KHAIRIL membuka pintu bilik
pejabat Idham luas-luas. Matanya cepat saja menangkap
tubuh tinggi semampai Idham. Nampaknya lelaki itu sedang bersiap untuk keluar. Lihatlah,
laptopnya telah disimpan. Mejanya juga telah siap dikemas.
"Kau nak keluar?"
Idham mengangguk.
"Tadi aku dah hantar email pada hr, dan cc kau tentang cuti
aku."
"Bila kau nak cuti?"
"Bermula Isnin depan."
"Baguslah. Kau pun jarang sangat ambil cuti. Tahun lepas kau ambil
lapan hari saja. Itu pun sebab kau kena denggi. Kalau tak, memang muka kau yang
muncul dekat pejabat ni, termasuk hari cuti."
"Baiklah. Tahun ni aku cuti banyak sikit."
"Jadi kau cuti berapa lama ni? Seminggu?"
Idham menaikkan tiga jarinya.
“Tiga hari? Sekejapnya. Ambillah seminggu. Kalau tak cukup, dua minggu.
Setakat dua minggu tu, aku boleh urus lagi hal syarikat ni.”
"Bukan tiga hari, Khairil. Bukan juga seminggu atau dua minggu,
tapi tiga bulan."
Mahu tersembul biji mata Khairil mendengar penjelasan Idham. Tiga bulan,
bukan tiga hari. Tiga bulan bersamaan dengan 90 hari kalau kiraan sebulan 30
hari diambil.
"Kau nak cuti tiga bulan? Kau gila ke apa? Kau nak aku mati kering
dekat pejabat ni?"
Idham sekadar ketawa kecil. Air mukanya nampak begitu tenang sekali.
Sangat berbeza dengan Khairil.
"Aku tak gila. Aku waras lagi. Lagipun aku yakin kau boleh uruskan
syarikat ni. Tiga bulan bukan lama. Apalah sangat tiga bulan tu. Pejam celik
pejam celik, dah tiga bulan."
Bunyi ayat Idham seperti menyindir Khairil saja.
"Jangan main-main, Idham. Banyak projek yang kau pegang."
"Sebab itu satu bulan ni kalau kau perasan, aku heret kau ke mana
saja aku pergi. Jadi semua projek dekat tangan aku sekarang, aku serahkan pada
kau."
Khairil geleng kepala berkali-kali.
"Tadi kau sendiri bising kata aku jarang bercuti. Bila aku mohon
cuti, kau macam tak setuju pula."
"Bukan tak setuju, Idham. Tapi lama sangat kau bercuti. Memang
syarikat ni kita berdua punya. Tapi aku tak pernah uruskan seorang diri syarikat ni. Tiga bulan tu bukan
singkat."
"Belajar dan biasakan."
Mudah sungguh Idham berkata-kata. Khairil sudah resah ni.
"Kalau ada apa, kau boleh cari aku. Aku ada dekat Tawau ni. Aku
bukan bercuti ke luar negara."
"Jadi kau cuti lama-lama ni nak buat apa? Kahwin?"
"Tak," jawab Idham. Kali ini, sengaja dia membalas sorotan
tajam Khairil. Sehinggakan kening Khairil naik sebelah.
"Habis tu?"
"Aku nak jadi cikgu ganti."
Jatuh semua dokumen yang sedang Khairil pegang. Muka Khairil ikut
berkerut, seperti mumia yang telah diawet.
"Buat lawak ya?"
"Mana ada aku buat lawak. Aku serius. Aku dah pergi pejabat
pendidikan daerah. Aku pun dah selesai ditemuduga. Paling bagus, kurang dua
minggu lagi aku mula mengajar. Berita lebih bagus, aku dapat jadi cikgu ganti
dekat sekolah yang aku pohon."
Mundar-mandir Khairil dibuatnya. Dokumennya yang jatuh tadi pun belum
dikutip.
"Kenapa kau tak pernah cerita pun hal besar ni? Sepatutnya kau
beritahu aku dari awal."
"Kalau aku beritahu dari awal, kau pasti bangkang."
"Memang!" tegas Khairil dengan wajah yang diraup berkali-kali.
Geram pula hatinya dengan berita Idham hendak jadi cikgu ganti. Idham ni seorang arkitek, jauh sangat
melencong kalau tiba-tiba jadi seorang cikgu ganti.
"Khairil."
"Jangan cakap lagi. Aku tak nak kawan kau."
Meledak tawa Idham. Kiranya, Khairil sedang merajuklah ni?
"Aku memang geram bila kau sebut nak jadi cikgu ganti. Tapi aku
lebih geram sebab aku baru tahu sekarang hal ni. Aku ni partnership kau, Idham.
Apa-apa hal, beritahulah aku awal sedikit. Jangan bila benda dah nak jadi esok,
hari ni baru nak cakap."
"Maaf, Khairil. Jangan geram ya. Aku perlukan sangat jawatan cikgu
ganti tu. Lagipun sejak dulu bonda nak aku jadi cikgu, tapi aku tolak dan pilih
jadi seorang arkitek. Jadi bila aku nak jadi cikgu ganti ni, bonda yang paling
gembira."
