Saturday, 31 May 2014

Bab 2 : KALAU SAYANG KATALAH SAYANG - FAZUIN AZMAN



MASA aku nak pergi kerja, aku jumpa Puan Hendon di taman miliknya bersebelahan dengan kolam renang. Wanita yang bakal menyambut ulang tahun ke 57 tahun ini kelihatan masih anggun. Badannya langsing dan wajah pan-Asia sangat terselah. Maklum, ayah Puan Hendon berasal dari belah sana.
            “Malia, kejap…” Puan Hendon panggil dengan lembut. Rambut pendek yang disisir rapi menambah lagi keanggunan Puan Hendon.
            “Majlis sambutan Joey…”
            “Maaf auntie, Lia tak boleh hadir sebab Lia dah janji nak balik kampung Zakuan. Mak Zakuan minta balik sebab sekarang ni musim tangkap ikan.” Separuh hati sudah layu. Seperti sedang menghampakan harapan seorang ibu.
            “Oh ya?” Puan Hendon pamer muka kecewa. Aduhai, ini yang tak sanggup tengok.
            “Lia sudah lama janji…” Cari alasan untuk sedapkan hati Puan Hendon.
            “Kalau macam tu nak buat macam mana lagi. Tak apalah. Err, ikan pekasam ada tak?”
            “Memang ada. Mak Zakuan dah buatkan untuk Lia.” Walau berwajah pan-Asia, tapi selera Puan Hendon tetap selera Melayu. Kadang aku pun kalah dengan dia. Dengan sambal petainya, gulai tempoyak. Kalau dengar cerita orang, mesti tak percaya. Tapi aku sudah lama tinggal dengan dia. Jadi, aku tak hairan kalau dia tanya ikan pekasam.
            “Alhamdulilah. Bertuahnya dapat bakal mertua yang baik macam tu.”
            Errk? Apa kes ni? Sudahnya aku senyum saja. “Pergi dulu auntie.”
            “Hati-hati…”
            Sebenarnya siapa jadi menantu Puan Hendon juga beruntung. Dia pun baik. Tak cerewet walaupun Kak Mona si model tu boleh tahan juga songehnya. Dalam banyak perkara aku tahu Puan Hendon lebih suka menjadi pihak berkecuali.
            “Terima kasih auntie…”
            “Kalau boleh fikir balik pasal yang auntie sebut tadi tu…”
            Ini yang aku malas. Walau tak paksa, tapi aku tahu Puan Hendon masih mengharap. Abang Joey ni memang menyusahkan betullah.
            Masa aku tarik pintu kereta, aku dengar suara Kak Mona menjerit panggil salah seorang pembantu rumah yang sedang membantu Puan Hendon sapu daun-daun. Tak jadi aku nak masuk ke dalam kereta sebab suara Kak Mona memang menakutkan. Nak tahu juga kali ni kes apa pulak.  
            “Siapa yang basuh baju aku semalam?” jerit Kak Mona. Dia yang masih dengan baju tidur bertali halus warna merah nampak tidak terurus. Rambut yang mencecah dada nampak kusut masai. Serius, kalau peminat dia nampak pasti terkejut gila. Memang tak ada yang akan percaya itu model Syarifah Mona Syed Bukhari. Mahu orang cakap nenek kebayan.
            “Saya puan…” jawab Kak Hena, salah seorang pembantu rumah warga Indonesia yang baru saja dua tahun bekerja di kediaman Tuan Arshad.
            “Aku suruh basuh pakai tangan bukan!” Terus saja Kak Mona campak baju warna ungu ke muka Kak Hena.
            “Maaf, puan.” Wajah Kak Hena berubah pucat. Kerap benar Kak Mona mengamuk tak tentu pasal.
            “Nanti mama ganti.” Perlahan Puan Hendon bersuara.
            “Itulah mama, baik sangat dengan orang gaji. Sampai orang pijak kepala pun masih nak berlembut. Kalau mama Mona, dah lama kena halau,” marah Kak Mona.
            “Baju boleh kita beli. Tapi pekerja yang baik susah kita nak cari…”
            “Hah, baguslah. Makin lemak nanti semuanya.” Kak Mona bercekak pinggang. Matanya bulat pandang aku.
            “Apa pandang-pandang? Kau pun sama jugak kuli tau tak!” Kak Mona tengking aku. Model berusia 32 tahun itu terus angkat kaki bila nampak Abang Fuad keluar.
            “Kenapa ni?” soal Abang Fuad.
            “You tanyalah mama kesayangan you tu…” balas Kak Mona. Terus dia melangkah sambil hentak kaki.
