Sunday, 15 June 2014

Bab 6 : TEMU DUGA CINTA - Ridhya Iman


Bosan. Satu patah kata yang cukup menggambarkan apa yang aku rasa saat ini. Bosan bila aku hanya mampu terperuk di dalam bilik sekangkang kera ini tanpa melakukan apa-apa aktiviti. Bosan bila menanti panggilan dari Syarikat Gemilang Holdings yang entah bila akan kunjung tiba. Bosan bila terpaksa mengikat perut di kala baki wang tunai yang ada di tangan hanya tinggal beberapa sen saja lagi.
“Krrooookeeukkk…”
Aku menekan perutku kuat. Boleh sawan angin kalau aku berterusan melayan lagu zapin mak inang versi rock yang sedang berirama di dalam perut.
“Krrooookeeeukkkkkkrooottttt..”
Makin rancak pula muzik dalam perutku ini. Aku capai tin biskut yang diletakkan di sisi tilam. Tin itu aku angkat sedikit lalu aku goncang perlahan. Senyap dan kosong.
“Sabarlah perut. Anggap jelah kita berpuasa hari ni.” Tin biskut itu aku letakkan semula dengan rasa hampa. Perutku yang sedikit kembung ku usap perlahan. Mahunya tak kembung. Beberapa gelen air masak telah aku telan semata-mata untuk menahan rasa lapar.
Aku menyandarkan tubuh ke dinding konkrit. Kepalaku dongak sedikit memandang kipas yang sedang ligat berpusing di syiling.
Saat perut lapar begini mulalah terbayang-bayang di ruang mata masakan hasil air tangan mak aku di kampung. Nasi putih panas, ikan patin masak tempoyak, ulam-ulaman dicicah bersama sambal belacan. Bagaikan terbau-bau aroma masakan selera kampung yang mampu buat aku tambah dua tiga pinggan nasi. Kecur air liur.
Tak boleh jadi. Makin lama aku berkurung dalam bilik ini tanpa sebarang aktiviti, makin meliar pula fikiranku duk terbayangkan makanan yang lazat-lazat. Lantas aku bangun dan berdiri di hadapan cermin.  
Cermin plastik berbentuk empat segi yang aku beli di kedai runcit Ah Seng dengan harga seringgit sembilan puluh sen itu aku pandang. Aku belek kulit di mukaku yang semalam masih lagi licin tapi hari ini satu bonggol jerawat batu telah berjaya mencemar duli di situ. Elok dia parking di tengah-tengah dahi pula tu.
Tiba-tiba telefon bimbit Nokia 1202 milikku menjerit nyaring. Pantas tanganku menggagau telefon yang terletak di atas meja jepun. Nama mak yang tertera di skrin telefon membuatkan bibirku tersenyum lebar.
“Assa…”
“Budak bertuah! Semalam mak telefon kamu banyak kali kenapa tak angkat? Kalau kamu ada hal sekalipun, lepas selesai hal kamu tu tak reti nak telefon mak balik? Kamu tahu tak mak kat sini bukan main risau duk ingatkan kamu. Kalau…”
Aku menjauhkan sedikit telefon dari telinga. Itu dia. Tak sempat aku nak beri salam, suara bidan Lijah macam bertih jagung membingitkan telingaku.
“Assalamualaikum, mak. Tak jawab dosa, kalau jawab sayang,” giat aku. Pinjam sekejap label garis a.k.a. tagline Maria Elena, vlogger terkenal tu.
Terdiam sekejap mak di hujung talian. Hanya kedengaran nafasnya turun naik, mungkin penat mengejar nafas akibat bercakap tak berhenti tadi.
“Waalaikumsalam.” Mak menjawab salam.
Aku gariskan senyum. Aku tahu mak memang sayangkan aku.
“Kalau mak sayangkan orang mak janganlah marah-marah. Tak coollah bidan Lijah kalau marah-marah macam ni. Nanti hilang seri awet muda mak tu.” Aku semakin giat mengusik. Perangkap sudah mengena.
“Errr..mak bukannya marah tapi nasihat,” balas mak dengan intonasi suara yang mengendur.
Aku tersengih dengan kata-kata mak.
“Kamu kat mana ni, ‘Ain?” Mak kembali menyoal aku.
“Tak ke mana pun mak. Orang ada je kat bilik dalam rumah sewa ni.” Aku menjawab tenang.
Tubuhku rebahkan di atas tilam. Bantal golek aku capai dan aku peluk kemas. Dah gaya macam bergayut dengan pakwe pula aku ni. Banyaklah kau punya pakwe, ‘Ain.
“Kenapa mak call kamu tak dapat semalam?” soal mak lagi bernada curiga. Edisi siasat saluran bidan Lijah sudah bermula.
