MELINA mengeluh, sangat
berat. Mahu saja dihalakan kepalanya ke dinding sembari
dihantuk berkali-kali.
Biar cedera parah dan kemudian, bolehlah dia dihantar semula ke semenanjung.
Jadi Melina tidak perlu jadi cikgu di Sabah ini lagi. Cuma bila difikirkan itu
idea gila, maka Melina batalkan niat gila tersebut.
Ini cerita jujur. Melina Binti Samad tidak sudi jadi cikgu. Melina
dipaksa jadi cikgu. Semuanya sebab ini kerja turun-temurun keluarga Melina.
Bayangkan, daripada moyang sampailah ke ayah dan ibu, profesion mereka semua
adalah cikgu.
"Cikgu Mel."
Nah, itu suara tuan pengetua. Melina memang mengukir senyuman. Cuma
segala macam ayat tuan pengetua, semuanya masuk telinga kiri dan terus keluar
telinga kiri semula. Melina malas nak dengar. Otak
Melina sekarang cuma ingin segera pulang ke semenanjung.
"Faham, Cikgu Mel?"
"Faham."
Sebenarnya Melina tidak faham langsung.
Alahai Mel, macam mana nak didik anak bangsa kalau begini? Tugas sebagai
pendidik belum dimulakan, tapi otak Mel sudah melayang entah ke mana. Mel,
mendidik anak bangsa itu amanah. Jangan rosakkan amanah tersebut.
Mel tahu, Mel juga faham. Salahkan ibu dan ayah Mel. Ayah dan ibu yang
paksa Mel jadi cikgu. Cikgu subjek Kimia pula. Memang berkimialah otak Mel.
"Cikgu baru, kan?"
Satu suara lunak menegur setelah tuan pengetua melangkah pergi. Kalau
jadi penyanyi, pasti albumnya laku keras.
Bersinar bola mata Melina melihat pemilik suara lunak tersebut. Lebih
kepada kagum sebenarnya.
Kulit pemilik suara lunak itu nampak mulus, putih seperti cina. Tidak
sama dengan kulit kuning langsat Melina. Matanya bundar dan hidungnya begitu
indah terbentuk. Itu belum disebut bibirnya yang comel. Pokoknya, serba-serbi
sempurna. Jujur yang paling jujur, Melina jauh kalah.
"Cikgu baru, kan?"
Pemilik suara lunak itu meminta kepastian lagi. Melina pula masih
melopong. Kalau reaksi Melina pun sudah begini, apatah lagi kalau anak teruna
yang melihat pemilik suara lunak ini. Boleh jadi gila bayang.
"Cikgu?"
"Ya. Ya. Saya cikgu baru,” balas Melina setelah bebas daripada
penyakit kagum.
"Saya Cikgu Suraya. Awak boleh panggil saya Sue. Meja saya depan
meja awak. Depan sana tu."
Tangan yang Cikgu Suraya hulur, segera Melina sambut. Halus dan tidak
kasar seperti tangan Melina. Pasti Cikgu Suraya rajin memakai losyen.
"Melina. Panggil saya Mel saja."
"Selamat datang ke sekolah ni dan selamat mengajar, Mel. Selamat
datang ke Tawau juga."
Bagusnya Cikgu Suraya ni. Sudahlah cantik, berbudi bahasa pula.
Sememangnya Cikgu Suraya calon isteri terbaik untuk lelaki-lelaki bujang di
luar sana.
"Saya ada kelas sekarang, bila ada masa terluang, kita borak
lagi."
Melina juga ada kelas. Bergegas Melina ke mejanya mengambil bahan
mengajar sebelum ikut keluar dari bilik guru. Melina tidak mahu lewat walau
sesaat pun pada hari pertama bertemu pelajarnya.
Begitupun, satu-satu anak tangga Melina turuni dengan hati yang
melayang. Otaknya pun ikut bergoyang-goyang. Hingga akhirnya, matanya dipaku
oleh satu susuk gagah.
Terpegun. Terkejut. Terkesima. Akhir sekali Melina terpesona dengan hati
yang telah jatuh tanpa sengaja. Lebih tragis bila langkahnya tersilap, lalu
terjadilah insiden terduduk di tepi tangga.
Ya Tuhan, perit rasanya bila jatuh terduduk begini. Itulah Mel, ada mata
tapi tak digunakan.
"Apalah nasib, hari pertama mengajar, jatuh tangga pula,"
keluh Melina sembari bahan mengajarnya dikutip. Setelah itu kepalanya dijengah
mencari susuk
gagah tadi. Sepi dan kosong koridor tersebut. Susuk gagah tadi jejaknya
telah hilang.
"Salah nampak agaknya. Tak mungkinlah orang yang sama."
Dalam keadaan berjingkit sedikit, Melina meneruskan langkah menuju ke
bilik darjah. Anak muridnya yang seramai 28 orang kelihatan leka berbual dan
ketawa. Bukan main lagi mereka itu semua ya.
Tipikal pelajar tingkatan empat beginilah. Memasuki tingkatan empat,
mereka anggap sebagai tahun honeymoon, tahun berpesta dan bersuka ria hingga
lupa dunia. Tahun hadapan baru hendak serius. Mental beginilah yang Melina
nekad hendak ubah.
"Selamat pagi, cikgu!"
Suara anak muridnya yang seramai 28 orang itu bergema, tidak serentak.
Jadi bunyinya seperti langau yang menghurung tahi. Berkerut dahi Melina.
Sepasang matanya dikecilkan lalu sorotannya ditebarkan pada sekeliling bilik
darjah.
"Sekali lagi. Kali ni cikgu nak serentak dan dengan suara yang
bersemangat. Jangan buat suara lembik macam seminggu tak makan. Kalau suara
lembik, semua sekali berdiri dekat luar."
