Bab 6
Alin senyum
sampai ke telinga. Dengan baju kurung kain cotton biru bermotifkan
bunga-bunga kecil berwarna putih dan dipadankan dengan selendang lilit rona
yang sama, dia melangkah yakin ke dalam bangunan pejabat Prima Group. Kalau dua
hari sudah sewaktu dia datang temuduga adalah sikit rasa gerun dan takut dalam
hati. Yalah, Prima Group ini bukan macam Salam Consultant yang ada seratus
orang pekerja itu sahaja. Ini syarikat
besar. Ada beratus-ratus orang pekerja. Ada beratus-ratus perangai, ada
beratus-ratus kepala. Nak adapt dengan semua ini bukannya mudah.
Sebenarnya dia
tak mengharap sangat pun dapat kerja di sini walaupun Zafril beriya kata hendak
tolong. Tetapi bila dia dapat call dari bahagian HR Prima Group sehari
selepas dia hantar resume pada alamat email yang Zafril berikan,
dia mula pasang harapan. Siapa sangka, datang temuduga sebelah pagi, sebelah
petang terus dapat email offer letter minta datang lapor diri hari ini.
Betullah kata Encik Saleh, penolong pengurus HR yang temuduga dia tempoh hari,
mereka memang terdesak hendak pakai orang sekarang ini.
Alin berjalan
menuju ke lif.
“Oppss…maaf.”
Ucapnya bila terasa tubuh sendiri berlaga dengan seseorang.
Teruja sangat
hendak mulakan kerja di hari pertama sampai ada orang berdiri di hadapan pun
dia tak perasan.
“Tak apa.
Eh…Alin?” Orang yang dilanggar terjerit kecil sebut nama dia.
Alin angkat
muka.
“Ya Allah, darling!”
Jerit dia kuat.
Eh, kejap. Darling?
Alin cepat-cepat tekup mulut. Derhaka betul mulut ini, sesuka hati hendak ‘darling’
kan darling orang. Dengar dek si leopard
tu, naya saja.
“Encik Zafril. Sorry…”
Alin sengih tayang gigi.
Zafril
menggeleng. Alin…Alin.
“Awak buat apa
di sini?”
Mata dah meliar
pandang ke sekeliling lobi, takut adik tersayang muncul. Waktu macam ini memang
waktu Amzar tiba sebelum dia ke Salam Consultant.
Dahi Alin
berkerut. Soalan jenis apa yang si darling ni tanya? Takkan dia datang
nak buat persembahan sarkas pula. Datang hendak bekerjalah!
“Saya start
kerja hari ni, awak tak tahu ke?”
Muka Zafril dah
macam orang tercekik biji durian. Kerja? Start hari ni?
“Betul ke?”
Zafril tanya minta kepastian.
Manalah tahu
kut-kut dia tadi termasuk ke dalam twilight zone dan Alin ini cuma
fragmen imaginasi dia.
Alin juling
mata ke atas. Soalan perli aku ke apa? Mentang-mentanglah masa first meeting
dulu dia jadi pereka-cerita-terhebat abad ini, takkanlah sampai bila-bila pun
dalam kepala Zafril dia macam itu? Kononlah my guts is telling me you’re
different! Dia pun dua kali lima dengan si kerek.
“Betullah. Ni
hah, surat suruh saya lapor diri hari ni. HR manager awak yang
tandatangan. Takkanlah saya nak buat cerita pulak!” balas Alin geram.
Zafril capai
surat di tangan Alin. Bukan dia tak percaya kata-kata Alin, cuma nak kepastian
Alin ditawarkan jawatan apa dan di unit mana. Zafril mula berpeluh. Lobi
bangunan yang selama ini dirasakan sejuk terasa sangat panas saat ini bila
ternampak tempat Alin akan mula bertugas; Unit Projek M&E. Oh…this is
bad. This is really…really bad!
Zafril dah urut
dahi. Macam mana boleh jadi begini? Rasanya dah terang arahan yang dia berikan
pada Kak Bib, pengurus HR dia supaya jangan panggil Alina Suffiya datang temuduga.
Pagi selepas konfrntasi Datin Zubaidah-Zariel Amzar kelmarin, dia terus hubungi
Kak Bib supaya jangan proses resume Alina Suffiya. Tak apalah kalau Alin
nak kata dia mungkir janji pun asalkan emosi si adik tak terusik lagi. Lagipun
dia dah cadang hendak carikan Alin kerja di syarikat kawan-kawannya.
Mengingatkan
Amzar, Zafril mengeluh. Teruk juga adik dia kena drill dengan mama. Mama
pun sengaja ambil peluang kemunculan gosip itu untuk basuh si adik cukup-cukup.
Masakan tidak, bukan setakat gosip itu sahaja yang mama sebut. Habis semua
kisah si adik mama ungkit termasuklah kisah si adik pindah duduk luar.
Sejak awal lagi
mama memang tak izinkan anak-anak pindah keluar rumah selagi belum berumah
tangga. Tapi si adik ni degilnya mengalahkan gajah, tetap mahu pindah juga.
Natijahnya, sikit punya hal pun mama akan ambil kisah dan besarkan.
Paling Zafril
tak sangka, ultimatum yang mama berikan pada si adik. Bukan main naik
angin lagi Amzar tatkala mendengar kata dua yang Datin Zubaidah berikan. Dan
disebabkan kata dua itulah, dia harus menjauhkan Alina Suffiya daripada Prima
Group. Si adik ini bukan boleh dijangka. Kalau dah marah, orang yang tak
berdosa pun jadi mangsa.
“Earth to
Zafril!” Alin tepuk tangan di hadapan muka Zafril. Berangan di siang hari pula
anak bos besar ini.
“Awak ni kenapa? Tak sihat ke?”
Tanya Alin. Tengok muka pun ada sikit pucat. Memang tak sihatlah kut.
“Alin…”
“Yes boss?” Jawab Alin ceria.
Orang dapat kerja, mestilah gembira.
“Err…sebenarnya…” Macam mana nak
cakap ni? Takkan nak kata ‘awak balik aje lah. Tak payah kerja sini. Nanti saya
carikan awak kerja lain.’ Tak sampai hati pula nak cakap macam itu bila tengok
muka ceria cik adik ni. Siap pakai lawa-lawa pula tu. Isyhh…Think Zafril.
Think!
“Alin…” Dia cuba sekali lagi.
“Isyhh…saya tahulah nama saya ni
sedap. Tapi tak perlulah nak sebut 2-3 kali!” Alin mula hilang sabar.
Jam dah makin
menginjak ke pukul 8.00 ni. Dia tak nak terlewat di hari pertama kerja. First
impression is everything!
“Saya minta maaf tapi boleh tak awak…”
Apa yang Zafril nak beritahu terhenti bila ada suara menyeru nama dia.
“Along…”
Oh kejung! Alin dah keras, Zafril
dah makin pucat. One word dalam kepala masing-masing, MAMPUS!
“Alin…lari!” Perintah Zafril dari
celah gigi dia.
“Hah?”
Eh, aku pun
memang belum bersedia hendak ‘terserempak’ dengan si kerek tapi takkan sampai
kena lari kut? Over sungguh tu darling!