“Masa mak call semalam orang tengah mandi. Sedar-sedar je tengok ada miss called dari mak. Mak tahulah anak mak ni kalau mandi macam mana.” Aku memberikan alasan.
Sungguh memang aku ada di dalam bilik air ketika mak telefon. Biasalah kalau aku bersiram, lima minit mana cukup. Paling-paling tidak pun lima belas minit aku perlukan untuk menyental dan menggonyoh segala kerak dan daki di badan.
“Habis tu kenapa tak return call?”
Amboi mak. Sejak bila bidan Lijah ni pandai sebut perkataan Inggeris ni. Semakin maju nampaknya. Aku tergelak kecil.
“Yang kamu gelak kenapa? Kelakar ke soalan mak tu?” Tawa aku terus padam dengan ketegasan suara mak. Serius sungguh mak kali ini. Aku garu dagu yang tiba-tiba terasa gatal.
"Tak adalah. Orang pelik sejak bila mak pandai cakap omputih ni?"
"Kenapa? Kamu ingat bidan kampung macam mak ni tak reti nak skipping? C'mon..ini bidan Lijah. See the leg lah."
Aku membulatkan mata sambil ketawa kuat. Terasa digeletek-geletek pundi kencing aku mendengar mak bertutur. Dah gaya macam rapper tersesat masuk kampung.
 “Bukan skipping lah mak.. spelling. Skipping tu kalu mak nak exercise,” ujarku membetulkan kata-kata mak dengan yakin.
“Eh..mak tahulah spelling tu maksud dia mengeja. Kamu jangan pandai-pandai nak sesatkan mak pula,” pertikai mak.
Aku tepuk dahi. Alamak! Macam mana boleh tersalah ni. Sepatutnya speaking. Benda senang macam tu pun kau boleh lupa, ‘Ain.
“Errr…orang sebenarnya saja je nak test English mak. Hebat ye mak sekarang ni. Mak belajar dengan siapa ni?” dalih aku mengubah topik. Cair tahi telingaku kalau mak tahu aku tak reti nak bezakan antara spelling dengan speaking.
Mr. Henry yang handsome tulah, siapa lagi.”
“Mr. Hairi mana pula ni?” Aku mengerutkan dahi.
“Bukan Hairi…Henn..rrrryy. Kamu ni nama je belajar sampai ke universiti. Tapi lidah tu keras macam tu jugak lah,” sindir mak membuatkan aku tengadah. Kantoi lagi!
“Samalah tu. Orang Melayu panggil Henry tu Hairi. Samalah macam Ibrahim. Orang putih panggil Abraham. Kalau Iskandar jadi Alexander. Sebutan je lain tapi maksudnya sama,” bahas aku tidak mahu kalah.
“Ye ke? Mak tak tahu pula. Mr. Henry tak habis ajar lagi ni,” gumam mak perlahan.
“Siapa Mr. Henry tu, mak?” Aku mengulang soalan yang sama.
“Alah..Mr. Henry Middleton,” beritahu mak.
Orang putih sesat mana pula yang mak aku sangkut ni.
“Mak kalau nak carikan ayah baru untuk orang pun, carilah orang Malaysia. Jauh benar mak cari sampai merentas benua.” Aku membantah.
Aku tahu sejak ayah pergi menghadap Ilahi sepuluh tahun yang lalu, mak hidup kesunyian tanpa kehadiran seorang suami. Sungguh aku takkan menghalang andai mak bertemu pengganti ayah. Tapi takkanlah dengan lelaki mat salleh. Entah potong entah kan tidak. Eiii..selisih!
“Astagfirullahalazim.” Mak beristighfar panjang.
“Apa yang kamu merepek ni, ’Ain? Kamu ingat mak ni hadap sangat nak kahwin lagi?” Nyaring suara mak menyoal aku di hujung talian. Kalau boleh diukur tahap kenyaringan, mahunya cecah 140 desibel.
“Habis tu Mr. Henry tu siapa?” soalku lagi. Aku menggaru kepala.
“Mr. Henry Middleton, cikgu dalam Oh My English tu.”
Oh My English?”
“Yalah, rancangan kat Astro yang ajar macam mana nak cakap bahasa Inggeris dengan betul tu. Takkan kamu tak tahu? Patutlah bahasa Inggeris kamu ke laut,” perli mak.
“Err..kat rumah orang ni mana ada Astro. Yang mak ni sejak bila pula tengok rancangan Astro ni? Rumah kita dah pasang Astro ke?” tanyaku pelik.
“Mak tengok dekat rumah Makcik Leha. Dah tiga bulan Makcik Leha kamu tu pasang Astro. Si Gayah yang bayar tiap-tiap bulan,” cerita mak.
“Ooo…” Aku mengangguk. Dalam hati terasa juga bila aku sendiri tak mampu nak senangkan mak lagi. Kesian mak terpaksa menumpang rumah jiran semata-mata nak tengok siaran Astro. Bilalah aku dapat senangkan mak sedangkan nak beri makan mulut sendiri pun tak lepas lagi.
