas hati. Ayahnya bagaikan sudah tiada kerja. Semua benda hendak dilaporkan kepada gadis itu. Wajah Adra dipandang menghantar isyarat yang dia tidak suka kehidupannya dicerobohi.
            “If you don’t believe me, ask him by yourself.” Adra salah faham. Pada perkiraannya pandangan lelaki itu menghantar maksud yang kata-katanya diragui. Dia tidak menipu. Memang Tan Sri Hamzah yang memberitahunya. Hari ini mereka harus menyelesaikan dahulu beberapa perkara. Bahkan pendaftaran kursus perkahwinan pun belum mereka lakukan.
            “Aku percaya memang orang tua tu yang bagi tahu engkau. Tapi kau bukan sesiapa nak masuk campur dalam hidup aku.” Kereta meluncur semakin laju. Geram apabila Adra dan ayahnya, bagaikan mahu menjadi parasit dalam kehidupannya. Mengatur itu ini tanpa persetujuannya terlebih dahulu. Dia bukannya boneka yang boleh ‘dipeluk’ sesuka hati.
            Terdiam Adra mendengar kata-kata Zafry. Belang lelaki itu semakin kelihatan. Walaupun dia tidak suka, tetapi itu lebih baik dari dia melihat gaya ‘angel’ sedangkan dibelakangnya lebih dasyat dari ‘devil.’ Biarlah lelaki itu menjadi diri sendiri. Sekurangnya itu akan lebih mudah untuk dia mula membentuk jalinan perhubungan bersama lelaki itu. Dia tidak mahu setelah berkahwin barulah dia tahu bagaimana rupanya seorang Umar Zafry.
            “Can you please slow down the car? Sekarang kita bukan atas litar. Banyak nyawa awak nak kena jaga. Kalau awak seorang saya tidak kisah.” Adra menegur bila dirasakan pemanduan lelaki itu semakin merbahaya. Menyelit disana sini. Lagak umpama dialah pemilik jalan.
            “Why? Are you scared of death?” Zafry ketawa sinis. Semakin laju dia memandu. Hatinya terasa puas melihat riak ketakutan pada wajah Adra.
            “Memang saya takut. Amalan saya belum cukup banyak, tetapi saya lebih takut untuk awak. Macam mana nak menghadap mungkar dengan nakir di dalam kubur nanti kalau awak belum bertaubat?” Puas hatinya dapat menuturkan kata seperti itu. Dia bukanlah manusia yang diturunkan tanpa nafsu amarah. Sedikit sebanyak kesabarannya teruji. Tidak suka nyawa dijadikan sebagai bahan mainan.
            “Kau rasa kau sudah cukup baik ke berbanding aku?” Terasa wajahnya bagai ditampar mendengar bicara Adra yang lantang mengkritik. Dia tidak perlukan seorang lagi penasihat tidak bertauliah. Cukuplah ayahnya seorang sahaja yang bertindak bagaikan ‘lelaki gila’ yang menyeru itu ini.
            “Saya tak pasti, tapi saya rasa…mungkin.” Semakin seronok Adra mempermainkan Zafry.
            “Apa maksud kau dengan ‘mungkin’ tu?” Perempuan ini memang nak kena. Kalau tidak disebabkan rasa hormatnya yang masih bersisa, tahulah bagaimana dia mahu mengajar Adra menjadi gadis yang lebih baik berbicara. Dia pasti akan diamkan gadis itu walau dengan apa cara sekalipun. Hari ini dia akan lepaskan. Tetapi, tak akan ada lain kali!
            “Terpulang pada tafsiran awak.” Selendang yang membelit kepalanya diperbetulkan sedikit kedudukan apabila dirasakan kurang selesa.
            “Ha lagi satu, boleh tak lepas ni kalau keluar kau jangan pakai kain kelambu macam ini. Semak mata aku.” Tangan kirinya dibawa atas dan bawah menunjuk ke arah Adra. Dalam gambar tak adalah pula gadis itu bertudung. Ini bila berjumpa tutup litup semua benda. Hanya muka dan tangan itu sahaja yang kelihatan.
            “Biar semak dimata awak, jangan semak dimata Allah.”
            “Kau…Arghhh.” Diketuk-ketuk stereng kereta bagi meluahkan rasa amarah dihati. Adra benar-benar mencabar kesabarannya. Sekarang dia tidak sabar mahu dijodohkan dengan gadis itu. Setelah mereka berkahwin dia akan pastikan Adra menelan balik semua kata-katanya.