"Tiba-tiba sangat. Lagipun kalau kau nak gembirakan mak cik, dari
dulu lagi kau boleh pohon jadi cikgu ganti. Bukan sekarang."
Sempat Khairil menangkap riak tersipu-sipu Idham. Mengalahkan anak dara
saja gaya tersipu-sipu Idham.
"Lain macam saja kau ni. Kau jangan main-main, Idham. Kalau kau
jadi cikgu, pastikan kau serius mengajar. Jangan ajar anak murid kau perkara yang
bukan-bukan."
"Jangan risau. Aku hormat profesion cikgu dan tanggungjawab mereka
mendidik anak bangsa."
"Jangan sampai ada skandal dengan anak murid sendiri
sudahlah."
Hanya gelak Idham yang membalas ayat sindiran halus Khairil. Kemudian
beg laptopnya diraih dan langkah mula diatur.
"Idham, aku tak habis cakap lagi ni."
"Malam nanti sambung. Aku nak ke airport. Jumpa bakal orang
rumah."
Biarlah Khairil melopong. Idham tetap telah hilang di sebalik pintu.
Kalau lambat, nanti tidak sempat hendak jumpa bakal orang rumahnya.
Macam mana orangnya? Dia seorang yang boleh menggetarkan hati. Mulus dan
lembut. Paling Idham suka, sorotan matanya. Okey, cukuplah tu. Kalau teliti
sangat, nanti ada yang kata Idham puji bakal orang rumahnya secara berlebih.
MELINA menarik bagasinya dengan hati yang separuh. Jasadnya memang telah
berada di Tawau, jiwanya saja yang tertinggal di Kuala Lumpur. Hatinya sejak
tadi mahu pulang ke Kuala Lumpur.
Ada empat belas negeri di Malaysia, tapi kenapa Melina yang dipilih jadi
cikgu dekat Sabah? Dekat daerah Tawau ni? Melina tak nak. Heretlah Melina balik
semenanjung. Kalau boleh sekarang.
"Kak, cari orang Tawau jadi imam. Orang Tawau kebanyakannya kacak.
Percayalah cakap Fuad ni."
Berkerut dahi Melina. Entah kenapalah ayat Fuad yang satu itu muncul
dalam kepala. Macamlah Melina hendak kahwin dengan orang Tawau. Kalau Melina
kemaruk sangat hendak kahwin pun, Melina pilih orang semenanjung!
Balai pemeriksaan selesai dilalui. Arah kakinya mula mencari pintu
keluar. Nun di depan sana Melina lihat seorang lelaki sedang melukis senyuman
padanya. Sempat Melina terpegun. Meskipun wajah lelaki itu nampak lesu sedikit,
pesonanya tetap ada.
Alahai, lelaki itu lambai tangan pada Melina pula. Melina tak kenal dan
tak pernah ingat kalau dia ada kenalan dari Tawau.
"Kenal saya ke?"
Ini soalan pertama Melina setelah berdiri betul- betul di depan lelaki
tersebut. Dan sorotan pelik bercampur terkejut lelaki itu pastilah meragukan
hati Melina.
"Minta maaf, saya tak kenal awak.”
Muka Melina selamat bertukar seperti nenek kebayan. Pipinya jadi
berinci-inci tebal.
Mel, buat macam biasa. Jangan gelabah dan mula desak dia dengan bukti.
"Tadi awak senyum dan kemudian lambai tangan. Bukan sekali, tetapi
banyak kali."
Kali ini Melina lihat banyak kerutan yang terlukis pada dahi lelaki itu.
"Saya tak senyum. Saya pun tak lambai tangan dekat awak. Saya
senyum dan lambai tangan pada dia."
Lelaki itu nampak lebih terkejut sekarang. Matanya melilau mencari figura
yang bernama 'dia'.
"Mana dia pergi?"
Tak sepatutnya lelaki ni tanya Melina. Manalah Melina kenal ‘dia’ tu.
Kalau kenal, boleh juga Melina tolong carikan.
Kemudian lelaki itu pergi mencari 'dia' yang hilang. Melina juga yang
terpegun ditempat kejadian. Ditinggalkan tanpa sebarang jawapan.
Okey Mel, jangan tebalkan muka lagi. Angkat kaki sekarang.
Masalahnya, lelaki tu memang senyum dan lambai tangan pada Mel tadi. Mel
tak tipu.
Mel, dia tak mengaku. Mel salah nampak agaknya. Itulah, mata Mel tu
pantang nampak lelaki kacak.
Bukan macam itulah wahai hati!
Melina menoleh mencari figura lelaki tadi. Malangnya figura itu telah
hilang. Pasti sedang sibuk mencari ‘dia’.
Melina tarik bagasinya. Hati di dalam masih mengomel. Marahkan hati yang
selalu mahu menang sendiri.
"Kak, percayalah cakap Fuad ni. Orang Tawau ni lelakinya kacak dan
yang perempuannya cantik."
Ayat Fuad lagi!
No comments:
Post a Comment