Monday, 10 November 2014

Bab 3:KU PIKAT JANDAKU - ANA SOFIYA

Bab 3

Lelaki itu sudah pun hilang daripada pandangan namun Izyan masih yakin bahawa dia pernah mendengar suara garau itu.
‘Kenapa suara dia orang macam sama sangat? Dah tu dari belakang pun ‘orang tu’ nampak macam dia. Takkanlah satu kebetulan pulak?’ hati bertanya.  
Saat itu pula pandangan Izyan terpaku ke satu arah. Di situ berdiri seorang lelaki dan seorang perempuan di tepi sebuah kereta mewah. Hatinya berdebar memandang apa yang sedang dilakukan oleh pasangan itu. Bagi orang lain mungkin itu pemandangan yang biasa, tiada apa-apa yang menarik. Namun bagi Izyan, apa yang dilihat itu amat istimewa. Ralit dia menyaksikan wanita yang anggun bergaya itu membetulkan tali leher yang dipakai oleh pasangannya.
Seluruh ingatannya berlari ke masa lalu hanya kerana melihat adegan itu. Bibir menyerlahkan senyuman apabila kejadian yang berlaku di Giant  itu kembali terlayar di pandangan. Kejadian yang bermula dengan dua patah perkataan. Tali dan leher. Tali leher...


