WAJAH menyungkur ke meja. Notebook
Asus putih tu berdentum dengan lagu-lagu rancak entah daripada penyanyi barat
mana. Kejap tadi Keane. Bon Jovi.
Metallica. Scorpion.
Jed dah kusut kepala. Berita yang abah bagi tahu tadi benar-benar
menyemakkan kepala dia.
Dia tak boleh nak main-main dalam
syarikat. Keluar masuk ikut suka hati
mentang-mentang tak ada siapa nak larang biarpun abah kerap kali bising. Project
Manager dia, Syakir tu dah nak berhenti.
Sebab nak sambung belajar ke luar negara. Dibiayai penuh oleh syarikat abah. Sekarang ni, tugas Syakir jatuh atas bahu dia
sebagai assistant yang banyak main
daripada kerja.
“Apalah aku nak buat ni…” Jed menggumam sendiri.
Padahal sebelum ni terniat dalam
hati nak letak jawatan daripada MJ Bina milik keluarga. Rasa macam kerja dalam penjara bila sebumbung
dengan abah. Tak senang nak melangkah. Rasa banyak mata memerhati biarpun tak pernah
lagi dia dengar aduan bukan-bukan tentang diri sendiri.
Lama juga Jed memikir. Hingga
akhirnya, dah letih fikir tapi tak dapat buah fikiran, dia angkat
kepala. Pandang cermin. Nampak wajah sendiri yang macam hantu. Celak tak dicuci lagi. Balik daripada Orange Range terus tidur tak
sedar diri. Sedar aje bila suara Kak Zah
menyapa telinga. Bila pula Kak Zah datang
semula?
Jed ikat rambut kemas. Nampak potongan askar di bahagian tepi. Kaki diatur kemas menuju ke luar. Nak cari mummy
dan abah yang kedengaran rancak bersembang di ruang tamu. Ajaib.
Ini rasa kali pertama setelah bertahun, dia nampak mummy dan abah ada di rumah sebelum jam 12.00 tengah malam. Kalau tidak, haram.
“Eh, tak mandi lagi?”
Tak sempat nak pijak anak tangga
pertama, Kak Zah menegur. Jed
kalih. Kak Zah sedang menjinjit sebakul
kain bersih nak menuju ke bilik dia.
“Err... kejap lagilah.” Sengih tawar.
Kak Zah senyum. Setakat itu sajalah dia boleh tegur dan
tanya. Tak berdaya nak menyoal dan
menegur lebih-lebih bila Ku dan Tuan Megat sendiri tak tegur perbuatan
Jed.
“Mandi lewat sangat nanti, boleh
tak sihat badan,” pesan Kak Zah lembut.
Jed sengih. “Err… kenapa awal sangat Ku Zarina dengan
Megat Johari tu balik?” Kening dia naik
dengan bibir terjuih ke ruang tamu di bawah.
“Entahlah… Kak Zah sampai tadi,
Ku dengan Tuan Megat dah ada. Kak Zah
teringat tak angkat kain. Itu yang Kak
Zah datang. Ini kejap lagi nak
baliklah…”
Bakul kain di tangan Kak Zah
dijeling lagi. Kak Zah memang
rajin. Tapi, Jed tahu yang Kak Zah tak
ada anak. Suami pun dah lama tak ada dan
Kak Zah pun hidup sendiri aje. Tak nak
cari ganti. Itulah yang pernah dia tahu.
“Semua tu Jed punya ke?”
Kak Zah angguk.
“Kak Zah dah lipat. Kalau kata Jed nak susun sendiri dalam
almari, Kak Zah letak atas katil aje.”
Jed geleng. Haram dia nak buat semua tu. Tangan dia tak nak melentur buat kerja-kerja
perempuan ni.
“Err... Kak Zah ajelah buat. Nanti, dah siap Jed hantar Kak Zah balik,
eh?” Pelawa Jed.
Dia sebenarnya nak keluar. Dah tahu dah, kalau mummy dan abah ada, telinga dia bakal bernanah. Dibebel macam umur belasan tahun sedangkan
masa dia umur yang sepatut dibebelkan oleh mummy
dan abah, tak ada pula orang nak ambil peduli.
“Jed nak jumpa Ku dengan Tuan
Megat kejap. Nanti Jed naik…” Terus saja dia atur langkah tak menanti Kak
Zah membalas.
Sampai di bawah, Jed angkat
sedikit skinny yang sedikit
londeh. Baby-T yang membaluti tubuh dibetulkan sedikit. Singkat.
Kalih sikit nampak pinggang.
Tunduk sikit nampak belakang.
Tapi, ini pakaian dalam rumah.