            “Mama, kenapa suka sangat cari pasal dengan Mona?” soal Abang Fuad.
            Wah, inilah anak akhir zaman. Anak jadi tuan.
            Seperti biasa, Puan Hendon langsung tidak menjawab. Bukan dia takut dengan Abang Fuad tetapi aku tahu Puan Hendon tidak mahu mengeruhkan keadaan.
            “Tolonglah jangan cari masalah dengan Mona. Mama bukan tidak tahu perangai dia macam mana…”
            Aku terus masuk ke dalam kereta sebab tak sanggup nak dengar Abang Fuad berleter. Dan aku tak sanggup melihat Puan Hendon dalam keadaan begitu. Dapat ibu yang baik, anak-anak pula buat perangai. Memang dunia akhir zaman.
            Rasanya aku tahu kenapa Abang Joey tiba-tiba larikan diri.

MASA rehat, Juma ajak jumpa. Dia nak belanja aku makan sempena gaji pertama dia di tempat kerja baru. Sejak habis belajar, entah berapa puluh kerja dia sudah cuba, tapi semuanya tak lama.
            Masa aku sampai di Dina Café, Juma sudah tunggu bersama Anna. Memang dah agak Anna ada sama. Kalau ada Juma mesti ada Anna sekali. Mana boleh tinggal Anna.
            “Kita bertiga aje? Mana yang lain?” Aku tanya.
            “Bengkoklah aku kalau semua aku belanja. Dahlah gaji aku berapa sen sangat,” jawab Juma. Antara kami bertiga, Juma paling besar dan paling garang. Aku tambah lagi, kepala tak berapa nak betul pun ya. Dia suka jadi bos. Satu lagi aku hampir terlupa, Juma sangat kedekut dan berkira.
            Aku terus tengok menu. “Hari ni aku nak makan sedap-sedap.”Aku cakap tanpa tengok muka Juma dan Anna.
            “Sorang tak boleh lebih dari lima puluh ringgit.” Juma keluarkan amaran.
            Aku buat bodoh saja. Bila lagi nak ketuk  Juma.
            “Saya nak makan steak dan juga mushroom spaghetti. Pencuci mulut saya nak cream cheese cracker dan jus epal.” Aku cakap kepada pelayan yang menunggu di tepi meja kami.
            “Amboi, besar sangat ke perut kau nak melantak semua benda tu? Tak padan dengan kecik.”
            “Sebab bukan senang kau nak belanja makan…” Aku senyum jahat.
            “Melampau…” kata Juma sepatah dan dia buat pesanan sama. Begitu juga dengan Anna. Baru aku perasaan Anna tak bercakap dari tadi. Muka dia pun muram.
            “Kau ada jumpa geng lain?” soal Juma sebaik sahaja pelayan tersebut tinggalkan kami.
            “Semalam aku lepak dengan Zakuan.”
            “Lepak ke dating?” Cepat saja Juma teka.
            “Dua-dua sekalilah…” Aku gelak. Suka.
            “Selalu kau jumpa Zakuan?” soal Anna. Lemah saja suara Anna.
            “Selalu jugak.”
            “Kau dengan Zakuan ada apa-apa ke?” Juma korek rahsia. Dah agak, soalan macam tu pasti bakal ditanya.
            “Kawan aje. Mana ada apa-apa.” Aku jawab selamba.
            “Kawan apa kalau selalu jumpa. Berdua pulak tu. Lainlah kalau satu geng.” Juma makin berani buat spekulasi.
            “Dia tak pernah ajak aku pun,” kata Anna perlahan. Bunyi makan sayu saja.
            Aku tak tau nak cakap apa bila Anna cakap macam tu. Sudahnya aku pandang saja pelayan membawa hidangan.
            Masa pelayan letak steak di hadapanku, masa itulah telefon bimbit berbunyi. Cepat aku keluarkan dari dalam beg tangan. Zakuan? Masa ini jugaklah dia nak telefon aku. Sudahlah keadaan agak panas ni.
            “Assalamualaikum…” Dulu-dulu aku beri salam.
            “Waalaikumusalam. Awak kat mana?”
            “Dina  Café. Tak jauh dari ofis awak kan?” Tak nak menipu. Nanti apa pulak kata Anna.
            “Amboi jauhnya makan tengah hari.”
            “Juma belanja. Juma cakap, kalau awak senang marilah join sama…” Saja nak sesakkan nafas Juma. Bukannya selalu.
            “Ya, kejap orang datang…”
            “Okey saya tunggu.” Aku senyum lebar lepas tu dan pandang muka Juma. Muka kawan tu dah jadi asam kecut. Dasar orang kedekut.
