MASA
aku nak pergi kerja, aku jumpa Puan Hendon di taman miliknya bersebelahan
dengan kolam renang. Wanita yang bakal menyambut ulang tahun ke 57 tahun ini
kelihatan masih anggun. Badannya langsing dan wajah pan-Asia sangat terselah.
Maklum, ayah Puan Hendon berasal dari belah sana.
“Malia, kejap…” Puan Hendon panggil
dengan lembut. Rambut pendek yang disisir rapi menambah lagi keanggunan Puan
Hendon.
“Majlis sambutan Joey…”
“Maaf auntie, Lia tak boleh hadir
sebab Lia dah janji nak balik kampung Zakuan. Mak Zakuan minta balik sebab
sekarang ni musim tangkap ikan.” Separuh hati sudah layu. Seperti sedang
menghampakan harapan seorang ibu.
“Oh ya?” Puan Hendon pamer muka
kecewa. Aduhai, ini yang tak sanggup tengok.
“Lia sudah lama janji…” Cari alasan
untuk sedapkan hati Puan Hendon.
“Kalau macam tu nak buat macam mana
lagi. Tak apalah. Err, ikan pekasam ada tak?”
“Memang ada. Mak Zakuan dah buatkan
untuk Lia.” Walau berwajah pan-Asia, tapi selera Puan Hendon tetap selera
Melayu. Kadang aku pun kalah dengan dia. Dengan sambal petainya, gulai
tempoyak. Kalau dengar cerita orang, mesti tak percaya. Tapi aku sudah lama
tinggal dengan dia. Jadi, aku tak hairan kalau dia tanya ikan pekasam.
“Alhamdulilah. Bertuahnya dapat
bakal mertua yang baik macam tu.”
Errk? Apa kes ni? Sudahnya aku
senyum saja. “Pergi dulu auntie.”
“Hati-hati…”
Sebenarnya siapa jadi menantu Puan
Hendon juga beruntung. Dia pun baik. Tak cerewet walaupun Kak Mona si model tu
boleh tahan juga songehnya. Dalam banyak perkara aku tahu Puan Hendon lebih
suka menjadi pihak berkecuali.
“Terima kasih auntie…”
“Kalau boleh fikir balik pasal yang
auntie sebut tadi tu…”
Ini yang aku malas. Walau tak paksa,
tapi aku tahu Puan Hendon masih mengharap. Abang Joey ni memang menyusahkan
betullah.
Masa aku tarik pintu kereta, aku
dengar suara Kak Mona menjerit panggil salah seorang pembantu rumah yang sedang
membantu Puan Hendon sapu daun-daun. Tak jadi aku nak masuk ke dalam kereta
sebab suara Kak Mona memang menakutkan. Nak tahu juga kali ni kes apa pulak.
“Siapa yang basuh baju aku semalam?”
jerit Kak Mona. Dia yang masih dengan baju tidur bertali halus warna merah
nampak tidak terurus. Rambut yang mencecah dada nampak kusut masai. Serius,
kalau peminat dia nampak pasti terkejut gila. Memang tak ada yang akan percaya
itu model Syarifah Mona Syed Bukhari. Mahu orang cakap nenek kebayan.
“Saya puan…” jawab Kak Hena, salah
seorang pembantu rumah warga Indonesia yang baru saja dua tahun bekerja di
kediaman Tuan Arshad.
“Aku suruh basuh pakai tangan
bukan!” Terus saja Kak Mona campak baju warna ungu ke muka Kak Hena.
“Maaf, puan.” Wajah Kak Hena berubah
pucat. Kerap benar Kak Mona mengamuk tak tentu pasal.
“Nanti mama ganti.” Perlahan Puan
Hendon bersuara.
“Itulah mama, baik sangat dengan
orang gaji. Sampai orang pijak kepala pun masih nak berlembut. Kalau mama Mona,
dah lama kena halau,” marah Kak Mona.
“Baju boleh kita beli. Tapi pekerja
yang baik susah kita nak cari…”
“Hah, baguslah. Makin lemak nanti
semuanya.” Kak Mona bercekak pinggang. Matanya bulat pandang aku.
“Apa pandang-pandang? Kau pun sama
jugak kuli tau tak!” Kak Mona tengking aku. Model berusia 32 tahun itu terus
angkat kaki bila nampak Abang Fuad keluar.
“Kenapa ni?” soal Abang Fuad.
“You tanyalah mama kesayangan you
tu…” balas Kak Mona. Terus dia melangkah sambil hentak kaki.
“Mama, kenapa suka sangat cari pasal
dengan Mona?” soal Abang Fuad.