“Pergi naik atas cepat! Jangan toleh
kalau awak nak selamat. Nanti saya cari awak. Pergi cepat!” Badan Alin ditolak
ke tepi.
Si adik dah
makin hampir. Bisik-bisik daripada beberapa orang kakitangan yang pelik melihat
kelakuan mereka tidak dihiraukan.
Tapi baru sahaja Alin hendak cuba
menyusup di celah-celah orang ramai, ada pula orang lain yang menegur.
“Cik Alina, wah…awal sampai? Excited
nak mulakan kerja, ya?” Tegur Encik Saleh.
Belum sempat
Alin menjawab, tumpuan Encik Saleh sudah beralih kepada Zafril di belakang dia.
Alin cuba hendak bergerak tapi badan Encik Saleh yang serupa macam badan Afdlin
Shauki itu menghalang. Aduhlah orang tua ni, ke tepilah!
“Selamat pagi, Encik Zafril. Eh,
Encik Amzar pun dah sampai? Good morning, sir…” Tegur Encik Saleh ramah.
Hailaa…Encik
Saleh. Peramah benar encik ni!
Alin sudah tak tentu arah. Dia
hendak ke kiri, Encik Saleh bergerak ke kiri. Hendak ke kanan, Encik Saleh
bergerak ke kanan. Hendak ke depan, dah tentu-tentu tersembam di dada Encik
Saleh itu. Tanpa sedar kaki dia berundur ke belakang dan…
“Careful, lady!” Sepasang
tangan cepat memegang kedua belah lengannya bagi mengelakkan dia terjatuh.
Bagai terkena
kejutan elektrik, Alin terus terkaku. Jantung mula berdegup kencang. Damn!
Jangan hendak macam-macamlah cik jantung!
“You’re okey?” Pemilik
sepasang tangan itu cuba hendak menelek mukanya tapi Alin cepat menunduk.
Kenapa penakut
sangat ni Alin?
“Yes, I’m okey,” balas Alin
perlahan dan entah kenapa, tiba-tiba dia terasa lengannya dicengkam kuat.
Alamak, jangan cakap dengan aku dia perasan suara aku? Tolonglah jangan kenal
saya! Tolonglah!
Lengan dia dilepaskan. Alin tarik
nafas lega. Nasib baik dia tak kenal.
“Turn around!” Perintah suara
itu.
Erk…so much for
wishful thinking, Alin! Alin tetap statik.
“Turn. Around!” Kali ini
suara itu dah naik satu oktaf. Hendak tak hendak, dia pusing juga. Lambat laun,
kena bertemu muka juga.
“You?!” Amzar dah
pandang dia macam nak telan orang.
Alin sengih takut-takut. Dua jari
dibuat lambang ‘peace’ dan didekatkan ke tepi pipi.
“Err…hai?!”
SUASANA di kafe lobi
sunyi sepi. Awkward. Ini kalau ada Facebook, mahu saja dia naikkan
status
‘Awkward
moment no. 1; sitting at the same table with your sworn enemy.’
Alin cuma
pasang telinga, mendengar Zafril menerangkan kepada Amzar tentang kehadiran dia
di Prima Group.
“So she got the
job?” Soal Amzar. Mendatar sungguh suaranya.
“Yes…”
Dia telan liur,
gerun tengok muka Amzar yang tegang. Walaupun muka buat-buat berani, tak tunduk
walau sekali, tapi dekat dalam ini Tuhan saja yang tahu betapa kencangnya jantung
dia berdegup. Kalau hari-hari macam ini mahu cepat dia dapat sakit jantung.
Dahlah penyakit ini memang dah jadi penyakit keturunan keluarga. Dari zaman
moyang, turun ke atuk dan terus dapat ke arwah abah.
Mengenangkan
arwah abah, hati Alin jadi pilu tiba-tiba. No…no…no…Alin.
Sekarang bukan masa nak pilu segala. Balik rumah nanti baru layan sendu. You
have bigger problems right now! Dia balas renungan tajam Amzar.
She’s got
spunk, Amzar senyum sinis.
“You ni tak ada
harga diri ke?” Amzar terus tanya soalan ala hendak minta penampar.
“Angah…” Zafril
menegur kelancangan si adik.
Alin di hadapan
dah jeling tajam. Ewah… mulut dia ni, melampau betul lasernya! Sabar Alin,
sabar. Fikirkan keluarga, fikirkan uniform KFC, McDonalds dan Pizza Hut!
“Ada apa dengan
harga diri?” Alin balas soalan dengan soalan.
Kening Amzar
dah terjungkit sebelah.
“Kenapa you
tak tanya soalan tu pada diri you sebelum you buat kerja bodoh
malam tu?”
Ambil kau,
Alin! Hah, nak jawab apa sekarang ni? Alin gigit bibir.
“Angah, please,
jangan ungkit benda dah lepas boleh? Benda dah jadi, kan?” Zafril cuba jadi
orang dewasa antara mereka bertiga. Kalau dilayan kepala dua-dua manusia depan
dia ni, sampai ke esok tak sudah.
“Alin pun dah
tahu dia salah dan dia nak minta maaf, kan Alin?” Zafril bagi isyarat mata pada
Alin. Say sorry, now!
“Ya…ya. Saya
mengaku salah. I’m sorry? Pleaseeee?” Panjang harakat perkataan please
disebutnya, menandakan dia betul-betul ikhlas hendak minta maaf.
Amzar pandang
si abang dengan muka tak percaya. Alin? Wow, dah first name basis sekarang
ya? Muka cik psycho di tepi dijeling sekilas. Sejak bila pula along dia
jadi geng dengan perempuan ni? Terasa diri dikhianati tiba-tiba. Bukan along
tak tahu apa yang dah jadi dalam hidup dia disebabkan perempuan ni. Hidup dia
yang tenang terus jadi kucar kacir sebab perempuan ini. Dan malam kelmarin,
mama baru sahaja tambah lagi masalah!
“Saya minta
maaf. Betul ni. Ikhlas dari hati!” Pinta Alin bersungguh-sungguh.
Err…ikhlas nak
kena sebut ke? Kalau sebut tak ikhlas jadinya, kan?
“Ikhlas tak
perlu menyebut!” Tempelak Amzar. Alin terkedu.
Uishh…boleh
baca hati ke mamat ni?
“Dan kalau
semua benda boleh settle dengan maaf, tak perlu susah payah wujudkan
pasukan polis di dunia ni,” tambah Amzar lagi.
Dush…kena lagi
sebiji! Alahai, Encik Sexy Goatee, keras benar hati awak ni, ya?
“Amz, she
said sorry…” kata Zafril.
“So?” balas Amzar
sarkastik.
“Kalau mengaku
umat Muhammad, tak salah kita mengampunkan, kan? Let’s just forgive and
forget, shall we? ” ujar Zafril separa menyindir.
Amzar mengetap
rahang, geram. Muka cik psycho dipandang tajam. Dah pakai ubat guna-guna
apa agaknya perempuan ni sampai abang sendiri pun dah berani sebelahkan dia?
Amzar tarik nafas dalam-dalam. Nak suruh dia maafkan? Okey. Tapi nak suruh dia
lupakan? Jangan mimpi. You make my life a living hell, lady. Aku akan
pastikan kau juga terima nasib yang sama. Dendam? Oh tidak! Ini lebih kepada what
you give you get back supaya cik psycho ini lebih
berhati-hati di kemudian hari.
