Sunday, 15 June 2014

Bab 10 : KALAU SAYANG KATALAH SAYANG - Fazuin Azman



MALAM itu mak ngah tak sediakan makan malam. Keluarga Tuan Arshad akan menghadiri majlis makan di rumah kenalan rapat mereka. Jadi, tugas menyediakan makan malam untuk kami berdua secara tidak langsung tergalas di bahuku. Mak ngah suruh aku masak. Tak ada masalah sebenarnya sebab aku masak main campak saja. Tumis kubis, ikan masin masak sambal dan ikan kembung goreng. Mak ngah suruh juga aku tumbuk sambal belacan, ulam dengan bende rebus. Mendera sungguh mak ngah ni.
            Elok aku selesai baca doa makan, pintu diketuk. “Siapa pulak ni…” Mak ngah bangun dan aku pun kalut ambil tudung. Main sarung ke kepala. Kemudian duduk semula.
            “Eh Joey…” kata mak ngah dan cepat aku toleh. Abang Joey sudah pandang aku. Apa pandang-pandang. Tak puas nak gaduh ke?
            “Nak tumpang makan. Bau ikan masin mengancam betul.”
            “Masuklah. Kami pun baru saja nak makan,” pelawa mak ngah. Keduanya menghampiri meja makan. Sebelum duduk, mak ngah ambil pinggan untuk Abang Joey.
            “Mak ngah ingat Joey ikut pergi majlis tu.”
            “Malaslah saya. Lagipun saya bukan orang bisnes.”
            “Tapi mesti Kak Husna ada sekali kan. Betapa kecewanya dia bila tengok abang tak ada.” Aku cakap. Suka usik Abang Joey.
            “Tak ada maknanya.”
            “Apa pulak tak ada maknanya. Entah-entah sekarang ni tengah menangis sebab abang tak datang.”
            “Boleh tak Lia jangan merepek yang bukan-bukan? Abang ni tengah lapar tau tak. Karang tak makan nasi, Lia yang abang telan.”
            “Ngee, takutnya…”Aku gelak perlahan.
            “Lia…” Mak ngah tegur.
            Aku dan Abang Joey diam sekejap sebab masing-masing sudah sumbat nasi ke mulut.
            “Hmm, sedap. Siapa masak?” soal Abang Joey dengan mulut yang penuh.
            “Lia…” jawab mak ngah.
            “Hmm, dah lama tak makan masakan Lia.”
            “Lia masak tak sedap pun.”
            “Siapa cakap tak sedap. Lauk macam nilah yang abang nak bakal isteri masakkan nanti.”
            “Baguslah kalau macam tu Joey. Senang siapa yang bakal jadi isteri Joey.”
            “Hmm, memang beruntunglah siapa yang bakal jadi isteri saya tu. Sudahlah saya ni baik, tak cerewet, tak banyak cakap, penyayang. Pendek kata memang sesuailah nak dapat suami mithali.”
            Adoi, tak menahan sungguh Abang Joey ni.
            “Siapalah gadis yang bertuah tu agaknya…” Mak ngah bercakap sambil kunyah nasi.
            “Emm, saya dah offer orang tu, tapi tak nak. Bukannya tak tahu saya ni macam mana orangnya. Gerenti bahagia siang dan malam.”
            “Bukankah kita dilarang bercakap masa makan?” Aku kalih perbualan sebab tak larat nak dengar Abang Joey masuk bakul angkat sendiri.
            Abang Joey dan mak ngah terdiam. Aman sikit nak makan. Tadi tu jenuh jugak nak tengok tulang sebab mata lebih tengok Abang Joey. Kawan tu makan serupa tiga tahun tak jumpa nasi.
            Sudah makan aku bawa pinggan ke sinki. Basuh dan letak di rak. Kemudian kembali ke meja makan. Abang Joey juga sudah. Dia pun ke sinki dan basuh pinggan dia.
            “Jom lepak kat luar…” Abang Joey ajak.
            “Malas, Lia nak tidur.”
            “Mana belajar lepas makan terus tidur.”
            “Suka hati Lia lah.”
