“MAK
NGAH, pergi dulu...” Aku salam mak ngah waktu mak ngah sedang layan Abang Joey
bersarapan. Awal pulak tuan besar ni bersarapan. Kalau dulu, memang payah nak
tengok muka Abang Joey sarapan pagi. Sarapan pagi dia sudah kira masuk makan
tengah hari.
“Hati-hati...”
balas mak ngah sambil cium pipiku.
Sayang
mak ngah. Sejak jadi anak yatim piatu, dengan mak ngahlah aku menumpang sayang.
Mak ngah yang masih tidak berumah tangga walau sudah berusia 52 tahun,
kelihatan masih bertenaga mengalas tugasnya sebagai tukang masak.
Mak
ngah sudah tutup terus pintu hatinya untuk berkahwin kerana mak ngah pernah
diaibkan suatu ketika dahulu. menurut cerita dari mak saudaraku yang lain, mak
angah pernah bertunang dan tunangnya menghilangkan diri di hari pernikahan
mereka. Mak ngah ditinggalkan tanpa sebab. Sejak itu mak ngah tidak pernah terfikir
mahu berumah tangga lagi. Dengan akulah mak ngah menumpang sayang. Sebenarnya,
kami saling menumpang antara satu sama lain.
Tinggal cukup bulan ni sahaja mak ngah kerja.
Lepas ni mak ngah akan bersara. Mak ngah akan menikmati hidupnya selepas ini.
Aku izinkan mak ngah nak buat apa pun termasuk kahwin lain. Tapi masa aku
cerita pasal bab kahwin, tiga hari mak ngah tak tegur aku. Lepas tu aku tak
sebut lagi pasal tu. Tahu mak ngah masih berdendam.
“Hmm...”
Aku jeling Abang Joey sekali. Muncung sedepa. Marahkan aku gamaknya pasal malam
tadi. Lantaklah. Dah memang betul aku tak rindukan dia. Mana boleh paksa. Gila
nak rindukan dia.
Aku
terus jalan. Baru beberapa langkah, aku teringat aku nak balik rumah sewa malam
ni. Aku pusing semula sebab nak beritahu mak ngah, aku tak balik malam nanti.
Masa itulah aku nampak Abang Joey pandang aku. Rupanya dari tadi dia pandang
aku. Hmm...
“Lia
tak balik malam nanti. Lia balik rumah sewa.” Aku beritahu mak ngah sekali
lagi. Takut mak ngah lupa.
“Yalah,
jangan pulak enjoy tak tentu pasal,”
pesan mak ngah. Itulah penyebab kenapa mak ngah tak benarkan aku tinggal di
rumah sewa bersama rakan lain. Mak ngah tahu aku jenis tak sedar diri.
“Taklah.
Lepas balik kerja Lia terus pergi rumah. Tak enjoy punya.” Aku beri jaminan.
Kemudian aku terus sambung jalan.
“Yalah
tu…”
“Tak
enjoy, tapi joli aje…” Aku gelak
jahat dan sambung jalan.
Belum
pun sampai kereta, Abang Joey tahan aku.
“Apa
hal pulak ni?” Aku pandang Abang Joey atas bawah.
“Sementara
abang tak kerja ni, abang jadi driver
Lia,” kata Abang Joey. Suara Abang Joey serak dan muka dia masam.
“Eh,
tak payahlah. Lia boleh drive
sendiri.” Mabuk ke, tiba-tiba tawar diri jadi pemandu aku. Mahu kena gelak
dengan Manja nanti. Tak pun jadi bahan gossip. Paling takut kalau Zakuan syak
apa-apa.
“Janganlah
degil sangat.”
“Lia
tak degil, tapi Lia rasa tawaran abang tu Lia tak dapat terima. Nanti apa pulak
kata Kak Husna. Karang dia cakap macam-macam, yang sakit hati Lia. Abang apa
tahu. Abang tak rasa semua tu!”