“Awak…eh, sorry.
Encik, saya betul-betul minta maaf. Percayalah, saya betul-betul menyesal dengan
apa yang terjadi. Saya sendiri tak tahu apa yang merasuk badan saya malam tu.
Bila dengar saja si leopard tu menyindir, automatik emosi jadi tak
stabil. Tapi serius, kalau boleh diputar semula masa, memang saya tak akan buat
benda yang sama. Kalau encik tak nak maafkan, tak apalah. Saya bukan boleh
paksa-paksa. Tapi jenuh jugalah saya nak cari encik di padang mahsyar nanti.
Buat masa ini, kalau tak nak maafkan, kita berdamai sahaja boleh? Penatlah
encik kalau asyik nak bertegang urat aje. Kesian kat urat leher kita ni. So,
truce?” Panjang lebar Alin bercakap. Di tangan kanan, sebuah klip rambut
dihulurkan ke arah Amzar.
Amzar pandang
klip rambut yang dihulur Alin dengan kening terangkat.
“Hee…kita kan
bukan mahram. Mana boleh salam. So, kita pakai ini to seal the deal.
Encik pegang hujung sana, saya pegang hujung sini and we shake on it.
Okey?” Alin senyum manis sambil kelip-kelip mata.
Amzar merengus
seraya merampas klip di tangan Alin. “Childish!”
“Serius, adik
awak ini macam perempuan datang bulan sepanjang tahun. Asyik nak angin aje!”
Bisik Alin pada Zafril.
“I heard that!”
Amzar pandang
dia macam hendak membunuh.
Alin gigit
lidah. Telinga lintah betul!
Zafril dah
gelak besar.
“Your office
hours start at 8.00 Cik Alina. First day dah nak datang lambat ke?” Selamba
Amzar perli sambil mata memandang jam di tangan.
Alin tengok jam
di tangan. Alamak dah 8.15! Ciskek betul! Ni adik beradik berdua ini
punya pasallah ni. Aduh, jenuhlah hendak terangkan pada Puan Habibah nanti ini.
Kelam kabut
Alin bangun dan ambil beg tangannya. Baru hendak melangkah, dia terhenti. Eh,
kejap! Ayat si sexy goatee tu tadi bawa makna…
“Jadi encik
terimalah saya kerja di sini, ya?” Alin tanya dengan hati yang berdebar-debar.
“Three strikes,
you’re out!” Jawab Amzar tegas.
“Yeay! Thank
you, sexy goatee! I’ll make sure you won’t regret it!”
Three strikes? Jangan risau
bos, saya beri bos home run nanti! Alin terus bergerak naik ke atas
meninggalkan Amzar yang terkedu dan Zafril yang dah terbahak-bahak ketawa.
“Did she just
call me…?” Tak tergamak rasanya nak sebut perkataan itu.
Zafril yang
masih galak ketawa, mengangguk sambil pegang perut.
“Sexy goatee!
Man, that woman is really something!”
Zafril ketawa
lagi sambil membayangkan hari-hari ceria yang akan dilalui mereka dengan
kehadiran Alina Suffiya.
Zariel Amzar
terus bercadang hendak bercukur!
PENAT ya amat! Rasa
hendak tercabut segala tulang temulang di badan. Ini baru hari pertama dia dah
rasa macam hendak putus nyawa. Semuanya gara-gara bos baru dia. Terkejut betul
dia bila dapat tahu bahawa dia diletakkan di bawah unit yang diketuai Amzar.
Mood ceria terus berubah sebab dia dapat rasa Amzar tak akan biarkan hidup dia
tenang.
Apa yang dia
rasa itu menjadi kenyataan bila sehari suntuk Amzar berada di Prima Group hari
ini. Dan memang betul, hidup dia tak tenang langsung!
“Alina, buatkan
kopi…”
“Alina, kopi ni
manis sangat, tukar!”
“Alina, get
me….”
“Alina, yang
ini salah…”
“Alina, re-type
this report...”
“Alina, you
misspelled this…”
“Alina, there’s
no ‘s’ in this word…”
“Alina, photocopy
dokumen ni 10 salinan…”
“Alina, reply
my email…Alina this…Alina that…”
Itulah yang
berlangsung sepanjang hari ini sampai dia naik keliru, dia ini kerani atau
setiausaha Amzar? Hendak bertanya, dia teringat amaran Amzar tadi, ‘Three
strikes, you’re out!’ Oh, tidak. Dia perlukan kerja ini. Gaji lumayan bukan
main. Jauh lebih besar daripada gaji dia di Salam Consultant. Boleh jugalah dia
lebihkan duit simpanan sendiri. Kalau tidak, dulu duit gaji habis buat belanja
rumah sahaja. Jadi silalah bertabah, Alina Suffiya Hakim!
Alin belek
waktu di telefon bimbit. Mak aii! Dah pukul 12.30 malam! terus dia padam lampu
dan rebahkan badan ke katil. Aaaahhh…leganya dapat regangkan badan. Mulut
terkumat kamit baca doa dan zikir tidur. Mata dah hampir tertutup. Diri sudah
hendak menuju la la land. Tiba-tiba…
“I’ve become so
numb; I can’t feel you there, become so tired, so much more aware…” Menjerit-jerit
suara Chester Bennington berbunyi dari telefon bimbit dia.
Alin mengeluh
kuat. Siapa pula hamba Allah yang menelefon aku tengah-tengah malam buta ni?
Dia belek
nombor telefon di skrin. Pelik, sebab tak pernah lihat nombor itu. Jawab
sajalah, mana tahu emergency call.
“Hello…” Alin
menyapa lemah. Letih kot!
“Alina
Suffiya?” Dalam suara di sebelah sana menyebut nama dia.
Terus terbangun
Alin dibuatnya. Aiyooo…sexy goatee suara sexy! Tiba-tiba hati
berdebar kencang. Isyhh…bawa bertenang cik hati!
“Ya, encik?”
“Dah tidur?”
Oh la la! Kenapa dah macam suara ala dalam kelambu saja
ini?
“Dah encik.
Eh…belum!” Kalau dah tidur, macam mana saya boleh jawab call awak ni?
Orang di
sebelah sana tergelak kecil. Eh…eh…pandai gelak rupanya?
“Ada apa ya,
encik?”
Walaupun suara
encik itu boleh buat jantung saya menyanyi lagu balada, tapi saya mengantuk
sangat ni encik.
“Esok…”
“Ya?”
“Jangan pakai
baju kurung…”
Ah sudah! Apa
hal pulak?
“Wear something
suitable.”
By suitable you
mean?
“And bring your
safety shoes with you…”
Mana pula aku
nak cari safety shoes tengah malam buta ni?
“Pack some
extra clothes…”
Hah?
Okey…serius menakutkan!
“You and me…”
Dup dap dup
dap… jantung Alin berdegup. Nak ajak aku kahwin ke? Isyhh…over sangat
imaginasi kau ni, Alin!
“…we’re going
to Negeri Sembilan!”
“Hah? Encik,
biar betul?”
“Later, lady…” Dan Alin hanya
mampu terkebil-kebil di dalam gelap.