Izyan sedang sibuk mengemas dan melipat semula baju yang dipunggah oleh pelanggan ketika matanya terpandangkan lelaki yang sedang berdiri tidak jauh daripadanya. Renungannya terus melekat, tidak berkalih lagi. Memang ternyata Izyan sudah terpesona pada gaya dan penampilan lelaki itu.
Mira yang sejak tadi menjadi pemerhati, menggeleng. Pinggang Izyan disinggulnya. “Apa hal kau ni? Tak pernah nampak lelaki handsome?” sinisnya.
Izyan menggeleng. “Memang tak ada yang macam dia. Stok biasa-biasa tu, ramailah.” Dia membalas.
“Bukan main ralit kau tengok dia. Dah berkenan?” tanya Mira lagi.
Izyan tidak menyahut. Sebaliknya dia pula yang menyoal. “Kau rasa dia nak beli apa?”
“Pergilah tanya dia,” suruh Mira.
“Kalau aku yang tanya dia, nanti kau melepas pulak.” Izyan berlawak. 
“Eleh, kalau berani pergilah cuba nasib kau. Entah-entah dia buat tak tahu aje nanti.”
“Aik, cabar aku nampak?” Izyan bulatkan sepasang mata. Geramlah kononnya.
“Pergilah, Yan. Kesian aku tengok dia. Dari tadi tak jumpa-jumpa apa yang dia cari.”
“Yalah, kan? Tapi salah dia juga. Kenapa cari sendiri padahal kita ada tercongok kat sini? Tanya aje, tentu kita boleh tolong dia.” Izyan mencemuh.
“Agaknya dia tunggu kaulah tu untuk tolong dia. Pergilah cepat!”
Tubuh Izyan ditolak oleh Mira sehingga terdorong ke hadapan. Izyan mengetap bibirnya, menahan marah. Tapi langkah tetap diatur mendekati pemilik tubuh yang tinggi dan tegap itu.   
Semakin dekat jarak antara mereka semakin dapat dia melihat lelaki itu dengan lebih galak. Waktu ini si dia sedang menegakkan tubuhnya. Mungkin sudah penat menunduk sedari tadi lagi. Kepala lelaki itu pula sekejap tengok sana sekejap tengok sini tanda dia sedang mencari sesuatu. Apalah yang hendak dibeli agaknya? Hati Izyan tertanya-tanya.
“Yang aku malas shopping kat tempat macam ni, inilah sebabnya. Bila aku desperate sangat hendakkan benda tu, mesti tak jumpa.” Lelaki itu merungut.
“Kalau tak jumpa, lain kali mintalah tolong kami carikan.” Izyan menyampuk.
Lelaki itu mencerlungkan pandangan ke muka Izyan. “Macam mana kau orang susun barang? Semua berterabur. Bersepah-sepah! Nak suruh aku punggah habis bahagian lelaki ni baru puas hati kut?” soalnya lagi. Masih bernada garang.  
Izyan menjuihkan bibir. “Encik cari apa?” tanya dia. Peratus suka tadi sudah merudum. Markah yang tinggi tadi sudah pun jatuh sebaik sahaja lelaki ini membebel. Izyan paling benci dengan lelaki yang berperangai teruk begitu biarpun hatinya masih kagum dengan penampilan si dia yang sungguh bergaya. Yang pasti, pakaian dan kasut yang tersarung di tubuh lelaki itu adalah daripada jenama yang hebat dan mahal.
‘Entah-entah ini kali pertama dia masuk Giant tak? Sebab itu satu apa pun dia tak jumpa.’ Hati tertanya-tanya.
Lelaki itu langsung tidak menghiraukannya. Jadi Izyan fikir tak perlulah dia tunggu di situ lagi. Biarlah lelaki sombong ini mencari sendiri apa yang dia hendak beli. Bagaimanapun, baru saja dia hendak berpaling, dia mendengar suara garau itu marah-marah lagi.
“Shit! I just need a neck tie. Where do they put it?”
‘Neck tie? Tali leherlah tu. Laa, dari tadi dia duk berdiri kat sini semata-mata kerana hendak mencari tali leher?’
Izyan berdeham, mengharap lelaki itu menyedari kehadirannya. Sebaik sahaja lelaki itu berpaling dan merenunginya, dia terus bertanya, “Nak beli tali leher ke?”
“You, salesgirl here?”
“Ya, saya jurujual di sini. Kenapa?” tanya Izyan. Dalam hati dia merungut tak berhenti. ‘Ek eleh. Dari tadi aku berdiri di sini, dia buat-buat tak nampak. Aku tegur dia, dia buat derk. Aku tanya dia macam-macam, boleh pulak dia macam orang pekak, pura-pura tak dengar. Kerek betul mamat ni. Nasib baik handsome. Kalau tidak tak kuasa nak layan.’
