BAB 10
BERGEGAS
Dhani pagi itu. Sampai-sampai sahaja di tapak projek murninya, dia berlari ke
tempat yang dijanjikan Cikgu Rosnah semalam. Masih ada sesuatu yang mahu
disampaikan, berwakil kepada guru matematik yang dengan rela hatinya mahu
membantu.
"Macam
mana Kak Ros? Ada Dinie makan nasi yang saya beli tu?" tanya Dhani tak
menyempat, teruja ingin tahu.
Perjumpaan
sembunyi-sembunyinya bersama Cikgu Rosnah di tempat letak kereta sekolah
berlangsung tanpa pengetahuan Dinie. Dan sememangnya selalu pun mereka begitu.
Secara sembunyi-sembunyi akan berjumpa, tapi bukanlah di tempat sulit. Paling
rare pun dekat tempat letak kereta paling belakang.
"Makan,
Encik Dhani. Sampai licin dia kata. Ha, kalau nak tahu dalca tu memang
favourite dia. Lagilah bila dapat makan panas-panas macam semalam tu. Tinggal
bekas ajelah." Beria Cikgu Rosnah bercerita. Sambil itu mata ligat
melilau. Takut kalau perjumpaannya bersama Dhani secara sorok-sorok itu dapat
dikesan Dinie.
Dengan
Ustaz Shaari dia tak risau sangat, sebab suaminya itu sudah tahu apa yang dia
cuba lakukan bersama Dhani. Tak lebih cuma mahu membantu lelaki itu mendapatkan
cinta Dinie.
"Alhamdulillah,
saya fikir dia buang nasi tu." Dhani peluk tubuh dan senyumnya sampai
telinga bila mendengar nasi yang diberinya semalam habis dimakan.
"Makan.
Walau mulanya dia teragak-agak dan fikir yang dalam nasi tu dibubuh benda yang
tidak-tidak.”
Dhani cuma
senyum mendengar penjelasan Cikgu Rosnah. Tak sangka pula guru awal empat
puluhan itu rajin melayan kerja gilanya. Dan dia sendiri pun tak terfikir,
macam mana dia boleh jadi segila ini.
“Encik
Dhani ke Muar beli nasi briyani tu ke?"
"Tak
adalah, saya kirim dengan kawan yang kebetulan ada kerja di Batu Pahat."
Cerita Dhani tanpa sedar wanita di hadapannya itu terharu dengan kesungguhannya
itu.
"Encik
buat semua tu demi Dinie?" Cikgu Rosnah sama teruja. Suka melihat cara
Dhani mahu memikat gadis itu.
Dhani cuma
terangguk malu. Belum pernah dia buat kerja gila serupa ini sebelum ini. Tapi
demi budak itu, dia rela jadi gila sebelum ditakdirkan.
"Beruntung
Dinie encik." Cikgu Rosnah bersuara lambat-lambat. Kuntum senyumnya mula
melebar, kagum dia pada Dhani dalam diam.
"Saya
lebih beruntung kalau saya dapat hati dia Kak Ros. Tapi sayang…" Tak sudah
ucapannya. Suara Dhani berubah sayu. Belum mampu untuk mengembalikan
kepercayaan Dinie. Dan yang lebih sadis, dia menyangka gadis itu sudah
dimiliki.
"Encik.
Kalau beginilah kesungguhan encik untuk dapatkan hati dia, akak yakin tak lama
lagi cair la hati Dinie tu."
Dhani
senyum pahit. Mana mungkin dia mampu memiliki hati gadis itu, sedang hati gadis
itu sudah dimiliki lelaki lain. Buktinya majlis meriah beberapa hari lepas.
"Panggil
Dhani saja Kak Ros. Terima kasih sebab banyak tolong saya. Sudi jadi posto tak
bergaji saya," seloroh Dhani, mengundang gelak mereka berdua.
"Apa
pulak tak bergaji, nasi tu akak dapat juga, kan? Dua hari lepas dapat sebar
coklat. Kenyang akak Dhani."
"Terima
kasihlah kalau tak ada Kak Ros tak tahulah pada siapa saya nak minta tolong."
Dhani masih teringat kata-kata Dinie, melarangnya mengganggu gadis itu bila dia
berada di sekolah.
"Kalau
untuk kebaikan. Nak bina masjid, akak boleh aje tolong. Lagipun akak suka cara
kamu. Tak gopoh untuk dapatkah Dinie. Nampak sweet," puji Cikgu Rosnah tak
tapis.
"Dia
ada kata apa-apa lagi ke Kak Ros?"
"Setakat
ni takde, tapi dua tiga hari nanti tak tahulah. Dinie tu perangai dia kita tak
boleh jangka. Angin dia pun boleh tahan kuatnya."
"Tahu
dah..."