Bab 7
MAK dah pesan,
mulakan hari dengan lafaz Bismillahhirahmannirrahim. Dengan nama Allah yang
Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani, Insya-Allah, segala yang kita buat akan
berjalan baik dan dapat berkat. Tapi kalau dah namanya manusia, alpa dan leka
itu memang dah sebati dalam jiwa. Gara-gara tak mulakan hari dengan lafaz
keramat itu, pagi-pagi lagi dia dah kena bambu dengan Zariel Amzar.
Alin menjeling Encik
Sexy Goatee di sebelah. Dengan Ray Ban aviator shades elok terletak
di hidung, lelaki itu duduk tegak tak bergerak-gerak sejak satu jam yang lalu.
Tidur ke berjaga ni? Tak letih ke dia ni bersilang tangan dari tadi? Hendak
menegur, dia gerun. Nanti tak pasal-pasal kena lagi. Bila dia kata Amzar macam
perempuan datang bulan, marah. Tapi memang perangai macam itu pun. Isyhhh…aku
yang semulajadi perempuan ini pun tak angin sentiasa. Sebulan sekali sahaja
tahu!
Alin mengeluh
lagi mengingatkan kejadian-kejadian awal pagi tadi. Rasanya bekerja dengan
Amzar ini akan menjadikan dia seorang pengeluh tegar.
# Kejadian
pertama;
Sedang dia
menunggu Amzar dengan penuh kesabaran di mejanya, dia dapat panggilan telefon
daripada lelaki itu. Punyalah ceria suara dia menjawab, tapi alih-alih…
“Where are
you?”
Tak ada salam
tak ada hello, good morning, terus sahaja encik bos menyoal macam polis
pencen. Kasar pula tu!
“Err…di atas,
encik.”
“What?” Suara encik
bos dah memetir.
“Turun bawah
sekarang!”
Tak tunggu
lama, Alin terus berlari turun ke bawah. Sampai di entrance, dia tengok
Amzar tengah bersandar pada sebuah SUV berwarna putih yang dah siap ada
pemandu. Muka tak payah ceritalah. Masam sentiasa. Tak mensyukuri nikmat Tuhan
langsung majikan dia ini. Dah dikurniakan muka kacak-seksi-bergaya macam itu,
cubalah dihiasi dengan senyuman. Sejuk juga mata memandang. Dia dapat pahala,
orang lain pun tak dapat dosa sebab kutuk-kutuk dia.
“You
ingat you ni tuan puteri ke nak kena
berjemput segala? Tak tahu hendak tunggu di sini terus?” Soal Amzar pedas
sebaik sahaja dia mendekati lelaki itu.
“Manalah saya
tahu kena tunggu di bawah ni. Saya ingat encik ada di atas, saya naiklah!” Dia
yang beri arahan tak clear, aku pula jadi mangsa. Gumam Alin dalam hati.
“Tak boleh
telefon tanya?”
Oh…soalan jenis
ini boleh membangkitkan kemarahan!
“Saya call,
encik ada jawab ke? SMS pun rasanya tak baca, kan?” Punyalah jenuh dia tunggu Amzar balas
panggilan dan SMS dia tapi haram tak ada. Itu yang sudahnya dia naik ke atas
tunggu Amzar.
Amzar merengus
geram. Tak sangkalah agaknya dia menjawab. Sorry to disappoint you, sir.
Saya bukan heroin type angguk-tunduk-nangis bila kena torture.
Ini pemegang yellow-belt taekwando, okey! Walaupun tak habis menuntut,
tapi setakat bunga-bunga itu tahulah juga.
“Sudah, masuk!”
Dan arahan itu membawa kepada kejadian kedua…
# Kejadian
kedua;
Alin yang baru
sahaja hendak bergerak terhenti bila teringatkan sesuatu. Baik dia beritahu
awal-awal pada bos dia sebelum kena lagi.
“Err…encik.”
Fuh…janganlah
melenting lagi.
Amzar yang baru
hendak masuk ke dalam perut kereta menoleh.
“Apa lagi?”
“Err…saya tak
ada safety shoes.” Dia buat muka comel. Dengan mak, selalu menjadi.
Harap-harap si sexy ini pun tercairlah dengan muka comel dia.
“What? Selama you
kerja ni, sepasang safety shoes pun you tak ada?”
Alin
menggeleng. Nak buat apa dengan safety shoes? Dia duduk dalam ofis saja
pun.
“Habis yang you
bangga beritahu I semua kerja engineers di Salam tu you cover
buat apa?”
Alin dah
menjuling pandang atas. Bos aku ni belajar tinggi ke tidak ni?
“Maksud saya,
kerja-kerja berkaitan paper work. Pergi site tu segala mana saya
pernah buat. Kalau encik lupa, mari saya ingatkan. Saya ni kerani aje encik.
K.E.R.A.N.I. Kerani. Orang barat sebut clerk. Which means, I do all
the clerical works. Pergi site, buat air tu semua tak masuk dalam
skop kerja.” Sempat lagi dia sindir encik bos.
Amzar dah
menggosok dahi. IPhone dikeluarkan dari poket seluar dan satu panggilan dibuat.
Sempat lagi dia tanya saiz kasut Alin. Tak lama selepas itu, seorang wanita
dilihat berlari-lari mendekati mereka membawa sebuah beg kertas.
“Here you go,
sir.” Beg kertas bertukar tangan.
“Ambil ni.”
Amzar hulur beg kertas itu kepada Alin.
Alin buka dan
nampak sebuah kotak kasut bertulis perkataan Red Wing. Oooo…safety shoes.
Kena bayar ke, free of charge ini?
“Saya nak kena
bayar ke encik? Kalau nak kena bayar, tunggu gaji ye. Sekarang ni simpanan
ngam-ngam untuk belanja saja yang tinggal.” Beritahu dia jujur.
Amzar tarik
nafas dalam. Tengok muka macam hendak marah tapi… “Just get in the car,
Alina.” Itu yang terkeluar dari mulut dia. Dan ini membawa kepada kejadian
ketiga…
#Kejadian
ketiga
Selepas disuruh
masuk ke dalam kereta, Alina terus menuju ke tempat duduk di sebelah pemandu.
Sempat dia melambai pada pemandu yang setia menunggu sejak tadi. Muka si
pemandu nampak peramah. Boleh juga jadi teman borak nanti. Nak berborak dengan
encik bos? Entahkan sepatah dia tanya, setengah patah sahaja dia menjawab.
Kalau bagi jawapan penuh mahu hujan dua hari dua malam dibuatnya.
Baru sahaja
hendak buka pintu, suara encik bos memetir kembali. Apahal lagilah lelaki ni?
“What are you
doing?”
Dahi Alin
berkerut. Dia ni ada terhantuk di mana-mana ke pagi ni? Suka betul tanya soalan
bodoh!
“Encik suruh
masuk, kan?”
“Siapa suruh
duduk situ?” Tanya Amzar kasar.
Dia ni kan,
kalau cakap elok-elok boleh berterabur ke gigi tu? Sabar Alin. Sabar. Ingat.
Itu B.O.S!
“Encik, saya ni
staf kan. Mestilah duduk depan. Takkan nak duduk belakang macam mem besar pulak?”
