Saturday, 4 February 2017

Bab 3 : KALAU ADA JODOH 2 - MIME AFINIE


Bab 3

MASUK sahaja ke dalam rumah, Pyan terus menuju ke arah buaian. Anas sedang tidur dengan nyenyaknya, tapi mana Rini? Mana emak? Kenapa tinggalkan Anas sendirian kat bawah ni?

Sedang tertanya-tanya macam tu, tiba-tiba terdengar bunyi dari arah dapur. Serta-merta haluan kakinya diubah ke sana. Membelakangkan dia, Rini sedang berdiri menghadap meja makan. Perlahan-lahan dan berhati-hati dia mendekati isterinya.

“Sayang, buat apa tu?” Dekat telinga Rini, Pyan berbisik.

“Opocot, mak kau nak makan tembikai.” Rini melatah dan serentak itu sepotong tembikai terlepas dari tangan dan jatuh tergolek atas meja.

“Abi... kenapa buat macam ni? Terperanjat tau tak?” Kedua-dua tangannya memegang dada yang berdebar kencang.

Pyan tak hirau pun apa yang Rini cakap. Dia lebih berminat dengan tembikai merah yang terlepas dari tangan Rini sebentar tadi.

“Umi makan tembikai?”

“Ya...err...tak.” Tergagap-gagap Rini jawab. Jawapan orang bersalah.

“Makan ke tak?”

“Tak.” Perlahan Rini jawab. 

“Ya ke? Boleh percaya ke ni?”

“Ya, betul. Masa abi datang, umi baru nak hulur masuk mulut.” Pandangan matanya Rini tala kepada tembikai yang nampak sangat menggoda itu. Rasa ralat sangat. Dia terlambat sikit saja. Kalau tidak, harus benda alah tu dah selamat dia telan.

“Nasib baik abi jenguk ke dapur ni. Kalau tidak, entah banyak mana agaknya umi makan tembikai tu.”

“Umi nak makan sepotong aje pun. Teringin sangat la, abi.”

“Sepotong pun tak boleh, sayang. Tau tak apa kesannya kalau makan buah tembikai masa dalam pantang? Sendi-sendi jadi lemah, sakit tulang, sakit otot. Itu kesan jangka panjang. Kesan jangka pendek pulak, badan akan menggigil kesejukan. Umi nak ke kena macam tu?”

Pyan dah mula dah. Bercakap mengalahkan Mak Yam. Mak Yam yang dah bertahun jadi bidan pun tak cakap macam tu.

“Haa... tengok. Stoking pun tak pakai. Apa nak jadi dengan umi ni? Saja nak bagi abi marah tau.”

“Umi masuk bilik air tadi. Takkan masuk bilik air pun nak kena pakai stoking, bi?”

“Jom ke depan.” Tangan isterinya dicapai dan dipimpin ke ruang tamu.

“Baring situ...” arahnya.

Rini menurut. Perlahan-lahan dia melabuhkan badannya atas sofa panjang.

Stoking yang berada atas lantai, Pyan ambil. Duduk atas sofa di hujung kaki Rini, lalu stoking disarungkan ke kaki isterinya.

“Sepatutnya umi kena banyak berehat, kena baring. Mana boleh lasak sangat? Umi kan baru lagi. Rasanya dah banyak kali abi cakap. Penat tau cakap benda yang sama.”

Rini tarik muka. Tak sukalah kena bebel macam tu.

“Buat muka macam tu, marah abi la tu.”

“Kenapa sekarang ni abi suka membebel? Dulu abi tak macam ni pun.”

Mata pandang wajah sang isteri, bibir pula mengukir senyuman.

“Siapa cakap abi membebel? Abi cuma bagi nasihat, menegur. Tapi sebab ayat abi tu panjang sikit, tu yang nampak macam membebel. Abi buat macam tu sebab abi sayang umi. Abi nak umi cepat sembuh, itu aje.” Dari hujung kaki, Pyan beralih duduk atas lantai pula di sebelah Rini.

Rini tak jawab. Terus-terusan muka Pyan dipandang.

Pyan capai tangan Rini. “Okey, okey... abi janji abi tak membebel lagi. Tapi umi tu pun kena janji dengan abi juga. Janganlah suka buat benda bukan-bukan. Kalau orang cakap tak boleh tu... maknanya tak bolehlah.”

“Haa tengok... membebel lagi.”

Teguran Rini, Pyan sambut dengan tawa. “Membebel ke macam tu?”

“Abi rasa?”

“Entah... abi tak rasa apa-apa pun.”

