SEPI saja bilik guru.
Tinggal beberapa cikgu yang masih berada di meja masing-
masing, sibuk memeriksa
buku latihan pelajar. Ada juga yang menggunakan waktu terluang dengan membaca akhbar.
Melina? Jangan tanya, sebab Melina sedang terkuap-kuap menahan rasa
mengantuk.
Memalukan golongan cikgu saja Melina ni. Inilah padahnya bila Melina
habiskan dua pinggan nasi lemak sewaktu rehat tadi.
Cikgu Suraya pula ada kelas. Kalau tidak, boleh juga Melina ajak
berbual. Cikgu Suraya tu, seperti penyelamat Melina. Melina sedang cari rumah,
dan Cikgu Suraya pelawa tinggal sama. Selesai masalah Melina. Rupanya Cikgu
Suraya pun tidak suka tinggal bersendirian.
Melina menguap lagi, lebih lama dan panjang. Rasanya Melina perlu letak
lidi di kelopak matanya, biar dia tidak tidur. Rasa mengantuknya sukar dikawal.
Semakin ditahan, semakin dia kalah pada gayutan iblis dan syaitan di kelopak
mata.
Ketukan bertalu-talu di tepi telinganya sangat mengejutkan. Melina
bangun dengan gaya orang gila. Dan sepasang mata kuyu Melina jadi segar.
“Kita datang ke sekolah ni sebab nak mengajar, bukan sebab nak curi
tulang dengan tidur.”
Aduh, pedasnya sindiran pemilik susuk gagah tersebut.
“Lagi satu, tepi mulut cikgu basah. Tolong lap. Kalau pelajar nampak,
cikgu juga yang malu.”
Sumpah, Melina ingin menyorok di bawah meja. Melina juga mahu meraung
sekuat hati. Rasa malunya hanya Tuhan saja yang tahu. Ada juga sepuluh saat
Melina pegun, sebelum dia berjaya mengutip harga dirinya yang jatuh tadi.
Hujung bibirnya disentuh. Kering, tidak ada tanda-tanda air liur basi
sempat bermukim di situ. Melina mengambil pula cermin kecil. Puas ditilik,
memang tepi bibirnya kering.
Kasar gurauan pemilik susuk gagah tersebut. Seenaknya saja dia kata tepi
mulut Melina basah.
Melina menoleh ke kiri. Nun selang enam meja, pemilik susuk gagah tadi
sedang tekun menulis sesuatu. Rasanya, inilah pemandangan paling indah pernah
Melina lihat sejak kakinya jejak bumi Tawau. Rasanya juga, Melina tidak jadi
marah. Malah Melina jadi suka dengan gurauan kasar pemilik susuk gagah
tersebut.
“Meja dia dekat situ, tak jauh rupanya” bisik Melina perlahan. Acap kali
dia menjeling. Acap kali juga dilenturkan kerusinya supaya dapat melihat susuk
gagah itu dengan jelas. Hingga akhirnya, kerusi Melina hilang imbangan. Melina
jatuh lagi, terlentang bersama kerusinya.
Gelap sekejap pandangan sebelum Melina lekas- lekas bangun. Mujurlah
cikgu-cikgu lain terlalu sibuk untuk ambil tahu.
“Pagi tadi jatuh tangga, sekarang jatuh kerusi pula. Malangnya nasib
hari ni,” gerutu Melina sambil mengurut-ngurut belakang tubuhnya yang terasa
sakit.
Itulah Mel, lain kali jangan tunjukkan sangat sifat gelojoh tu. Tak
bagus dan tak elok.
Mel bukan gelojoh. Mel cuma bersemangat melihat cikgu lelaki tersebut.
Lirikan Melina jatuh lagi pada cikgu lelaki itu. Lengan baju kemejanya
yang berwarna kelabu telah disingsing hingga ke paras siku. Air mukanya pula
sejak tadi serius. Kalau beginilah pemandangan yang terhidang di depan mata,
Melina sanggup duduk berjam-jam di sini. Kalau kaki kebas dan berkematu pun
tidak mengapa.
“Ralitnya dia buat kerja. Sikit pun tak toleh kiri dan kanan.”
Hampir lima belas minit Melina menjadi pemerhati secara senyap-senyap.
Kemudian cikgu lelaki yang belum diketahui namanya itu bangun semula. Dia
nampak tergesa-gesa mengambil bahan mengajarnya dan kemudian terus keluar.
Pandang Melina pun dia tidak sudi. Padahal Melina sedang memberikan senyuman
paling indah dan manis.
“Bosannya. Yang sedap dipandang dah keluar pula.”
Mengomel lagi, membebel lagi. Mel, gaya kamu sekarang langsung tidak ada
gaya seorang cikgu. Malulah sedikit dengan pelajar Mel.
Melina pekakkan telinga. Sorotannya ditebarkan. Baru sedar diri kalau
hanya tinggal dirinya saja di dalam bilik guru tersebut.
"Selamat semua cikgu dah keluar," bisik Melina sembari
terjingkit-jingkit menghampiri meja kerja cikgu lelaki yang menggoda
pandangannya.
Mel, seorang cikgu tak buat perangai buruk begini. Ini namanya gatal
yang tak dapat ditolong!
Bukan gatal wahai hati, tetapi mencari tahu maklumat terkini. Itu saja.
Meja cikgu lelaki itu kemas dan semua buku rujukannya tersusun dengan
rapi. Meja Melina juga tidak sekemas ini. Mendadak saja Melina jadi malu.