Lepas tu kena duduk sebelah awak pula tu. Isyhhh….seram sejuk dibuatnya tahu!
“Kalau you
duduk depan, macam mana I nak beritahu kerja apa yang you perlu buat di
sana nanti?” Amzar jawab dalam nada geram.
“Sudah, masuk
sekarang. Di belakang ya, tuan puteri.” Beritahu dia sinis.
Alin tarik
muncung. Apa susahnya nak beritahu. Mereka duduk dalam satu kereta, kan?
Bukannya dia di Malaysia, Amzar di Amerika. Saja tau dia ni. Itu tak lain,
hendak mengenakan dia lah tu!
Betul tak dia
cakap, Amzar hendak mengenakan dia. Tengok sajalah, sudah dua jam duduk dalam
kereta, satu patah perkataan pun tak keluar dari mulut dia. Dari tadi statik
saja duduk di sebelah itu. Kata hendak beritahu kerja apa yang dia perlu buat.
Ini sampai Negeri Sembilan nanti, dia nak kena buat apa pun dia tak tahu.
Daerah mana mereka tuju di Negeri Sembilan pun dia tak tahu. Ini kalau Amzar
ada niat nak humban dia ke laut pun dia tak tahu. Pendek kata, memang dia tak
tahu apa-apa. Hendak bertanya pada Abang Keyrol si pemandu, jangan haraplah
boleh. Tadi pun masa dia buka mulut tanya nama siapa, encik bos di sebelah dah
berdeham-deham. Apa masalah pun dia tak tahu. Mental betul dibuatnya.
Alin curi
pandang pada Amzar di sebelah. Nak tengok mata tak boleh sebab terlindung di
balik cermin mata hitam dia itu. Eee…tidur ke jaga dia ni? Berapa lama nak diam
saja ni? Boleh gila aku macam ini!
“That sexy,
huh?” Tiba-tiba encik bos bersuara. Bukan dia tak perasan Alin asyik
curi-curi pandang pada dia sejak tadi.
“Oh mak kau!”
Terjerit Alin dibuatnya. Dada diusap laju.
“Mama I di
rumah. Nak jumpa ke? If I’m not mistaken, bakal mak mertua you
kan?” Perli Amzar sinis. Dalam hati tercuit rasa lucu melihat tingkah Alin.
Melatah rupanya cik kerani aku ni.
Alin tarik
muka. Tak habis-habis lagi nak ungkit kes lama ke? Aku back-hand juga
dia ini nanti.
“Encik tahu
tak, cakap tu doa? Betul mama encik jadi mak mertua saya, sanggup ke?” Alin
perli balik.
Amzar cuma
menjeling. In your dreams, lady. Tapi dalam hati kagum juga dengan
keberanian Alin. Kalau perempuan lain dah terdiam kena perli macam itu.
“So, that sexy,
huh?” Soal Amzar sekali lagi selepas mereka diam beberapa minit. Wajah Alin
dipandang dengan ekor mata. Suka pula tengok cik kerani dia tarik muncung macam
itu. Comel!
“What?” Alin tanya
pelik.
“My goatee?” Tanya Amzar
dengan kening terangkat dua belah.
Alin dah panas
muka. Cic…cis…cis… Ini kes terlepas cakap semalamlah ni. Mulut dia ini memang
nak kena betul!
“Ehem…kita
pergi berapa lama ni, encik?” Alin mulakan taktik tukar topik.
“Two days.”
Alin angguk.
“Kita hendak
pergi mana ya?”
“I dah beritahu
semalamkan?”
“Yalah. Yang
encik beritahu semalam tu terlampau detail sangat sampai saya tak
perasan, which part of Negeri Sembilan we’re heading to,” balas Alin
sarkastik.
“Port Dickson.”
“Prima Group
ada projek di sana ke?”
“No.”
“Bakal dapat
projek di sana ke?”
“No.”
“Jadi kita nak
pergi intai peluang projek di sana?”
“No.”
“Encik nak buka
cawangan di sana?”
“No.”
Ya Allah,
kalaulah membunuh itu bukan satu kesalahan…
“Dah tu kita
pergi sana untuk apa? Makan angin, jalan-jalan tepi pantai?” Alin dah rasa
macam nak tarik rambut sendiri.
“…dan tolonglah
jangan bagi jawapan satu syllable lagi. Tangan saya dah ringan sangat
hendak bagi encik back-hand ni!”
Dan perkara
yang tak disangka-sangka berlaku. Encik Sexy Goatee Suara Sexy
membuktikan gelaran itu bukan gelaran kosong semata-mata. Ruang yang hanya riuh
dengan suara Alin tadi, kini bergema dengan suara lain.
Alin terpanar. Oh
my! He’s laughing! He’s smiling! Dan lekuk yang muncul di dagu itu… Hyperventilating!
Tarik balik kata-kata dia tadi. Jangan dihiasi wajah itu dengan senyuman dan
gelak ketawa encik. Boleh CAIR hati dibuatnya. Cair huruf besar!
Cepat Alin alih
pandangan ke luar tingkap. Tangan diletak ke dada. Ada rasa aneh di situ. Rasa
yang dia takut nak rasa selama dia mula kenal erti hubungan perasaan antara
seorang lelaki dan seorang wanita. Cik jantung dan cik hati, please behave.
Please! Alin pejam mata, dan sandarkan kepala ke tepi.
Amzar di
sebelah mula tersenyum penuh makna.
Bab 8
BEBERAPA jam
kemudian, SUV yang dipandu Keyrol membelok ke simpang masuk kawasan hotel
Thistle Port Dickson Resort. Alin yang sudah terjaga ternganga melihat
keindahan hotel di hadapannya. Bukan selalu dapat duduk hotel lebih-lebih lagi
hotel bertaraf lima bintang seperti ini.
“Wah…cantiknya!”
Tingkap kereta
dibuka. Pandangan ditala ke arah padang golf yang menghijau. Dah lama rasanya tak ke kawasan pantai.
Sesekali bila angin bertiup, bau air laut dari pantai berdekatan hotel menyapa
deria baunya.
Syoknya kalau
dapat mandi laut! Kali terakhir dia melihat pantai rasanya waktu dia di sekolah
dulu. Itu pun setakat pantai di Kuala Selangor.
Dia menoleh ke
arah Amzar.
“Encik,
rasa-rasanya kita ada peluang tak nak mandi laut?”
“Kita nak
kerja, bukan nak jalan-jalan tepi pantai makan angina,” balas Amzar mendatar.
Alin mencemik.
Tak sporting langsung!
Tak lama
kemudian Keyrol berhenti di hadapan perkarangan hotel. Amzar dan Alin keluar
serentak. Sementara menunggu beg pakaian mereka dikeluarkan, mereka dijamu
dengan complimentary drinks yang disediakan pihak hotel.
“Kita check-in
dulu. You go and freshen-up and meet me downstairs an hour later. Okey?”
Amzar mula keluarkan arahan.
Alin angguk.
“Lunch, encik?” Tanya
Alin selamba.
Kening Amzar
terangkat.
“Belum apa-apa
dah cerita lunch?”
Alin sengih
segan.
