Tuesday, 23 September 2014

Bab 9 : MUTIARA HATIKU RAFFLESIA -BILL BORA




ANIS melangkah laju menuruni tangga stesen monorail Bukit Bintang. Sesekali dia menjeling jam di pergelangan tangan, habis dia kalau terlambat masuk ke butik.
Pagi tadi Zarul telefon minta dia datang awal kerana hari ini lelaki itu ada urusan di bank. Demi kerana terhutang budi dengan Zarul yang selalu coverline untuk dia selama ini, dia terus setuju tanpa banyak soal.
Tapi masalahnya, dia pun terlambat ni. Habislah kalau Zarul tahu dia lambat.
Ketika kakinya menghampiri butik, dia ternampak susuk tubuh lelaki sedang berdiri di hadapan pintu masuk. Takkan pelanggan sudah sampai?
Eh! kejap. Setahu dia hari ni Winnie tak ada pula beritahu ada sebarang appointment dengan pelanggan. Hati Anis tertanya sendiri.
Namun, ketika lelaki itu menoleh, jantungnya tiba-tiba mengepam laju.
Lelaki itu! Dia buat apa dekat sini?
Anis mengelabah, lekas-lekas dia pura-pura mencari barang dalam beg tangannya. Langkah kaki terus perlahan. Dalam kepalanya mula berfikir macam-macam perkara.
Lelaki tu cari dia ke? Kalau betul, cari dia kenapa? Kalau tak, takkan nak rompak butik kut? Tapi pakaiannya kemas semacam, tak nampak macam lelaki terdesak.
Jangan pandang pada pakaian Anis! Entah-entah lelaki tu sengaja menyamar berpakaian kemas semata-mata nak merompak butik!
Tanpa buang masa, Anis berpatah balik, tidak mahu mengambil risiko. Dia yakin lelaki itu bukan pelanggan mereka hari ini.
“Anis!” terdengar suara lelaki itu memanggil.
Langkah Anis spontan berhenti. Macam mana lelaki tu tahu nama dia? Rasa takut mulai menguasai diri Anis. Nak pergi atau tunggu? Hati Anis mula berbelah bahagi.
Dalam dia mencongak-congak langkah seterusnya yang perlu diambil, tanpa sedar lelaki itu telah berada hampir dengannya.
Anis menelan liur. Risau.
“Hai,” Lelaki itu menyapa.
Anis diam tidak menyahut.
“Tak jawab berdosa…”
“You beri salam ke?” Laju sahaja Anis menyindir.
Shoot! Beraninya kau Anis!
“Assalamualaikum…” Lelaki itu tunduk memberi salam.
“Waalaikumsalam…” Jawab Anis lambat-lambat.
Si jejaka semakin mendekat. Tangan Anis dah bersedia memegang pepper spray di dalam beg tangannya. Kalau lelaki ini cuba hendak mengapa-ngapakan dia, tahulah nasibnya nanti.
“Ingat I lagi?”
Anis diam tidak berkutik. Namun matanya sentiasa memerhatikan tingkah lelaki itu. Takut kalau terleka, tak sempat dia hendak buat apa-apa.
“I.... Haris Ilham.” Haris menghulurkan tangannya untuk bersalaman. Namun, tidak disambut Anis. Sebaliknya si gadis berundur setapak ke belakang.
“Emmm… I, ada datang ke butik dua tiga hari lepas. Ingat tak?” Haris pandang wajah Anis. Bimbang si gadis tidak mengenali dirinya sebab itulah wajah di depannya ini nampak takut-takut dengannya.
Anis masih lagi diam membisu.
“Tak ingat?” soal Haris lagi.
Diam.
“Cuba ingat balik. I ada datang temankan mama I.” Haris mencuba sekali lagi.
“Mama?” Tiba-tiba tekak Anis terasa kelat.
Mama? Oh God!
“Puan Zaitun. A few days ago. Yang dah set nak buat appointment baru tu?” jelas Haris lagi.
Anis telan liur.
“Ya, ingat. Puan Zaitun yang bersanggul kemas dan pakai bulu mata palsu ala-ala Cik Ta tu?”
Aiyark! Kau kutuk mama orang Anis!
Haris hampir jatuh rahang. Itu yang si gadis ni nampak tentang mamanya? Hampir tersembur tawanya. Kalau mama dengar memang nahas budak ni!
