Sunday, 6 July 2014

Bab 5 : BAHASA HATI KITA - REHAN MAKHTAR



AGAKNYA inilah natijah bila bohong pada orang yang berniat baik.  Kak Zah ajak dengan baik, tapi dia kelentong kata nak ke club.  Padahal, nak lepak dekat Orange Range aje.  Itu bukan nightclub tapi kafe.  Tempat minum dan makan.  Tempat dia menenangkan fikiran. Tempat dia bertembung dengan seseorang yang berani menegur dia secara terbuka. 
Dia cuma nak ke situ untuk menatap lagi sepasang mata kuyu yang punyai pandangan yang tajam memberi amaran itu.  Mana tahu terserempak dengan Que lagi.  Tak tahu kenapa, dia nak sangat jumpa Que biarpun untuk sekali lagi.  Padahal dia tahu, Que tak nak terserempak dengan dia lagi.  Amaran dah dikeluarkan. 
Pandangan mata Jed berbalam.  Pening.  Kepala terhentak pada pasu bunga di depan pagar rumah Kak Zah.  Mujur pakai helmet, kalau tidak terus dapat amnesia dia agaknya.  Itu pun, kalau tak kojol terus.  Kuat juga hentakkan sampaikan dia nak bangkit  pun perlu dipapah.  Jatuhnya tak seberapa tapi jaket kulit koyak juga di bahagian siku. 
“Jehanna…” 
Suara Kak Zah.  Jed cam suara itu.  Dia angkat kelopak mata.  Rambut yang lepas, diselitkan di belakang telinga.  Kepala masih pening tapi bibirnya menguntum senyuman.  Siapalah yang langgar dia tadi?  Hangin juga.  Main menonong aje cantas jalan. 
“Jehanna Puteri?”  panggil Kak Zah lagi sekali. 
Risau bila Jed nampak mamai.  Nak kata pengsan, nampak masih sedar tapi macam tak bercakap.  Lalok.  Separuh sedar.  Buatnya Ku dengan Tuan Megat tahu, apalah dia nak jawab?  Puteri seorang ni kemalangan di depan rumah dia dan itu pun dilanggar anak sepupu dia. 
“Dian Jehanna Puteri?”  Nama penuh Jed diseru penuh kelembutan.  Dalam hati Kak Zah berdoa semoga Jed tak teruk.  Dia risau sungguh. 
Setelah beberapa kali Kak Zah menyeru, barulah Jed buka kelopak mata luas-luas.  Wajah Kak Zah terbias.  Dia senyum pahit.  Tangan kanannya meraba siku kiri.  Cahaya masuk ke dalam mata.  Dia pandang atas.  Nampak siling putih dan kipas yang berputar laju di tengah siling kapur yang berukir cantik. 
“Kat mana ni, Kak Zah?”  soal Jed sambil mengerling pada siku.  Jahanam jaket kulit yang aku baru beli bulan lepas.  Hatinya melepaskan keluhan. 
Bukan kecewa dengan diri yang boleh jadi sedang sakit atau luka tapi jaket kulit yang mahal dan edisi terhad itu yang menjadi kerisauan. 
“Dalam rumah Kak Zah.  Jehanna macam tak sedar diri tadi.  Itu Kak Zah heret bawa masuk.” 
Jed sengih hambar. 
“Larat pula Kak Zah heret Jed, eh?”  Bukan apa, sebab Kak Zah ni tak besar pun.  Lagi rendah, lagi kurus daripada dia.  Mahu tak reput pinggang nanti. 
“Kak Zah minta tolong anak buah Kak Zah yang langgar Jehanna tadi…” 
Mata Jed bulat.  Dia baru ingat yang dia kena langgar.  Mata terus melilau mencari siapakah yang langgar dia.  Calar dia tak apa lagi.  Dia tak kisah tentang diri dia.  Tapi, calar Kawasaki yang baru dia beli tak sampai setengah tahun tu, siapa nak bertanggungjawab?
Jed tegakkan tubuh.  Menyeringai juga wajah dia.  Rasa pedih pada kulit yang sedikit tersiat. 
“Siapa langgar Jed?”  soal Jed sambil terus mencari. Tanpa sedar, diri diperhati. 
