Sunday, 15 June 2014

Bab 6 : KALAU SAYANG KATALAH SAYANG - Fazuin Azman


ZAKUAN telefon masa aku tunggu mesin basuh. Dua hari tak basuh baju. Mesin basuh yang terletak di hujung dapur kediaman mewah itu sebenarnya jarang aku guna. Selalu cuci pakai tangan saja, tapi kali ni terlebih sudah dan penyakit malas aku datang, aku gunakanlah kemudahan yang ada.
            “Awak dah makan?” soalku.
            “Kejaplah. Nak dengar suara awak dulu…”
            “Dengar suara saya boleh kenyang ke?” soalku. Senyum lebar. Sebenarnya dengar suara dia saja aku rasa perut jadi penuh.
            “Masa tengah dengar tu memang boleh kenyang, tapi dah tak dengar lapar balik.”
            Aku tergelak. Memang lawak Zakuan ni. “Ada-ada awak ni…”
            “Awak tahu tak?” Dia tanya.
            “Tak tahu…”
            “Orang belum cakap lagi apa bendanya terus aje sebut tak tahu. Nampak sangat tak berminat nak tahu.”
            “Awak, serius tak tahu ni…” balasku manja.  
            “Sayang, lain kali dengarlah cakap orang sampai habis dulu…”
            Aduhai, rasa macam melayang-layang saja bila dia panggil sayang. Sejak akhir-akhir ini suka sangat panggil sayang sampai tersasul depan orang tua.
            “Okey, okey. Apa bendanya?”
            “Mak orang memang betul-betul suka awak. Baru lepas telefon dia cakap kita dah selamat sampai. Benda yang sama dia cakap. Penat orang nak dengar. Asyik sebut suka awak aje…”
            Yes! Rasa nak melompat. Mak orang saja sukakan kita? Habis orang tu tak suka ke? Cakap saja sekali perkataan suka tu, kejap ini jugak aku ajak pergi beli cincin. Kalau tak cukup duit, aku sanggup kongsi.
            “Terima kasih. Saya pun suka sangat dengan mak awak. Bukan mak awak saja. Ayah awak, kakak awak, rumah awak, kampung awak. Semua saya suka. Harap nanti saya bolehlah pergi sana selalu.”
            “Jadi harap nanti tak adalah masalah dengan mak orang ya.” 
            “Memang saya tak ada masalah pun dengan mak awak. Saya suka. Harap dia akan sayang saya lebih dari dia sayang awak.” Melebih sangat ke permintaanku? Taklah. Zakuan sudah 28 tahun hidup bersama kasih sayang Mak Cik Midah. Aku baru saja hendak menumpang sayang. Jadi permintaanku tidaklah terlalu besar.
            “Melampau, tapi tak kisah kalau dia lebih sayangkan awak. Awak yang nak temankan dia di dapur nanti bukan, jadi memang patutlah dia lebih sayangkan awak.”
            “Awak tetap anak dia…”
            “Mana sama kasih sayang seorang anak dengan menantu.”
            Menantu? Zakuan sebut menantu? Ah! sukanya. Zakuan dah bagi kata laluan ke?
            “Orang nampak awak serasi sangat dengan mak orang. Rasanya memang orang tak salah bawa calon orang rumah.” Zakuan sambung bercakap bila aku terkelu selepas mendengar perkataan menantu.
            Tak tahu nak cakap apa. Masih kelu.
            “Okeylah awak. Saya dah selesai mesin kain ni. Nak sidai pulak. Nanti kita sambung.” Cepat saja aku mengelak. Tak nak dengar Zakuan merepek. Sayanglah, menantulah, orang rumahlah. Tapi tak pula beritahu sukakan aku. Geram saja…
            “Okey awak. Nanti kita berbual lagi. Emm, orang harap sangat malam ni dapat mimpikan awak.”
            “Betul ke nak mimpikan saya?”
