Saturday, 28 May 2016

Bab 3 : LELAKI IDAMAN - PENA KAYU

SEPI saja bilik guru. Tinggal beberapa cikgu yang masih berada di meja masing-
       masing, sibuk memeriksa buku latihan pelajar. Ada juga yang menggunakan waktu terluang dengan membaca akhbar.
Melina? Jangan tanya, sebab Melina sedang terkuap-kuap menahan rasa mengantuk.
Memalukan golongan cikgu saja Melina ni. Inilah padahnya bila Melina habiskan dua pinggan nasi lemak sewaktu rehat tadi.
Cikgu Suraya pula ada kelas. Kalau tidak, boleh juga Melina ajak berbual. Cikgu Suraya tu, seperti penyelamat Melina. Melina sedang cari rumah, dan Cikgu Suraya pelawa tinggal sama. Selesai masalah Melina. Rupanya Cikgu Suraya pun tidak suka tinggal bersendirian.
Melina menguap lagi, lebih lama dan panjang. Rasanya Melina perlu letak lidi di kelopak matanya, biar dia tidak tidur. Rasa mengantuknya sukar dikawal. Semakin ditahan, semakin dia kalah pada gayutan iblis dan syaitan di kelopak mata.
Ketukan bertalu-talu di tepi telinganya sangat mengejutkan. Melina bangun dengan gaya orang gila. Dan sepasang mata kuyu Melina jadi segar.
“Kita datang ke sekolah ni sebab nak mengajar, bukan sebab nak curi tulang dengan tidur.”
Aduh, pedasnya sindiran pemilik susuk gagah tersebut.
“Lagi satu, tepi mulut cikgu basah. Tolong lap. Kalau pelajar nampak, cikgu juga yang malu.”
Sumpah, Melina ingin menyorok di bawah meja. Melina juga mahu meraung sekuat hati. Rasa malunya hanya Tuhan saja yang tahu. Ada juga sepuluh saat Melina pegun, sebelum dia berjaya mengutip harga dirinya yang jatuh tadi.
Hujung bibirnya disentuh. Kering, tidak ada tanda-tanda air liur basi sempat bermukim di situ. Melina mengambil pula cermin kecil. Puas ditilik, memang tepi bibirnya kering.
Kasar gurauan pemilik susuk gagah tersebut. Seenaknya saja dia kata tepi mulut Melina basah.
Melina menoleh ke kiri. Nun selang enam meja, pemilik susuk gagah tadi sedang tekun menulis sesuatu. Rasanya, inilah pemandangan paling indah pernah Melina lihat sejak kakinya jejak bumi Tawau. Rasanya juga, Melina tidak jadi marah. Malah Melina jadi suka dengan gurauan kasar pemilik susuk gagah tersebut.
“Meja dia dekat situ, tak jauh rupanya” bisik Melina perlahan. Acap kali dia menjeling. Acap kali juga dilenturkan kerusinya supaya dapat melihat susuk gagah itu dengan jelas. Hingga akhirnya, kerusi Melina hilang imbangan. Melina jatuh lagi, terlentang bersama kerusinya.
Gelap sekejap pandangan sebelum Melina lekas- lekas bangun. Mujurlah cikgu-cikgu lain terlalu sibuk untuk ambil tahu.
“Pagi tadi jatuh tangga, sekarang jatuh kerusi pula. Malangnya nasib hari ni,” gerutu Melina sambil mengurut-ngurut belakang tubuhnya yang terasa sakit.
Itulah Mel, lain kali jangan tunjukkan sangat sifat gelojoh tu. Tak bagus dan tak elok.
Mel bukan gelojoh. Mel cuma bersemangat melihat cikgu lelaki tersebut.
Lirikan Melina jatuh lagi pada cikgu lelaki itu. Lengan baju kemejanya yang berwarna kelabu telah disingsing hingga ke paras siku. Air mukanya pula sejak tadi serius. Kalau beginilah pemandangan yang terhidang di depan mata, Melina sanggup duduk berjam-jam di sini. Kalau kaki kebas dan berkematu pun tidak mengapa.
“Ralitnya dia buat kerja. Sikit pun tak toleh kiri dan kanan.”
Hampir lima belas minit Melina menjadi pemerhati secara senyap-senyap. Kemudian cikgu lelaki yang belum diketahui namanya itu bangun semula. Dia nampak tergesa-gesa mengambil bahan mengajarnya dan kemudian terus keluar. Pandang Melina pun dia tidak sudi. Padahal Melina sedang memberikan senyuman paling indah dan manis.