“Cikgu tak sporting!”
Memang Melina tidak sporting, sebab itulah awal-awal lagi Melina tidak
sudi terjun ke dalam profesion perguruan. Melina kejam dan tidak berhati perut.
“Lagi sekali, kali ni beri ucapan betul-betul. Kalau nak menuntut ilmu
ni, biar bersemangat. Barulah apa yang diajar pun bersemangat masuk dalam
otak.”
"Selamat pagi, cikgu!"
Suara pelajarnya serentak dan nyaring. Sebagai hadiah, senyuman paling
manis Melina berikan pada semua pelajarnya. Nanti kalau ada yang malas, siaplah
yang malas itu. Melina ni, garang macam singa.
Dan gatal juga. Pantang nampak lelaki dahi licin, terus jatuh tangga.
Fakta salah! Jangan percaya, ya? Jatuh tangga tadi termasuk dalam
kategori kesilapan teknikal.
Sesi suai kenal bermula, satu persatu pelajarnya disuruh mengenalkan
diri. Pelajar yang terakhir, raut wajahnya nampak nakal sedikit. Gerak hati
Melina pun mulai lain. Nampaknya Melina perlu beri perhatian pada pelajar
lelakinya yang seorang ini.
"Namaku ani Ahmad Fendi. Mun di lagau Fendi pun boleh. Kan bertanya
mun inda keberatan, Cikgu Mel ani udah kawin ke balum?” (Nama saya Ahmad Fendi.
Boleh panggil Fendi. Cikgu Mel dah kahwin atau belum?)
Amboi, isu kahwin yang ditimbulkan oleh Fendi ni. Bergema bilik darjah
tersebut dengan suara deheman dan siulan yang dibuat-buat. Masing-masing
menyokong soalan berstatus peribadi Fendi.
“Cikgu Mel balum kawin, lakat tah lagi bujang.” (Cikgu Mel belum kahwin,
bujang lagi.)
“Wow! Wow! Wow! Cikgu Mel faham dan pandai balas balik. Cikgu Mel
hebat!”
Ini Melina Samad la. Darah pahlawan Perak mengalir dalam diri Melina.
Pantang Melina menyerah sebelum berjuang. Sebab itulah sebelum ke Sabah, Melina
awal-awal lagi sudah belajar sedikit bahasa orang Sabah. Sebutlah daerah mana
pun, Melina pasti faham dan bijak membalas semula.
“Mun miatu, basar tah hati kan sayang Cikgu Mel ani banar-banar. Inda
main-main lagi ni.” (Kalau macam ni, nak sayang Cikgu Mel lebihlah.”
Alahai, makin ligat pula si Fendi ini menuturkan bahasa daerahnya.
“Cikgu Mel, mun inda kabaratan kan minta alamat rumah Cikgu Mel di
semenanjung atu. Sanang jua ku maunjar.” (Cikgu Mel, nak minta alamat Cikgu Mel
dekat semenanjung. Nanti senang nak cari.)
“Nak buat apa?”
Fendi mula tersengih-sengih. Sengihannya nampak luar biasa nakal.
“Nak suruh mak masuk meminang Cikgu Mel.”
Kali ini bilik darjah bergema dengan sorakan. Keadaan seperti tidak
terkawal. Aduh, pening kepala Melina. Rasanya Melina sudah cukup garang, tetapi
kenapa seolah-olah Melina sedang dibuli ni?
Bukan buli wahai Melina. Sesi suai kenal, biasalah kalau pelajar
bergurau.
Ini bukan bergurau, ini sengaja mengundang Melina bertukar menjadi
singa.
“Saya ada abang Cikgu Mel. Handsome macam saya juga. Kalau Cikgu Mel
kosong lagi, Cikgu Mel boleh jadi kakak ipar saya.”
Belum sempat Melina keluarkan ngauman singa, susuk gagah yang membuatnya
jatuh terduduk tadi sedang menghayun langkah tenang di tepi bilik darjah.
Pastilah Melina besarkan mata. Hilang semua ayat-ayat nakal si Fendi dari dalam
kepalanya.
"Excuse me! Assalamualaikum! Awak yang tengah berjalan tu, tolong
berhenti."
Susuk gagah itu berhenti melangkah, dia juga telah berpaling dengan
kerutan di dahi.
Memang Melina tidak salah pandang. Memang pemilik susuk gagah tadi,
lelaki sama yang Melina jumpa di lapangan terbang tempoh hari. Dunia ni, memang
kecil.
Apa yang pasti, deheman dan siulan para pelajarnya semakin ketara saja.
Menganggu konsentrasi Melina mahu menilik susuk gagah itu sepuas hati.
"Kelas, tolong senyap," pinta Melina. Ekor matanya masih
curi-curi melihat susuk gagah tersebut. Sayangnya susuk gagah itu telah mula
melangkah pergi.
"Cikgu Mel mengurat."
Kurang ajar, Melina dituduh mengurat pula.
"Cikgu tak mengurat. Okey, semua tolong buka buku teks
masing-masing. Kita mulakan pembelajaran hari ni."
Maka terdengarlah bunyi-bunyi protes daripada tipikal pelajar tingkatan
4 Dinamik, terhadap seorang cikgu bernama Melina. Tetapi Melina peduli apa,
yang Melina pedulikan, pemilik susuk gagah tadi.
Dia, satu sekolah dengan Melina. Cikgu juga. Nanti Melina siasat
habis-habisan tentang dia ya. Namanya, umur dan statusnya. Bila dapat, Melina
kongsikan di sini. Tunggu, sebab sekarang masa untuk mendidik anak bangsa.
No comments:
Post a Comment