Tiba-tiba Anas merengek. Mula-mula perlahan tapi lama-kelamaan semakin kuat pula.

Pyan pergi kepada Anas lalu buaian diayun. Namun Anas tetap juga menangis.

“Anas lapar kut, umi.” Pandangannya berkalih kepada Rini sebentar.

“Baru tadi dia menyusu. Takkan lapar lagi, abi.”

“Dah tu kenapa anak abi nangis ni?” soal Pyan lagi seraya memeriksa lampin Anas.

“Lampin kering...” Sudahnya dia mengambil anak kecil itu dari dalam buaian. Mendukung sebentar, sebelum dia melabuh duduk atas sofa di hujung kaki isterinya. Sambil meriba dia menepuk-nepuk lembut badan si kecil itu. Kemudian berselawat dan terus berselawat sehinggalah Anas diam dan kembali lena.

Senyuman mekar di bibir Rini. Sejuk hatinya. Sejak jadi suami dan sekarang dikurniakan cahaya mata, sikap kebapaan Pyan terserlah. Itulah dia Pyan, yang suatu waktu dahulu merupakan lelaki yang agak kasar, manja, tidak matang dan suka buat keputusan terburu- buru. Tapi nak kata perangai Pyan berubah seratus peratus tidak juga.

Sesekali keluar juga sikap manja dan keanak-anakan dia tu. Bab merajuk walaupun sudah jauh berkurang tetap ada. Tapi nasib baik Pyan dah tak lari ke rumah nenek macam dulu-dulu. Kalau tidak, jenuh juga Rini nak ikut dan memujuk sampai ke Tanjung Karang sana. Dulu bolehlah. Sekarang dah tak sanggup rasanya.

Lagi satu, Pyan tetap dengan perangainya yang suka makan bersuap. Dengan emak, dengan Rini... selamba saja Pyan nganga mulut minta disuapkan. Seolah- olah Pyan tu tak ada tangan pula. Nasib baik masa Rini sedang berpantang ni, Pyan tidak buat perangai. Sebaliknya Pyan pula yang suapkan Rini.

Tapi tak kisahlah macam mana pun perangai Pyan. Pada dia, Pyan adalah seorang lelaki dan suami yang sangat istimewa.

“Umi rindu Pyan yang berambut panjang.” Tak semena-mena Rini cakap macam tu.

Automatik mata Pyan berkalih, pandang Rini dengan rupa hairan. “Aik, tiba-tiba aje umi ni.”

“Umi rindu nak dengar abi nyanyi lagi,” sambung Rini.

Tawa Pyan terhambur keluar. Kuat dan panjang. Anas yang sudah diam kembali menangis.

“Syyy... diam sayang, abi tak sengaja. Maafkan abi ya.” Tubuh kecil itu ditepuk-tepuk lagi sehingga anak kecil itu berhenti menangis. Kemudian dia meletakkan Anas yang sudah kembali lena itu ke dalam buaian semula.

“Ulang balik apa yang umi cakap tadi.” Pyan sudah duduk di tempat tadi semula.

“Umi cakap, umi rindu Pyan yang berambut panjang, umi rindu nak dengar Pyan nyanyi macam dulu- dulu. Lagi satu, umi rindu nak naik vespa dengan Pyan lagi.”

Lagi sekali Pyan ketawa, cumanya tidaklah sekuat tadi. Bimbang akan mengganggu Anas pula.

“Dah kenapa dengan umi ni? Kenapa tiba-tiba aje?”

“Umi tau, abi pun teringin nak buat benda-benda tu semua lagi, kan?”

Sejak mereka bergelar suami isteri lebih sepuluh bulan yang lalu, Pyan terus membuang segala minatnya. Rambutnya dipotong pendek, gitar kapok kesayangannya hanya sekadar jadi hiasan dalam studio lukisannya. Vespa pula hanya diguna untuk ke surau sahaja. Sesekali adalah Pyan bawa dia bersiar-siar. Itu pun sekitar Ampang sahaja.

Walau bagaimanapun aktiviti melukisnya masih diteruskan. Yalah, melukis merupakan salah satu sumber pendapatan Pyan. Sebenarnya perubahan Pyan bukanlah atas permintaan atau paksaan sesiapa tetapi ianya adalah atas kehendak Pyan sendiri. Alasan yang diberi, dia mahu lebih serius dengan kehidupannya.

“Siapa cakap? Abi dapat hidup dengan umi ni pun, abi dah rasa bersyukur sangat. Apa sangatlah abi hilang benda-benda tu semua kalau nak dibandingkan dengan apa yang abi dapat. Abi ada umi, ada Anas. Itu dah cukup buat abi rasa bahagia.”