“Bosannya. Yang sedap dipandang dah keluar pula.”
Mengomel lagi, membebel lagi. Mel, gaya kamu sekarang langsung tidak ada gaya seorang cikgu. Malulah sedikit dengan pelajar Mel.
Melina pekakkan telinga. Sorotannya ditebarkan. Baru sedar diri kalau hanya tinggal dirinya saja di dalam bilik guru tersebut.
"Selamat semua cikgu dah keluar," bisik Melina sembari terjingkit-jingkit menghampiri meja kerja cikgu lelaki yang menggoda pandangannya.
Mel, seorang cikgu tak buat perangai buruk begini. Ini namanya gatal yang tak dapat ditolong!
Bukan gatal wahai hati, tetapi mencari tahu maklumat terkini. Itu saja.
Meja cikgu lelaki itu kemas dan semua buku rujukannya tersusun dengan rapi. Meja Melina juga tidak sekemas ini. Mendadak saja Melina jadi malu. Bergegas dia ke mejanya semula, mengemas apa yang patut.
“Macam ni, baru betul. Baru sesuai dengan cikgu lelaki tu.”
Bukan main gatal lagi gaya senyuman Melina. Sekali lagi dia mendekati meja cikgu lelaki tersebut.
Melina belek buku-buku latihan yang bertimbun. Melina juga belek kertas yang disusun rapi di tepi meja.
"Nama dia Idham. Nama lengkapnya tak tahu sebab tak ditulis. Umur pun tak tahu. Yang pasti Cikgu Idham ni cikgu Bahasa Melayu. Handal bersastera la Cikgu Idham ni," omel Melina. Jari tangannya telah menarik kerusi milik Idham.
Belum pun sempat Melina duduk, ada deheman keras dari arah belakangnya. Deheman yang cukup untuk membuat buku yang sedang dipegang jatuh menyembah lantai. Kelam-kabut Melina mengutipnya. Kepalanya juga
ikut jadi sejuk. Sekejap saja Melina telah berpaling. Mengulum senyum perkenalan sambil berusaha membuat air muka paling comel. Besarlah harapan Melina, cikgu lelaki ini tidak melenting.
"Tempat duduk saya tu.”
Garangnya suara dia.
“Saya tahu.”
“Meja ni pun, meja saya. Cikgu dah salah meja.” “Ya, meja ni memang meja cikgu.”
“Buku yang cikgu pegang sampai jatuh tadi pun milik saya."
Senyuman Melina jadi keras. Nampaknya Melina gagal melembutkan hati cikgu lelaki ini. Sejak tadi, nada suara cikgu lelaki ini serius.
“Cikgu buat apa dekat sini?”
Nah, datang soalan yang belum mampu Melina jawab. Takkanlah Melina nak mengaku Melina ke sini sebab hendak mencari maklumat, pastilah cikgu lelaki ini fikir Melina jenis perempuan psiko.
Sekejap ya wahai cikgu lelaki yang sedap dipandang, Melina fikirkan alasan terbaik dahulu.
"Saya bukan nak duduk dekat meja cikgu. Tadi kertas atas meja cikgu ditiup angin. Saya tolong kutip. Saya dah letak semula kertas yang terbang tadi.”
Cikgu lelaki itu mengerutkan dahi pula, jelas tidak percaya dengan penjelasan lebar Melina.
“Kertas ni, kertas inilah yang terbang tadi,” lanjut Melina sambil mengambil sehelai kertas dari atas meja cikgu lelaki tersebut.
"Terima kasih sebab tolong kutip." "Sama-sama."
Selepas itu sepi. Cikgu lelaki itu sibuk dengan halnya. Melina diabaikan dan tidak dipedulikan. Lenguh juga kaki Melina berdiri. Banyak yang Melina ingin bualkan, cuma cikgu lelaki ini terlalu beku.
"Saya duduk meja sebelah sana. Dekat tepi pintu. Tak jauh, selang enam meja saja dari sini."
Terhenti gerakan tangan cikgu lelaki tersebut. Sorotannya membalas pandangan Melina. Begitu tajam. Melina sempat kalah.
"Dekat tepi pintu tu?"
Lekas-lekas Melina mengiyakan.
“Jadi?”
“Saya cuma beritahu.”