            “Nak mimpikan awak pakai bikini dan bersantai tepi pantai.”
            “Gila awak Zakuan!” Aku separuh menjerit. Memang terkejut mendengar kata-kata Zakuan. Walau dengan nada bergurau tetapi agak melampau. Dia mana pernah merepek sampai macam tu sekali.
            Zakuan ketawa di hujung talian. “Taklah, saya mahu mimpikan awak dengan sepasang persalinan pengantin dan mesti awak cantik sangat.”
            “Sebab saya memang cantik.” Giliran aku pula ketawa.
            “Ya, awak memang cantik.”
            “Tahu tak apa…” Aku gelak lagi. Masa itulah aku terpandang Abang Joey yang sedang berdiri tegak di sebelah kabinet dapur. Tajam renungannya.
            “Assalamualaikum. Selamat malam,” kata Zakuan di hujung talian.
            “Walaikumusalam. Selamat malam awak…” Selepas itu aku tutup telefon bimbit dan masukkan ke dalam poket seluar. Tanpa pedulikan Abang Joey, aku terus keluarkan semua pakaianku di dalam mesin basuh dan letak ke dalam bakul pakaian.
            “Bukan main lagi…” kata Abang Joey waktu aku bawa bakul pakaian keluar. Aku tak jawab sebabnya malas nak bertekak. Baru saja jumpa dah macam-macam. Buat sakit hati aje.
            Aku ke tempat menyidai pakaian. Walaupun malam, tempat tersebut memang tertutup. Esok pagi takut tak sempat memandang esok aku kerja. Nak harap mak ngah kesian dia nanti. Dia sudahlah banyak kerja.
            “Siapa yang call tadi?” soal Abang Joey. Macam tak puas hati saja. Tanya pun serupa samseng. Ingat aku takut ke? Sikit tak takut sebab aku tak buat salah apa-apa.
            “Bakal suami,” jawabku selamba. Saja mahu sakitkan hati Abang Joey.
            “Siapa yang izinkan cari bakal suami?” soal Abang Joey lagi.
            “Lia dah dua puluh enam tahun. Selayaknya Lia bersuami sekarang ni. Lia nak tunggu apa lagi. Lia pun perlukan seorang teman untuk menemani Lia. Lia pun mahu memiliki keluarga Lia sendiri. Lia tak nak jadi macam mak ngah!” Aku pandang muka Abang Joey dengan perasaan geram. Banyak tanya pula Abang Joey ni.
            “Abangkan ada. Abang akan temankan Lia. Seumur hidup abang sanggup temankan Lia. Itu pun Lia tak faham ke? Masih jugak nak cari orang lain!”  
            Geramnnya…
            “Abang faham ke tidak apa yang Lia cakap ni? Lia perlukan seorang suami bukan setakat seorang teman. Suami! Kalau setakat nak temankan Lia, jangan kata abang, kawan Lia pun ramai. Lia perlukan seseorang yang boleh Lia bergantung harap!” Suara sedikit kuat sebab angin tak berapa baik sudah datang. Boleh lagi dia cakap macam tu. Cakap serupa budak-budak saja.
Aku terus sidai baju. Abang Joey sudah diam di tepi. Tapi aku tahu dia sedang perhatikan aku. Diam tu maknanya sedang cari sebab nak bertekak lagi. Bukan aku tak tahu  perangai buruk Abang Joey.
            “Lia tahu tak…” Tiba-tiba Abang Joey bersuara.
            “Tak tahu!” Aku jawab terus. Kenapa lelaki suka sangat cakap macam tu? Macamlah orang perempuan ni ada kuasa magik yang boleh baca fikiran mereka. Memang tak faham betullah.
            “Abang belum lagi beritahu…” balas Abang Joey.
            “Sebab memang Lia tak tahu.”Aku jawab dan pandang lagi muka Abang Joey.
            “Abang rindukan Lia… Serius.”