Que tenang membelek peti first aid di dapur.  Dari situ, nampak Jed yang masih nampak biol sikit.  Dia dengar soalan Jed.  Salah dia lagi ke kali ni?  Padahal Jed tu yang keluar tergesa-gesa tak pandang kiri kanan.  Mujur tak roboh motor buruk dia nak dibandingkan dengan Kawasaki Jed yang mahal tu.  Kalau runtuh motor kapcai dia tu, mahu jalan kaki.
“Tak jumpa lagi ke, Qalam Azad?”  jerit Kak Zah. 
Dia bangkit menuju ke dapur.  Apalah yang dibuat oleh budak ni dekat dapur lama sangat.  Kak Zah menggeleng sendiri. 
Bila sampai tepat di depan Que, dia lihat Que sedang menengadah siling.  Dalam suram dengan cahaya samar-samar dari ruang tamu. 
Mata Que bergerak memandang Kak Zah.  Tiada riak. Berat hati dia nak keluar sebenarnya.  Dia tak pernah harap ada lagi pertemuan setelah dia pulangkan harta milik Jed hari tu.  Tapi kini… resah.  Allah saja yang tahu. 
“Ajad buat apa?  Lama betul ambil ubatnya…”  Kak Zah menegur perlahan.  Separuh berbisik. 
“Entahlah…”  Keluhan tipis menjadi jawapan.  Kak Zah mengerutkan kening.  Apa dah jadi ni?  Bila masa pula Qalam Azad takut dengan perempuan? 
“Cepatlah,” gesa Kak Zah.  Malas dia nak fikir.  Jehanna perlukan rawatan kecil tu. 
Que geleng. 
“Malas keluarlah, Kak Zah.  Nah…”  Dia suakan peti first aid tu pada Kak Zah.  Malas nak bertembung mata dengan Jed lagi.  Dia memang tak nak jumpa Jed dah. 
“Kenapa?  Kan Ajad langgar dia tadi.  Keluar minta maaf.  Kasihan dia.  Dahlah tadi kena marah dengan mak bapak.  Tapi, mujur juga Ajad langgar dia.  Tak adalah dia pergi kelab malam.  Risau Kak Zah kalau dia ke sana,” beritahu Kak Zah sambil mengerling pada Jed  yang kembali berbaring, memejamkan mata.
Kening Que yang lebat dan hitam berkerut. 
“Kena marah dengan orang tua?  Lepas tu tenangkan jiwa dekat kelab malam?” 
Kak Zah diam.  Tak menjawab pun.  Que mengeluh.  Sungguhlah budak Jed ni terpesong.  Tapi, siapa dia dengan Kak Zah?
“Macam mana kenal?”  soal Que.
“Laa… itu anak majikan Kak Zah la.  Anak Ku dengan Tuan Megat.  Anak tunggal dia yang tak diberi perhatian langsung.  Itu yang Jehanna tu jadi lagu tu,”  cerita Kak Zah pada Que.  Spontan dia terus capai kotak ubat dan berlalu ke depan. 
“Jehanna?” 
Jed buka mata.  Dia senyum.  Kepala masih biol.  Tak boleh buat apa.  Rasa nak balik sekarang, tapi kepala kepeningan.  Kena rehat sekejap.  Kalau tak, lepas ni tiang lampu pula dilanggarnya. 
“Kak Zah sapu ubat sikit, ya?  Lepas ni kita pergi klinik,” cadang Kak Zah tapi Jed menolak lembut.  Sopan. 
“Tak payah susahkan diri. Jed okey aje ni.  Tapi, kepala weng lagi la, Kak Zah.  Jed lena kejap, ya?  Dah okey nanti, Jed terus balik rumah.”  Jed sengih sambil memicit kepala. 
Que  yang memandang di balik dinding terkedu.  Dia nampak sisi lain Jed pula malam ni.  Dengan Kak Zah, percakapan Jed lembut gigi daripada lidah.  Berapa wataklah dia ni ada?  Menggeleng Que sendiri.  Hati mula timbul rasa ingin tahu. 
“Kalau macam tu, lenalah.  Biar Kak Zah sapu ubat…”  Kak Zah kalih belakang. 
“Ajad… bawak bantal dua biji.  Nak lapik kepala Jehanna ni,” laung Kak Zah. 