Wah, inilah anak akhir zaman. Anak
jadi tuan.
Seperti biasa, Puan Hendon langsung
tidak menjawab. Bukan dia takut dengan Abang Fuad tetapi aku tahu Puan Hendon
tidak mahu mengeruhkan keadaan.
“Tolonglah jangan cari masalah
dengan Mona. Mama bukan tidak tahu perangai dia macam mana…”
Aku terus masuk ke dalam kereta
sebab tak sanggup nak dengar Abang Fuad berleter. Dan aku tak sanggup melihat
Puan Hendon dalam keadaan begitu. Dapat ibu yang baik, anak-anak pula buat
perangai. Memang dunia akhir zaman.
Rasanya aku tahu kenapa Abang Joey tiba-tiba
larikan diri.
MASA
rehat, Juma ajak jumpa. Dia nak belanja aku makan sempena gaji pertama dia di
tempat kerja baru. Sejak habis belajar, entah berapa puluh kerja dia sudah
cuba, tapi semuanya tak lama.
Masa aku sampai di Dina Café, Juma
sudah tunggu bersama Anna. Memang dah agak Anna ada sama. Kalau ada Juma mesti
ada Anna sekali. Mana boleh tinggal Anna.
“Kita bertiga aje? Mana yang lain?”
Aku tanya.
“Bengkoklah aku kalau semua aku
belanja. Dahlah gaji aku berapa sen sangat,” jawab Juma. Antara kami bertiga,
Juma paling besar dan paling garang. Aku tambah lagi, kepala tak berapa nak
betul pun ya. Dia suka jadi bos. Satu lagi aku hampir terlupa, Juma sangat
kedekut dan berkira.
Aku terus tengok menu. “Hari ni aku
nak makan sedap-sedap.”Aku cakap tanpa tengok muka Juma dan Anna.
“Sorang tak boleh lebih dari lima
puluh ringgit.” Juma keluarkan amaran.
Aku buat bodoh saja. Bila lagi nak
ketuk Juma.
“Saya nak makan steak dan juga
mushroom spaghetti. Pencuci mulut saya nak cream cheese cracker dan jus epal.” Aku
cakap kepada pelayan yang menunggu di tepi meja kami.
“Amboi, besar sangat ke perut kau
nak melantak semua benda tu? Tak padan dengan kecik.”
“Sebab bukan senang kau nak belanja
makan…” Aku senyum jahat.
“Melampau…” kata Juma sepatah dan
dia buat pesanan sama. Begitu juga dengan Anna. Baru aku perasaan Anna tak
bercakap dari tadi. Muka dia pun muram.
“Kau ada jumpa geng lain?” soal Juma
sebaik sahaja pelayan tersebut tinggalkan kami.
“Semalam aku lepak dengan Zakuan.”
“Lepak ke dating?” Cepat saja Juma
teka.
“Dua-dua sekalilah…” Aku gelak.
Suka.
“Selalu kau jumpa Zakuan?” soal
Anna. Lemah saja suara Anna.
“Selalu jugak.”
“Kau dengan Zakuan ada apa-apa ke?”
Juma korek rahsia. Dah agak, soalan macam tu pasti bakal ditanya.
“Kawan aje. Mana ada apa-apa.” Aku
jawab selamba.
“Kawan apa kalau selalu jumpa.
Berdua pulak tu. Lainlah kalau satu geng.” Juma makin berani buat spekulasi.
“Dia tak pernah ajak aku pun,” kata
Anna perlahan. Bunyi makan sayu saja.
Aku tak tau nak cakap apa bila Anna
cakap macam tu. Sudahnya aku pandang saja pelayan membawa hidangan.
Masa pelayan letak steak di
hadapanku, masa itulah telefon bimbit berbunyi. Cepat aku keluarkan dari dalam
beg tangan. Zakuan? Masa ini jugaklah dia nak telefon aku. Sudahlah keadaan
agak panas ni.
“Assalamualaikum…” Dulu-dulu aku
beri salam.
“Waalaikumusalam. Awak kat mana?”
“Dina Café. Tak jauh dari ofis awak kan?” Tak nak
menipu. Nanti apa pulak kata Anna.
“Amboi jauhnya makan tengah hari.”
“Juma belanja. Juma cakap, kalau
awak senang marilah join sama…” Saja
nak sesakkan nafas Juma. Bukannya selalu.
“Ya, kejap orang datang…”
“Okey saya tunggu.” Aku senyum lebar
lepas tu dan pandang muka Juma. Muka kawan tu dah jadi asam kecut. Dasar orang
kedekut.