Cikgu lelaki itu menegakkan tubuh. Sorotannya singgah pada meja yang dimaksudkan oleh Melina.
"Okey. Nanti kalau saya lalu sana dan kertas cikgu ditiup angin, saya pasti tolong kutip. Saya letak cantik-cantik atas meja cikgu semula."
Ini menyindir ke apa? Sebab Melina rasa terpukul ni.
"Nama saya Mel. Cikgu Mel. Nama penuh Melina Binti Samad," ujar Melina, berusaha sebaik mungkin mengusir rasa terpukul yang tiba-tiba hadir.
Sepi. Kalaulah ada cengkerik yang nakal, pasti suaranya dapat didengar dengan jelas.
“Nama cikgu siapa?”
“Idham.”
“Nama penuh. Kalau Idham tu saya dah tahu.”
Mengecil sorotan Idham. Wajahnya didekatkan pada Melina yang berketinggian hanya mencecah bahunya.
“Awak kutip kertas atau awak kutip maklumat tadi?”
Melina telan pula liur. Tembelangnya sedang retak dan menunggu masa saja untuk pecah.
“Dua-dua.”
Idham pilih mengambil buku rujukannya yang tertinggal tadi. Setelah itu dia berlalu pergi bersama helaan nafas yang keras.
"Apa hal cikgu tu? Tanya nama pun susah nak jawab. Nama sendiri, bukan nama orang lain," komen Melina lantas ikut meninggalkan meja Idham. Baru tiga langkah, sakit belakang menyerang pula. Sedikit terbongkok-bongkok Melina menghampiri mejanya. Pasti sakit belakang ini sebab jatuh kerusi tadi.
Dan fasal Idham tu, tunggulah dua tiga hari lagi. Melina pasti tahu nama lengkap Idham. Kalau susah sangat, Melina boleh tanya Cikgu Suraya. Cikgu Suraya, cikgu senior di sekolah ini. Pastilah banyak hal yang Cikgu Suraya tahu.



Bab 2 : LELAKI IDAMAN - PENA KAYU


MELINA mengeluh, sangat berat. Mahu saja dihalakan kepalanya ke dinding sembari 

dihantuk berkali-kali. Biar cedera parah dan kemudian, bolehlah dia dihantar semula ke semenanjung. Jadi Melina tidak perlu jadi cikgu di Sabah ini lagi. Cuma bila difikirkan itu idea gila, maka Melina batalkan niat gila tersebut.
Ini cerita jujur. Melina Binti Samad tidak sudi jadi cikgu. Melina dipaksa jadi cikgu. Semuanya sebab ini kerja turun-temurun keluarga Melina. Bayangkan, daripada moyang sampailah ke ayah dan ibu, profesion mereka semua adalah cikgu.
"Cikgu Mel."
Nah, itu suara tuan pengetua. Melina memang mengukir senyuman. Cuma segala macam ayat tuan pengetua, semuanya masuk telinga kiri dan terus keluar telinga kiri semula. Melina malas nak dengar. Otak
Melina sekarang cuma ingin segera pulang ke semenanjung.
"Faham, Cikgu Mel?"
"Faham."
Sebenarnya Melina tidak faham langsung.
Alahai Mel, macam mana nak didik anak bangsa kalau begini? Tugas sebagai pendidik belum dimulakan, tapi otak Mel sudah melayang entah ke mana. Mel, mendidik anak bangsa itu amanah. Jangan rosakkan amanah tersebut.
Mel tahu, Mel juga faham. Salahkan ibu dan ayah Mel. Ayah dan ibu yang paksa Mel jadi cikgu. Cikgu subjek Kimia pula. Memang berkimialah otak Mel.
"Cikgu baru, kan?"
Satu suara lunak menegur setelah tuan pengetua melangkah pergi. Kalau jadi penyanyi, pasti albumnya laku keras.
Bersinar bola mata Melina melihat pemilik suara lunak tersebut. Lebih kepada kagum sebenarnya.
Kulit pemilik suara lunak itu nampak mulus, putih seperti cina. Tidak sama dengan kulit kuning langsat Melina. Matanya bundar dan hidungnya begitu indah terbentuk. Itu belum disebut bibirnya yang comel. Pokoknya, serba-serbi sempurna. Jujur yang paling jujur, Melina jauh kalah.
"Cikgu baru, kan?"