            “MACAM mana?” Tan Sri Hamzah bertanya. Surat khabar diletakkan di atas meja.
            “Apa ayah buat dekat sini?” Terperanjat Zafry. Tidak menyangka ayahnya berada di dalam rumahnya. Bagaimana lelaki itu boleh masuk? Kunci kereta disangkut pada satu tempat yang dikhaskan. Kasut ditanggalkan. Laju kakinya menapak menghampiri ayahnya.
            “Kenapa, tak boleh ke?” Tan Sri Hamzah ketawa sinis. Tahu anaknya terperanjat melihat dia boleh ‘memecah’ masuk ke dalam condo mewah milik anaknya. Semua itu hanyalah hal kecil yang tidak sukar untuknya selesaikan.
            “Macam mana ayah boleh masuk?” Zafry melabuhkan tubuh di atas sofa berhadapan dengan ayahnya. Wajah lelaki itu dipandang meminta jawapan. Semakin hari semakin sukar untuknya menembak akal seorang lelaki bernama Hamzah. Lelaki itu akan hadir dengan pelbagai kejutan. Ada kalanya langsung tidak dapat dijangkau oleh akal fikirannya.
            “Hal senang Zafry. Kau jangan nak kusutkan sangat fikiran fikir benda remeh macam itu.” Air kopi yang dibancuh ketika dia mula melangkah masuk, dicapai. Dihidu aroma harum yang menarik deria rasanya. Diteguk puas sebelum dia meletakkan kembali ke atas meja kaca disisinya.
            “Ada apa ayah datang sini?” Jam dinding dijengah. Sudah pukul dua belas lebih. Tidak tahu mengantukkah lelaki itu? Mujurlah hari ini tiada ‘mangsa’ baru yang dibawa balik. Kalau tidak pasti riuh jadinya.
            “Saja. Rindu anak lelaki kesayangan ayah.” Tan Sri Hamzah ketawa kecil bagi menutup rasa kecewa dihati bila Zafry jelas menayang riak wajah meloya mendengar kata-katanya. Dia ingin rapat dengan anak lelakinya. Mahu menjadi ayah yang disayangi oleh seorang anak. Cumanya, dia tidak tahu cara yang bagaimankah sesuai digunakan untuk menempatkan diri di dalam kehidupan Zafry. Apa yang dilakukan serba tidak kena. Bahkan Zafry semakin menjauhkan diri darinya.
            “Kalau ayah nak main teka-teki ayah teruskan. Saya nak masuk tidur.” Zafry sudah berura-ura mahu bangun.
            “Macam mana pertemuan kau dengan Adra tadi?” Berdebar hati Tan Sri Hamzah menanti jawapan anak terunanya. Berharap ada yang positif disebalik pertemuan itu.
            “Perempuan itu? Saya rasa lebih elok kalau ayah pilih pelacur saja untuk saya. Sekurang-kurangnya diorang tahu nak beradap sopan.” Puas hati Zafry dapat meluahkan kata-kata itu kepada ayahnya. Sakit dihati akibat keletah Adra dirasakan sedikit terubat.
            “Kenal-kenal lah dulu. Dah hati kata tak suka, baik mana pun budak Adra itu, tak adanya kau nak nampak. Kenal dulu hati budi dia.” Walaupun dia panas hati mendengar kata-kata Zafry tetapi sedaya upaya dia cuba mengawal perasaan. Tidak mahu adanya lagi pergaduhan yang tercetus antara mereka.
            “Kita batalkanlah rancangan itu.” Zafry cuba memujuk. Mana tahu kali ini ayahnya bersetuju. Dapatlah dia melepaskan diri dari bibir berbisa gadis itu.

            “Yang itu memang tak akan. Ayah dah jemput semua orang. Ingat perjanjian kita.” 

copyright : Cempaka Rembulan / Idea Kreatif

Bab 1 YANG DIA PILIH - Hani Fazuha



Bab 1

KEMBALI duduk di kerusi empuk itu setelah tiga tahun meninggalkannya, Hareez seperti hilang punca dan tidak tahu dari mana harus dimulakan.
Walaupun semua yang ada di bilik pejabat itu masih sama dan tidak berubah seperti kali terakhir dia mengambil keputusan untuk ke luar negara dulu, ianya seperti sudah menjadi asing baginya. Mungkin juga hatinya masih belum bersedia untuk kembali duduk di situ.
 ‘Bang, aku akan dihantar bertugas ke Dubai untuk tiga bulan dan aku akan bawa family aku sekali.

