AGAKNYA inilah natijah bila bohong pada
orang yang berniat baik. Kak Zah ajak
dengan baik, tapi dia kelentong kata nak ke club. Padahal, nak lepak dekat Orange Range aje. Itu bukan nightclub
tapi kafe. Tempat minum dan makan. Tempat dia menenangkan fikiran. Tempat dia
bertembung dengan seseorang yang berani menegur dia secara terbuka.
Dia cuma nak ke situ untuk
menatap lagi sepasang mata kuyu yang punyai pandangan yang tajam memberi amaran
itu. Mana tahu terserempak dengan Que
lagi. Tak tahu kenapa, dia nak sangat
jumpa Que biarpun untuk sekali lagi.
Padahal dia tahu, Que tak nak terserempak dengan dia lagi. Amaran dah dikeluarkan.
Pandangan mata Jed berbalam. Pening.
Kepala terhentak pada pasu bunga di depan pagar rumah Kak Zah. Mujur pakai helmet, kalau tidak terus dapat amnesia dia agaknya. Itu pun, kalau tak kojol terus. Kuat juga hentakkan
sampaikan dia nak bangkit pun perlu
dipapah. Jatuhnya tak seberapa tapi
jaket kulit koyak juga di bahagian siku.
“Jehanna…”
Suara Kak Zah. Jed cam suara itu. Dia angkat kelopak mata. Rambut yang lepas, diselitkan di belakang
telinga. Kepala masih pening tapi
bibirnya menguntum senyuman. Siapalah
yang langgar dia tadi? Hangin juga. Main menonong aje cantas jalan.
“Jehanna Puteri?” panggil Kak Zah lagi sekali.
Risau bila Jed nampak mamai. Nak kata pengsan, nampak masih sedar tapi
macam tak bercakap. Lalok. Separuh sedar. Buatnya Ku dengan Tuan Megat tahu, apalah dia
nak jawab? Puteri seorang ni kemalangan
di depan rumah dia dan itu pun dilanggar anak sepupu dia.
“Dian Jehanna Puteri?” Nama penuh Jed diseru penuh kelembutan. Dalam hati Kak Zah berdoa semoga Jed tak
teruk. Dia risau sungguh.
Setelah beberapa kali Kak Zah
menyeru, barulah Jed buka kelopak mata luas-luas. Wajah Kak Zah terbias. Dia senyum pahit. Tangan kanannya meraba siku kiri. Cahaya masuk ke dalam mata. Dia pandang atas. Nampak siling putih dan kipas yang berputar
laju di tengah siling kapur yang berukir cantik.
“Kat mana ni, Kak Zah?” soal Jed sambil mengerling pada siku. Jahanam jaket kulit yang aku baru beli bulan
lepas. Hatinya melepaskan keluhan.
Bukan kecewa dengan diri yang
boleh jadi sedang sakit atau luka tapi jaket kulit yang mahal dan edisi terhad
itu yang menjadi kerisauan.
“Dalam rumah Kak Zah. Jehanna macam tak sedar diri tadi. Itu Kak Zah heret bawa masuk.”
Jed sengih hambar.
“Larat pula Kak Zah heret Jed, eh?”
Bukan apa, sebab Kak Zah ni tak besar pun. Lagi rendah, lagi kurus daripada dia. Mahu tak reput pinggang nanti.
“Kak Zah minta tolong anak buah
Kak Zah yang langgar Jehanna tadi…”
Mata Jed bulat. Dia baru ingat yang dia kena langgar. Mata terus melilau mencari siapakah yang langgar
dia. Calar dia tak apa lagi. Dia tak kisah tentang diri dia. Tapi, calar Kawasaki yang baru dia beli tak
sampai setengah tahun tu, siapa nak bertanggungjawab?
Jed tegakkan tubuh. Menyeringai juga wajah dia. Rasa pedih pada kulit yang sedikit tersiat.
“Siapa langgar Jed?” soal Jed sambil terus mencari. Tanpa sedar,
diri diperhati.