“Dah nak pukul
satu ni. Saya ni ada gastrik. Lambat makan nanti, sakit perut. Kalau dah sakit
nanti satu kerja pun tak boleh buat. Bila dah tak boleh buat, encik juga yang
susah.”
Amzar tersenyum
kecil.
“You ni memang
banyak cakap, ya?” Wajah Alin dipandang lama.
Walaupun
matanya tersorok di balik aviator shades, namun panahan itu masih dapat
dirasai Alin. Okey, nak putus nafas dibuatnya. Breath Alin, breath!
“Amz?” Tegur
seseorang.
Saved by a stranger!
Alin pandang
lelaki yang mendekati mereka. Boleh tahan juga. Tetapi Mr Sexy di
sebelah ni masih champion lah.
“Alina, Fahmi.
Fahmi, Alina.” Amzar mulakan sesi suai kenal.
“So, this is
the infamous Alina…” ujar Fahmi dengan senyuman meleret.
“Infamous?” Alin dah
pandang Amzar dan Fahmi semacam. Ada sesi mengutuk aku yang aku tak tahu ke ni?
“Oh…maksud I…”
Belum sempat
Fahmi hendak bercakap, Amzar dah potong, “Kita dah lambat ni. Bilik dah ready?”
“Dah. Aku letak
kau berdua satu level. Senang kalau ada apa-apa.”
Dua set kad
dihulurkan kepada Amzar.
“Aku ke sana
teruslah. Pak su dah ada di sana.” Beritahu Fahmi.
“Okey. I’ll see
you there. Alina, let’s go.”
Alin terus
mengikut Amzar ke dalam hotel.
SATU jam
kemudian, mereka kembali ke bawah. Amzar bawa dia makan di Restoran Fresh yang terletak di dalam hotel. Selesai makan,
mereka ke perkarangan hotel menunggu Keyrol. Sementara menunggu Keyrol tiba,
Alin menoleh-noleh ke belakang, mencuri pandang ke arah laut dengan pandangan
penuh mengharap.
“Teringin
sangat ke?” Soal Amzar di sebelah.
“Hah?”
Alin menoleh
sekilas pada Amzar. Nak pandang lama-lama takut sebab sejak kejadian ketawa di
dalam kereta tadi, dia mula rasa lain macam dengan majikannya ini. Kenapalah
sekarang pula juga kau nak perasan dia ni kacak bukan main?
“Laut tu. You
teringin sangat ke nak mandi di situ?”
Alin tersenyum
sendiri
“Nak ikutkan
hati memanglah teringin encik. Tapi macam encik cakaplah, kita datang sini nak
kerja. Manalah ada masa nak mandi laut segala. Oh, ya. Sebenarnya kita nak ke
mana ni?”
“SJC.” Jawab
Amzar ringkas.
“SJC?”
Kenapa macam
biasa dengar? Tak sempat Alin hendak bertanya panjang, Keyrol pula tiba. Mereka terus bergerak menghala ke tempat yang
dikatakan Amzar tadi.
Lima belas
minit kemudian mereka tiba di hadapan sebuah bangunan yang sedang dalam
pembinaan. Kedatangan mereka disambut oleh Fahmi dan seseorang yang sangat Alin
kenal.
“Tuan Haji?”
Terkejut Alin melihat bekas majikannya ada bersama Fahmi.
“Assalamualaikum,
Alin.”
“Errr…Tuan Haji
buat apa kat sini?” Alin pandang muka Haji Salam, Fahmi dan Amzar silih
berganti.
“Buat apa lagi.
Bukan ke kita ada projek di sini?” Jawab Haji Salam.
“Sepatutnya
saya yang tanya awak. Awak buat apa kat sini? Bukankah awak dah resign dari
Salam Consultant?”
“Apa? Resign?
Bila masa pula…”
“She’s here to
help us, Pak Su.” Amzar terus potong bicara dia.
“Alin? Err… Amz
tahukan dia ni kerani saja?”
“Ya.”
“Apa yang dia
boleh buat?” Tanya Haji Salam.
Hairan kenapa
kerani itu yang dibawa Amzar meninjau projek terbengkalai syarikatnya. Bukan
sahaja Haji Salam hairan. Alin sendiri pun hairan!
“Because she
claimed she knows everything.” Jawab Amzar selamba.
Alin ketap gigi
geram. Oh, memang kes nak balas dendamlah ni?
Amzar pandang
Alin. ‘Prove to me that you’re something, lady.’
Alin pandang
Amzar. ‘Oh, game on sir!’
MACAM nak tercabut
lutut dibuatnya. Memang Amzar dera dia cukup-cukup di tapak projek tadi.
Uruskan hal pekerja yang tak mahu teruskan kerja, uruskan hal supplier
yang tak mahu supply barang, uruskan stok barang yang terbiar. Pendek
kata semuanya harus dilakukan Alin kecuali kerja-kerja berkaitan teknikal.
Mujur jugalah sewaktu di Salam Consultant dulu dia memang dah biasa buat semua
itu. Kalau tidak, jenuh juga dibuatnya.
Menjelang
petang, mereka kembali ke hotel. Haji Salam dan Fahmi tak ikut serta sebab
mereka bermalam di Teluk Kemang. Ada saudara di sana katanya.
Sampai sahaja
di hotel, Alin tak tunggu lama. Terus dia melompat naik ke atas katil. Lega tubuh
bila dapat berehat di atas katil yang empuk.
Baru sahaja hendak terlena,
telefonnya berbunyi. Tanpa melihat nama, Alin terus menjawab.
“Hello?”
“Alina?”
Tegak terus
badan Alin mendengar suara itu. Tak ada orang lain yang panggil dia Alina
kecuali…
“Ya, encik?”
“Buat apa?”
Alahai…kenapalah
suara dia ni romantik benar bunyinya?
“Baring-baring…”
“Dah lewat ni.
Pergi mandi dulu, jangan tidur. Tak elok.”
Alahai…kenapalah
caring sangat pula ni?
“Okey, encik.”
“About
dinner tonight…”
Alin dah
teruja. Nak ajak dinner tepi laut ke?
“You turun aje
ke restoran di lower ground nanti. Kalau malas, call room service.”
“Hah? Encik tak
makan sekali ke?”
Aiyoo…Alin. Why
sound so desperate? Mulut dipukul dengan tapak tangan.
“I’ve got a dinner date.
Later, lady.”
Dan panggilan
telefon terus dimatikan.
Dinner date? Dengan siapa?
Dan kenapa, tangannya diletakkan ke dada, ada rasa pelik di sini?
PUKUL 8.45, Alin
turun ke bawah. Niat asal nak call room service tapi rasa lemas pula
terperap di dalam bilik. Sewaktu hendak ke restoran, dia terlihat sesuatu yang
membuatkan langkahnya terhenti. Amzar sedang duduk berbual dengan seorang gadis
di lobby lounge. Wow, cantiknya! Puji hati kecil Alin. Ini ke dinner
date si sexy dia?
Alin amati
kedua-dua mereka. Yang gadis ayu berblaus warna merah hati dan dipadankan
dengan selendang lilit rona hitam. Yang lelakinya pula kacak bergaya dengan
T-shirt Polo Haus warna yang sama dengan si gadis. Amboi, bukan main ceria
wajah si lelaki. Wajah yang sama yang hanya sempat dilihat Alin seketika sahaja
tadi sewaktu di dalam kereta.
