Bab
1
KEMBALI duduk di kerusi empuk itu setelah tiga tahun
meninggalkannya, Hareez seperti hilang punca dan tidak tahu dari mana harus
dimulakan.
Walaupun semua yang ada di bilik pejabat itu masih sama dan
tidak berubah seperti kali terakhir dia mengambil keputusan untuk ke luar
negara dulu, ianya seperti sudah menjadi asing baginya. Mungkin juga hatinya
masih belum bersedia untuk kembali duduk di situ.
‘Bang, aku akan dihantar bertugas ke
Dubai untuk tiga bulan dan aku akan bawa family aku sekali.’
Email
yang dihantar Zhafran sebulan yang lalu buatkan dia berfikir berkali-kali.
Membawa family sekali bermaksud Lya juga akan dibawa pergi dan bermaksud
juga tiada lagi orang yang akan membantu papanya di Danau Crystal.
Pada mulanya dia masih teragak-agak untuk pulang tetapi
panggilan telefon dari mama yang menangis di talian buatkan dadanya bagai
ditindih batu besar. Papa diserang minor stroke dan harus bercuti
panjang, memaksa dia untuk pulang memikul tanggungjawab sebagai anak.
“Papa dah tak kuat Reez. Papa
perlukan anak-anak papa untuk membantu. Papa tak mahu Danau Crystal yang papa
usahakan dengan titik peluh sendiri berkubur begitu saja.”
Suara lemah papa bernada rayuan itu telah mengikat kakinya
untuk terus berpijak di bumi Malaysia ini dan sekaligus melupakan hasratnya
untuk terus menimba ilmu di negara orang. Kerana itu juga, dia kembali
menjejakkan kaki ke Danau Crystal.
Ikutkan hati, dia masih belum
bersedia. Ya! hatinya belum cukup kuat untuk berdepan dengan kenangan lama.
Tiga tahun dia tidak pernah pulang ke Malaysia dan tiga tahun itu masih belum
cukup untuk dia melupakan seraut wajah bernama Lyana Amira.
“Melarikan diri bukan cara terbaik
untuk melupakan seseorang.” Kata nasihat teman serumahnya sewaktu di luar
negara itu diakui kebenarannya saat ini.
Nafasnya ditarik panjang. Dari duduk, Hareez berdiri
berpeluk tubuh memandang ke luar. Dinding kaca yang mengelilingi biliknya itu
membolehkan dia melihat pemandangan indah di luar sana.
Seketika berdiri di situ, dia
melangkah perlahan ke arah dinding kaca yang bertentangan. Langsir yang
menutupi keseluruhan dinding tersebut diselak sedikit untuk melihat suasana di
dalam ruang pejabat pula.
Saat itulah matanya menangkap
bayangan Lya yang melintasi pejabatnya. Lenggok Lya yang nampak indah di mata
lelakinya itu menjadikan dadanya sesak dengan pelbagai rasa. Hatinya seperti
dicuit dan jiwanya mula terusik.
Walau sudah mempunyai seorang anak, badan Lya tetap
langsing. Tubuh tinggi lepas itu nampak padan dengan apa saja yang dipakainya.
Cantik! Kecantikan yang asli itulah yang membuatkan hatinya terpaut.
Astaghafirullahalazimmmm....
Panjang dia beristighfar setelah
sedar akan khilaf sendiri. Sedar akan dosa yang dicipta kerana mendambakan
wanita yang berstatus isteri orang apatah lagi isteri adik sendiri. Pantas
langsir yang terselak itu ditutup kembali. Pantas juga kakinya melangkah menuju
ke kerusi dan duduk di situ.
Baru saja nafas yang tersekat tadi
kembali berjalan lancar, pintu biliknya diketuk dari luar.
“Masuk.” Lemah saja suaranya memberi
arahan dan serentak itu wajah yang cuba ingin dielaknya muncul di muka pintu.
Senyuman Lya buatkan Hareez terpaku
di kerusinya. Dia hanya mampu memandang langkah Lya yang tersusun masuk
menghampiri mejanya.
“Boleh I duduk?”
“Hah!” Hareez bagaikan baru tersedar
dari lena saat mendengar permintaan Lya itu. Rupanya Lya sudah berdiri di depan
mejanya. Pantas dia menghulurkan senyuman bersama isyarat tangan agar Lya
duduk.
“Papa minta I brief you tentang akaun syarikat.” Lya bersuara sambil meletakkan
fail yang dibawa ke atas meja. Terasa janggal tetapi dia cuba untuk berlagak
biasa.
Bermula minggu depan, dia akan bercuti selama tiga bulan
kerana mengikut Zhafran yang terpaksa menghabiskan sisa kontraknya di Dubai.
Kembali berurusan dengan Hareez setelah tiga tahun tidak
bersua muka, banyak yang sudah berubah. Hareez yang dia kenal dulu jauh bezanya
dengan Hareez yang duduk di depannya saat ini. Kalau ditanya kata hati, dia
lebih sukakan Hareez yang dulu, yang selalu agresif dalam semua perkara
termasuklah tentang soal hati dan perasaan.