“Kamu tak jawab lagi soalan mak tadi. Kenapa kamu tak telefon mak balik semalam?” Pertanyaan mak memangkas lamunan pendekku.
“Bukan orang tak nak call mak balik tapi…” Aku menarik nafas dalam. Tak terkeluar suara dari anak tekak ini untuk tuturkan ayat seterusnya. Tidak tergamak aku nak beritahu mak yang telefon aku tak ada kredit dan aku tak cukup duit nak beli top up.
“Kamu tak ada duit ke, ‘Ain?” Mak menebak dengan tepat. Nada suara mak berubah risau.
Aku terkedu. Mak memang tak pernah gagal membaca apa yang ada dalam kotak fikiranku biarpun hanya dengan mendengar lenggok suaraku saja.
“Kamu belum dapat kerja lagi ke, ‘Ain?” Soalan mak membuatkan aku jadi serba salah.
Kalau aku jawab pertanyaan mak, aku takut mak suruh aku balik duduk di kampung. Bukannya aku tak suka tinggal di kampung. Tapi kalau di bandar raya Kuala Lumpur ni pun aku sukar nak dapat kerja, apatah lagi di kampungku itu. Aku nak kerja apa kat sana?
Lagipun aku tak nak menyusahkan mak yang memang dah sedia susah. Cukuplah aku dah bebankan dia selama ini mengerah kudratnya sebagai bidan kampung semata-mata untuk menyekolahkanku.
“Mak jangan risaulah. Tak lama lagi orang dapatlah kerja.” Aku berikan jawapan yang sedikit melencong.
“Mak tahu tak, hari tu orang ada pergi temu duga kerja. Kali ini orang yakin orang akan dapat kerja tu,” tambahku. Sengaja aku menceriakan sedikit suara agar mak tak merasa risau.
Tiba-tiba mak mengeluh. “Maafkan mak. Sebab maklah kamu terpaksa hidup susah macam ni. Kalau kamu duduk dengan keluarga…”
“Mak, orang tak sukalah mak ungkit fasal tu lagi. Orang sayang mak. Orang bahagia hidup dengan mak,” pangkahku laju.
Aku tahu apa yang sedang bermain dalam fikiran mak. Sungguh aku tak pernah menyesal dengan takdir hidupku ini. Dan aku bersyukur dengan pilihan yang aku buat. Sekali aku melangkah, takkan aku berpaling lagi.
“Orang yang sepatutnya minta maaf dengan mak sebab orang masih tak mampu nak senangkan mak,” sambungku syahdu. Mulalah aku nak buat drama swasta tak berskrip ni.
“Mak tak kisah, ‘Ain. Kamu sudi hidup dengan mak pun dah cukup buat mak senang.” Nada suara mak semakin sayu.
“Mak tak pernah rasa susah bila mak ada kasih sayang seorang anak macam kamu,” tutur mak mula teresak kecil. Kalau dibiarkan sekejap lagi mesti berderu-deru hujan air mata yang akan turun membasahi pipi mak.
“Mak…” panggilku.
“Orang nak tanya satu soalan boleh?” tanyaku. Sengaja mengalih topik.
“Apa dia?” Suara mak menahan sebak. Sensitif sungguh emosi bidan Lijah ni.
“Betul ke mak senang dengan orang?”
“Betullah. Kamu kan anak mak dunia akhirat,” balas mak tulus ikhlas.
“Kalau macam tu, boleh tak mak pinjamkan orang duit seratus ringgit?” Pertanyaanku membuatkan mak terdiam lama.
“Bertuah punya budak. Dia kenakan kita balik rupanya!” jerit mak kuat. Suara mak kembali nyaring. Ini barulah bidan Lijah yang sebenar.
Aku tersengih sambil mengesat juring mataku yang sedikit basah. Mujur mak tak dapat nampak.
“Boleh tak, mak? Orang tengah kering sangat-sangat ni. Hujung bulan nanti bila orang dapat gaji orang bayar balik.” Aku melembutkan suara.
“Yalah, besok pagi mak masukkan dalam akaun kamu,” putus mak.
“Terima kasih, mak,” ucapku perlahan.
Mak memang tak pernah menghampakan aku biarpun sesusah mana keadaan mak waktu itu. Terasa mataku kembali berkaca. Makin lama makin kabur. Haih..emosi sayu bidan Lijah dah berjangkit kat aku nampaknya.
“Err..mak. Orang sakit perut tiba-tiba ni. Nak ke tandas. Orang letak telefon dulu. Assalamualaikum.” Cepat-cepat aku memutuskan talian sebelum mak dapat mengesan aku yang sedang menangis. Sakit perut hanyalah sekadar alasan.
