“AWAK,
warna ini cantik tak?” Adra menarik sehelai baju pengantin bewarna biru dengan
hiasan manik bewarna merah hati. Warna kegemarannya. Warna yang juga selama ini
diharap bakal melatari majlis perkahwinannya.
“Kau nak pakai warna terang macam
ini semasa akad nikah nanti?” Zafry bertanya sinis. Entah mengapa, setiap
gerak-geri dan perbuatan gadis itu, satu pun tidak diberkenankan oleh pandangan
matanya. Kebudak-budakkan! Inikah ciri wanita yang ayah dia harap dapat
membimbing dia?
“Tak, maksud saya semasa kenduri
nanti. Akad nikah saya nak warna putih gading.” Adra menghantar sebuah senyuman
kepada bakal suaminya. Malangnya, senyuman itu bukan sahaja tidak berbalas,
malahan dia menerima pulak cebikkan beserta jelingan tajam dari lelaki bernama
Umar Zafry itu. Sayang dirasakan, bila nama yang bermaksud sangat baik tetapi
tidak diserikan dengan peribadi seanggun nama oleh tuanya.
Umar bermaksud yang memakmurkan,
juga nama seorang khalifah yang terbilang. Dia tidak berharap lelaki itu
menjadi sehebat Umar Al-Khattab, cukuplah menjadi seorang suami yang hebat
dimatanya dan dapat dibanggakan akhlaknya.
Zafry, kemenanganku. Dia tidak akan
menang selagi lelaki itu masih hidup dalam kehidupan penuh maksiat seperti
sekarang ini. Mendengar cerita dari Tan Sri Hamzah, dia sedar kehidupannya
nanti tidak akan menjadi seindah drama Cinderella yang dapat berkahwin dengan
putera raja hanya kerana sepasang kasut kaca. Dia sendiri bukanlah seorang yang
sempurna, tetapi dia akan cuba menyempurnakan diri demi lelaki yang bakal
bergelar suami.
“Boleh cepat sikit tak? Aku ada hal
kejap lagi.” Zafry mengelisah. Dia tidak betah berlama-lamaan bersama gadis
itu. Bila mereka bertemu, semakin kerap dia memikirkan kemungkinan yang bakal
terjadi pada masa akan datang. Bayangan alam rumah tangga yang tidak diingini sentiasa
menjelma membuatkan harinya tidak lagi seindah dulu.
“Hal apa? Uncle cakap dia dah bagi
pelepasan untuk awak sepanjang hari ini.” Senyumannya masih tersadai dibibir.
Dia tidak akan sesekali membiarkan mood
lelaki itu yang kacau-bilau ‘memusnahkan’ harinya. Dia bukannya manusia bodoh
yang tidak boleh membaca reaksi dari seorang lelaki. Tidak suka tak mengapa.
Dia pasti akan buatkan lelaki itu menyukainya suatu hari nanti. Sedikit demi
sedikit, hati itu pasti akan dapat ditawan.
“Hal aku dengan kawan aku lah.”
Suaranya sedikit meninggi. Tidak senang bila kehidupan peribadinya mahu
dicerobohi.
“You
know what?” Kening diangkat. Serangan psikologi akan mula dilancarkan. Dia
tahu apa yang patut dilakukan bagi mendiamkan terus lelaki itu.
“What?”
Berkerut dahinya cuba mencari apa yang bakal dituturkan oleh Adra.
“I’m
glad to be your future wife.” Adra tersenyum. Pantas dia berlalu menuju ke
satu sudut yang lain. Jelas dimatanya wajah lelaki itu berubah riak.
“AWAK
tak nak pergi makan ke.” Adra bertanya lembut. Wajah lelaki itu dipandang
sekilas sebelum pandangannya dibawa menjelajah segenap ruang kereta. Nampak
mewah dan exclusive. Dia sendiri
tidak tahu apa jenis nama kenderaan yang sedang dinaikinya. Setiap tahun entah
berapa puluh jenis kereta baru dilancarkan di seluruh dunia, sampaikan dia
sudah tiada rasa ingin mengetahui jenama setiap jenis kenderaan tersebut.
“Kan aku dah cakap yang aku ada hal.
Kau ni faham bahasa ke tidak?”
“Tak. Yang saya tahu awak memang tak
ada hal hari ini. Kan saya dah cakap tadi, uncle dah bagi pelepasan untuk
awak.” Adra senyum segaris.