“Tak tau kenapa, tiba-tiba umi rasa nak sangat tengok abi yang dulu-dulu lagi. Abi semasa kita tengah hangat bercinta dulu.” Rini gelak kecil apabila Pyan menjegilkan matanya.

“Pyan yang kuat merajuk, Pyan yang kuat cemburu, Pyan yang manja, yang panas baran, yang tak matang, umi suka ke?”

Mengingati sikapnya sebelum ini, dia rasa lucu pula. Tapi bukan bererti dia sudah cukup bagus sekarang. Masih banyak yang perlu diperbaiki pada diri. Yalah, nak jadi pemimpin yang baik dan ideal bukan senang. Kenalah bijak mengurus dan memimpin diri sendiri terlebih dahulu supaya dapat jadi teladan yang baik kepada orang yang dipimpin.

“Suka.” Lebar senyuman Rini seraya pandang Pyan.

“Biar betul.”

“Betul.” Cepat Rini jawab. Ya, memang dia maksudkan begitu. Saat ini dia sangat-sangat merindukan detik-detik sebelum mereka bergelar suami isteri. Mengingat kembali kisah-kisah lama, tak kisahlah manis mahupun pahit, akan buat dia tersenyum sendiri.

“Lepas ni jangan potong rambut tau? Biarkan panjang. Bukan abi kerja kat ofis pun nak kena berambut pendek. Abi kan kerja sendiri.”

Oh! Ya, sebut pasal pekerjaan, sebetulnya Pyan sekarang merupakan pembekal daging sejuk beku seperti daging kambing, daging lembu, daging burger dan sebagainya. Buat masa ini Pyan menyewa satu lot rumah kedai di Hata Square, di Pandan Mewah ini juga.

Mempunyai tiga orang pekerja iaitu sahabat baiknya Ipin, Kamal dan juga Haris. Buat permulaan, pengedarannya dilakukan di sekitar Lembah Kelang dan juga Selangor. Sebenarnya itu adalah inisiatif Pyan sendiri yang mahu memberikan kehidupan yang lebih teratur buat anak dan isteri.

Kata Pyan, walaupun bayaran untuk kerja-kerja melukis agak lumayan tetapi pendapatannya tidak tetap. Lagipun dengan membuka perniagaan itu tidak bermakna Pyan tidak boleh melukis lagi. Dia masih boleh berbuat demikian di waktu-waktu senggangnya.

“Tengok la macam mana. Dah dekat setahun berambut pendek, abi rasa okey aje rambut macam ni.  Senang nak jaga.” Pyan mengusap-usap rambut atas kepala.

“Bukan umi tak suka abi berambut panjang ke? Umi pernah bagitahu Tijah dulu, kan?”

“Siapa cakap umi tak suka? Umi cuma cakap dekat Kat, abi memang lawa tapi akan lebih lawa kalau abi berambut pendek. Itu aje.” Dia tak cakap bohong. Memang itulah yang pernah diberitahu kepada Katijah.

Ketika itu dia hadir ke majlis perkahwinan sahabat Pyan, Ipin. Bukan nak pergi sangat pun tapi Katijah yakni adik Pyan yang beria-ia mengajak. Mereka pergi bersama-sama Mak Cik Shidah dan Pak Cik Rahman yang sekarang dah pun jadi mertua dia.

Kebetulan pula Pyan jadi pengapit kepada Ipin. Pyan yang ketika itu memakai baju Melayu berwarna ungu memang nampak kacak sungguh. Tapi dia tak ambil kisah pun. Tak minat. Lagipun di hatinya masih ada Faris walaupun sudah beberapa bulan mereka bercerai.

Cumanya bila Katijah asyik duk beri perhatian dan bercerita tentang Pyan, dia terpaksa bagi respons tanpa mengetahui bahawasanya lelaki berambut panjang itu adalah abang kepada Katijah.

Pada awalnya Pyan tak suka dia pun. Pertamanya sebab peristiwa kat majlis Ipin itulah. Pyan tuduh dia mengumpat. Kedua, Pyan marah sebab dia ketawa masa dengar Pyan menyanyi.

Memang dia ada ketawakan Pyan. Mana taknya, Pyan tu sikit punya maco dengan imej ala-ala rocker tapi bila main gitar dan menyanyi, Pyan nyanyi lagi pop yeh yeh. Macam mana dia tak gelak? Sampai sekarang dia masih ingat lagu yang Pyan bawa masa tu. Kenanganku, Jeffrydin.

