ANIS melangkah laju
menuruni tangga stesen monorail Bukit Bintang. Sesekali dia menjeling jam di
pergelangan tangan, habis dia kalau terlambat masuk ke butik.
Pagi tadi Zarul telefon minta dia datang awal kerana hari ini lelaki itu
ada urusan di bank. Demi kerana terhutang budi dengan Zarul yang selalu coverline untuk dia selama ini, dia
terus setuju tanpa banyak soal.
Tapi masalahnya, dia pun terlambat ni. Habislah kalau Zarul tahu dia
lambat.
Ketika kakinya
menghampiri butik, dia ternampak susuk tubuh lelaki sedang berdiri di hadapan
pintu masuk. Takkan pelanggan sudah sampai?
Eh! kejap. Setahu dia hari ni Winnie tak ada pula beritahu ada sebarang appointment dengan pelanggan. Hati Anis
tertanya sendiri.
Namun, ketika lelaki itu menoleh, jantungnya tiba-tiba mengepam laju.
Lelaki itu! Dia buat apa dekat sini?
Anis mengelabah, lekas-lekas dia pura-pura mencari barang dalam beg
tangannya. Langkah kaki terus perlahan. Dalam kepalanya mula berfikir
macam-macam perkara.
Lelaki tu cari dia ke? Kalau betul, cari dia kenapa? Kalau tak, takkan
nak rompak butik kut? Tapi pakaiannya kemas semacam, tak nampak macam lelaki
terdesak.
Jangan pandang pada pakaian Anis! Entah-entah lelaki tu sengaja menyamar
berpakaian kemas semata-mata nak merompak butik!
Tanpa buang masa, Anis berpatah balik, tidak mahu mengambil risiko. Dia
yakin lelaki itu bukan pelanggan mereka hari ini.
“Anis!” terdengar suara lelaki itu memanggil.
Langkah Anis spontan berhenti. Macam mana lelaki tu tahu nama dia? Rasa
takut mulai menguasai diri Anis. Nak pergi atau tunggu? Hati Anis mula berbelah
bahagi.
Dalam dia mencongak-congak langkah seterusnya yang perlu diambil, tanpa
sedar lelaki itu telah berada hampir dengannya.
Anis menelan liur. Risau.
“Hai,” Lelaki itu menyapa.
Anis diam tidak menyahut.
“Tak jawab berdosa…”
“You beri salam ke?” Laju sahaja Anis menyindir.
Shoot! Beraninya kau Anis!
“Assalamualaikum…” Lelaki itu tunduk memberi salam.
“Waalaikumsalam…” Jawab Anis lambat-lambat.
Si jejaka semakin mendekat. Tangan Anis dah bersedia memegang pepper spray di dalam beg tangannya.
Kalau lelaki ini cuba hendak mengapa-ngapakan dia, tahulah nasibnya nanti.
“Ingat I lagi?”
Anis diam tidak berkutik. Namun matanya sentiasa memerhatikan tingkah
lelaki itu. Takut kalau terleka, tak sempat dia hendak buat apa-apa.
“I.... Haris Ilham.” Haris menghulurkan tangannya untuk bersalaman.
Namun, tidak disambut Anis. Sebaliknya si gadis berundur setapak ke belakang.
“Emmm… I, ada datang ke butik dua tiga hari lepas. Ingat tak?” Haris
pandang wajah Anis. Bimbang si gadis tidak mengenali dirinya sebab itulah wajah
di depannya ini nampak takut-takut dengannya.
Anis masih lagi diam membisu.
“Tak ingat?” soal Haris lagi.
Diam.
“Cuba ingat balik. I ada datang temankan mama I.” Haris mencuba sekali
lagi.
“Mama?” Tiba-tiba tekak Anis terasa kelat.
Mama? Oh God!
“Puan Zaitun. A few days ago. Yang
dah set nak buat appointment baru
tu?” jelas Haris lagi.
Anis telan liur.
“Ya, ingat. Puan Zaitun yang bersanggul kemas dan pakai bulu mata palsu
ala-ala Cik Ta tu?”
Aiyark! Kau kutuk mama orang Anis!
Haris hampir jatuh rahang. Itu yang si gadis ni nampak tentang mamanya?
Hampir tersembur tawanya. Kalau mama dengar memang nahas budak ni!
“Ya, betullah tu,” Haris berdeham perlahan.
Maaf mama, memang bulu mata palsu mama tu agak keterlaluan pun. Haris
tersenyum kecil sambil menggaru kepala yang tiba-tiba terasa gatal.
“Err…dia mama you ke?”
Haris mengangguk.
Anis gigit bibir. Sah dia dah salah sangka. Rasa membahang wajahnya
ketika ini.
“Kenapa dengan muka?”
“Huh?” Tangan Anis dah naik ke muka.
“Muka you tiba-tiba merah. Did I
said anything wrong?” Haris jadi hairan.
“Err…no.”
“Really?”
“Err…yes?”
“I tak percaya. Mesti ada sesuatu yang you fikirkan. Betul tak?” Haris
cuba mendesak.
Entah kenapa hati dia gembira betul melihat wajah itu merona kemerahan.
Dan bila dia mendesak begitu, Anis nampak kelam kabut. Terhibur hatinya yang
panas sejak keluar dari rumah tadi.
“I…I…sebenarnya...” Anis gigit bibir. Nak cakap ke tak nak?
