Bab 2
Lelaki itu menghampiri
dirinya dengan nafas mencungap. Penat sungguh gayanya. Macam orang semput pun
ada juga. Jelas benar yang lelaki ini seorang yang kurang bersenam. Baru
berlari sikit sudah tak larat dan termengah-mengah.
Sambil menunggu lelaki itu mendekatinya, Izyan melakukan
senaman ringan yang baik untuk pinggang dan pernafasan. Dia berhenti apabila
Zahin sudah pun berdiri di sisi kiri. Segera dia tunduk mengambil sebotol air
mineral lalu menghulurkannya kepada lelaki itu.
“Penat sangat ke?” soalnya.
Lelaki itu mengangguk. “Awak lari laju sangat. Tak
terkejar saya!” ujar Zahin, masih dalam keadaan lelah.
"Tak siapa suruh awak kejar saya pun," balas
Izyan selamba. Dia mahu meneruskan aktiviti mingguannya yang asyik terganggu
pagi ini. Selalunya, kalau sudah pukul tujuh pagi seperti sekarang, dia sudah
siap melakukan dua larian ulang alik di sepanjang pantai. Bagaimanapun,
kehadiran Zahin mengganggu rentak biasanya. Berkali-kali dia terpaksa berhenti
kerana menunggu lelaki itu. Lari lagi, berhenti lagi. Bosan sungguh dia. Dan,
apabila melihat tubuh yang sasa tetapi sudah pun lembik terdampar di atas
pasir, dia mencebik.
“Kalau tengokkan luaran awak ni, bukan main gagah nampaknya.
Sasa sungguh. Tapi sebenarnya, habuk pun tarak. Lari sikit dah semput. Apa daa?” Izyan mengutuk.
“Sampai hati awak kutuk saya, Yan.”
Izyan ketawa. Geli hatinya melihat raut yang sudah cemberut.
“Dah, jangan nak ambik hati! Tak siapa nak pujuk awak.”
“Kejam betul awak ni,” kata Zahin sambil menjeling.
“Dahlah, saya nak lari lagi. Nanti kita jumpa di
kereta, ya!”
“Yan, please
stop. Tak payahlah lari lagi. Tak larat dah ni.”
“Yang tak berdaya tu awak. Saya okey lagi la!”
“Please! Jangan tinggalkan
saya."
Mata Izyan mengecil mendengar rayuan itu. Rasanya dia
tidak salah dengar. Rasanya juga, Zahin tidak merujuk kepada apa yang sedang
dia buat. Dia yakin ada maksud tersirat yang cuba disampaikan. Pun begitu, Izyan
buat-buat selamba. Bab hati dan perasaan Zahin, dia enggan mengambil tahu.
Sambil mengelap peluh di leher, laju dia mengutuk
lelaki itu. “Lain kali kalau tak larat, tak payah ikut saya, awak. Duduk aje di
rumah dan tidur. Kasi perut awak tu besar lagi.”
Laju sahaja tangan Zahin memegang perut. “Hesy, kempis aje perut saya ni, Yan,”
balasnya.
Izyan tergelak halus.
Wajah yang ceria itu berjaya menarik perhatian Zahin. Lama
pandangannya melekat pada raut yang jelita itu. “Cantiknya awak bila gelak,
Yan. Awak kenalah selalu macam ni. Barulah tak nampak garang muka tu.” Dia
memuji.
“Saya garang ya?”
“Sangat. Tapi saya suka,” balas Zahin sambil
tersengih.
“Yalah tu,” balas Izyan yang enggan percaya.
“Saya suka awak, Yan. Sangat-sangat suka. Awak tahu,
kan?”
Ini yang cuba dielak oleh Izyan. Berbincang tentang
perasaan. Dia tak suka. Sebab itulah setiap kali Zahin cuba meluahkan rasa
hatinya, dia segera mengubah topik. Dan kali ini juga dia melakukan yang sama.
Pantas saja muka jam direnung. “Dah lewatlah, awak. Jom balik.”
Zahin mendengus. Dia geram dengan Izyan. Tahu yang
wanita ini sedang mengelak.
“Yan, sampai bila awak nak larikan diri awak tu dari
saya? Sampai bila nak pekakkan telinga mendengar luahan hati saya ni?” marahnya.
Pagi ini, Zahin mahu gunakan kesempatan yang ada,
sepenuhnya. Dia tak sanggup menunggu lagi. Tak sanggup menahan gejolak hati.
Kalau boleh dia mahu isytiharkan kepada semua bahawa Izyan ialah cinta hatinya.
Bahawa Izyan miliknya.
Entah mengapa, Izyan sedikit gugup mendengar pengakuan
Zahin hari ini. Pun begitu, dia cuba sedaya upaya untuk beriak selamba. Lagipun
dia tak teruja langsung mendengarnya. Sedikit pun Izyan tidak berasa seronok.
Tak tahulah kenapa.
“Yan, kenapa diam? Awak tak dengar apa yang saya
cakap?”
Izyan tarik nafas panjang sebelum menyahut. “Dengar.”
“Dah tu?”
“Saya tak sedia lagi, Zahin.”
“Apa maksud awak, Yan? Awak tak suka saya ke?” tanya Zahin.
Sedih riak wajahnya kini.
“Awak, boleh tak kalau kita cakap pasal ni lain kali
saja? Saya tak ada mood nak bincang
soal hati dan perasaan waktu pagi macam ni, tahu tak?” Izyan membentak.
“Banyaklah awak ni, Yan. Awak asyik nak mengelak saja.”
“Mana ada? Tolonglah, Zahin. Saya tak naklah bincang pasal
ni. Saya tak suka, okey.”