Email yang dihantar Zhafran sebulan yang lalu buatkan dia berfikir berkali-kali. Membawa family sekali bermaksud Lya juga akan dibawa pergi dan bermaksud juga tiada lagi orang yang akan membantu papanya di Danau Crystal.
Pada mulanya dia masih teragak-agak untuk pulang tetapi panggilan telefon dari mama yang menangis di talian buatkan dadanya bagai ditindih batu besar. Papa diserang minor stroke dan harus bercuti panjang, memaksa dia untuk pulang memikul tanggungjawab sebagai anak.
            “Papa dah tak kuat Reez. Papa perlukan anak-anak papa untuk membantu. Papa tak mahu Danau Crystal yang papa usahakan dengan titik peluh sendiri berkubur begitu saja.”
Suara lemah papa bernada rayuan itu telah mengikat kakinya untuk terus berpijak di bumi Malaysia ini dan sekaligus melupakan hasratnya untuk terus menimba ilmu di negara orang. Kerana itu juga, dia kembali menjejakkan kaki ke Danau Crystal.
            Ikutkan hati, dia masih belum bersedia. Ya! hatinya belum cukup kuat untuk berdepan dengan kenangan lama. Tiga tahun dia tidak pernah pulang ke Malaysia dan tiga tahun itu masih belum cukup untuk dia melupakan seraut wajah bernama Lyana Amira.
            “Melarikan diri bukan cara terbaik untuk melupakan seseorang.” Kata nasihat teman serumahnya sewaktu di luar negara itu diakui kebenarannya saat ini.
Nafasnya ditarik panjang. Dari duduk, Hareez berdiri berpeluk tubuh memandang ke luar. Dinding kaca yang mengelilingi biliknya itu membolehkan dia melihat pemandangan indah di luar sana.
            Seketika berdiri di situ, dia melangkah perlahan ke arah dinding kaca yang bertentangan. Langsir yang menutupi keseluruhan dinding tersebut diselak sedikit untuk melihat suasana di dalam ruang pejabat pula.
            Saat itulah matanya menangkap bayangan Lya yang melintasi pejabatnya. Lenggok Lya yang nampak indah di mata lelakinya itu menjadikan dadanya sesak dengan pelbagai rasa. Hatinya seperti dicuit dan jiwanya mula terusik.
Walau sudah mempunyai seorang anak, badan Lya tetap langsing. Tubuh tinggi lepas itu nampak padan dengan apa saja yang dipakainya. Cantik! Kecantikan yang asli itulah yang membuatkan hatinya terpaut.
            Astaghafirullahalazimmmm....
            Panjang dia beristighfar setelah sedar akan khilaf sendiri. Sedar akan dosa yang dicipta kerana mendambakan wanita yang berstatus isteri orang apatah lagi isteri adik sendiri. Pantas langsir yang terselak itu ditutup kembali. Pantas juga kakinya melangkah menuju ke kerusi dan duduk di situ.
            Baru saja nafas yang tersekat tadi kembali berjalan lancar, pintu biliknya diketuk dari luar.
            “Masuk.” Lemah saja suaranya memberi arahan dan serentak itu wajah yang cuba ingin dielaknya muncul di muka pintu.
            Senyuman Lya buatkan Hareez terpaku di kerusinya. Dia hanya mampu memandang langkah Lya yang tersusun masuk menghampiri mejanya.
            “Boleh I duduk?”
            “Hah!” Hareez bagaikan baru tersedar dari lena saat mendengar permintaan Lya itu. Rupanya Lya sudah berdiri di depan mejanya. Pantas dia menghulurkan senyuman bersama isyarat tangan agar Lya duduk.
            “Papa minta I brief you tentang akaun syarikat.” Lya bersuara sambil meletakkan fail yang dibawa ke atas meja. Terasa janggal tetapi dia cuba untuk berlagak biasa.
Bermula minggu depan, dia akan bercuti selama tiga bulan kerana mengikut Zhafran yang terpaksa menghabiskan sisa kontraknya di Dubai.
Kembali berurusan dengan Hareez setelah tiga tahun tidak bersua muka, banyak yang sudah berubah. Hareez yang dia kenal dulu jauh bezanya dengan Hareez yang duduk di depannya saat ini. Kalau ditanya kata hati, dia lebih sukakan Hareez yang dulu, yang selalu agresif dalam semua perkara termasuklah tentang soal hati dan perasaan.
Melihat Hareez hari ini, hatinya jadi tidak tenteram. Salah diakah yang menjadikan Hareez seorang pendiam?