Bergegas dia ke mejanya semula, mengemas apa yang patut.
“Macam ni, baru betul. Baru sesuai dengan cikgu lelaki tu.”
Bukan main gatal lagi gaya senyuman Melina. Sekali lagi dia mendekati
meja cikgu lelaki tersebut.
Melina belek buku-buku latihan yang bertimbun. Melina juga belek kertas
yang disusun rapi di tepi meja.
"Nama dia Idham. Nama lengkapnya tak tahu sebab tak ditulis. Umur
pun tak tahu. Yang pasti Cikgu Idham ni cikgu Bahasa Melayu. Handal bersastera
la Cikgu Idham ni," omel Melina. Jari tangannya telah menarik kerusi milik
Idham.
Belum pun sempat Melina duduk, ada deheman keras dari arah belakangnya.
Deheman yang cukup untuk membuat buku yang sedang dipegang jatuh menyembah
lantai. Kelam-kabut Melina mengutipnya. Kepalanya juga
ikut jadi sejuk. Sekejap saja Melina telah berpaling. Mengulum senyum
perkenalan sambil berusaha membuat air muka paling comel. Besarlah harapan
Melina, cikgu lelaki ini tidak melenting.
"Tempat duduk saya tu.”
Garangnya suara dia.
“Saya tahu.”
“Meja ni pun, meja saya. Cikgu dah salah
meja.” “Ya, meja ni memang meja cikgu.”
“Buku yang cikgu pegang sampai jatuh tadi pun milik saya."
Senyuman Melina jadi keras. Nampaknya Melina gagal melembutkan hati
cikgu lelaki ini. Sejak tadi, nada suara cikgu lelaki ini serius.
“Cikgu buat apa dekat sini?”
Nah, datang soalan yang belum mampu Melina jawab. Takkanlah Melina nak
mengaku Melina ke sini sebab hendak mencari maklumat, pastilah cikgu lelaki ini
fikir Melina jenis perempuan psiko.
Sekejap ya wahai cikgu lelaki yang sedap dipandang, Melina fikirkan alasan
terbaik dahulu.
"Saya bukan nak duduk dekat meja cikgu. Tadi kertas atas meja cikgu
ditiup angin. Saya tolong kutip. Saya dah letak semula kertas yang terbang
tadi.”
Cikgu lelaki itu mengerutkan dahi pula, jelas tidak percaya dengan
penjelasan lebar Melina.
“Kertas ni, kertas inilah yang terbang tadi,” lanjut Melina sambil
mengambil sehelai kertas dari atas meja cikgu lelaki tersebut.
"Terima kasih sebab tolong kutip." "Sama-sama."
Selepas itu sepi. Cikgu lelaki itu sibuk dengan halnya. Melina diabaikan
dan tidak dipedulikan. Lenguh juga kaki Melina berdiri. Banyak yang Melina
ingin bualkan, cuma cikgu lelaki ini terlalu beku.
"Saya duduk meja sebelah sana. Dekat tepi pintu. Tak jauh, selang
enam meja saja dari sini."
Terhenti gerakan tangan cikgu lelaki tersebut. Sorotannya membalas
pandangan Melina. Begitu tajam. Melina sempat kalah.
"Dekat tepi pintu tu?"
Lekas-lekas Melina mengiyakan.
“Jadi?”
“Saya cuma beritahu.”
Cikgu lelaki itu menegakkan tubuh. Sorotannya singgah pada meja yang
dimaksudkan oleh Melina.
"Okey. Nanti kalau saya lalu sana dan kertas cikgu ditiup angin,
saya pasti tolong kutip. Saya letak cantik-cantik atas meja cikgu semula."
Ini menyindir ke apa? Sebab Melina rasa terpukul ni.
"Nama saya Mel. Cikgu Mel. Nama penuh Melina Binti Samad,"
ujar Melina, berusaha sebaik mungkin mengusir rasa terpukul yang tiba-tiba
hadir.
Sepi. Kalaulah ada cengkerik yang nakal, pasti suaranya dapat didengar
dengan jelas.
“Nama cikgu siapa?”
“Idham.”
“Nama penuh. Kalau Idham tu saya dah tahu.”
Mengecil sorotan Idham. Wajahnya didekatkan pada Melina yang
berketinggian hanya mencecah bahunya.
“Awak kutip kertas atau awak kutip maklumat tadi?”
Melina telan pula liur. Tembelangnya sedang retak dan menunggu masa saja
untuk pecah.
“Dua-dua.”
Idham pilih mengambil buku rujukannya yang tertinggal tadi. Setelah itu
dia berlalu pergi bersama helaan nafas yang keras.
"Apa hal cikgu tu? Tanya nama pun susah nak jawab. Nama sendiri,
bukan nama orang lain," komen Melina lantas ikut meninggalkan meja Idham.
Baru tiga langkah, sakit belakang menyerang pula. Sedikit terbongkok-bongkok
Melina menghampiri mejanya. Pasti sakit belakang ini sebab jatuh kerusi tadi.
Dan fasal Idham tu, tunggulah dua tiga hari lagi. Melina pasti tahu nama
lengkap Idham. Kalau susah sangat, Melina boleh tanya Cikgu Suraya. Cikgu
Suraya, cikgu senior di sekolah ini. Pastilah banyak hal yang Cikgu Suraya
tahu.