“I apa? Hurmm?” Suara Haris kedengaran dalam tiba-tiba.
Meremang bulu roma Anis dibuatnya.
“I….”
“I apa, Anis?” Haris makin mendekati. Jarak mereka tinggal beberapa inci
sahaja.
Dada Anis mula
berdegup kencang. Haruman dari tubuh Haris buat dia terbuai seketika.
“I apa…” Suara itu makin dekat kedengaran di telinga Anis.
Dan... bagaikan dipukau, Anis terus buka mulut. “I ingat dia sugar mummy you...”
Ya Allah! Tangan Anis cepat-cepat menekup mulut. Apa kau dah cakap ni
Anis? Rasa macam nak tampar mulut sendiri.
“Sugar what?” terkejut, Haris hampir terjerit. Mata dah
membulat pandang wajah gementar Anis.
“Err…” Anis menunduk pandang lantai.
Malu.
Segan.
Tak mampu rasanya hendak memandang wajah Haris. Dia cuma mampu menunggu
Haris menghamburkan kemarahan kerana menuduh lelaki itu yang bukan-bukan.
Namun, lain yang dia harapkan, lain yang terjadi. Bukan kemarahan yang
terbit dari mulut Haris tapi ketawa besar yang buat jantung Anis makin tidak
sekata degupnya.
“Let me get this straight. You ingat mama I tu, sugar mummy I. Maknanya you ingat I ni anak ikanlah?”
Anis cuma mengangguk sambil mengaru batang hidung, cuba menutup malu.
Lebih kurang macam itulah anggapannya.
“What?” Haris ketawa terkekeh.
“Muka I ni ada rupa macam anak ikan ke?”
“Adalah sikit. Lagi pun, puan tu nampak muda. Macam tak percaya ada anak
lelaki sebesar ni.” Sekali lagi bibir Anis menderhaka pada tuan sendiri. Laju
sahaja menjawab tanpa berfikir panjang.
Haris menggeleng kepala dan tersenyum kecil.
“Rendah betul pandangan you terhadap diri I, ya?” perlahan Haris
bersuara.
“Maaf....” perlahan juga perkataan maaf keluar dari bibir Anis.
Jeda.
Kedua-duanya mendiamkan diri. Anis mulai tidak selesa bila dia dapat merasakan
Haris sedang merenungnya. Apa yang lelaki ini hendak sebenarnya ni? Soal hati
Anis sendiri.
“Err…I nak masuk butik.” Anis cuba bergerak ke hadapan, namun tubuh sasa
Haris menghalang perjalanannya.
“Tolong ke tepi?” pinta Anis.
“No.”
“Hah?”
“Urusan kita belum selesai.” Bersahaja Haris bersuara.
“Urusan? Urusan apa?”
Haris tersenyum herot.
“Urusan…” Dia tundukkan sedikit kepalanya mendekati wajah Anis.
“You dan I,” bisiknya perlahan.
“Kita? Sejak bila kita ada urusan?” soal Anis, tak faham.
“Sejak I terpandang wajah you dan hati I mula berkata, I nak you.”
Lembut suara Haris menjawab soalan Anis.
Mata Anis terus membesar. Dia salah dengar ke? Betul ke Haris sebut ‘I
nak you’ tadi? Ke dia salah dengar?
“Malaslah nak layan you. Tepi sikit, I nak masuk kerja.” Anis cuba
menolak tubuh Haris namun pantas lelaki itu menangkap kedua belah tangannya.
“Hey, lepaslah!” Anis cuba menarik tangannya namun Haris makin
mengemaskan pegangnnya. Bibirnya masih tetap menguntum senyum.
“Haris! Lepaslah. You nak apa sebenarnya ni?”
“I. Nak.You.” Tegas Haris memberi jawapan.
Anis terpempan. Okay, dia tak salah dengar.
Sekali lagi mata Anis bulat memandang lelaki itu. Terkejut gila!
Bibirnya digigit kuat.
Senyuman Haris makin
melebar. Wajahnya kembali didekatkan ke arah Anis.
“Ya! I. Nak. You,” ulang Haris lagi dengan wajah serius.
Dia tidak mahu berkias-kias lagi. Sebelum si gadis di’ngap’ oleh lelaki
semalam, biar dia dulu mulakan langkah.
Matanya merenung Anis. Biar gadis ini tahu apa yang ada dalam hatinya.
Dari mata Anis, pandangannya jatuh ke hidung mancung si gadis sebelum jatuh ke
bibir yang sedang diketap kuat itu. Matanya mencerlung memandang sepasang bibir
yang diyakini sedang kepedihan.
“You terlalu cantik, Anis
Sophea…” Haris tegakkan badan, kedua belah tangan dijatuhkan ke sisi.
“So, what say you? Do you want me too?” penuh bersahaja Haris menyoal.
“Huh?”
“You nak I tak?”
Tiba-tiba terdengar bunyi orang ketawa.
Anis tersentak. Mata melilau ke sekelilingnya. Beberapa orang pelayan
Cafe Hot Gossip sedang ralit menonton drama sebabak dia dan Haris rupanya.
Berbisik sambil ketawa memandang tingkah mereka berdua.
Wajah Anis kembali membahang. Malu! Haris dipandang garang. Tanpa
sebarang kata, tubuh itu ditolak kuat dan Anis terus bergerak menuju ke pintu
butik.
Gila! Lelaki ini memang gila!