“Ya, betullah tu,” Haris berdeham perlahan.
Maaf mama, memang bulu mata palsu mama tu agak keterlaluan pun. Haris tersenyum kecil sambil menggaru kepala yang tiba-tiba terasa gatal.
“Err…dia mama you ke?”
Haris mengangguk.
Anis gigit bibir. Sah dia dah salah sangka. Rasa membahang wajahnya ketika ini.
“Kenapa dengan muka?”
“Huh?” Tangan Anis dah naik ke muka.
“Muka you tiba-tiba merah. Did I said anything wrong?” Haris jadi hairan.
“Err…no.”
“Really?”
“Err…yes?”
“I tak percaya. Mesti ada sesuatu yang you fikirkan. Betul tak?” Haris cuba mendesak.
Entah kenapa hati dia gembira betul melihat wajah itu merona kemerahan. Dan bila dia mendesak begitu, Anis nampak kelam kabut. Terhibur hatinya yang panas sejak keluar dari rumah tadi.
“I…I…sebenarnya...” Anis gigit bibir. Nak cakap ke tak nak?
“I apa? Hurmm?” Suara Haris kedengaran dalam tiba-tiba.
Meremang bulu roma Anis dibuatnya.
“I….”
“I apa, Anis?” Haris makin mendekati. Jarak mereka tinggal beberapa inci sahaja.
Dada Anis mula berdegup kencang. Haruman dari tubuh Haris buat dia terbuai seketika.
“I apa…” Suara itu makin dekat kedengaran di telinga Anis.
Dan... bagaikan dipukau, Anis terus buka mulut. “I ingat dia sugar mummy you...”
Ya Allah! Tangan Anis cepat-cepat menekup mulut. Apa kau dah cakap ni Anis? Rasa macam nak tampar mulut sendiri.
“Sugar what?” terkejut, Haris hampir terjerit. Mata dah membulat pandang wajah gementar Anis.
“Err…” Anis menunduk pandang lantai.
Malu.
Segan.
Tak mampu rasanya hendak memandang wajah Haris. Dia cuma mampu menunggu Haris menghamburkan kemarahan kerana menuduh lelaki itu yang bukan-bukan.
Namun, lain yang dia harapkan, lain yang terjadi. Bukan kemarahan yang terbit dari mulut Haris tapi ketawa besar yang buat jantung Anis makin tidak sekata degupnya.
“Let me get this straight. You ingat mama I tu, sugar mummy I. Maknanya you ingat I ni anak ikanlah?”
Anis cuma mengangguk sambil mengaru batang hidung, cuba menutup malu. Lebih kurang macam itulah anggapannya.
“What?” Haris ketawa terkekeh.
“Muka I ni ada rupa macam anak ikan ke?”
“Adalah sikit. Lagi pun, puan tu nampak muda. Macam tak percaya ada anak lelaki sebesar ni.” Sekali lagi bibir Anis menderhaka pada tuan sendiri. Laju sahaja menjawab tanpa berfikir panjang.
Haris menggeleng kepala dan tersenyum kecil.
“Rendah betul pandangan you terhadap diri I, ya?” perlahan Haris bersuara.
“Maaf....” perlahan juga perkataan maaf keluar dari bibir Anis.
Jeda.
Kedua-duanya mendiamkan diri. Anis mulai tidak selesa bila dia dapat merasakan Haris sedang merenungnya. Apa yang lelaki ini hendak sebenarnya ni? Soal hati Anis sendiri.
“Err…I nak masuk butik.” Anis cuba bergerak ke hadapan, namun tubuh sasa Haris menghalang perjalanannya.
“Tolong ke tepi?” pinta Anis.
No.”
“Hah?”
“Urusan kita belum selesai.” Bersahaja Haris bersuara.
“Urusan? Urusan apa?”
Haris tersenyum herot.
“Urusan…” Dia tundukkan sedikit kepalanya mendekati wajah Anis.
“You dan I,” bisiknya perlahan.
“Kita? Sejak bila kita ada urusan?” soal Anis, tak faham.
“Sejak I terpandang wajah you dan hati I mula berkata, I nak you.” Lembut suara Haris menjawab soalan Anis.
Mata Anis terus membesar. Dia salah dengar ke? Betul ke Haris sebut ‘I nak you’ tadi? Ke dia salah dengar?