            “Abang kira sampai tiga, kalau tidak abang angkat.”
            Disebabkan tak nak bertekak depan mak ngah yang nampak masih berselera makan, aku ikutkan saja.
            “Lia tak nak bertekak dengan abang. Kalau nak bertekak abang telefon aje Kak Husna. Rasanya abang bertekak dengan Kak Husna lagi faedah.”Aku cakap sambil berjalan. Kami ke pangkin yang memang disediakan khas untuk lepak.
            “Siapa yang nak bertekak? Selalunya abang cakap baik-baik aje. Lia yang suka tengking-tengking abang.”
            “Tak mengaku…” Aku jeling Abang Joey
            “Dah betul.”
            “Habis kat ofis tadi siapa yang tengking siapa?” Aku tanya.
            “Lia tu yang degil sangat. Langsung tak nak dengar arahan abang. Buat bodoh dia aje, sakit hati abang.”
            “Dah alasan abang tu jenis yang bukan-bukan…”
            “Menjawab!”
            “Ada mulut jawablah. Tak kan diam aje…” balasku.
            “Ada jugak yang abang cium ni…”
            “Kalau berani ciumlah!”
            Abang Joey rapatkan mukanya dan masa itulah kami dengar ada kereta masuk di perkarangan halaman rumah.
            “Kan Lia dah cakap. Mesti buah hati abang tu cari abang.”Aku gelak jahat bila nampak macam kereta Kak Husna saja yang masuk.
            “Apa lagi perempuan ni nak… Lia tolong abang. Cakap abang tak ada.”
            “Tak baik menipu…” Aku gelak sambung gelak. Cepat Abang Joey tolak bahuku sebelum bersembunyi belakang rumah.
            Kak Husna masuk dalam rumah. Mesti cari Abang Joey tu. Tak lama selepas tu dia jalan menghampiriku.
            Fulamak, seksi gila. Baju bertali halus itu menampakkan lurah-lurah keramat Kak Husna dan juga peha yang putih melepak. Padanlah Abang Joey terpaksa mengaku gay nak tolak Kak Husna. Kalau aku lelaki pun fikir seratus kali jugak nak ambil jadi isteri perempuan macam ni.
            “Nampak Joey tak?” Tanya Kak Husna dengan kasar.
            “Lia tak jaga dia.”
            “Bibik cakap Joey pergi rumah belakang.”
            “Tu tadi, masa dia nak makan. Lepas tu Lia tak tahu ke mana Abang Joey pergi.”
            “Apsal Joey bodoh sangat nak makan di rumah orang gaji sedangkan ada makanan yang sedap-sedap kat majlis tu,” marah Kak Husna. Aku senyum lebar. Dengar tu Abang Joey, orang dah panggil abang bodoh.
            “Sebenarnya Abang Joey cakap dia tak suka makanan macam tu. Dia suka makan masakan yang simple aje. Sebab tu Abang Joey nak cari isteri yang pandai buat sambal belacan. Kak Husna pun tau kan, Abang Joey tu cerewet gila.” Dalam aku menangkan Abang Joey, aku kutuk sama.
            “Apa Joey cakap?”
            Pekak ke sepupu Kak Mona ni, aku bukan main kuat bercakap.
            “Abang Joey cakap, dia nak cari isteri yang boleh buat sambal belacan. Lepas tu pakai tudung, solat tak tinggal, tak pergi disko, tak clubbing. Apa lagi yek Abang Joey cakap. Oh, ya satu lagi tahu hormat orang tua.” Eh, itu macam ciri-ciri aku saja. Adoilah.
            “Apa yang kau merepek ni?”
            Aku dah agak, Kak Husna ni bukan saja pekak, tapi ada masalah nak faham bahasa sama.
            “Tak adalah, cuma cakap ciri-ciri bakal isteri Abang Joey aje.”
            “Jadi kau nak cakap aku tak layak?”
            Aku gelak. Faham pulak.
            “Bukan Lia yang cakap, Abang Joey yang cakap.”