“Zakuan nak join kita…” Aku cakap.
“Okeylah tu…” balas Juma.
Aku pandang Anna. Da betulkan
rambutnya yang mencecah bahu. Rasa tak sedap hati tiba-tiba. Logiklah kalau aku
cemburu. Cemburu kan tandanya sayang.
“Oh, padanlah kau ajak aku makan kat
sini, rupanya dekat dengan ofis Zakuan…” Juma pecah rahsia. Muka Anna pucat tak
cukup tanah. Macam tu kisahnya.
“Kejap lagi dia datang, sampailah
hajat kau nak jumpa dia.”Aku panaskan lagi perasaan Anna. Anna terus tutup
mulut.
Aku sambung makan steak. Mushroom
spaghetti aku simpan untuk Zakuan.
Juma pilih makan laksa Singapore dan
Anna juga pilih makan spaghetti. Rasanya Anna tahu Zakuan penggemar spaghetti.
“Hmm, panjang umur dia…”Juma cakap
dan aku pusing pandang belakang. Zakuan sudah muncul. Kemas dengan kemeja warna
coklat. Nampak segak sangat.
“Tu dah sampai jejaka idaman kau…”
kata Juma kepada Anna. Entah kenapa aku rasa semacam saja bila Juma cakap macam
tu. Rasa cemburu menggila datang. Kenapa sebut nama Anna, sedang semua orang
tahu aku lebih rapat dengan Zakuan.
“Assalamualaikum.” Zakuan beri salam
dan duduk bersebelahan denganku.
“Waalaikumusalam.” Aku biarkan Juma
dan Anna saja yang jawab sebab aku sudah kerap benar menjawab salam Zakuan.
“Awak makan semua ni?” Zakuan bulat mata. Terkejut gamaknya
melihat apa yang terhidang di hadapanku.
“Spaghetti tu untuk awak…”
“Macam tahu-tahu saja orang suka
spaghetti…”
“Tahu dah…”Aku jawab selamba. Mujur
Zakuan datang, kalau tidak susah jugak aku nak habiskan.
“Tak kenal maka tak cintakan…” balas
Zakuan.
Jantung sambung terbelah jadi dua.
Melayang-layang semula jiwaku. Kalau hanya kami berdua memang tak kisah. Ini
Juma dan Anna ada sama.
Kemudian Zakuan panggil pelayan.
“Saya nak air suam,” kata Zakuan selepas itu.
“Lama tak nampak.”Juma mulakan
perbualan.
“Masih ada. Korang saja yang tak ada
masa nak jumpa,” balas Zakuan. Aku tunggu juga kalau-kalau Anna bercakap. Tapi
Anna diam seribu bahasa.
Zakuan
makan spaghetti selepas itu. Juma dan Anna tutup mulut. Masing-masing senyap.
“Sayang…” Zakuan panggil dan aku
pandang. Masa tu rasa jantung terhenti beberapa saat.
Mabuk todi ke Zakuan ni. Tengah hari
buta panggil sayang. Spaghetti yang siap dipusing pada garfu dia sua ke mulut.
Cepat aku buka mulut. Bukan senang untuk dapat suapan dari Zakuan. Serius, ini
memang kerja gila.
Dan lebih gila bila Zakuan sapu
bibir dengan tisu.
“Wei, kita orang tak nak tengok
drama, okey.” Juma sound depan-depan.
“Sorry, aku dengan Lia, memang
selalu macam ni…” balas Zakuan. Menipu sangatlah tu. Mana pernah suap aku makan
dan mana pernah sapu bibir aku macam tu.
“Amboi, bukan main lagi…” Juma
sengih gatal.
Aku berlagak biasa. Sambung makan
steak. Kenapa aku rasa sos steak rasa
macam gula campur madu saja? Tak rasa lada hitam langsung? Apa pulak masalahnya
ni? Deria rasa benar-benar jadi tak betul.
Masa aku angkat muka pandang Anna,
dia tunduk dan aku nampak ada titis jernih pada tubir mata. Anna menangis? Tiba-tiba
rasa bersalah datang menyerbu. Bukan tidak tahu tentang perasaan Anna, tapi
kenapa jadi juga begini.
Suasana sepi seketika dan aku masih
diburu rasa bersalah yang amat sangat. Cuba meletakkan diri sendiri di tempat
Anna, tentu rasa kecewa dari segala kecewa bila jejaka idaman hati terang-terang
tidak suka.
“Sayang…” Zakuan panggil.
“Ya…” Ya Rabbi, kenapa gatal
menyahut. Cepat aku toleh pandang Zakuan. Nampak dia senyum jahat. Gila awak
Zakuan.