Kalau kat luar, Jed pakai alas.
“Err…” Baru itu yang keluar daripada mulut Jed,
kedua-dua orang tuanya dah kalih.
Melangut pandangan pada Jed dengan pandangan pelik.
“Tak mandi lagi ke?” soal mummy
sedikit keras.
Berkerut dahi mummy.
Yalah, anak dara seorang ni, tak pernah nak jaga penampilan. Padahal Ku Zarina cukup menjaga penampilan
biarpun umur dah meningkat.
“Baru jaga…” Senada Jed menjawab.
“Anak dara apalah Hanna ni tak pernah
nak bersiap diri elok-elok...” Ku Zarina
menggeleng. Dia pandang semula pada
skrin TV LED 50 inci di depan.
“Pergi mana sampai tidur tak
ingat dunia?” Tanya Megat Johari
pula.
Jed seluk tangan dalam poket
seluar. Dalam kepala dia bukan nak dipersoalkan
tentang mana dia pergi. Tapi, tentang
apa yang abah sampaikan petang tadi sebelum dia lena.
“Err… tak pergi mana tapi Jed nak
tanya ni.”
“Hah, apa?” Tak berpaling walaupun seinci pada si anak,
Megat Johari menyoal dingin.
Jed ketap bibir. Hati dia mula berlahar. Panas.
Tapi, cuba juga bertahan. Selama
ni membebel di depan Kak Zah aje. Tak
naklah hari ni sampai membentak di depan abah sendiri.
“Pasal Syakir…”
Megat Johari toleh.
“Kenapa dengan dia?” Wajah tua itu terentang dengan kerut. Apa masalah Jed dengan Syakir?
“Abah kata dia dah nak
berhenti?”
“Erm…”
“Tak atur interview cari PM baru?”
“Tak sempat…” Datar abah dia menjawab.
Jed tahan hati.
“Jed tak boleh nak ambil alih
tugas dia kalau abah tak cari PM baru.
Nak-nak projek tengah banyak ni.”
Sekali lagi Megat Johari kalih
lipat. Wajah dia nampak tegang. Ku Zarina juga berpaling pada Jed.
“Hah? Tahu pula kamu yang projek tengah
banyak? Dah tu, sampai bila kamu nak
main-main dalam syarikat tu? Jangan
ingat kamu tu anak aku, kamu boleh sesuka hati keluar masuk opis tu. Bukan aku tak tahu, sisi gelap kamu selama
ni. Balik tiga empat pagi, mana kerja
nak berjalan dengan baik? Ini eloklah
Syakir tu dah nak sambung belajar, kamu urus semua perkara. Kalau rasa tak boleh, letak jawatan dan
jangan panggil aku abah!” bentak Megat
Johari.
Hilang kewarasan dia malam
ni. Biasanya dia buat tak tahu aje. Tapi, makin ramai pula orang pejabat mengadu
tentang Jed. Dahlah kurang mesra dengan
pekerja lain. Buat kerja sendiri. Mengarah macam nak membunuh. Meminta macam nak bergaduh. Rasa nak patah tulang hidung dia kena sinis
dengan pekerja.
Jed terpempan. Selama ni Megat Johari tak pernah berkasar
macam ni sekali. Ada masanya dia lebih
suka abahnya buat tak tahu saja akan kewujudan dia. Tapi, ini lain macam. Sampai tak nak dia panggil abah. Jed rasa dia juga salah sebab abaikan
syarikat dengan jawatan yang diberi tapi
kalau mummy dan abah jaga dia dengan
baik, dia tak kan buat semua ni.
“Dah tu, nak suruh panggil apa?”
soal Jed mencabar.
Sisi lain dia mengatakan, dia
suka melihat abah marah. Rasa
disayangi dan dihargai. Tapi sekarang, marah abah ni bukankah kerana
syarikat? Bukan kerana dia adalah
anak.
“Tak payah panggil apa-apa. Kalau anak dia reti jaga air muka orang
tua. Dia tahu nak jadi pekerja yang baik
dekat syarikat bapak sendiri,” selar
Megat Johari, membelah hati Jed.
Jed senyum hujung bibir. Salah percaturan lagi dia. Nampak tadi mummy dan abah sembang, semuanya akan baik. Tapi, kewujudan dia buat keadaan jadi
huru-hara tiba-tiba.
Jed pandang Megat Johari.
“Saya minta maaf, Tuan
Megat…”
Bulat mata Megat Johari dan Ku
Zarina memandang Jed. Tapi, Jed tetap
buat selamba. Dia nak menangis tapi
perlukah? Berapa banyak air mata dia
perlu tumpah untuk raih perhatian penuh daripada Ku Zarina dan Megat
Johari? Rasanya dah cukup kut.