“Malaslah nak layan you. Tepi sikit, I nak masuk kerja.” Anis cuba menolak tubuh Haris namun pantas lelaki itu menangkap kedua belah tangannya.
“Hey, lepaslah!” Anis cuba menarik tangannya namun Haris makin mengemaskan pegangnnya. Bibirnya masih tetap menguntum senyum.
“Haris! Lepaslah. You nak apa sebenarnya ni?”
“I. Nak.You.” Tegas Haris memberi jawapan.
Anis terpempan. Okay, dia tak salah dengar.
Sekali lagi mata Anis bulat memandang lelaki itu. Terkejut gila! Bibirnya digigit kuat.
Senyuman Haris makin melebar. Wajahnya kembali didekatkan ke arah Anis.
“Ya! I. Nak. You,” ulang Haris lagi dengan wajah serius.
Dia tidak mahu berkias-kias lagi. Sebelum si gadis di’ngap’ oleh lelaki semalam, biar dia dulu mulakan langkah.
Matanya merenung Anis. Biar gadis ini tahu apa yang ada dalam hatinya. Dari mata Anis, pandangannya jatuh ke hidung mancung si gadis sebelum jatuh ke bibir yang sedang diketap kuat itu. Matanya mencerlung memandang sepasang bibir yang diyakini sedang kepedihan.
 “You terlalu cantik, Anis Sophea…” Haris tegakkan badan, kedua belah tangan dijatuhkan ke sisi.
“So, what say you? Do you want me too?” penuh bersahaja Haris menyoal.
“Huh?”
“You nak I tak?”
Tiba-tiba terdengar bunyi orang ketawa.
Anis tersentak. Mata melilau ke sekelilingnya. Beberapa orang pelayan Cafe Hot Gossip sedang ralit menonton drama sebabak dia dan Haris rupanya. Berbisik sambil ketawa memandang tingkah mereka berdua.
Wajah Anis kembali membahang. Malu! Haris dipandang garang. Tanpa sebarang kata, tubuh itu ditolak kuat dan Anis terus bergerak menuju ke pintu butik.
Gila! Lelaki ini memang gila!
Arghh! Kenapa dia harus muncul dalam hidup aku?

Sunday, 21 September 2014

Bab 8 : MUTIARA HATIKU RAFFLESIA - BILL BORA

            
                                     

      
PUAN ZAITUN membelek wajah di cermin. Setelah yakin solekan di wajahnya kemas tanpa sebarang comot, tangannya mencapai gincu berwarna pink lembut, kemudian dioles ke bibirnya.
            Gincu diletakkan kembali ke atas meja solek sebelum berdiri tegak di hadapan cermin, memeriksa penampilannya hari ini.
            Rambutnya elok tersanggul. Mekapnya tipis namun cukup menaikkan seri wajah. Baju kebaya moden yang tersarung di badan nampak elok terletak.
            Dia tersenyum puas hati.
            “Awalnya bersiap, awak nak ke mana ni?” Tuan Eskandar merenung isterinya di meja solek sambil kedua belah tangannya membetulkan tali leher sendiri.
            “Jumpa bakal menantu kita,” jawab Puan Zaitun sambil tersenyum meleret.
            “Bakal menantu kita? Bukan bakal menantu awak?” usik Tuan Eskandar.
            Serentak itu wajah ceria Puan Zaitun berubah kelam, dia segera menoleh ke arah suaminya.
            “Abang tak mengaku Haris tu anak abang ke?” Puan Zaitun mencerlung pada suaminya.
            Tuan Eskandar ketawa kecil.
            “Awak ni, lain yang abang maksudkan, lain pula yang awak faham.”
            “Dah abang tak mengaku itu bakal menantu kita, mesti sebab abang tak mengaku Haris tu anak abang, kan?” Puan Zaitun menarik wajah masam.
            Tuan Eskandar datang menghampiri si isteri. Kedua belah tangannya memicit-micit kedua belah bahu isterinya. Kalau si isteri merajuk, memang itu saja caranya untuk pulihkan rajuknya.
            “Kenapa pula abang tak nak mengaku. Anak sekacak Haris tu memang menjadi kebanggaan seorang ayah tau. Kalau tak kerana emaknya yang jelita, tak mungkin abang boleh dapat anak sekacak itu. Nak harapkan DNA abang yang tak berapa nak handsome ni, tak mungkin boleh dapat anak sekacak dan sebijak Haris,” pujuk Tuan Eskandar.