“Okey tak abi?”

“Apa yang okey?”

“Simpan rambut panjang balik? Lepas tu nyanyi macam dulu-dulu lagi. Yang vespa tu umi tak nak sentuh dulu. Lain kali kita bincang.”

“Macam tak okey aje.”

“Bolehlah abi.”

Pyan geleng.

“Abi... bolehlah...”

Sedang Rini duk merengek macam tu, suara memberi salam kedengaran dari depan rumah.

“Waalaikumussalam.” Hampir serentak salam dijawab.

Belum sempat Pyan bangun untuk membukakan pintu, Katijah dah meluru masuk ke dalam rumah. Beg pakaian dicampak ke tepi dinding, kemudian dia menerpa kepada Rini.

“Rindunya Kat dengan kakak Kat sorang ni. Kak Rini sihat?” Teruja sungguh suara Katijah. Bersalam dengan Rini, kemudian badan kakak iparnya dipeluk sementara kedua-dua belah pipi Rini dicium bertalu-talu.
“Sihat,” balas Rini.

“Panjang umur Kat... baru sebut nama, dah ada kat depan mata.”

“Mengumpat Kat la tu. Tak baik, tau?” Katijah cubit pipi Rini. Pura-pura marah.

“Jangan kasar sangat boleh tak, Tijah? Kak Rini tu belum sembuh betul lagi tu.” Katijah dah kena tegur dengan Pyan.

“Suka hati abang aje tuduh Kat. Kasar ke macam tu?” Katijah jeling abangnya. Tapi dalam pada itu tangan Pyan tetap dipegang dan dicium.

“Kat konon... piraaah!” Dah lama dia tak mengusik macam tu. Sebentar lagi pasti Katijah akan marah. Tahu sangat.

“Tak habis-habis nak dengki dengan orang, kan Kak Rini?” Memanglah semua orang panggil dia Tijah tapi tak salah kut dia nak guna nama Kat. Nama singkatan dia tu. Hanya kak Rini seorang yang sudi panggil dia dengan nama Kat. Itu sebab dia sayang Kak Rini lebih.

Rini sekadar bagi senyuman. “Kat balik naik apa ni?”

“Kat tumpang kawan separuh, naik bas separuh. Turun dari bas tadi, ingat nak telefon abang suruh datang jemput, tapi terserempak dengan Kak Una. Terus Kat tumpang dia.”

“Habis, mana Husna? Tak ajak dia masuk sekali?” soal Pyan.

“Dia dah balik. Dia cakap lain kali dia datang.”

“Lama Kat cuti?” Rini pula bertanya.

Untuk makluman, sudah beberapa bulan Katijah mendaftar di UiTM Shah Alam setelah memperolehi keputusan yang agak cemerlang dalam SPM tahun lalu. Dia mengikuti Kursus Asasi Undang-Undang.

“Balik hujung minggu aje, Kak Rini,” balas Katijah. Meninggalkan kakak iparnya, dia berlalu ke buaian Anas pula.

“Anas dah boleh apa Kak Rini?” Sambil bertanya begitu, Katijah tunduk mencium pipi gebu anak itu.

“Anas dah pandai berlari.” Gurauan Rini, Katijah sambut dengan tawa.

“Jangan kacau Anas. Dia tengah sedap tidur tu. Kalau dia nangis, siap Tijah.” Pyan menegur.

Katijah yang sedang mencium pipi Anas, pandang abangnya dengan muka masam.

“Cium aje pun. Mana ada kacau? Eiii! Semua tak boleh! Cerewetnya abang ni.”
Rini jegil mata pada Pyan. Mungkin Pyan hanya bergurau tapi dia risau juga kalau-kalau Katijah menganggap abangnya serius.

“Kat nak naik ataslah, nak jumpa Airil.” Tak tunggu jawapan abang dan kakak iparnya, Katijah atur langkah ke tingkat atas.

Airil, si kecil yang berusia tiga tahun itu adalah merupakan anak Ridhuan, abang Pyan yang sulung. Sejak Abang Ridhuan dan Kak Murni meninggal dunia dalam kemalangan jalan raya hampir tiga tahun yang lalu, Airil berada di bawah jagaan mereka sekeluarga.

“Abang... nanti Anas dah bangun, panggil Kat tau. Nak main dengan dia.” Dari atas tangga Katijah melaung.

“Tak nak...”

“Abi!!” Rini marah. Pyan ni suka sangat menyakat. Nanti merajuk pula budak Katijah tu.

“Yalah... yalah,” balas Pyan.

No comments:

Post a Comment