Que tenang membelek peti first aid di dapur. Dari situ, nampak Jed yang masih nampak biol sikit. Dia dengar soalan Jed. Salah dia lagi ke kali ni? Padahal Jed tu yang keluar tergesa-gesa tak
pandang kiri kanan. Mujur tak roboh
motor buruk dia nak dibandingkan dengan Kawasaki Jed yang mahal tu. Kalau runtuh motor kapcai dia tu, mahu jalan
kaki.
“Tak jumpa lagi ke, Qalam
Azad?” jerit Kak Zah.
Dia bangkit menuju ke dapur. Apalah yang dibuat oleh budak ni dekat dapur
lama sangat. Kak Zah menggeleng
sendiri.
Bila sampai tepat di depan Que,
dia lihat Que sedang menengadah siling.
Dalam suram dengan cahaya samar-samar dari ruang tamu.
Mata Que bergerak memandang Kak
Zah. Tiada riak. Berat hati dia nak
keluar sebenarnya. Dia tak pernah harap
ada lagi pertemuan setelah dia pulangkan harta milik Jed hari tu. Tapi kini… resah. Allah saja yang tahu.
“Ajad buat apa? Lama betul ambil ubatnya…” Kak Zah menegur perlahan. Separuh berbisik.
“Entahlah…” Keluhan tipis menjadi jawapan. Kak Zah mengerutkan kening. Apa dah jadi ni? Bila masa pula Qalam Azad takut dengan
perempuan?
“Cepatlah,” gesa Kak Zah. Malas dia nak fikir. Jehanna perlukan rawatan kecil tu.
Que geleng.
“Malas keluarlah, Kak Zah. Nah…”
Dia suakan peti first aid tu
pada Kak Zah. Malas nak bertembung mata
dengan Jed lagi. Dia memang tak nak
jumpa Jed dah.
“Kenapa? Kan Ajad langgar dia tadi. Keluar minta maaf. Kasihan dia.
Dahlah tadi kena marah dengan mak bapak. Tapi, mujur juga Ajad langgar dia. Tak adalah dia pergi kelab malam. Risau Kak Zah kalau dia ke sana,” beritahu
Kak Zah sambil mengerling pada Jed yang
kembali berbaring, memejamkan mata.
Kening Que yang lebat dan hitam
berkerut.
“Kena marah dengan orang
tua? Lepas tu tenangkan jiwa dekat kelab
malam?”
Kak Zah diam. Tak menjawab pun. Que mengeluh.
Sungguhlah budak Jed ni terpesong.
Tapi, siapa dia dengan Kak Zah?
“Macam mana kenal?” soal Que.
“Laa… itu anak majikan Kak Zah
la. Anak Ku dengan Tuan Megat. Anak tunggal dia yang tak diberi perhatian
langsung. Itu yang Jehanna tu jadi lagu
tu,” cerita Kak Zah pada Que. Spontan dia terus capai kotak ubat dan
berlalu ke depan.
“Jehanna?”
Jed buka mata. Dia senyum.
Kepala masih biol. Tak boleh buat apa. Rasa nak balik sekarang, tapi kepala
kepeningan. Kena rehat sekejap. Kalau tak, lepas ni tiang lampu pula
dilanggarnya.
“Kak Zah sapu ubat sikit,
ya? Lepas ni kita pergi klinik,” cadang
Kak Zah tapi Jed menolak lembut.
Sopan.
“Tak payah susahkan diri. Jed okey aje ni. Tapi, kepala weng lagi la, Kak Zah. Jed
lena kejap, ya? Dah okey nanti, Jed
terus balik rumah.” Jed sengih sambil
memicit kepala.
Que yang memandang di balik dinding terkedu. Dia nampak sisi lain Jed pula malam ni. Dengan Kak Zah, percakapan Jed lembut gigi
daripada lidah. Berapa wataklah dia ni
ada? Menggeleng Que sendiri. Hati mula timbul rasa ingin tahu.
“Kalau macam tu, lenalah. Biar Kak Zah sapu ubat…” Kak Zah kalih belakang.
“Ajad… bawak bantal dua biji. Nak
lapik kepala Jehanna ni,” laung Kak Zah.
Masa ni, mata Jed dah terkatup
rapat. Samar-samar dia dengar nama yang
dipanggil tapi itulah, dalam kepala dia hanya ada nama lelaki yang seorang tu
saja. Nama lelaki lain macam tak nak
melekat. Tak tahu kenapa.