Masa ni, mata Jed dah terkatup rapat.  Samar-samar dia dengar nama yang dipanggil tapi itulah, dalam kepala dia hanya ada nama lelaki yang seorang tu saja.   Nama lelaki lain macam tak nak melekat.  Tak tahu kenapa. 
Que bangkit dan berlalu ke bilik belakang.  Dicapai dua biji bantal kekabu.  Setelah itu teragak-agak dia nak keluar.  Risau Jed nampak dia.  Takut bergaduh lagi.  Bimbang juga Kak Zah tahu  yang mereka dah pernah kenal biarpun baru dua kali bersua. 
“Cepatlah,” gesa Kak Zah.  Geram pula dia dengan Qalam Azad.  Entah apa yang tak kena.
Que senyum tipis.  Dia nampak kelopak mata Jed dah terkatup rapat.  Dia menapak menghampiri Kak Zah.  Dihulurkan bantal tersebut. 
Terus Kak Zah angkat kepala Jed, melepaskan ikatan rambut dan dilapik bantal. 
Que memerhati.  Celak hitam tu masih ada.  Malah makin tebal.  Hantu tengok pun, boleh takut dengan Jed. 
Kak Zah kalih. 
“Dia pening.  Ajad tunggu ajelah dulu.  Takut dia tak larat nak balik nanti, boleh kita hantar dia,” ujar Kak Zah separuh berbisik. 
Matanya memerhati Jed. Macam dah lena.  Hujung juring mata anak gadis itu nampak sedikit berair.  Mesti terbawa ke dalam lena hal dimarahi Tuan Megat.  Jatuh kasih dia pada Jed.  Tangan ringan terangkat dan dibelai anak rambut yang jatuh ke pipi.  Menyentuh pipi mulus itu penuh kelembutan. 
‘Tabahlah, nak.  Tiap-tiap yang sabar disayangi Allah…’  Sebu hati Kak Zah berbicara. 
Que labuhkan duduk di atas meja kopi kayu di depan Kak Zah dan Jed.  Semasa Kak Zah belai pipi Jed, mata dia tertangkap ada satu kesan calar pada pipi.  Dan parut lama atas kening kiri tu.  Jelas. 
“Kening dia tu kenapa berparut?” 
“Entahlah, Ajad… Kak Zah kenal Jehanna, masa dia habis SPM.  Balik duduk rumah lepas habiskan masa di asrama.  Dengar kata, dia terhantuk dekat birai kolam renang masa dia kanak-kanak.” 
Mata Que beralih pula pada belakang tangan Jed.  Putih bersih.  Jari-jemari juga runcing tapi kuku nampak tak terjaga seperti mana gadis seusia dia.  Mana taknya, dia ingat case gitar yang pernah Jed sandang.  Rosak hujung jari mesti kerana itu. 
Tapi kulit yang bersih itu tercela.  Ada parut dekat di atas sendi jari telunjuk.  Dia perasaan pada hari pertama lagi. 
“Tu parut bertumbuk ke?”  soal Que sikit prejudis sambil menjuih pada tangan Jed. 
Kak Zah ketap bibir.  Dia ingat peristiwa tu.  Ia berlaku depan mata dia.  Sejak itu, dia dah bertekad tak nak tinggalkan kerja dia di rumah Ku dan Tuan Megat. Risau Jed jadi makin teruk.  Dengan darah panas dan rasa tak dihargai menyelubungi diri, siapa tahu Jed akan buat perkara lebih teruk.  
“Ni Jed nak marah mummy dan abah dia sebab mungkir janji makan malam dengan dia.  Padahal  masa tu, dia minta Kak Zah ajar dia masak.  Konon nak raikan keputusan peperiksaan SPM dia yang cemerlang tapi Ku dengan Tuan Megat tak ingat.  Dia takut dia maki Ku dengan Tuan Megat, dia kelar tangan dia.”
“Sampai macam tu sekali?”  soal Que dengan mata bulat.  Serius tak boleh nak percaya.  Hal kecil aje pun.  Kata hati Que mengatakan yang Jed langsung tak rasional. 
Kak Zah mengeluh. 
“Kita tak tahu apa Jehanna rasa, Ajad.  Kak Zah sendiri tak faham kadang-kadang tu.  Jehanna ni kuat membentak tapi dengan Kak Zah, dia dengar aje apa yang Kak Zah cakap.  Cuma Kak Zah risau nak tegur lebih-lebih.  Sedar kedudukan kita,” ujar Kak Zah sedikit lirih. 