Abang
Joey kemam bibir. Dia pandang kiri kanan serupa tahan perasaan. Marah? Eh, ada
aku kisah?
“Apa
kena mengena Husna dalam masalah kita?” soal Abang Joey.
“Tak
betul apa yang Lia cakap? Kalau dia tahu abang macam ni, tak menang mulut nanti
dia tuduh Lia yang bukan-bukan. Lia mintak, abang tolong sama jaga perangai
abang.” Aku tarik pintu kereta.
Belum
sempat aku masuk, Abang Joey tutup dengan kuat dan dia pandang aku tepat.
“Boleh
tak jangan beri sebarang alasan?”
“Kenapa
abang susah sangat nak faham keadaan Lia? Lia ni menumpang. Kalau Lia
lebih-lebih dengan abang, bukan abang yang kena dengan Kak Husna. Lia yang kena
nanti. Jadi, tolonglah jangan keruhkan lagi keadaan.” Suara sudah naik.
“Ah!
Pergi jahanam dengan perempuan tu. Tak ada kena mengena dengan abang.”
“Mana
boleh tak ada kena mengena. Dia bukankah buah hati abang. Abang jangan buat tak
tahu pulak!”
“Aku
cakap aku taka da kena mengena dengan, taka da mengenalah!” Abang Joey marah
dan dia tinggalkan aku selepas itu.
Pagi-pagi
buat aku berangin saja. Abang Joey bukan buat aku berangin masa pagi sahaja,
bahkan Abang Joey akan buat aku angina setiap kali pandang muka dia. Macam mana
aku nak sukakan dia kalau keadaan berterusan macam ni.
MASA
aku sampai ofis, Manja atau nama sebenarnya Maisarah gadis bertubuh agak
gempal, berkulit sawo matang sudah sedia menanti. Ada lagi tiga orang
kakitangan bahagian kewangan, tapi yang tiga lagi tu taklah serapat Manja.
“Aku
balik rumah sewa malam ni.”Aku beritahu Manja.
“Tak
kisahlah. Suka hati kaulah, janji kau tetap bayar duit sewa.”
Aku
angguk. Pasang plug komputer dan menyandar. Malasnya nak buat kerja. Rasa nak
cuti saja. Duduk tepi sawah nak menghirup udara segar.
“Apsal?”
Maisarah tanya.
“Monday blues!”
“Selalu
Monday jugak, tapi tak pernahnya blues!” Manja juga pasang plug.
“Sebab
semalam balik rumah bakal mertua. Rasa tak puas dua hari.”
“Kau
pergi Kedah ke? Apsal tak cakap?” Manja tegak badan.
“Apsal?”
Aku tanya. Terkejut juga. Bukan sekali dua aku pergi Kedah. Sudah banyak kali,
tapi tak kalut tanya pun.
“Ingat
nak kirim kau beli dodol kat Pekan Rabu.”
Macam
tu rupanya.
“Aku
tak sampai Alor Setar. Sampai Sungai Petani saja…”
“Dah
alang-alang pergi tu apa salahnya terus pergi Alor Setar.”
“Tak
sempat nak jalan. Itu pun aku rasa tak cukup. Rasa nak sambung cuti saja…”
“Masa
belum jadi menantu, memang macam tu lah. Esok kalau dah jadi menantu, nak balik
pun malas. Tak percaya, tengoklah nanti…”
Aku
harap janganlah aku berubah perangai macam tu sekali. Kesian dengan Mak Cik
Midah nanti. Belum dapat anak dia, bukan main lagi. Dah dapat nanti buat bodoh
aje dengan Mak Cik Midah. Buruknya perangai kalau macam tu.
“Insya-Allah,
aku tak macam tu kut. Sayang anak, sama sayang mak dan keluarga dia.”
“Baguslah
kalau macam tu. Jadilah menantu jangan jadi hantu!” ‘
Melampau
minah ni. Melebih pulak. Jadi aku tak nak layan lagi. Karang macam-macam
khutbah aku kena dengar.