“Dah dekat sejam aku di sini, baru kau nak tanya apa aku nak beli?”
Izyan jegilkan sepasang matanya. Waktu itu memang dia rasa macam nak tampar mulut lelaki itu sebab Izyan sakit hati sangat mendengar penipuannya. Pantang Izyan kalau orang cakap bohong dengan dia. Cepat sahaja dia hendak melenting. “Jangan menipu boleh tak? Sejam konon. Padahal baru sepuluh minit aje awak berdiri kat sini. Ingat saya tak nampak?”
Seronok pula dia bila melihat lelaki itu tersentak. Agaknya tentu lelaki itu tak sangka bahawa gadis kecil molek macam dia berani menjerkah orang. Namun lama kelamaan Izyan jadi tak selesa. Bukan tak biasa dirinya dipandang orang. Bukan tak biasa ditenung oleh sepasang mata yang nakal. Namun inilah kali pertama hatinya berdebar dek renungan yang menusuk. Terasa bagaikan ada rama-rama berwarna warni sedang terbang dalam perutnya. Indah warna pelangi menghias hatinya tiba-tiba. Namun cepat-cepat ditepis perasaan aneh itu tatkala dia mendengar lelaki itu menjerkahnya lagi.
“Yang kau duk tercegat lagi kat situ kenapa? Cepat carikan aku tali leher tu!”
Hailaa, ada juga lelaki yang begini? Asyik hendak meninggikan suara sahaja kerjanya. Tak bolehkah minta baik-baik?
Kalaulah dia bukan seorang jurujual, memang dia tak akan mempedulikan arahan lelaki itu. Kalaulah bukan kerana memang dia patut menolong, tak hingin dia berada di sini lagi. Sudah lama dia angkat kaki dan membiarkan lelaki ini terkial-kial mencari sendiri apa yang diperlukannya.
Namun, dia terpaksa bersabar dengan kerenah pelanggan. Sudah menjadi tugasnya membantu mereka dalam apa juga keadaan. Lagipun, dia sudah terlalu biasa diherdik dan dijerkah. Itulah kuasa wang barangkali. Pelanggan yang punya wang merasakan diri masing-masing mempunyai kuasa membeli. Kuasa itu menyebabkan mereka menjerkah dan mengherdik sesuka hati.
Yang penting, jangan sesekali tunjuk muka masam. Apa pun yang terjadi, bibir mesti menguntum senyum. Senyum yang ikhlas dan tidak dibuat-buat.
Wajah lelaki itu ditatap. Laju dia bertanya, “Neck tie, sir?”
Lelaki itu tayang muka bosan. “Eh, kau tak dengar ke apa aku cakap tadi?” soalnya.
“Dengar. Saja aje nakkan kepastian.”
“Hesy, budak ni!”
Izyan tersengih. “Meh ikut saya,” arahnya lantas bergerak mendahului lelaki itu. Membawanya ke suatu sudut. Di situ, dia berhenti dan berpaling. “Nak warna apa?”
“Yang sesuai dengan warna biru baju yang aku pakai ni.” Suara tegas itu kedengaran lagi.
Dari tempat dia berdiri, Izyan larikan anak mata ke bahagian atas tubuh lelaki itu. Tak berani dia hendak pandang lama-lama. Tegap sangat, takut tergoda pula. Tangan kemudian dilarikan di sepanjang deretan tali leher yang bersangkutan. Ketika dia menyentuh yang berwarna biru, dia tersenyum. Tali leher itu diangkat dan diletak pada dada lelaki itu.
“Yang ni sesuai, kan?”
“You think so?” tanya si dia. Muka serius bukan main.
Izyan angguk.
“Tie it.”
“Huh?”
“Tie it around my neck. I want to wear it.”
Izyan garu tudung. Kulit kepala tiba-tiba terasa gatal pula apabila memikirkan permintaan tak masuk akal lelaki itu. “Err, saya...”  
“I want you to tie it. Now!”
Risaunya Izyan kerana suara lelaki itu dah naik satu oktaf. Diri didekatkan kepada lelaki itu.
“Tunduklah sikit. Awak tu tinggi, tahu tak?” suruhnya sambil membentak.
Tiba-tiba lelaki itu ketawa pula. Izyan tak tahu kenapa.
“Betul ke kau pandai pakaikan tali leher ni? Takut nanti kau jerut leher aku pulak.”
“Kalau takut, lebih baik awak cuba sendiri. Saya cuma menjual aje selama ni. Memang tak pandai nak pakaikan tali leher ke tengkuk orang.” Izyan merendah diri.
“Jadi, anggap aje ini latihan buat kau.”
Izyan dah naik bengang dengan perangai lelaki ini. Memang tak reti bahasa. Orang tolak cara paling halus begitu pun, dia tak faham-faham juga, bentak Izyan dalam hati.