“Boleh orang makan tu…” Dia tunjuk
cream cheese cracker.
“Makanlah…” Tahu dia memang suka.
“Terima kasih…” Zakuan tak ambil
piring pencuci mulut tu, sebaliknya ambil gelas berisi jus epal. Sedang air
kosong yang dia pesan memang sudah terletak di tepi pinggannya.
Tinggal separuh baru dia letak
semula dan tarik piring cream cheese cracker. “Barulah selesa nak berbual bila
perut kenyang. Hmm, korang macam mana sekarang?”
“Kita orang macam biasa ajelah. Kau
tu bila lagi?” soal Juma.
“Kita orang tak lama lagi kut.”
Zakuan paut bahuku.
Tersedak aku jadinya. Jawapan satu
hal. Main-main paut bahu satu hal. Entah babak sinetron mana dia tiru. Mahu tak
tersedak. Tersedak sos lada hitam ni wei!
Cepat Zakuan hulur gelas air kosong.
Bukan saja rasa perit di kerongkong, tapi rasa macam ada tak kena saja.
Zakuan gelak perlahan selepas itu.
“Jahat!” Aku tampar bahu Zakuan perlahan.
Zakuan gelak juga sambil pandang
aku.
“Aku pergi dululah.” Akhirnya Anna
bersuara juga. Dia bangkit dan terus tinggalkan kami.
“Aku pun nak pergi kerja. Zakuan kau
tolong bayar semua ni. Nanti aku bayar kat kau.”Juma juga bangkit. Dia kejar
Anna selepas itu.
“Awak ni… Tengok, tak pasal-pasal
kena bayar.”
“Ah, orang tak kisah pun.”
“Mabuk todi ke tiba-tiba panggil
sayang?”
“Saja, memang lama dah nak panggil.
Kebetulan hari ni masa yang sesuai.”
“Awak sekadar nak buat Anna kecewa
bukan? Bukannya saya tak tahu…”Aku sambung makan. Mahu habiskan hidanganku.
“Tak jugak. Memang nak panggil.
Sekarang ni bolehlah panggil sayang selalu kan.”
“Jangan nak mengada. Buat malu aje
kalau orang dengar.”
“Nak malukan apa. Bukan kena dakwa
pun kalau panggil sayang…”
Malas nak layan. Tapi yang
sebenarnya aku pun suka dia panggil aku sayang. Berbunga-bunga perasaan bila
ada yang panggil sayang.
Zakuan juga sambung makan. Kami
tidak bercakap sekejap. Masa itulah aku teringat Anna. Sah Anna marah. Kalau
tidak, tak kan dia pergi macam tu saja. Tapi dia tak boleh salahkan aku sebab
bukan aku yang buat perangai. Zakuan yang gatal sebut perkataan tu.
“Sayang…”
“A’ah…”
Aduhai, apsal menyahut pulak ni.
Malunya.
Badan Zakuan sudah bergoyang menahan
ketawa. Saja aje nak kenakan aku rupanya.
“Awak…!” Aku bulatkan mata sambil
pandang Zakuan.
“Apa…?” soal Zakuan. Dia pusing
spaghetti dan sumbat ke mulutku. Spontan saja aku buka mulut.
“Tak boleh nak panggil sayang?”
“Melampau!”Aku cakap dengan mulut
penuh.
Zakuan tak jawab tapi dia senyum
jahat.
“Lain kali jangan buat macam ni lagi
tau. Kesian Anna. Sekalipun awak tak suka dia, tapi janganlah sakitkan hati dia
macam tu sekali.”
“Orang peliklah. Tak kan dia tak
faham orang tak sukakan dia. Dia dah tahu kita rapat berdua, lepas tangan
ajelah. Orang ni bukannya segak. Bukan sama taraf dia pun. Nanti kalau keluarga
dia tak suka orang, jadi macam antara dua darjat pulak.” Zakuan mula membebel.
“Awak, kalau dah sayang, apa kira.
Nasi lemak buah bidara, sayang selasih saya lurutkan, buang emak buang saudara.
Kerana kasih saya turutkan.” Aku berpantun.
Zakuan jeling aku. “Tanam-tanam
pokok di taman. Tanam durian, eh buahnya rambutan. Dari jauh kulihat makwe
berjalan. Sudah dekat rupanya orang utan.”
Aku gelak kuat. “Wei, tak ada kena
mengena…”
“Asal pantun sudah!”
“Menyampah!”
Malas nak cakap lagi. Baik sambung
makan.
No comments:
Post a Comment