“Eh,
korang tau tak bos baru nak masuk?” Datang-datang Nisha bawa khabar berita.
Kepochi dah mai! Anak mami Tanjung yang muka ala-ala Rani Mukarjee tu kelam
kabut datang tempat Manja.
“Ya?”
Manja tanya.
“Anak
Tuan Arshad…” jawab Nisha.
Tersentap
juga perasaan. Anak Tuan Arshad mana lagi kalau bukan Abang Joey. Abang Fuad
sudah lama pegang jawatan pengarah urusan. Kak Nita pula, tak mungkin sebab dah
lama jadi orang Australia.
Tak
kan Abang Joey yang kena incharge bahagian kewangan. Habislah. Di rumah pandang
muka dia, di pejabat pun kena pandang muka dia jugak? Matilah aku macam ni.
Dahlah kami tak berapa sebulu. Musuh tradisi yang perlu aku hindari.
Aku
pun tak pernah bercerita dengan siapa-siapa tentang hubunganku dengan keluarga
tuan Arshad. Bukan aku malu sebab mak ngah kerja tukang masak di sana, tapi aku
tidak mahu nanti ada yang cakap aku guna kabel untuk menyertai Kumpulan Tuan
Arshad walaupun sebenarnya memang dari arahan Tuan Arshad sendiri.
Elok
habis saja belajar, terus Tuan Arshad masukkan aku ke dalam AY Holding dengan
alasan semua pengajianku selama di universiti ditanggung oleh AY Holding. Jadi
aku tiada pilihan. Terpaksa akur.
“Aku
pernah tengok anak lelaki dia tu. Boleh tahan,” kata Nisha.
“Handsome? Bujang lagi? Dah ada buah hati
ke belum?” soal Manja. Soalan seperti minta jadi suami saja. Macam-macam.
“Boleh
tahan, tapi nampak macam sombong.”
Bukan
macam, tapi memang sombong gila. Bapak kepala batu. Orang kena ikut cakap dia
saja. Kalau tak ikut bertempik macam Tarzan.
“Kalau
macam tu janganlah nak harap macam prince
charming.”Aku menyampuk.
“Manalah
tahu lebih baik daripada Encik Fuad ke.”
Abang
Fuad tu terlalu baik. Tu pasal ikut telunjuk isteri saja. Buat sakit hati
lelaki macam tu. Memang tak guna satu sen.
Telefon
bimbit berbunyi masa aku tak berapa seronok dengan pengkhabaran dari Nisha.
Zakuan di talian. Sedap sikit perasaan nampak nama dia. Dari sedap sikit tukar
berbunga-bunga pula.
“Selamat
pagi sayang…” ujar Zakuan di hujung talian.
Amboi…
“Selamat
pagi. Kat mana tu?”Aku tanya.
“Dah
sampai ofis.”
“
Uiks, awalnya. Ofis bukak pukul sepuluh kan?”
“Tunggulah
orang bukak syarikat sendiri baru masuk pukul sepuluh.”
“Isya-Allah.
Kalau buka syarikat sendiri, jangan lupa ajak saya kerja sekali. Jadi PA awak
pun jadilah.” Aku senyum.
“Hmm,
bukan jadi mem ke?” soal Zakuan.
“Boleh
jugak.”
“Tu
yang seronok dengar.”
“Err,
bukan ke mem tu serupa bibik saja?” soalku.
“Jangan
kata lagu tu…” Zakuan tukar channel belah
utara.
“Dah
betui, nak lagu mana lagi…”Aku juga tiru cakap belah sana. Masa tulah Manja dan
Nisha serentak pandang aku. Terkejut gamaknya dengan gaya aku bercakap. Ke aku
cakap serupa minah Siam?
Zakuan
gelak. “Hmm, memang dah boleh sangat dah tu…”
“Boleh
apa?” Aku kembali kepada loghat asal.
“Jadi
mem orang Sungai Petani!”