Que bangkit dan berlalu ke bilik
belakang. Dicapai dua biji bantal
kekabu. Setelah itu teragak-agak dia nak
keluar. Risau Jed nampak dia. Takut bergaduh lagi. Bimbang juga Kak Zah tahu yang mereka dah pernah kenal biarpun baru dua
kali bersua.
“Cepatlah,” gesa Kak Zah. Geram pula dia dengan Qalam Azad. Entah apa yang tak kena.
Que senyum tipis. Dia nampak kelopak mata Jed dah terkatup
rapat. Dia menapak menghampiri Kak
Zah. Dihulurkan bantal tersebut.
Terus Kak Zah angkat kepala Jed,
melepaskan ikatan rambut dan dilapik bantal.
Que memerhati. Celak hitam tu masih ada. Malah makin tebal. Hantu tengok pun, boleh takut dengan
Jed.
Kak Zah kalih.
“Dia pening. Ajad tunggu ajelah dulu. Takut dia tak larat nak balik nanti, boleh
kita hantar dia,” ujar Kak Zah separuh berbisik.
Matanya memerhati Jed. Macam dah
lena. Hujung juring mata anak gadis itu
nampak sedikit berair. Mesti terbawa ke
dalam lena hal dimarahi Tuan Megat.
Jatuh kasih dia pada Jed. Tangan
ringan terangkat dan dibelai anak rambut yang jatuh ke pipi. Menyentuh pipi mulus itu penuh
kelembutan.
‘Tabahlah, nak. Tiap-tiap yang sabar disayangi Allah…’ Sebu hati Kak Zah berbicara.
Que labuhkan duduk di atas meja
kopi kayu di depan Kak Zah dan Jed.
Semasa Kak Zah belai pipi Jed, mata dia tertangkap ada satu kesan calar
pada pipi. Dan parut lama atas kening
kiri tu. Jelas.
“Kening dia tu kenapa
berparut?”
“Entahlah, Ajad… Kak Zah kenal
Jehanna, masa dia habis SPM. Balik duduk
rumah lepas habiskan masa di asrama.
Dengar kata, dia terhantuk dekat birai kolam renang masa dia
kanak-kanak.”
Mata Que beralih pula pada
belakang tangan Jed. Putih bersih. Jari-jemari juga runcing tapi kuku nampak tak
terjaga seperti mana gadis seusia dia.
Mana taknya, dia ingat case
gitar yang pernah Jed sandang. Rosak
hujung jari mesti kerana itu.
Tapi kulit yang bersih itu
tercela. Ada parut dekat di atas sendi
jari telunjuk. Dia perasaan pada hari
pertama lagi.
“Tu parut bertumbuk ke?” soal Que sikit prejudis sambil menjuih pada
tangan Jed.
Kak Zah ketap bibir. Dia ingat peristiwa tu. Ia berlaku depan mata dia. Sejak itu, dia dah bertekad tak nak
tinggalkan kerja dia di rumah Ku dan Tuan Megat. Risau Jed jadi makin teruk. Dengan darah panas dan rasa tak dihargai
menyelubungi diri, siapa tahu Jed akan buat perkara lebih teruk.
“Ni Jed nak marah mummy dan abah dia sebab mungkir janji
makan malam dengan dia. Padahal masa tu, dia minta Kak Zah ajar dia
masak. Konon nak raikan keputusan peperiksaan
SPM dia yang cemerlang tapi Ku dengan Tuan Megat tak ingat. Dia takut dia maki Ku dengan Tuan Megat, dia
kelar tangan dia.”
“Sampai macam tu sekali?” soal Que dengan mata bulat. Serius tak boleh nak percaya. Hal kecil aje pun. Kata hati Que mengatakan yang Jed langsung
tak rasional.
Kak Zah mengeluh.
“Kita tak tahu apa Jehanna rasa, Ajad. Kak Zah sendiri tak faham kadang-kadang
tu. Jehanna ni kuat membentak tapi
dengan Kak Zah, dia dengar aje apa yang Kak Zah cakap. Cuma Kak Zah risau nak tegur
lebih-lebih. Sedar kedudukan kita,” ujar
Kak Zah sedikit lirih.