Que angguk. Dia faham sangat situasi Kak Zah.  Macam dialah.  Sebab tu pertemuan pertama dia dengan Jed rasa macam tak nak ingat aje.  Dan dia kena akui, masa tu dia pun salah.  Tak patut tegur dengan cara macam tu. 
“Kak Zah nak masuk dulu. Nak mandi kejap.  Ajad tunggulah kejap…”  Kak Zah terus bangkit.  Bahu Que ditepuk sedikit dan terus menghilang di balik pintu bilik. 
Mata Que tunak merenung segenap inci wajah Jed.  Kasihan dengan nasib gadis ni.  Tapi, perlu ke buat semua tu?  Perlu ke jadi macam sekarang? 
Nauzubillah… dia mengucap dalam hati.  Moga adik-adik aku tak jadi macam ni, Allah.  Minta dijauhkan. 
Tak dapat dia bayangkan kalau Jed buka mata nampak dia lagi di depan  mata.  Berperang lagilah dia nanti.  Silap-silap boleh bertumbuk.  Renungan Que tercantas.  Dia menjauh sikit daripada kerusi panjang di mana tubuh langsing Jed terbaring.  Dia pusing belakang sikit.  Ditarik telefon yang menjerit. 
“Mana kau?  Manaaaa?”  Panjang suara pemanggil bertanya. 
Sorry, geng.  Aku tak boleh pergi la…”  Que memulakan bicara tak sempat Rico bertanya sebab dia tak kunjung tiba lagi. 
Keluhan Rico kedengaran.  Lepas tu suara Qimi pun menyampuk. 
“Kenapa wei?” 
“Aku langgar orang.” 
Hah?”  Rico terjerit. 
“Serius tak?” 
“Aku okey…”  Que kalih pada Jed. 
“Dia pitam kejap.  Ni kena tunggu dia jaga dulu.” 
“Kau ni… hati-hati lain kali.  Tapi, kalau kau datang pun, awek Gothic kau tu tak ada kot.  Tak nampak dari tadi.” Rico sengih dapat kenakan Que. 
Que mencebik lebar.  Cibaneng kongkang punya member.  Dia sengih kemudiannya.  Memanglah dia tak ada kat sana, sebab dia ada depan aku sekarang. 
Talian mati.  Que menggeleng mengenangkan usikan Rico.  Tak ada kerja sungguh.  Pantang sikit, mesti nak kenakan aku. 
Kelopak mata Jed terangkat.  Dia dengar suara.  Dia paksa matanya terangkat  Lepas tu dia nampak susuk tubuh lelaki membelakangi dia.  Duduk bertenggek di atas meja kopi.  Suara tu macam dia cam.  Suara tu yang buat dia rasa hati dia mula mengerti bahasa yang sunyi itu. 
“Que ke?” soal Jed perlahan.  Dia picit batang hidung.  Pening lagi ni.
Keras batang tubuh Que.  Alamak aih… dia dah sedar ke?  Nak kalih ke tidak, nak kalih ke tidak?  Dia terus membatu buat tak tahu hinggalah suara lemah Jed menyeru lagi. 
“Que ke?”  Makin perlahan.  Mata pun hampir tertutup kembali. 
“Aku kenal suara kau.  Selain suara Lis, suara kau aje aku ingat dalam kepala aku,” sambung Jed kali ini.
Menyentak ego lelaki Que dengan agak kuat.  Kenyataan Jed tu boleh buat dia salah faham.  Perlahan-lahan dia kalih. 
Hanya memandang sisi wajah, Jed dah bulat mata.  Sungguh Que.  Kecilnya dunia?  Kenapa boleh jumpa kat sini? 
“Ya, aku… sorry…”  Que tak senyum sikit pun.  Wajah dah bertentangan. 
Jed cuba bangkit perlahan-lahan. 
Sorry?”  Tak faham kenapa Que ucap maaf. 