“Saya minta maaf dah banyak
susahkan pekerja syarikat. Lepas ni,
saya akan kerja dengan baik tapi kehidupan saya selepas waktu kerja tak ada
kaitan dengan sesiapa. Saya janji, kalau
Tuan Megat cari Project Manager baru
secepat mungkin, saya akan bagi tumpuan 200 peratus,” sinis Jed.
“Jehanna ni, kenapa cakap dengan
abah macam tu?” soal Ku Zarina tak puas
hati.
Bibir Jed senyum lagi dengan
bibir yang senget ke kiri. Gamaknya mummy
tak dengar tadi apa abah kata. Dilarang
panggil abah.
“Kenapa? Ku Zarina pun nak saya panggil Ku juga? Tak nak saya panggil mummy dah?” Semakin
mencengkam nada suara Jed.
“Dian Jehanna Puteri!” tempik Ku Zarina siap berdiri tegak, bercekak
pinggang. Jed ni makin melampau.
Jed terus kalih. Malas nak dilayan. Baru nak memasang langkah, suara Megat Johari
berdengung memenuhi ruang banglo ini.
“Aku cari PM baru, kalau kamu tak
masuk kerja juga, aku nak kamu letak jawatan.
Jangan nak susahkan orang. Hidup
tak kenang di untung!” Herdik Megat
Johari.
Jed senyum. Tapi, air mata dia menitis ke pipi
setitis. Di atas anak tangga, Kak Zah
memerhati. Nampak macam Jed akan menjadi
lebih teruk lagi lepas ni. Yang Ku
dengan Tuan Megat pun, kenapa nak hangatkan keadaan masa Jed menyoal dengan
baik?
Kak Zah tak pasti, simpati dia
jatuh pada Jed ataupun kedua-dua majikannya?
Tapi, dia sedih melihat air mata Jed menitis dalam senyuman. Hati lembut gadis itu kian tercarik makin
lebar. Orang lain mungkin tak tahu tapi
dia boleh nampak daripada riak wajah Jed.
LANGKAH Que mati. Tak jadi nak ke dapur. Tertangkap oleh matanya susuk tubuh ibu yang masih menghadap kerja-kerja menjahit.
“Tak berhenti lagi, bu?” Dia duduk di atas kerusi, berdepan dengan
Puan Imah, ibu dia. Nampak ralit sungguh
ibu menjahit manik.
“Belum lagi. Ni orang nak esok. Dia nak tambah manik. Terpaksalah ibu jahit malam ni.” Si ibu menjawab tanpa memandang Que.
Bibir Que senyum tipis.
“Tak penat ke?”
Sesekali dia memanjangkan leher
ke ruang tamu rumah teres satu tingkat tiga bilik peninggalan arwah ayah. Melihat pada adik-adik yang gelak sakan
menonton TV. Hanya Qariah, adik bongsu
yang nak ambil SPM tak lama lagi dan juga, Qairiah, penuntut tahun tiga UiTM
Shah Alam. Balik hujung minggu sebab tak
jauh mana. Qaiser yang belajar di
Matrikulasi di Melaka tu aje tiada.
“Dari petang Ajad tengok ibu
membongkok aje. Kenapa tak minta
anak-anak dara ibu tolong?” soal
Que. Ajad, itu nama panggilan keluarga
pada dia.
Puan Imah senyum tipis. Qalam Azad ni memang tak tahu tentang
jahitan. Dia ingat adik-adik dia pandai
menyulam manik ni. Kerja yang sangat
rumit tapi hasilnya agak lumayan.
“Diorang tu manalah tahu, Azad oi… Setakat nak menyembat tu
pandailah. Ini kan jahit manik. Salah sikit, dah tak cantik. Lagipun, kata Wani, yang nak baju ni, dia nak
hantar contoh ke butik mana entah. Ada
rezeki, bolehlah ibu ambil upah jahit manik aje. Tak payah menjahit macam ni dah. Wani cakap, mahal juga tuan butik tu nak
bayar,” beritahu Puan Imah pada Que.
Mengeluh tipis si anak
dibuatnya. Tak letih ke? Kalau dah namanya butik, lagilah penat. Lagi banyak tempahan dan lagi cerewet
pelanggan yang nak dilayan.
“Kerja dekat butik tu ke?”
Puan Imah geleng.
“Dari rumah. Nanti Wani yang datang hantar dan ambil.”
“Tak penat?”
Puan Imah angkat wajah.
“Tak ada penatnya kalau untuk
anak-anak ibu, Ajad.” Senyum. Tapi, hambar.