            Hati Puan Zaitun berbunga-bunga. Itulah antara sebab mengapa dia suka merajuk sebab dia seronok dipujuk oleh si suami.
            “Mestilah dia bijak sebab ayah dia. Tinggi dan kacak sebab ayah dia juga,” Puan Zaitun tersenyum meleret. Dia tahu si suami saja merendah-rendahkan diri. Kalau tidak kerana jatuh cinta pandang pertama pada Eskandar, mana mungkin dia sanggup jadi isteri kepada lelaki tampan ini.
            “Jadi, siapa bakal menantu kita tu?” soal Tuan Eskandar sambil merenung wajah si isteri melalui cermin.
            “Siapa lagi, anak manja kawan baik awaklah.”
            “Kazim?”
            “Abang ada kawan baik lain ke?”
            Klise,” Tuan Eskandar menaikkan kening pada si isteri, kemudian tersenyum kecil. Kawan baik menjodohkan anak masing-masing. Memang sangat klise!
            Klise ke… apa ke… saya tak kisah. Yang saya kisah darah kita tak mengalir ke tempat yang salah. DNA anak cucu kita terjaga.”
            Tuan Eskandar menggeleng kepala. Apabila isterinya membuka cerita bab darah ni memang dia tidak berapa hendak setuju. Penting sangatkah darah kerabat yang mereka pertahankan selama ni? Bukankah darah manusia sama saja?
            Pernah juga dia cuba ubah pemikiran Puan Zaitun, tapi sudahnya berakhir dengan masam muka kemudian tak fasal-fasal berhari-hari dia kena pujuk. Kalau pujuk macam tadi dia tidak kisah, tetapi kalau sampai beribu-ribu duit melayang, memang dia sanggup mendiamkan diri dari bercakap soal darah keturunan dengan isterinya.
            “Haris tahu ke awak dah buat keputusan ni?” Tuan Eskandar mula tak sedap hati.
            “Sekejap lagi dia tahulah,” jawab Puan Zaitun acuh tak acuh.
            Kedua belah kening Tuan Eskandar terangkat. “Sayang…soal nikah kahwin ni bukan benda main-main. Kena ada persetujuan dari tuan punya badan baru kita boleh merancang itu ini.”
            Puan Zaitun tersenyum lebar.
            “Anak kesayangan kita tu mana pernah membantah cakap saya selama ni. Lagipun saya mama dia. Saya tahu apa yang terbaik untuk anak kita. Abang jangan risaulah. Haris mesti setuju punya.” Penuh yakin Puan Zaitun membahas.
            Tuan Eskandar hanya mampu menggeleng. Simpati pada si anak mula muncul dalam hati. Tapi dia sendiri tak mampu nak cakap apa-apa bila Puan Zaitun dah bersuara. Harapan dia agar si anak tidak ada pilihan sendiri. Jadi, kuranglah rasa bersalah dia bersetuju dengan rancangan si isteri. Kalau tidak, filem Antara Dua Darjat 2014 bakal terjadilah nampaknya.
             
             

BAU haruman semerbak buat Puan Zaitun sedut nafas panjang-panjang.
“Wanginya?” Dia menjeling Haris yang baru turun dari biliknya.
Tak pernah-pernah anak tunggal dia ni bau semerbak macam ni sebelum ini. Tiba-tiba hati Puan Zaitun rasa semacam, lebih-lebih lagi apabila melihat senyuman dan wajah ceria si anak.
            “Morning mama,” Haris mencium pipi kanan mamanya.
            “Nak jumpa siapa ni?” Puan Zaitun memandang curiga. Sapaan selamat pagi dari si anak tidak disambut. Takkan nak jumpa pelanggan sewangi ini?
            “Bakal menantu mama,” jawab Haris bersahaja.
            Serentak itu Puan Zaitun tersedak. Kopi yang baru sedikit disisip diletakkan pantas ke atas meja.
            Tuan Eskandar segera menepuk-nepuk belakang isterinya.
            “Haris!” Tuan Eskandar menjeling anaknya.
            Haris ketawa kecil.