Sekali lagi
tangannya naik ke dada. Pedih. Haishh…jangan nak macam-macamlah cik jantung dan
cik hati. Bawa sedar diri tu sikit. Kaki yang hendak melangkah ke restoran
tadi, berpatah balik. Rasa macam hilang selera pula.
“Cik Alin?”
Alin menoleh ke kanan bila terdengar namanya disebut.
“Eh, Abang
Keyrol? Buat apa kat sini?” Setahu dia Keyrol tak menginap di hotel ini.
“Abang hantar
barang pada bos tadi. Cik Alin buat apa kat bawah ni?”
“Ingat nak
makan, tapi hilang selera pula.”
“Laa…kenapa
pula? Nanti kosong perut tu. Tak elok tidur dengan perut kosong, tahu?”
Alin senyum segaris.
“Tahu…tapi
tekak tak berapa nak ngam dengan makanan di hotel ni.” Alin cipta alasan.
Banyaklah aku punya tak ngam. Tekak ni jenis hentam apa saja!
“Ya ke? Kalau macam itu, jom ikut
abang. Pergi makan makanan paling best di sini.” Pelawa Keyrol.
“Paling best?
Di mana?”
“Dekat kawasan
Telok Kemang tu aje. Jomlah!”
Alin pandang
Keyrol kemudian pandang Amzar. Melihat si sexy tengah seronok ketawa,
dia tarik nafas dalam.
“Okeylah, jom!”
Rupanya tempat
makan yang Keyrol bawa adalah gerai makan seafood milik keluarganya.
Memang tak silap Alin ikut. Makanan yang dijual memang sedap-sedap belaka.
Sempat jugalah dia berkenalan dengan isteri Keyrol dan dua orang anaknya yang
masih kecil. Barulah Alin tahu, Keyrol memang asalnya orang Negeri Sembilan.
Cuma sekarang bekerja di Prima Group. Seminggu sekali dia akan balik ke sini bertemu
isteri dan anak-anaknya.
Dua jam
kemudian, Alin kembali semula ke hotel. Sebelum balik tadi sempat dia minta
Keyrol berhenti di sebuah kedai serbaneka. Nak belikan roti untuk si sexy.
Manalah tahu kalau-kalau Amzar lapar tengah malam nanti. Daripada order makanan
hotel yang mahal ya amat itu, baik makan roti krim. Murah dan mengenyangkan.
“Okey, Abang
Keyrol. Terima kasih belanja Alin makan ye. Kirim salam pada Kak Maz.”
Alin melambai
hinggalah kereta yang dipandu Keyrol hilang dari pandangan. Dengan senyuman
yang masih bersisa di bibir, Alin melangkah masuk ke dalam hotel. Ramah mulut dia menegur pekerja-pekerja hotel
yang berada di kawasan lobi itu.
Saat pandangan
Alin melewati kawasan kaunter pendaftaran, dahinya berkerut bila
ternampak kelibat seorang lelaki yang berdiri membelakanginya. Jam di tangan
dibelek. Dah pukul sebelas malam, tak reti nak tidur ke bos aku ni? Dia
teringat roti di tangan. Elok juga terserempak ni. Tak perlu susah-susah hendak
ketuk pintu bilik dia.
Alin terus
berjalan mendekati Amzar yang sedang bercakap dengan dua orang pekerja kaunter.
Apa sajalah yang si kerek ni cakap sampai stres muka cik kak tu
dibuatnya.
Pap! Belakang
badan Amzar dipukul lembut.
“Encik!”
Alin sengih
tayang gigi.
Amzar berpaling.
Buat seketika ada riak lega di wajahnya sebelum ia bertukar masam. Hah, sudah!
Tertelan apa pula dah bos aku ni, kelat semacam aje muka?
“Encik buat apa
kat bawah ni? Ada kerja ke? Kenapa tak tidur lagi? Cik adik cantik manis tadi
mana?” Bertubi-tubi dia bertanya.
Tetapi Amzar
hanya memandang dia tajam. Dada turun naik, menahan geram mungkin.
“You…”
Amzar tak mampu hendak bercakap.
“Naik!” Arahnya
sebelum dia menapak ke arah lif. Dua orang staf di kaunter hanya mampu mengukir
senyum simpati pada Alin.
Di dalam lif
masing-masing diam membisu. Alin menjeling Amzar dari ekor mata. Kemudian
bibirnya mencemik. Mulalah tu perangai datang bulan dia. Isyhh…baru aje
berdamai tadi, dah nak berkelahi semula. Payah betul!
“Encik…” Alin
cuba nak mulakan perbualan tapi Amzar tetap kejung.
Keluar dari lif
masih lagi juga membisu. Sungguhlah Alin tak faham apa penyakit bos dia ni.
Tadi masa kali terakhir tengok bukan main ceria bergelak ketawa dengan
perempuan cantik itu. Sekarang ni masam mencuka pula. Kena tinggal agaknya
dengan perempuan cantik tadi, itu yang mood teruk sangat itu. Lepas itu aku
pula yang jadi mangsa. Gumam Alin sendiri.
Sampai di depan
bilik, Alin dah tak tahan dengan kebisuan Amzar. Lengan lelaki itu yang sedang
membuka pintu bilik ditarik.
“Encik ni
kenapa? Nak moody tak tentu pasal? Kena
sampuk jembalang laut? Ada pergi jalan-jalan tepi pantai ke tadi? Itulah,
encik. Lain kali tak payah nak ikut sangat skrip drama Korea tu, jalan-jalan
waktu malam tepi laut. Romantiklah kononnya. Lepas tu esok pagi masing-masing
kena selsema. Itu di Korealah. Kita di Malaysia ni lautnya jadi tempat buang
benda-benda halus. Silap-silap…”
Bebelan Alin
terus terhenti bila…
“Alina
Suffiya!” Tinggi suara Amzar menyebut nama dia sambil kedua belah lengannya
dipegang kuat dan badannya ditolak ke belakang, melekap ke dinding.
“Shut. Up!” Bisik Amzar.
Alin mengangguk
perlahan. Cik jantung dan cik hatinya mula menakal. Satu dah berbunga-bunga,
yang satu lagi mulakan mainkan lagu cinta. Dalam perut pula, terasa macam ada
beribu-ribu rama-rama berterbangan. Mana tidaknya. Jarak antara mereka berdua
terlalu hampir hingga Alin boleh nampak betapa wajah Amzar sempurna tanpa
cela.
Mata bertentang
mata. Alin menelan liur bila pandangan Amzar sudah turun ke hidung. Nafas
ditahan saat bibirnya pula yang dijamah mata Amzar. Lama.
Dumm! Bunyi
pintu dihempas mengejutkan mereka. Ya Allah, apa yang aku buat ni? Dada Amzar
ditolak kuat. Dalam hati tak henti-henti beristghifar, menyesali khilaf diri.
Amzar pula
meraup muka. Nafas ditarik, cuba menenangkan diri.
“Where have you
been?” Soal Amzar tenang.
“Hah?”
“You pergi
mana tadi? Dah lewat macam ini baru ingat nak balik?” Suara Amzar kembali
tegang.