            “Berapa kali nak cakap? Sekali cukuplah. Lia tahu abang rindukan Lia. Walau abang sebut berjuta kali pun, keadaan tetap sama. Lia tak rindukan abang.” Muak sebenarnya nak dengar banyak kali perkataan yang sama.
            “Mana tahu yang tadi Lia tak dengar.”
            “Lia dengar. Bukannya Lia pekak.”
            “Memang Lia tak pekak, tapi Lia tak faham rindu tu apa…”
            “Lia fahamlah!” Kuat sudah suaraku.
            “Kalau faham kenapa tak rindukan abang?”
            “Sebab rindu mana boleh main paksa-paksa. Serupa jugak dengan perasaan suka. Mana boleh paksa orang lain sukakan kita!” Rasanya Abang Joey memang tak faham apa yang aku cakap.
Wajah Abang Joey berubah. Paksa aku rindukan dia pulak. Gila ke?
“Sikit pun tidak?”
“Penting sangat ke perasaan rindu Lia terhadap abang? Kalau Lia tak rindukan abang, abang tak serupa orang? Atau abang balik Malaysia ni sekadar nak tanya pasal benda bodoh tu saja? Jangan terlalu kebudak-budakkan lah bang.” Marah sudah.
“Sampai bila Lia nak layan abang macam ni? Apa buruk sangat ke ke perangai abang? Abang ingatkan tiga tahun kita berpisah, perasaan Lia terhadap abang akan berubah.”
“Layan macam mana? Lia tak faham.”
 Abang Joey tarik tanganku. “Abang, apa ni…” Terkejut juga dengan perlakuan Abang Joey.
“Abang tanya Lia dengan cara baik, boleh tak Lia jawab dengan cara baik sama? Bangsat sangat ke abang ni?” soal dengan muka yang bengis.
Aku tak takut. Tak ada sebab untuk aku takut. Tapi cara abang Joey memang melampau. Sikit punya hal, dia boleh naik angin sampai macam tu sekali.
“Lepaslah!” Aku tolak Abang Joey.
“Abang nak Lia layan abang macam mana lagi? Abang sendiri tahukan hubungan kita macam mana. Kalau abang sendiri tak pernah layan Lia dengan baik, perlu ke Lia layan abang dengan baik?” Aku lawan balik.
“Benci sangat ke Lia pada abang sampai tak ada ruang untuk kita berbaik macam dulu?”
“Dulu kita bukan baik, dulu sebab Lia tak tahu apa-apa. Dunia Lia hanya ada abang. Abang yang mengusai kehidupan Lia. Tapi dalam masa tiga tahun ni baru Lia sedar, dunia Lia lebih bermakna tanpa abang.”
Kerja menyidai selesai dan aku juga sudah selesai dengan Abang Joey. Tapi itu hanya buat sementara sahaja dan aku aku pasti aku dengan Abang Joey tak akan selesai sampai bila-bila. Aku pasti sangat tentang itu.
“Lia,  abang tak habis cakap lagi!” Abang Joey tarik tanganku semula. 
“Apa lagi?”
“Abang tak suka kita macam ni. Kita bukan budak-budak lagi.”
“Lia tahu kita bukan budak-budak lagi. Tiga tahun lepas pun kita bukan budak-budak jugak, tapi keadaannya tetap sama. Abang masih macam ni. Jadi apa yang tidak berubah tentang kita. Tetap sama. Dan kalau abang tak ubah perangai abang, keadaan tetap sama!”
Malas nak layan Abang Joey. “Abang jangan cuba nak tahan Lia lagi. Kalau tidak Lia jerit panggil semua orang. Lia mintak tolong sangat-sangat. Tolong jangan kacau Lia. Lia ada jalan Lia sendiri yang harus Lia laluli.”
Aku sambung jalan.
“Dan abang harap, abang akan jalan bersama dengan Lia melalui jalan tu.”
“Jangan harap!” 
Tak toleh lagi. Bengang sangat.



No comments:

Post a Comment