Monday, 20 April 2015

Bab2: J.A.D (JIWAKU ADA DIRIMU)-WAWA TAUFIK

Bab2
        J
AD santai melepak di balkoni biliknya. Rumah persinggahan papa dan mamanya ketika ke sini kini menjadi tempatnya untuk berteduh di sepanjang tempoh pengajiannya.

        Kadang-kadang dia hanya bersendirian di rumah yang mempunyai empat buah bilik itu. Kadang-kadang juga akan menjadi tempat melepak bersama teman-temannya. Malah kerap kali juga menjadi tempat perbincangan bersama ahli kumpulan projeknya. Lebih mudah dan selesa di situ.

        Jemarinya santai memetik gitar. Mana-mana not lagu yang terlintas di kepala terus terlayar di gitar kayu itu. Malam itu dia berasa sunyi. Zeki entah hilang ke mana. Teman baiknya yang berasal dari Turki itu kerap kali bermalam di rumahnya. Sekurang-kurangnya dia ada teman berbual.

        Kalau hendak diikutkan nafsu mudanya, sudah lama dia menjengah mana-mana bar dan pulang dinihari dengan mana-mana perempuan berambut perang. Tetapi apabila difikirkan bahawa itu semua hanyalah nikmat sementara sahaja, baik dia kejang membosan di rumahnya. Sudahlah mendapat dosa dan penyakit nanti. Tak pasal-pasal bawa bala kepadanya.

        Itu belum lagi tahu dek mama dan papanya. Mahu disepak terajang oleh Tuan Harif dan Puan Shalia itu. Jangan buat main dengan kelembutan yang ketara di wajah orang tuanya. Kalau tidak kena gayanya, pedih perlian dalam lembut itu dia terpaksa tahan. Dia memang takutkan keduanya. Andai perlu dia membuat salah, berbulan-bulan rasa bersalahnya itu terpaksa dia tanggung.

        Lamunannya terhenti apabila loceng rumahnya berbunyi. Bukan sekali tetapi bertalu-talu.

        Dengan kerutan di dahi, dia segera mengalih gitar dari ribanya dan meletaknya di atas meja kaca di sisi kanannya. Pantas juga dia bangun dari situ. Geram dengan gerangan yang tidak henti-henti menekan loceng rumahnya itu.

        Pintu segera dibuka dan belum sempat dia menghambur kata, pantas gerangan bertubuh kecil itu melangkah masuk ke dalam rumahnya. Dia memandang pelik belakang tubuh itu.

        “Kau ni kenapa?”

        Si dia tidak menjawab tetapi terus melangkah ke arah sofa kulit berwarna hitam di tengah-tengah ruang tamu rumahnya itu. Dengan selamba juga melabuh duduk di situ.

        Hoi, Al! Kau ni kenapa?” Dia mengambil tempat berhadapan dengan gadis itu. Wajah sugul itu dipandang.

        “Khan?” Nama itu sengaja disebutnya. Rasanya kalau Alena ada masalah pun sudah pasti disebabkan lelaki itu.

        Diam diri Alena itu membuktikan tekaannya tepat.

        “Apa dia dah buat kali ni?” Jad sudah panas hati. Darahnya tiba-tiba menggelegak geram. Matanya mula terperasan akan sisa celak yang sedikit comot di bawah mata Alena. Pasti teman baiknya itu menangis lagi.

        “Cakap dengan aku! Dia buat apa kat kau?” bentaknya kuat. Melihat tubuh itu hanya diam menekur, dia bangun menghampiri. Dilabuh punggungnya di sisi kiri Alena. Wajahnya ditundukkan untuk mencari wajah itu.

        “Alena? Kau macam ni... aku risau.” Nadanya perlahan sahaja. Sengaja dikawal untuk membuatkan gadis itu tenang dan mula bercerita dengannya.

        “Dia ugut aku, J...”

        Bibirnya diketap geram. Matanya dirapatkan, cuba mengawal amarah yang semakin bercambah di hati.

        “Dia cari aku kat rumah sewa. Melalak macam orang gila kat depan rumah. Dia suruh aku keluar tapi aku tak berani. Tengok muka dia dah lain macam.”

        “Apa yang dah jadi kat korang?”

        Gadis itu berpaling memandangnya. Hanya sebentar sebelum kembali menekur. Dan dia tidak gemar situasi begitu. Pasti ada kaitan dengan dirinya lagi.

        “Apa lagi yang mamat bongok tu cakap kali ni? Memang tak guna betul!”

        Dia sudah tidak peduli segala ayat dan bahasa yang terbit dari mulutnya. Lelaki bernama Khan Daris itu tidak layak untuk menerima kata-kata manis. Perangai mengalahkan hantu. Harap muka sahaja yang cukup makan. Entah apalah yang Alena nampak sangat kat mamat tu? Wang ringgit? Rupa paras? Romantik?

        Dia mengeluh.