Alin pandang
Amzar tak percaya. Eh…kenapa macam dah drama sebabak suami isteri bertengkar
pula ni? Sah! Memang bos aku ni dirasuk jembalang laut.
“Saya pergi
makan dengan Abang Keyrol dan…”
“What?” Amzar terus
potong cakap dia.
“Pergi makan
sampai lewat begini?” Suara Amzar dah naik satu oktaf.
“Lepas makan,
kami pergi jalan-jalan…” Sekali lagi, ayat dia kena cantas.
“Jalan-jalan?
Dengan Keyrol?” Mata Amzar dah macam nak makan dia.
Alin
mengangguk. Gerun hendak menjawab. Kenapa entah dia rasa, setiap kali dia
bercakap, tekanan darah bos dia ini akan naik satu graf. Baik diam. Kena darah
tinggi nanti, aku juga yang susah.
Amzar menyilang
tangan ke dada dan tegak memandang Alin. Tajam. Dadanya turun naik menahan
rasa.
“Perempuan
jenis apa you ni?”
Alin tersentak
mendengar soalan Amzar. Aura-aura cari pasal sangat ketara dalam soalan Amzar.
“Apa maksud
encik ni?”
“You tahu
Keyrol tu dah kahwin?”
“Tahu, jadi?”
Alin sengaja buat provokasi. Hati dah tahu sangat bagaimana perbualan ini akan
berakhir.
Mata Amzar
membesar. Darahnya naik serta merta. Where’s your shame, lady?
“Dah tu kenapa you
keluar juga berpeleseran dengan dia? Tak risau kalau ada family members
atau saudara mara dia ternampak you berdua-duaan dengan suami orang?”
Alin ketawa
tawar. Tak tahu nak bereaksi bagaimana. Nak marah ada, nak ketawa pun ada.
Inikah Zariel Amzar yang sebenar? Suka berprasangka tanpa usul periksa?
Melihat Alin
yang masih mampu ketawa, menambahkan lagi bara di hati Amzar.
“Suka kalau
rumahtangga orang porak peranda sebab you?” Terus keluar soalan yang
memang masuk kategori hendak minta penampar
Kali ini Alin
tahu reaksi apa yang harus diberikan. Menyirap darah Alin dibuatnya mendengar
tuduhan Amzar. You just crossed the line, sir! Sabar Alin, sabar. Alin
istighifar dalam hati. Dia tak kenal kau, jangan salahkan dia cakap macam itu.
Tegur dia elok-elok. Alin tarik nafas dalam. Wajah Amzar dipandang dalam.
“You don’t know
a thing about me. You don’t have the right to judge me.” Alin bersuara
lembut tapi tegas.
Lengan Amzar
yang berbalut dengan sweatshirt ditarik. Bungkusan berisi roti yang
dibeli untuk Amzar tadi disangkutkan ke pergelangan tangan lelaki itu.
“Saya takut
encik lapar tengah-tengah malam nanti, jadi saya belikan roti ni buat alas
perut. Kalau sudi, makanlah. Kalau tidak beri saja pada housekeeping
nanti. Jangan buang pula. Membazir. Saya masuk tidur dulu. Selamat malam,
assalamualaikum.” Alin terus buka pintu bilik dan masuk. Masuk saja di dalam,
Alin bersandar di pintu. Mata dipejam. Nafas ditarik dalam.
“Suka kalau
rumahtangga orang porak peranda sebab you?”
Tuduhan Amzar
tadi kembali terngiang di telinga. Sungguhlah lelaki ni. Kalau sehari tak
menyakitkan hati aku, tak sah putaran hidup agaknya. Dia belum gila lagi sampai
nak kacau rumah tangga oranglah!
Tangan diletak
ke dada. Pedih sangat rasanya. Chill, Alin. It’s been years! Tapi
kata orang, luka di tangan boleh kering dan sembuh. Di hati? Rawatlah macam
mana sekalipun, ia akan terus merah berdarah.
Tangan di dada
digenggam kuat. Rasa pedih dek penangan kata-kata Amzar tadi diusir jauh-jauh.
Alin menggeleng laju. No! Jangan nak mengada-ngada menangis. You’ve survived
all this years, Alin. Jangan disebabkan si kerek tu, kau nak breakdown
and cry pulak. Tak berbaloi! Dah, tutup lampu. Pergi tidur. Esok
mulakan hari baru dengan senyuman. Dan, oh, bismillahirahmanirrahim jangan
lupa. Mood encik bos dekat bilik depan tu bukan boleh dijangka.
DI bilik depan,
Amzar berdiri tegak merenung pemandangan malam di luar tingkap. Rasa marah
masih bersisa. Punyalah macam orang gila dia mencari cik kerani di sekitar
kawasan hotel. Makan malam dengan Soraya, sepupunya pun terpaksa dibatalkan
bila dia tak dapat hubungi Alin. Niat asal memang hendak makan malam berdua
dengan Soraya, tapi memikirkan Alin yang makan seorang diri, dia minta izin
pada Soraya untuk ajak Alin bersama. Dan sepupu dia yang memang jenis suka
berkawan, terus sahaja setuju. Tapi bila dua tiga kali dia cuba menghubungi
Alin tapi tak dapat, darahnya mula berderau.
Bellboy di lobi hotel
tadi entah berapa kali kena soal dengan dia sampai budak itu naik takut
bertembung dengan dia. Itu belum kira lagi berapa kali dia asyik ke kaunter
pendaftaran. Risau? Oh tidak! Lebih kepada rasa tanggungjawab seorang majikan
kepada pekerjanya sahaja. Cik kerani dia seorang ini bukan boleh diduga. Crazy
and impulsive! Kena cuit sikit
mulalah ambil tindakan bukan-bukan. Entah tangan lelaki mana pula yang
disauknya nanti. Dapat lelaki macam dia, ada ampunnya lagi. Dapat lelaki
yang….arghhh…dah jauh sangat kau berfikir, Amzar!
Leher diusap
untuk kurangkan tegangan. Mata terpandang bungkusan roti di atas meja. Dia
mengeluh perlahan. Saat itu rasa bersalah dah mula nak curi-curi masuk ke dalam
hati. Melampau sangatkah dia bercakap tadi? Rasanya tidak. Apa yang Alin buat
memang boleh timbulkan syak wasangka. Malaysia ini bukannya besar mana. Buatnya
ada saudara mara Keyrol ternampak mereka berdua-duaan tadi, kan ke boleh
timbulkan fitnah? Yang cik kerani dia ini pun satu. Baru sahaja kenal dengan si
Keyrol itu hari ini dah berani hendak keluar makan segala? Mudah sangat
percayakan orang! Buatnya si Keyrol itu buat apa-apa, siapa yang susah? Wait!
You’re overthinking again, Amzar!
Roti krim perisa vanilla dicapai
dari dalam plastik, dibuka lalu dikunyah geram. Kenapa bila tiba hal yang
melibatkan Alina Suffiya, emosi dia boleh jadi tak stabil macam ini? This is
not me. Why the hell did I let her get under my skin? Sebungkus lagi roti
dicapai dan dikunyah geram. Keep it cool, Amzar. Esok layan sahaja dia
macam biasa. Ya. Macam biasa.
BERSAMBUNG
No comments:
Post a Comment