Mata sudah mencerlung garang namun bibir masih manis tersenyum.
“Boleh aje, kalau encik nak sangat saya pakaikan tali leher ni. Tapi kalau nanti leher encik kena jerut, saya minta maaf ya.” Amaran diberi.
“Banyak cakap betullah kau ni!” marah lelaki itu lalu merampas tali leher daripada genggaman tangan Izyan. Sekejap sahaja dia berjaya memakainya.
Terpegun Izyan. Hari ini barulah dia sedar betapa pemakaian tali leher akan menyebabkan penampilan seseorang jadi berbeza. Tadi dia kata lelaki ini segak ya amat,  Sekarang dia perlu tambah dua perkataan lagi. Kemas dan bergaya. Sungguh, inilah lelaki yang memenangi anugerah lelaki paling segak, kemas dan bergaya dalam hati dia.   
“Suka?”
Izyan jadi gelabah mendengar soalan itu. Bimbang lelaki itu menyedari apa yang dia buat. Maklumlah dari tadi duk melopong memandang, kan? Namun, dengan berani, dia jongket bahu.
“Tak ada kena mengena dengan saya,” ujarnya selamba.
“Tapi tadi kau tengok aku sampai mata tu langsung tak berkelip.”
“Tak semestinya kita suka dengan apa yang kita nampak,” balas Izyan.
“Tapi, kau tak boleh nafikan yang aku ni nampak hebat, kan?”
“Ya, memang hebat pun. Cuma...”
“Apa?” Lelaki itu sudah tak sabar nak tahu.  
“Kalau perangai encik tu lebih sopan, baru ngam. Setakat penampilan aje yang hebat tapi mulut tak ada insurans macam encik ni, tak ada apa-apa yang nak dibanggakan pun.” Izyan mengutuk dalam senyum. Puas hatinya apabila dapat membuat lelaki itu terkedu.
“Kau...”
“Encik nak beli atau tidak tali leher tu?” pintas Izyan.
“Naklah!”
“Habis tu tunggu apa lagi? Pergilah berbaris kat kaunter bayaran sana. Tak nampak barisan panjang tu? Nanti lambat pula encik masuk semula ke pejabat,” tukas Izyan.
“Mana kau tahu aku kerja pejabat?” Lelaki itu bertanya. Wajahnya tampak semakin keliru.
“Takkan itu pun nak tanya saya? Dah beli tali leher segala, takkan kerja mekanik pulak kut?” sinis Izyan.
Lelaki itu tersenyum sambil menggeleng. “Kau ni kan, pandai betul menjawab,” sinisnya.
Entah kenapa Izyan berasa perlu untuk dia memberi sedikit nasihat kepada lelaki ini. Bukankah tugas manusia adalah untuk saling berpesan-pesan ke arah kebaikan dan kesabaran? Dah dapat peluang, dia haruslah gunakan kesempatan yang terbuka.
“Sebenarnya walau siapa pun awak, awak tak patut berada di sini. Sekarang kan waktu kerja? Baru pukul 2.50 petang. Ini curi tulang namanya. Tak baik curi-curi tulang ni, tahu!”
Senyuman lelaki itu sirna. Nampak sangat yang dia sedang menahan marah. Marahlah agaknya apabila Izyan menuduh dia curi tulang. Laju sahaja mulut lelaki itu menjerkahnya. “Kau nak sekolahkan aku pulak? Apahal kau ni?”
Izyan tak peduli. Dia terus menyambung, “Awak, mulai hari ini awak perlu elakkan ponteng-memonteng ni. Bukan apa... Takut gaji yang awak dapat tiap-tiap bulan tu tak berkat. Itu aje!”
“You!!” Jari telunjuk lelaki itu sudah berada di dahi Izyan.
“Marah? Awak, kalau awak tak salah, tak perlulah marah. Saya cuma nak ingatkan awak saja. Sambil itu saya nasihatkan diri saya jugak.”
“Mana kau tahu rezeki aku tak berkat?”
“Laa, bila masa saya cakap rezeki awak tu tak berkat?”
“Habis yang kau tuduh aku curi tulang tu apa?”
“Saya cakap aje. Kalau awak tak curi tulang, kira okeylah tu. Tapi kan awak...”
“Apa?”
“Orang yang dapat rezeki yang berkat biasanya nampak tenang tau. Dia sabar jugak. Tapi, kalau tengokkan sikap awak ni... Faham-faham ajelah, ya!”
Izyan segera berlalu meninggalkan lelaki itu. Takut juga dia setelah mengenakan si dia cukup-cukup tadi. Buatnya lelaki itu naik angin?
“Seronok ya dapat kenakan aku?”
          “Eh, awak ikut saya?”

          “Jangan perasan. Aku cuma nak ingatkan kau aje. Jaga tepi kain sendiri. Jangan suka menyibuk hal orang. Faham?”


No comments:

Post a Comment