            Hareez mengangguk perlahan petanda memberi kebenaran untuk Lya memulakan briefingnya. Dia tahu, sepanjang ketiadaannya selama ini, Lyalah yang banyak membantu dalam semua urusan Danau Crystal.          
Seharusnya Lya sudah layak duduk di kerusinya tetapi sikap rendah diri seorang Lya memang tidak pernah hilang dari dirinya. Lantas, ada rasa bersalah terbit di hatinya.
Sebagai anak, seharusnya dia dan Zhafran yang memikul tanggungjawab tersebut tetapi kerana mengikut kata hati, dia begitu tega meninggalkan papanya menguruskan syarikat sendirian. Zhafran pula masih terikat kontraknya dengan syarikat lain.
            Melihat anggukan Hareez, Lya terus membuka fail akaun syarikat yang sudah terletak di atas meja. Mulutnya terus berkata-kata menjelaskan satu persatu apa yang seharusnya Hareez tahu.
            Cuba untuk fokus, itulah yang Hareez lakukan walau sebenarnya getaran di hatinya lebih kuat dari gelombang di mindanya. Melihat jemari runcing Lya yang berlari-lari di atas helaian kertas menunjukkan angka-angka yang bertaip kemas itu sudah cukup untuk membuatkan nafasnya kembali menjadi sesak.
Dulu... suatu ketika dulu, dia pernah mengimpikan untuk membelai jemari itu tetapi malangnya impiannya itu tidak kesampaian dan dia tahu sampai bila-bila pun impiannya itu tidak mungkin akan kesampaian.
            Sedang minda dan hatinya berperang sesama sendiri, dia dikejutkan dengan deringan telefon bimbit milik Lya. Serentak itu, bicara Lya terus terhenti dan jemarinya bergerak mencapai telefon yang diletak di atas meja.
            “Sekejap ya.” Sopan Lya memohon untuk menjawab panggilan tersebut setelah melihat nama Zhafran yang tertera di skrin.
            “Assalamualaikum abang... Lya tengah ada discussion, nanti Lya call abang balik yer.” Lembut alunan suara Lya menjawab panggilan tersebut bersama senyuman mekar di bibir.
            Pantas Hareez kalihkan pandangannya ke sisi. Rasa cemburu yang cuba dibungkus kemas sudah mula mengintai keluar. Ah! alangkah bahagianya kalau dia berada di tempat Zhafran.     
“Okey, bye!” suara penamat perbualan itu memanggil Hareez kembali berpaling ke arah Lya.
            “I love you too.” Ucapan terakhir Lya sebelum menekan butang merah di telefonnya terus membuatkan mata Hareez terpejam rapat menahan sakit.
Ya! sakit yang tidak mungkin mampu dilihat oleh sesiapa pun.
            “Reez...sorry, boleh kita sambung?” Suara Lya memanggil Hareez membuka matanya. Tidak mengangguk dan tidak juga menggeleng, hanya matanya melekat ke wajah Lya.
            Melihat tingkah pelik Hareez, Lya diserang gelisah. Dia bimbang jika sejarah lama berulang kembali. Sejak kepulangan Hareez beberapa hari lalu, rasa bimbangnya tidak pernah surut apatah lagi bila dia harus berdepan lagi dengan lelaki ini setiap hari di pejabat.
            “You bahagia?” Soalan Hareez yang tiba-tiba melencong topik itu makin menguatkan rasa bimbang di hati Lya. Dia cuba menafikan yang Hareez masih menyimpan perasaan terhadapnya tetapi sinar mata lelaki ini bagai menceritakan segalanya.
            “Lya?”
            “Ya, I sangat bahagia.” Spontan jawapan itu keluar dari bibir Lya. 
Benar.. dia cukup bahagia. Jika ada perkataan lain selain dari bahagia, dia ingin meminjam perkataan itu untuk menggambarkan rasa hatinya. Betapa dia cukup bahagia hidup bersama Zhafran.
            Hareez tarik nafas panjang. Entah kenapa dia masih ingin bertanyakan soalan itu sedang hakikat sebenarnya dia telah tahu. Melihat kemesraan dan keceriaan di wajah keduanya sudah cukup untuk memberitahu tentang bahagia yang berada di sekeliling mereka.
            Ah! Rasa hati ini perlu dibalut lagi dengan lapisan yang tebal-tebal supaya getarannya tidak mampu dikesan. Biarlah hanya dia yang merasai betapa dahsyatnya getaran yang melanda hatinya.
            Entah kenapa bila berdepan dengan Lya, jiwanya jadi melankolik begini. Dia memang tak suka dengan rasa yang sebegini.

Copyright : Hani Fazuha/Idea kreatif