Mendengar kata-kata Adra membuatkan
dia semakin panas hati. Ayahnya bagaikan sudah tiada kerja. Semua benda hendak
dilaporkan kepada gadis itu. Wajah Adra dipandang menghantar isyarat yang dia
tidak suka kehidupannya dicerobohi.
“If
you don’t believe me, ask him by yourself.” Adra salah faham. Pada
perkiraannya pandangan lelaki itu menghantar maksud yang kata-katanya diragui.
Dia tidak menipu. Memang Tan Sri Hamzah yang memberitahunya. Hari ini mereka
harus menyelesaikan dahulu beberapa perkara. Bahkan pendaftaran kursus
perkahwinan pun belum mereka lakukan.
“Aku percaya memang orang tua tu
yang bagi tahu engkau. Tapi kau bukan sesiapa nak masuk campur dalam hidup
aku.” Kereta meluncur semakin laju. Geram apabila Adra dan ayahnya, bagaikan
mahu menjadi parasit dalam kehidupannya. Mengatur itu ini tanpa persetujuannya
terlebih dahulu. Dia bukannya boneka yang boleh ‘dipeluk’ sesuka hati.
Terdiam Adra mendengar kata-kata
Zafry. Belang lelaki itu semakin kelihatan. Walaupun dia tidak suka, tetapi itu
lebih baik dari dia melihat gaya ‘angel’ sedangkan
dibelakangnya lebih dasyat dari ‘devil.’
Biarlah lelaki itu menjadi diri sendiri. Sekurangnya itu akan lebih mudah untuk
dia mula membentuk jalinan perhubungan bersama lelaki itu. Dia tidak mahu
setelah berkahwin barulah dia tahu bagaimana rupanya seorang Umar Zafry.
“Can
you please slow down the car? Sekarang kita bukan atas litar. Banyak nyawa
awak nak kena jaga. Kalau awak seorang saya tidak kisah.” Adra menegur bila
dirasakan pemanduan lelaki itu semakin merbahaya. Menyelit disana sini. Lagak
umpama dialah pemilik jalan.
“Why?
Are you scared of death?” Zafry ketawa sinis. Semakin laju dia memandu.
Hatinya terasa puas melihat riak ketakutan pada wajah Adra.
“Memang saya takut. Amalan saya
belum cukup banyak, tetapi saya lebih takut untuk awak. Macam mana nak
menghadap mungkar dengan nakir di dalam kubur nanti kalau awak belum
bertaubat?” Puas hatinya dapat menuturkan kata seperti itu. Dia bukanlah
manusia yang diturunkan tanpa nafsu amarah. Sedikit sebanyak kesabarannya
teruji. Tidak suka nyawa dijadikan sebagai bahan mainan.
“Kau rasa kau sudah cukup baik ke
berbanding aku?” Terasa wajahnya bagai ditampar mendengar bicara Adra yang
lantang mengkritik. Dia tidak perlukan seorang lagi penasihat tidak bertauliah.
Cukuplah ayahnya seorang sahaja yang bertindak bagaikan ‘lelaki gila’ yang
menyeru itu ini.
“Saya tak pasti, tapi saya
rasa…mungkin.” Semakin seronok Adra mempermainkan Zafry.
“Apa maksud kau dengan ‘mungkin’
tu?” Perempuan ini memang nak kena. Kalau tidak disebabkan rasa hormatnya yang
masih bersisa, tahulah bagaimana dia mahu mengajar Adra menjadi gadis yang
lebih baik berbicara. Dia pasti akan diamkan gadis itu walau dengan apa cara
sekalipun. Hari ini dia akan lepaskan. Tetapi, tak akan ada lain kali!
“Terpulang pada tafsiran awak.”
Selendang yang membelit kepalanya diperbetulkan sedikit kedudukan apabila
dirasakan kurang selesa.
“Ha lagi satu, boleh tak lepas ni
kalau keluar kau jangan pakai kain kelambu macam ini. Semak mata aku.” Tangan
kirinya dibawa atas dan bawah menunjuk ke arah Adra. Dalam gambar tak adalah
pula gadis itu bertudung. Ini bila berjumpa tutup litup semua benda. Hanya muka
dan tangan itu sahaja yang kelihatan.