            “Rasanya Abang Joey pergi jumpa bakal isteri dia kut sebab tadi nampak Abang Joey dijemput orang.” Terpaksa berbohong sebab tak nak layan Kak Husna lama-lama. Bengang.
            “Apa kau cakap?”
            Datang balik penyakit pekak dia.
            “Rasanyalah, sebab tadi macam nampak ada perempuan jemput Abang Joey. Kekasih dia, atau isteri senyap-senyap ke, tak pasti pulak.”
            Kak Husna terus angkat kaki. Lega, taklah lama nak layan minah kerek tu. Aku perhatikan saja langkah Kak Husna yang kasar dengan kasut tumit yang entah berapa inci.
            “Rasa nak peluk Lia saja sebab dapat halau perempuan tu.”
            “Kalau nak rasa karate Lia, peluklah Lia.”
            “Abang baru cakap rasa. Bukan nak peluk betul pun…” Abang Joey berdiri di hadapanku dan pandang aku tepat.
            “Macam mana tahu ciri-ciri bakal isteri abang?”
            “Main hentam aje. Tak kan nak sebut macam Kak Husna. Karang melompat pulak dia.”
            “Tapi bukan ke apa yang Lia sebut tu memang ada pada Lia?” Abang Joey senyum sambil main bibir. Senyum jahat.
            “Tau takpe…”
            “Kalau macam tu Lia ajelah jadi isteri abang.”
            Aku melompat. Rasa nak keluar semula isi perut. “Tak hingin Lia.”
            “Pulak, tadi beriya kempen diri sendiri!”
            “Tak ada makna kempen diri sendiri. Lia hanya tolong abang. Sepatutnya abang cakap terima kasih. Ini tidak. Asyik nak buli Lia saja.”
            “Okey sayang, terima kasih banyak-banyak. Abang sangat menghargainya. Lia banyak tolong abang.”
            “Taklah banyak. Sikit-sikit aje.”
            “Banyaklah jugak.” Abang Joey kerut dahi dan kening kiri dia garu dengan tangan kiri.
            “Abang nak bincang pasal tempat kerja.”
            “Abang nak letak jawatan ke?”
            “Ewah dia ni, melebih pulak.”
            Aku senyum. “Dah abang cakap pasal tempat kerja. Ingat abang nak letak jawatan.”
            “Tidak akan sama sekali.”
            “Kalau macam tu, nampak gayanya Lia yang terpaksa letak jawatan. Lia tak nak satu tempat kerja abang. Malam ni Lia buat surat berhenti.” Keputusan aku memang muktamad. Aku tak nak terlibat dengan Abang Joey. Dan rasanya inilah peluang aku tidak terlibat lagi dengan keluarga Tuan Arshad.
            “Lia…”
            “Lia tak main-main dalam hal ni. Kalau abang terus kekal di sana, Lia tak ada pilihan lain. Lia terpaksa cari kerja lain.”
            Wajah Abang Joey jadi kelat.
            “Boleh tak Lia pertimbangkan perkara ni. Abang tak boleh letak jawatan sebab syarikat tu milik keluarga abang. Papa memang minta abang tolong Abang Fuad. Abang memang tak boleh mengelak lagi.”
            Memang agak keterlaluan keputusanku, tetapi inilah peluang yang aku ada untuk tinggalkan kemelut ini. Sampai bila aku harus makan budi orang.
“Lia tetap dengan keputusan Lia. Lia akan letak jawatan. Nanti Lia bincang semula dengan Tuan Arshad.”

Abang Joey tak balas apa-apa. Hanya pandang aku. Tak payahlah nak buat muka kesian macam tu. Aku tak akan berubah fikiran sama sekali. 


4 comments:

  1. Best x sabar tunggu novel keluar.

    ReplyDelete
  2. 21 June date of birth dia.. :)

    ReplyDelete
  3. Asskum nak tanya novel ni ada stok lagi ke kalau recent katakanlah sayang

    ReplyDelete
    Replies
    1. No wasap 0129340112 kalau sayang katakanlah sayang

      Delete