Melihat Hareez hari ini, hatinya jadi tidak tenteram. Salah
diakah yang menjadikan Hareez seorang pendiam?
Hareez mengangguk perlahan petanda
memberi kebenaran untuk Lya memulakan briefingnya. Dia tahu, sepanjang
ketiadaannya selama ini, Lyalah yang banyak membantu dalam semua urusan Danau
Crystal.
Seharusnya Lya sudah layak duduk di kerusinya tetapi sikap
rendah diri seorang Lya memang tidak pernah hilang dari dirinya. Lantas, ada
rasa bersalah terbit di hatinya.
Sebagai anak, seharusnya dia dan Zhafran yang memikul
tanggungjawab tersebut tetapi kerana mengikut kata hati, dia begitu tega
meninggalkan papanya menguruskan syarikat sendirian. Zhafran pula masih terikat
kontraknya dengan syarikat lain.
Melihat anggukan Hareez, Lya terus
membuka fail akaun syarikat yang sudah terletak di atas meja. Mulutnya terus
berkata-kata menjelaskan satu persatu apa yang seharusnya Hareez tahu.
Cuba untuk fokus, itulah yang Hareez
lakukan walau sebenarnya getaran di hatinya lebih kuat dari gelombang di
mindanya. Melihat jemari runcing Lya yang berlari-lari di atas helaian kertas
menunjukkan angka-angka yang bertaip kemas itu sudah cukup untuk membuatkan
nafasnya kembali menjadi sesak.
Dulu... suatu ketika dulu, dia pernah mengimpikan untuk
membelai jemari itu tetapi malangnya impiannya itu tidak kesampaian dan dia
tahu sampai bila-bila pun impiannya itu tidak mungkin akan kesampaian.
Sedang minda dan hatinya berperang
sesama sendiri, dia dikejutkan dengan deringan telefon bimbit milik Lya.
Serentak itu, bicara Lya terus terhenti dan jemarinya bergerak mencapai telefon
yang diletak di atas meja.
“Sekejap ya.” Sopan Lya memohon
untuk menjawab panggilan tersebut setelah melihat nama Zhafran yang tertera di
skrin.
“Assalamualaikum abang... Lya tengah
ada discussion, nanti Lya call abang balik yer.” Lembut alunan
suara Lya menjawab panggilan tersebut bersama senyuman mekar di bibir.
Pantas Hareez kalihkan pandangannya
ke sisi. Rasa cemburu yang cuba dibungkus kemas sudah mula mengintai keluar.
Ah! alangkah bahagianya kalau dia berada di tempat Zhafran.
“Okey, bye!” suara penamat perbualan itu memanggil
Hareez kembali berpaling ke arah Lya.
“I love you too.” Ucapan
terakhir Lya sebelum menekan butang merah di telefonnya terus membuatkan mata
Hareez terpejam rapat menahan sakit.
Ya! sakit yang tidak mungkin mampu dilihat oleh sesiapa pun.
“Reez...sorry, boleh kita sambung?” Suara Lya memanggil Hareez membuka
matanya. Tidak mengangguk dan tidak juga menggeleng, hanya matanya melekat ke
wajah Lya.
Melihat tingkah pelik Hareez, Lya
diserang gelisah. Dia bimbang jika sejarah lama berulang kembali. Sejak
kepulangan Hareez beberapa hari lalu, rasa bimbangnya tidak pernah surut apatah
lagi bila dia harus berdepan lagi dengan lelaki ini setiap hari di pejabat.
“You bahagia?” Soalan Hareez yang
tiba-tiba melencong topik itu makin menguatkan rasa bimbang di hati Lya. Dia
cuba menafikan yang Hareez masih menyimpan perasaan terhadapnya tetapi sinar
mata lelaki ini bagai menceritakan segalanya.
“Lya?”
“Ya, I sangat bahagia.” Spontan
jawapan itu keluar dari bibir Lya.
Benar.. dia cukup bahagia. Jika ada perkataan lain selain
dari bahagia, dia ingin meminjam perkataan itu untuk menggambarkan rasa
hatinya. Betapa dia cukup bahagia hidup bersama Zhafran.
Hareez tarik nafas panjang. Entah
kenapa dia masih ingin bertanyakan soalan itu sedang hakikat sebenarnya dia
telah tahu. Melihat kemesraan dan keceriaan di wajah keduanya sudah cukup untuk
memberitahu tentang bahagia yang berada di sekeliling mereka.
Ah! Rasa hati ini perlu dibalut lagi
dengan lapisan yang tebal-tebal supaya getarannya tidak mampu dikesan. Biarlah
hanya dia yang merasai betapa dahsyatnya getaran yang melanda hatinya.
Entah kenapa bila berdepan dengan
Lya, jiwanya jadi melankolik begini. Dia memang tak suka dengan rasa yang
sebegini.
Copyright : Hani Fazuha/Idea kreatif
No comments:
Post a Comment