Aku capai sebiji bantal dan menekup ke muka. Segala tangis aku hamburkan di situ semahu-mahunya. Kenapa empangan di mataku ni semakin lebat menakungkan air?
Telefon bimbitku sekali lagi berdering kuat. Bantal yang menekup di muka kuangkat. Skrin telefon aku pandang lama. Tertera perkataan private number.
Mulanya aku malas nak angkat panggilan yang tak dikenali ini tapi bila memikirkan yang mungkin itu panggilan dari Gemilang Holdings, aku mengubah fikiran.
Aku bangkit. Wajah yang basah dengan air mata kusapu dengan telapak tangan. Nafas ditarik dalam sebelum butang hijau di telefon aku tekan.
“Assalamualaikum.” Suara seorang lelaki memberi salam di hujung talian.
“Waalaikummussalam,” jawabku dengan suara yang serak.
“Boleh saya bercakap dengan Cik Qurratul ‘Ain?” Lelaki itu menyoal formal.
“Ya, saya.”
“Betul ke ini Cik Qurratul ‘Ain?”
“Ya, betul. Saya Qurratul ‘Ain,” tekanku.
“Kenapa suara sengau? Awak menangis ke?” Lelaki itu menyoal lagi.
Aku terkedu. Telefon di tangan kutenung sekilas sebelum aku tekapkan kembali ke telinga.
“Siapa ni?” Senyap tiada respons.
“Hello…siapa ni?” ulang aku lagi sekali. Hidung yang tersumbat aku picit perlahan. Senyap lagi. Nak kata talian terputus, aku dengar macam bunyi orang bernafas di hujung talian.
“Kalau tak nak cakap, saya letak,” ugutku.
“Uzair,” balasnya sepatah.
“Uzair?”
Yes. Uzair from Gemilang Holdings.”
“Oh..awak..” Patutlah suara dia macam pernah aku dengar sebelum ini. Encik sarkastik rupanya.
“Err..awak okey tak ni?” Dia menyoal lagi.
“Okey je.”
“Suara awak tu kenapa lain?” tanya Uzair macam tak puas hati dengan jawapan aku.
Aku mengetap bibir. Sejak bila pula Uzair ini dilantik untuk jaga tepi kainku ini?
“Selesema. Kenapa awak call saya ni?” Suaraku naik satu oktaf. Menyampaikan rasa kurang senang di hati.
Uzair berdeham. “Sebenarnya saya buat panggilan bagi pihak Gemilang Holdings. Sukacita dimaklumkan Cik Qurratul ‘Ain telah berjaya dalam temu duga dan diterima bekerja di syarikat kami. Tahniah,” beritahu Uzair formal.
Aku bingkas berdiri. Bibir dah ukir senyum lebar. Berita yang aku terima benar-benar membuatkanku teruja. Terasa ingin melompat sampai ke bintang.
“Sungguh?” soalku separuh percaya. Bagaikan mimpi. Setelah hampir enam bulan aku ke hulu ke hilir mencari kerja, akhirnya rezekiku ada di Gemilang Holdings.
“Tak ada masa saya nak buat panggilan hangit pada awak,” sinis Uzair menjawab pertanyaanku.
Senyumku kendur. Rasa terujaku sedikit merudum. Dia ni sengaja nak patahkan anginku. Kalau jawab elok-elok tak boleh ke? Ini tak, ada saja jawapan sarkastik yang keluar dari mulut itu.
“Manalah tahu awak ni Faizal Ismail yang menyamar jadi Uzair yang sarkastik tu.” Opps! Terlepas cakap sudah. Aku menepuk-nepuk mulut. Macam mana boleh tersasul ni?
Lama Uzair diam tidak bersuara. Mesti dia tengah bengang dengan mulutku ni. Biarlah. Dia juga yang mula dulu.
“Besok datang ke pejabat untuk ambil surat tawaran dan lapor diri di Jabatan Sumber Manusia sebelum pukul 8 pagi. Sila pastikan awak tepati masa dan lewat walau seminit boleh menyebabkan tawaran terbatal dengan serta-merta.” Akhirnya dia bersuara tegas.
Melebih-lebih pula arahan dia ini. Aku rasa macam dia sengaja menokok tambah fakta terutamanya bab lewat tu.
“Arahan daripada bos besar. Bukan saya sengaja reka,” sambung Uzair bagaikan dapat menebak kata hatiku.
Aku terkedu.
And one more thing, big boss pesan sila berpakaian kemas. Pastikan diapers awak cukup tebal untuk tampung apa-apa yang sepatutnya ditampung. Yang ni saya yang pesan. Assalamualaikum.”
Klik! Belum sempat aku membalas, Uzair telah meletakkan telefon.
Aku mendengus geram sambil memandang telefon. Dia ni memang menyakitkan hatiku betul!


No comments:

Post a Comment