“Aku terlanggar kau tadi.  Tapi, sebab kau corner macam tu aje.  Sorry sangat.  Kau sakit mana-mana ke?  Aku hantar pergi klinik…” 
Kepala Jed bergerak.  Menggeleng.  Tanda tak nak ke klinik.  Al-kisahnya, Qalam Azad yang dipanggil oleh Kak Zah tadi, Que la.  Hati Jed senyum sendiri tapi tak berani nak zahirkan.  Entah apa yang seronok sangat, dia sendiri tiada jawapannya. 
“Nama kau Qalam Azad, eh?” 
Que tidak memberi reaksi.  Kalau dah tahu, nak tanya buat apa?  Terang-terang aku aje jantan dalam rumah ni sekarang. 
“Nama kau Dian Jehanna Puteri, eh?”  soal Que pula.  Sangat sarkastik dengan muka ketat tak ada riak.
You knew it well enough …” 
Que sengih sinis. 
Wrong.  I knew but not well enough.”  Selamba dibidas Jed. 
“Kalau kau sihat, aku nak blah dah ni.  Sungguh, tak nak aku hantar ke klinik?”  Sekali lagi soalan itu diajukan.  Jangan kata dia dah bangkit, Jed merayu nak pergi klinik pula. 
“Tak nak check otak kau takut bergegar ke.  Lain macam aje kau ni.  Tak mengamuk pun?”  soal Que sinis. 
Jed ketap bibir.  Kena lagi dia.  Rasa nak marah macam sebelum ni tapi kepala dah tak larat nak fikir.  Masalah dengan Ku Zarina dan Tuan Megat pun masih berlahar dalam dada dia.  Ni nak tambah lagi gaduh dengan Que, memang akan buat kekuatan dia tiada berbaki nanti.  Mana lagi ada tenaga lepas terduduk kena langgar tadi. 
“Aku okey…”  Pendek Jed menjawab. 
“Okeylah.  Sorry, eh.  Aku ciao…”  Que angkat tubuh. 
Dia seluk poket jeans lusuhnya dan mengerling pada Jed.  Nampak tak ada tenaga sungguh Jed ni.  Tak makan ke apa?  Kesian betul.  Dahlah kurus, makin kerempeng karang
“Eh, Jed…” 
Jed angkat kepala. 
“Kau dah makan belum?” 
Jed geleng. 
“Nak makan?” 
Jed diam. 
“Kejap…”  Que berlalu ke dapur.  Meninggalkan Jed sendiri.  Dia tahu tak elok duduk berdua di ruang tamu, sedangkan Kak Zah ada dalam bilik.  Dia bukan tak percayakan Jed tapi dia tak percayakan diri dia sendiri.  Lelaki, dua puluh sembilan tahun dan tentu-tentunya normal.  Biarpun Jed tu macam hantu, tapi tetap perempuan.  Kejadian Allah yang boleh membinasakan lelaki bila dikuasai nafsu. 
Jed pandang susuk tubuh Que yang dah hilang.  Bicara sinis Que tak rasa nak dibidas seperti kebiasaannya.  Dalam rumah Kak Zah ni dia rasa damai.  Apatah lagi masa ni dia dengar suara Kak Zah dari dalam bilik.  Mengalunkan ayat suci Al-Quran yang dah berkurun tak dia sebut.  Entah lidah masih boleh dilenturkan lagi atau tidak, Jed tak pasti.  Dia bangkit sikit.  Intai kelibat Que.  Tak nampak dah.  Que pun main blah macam tu aje, tinggalkan dia. 
Jed tak tahu, Que di dapur pun mengintai Jed yang bersandar pada belakang sofa dengan wajah  yang tak ada riak.  Hanya celak hitam Jed saja yang dah nampak sememeh.  Nampak mencair dan meleleh menjadikan keliling matanya semakin hitam pekat.  Buat dia lagi gerun nak dipandang.  Macam Bellatrix Lestrange dalam Harry Potter. 
Kuali dicapai.  Isi dalam mangkuk tingkat yang ibu bagi tadi untuk Kak Zah, dituang dalam kuali.  Mahu dipanaskan sedikit lauk untuk si puteri yang gering. 
‘Dian Jehanna Puteri…’  Hati Que menyeru nama tu.  Kenapalah kau pilih jadi macam tu? 

Dan Jed, berpaling ke arah pintu dapur.  Terasa nama diseru orang.  Dada dia berdebar namun bahasanya, masih tak mampu dia fahami.  

No comments:

Post a Comment