            “Zakuan nak join kita…” Aku cakap.
            “Okeylah tu…” balas Juma.
            Aku pandang Anna. Da betulkan rambutnya yang mencecah bahu. Rasa tak sedap hati tiba-tiba. Logiklah kalau aku cemburu. Cemburu kan tandanya sayang.
            “Oh, padanlah kau ajak aku makan kat sini, rupanya dekat dengan ofis Zakuan…” Juma pecah rahsia. Muka Anna pucat tak cukup tanah. Macam tu kisahnya.
            “Kejap lagi dia datang, sampailah hajat kau nak jumpa dia.”Aku panaskan lagi perasaan Anna. Anna terus tutup mulut.
            Aku sambung makan steak. Mushroom spaghetti aku simpan untuk Zakuan.
            Juma pilih makan laksa Singapore dan Anna juga pilih makan spaghetti. Rasanya Anna tahu Zakuan penggemar spaghetti.
            “Hmm, panjang umur dia…”Juma cakap dan aku pusing pandang belakang. Zakuan sudah muncul. Kemas dengan kemeja warna coklat. Nampak segak sangat.
            “Tu dah sampai jejaka idaman kau…” kata Juma kepada Anna. Entah kenapa aku rasa semacam saja bila Juma cakap macam tu. Rasa cemburu menggila datang. Kenapa sebut nama Anna, sedang semua orang tahu aku lebih rapat dengan Zakuan.  
            “Assalamualaikum.” Zakuan beri salam dan duduk bersebelahan denganku.
            “Waalaikumusalam.” Aku biarkan Juma dan Anna saja yang jawab sebab aku sudah kerap benar menjawab salam Zakuan.
            “Awak makan semua  ni?” Zakuan bulat mata. Terkejut gamaknya melihat apa yang terhidang di hadapanku.
            “Spaghetti tu untuk awak…”
            “Macam tahu-tahu saja orang suka spaghetti…”
            “Tahu dah…”Aku jawab selamba. Mujur Zakuan datang, kalau tidak susah jugak aku nak habiskan.
            “Tak kenal maka tak cintakan…” balas Zakuan.
            Jantung sambung terbelah jadi dua. Melayang-layang semula jiwaku. Kalau hanya kami berdua memang tak kisah. Ini Juma dan Anna ada sama.
            Kemudian Zakuan panggil pelayan. “Saya nak air suam,” kata Zakuan selepas itu.
            “Lama tak nampak.”Juma mulakan perbualan.
            “Masih ada. Korang saja yang tak ada masa nak jumpa,” balas Zakuan. Aku tunggu juga kalau-kalau Anna bercakap. Tapi Anna diam seribu bahasa.
Zakuan makan spaghetti selepas itu. Juma dan Anna tutup mulut. Masing-masing senyap.
            “Sayang…” Zakuan panggil dan aku pandang. Masa tu rasa jantung terhenti beberapa saat.
            Mabuk todi ke Zakuan ni. Tengah hari buta panggil sayang. Spaghetti yang siap dipusing pada garfu dia sua ke mulut. Cepat aku buka mulut. Bukan senang untuk dapat suapan dari Zakuan. Serius, ini memang kerja gila.
            Dan lebih gila bila Zakuan sapu bibir dengan tisu.
            “Wei, kita orang tak nak tengok drama, okey.” Juma sound depan-depan.
            “Sorry, aku dengan Lia, memang selalu macam ni…” balas Zakuan. Menipu sangatlah tu. Mana pernah suap aku makan dan mana pernah sapu bibir aku macam tu.
            “Amboi, bukan main lagi…” Juma sengih gatal.
            Aku berlagak biasa. Sambung makan steak. Kenapa aku rasa sos steak  rasa macam gula campur madu saja? Tak rasa lada hitam langsung? Apa pulak masalahnya ni? Deria rasa benar-benar jadi tak betul.
            Masa aku angkat muka pandang Anna, dia tunduk dan aku nampak ada titis jernih pada tubir mata. Anna menangis? Tiba-tiba rasa bersalah datang menyerbu. Bukan tidak tahu tentang perasaan Anna, tapi kenapa jadi juga begini.
            Suasana sepi seketika dan aku masih diburu rasa bersalah yang amat sangat. Cuba meletakkan diri sendiri di tempat Anna, tentu rasa kecewa dari segala kecewa bila jejaka idaman hati terang-terang tidak suka.
            “Sayang…” Zakuan panggil.
            “Ya…” Ya Rabbi, kenapa gatal menyahut. Cepat aku toleh pandang Zakuan. Nampak dia senyum jahat. Gila awak Zakuan.