Pemilik suara lunak itu meminta kepastian lagi. Melina pula masih melopong. Kalau reaksi Melina pun sudah begini, apatah lagi kalau anak teruna yang melihat pemilik suara lunak ini. Boleh jadi gila bayang.
"Cikgu?"
"Ya. Ya. Saya cikgu baru,” balas Melina setelah bebas daripada penyakit kagum.
"Saya Cikgu Suraya. Awak boleh panggil saya Sue. Meja saya depan meja awak. Depan sana tu."
Tangan yang Cikgu Suraya hulur, segera Melina sambut. Halus dan tidak kasar seperti tangan Melina. Pasti Cikgu Suraya rajin memakai losyen.
"Melina. Panggil saya Mel saja."
"Selamat datang ke sekolah ni dan selamat mengajar, Mel. Selamat datang ke Tawau juga."
Bagusnya Cikgu Suraya ni. Sudahlah cantik, berbudi bahasa pula. Sememangnya Cikgu Suraya calon isteri terbaik untuk lelaki-lelaki bujang di luar sana.
"Saya ada kelas sekarang, bila ada masa terluang, kita borak lagi."
Melina juga ada kelas. Bergegas Melina ke mejanya mengambil bahan mengajar sebelum ikut keluar dari bilik guru. Melina tidak mahu lewat walau sesaat pun pada hari pertama bertemu pelajarnya.
Begitupun, satu-satu anak tangga Melina turuni dengan hati yang melayang. Otaknya pun ikut bergoyang-goyang. Hingga akhirnya, matanya dipaku oleh satu susuk gagah.
Terpegun. Terkejut. Terkesima. Akhir sekali Melina terpesona dengan hati yang telah jatuh tanpa sengaja. Lebih tragis bila langkahnya tersilap, lalu terjadilah insiden terduduk di tepi tangga.
Ya Tuhan, perit rasanya bila jatuh terduduk begini. Itulah Mel, ada mata tapi tak digunakan.
"Apalah nasib, hari pertama mengajar, jatuh tangga pula," keluh Melina sembari bahan mengajarnya dikutip. Setelah itu kepalanya dijengah mencari susuk
gagah tadi. Sepi dan kosong koridor tersebut. Susuk gagah tadi jejaknya telah hilang.
"Salah nampak agaknya. Tak mungkinlah orang yang sama."
Dalam keadaan berjingkit sedikit, Melina meneruskan langkah menuju ke bilik darjah. Anak muridnya yang seramai 28 orang kelihatan leka berbual dan ketawa. Bukan main lagi mereka itu semua ya.
Tipikal pelajar tingkatan empat beginilah. Memasuki tingkatan empat, mereka anggap sebagai tahun honeymoon, tahun berpesta dan bersuka ria hingga lupa dunia. Tahun hadapan baru hendak serius. Mental beginilah yang Melina nekad hendak ubah.
"Selamat pagi, cikgu!"
Suara anak muridnya yang seramai 28 orang itu bergema, tidak serentak. Jadi bunyinya seperti langau yang menghurung tahi. Berkerut dahi Melina. Sepasang matanya dikecilkan lalu sorotannya ditebarkan pada sekeliling bilik darjah.
"Sekali lagi. Kali ni cikgu nak serentak dan dengan suara yang bersemangat. Jangan buat suara lembik macam seminggu tak makan. Kalau suara lembik, semua sekali berdiri dekat luar."
“Cikgu tak sporting!”
Memang Melina tidak sporting, sebab itulah awal-awal lagi Melina tidak sudi terjun ke dalam profesion perguruan. Melina kejam dan tidak berhati perut.
“Lagi sekali, kali ni beri ucapan betul-betul. Kalau nak menuntut ilmu ni, biar bersemangat. Barulah apa yang diajar pun bersemangat masuk dalam otak.”
"Selamat pagi, cikgu!"
Suara pelajarnya serentak dan nyaring. Sebagai hadiah, senyuman paling manis Melina berikan pada semua pelajarnya. Nanti kalau ada yang malas, siaplah yang malas itu. Melina ni, garang macam singa.
Dan gatal juga. Pantang nampak lelaki dahi licin, terus jatuh tangga.
Fakta salah! Jangan percaya, ya? Jatuh tangga tadi termasuk dalam kategori kesilapan teknikal.
Sesi suai kenal bermula, satu persatu pelajarnya disuruh mengenalkan diri. Pelajar yang terakhir, raut wajahnya nampak nakal sedikit. Gerak hati Melina pun mulai lain. Nampaknya Melina perlu beri perhatian pada pelajar lelakinya yang seorang ini.