            “Amboi mama, sampai tersedak. Terkejut gembira ke terkejut tak gembira ni?” usik Haris, tersenyum sambil menunggu pembantu rumah mereka menuang kopi ke dalam cawan di depannya.
            “Bergantung kepada siapa calonnya. Kalau kena dengan taste mama, terkejut gembira. Kalau tidak…” Dengan wajah serius, Puan Zaitun membiarkan ayat itu tergantung.
            “Siapa?” soalnya keras selepas si anak hanya mendiamkan diri.
            Haris yang sedang menyuap sarapan pagi mengangkat wajah memandang wajah mamanya. Melihat renungan tajam terarah padanya, terus hatinya jadi kecut.
            “Berguraulah mama,” Haris telan liur. Tidak boleh berterus terang sekarang, nanti tidak fasal-fasal pagi yang indah akan jadi huru hara. Papa pun dah menjeling beri amaran.
            “Hal menantu jangan nak bergurau, ya,” pesan Puan Zaitun tegas.
            Sekali lagi Haris telan liur. Sudah terbayang di ruang matanya halangan yang bakal dia hadapi. Terngiang-ngiang kembali perbualan dia dengan Shakir semalam. Sanggupkah dia harungi semua itu?
            Tidak mahu membebankan fikiran sendiri dengan perkara yang belum pasti, Haris cepat-cepat menukar topik perbualan mereka sekeluarga.
            “Pagi-pagi ni mama lawa semacam je, nak pergi mana? Takkan pergi pasar?” Haris pandang penampilan mamanya. Kalau tengok dari pakaian dan solekan, dia yakin mamanya bukan hendak ke pasar.
            “Jumpa bakal menantu,” jawab Puan Zaitun.
            Kali ini tiba giliaran Haris pula tersedak. Air yang ditelan terasa tercekik di kerongkong.
            “Dah kenapa pagi ni semua orang asyik tersedak je ni? Makan tak baca bismillah ke?” sindir Tuan Eskandar sambil menggeleng kepala.
            “Amboi! sampai tersedak, gembira nak dapat calon isteri ke?” perli Puan Zaitun.
            Haris tersengih. Mama ni, dah pandai nak perli dia pula.
            “Bergantung kepada calonnya,” balas Haris, sengaja memulang sinikal mamanya tadi.
            “Melly,” jawab Puan Zaitun tanpa selindung lagi.
            “Hah?” bulat mata Haris memandang mamanya.
            Walaupun sudah berkali-kali nama Melly disebut mamanya, kali ini kejutannya lain benar. Terasa seperti ada renjatan elektrik pada janungnya.
            “You’re kidding, right?”
            “Mama tak bergurau. Mulai hari ini, Haris kena belajar menerima hakikat.”
            “Mama… kan Haris dah banyak kali cakap. Haris tak suka Melly. Hati Haris tak pernah suka pada dia.”
            “Tak kenal maka tak cinta. Nanti mama akan susun supaya Haris dan Melly keluar berdua. Kenal hati budi masing-masing. Lepas kenal mesti Haris suka,” tegas Puan Zaitun.
            Haris pandang papanya, mengharap sokongan namun sebaliknya Tuan Eskandar langsung tidak angkat wajah dari dada surat khabar.
            Terus dia mendengus kasar. Nampaknya dia berseorang dalam hal ini.
            Tidak!
            Apa jadi pun dia tidak akan memilih Melly. Selama ini hidupnya ditentukan mamanya. Tapi kali ini dia tidak akan biarkan Puan Zaitun menentukan siapa pasangan hidupnya. Ini soal hati dan perasaan. Soal siapa yang bakal jadi peneman hari tuanya. Soal siapa yang bakal jadi ibu kepada anak-anaknya.
            Dia tak sanggup menyentuh mana-mana wanita tanpa rasa cinta. Dia mahukan hidup yang dipenuhi rasa sayang. Dia mahukan rumah tangga yang dibina dari rasa cinta kedua belah pihak.
            Dan Haris yakin, semua itu tidak akan diperolehi jika dia bersama Melly. Semua itu hanya akan dapat dikecapinya jika si gadis mutiara yang berada di sampingnya.
            Apa pun yang terjadi, dia akan pastikan, Anis Sophea bakal menjadi suri hatinya!
            Apa pun yang terjadi, dia akan dapatkan apa yang hatinya mahu.