Hati Que rasa tersayat lagi. Bilalah rezeki lebih nak ada ni? Projek sedia ada dah nak siap. Dia pun kerja kontrak. Tamat kontrak, tamatlah rezeki. Kena rajin-rajin google kerja yang ada.
Apa-apa pun boleh, janji tetap.
Dia dah tak kira dah. Ijazah
Pengurusan Kejuruteraan yang dia ada tu, letak dalam gobok jelah.
Que bangkit. “Ajad mandi dululah. Ajad nak keluar kejap lagi. Jumpa kawan kejap,” beritahu Que.
“Erm… kalau nak keluar tu, jangan lupa hantar mangkuk tingkat Kak
Zah sekali. Dah berapa hari dah. Dia pun tak ada datang. Sibuk agaknya,” suruh Puan Imah tanpa
mengangkat wajah.
“Ya, bu…” Que angguk.
Kak Zah adik sepupu ibu. Baru nak hampiri 40-an. Masa dia dan adik-adik tak ada, Kak Zah yang
selalu datang temankan ibu. Tapi, dah
banyak hari tak nampak Kak Zah.
MATA
Jed memandang pada Kak Zah yang menghulurkan topi keledar pada dia. Kak Zah senyum.
“Jehanna tak nak singgah?”
Jed senyum tipis. Dia menggeleng.
“Dah janji dengan Lis…” Tipu.
Dia tak janji dengan sesiapa pun.
Lis dah bertolak ke Singapura petang tadi dengan keluarga.
“Dah pulak?” Suara Kak Zah
berbaur kecewa.
“Kak Zah tinggal dengan
siapa?”
“Sorang.”
Jed pandang sekeliling Taman
Mastiara. Tenang dan damai aje. Masing-masing dah berkurung dalam rumah. Padahal jam baru bergerak ke angka 10.00
malam. Pada dia masih terlalu muda.
“Tapi, Kak Zah ada kakak sepupu
selang tiga lorong daripada sini. Kalau
tak pergi rumah Jehanna, ke rumah dialah.
Tak adalah sunyi. Rumah kecil
aje, Jehanna. Cukuplah untuk berteduh
daripada panas hujan,” sambung Kak Zah.
“Selesa beribadat,
alhamdulillah…” Penuh makna Kak Zah
menutur kata.
Jed terangguk-angguk. Dia faham.
Rumah dia besar. Sangat
besar. Dengan laman segala. Kolam renang lagi. Tapi, tak pernah dia main air kolam tu dengan
mummy dan abah. Oh, bukan mummy
dan abah lagi lepas malam ni. Itu KU dan
TUAN MEGAT pada dia kini.
Sekali dulu, dia main
sendiri. Ku Zarina dan Megat Johari ada
tapi sibuk dengan urusan kerja di depan mata.
Jed pernah lemas. Sampai sekarang,
tab mandi pun dia takut nak
jejak. Orang lain tak tahu, tapi Ku
Zarina dan Megat Johari yang tahu pun, tetap buat tak tahu.
“Rumah kecil tapi bahagia, tak
ada masalah Kak Zah…” Suara Jed
meleret.
Dia senyum kelat dalam kepekatan
malam. Tersentuh hati Kak Zah tapi dia tak
tahu nak buat apa lagi setakat ni.
“Sungguh ke tak nak
singgah?” Kak Zah masih berusaha
memujuk.
Jed angguk. Senyum lagi.
Topi keledar Kak Zah tadi disangkut pada handle motosikal. Dia dah
sedia nak berlalu.
“Jed gerak dulu. Nanti marah pula Lis…”
“Jehanna nak pergi mana malam
ni?”
“Club.” Orange Range tu boleh
dikira kelab ke? Entah.
Kak Zah kerut kening.
“Tak elok sangat selalu ke tempat
macam tu. Tapi, apa-apa pun jaga diri,
ya? Jangan balik lewat sangat,” pesan Kak Zah.
Jed angguk dua saat. Lepas disalami tangan Kak Zah, minyak dipulas
dan rezeki dia juga malam ni, bila saja dia pusing motosikal Kawasaki hitam
merah itu, dia bertembung dengan sebuah motosikal lain, menyebabkan Kawasaki
dia terbalik dan tubuh langsing Jed juga tercampak ke belakang sedikit.
“Jehanna!!!” Hanya suara Kak Zah menjerit nyaring
sedangkan Jed hanya mengaduh sakit.
Penunggang seorang lagi
kelu. Tak bergerak daripada atas
motosikal sendiri memandang mangsa yang dilanggar.
Mustahil… Hati mula rasa tak sedap. Dah kata tak nak, kenapa muncul juga?
No comments:
Post a Comment