Zahin mengetap bibir menahan rasa marah mendengar
jawapan sambil lewa Izyan. Boleh pula dia tak ada moodlah, tak nak bincanglah, tak sukalah. Semua itu hanya alasan.
“Kalau tak suka cakap terus terang, Yan. Tak payah nak
berdolak-dalih macam ni,” rajuknya.
Izyan tahu Zahin kecewa dengan alasan yang dia beri.
Namun untuk memberi harapan, dia tak berani saat hatinya sendiri masih tak
punya rasa untuk membalas perasaan Zahin terhadapnya.
“Suka hati awaklah nak fikir apa pun, Zahin. Sekarang
saya nak balik. Jumpa awak esok, ya.”
“Awak nak balik dah?”
“Hmm. Tak payah hantar saya. Saya jalan kaki aje.”
“Mana boleh macam tu? Awak datang dengan saya, balik
pun mesti dengan saya juga. Faham?”
Izyan mendengus. Sekali lagi hatinya sakit dengan
sikap keras kepala Zahin. Dia tak suka apabila Zahin memaksa dan rasa menyampah
itu terpamer pada wajahnya. “Jangan paksa saya, boleh tak? Saya penat dengan
kerenah awak.”
Buntang mata Zahin saat ini. Nampak jelas yang dia
sedang menahan marah. “Penat dengan kerenah saya? Awak cakap apa ni, Yan?”
Izyan mendengus. “Berapa kali saya nak cakap yang saya
tak nak bincang pasal tu. Kenapalah awak susah sangat nak faham, Zahin?”
“Maksud awak, awak tak suka saya sentuh pasal kita.
Awak tak suka bila saya tanya awak tentang hati, tentang perasaan. Macam tu?”
Izyan angguk. “Saya belum bersedia lagi. Awak faham
kan?” balas Izyan.
“Tak, saya tak faham. Apa yang menyebabkan awak susah
sangat nak buat keputusan? Bukan awak nak kena memilih pun. Saya seorang saja
yang nak awak. Itu pun nak kena fikir juga?” marah Zahin. Cukup sukar untuk dia
menerima sikap Izyan yang satu ini. Yang payah hendak menerima cintanya. Entah
apa yang menghalang, dia tak tahu.
“Saya belum bersedia nak terima cinta awak, Zahin.
Boleh tak bagi ruang untuk saya bernafas? Untuk saya berfikir? Bukan lama mana
pun. Tak boleh ke kalau awak bersabar sikit?” Izyan meninggikan suaranya. Marah
sudah!
“Apa hal awak naik angin tak pasal-pasal ni?” tanya Zahin
pula.
Izyan enggan bertikam lidah dengan Zahin. Bimbang akan
terguris perasaan andai keluar patah kata yang tidak sedap didengar. Jadi dia
mengambil keputusan untuk pergi dari situ. Namun baru sahaja hendak melangkah meninggalkan
lelaki itu, Zahin laju menghalang. Tangan Izyan dilelar.
“Sakitlah, awak!” jerit Izyan sambil cuba melepaskan
tangan yang dicengkam oleh Zahin. Dia kan kurus? Tentulah perbuatan Zahin itu menyebabkan
dia kesakitan.
Tiba-tiba...
“Tak baik berkasar dengan orang perempuan, bro. Kesian dia. Sakit tangan dia kau
buat macam tu!”
Tersentak, Zahin cepat-cepat melepaskan tangan Izyan.
Wajah Izyan direnungi. Laju dia meminta maaf. “Yan, maafkan saya. Saya tak
berniat nak sakitkan awak. Saya tak sengaja.”
Izyan tidak langsung memberi perhatian kepada Zahin.
Malah dia tak dengar pun apa yang Zahin katakan. Perhatiannya hanya kepada
pemilik suara garau tadi. Lelaki yang baru sahaja melangkah pergi.
Hati berdegup kencang melihat susuk itu daripada
belakang. Dan tadi, dia amat yakin yang dia pernah mendengar suara itu. Dia pasti
yang dia tidak silap orang.
‘Tapi, kalau betul itu dia, kenapa dia tak tegur aku?
Takkan dia tak kenal aku kut?’ hati bertanya.
“Yan, kenapa ni?” Zahin bertanya apabila melihat Izyan
yang sedang kebingungan.
“Awak nampak dia tak, Zahin?” tanya Izyan. Leher masih
dipanjangkan untuk mencari lelaki misteri itu. Malangnya dia dah tak nampak figura
itu lagi.
“Nampak siapa?” Zahin semakin keliru.
Izyan tarik nafas panjang dan melepaskan
perlahan-lahan. Risau lebih banyak soalan meniti keluar dari bibir Zahin, dia
menggeleng.
“Orang lain agaknya,” omelnya perlahan.
Lama Zahin memerhati gelagat Izyan tanpa suara. Izyan
yang kelihatan cemas dan gelisah. Memikirkan kemungkinan Izyan masih lagi
marahkan dirinya, Zahin cepat-cepat memberitahu, “Tadi saya marah sangat, Yan.
Sebab itu saya tak dapat kawal diri saya. Maafkan saya sekali lagi, Yan. Please.”
Izyan senyum. Dia malas hendak berbalah lagi. Dia tak
mahu Zahin terus salah sangka terhadap dirinya. “Saya okey aje. Tak marah pun.”
“Tapi...”
“Saya nak balik.”
“Jom saya hantar.”
Kerana tidak mahu menghampakan Zahin, Izyan
mengangguk. Zahin tersenyum melihatnya.
Mereka beriringan menuju ke kereta. Bagaimanapun, Izyan
masih tidak mampu melupakan ‘orang itu’. Hati masih runsing memikirkannya.
‘Kalau bukan, legalah aku. Tapi kalau betul itu dia,
macam mana? Apa aku nak buat nanti?’
No comments:
Post a Comment