“Biar semak dimata awak, jangan
semak dimata Allah.”
“Kau…Arghhh.” Diketuk-ketuk stereng kereta bagi meluahkan rasa amarah
dihati. Adra benar-benar mencabar kesabarannya. Sekarang dia tidak sabar mahu
dijodohkan dengan gadis itu. Setelah mereka berkahwin dia akan pastikan Adra
menelan balik semua kata-katanya.
“MACAM
mana?” Tan Sri Hamzah bertanya. Surat khabar diletakkan di atas meja.
“Apa ayah buat dekat sini?”
Terperanjat Zafry. Tidak menyangka ayahnya berada di dalam rumahnya. Bagaimana
lelaki itu boleh masuk? Kunci kereta disangkut pada satu tempat yang dikhaskan.
Kasut ditanggalkan. Laju kakinya menapak menghampiri ayahnya.
“Kenapa, tak boleh ke?” Tan Sri
Hamzah ketawa sinis. Tahu anaknya terperanjat melihat dia boleh ‘memecah’ masuk
ke dalam condo mewah milik anaknya. Semua itu hanyalah hal kecil yang tidak
sukar untuknya selesaikan.
“Macam mana ayah boleh masuk?” Zafry
melabuhkan tubuh di atas sofa berhadapan dengan ayahnya. Wajah lelaki itu
dipandang meminta jawapan. Semakin hari semakin sukar untuknya menembak akal
seorang lelaki bernama Hamzah. Lelaki itu akan hadir dengan pelbagai kejutan.
Ada kalanya langsung tidak dapat dijangkau oleh akal fikirannya.
“Hal senang Zafry. Kau jangan nak
kusutkan sangat fikiran fikir benda remeh macam itu.” Air kopi yang dibancuh
ketika dia mula melangkah masuk, dicapai. Dihidu aroma harum yang menarik deria
rasanya. Diteguk puas sebelum dia meletakkan kembali ke atas meja kaca
disisinya.
“Ada apa ayah datang sini?” Jam
dinding dijengah. Sudah pukul dua belas lebih. Tidak tahu mengantukkah lelaki
itu? Mujurlah hari ini tiada ‘mangsa’ baru yang dibawa balik. Kalau tidak pasti
riuh jadinya.
“Saja. Rindu anak lelaki kesayangan
ayah.” Tan Sri Hamzah ketawa kecil bagi menutup rasa kecewa dihati bila Zafry
jelas menayang riak wajah meloya mendengar kata-katanya. Dia ingin rapat dengan
anak lelakinya. Mahu menjadi ayah yang disayangi oleh seorang anak. Cumanya,
dia tidak tahu cara yang bagaimankah sesuai digunakan untuk menempatkan diri di
dalam kehidupan Zafry. Apa yang dilakukan serba tidak kena. Bahkan Zafry
semakin menjauhkan diri darinya.
“Kalau ayah nak main teka-teki ayah
teruskan. Saya nak masuk tidur.” Zafry sudah berura-ura mahu bangun.
“Macam mana pertemuan kau dengan
Adra tadi?” Berdebar hati Tan Sri Hamzah menanti jawapan anak terunanya.
Berharap ada yang positif disebalik pertemuan itu.
“Perempuan itu? Saya rasa lebih elok
kalau ayah pilih pelacur saja untuk saya. Sekurang-kurangnya diorang tahu nak
beradap sopan.” Puas hati Zafry dapat meluahkan kata-kata itu kepada ayahnya.
Sakit dihati akibat keletah Adra dirasakan sedikit terubat.
“Kenal-kenal lah dulu. Dah hati kata
tak suka, baik mana pun budak Adra itu, tak adanya kau nak nampak. Kenal dulu
hati budi dia.” Walaupun dia panas hati mendengar kata-kata Zafry tetapi sedaya
upaya dia cuba mengawal perasaan. Tidak mahu adanya lagi pergaduhan yang
tercetus antara mereka.
“Kita batalkanlah rancangan itu.”
Zafry cuba memujuk. Mana tahu kali ini ayahnya bersetuju. Dapatlah dia
melepaskan diri dari bibir berbisa gadis itu.
“Yang itu memang tak akan. Ayah dah
jemput semua orang. Ingat perjanjian kita.”
copyright : Cempaka Rembulan / Idea Kreatif
No comments:
Post a Comment