"Tahu
dah? Sebenarnya dah lama akak nak tanya. Dhani dengan Dinie ni dah lama kenal
ke?" Dia sibuk juga mahu tahu. Sebenarnya Cikgu Rosnah belum jelas dengan
apa yang Dhani mahu lakukan. Dan kalau difikirkan logik, kenapa dia tak terus
berdepan dan berterus-terang dengan gadis itu, bukan sembunyi-sembunyi seperti
sekarang.
"Sebenarnya...”
Dhani belum bersedia untuk meneruskan cerita dan mengaku siapa dia di hati gadis
itu.
“Apa yang
boleh saya kata, kalau boleh saya tak nak ganggu kebahagiaan dia Kak Ros. Saya
tahu dia dah dimiliki dan sebagai lelaki waras, saya tak mahu sampai
jadi…" Belum habis menjelas, telefon bimbit Dhani berbunyi sayup dari arah
poket.
“Maaf Kak
Ros.”
"Tak
apalah Dhani. Dhani jawablah call, akak ke kelas dulu ye?"
Cikgu
Rosnah atur langkah laju. Cepat-cepat dia berjalan. Jauh dari Dhani yang juga
sudah melangkah ke arah keretanya.
Sedang
berjalan kelam-kabut seperti orang ada buat salah, bahunya disentuh.
"Mak
kau!" jerit Cikgu Rosnah, hampir tercabut tangkai jantung bila ada yang
mengejutkan dia begitu.
“Dinie?”
Dia tayang muka kering. Tak sangka pula gadis itu ada sama di sini.
"Orang
kalau tak buat salah takkan takut-takut, kan?" Dinie menyakat. Perasan
wanita itu baru habis berbual dengan seorang lelaki yang dia cuma nampak
sebahagian tubuh tegap lelaki dari belakang.
“Takut?
Bilanya akak takut ni Dinie!” Dia cuba selindung rasa terkejut dengan
tersenyum. Tapi terang yang senyumannya itu tak menjadi.
"Ada
niat nak curang dengan ustaz eh..." sakat Dinie lagi, memandang Cikgu
Rosnah dengan pandangan sadis.
"Hisss.
Mintak simpang. Takkan jadi benda tu! Dinie mulut tu karang, ada makan bubur
seminggu!" nafi Cikgu Rosnah. Marah bila dituduh curang.
"Amboi?
Habis, siapa lelaki tough yang bersingsing kemeja, kemas gaya rambutnya yang
nampak macho gila dari belakang tu tadi?" Dinie memuji-muji lelaki yang
bersama Cikgu Rosnah yang disangkanya kekasih gelap wanita itu.
"Dinie
boleh tak kalau tak busy body?" Cikgu Rosnah tayang wajah paling berlagak.
Mengelak dari rahsianya bersama lelaki itu bocor.
‘Hai, rupanya
susah mahu jadi penyimpan mohor besar Dhani.’
"Eh?
Ini yang rasa nak jumpa ustaz sekarang juga ni," ugut Dinie, mematikan
langkah Cikgu Rosnah. Sedikit sebanyak gentar dengan ugutan guru muda itu.
Serba salah
wanita itu kalau sampai rahsianya bersama Dhani bocor. Dan dia tak mahulah
sampai dikata tak amanah.
"Please
Dinie, bagi Kak Ros ruang." Dia
pandang muka Dinie yang berubah tak puas hati. Belum masanya dia
berterus-terang, dan kalau boleh biarlah Dhani yang buka cerita.
"Satu
hari nanti Dinie akan tahu juga. Dan yang penting Kak Ros tak curang."
Serius dia lagi, mengundang gelak di bibir gadis di hadapannya itu.
"Kak
Ros hari ni tak lupa makan ubat, kan?" Dinie tutup mulut sehabis bertanya.
Nak lepas gelak, tapi memandangkan mereka berada di hadapan koperasi sekolah,
nampaknya perlulah dia berkelakuan sopan sedikit.
"Dinie..."
"Kak
Ros, Kak Roslah kakak Dinie dunia akhirat. Kenapa ni? Ada masalah dengan ustaz?
Dan lelaki tu punca Kak Ros bergaduh? Dan hujung cerita nanti, Kak Ros akan
bersama mamat tough tu?" Sesuka hati Dinie membuat spekulasi, walau dia
tahu takkan ada adegan begitu kalau Cikgu Rosnah sudah ada suami sebaik ustaz.
"Ini
yang malas ni. Dinie dah jauh sangat fikir. Cerita ni tak ada kena mengena
degan kisah akak la Dinie. Dinie terlebih tengok drama ni..."
"Dah
tu?" Dinie masih belum puas hati. Kalau boleh dia nak sama tahu apa yang
sedang disembunyikan wanita itu.
"Kak
Ros cuma nak menolong. Dan Kak Ros cuma boleh cakap itu. Nak tahu lebih, tunggu
semua selesai. Dan usaha ini tak lebih cuma mahu menyatukan dua hati,"
jelasnya dalam samar. Melangkah, membiarkan Dinie terkulat-kulat mencari
jawapan sendiri.
No comments:
Post a Comment