Que angguk. Dia faham sangat
situasi Kak Zah. Macam dialah. Sebab tu pertemuan pertama dia dengan Jed
rasa macam tak nak ingat aje. Dan dia
kena akui, masa tu dia pun salah. Tak
patut tegur dengan cara macam tu.
“Kak Zah nak masuk dulu. Nak
mandi kejap. Ajad tunggulah kejap…” Kak Zah terus bangkit. Bahu Que ditepuk sedikit dan terus menghilang
di balik pintu bilik.
Mata Que tunak merenung segenap inci
wajah Jed. Kasihan dengan nasib gadis
ni. Tapi, perlu ke buat semua tu? Perlu ke jadi macam sekarang?
Nauzubillah… dia mengucap dalam
hati. Moga adik-adik aku tak jadi macam
ni, Allah. Minta dijauhkan.
Tak dapat dia bayangkan kalau Jed
buka mata nampak dia lagi di depan
mata. Berperang lagilah dia
nanti. Silap-silap boleh bertumbuk. Renungan Que tercantas. Dia menjauh sikit daripada kerusi panjang di
mana tubuh langsing Jed terbaring. Dia
pusing belakang sikit. Ditarik telefon
yang menjerit.
“Mana kau? Manaaaa?”
Panjang suara pemanggil bertanya.
“Sorry, geng. Aku tak boleh
pergi la…” Que memulakan bicara tak
sempat Rico bertanya sebab dia tak kunjung tiba lagi.
Keluhan Rico kedengaran. Lepas tu suara Qimi pun menyampuk.
“Kenapa wei?”
“Aku langgar orang.”
“Hah?” Rico terjerit.
“Serius tak?”
“Aku okey…” Que kalih pada Jed.
“Dia pitam kejap. Ni kena tunggu dia jaga dulu.”
“Kau ni… hati-hati lain
kali. Tapi, kalau kau datang pun, awek Gothic kau tu tak ada kot. Tak nampak dari tadi.” Rico sengih dapat
kenakan Que.
Que mencebik lebar. Cibaneng
kongkang punya member. Dia sengih kemudiannya. Memanglah dia tak ada kat sana, sebab dia ada
depan aku sekarang.
Talian mati. Que menggeleng mengenangkan usikan Rico. Tak ada kerja sungguh. Pantang sikit, mesti nak kenakan aku.
Kelopak mata Jed terangkat. Dia dengar suara. Dia paksa matanya terangkat Lepas tu dia nampak susuk tubuh lelaki
membelakangi dia. Duduk bertenggek di
atas meja kopi. Suara tu macam dia cam. Suara tu yang buat dia rasa hati dia mula
mengerti bahasa yang sunyi itu.
“Que ke?” soal Jed perlahan. Dia picit batang hidung. Pening lagi ni.
Keras batang tubuh Que. Alamak aih…
dia dah sedar ke? Nak kalih ke tidak,
nak kalih ke tidak? Dia terus membatu
buat tak tahu hinggalah suara lemah Jed menyeru lagi.
“Que ke?” Makin perlahan. Mata pun hampir tertutup kembali.
“Aku kenal suara kau. Selain suara Lis, suara kau aje aku ingat
dalam kepala aku,” sambung Jed kali ini.
Menyentak ego lelaki Que dengan
agak kuat. Kenyataan Jed tu boleh buat
dia salah faham. Perlahan-lahan dia
kalih.
Hanya memandang sisi wajah, Jed
dah bulat mata. Sungguh Que. Kecilnya dunia? Kenapa boleh jumpa kat sini?
“Ya, aku… sorry…” Que tak senyum sikit
pun. Wajah dah bertentangan.
Jed cuba bangkit
perlahan-lahan.
“Sorry?” Tak faham kenapa Que
ucap maaf.
“Aku terlanggar kau tadi. Tapi, sebab kau corner macam tu aje. Sorry sangat. Kau sakit mana-mana ke? Aku hantar pergi klinik…”
Kepala Jed bergerak. Menggeleng.