            “Boleh orang makan tu…” Dia tunjuk cream cheese cracker.
            “Makanlah…” Tahu dia memang suka.
            “Terima kasih…” Zakuan tak ambil piring pencuci mulut tu, sebaliknya ambil gelas berisi jus epal. Sedang air kosong yang dia pesan memang sudah terletak di tepi pinggannya.
            Tinggal separuh baru dia letak semula dan tarik piring cream cheese cracker. “Barulah selesa nak berbual bila perut kenyang. Hmm, korang macam mana sekarang?”
            “Kita orang macam biasa ajelah. Kau tu bila lagi?” soal Juma.
            “Kita orang tak lama lagi kut.” Zakuan paut bahuku.
            Tersedak aku jadinya. Jawapan satu hal. Main-main paut bahu satu hal. Entah babak sinetron mana dia tiru. Mahu tak tersedak. Tersedak sos lada hitam ni wei!
            Cepat Zakuan hulur gelas air kosong. Bukan saja rasa perit di kerongkong, tapi rasa macam ada tak kena saja.
            Zakuan gelak perlahan selepas itu. “Jahat!” Aku tampar bahu Zakuan perlahan.
            Zakuan gelak juga sambil pandang aku.
            “Aku pergi dululah.” Akhirnya Anna bersuara juga. Dia bangkit dan terus tinggalkan kami.
            “Aku pun nak pergi kerja. Zakuan kau tolong bayar semua ni. Nanti aku bayar kat kau.”Juma juga bangkit. Dia kejar Anna selepas itu.
            “Awak ni… Tengok, tak pasal-pasal kena bayar.”
            “Ah, orang tak kisah pun.”
            “Mabuk todi ke tiba-tiba panggil sayang?”
            “Saja, memang lama dah nak panggil. Kebetulan hari ni masa yang sesuai.”
            “Awak sekadar nak buat Anna kecewa bukan? Bukannya saya tak tahu…”Aku sambung makan. Mahu habiskan hidanganku.
            “Tak jugak. Memang nak panggil. Sekarang ni bolehlah panggil sayang selalu kan.”
            “Jangan nak mengada. Buat malu aje kalau orang dengar.”
            “Nak malukan apa. Bukan kena dakwa pun kalau panggil sayang…”
            Malas nak layan. Tapi yang sebenarnya aku pun suka dia panggil aku sayang. Berbunga-bunga perasaan bila ada yang panggil sayang.
            Zakuan juga sambung makan. Kami tidak bercakap sekejap. Masa itulah aku teringat Anna. Sah Anna marah. Kalau tidak, tak kan dia pergi macam tu saja. Tapi dia tak boleh salahkan aku sebab bukan aku yang buat perangai. Zakuan yang gatal sebut perkataan tu.
            “Sayang…”
            “A’ah…”
            Aduhai, apsal menyahut pulak ni. Malunya.
            Badan Zakuan sudah bergoyang menahan ketawa. Saja aje nak kenakan aku rupanya.
            “Awak…!” Aku bulatkan mata sambil pandang Zakuan.
            “Apa…?” soal Zakuan. Dia pusing spaghetti dan sumbat ke mulutku. Spontan saja aku buka mulut.
            “Tak boleh nak panggil sayang?”
            “Melampau!”Aku cakap dengan mulut penuh.
            Zakuan tak jawab tapi dia senyum jahat.
            “Lain kali jangan buat macam ni lagi tau. Kesian Anna. Sekalipun awak tak suka dia, tapi janganlah sakitkan hati dia macam tu sekali.”
            “Orang peliklah. Tak kan dia tak faham orang tak sukakan dia. Dia dah tahu kita rapat berdua, lepas tangan ajelah. Orang ni bukannya segak. Bukan sama taraf dia pun. Nanti kalau keluarga dia tak suka orang, jadi macam antara dua darjat pulak.” Zakuan mula membebel.
            “Awak, kalau dah sayang, apa kira. Nasi lemak buah bidara, sayang selasih saya lurutkan, buang emak buang saudara. Kerana kasih saya turutkan.” Aku berpantun.
            Zakuan jeling aku. “Tanam-tanam pokok di taman. Tanam durian, eh buahnya rambutan. Dari jauh kulihat makwe berjalan. Sudah dekat rupanya orang utan.”
            Aku gelak kuat. “Wei, tak ada kena mengena…”
            “Asal pantun sudah!”
            “Menyampah!”

            Malas nak cakap lagi. Baik sambung makan. 


No comments:

Post a Comment