“Uiks,
orang Sungai Petani mana pulak ni…” Aku buat-buat tanya.
“Orang
Sungai Petani yang mana lagi kalau tak yang hitam legam ni, tak berapa nak
segak.”
“Oh,
orang Sungai Petani yang tu ka? Awat tak habaq?” Ah! Semakin seronok pula
bergurau senda.
“Orang
Sungai Petani yang tu la. Yang mana lagi.”
“Awat
orang Sungai Petani tu tak cari orang Sungai Petani jugak jadi mem. Kan senang
satu daerah.”
“Hati
dan berkenan dengan orang KL, nak buat lagu mana lagi.”
“Tu
ka, lawa dak orang KL tu?” Sambil senyum aku pandang Manja dan Nisha.
Masing-masing buat muka kelat. Lantak koranglah nak faham ke tidak. Bukan
masalah aku.
“Uiks,
tak lawa hati tak berkenan.”
“Oh,
berkenan yang had lawa sajalah. Kalau tak lawa tak berkenanlah?”
“Dak
jugak, sebab tu urusan hati. Hati yang buat kira.”
Aduhai,
makin meleret.
“Dahlah
awak. Sambung merepek nanti pulak.” Karang kalau dilayan mahu tak buat kerja.
Sementara bos baru belum masuk, bolehlah main-main. Dah masuk Mr Arrogant tu, tak boleh kata apa dah.
“Okey
awak. Selamat bekerja,” balas Zakuan.
“Assalamualaikum.”
Aku beri salam.
“Waalaikumusalam…”
Suara
Zakuan hilang dan senyuman lebar.
“Amboi,
dan-dan alih bahasa…” Manja macam perli.
“Kena
la belajaq sama. Nak jadi orang sana,” selorohku.
“Baguslah
tu…”
Kami
sambung buat hal masing-masing. Sorang demi seorang rakan sekerja lain masuk.
Yang buat aku tension, masing-masing datang bawa cerita anak Tuan Arshad.
Serupa tak ada cerita lain.
Hmm,
tengoklah nanti. Korang taulah, langit tu tinggi ke rendah.
Rakan
sekerja semakin rancak berbual. Macam-macam yang mereka bualkan. Aku tak campur
sebab mata kejap-kejap pandang pintu masuk. Takut Abang Joey muncul. Harap
sangat khabar yang disampaikan oleh rakan-rakan sekerja tidak betul.
Mana
boleh aku satu bumbung dengan Abang Joey. Nanti kami bertekak saja. Kalau Abang
Joey tak pandai mengawal perasaan, ingat aku pandai sangatlah nak uruskan
perasaanku? Aku lagi teruk daripada Abang Joey.
Macam-macam
hal nanti boleh jadi kalau kami duduk dekat.
“Wei,
apsal kau senyap saja?” Manja tanya. Baru perasan ke aku senyap?
“Dah
korang asyik cakap pasal bos baru. Malaslah aku nak campur. Tak minat!”
“Tak
minat konon. Tup tup nanti tak boleh lupa.” Nisha menyampuk.
Masa
itu jugak aku rasa nak muntah. Tak boleh lupa? Minta simpang. “Minta maaf, aku
dah ada Zakuan. Rasanya sekarang ni hati aku hanya untuk Zakuan saja.”
“Huh!
Bukan segak pun…” Manja kritik.
“Memang
tak segak, tapi dia manis dan cukup menyenangkan hati. Itu lebih baik dari
segak yang menyakitkan hati.”
“Kalau
dah sudah suka, semua manis. Tunggu bila tak suka nanti, mesti semuanya masam.”
Manja tak sudah lagi.
Malas
nak layan. Tapi aku terus terang cakap, kalau Abang Joey jaga bahagian kewangan,
aku tak teragak letak jawatan. Aku tak nak berurusan dengan Abang Joey. Aci
lawan apa pun pasti tak ada keserasian antara kami berdua.
Runsing
betul!
No comments:
Post a Comment