"Namaku ani Ahmad Fendi. Mun di lagau Fendi pun boleh. Kan bertanya mun inda keberatan, Cikgu Mel ani udah kawin ke balum?” (Nama saya Ahmad Fendi. Boleh panggil Fendi. Cikgu Mel dah kahwin atau belum?)
Amboi, isu kahwin yang ditimbulkan oleh Fendi ni. Bergema bilik darjah tersebut dengan suara deheman dan siulan yang dibuat-buat. Masing-masing menyokong soalan berstatus peribadi Fendi.
“Cikgu Mel balum kawin, lakat tah lagi bujang.” (Cikgu Mel belum kahwin, bujang lagi.)
“Wow! Wow! Wow! Cikgu Mel faham dan pandai balas balik. Cikgu Mel hebat!”
Ini Melina Samad la. Darah pahlawan Perak mengalir dalam diri Melina. Pantang Melina menyerah sebelum berjuang. Sebab itulah sebelum ke Sabah, Melina awal-awal lagi sudah belajar sedikit bahasa orang Sabah. Sebutlah daerah mana pun, Melina pasti faham dan bijak membalas semula.

“Mun miatu, basar tah hati kan sayang Cikgu Mel ani banar-banar. Inda main-main lagi ni.” (Kalau macam ni, nak sayang Cikgu Mel lebihlah.”
Alahai, makin ligat pula si Fendi ini menuturkan bahasa daerahnya.
“Cikgu Mel, mun inda kabaratan kan minta alamat rumah Cikgu Mel di semenanjung atu. Sanang jua ku maunjar.” (Cikgu Mel, nak minta alamat Cikgu Mel dekat semenanjung. Nanti senang nak cari.)
“Nak buat apa?”
Fendi mula tersengih-sengih. Sengihannya nampak luar biasa nakal.
“Nak suruh mak masuk meminang Cikgu Mel.”
Kali ini bilik darjah bergema dengan sorakan. Keadaan seperti tidak terkawal. Aduh, pening kepala Melina. Rasanya Melina sudah cukup garang, tetapi kenapa seolah-olah Melina sedang dibuli ni?
Bukan buli wahai Melina. Sesi suai kenal, biasalah kalau pelajar bergurau.
Ini bukan bergurau, ini sengaja mengundang Melina bertukar menjadi singa.
“Saya ada abang Cikgu Mel. Handsome macam saya juga. Kalau Cikgu Mel kosong lagi, Cikgu Mel boleh jadi kakak ipar saya.”
Belum sempat Melina keluarkan ngauman singa, susuk gagah yang membuatnya jatuh terduduk tadi sedang menghayun langkah tenang di tepi bilik darjah. Pastilah Melina besarkan mata. Hilang semua ayat-ayat nakal si Fendi dari dalam kepalanya.
"Excuse me! Assalamualaikum! Awak yang tengah berjalan tu, tolong berhenti."
Susuk gagah itu berhenti melangkah, dia juga telah berpaling dengan kerutan di dahi.
Memang Melina tidak salah pandang. Memang pemilik susuk gagah tadi, lelaki sama yang Melina jumpa di lapangan terbang tempoh hari. Dunia ni, memang kecil.
Apa yang pasti, deheman dan siulan para pelajarnya semakin ketara saja. Menganggu konsentrasi Melina mahu menilik susuk gagah itu sepuas hati.
"Kelas, tolong senyap," pinta Melina. Ekor matanya masih curi-curi melihat susuk gagah tersebut. Sayangnya susuk gagah itu telah mula melangkah pergi.
"Cikgu Mel mengurat."
Kurang ajar, Melina dituduh mengurat pula.
"Cikgu tak mengurat. Okey, semua tolong buka buku teks masing-masing. Kita mulakan pembelajaran hari ni."
Maka terdengarlah bunyi-bunyi protes daripada tipikal pelajar tingkatan 4 Dinamik, terhadap seorang cikgu bernama Melina. Tetapi Melina peduli apa, yang Melina pedulikan, pemilik susuk gagah tadi.
Dia, satu sekolah dengan Melina. Cikgu juga. Nanti Melina siasat habis-habisan tentang dia ya. Namanya, umur dan statusnya. Bila dapat, Melina kongsikan di sini. Tunggu, sebab sekarang masa untuk mendidik anak bangsa.