Tanda tak nak ke klinik.
Al-kisahnya, Qalam Azad yang dipanggil oleh Kak Zah tadi, Que la. Hati Jed senyum sendiri tapi tak berani nak
zahirkan. Entah apa yang seronok sangat,
dia sendiri tiada jawapannya.
“Nama kau Qalam Azad, eh?”
Que tidak memberi reaksi. Kalau dah tahu, nak tanya buat apa? Terang-terang aku aje jantan dalam rumah ni
sekarang.
“Nama kau Dian Jehanna Puteri, eh?”
soal Que pula. Sangat sarkastik
dengan muka ketat tak ada riak.
“You knew it well enough …”
Que sengih sinis.
“Wrong. I knew but not well
enough.” Selamba dibidas Jed.
“Kalau kau sihat, aku nak blah dah ni. Sungguh, tak nak aku hantar ke klinik?” Sekali lagi soalan itu diajukan. Jangan kata dia dah bangkit, Jed merayu nak
pergi klinik pula.
“Tak nak check otak kau takut bergegar ke.
Lain macam aje kau ni. Tak
mengamuk pun?” soal Que sinis.
Jed ketap bibir. Kena lagi dia. Rasa nak marah macam sebelum ni tapi kepala
dah tak larat nak fikir. Masalah dengan
Ku Zarina dan Tuan Megat pun masih berlahar dalam dada dia. Ni nak tambah lagi gaduh dengan Que, memang
akan buat kekuatan dia tiada berbaki nanti.
Mana lagi ada tenaga lepas terduduk kena langgar tadi.
“Aku okey…” Pendek Jed menjawab.
“Okeylah. Sorry,
eh. Aku ciao…” Que angkat
tubuh.
Dia seluk poket jeans lusuhnya dan mengerling pada
Jed. Nampak tak ada tenaga sungguh Jed
ni. Tak makan ke apa? Kesian betul.
Dahlah kurus, makin kerempeng karang.
“Eh, Jed…”
Jed angkat kepala.
“Kau dah makan belum?”
Jed geleng.
“Nak makan?”
Jed diam.
“Kejap…” Que berlalu ke dapur. Meninggalkan Jed sendiri. Dia tahu tak elok duduk berdua di ruang tamu,
sedangkan Kak Zah ada dalam bilik. Dia
bukan tak percayakan Jed tapi dia tak percayakan diri dia sendiri. Lelaki, dua puluh sembilan tahun dan
tentu-tentunya normal. Biarpun Jed tu
macam hantu, tapi tetap perempuan.
Kejadian Allah yang boleh membinasakan lelaki bila dikuasai nafsu.
Jed pandang susuk tubuh Que yang
dah hilang. Bicara sinis Que tak rasa
nak dibidas seperti kebiasaannya. Dalam
rumah Kak Zah ni dia rasa damai. Apatah
lagi masa ni dia dengar suara Kak Zah dari dalam bilik. Mengalunkan ayat suci Al-Quran yang dah
berkurun tak dia sebut. Entah lidah
masih boleh dilenturkan lagi atau tidak, Jed tak pasti. Dia bangkit sikit. Intai kelibat Que. Tak nampak dah. Que pun main blah macam tu aje, tinggalkan dia.
Jed tak tahu, Que di dapur pun
mengintai Jed yang bersandar pada belakang sofa dengan wajah yang tak ada riak. Hanya celak hitam Jed saja yang dah nampak
sememeh. Nampak mencair dan meleleh
menjadikan keliling matanya semakin hitam pekat. Buat dia lagi gerun nak dipandang. Macam Bellatrix Lestrange dalam Harry
Potter.
Kuali dicapai. Isi dalam mangkuk tingkat yang ibu bagi tadi
untuk Kak Zah, dituang dalam kuali. Mahu
dipanaskan sedikit lauk untuk si puteri yang gering.
‘Dian Jehanna Puteri…’ Hati Que menyeru nama tu. Kenapalah kau pilih jadi macam tu?
Dan Jed, berpaling ke arah pintu
dapur. Terasa nama diseru orang. Dada dia berdebar namun bahasanya, masih tak
mampu dia fahami.
No comments:
Post a Comment