        “Cakap dengan aku, Al!”

        “Hal yang sama jugak...”

        Dia mula hairan. Ada sesuatu yang gadis itu sembunyikan darinya. “Aku nak tahu kesemuanya, Al. Aku tahu ada lagi yang tak kena. Bukan korang tak pernah bergaduh dan mamat bodoh tu duk syak pasal kita yang bukan-bukan. Ini mesti ada hal lain.”

        Gadis itu menunduk sahaja. Lama menunggu, dia menguis lengan kiri gadis itu yang diselaputi sehelai baju panas berwarna putih.

        “Aku mintak putus dari dia...”

        Jad terus terlopong. Biar benar? Selalunya takut benar Alena dengan Khan.

        “Kau biar betul?”

        Alena mengangguk.

        “Dia terima?”

        “Aku tak peduli. Aku lari macam tu je...”

        Lagi terkejut Jad mendengar kata-kata Alena itu.

        “Sebab tu dia datang rumah sewa aku tadi,” sambung gadis itu.

        Dia mula mengerti serba sedikit perihal Alena dan Khan kini. Dalam hati dia mengucap syukur apabila gadis itu bertindak berani begitu. Dia sudah naik jelak melihat bagaimana Khan mengawal segala tindak-tanduk Alena. Macam Alena itu dia yang punya lagaknya. Baru berhubungan sebagai kekasih sudah melampau begitu. Dia tak suka! Alena teman baiknya. Dia akan sentiasa memastikan Alena mendapat yang terbaik.

        “Macam mana kau boleh terlepas ke sini? Mamat tu tak nampak kau ke?”

        “Aku lari ikut pintu belakang. Aku dah pesan kat Sham dengan Asna... jangan bukak pintu dan jangan bagitau apa-apa kat mamat tu. Aku ke sini pun dia orang tak tahu.”

        Jad mengangguk. Lega apabila dia yang Alena cari. Dia risau gadis itu ke mana-mana tempat yang tidak diketahui baik buruknya.

        “Jangan risau, Al... kau selamat kat rumah aku ni. Kau boleh duduk kat bilik tetamu nanti. Bila dah keadaan reda, baru kita fikir macam mana nak buat dengan mamat tu.”

        “Terima kasih, J. Aku cuma ada kau je...” Alena berpaling memandang Jad di sebelah. Lelaki itu banyak membantunya. Segala-galanya dia bergantung dengan lelaki itu. Jad terlalu baik untuk menjadi temannya.

        “Nasib baik kat sini tak ada pencegah maksiat kan?” Jad berseloroh sambil menyandar ke sofa. Bibirnya mula mengukir senyum. Hatinya mula lega setelah mendengar penjelasan dari Alena sebentar tadi.

        “Kalau kena tangkap pun, biarlah!” balas Alena nakal. Dia mengerling sekilas Jad di belakang.

        Jad mula terkelu. Ingatkan ingin bercanda dengan gadis itu. Tidak disangka pula Alena membalas begitu.

        “Kalau dengan kau... suruh kahwin pun aku sanggup, J.” Selamba Alena berkata. Ada tawa dihujungnya membuatkan Jad lagi tak senang duduk. Entah kenapa, kata-kata Alena itu seakan-akan membawa maksud yang lain. Bukan seperti bercanda. Baginya, bab nikah kahwin bukan perkara yang boleh dibuat main. Itu perkara serius.

        “Betul, J. Kalau dengan kau... aku sanggup.”

        “Kenapa?”

        “Sebab aku dah kenal kau. Aku tahu macam mana kau boleh jaga aku. Aku boleh percayakan kau. Aku tahu kau tak akan kecewakan aku.”

        “Al?”

        Alena terus tertawa kecil dan berniat tidak mahu memanjangkan isu tersebut. Dia pantas bangun dari situ dan selamba menuju ke bilik tetamu yang Jad bagitahu sebentar tadi.

        “Aku pilih bilik kau boleh?” jeritnya. Sengaja hendak mengusik lelaki yang sedang termangu di ruang tamu itu. Lucu betul Jad. Suka sangat memikir sesuatu perkara itu terlalu serius.

        “Al!”

        Dia terus tertawa. Hatinya yang gusar kembali ceria apabila bersama dengan Jad. Dia mengaku hanya Jad yang boleh membuatnya begitu. Hanya Jad yang mampu menjaganya di bumi Inggeris itu. Hanya Jad yang sentiasa ada apabila dia ada masalah.

        Jad yang ditinggal di ruang tamu itu berdebar-debar di dada. Dia keliru dengan kata-kata Alena. Dia gusar apabila Alena bercanda nakal begitu. Dup dap dup dap di hatinya semakin menjadi-jadi apabila mengingati yang Alena hanya berjarak beberapa meter sahaja darinya. Di bawah satu bumbung. Di bilik yang bersebelahan. Ya Allah! Ujian! Ujian!



     

No comments:

Post a Comment