Monday, 18 August 2014

Bab 3: TERSUKA TANPA SENGAJA - Pena Kayu


Farhah menatap cermin muka sepintas lalu. Malas mahu menilik lama-lama. Nanti mulalah Farhah terkenang segala kata-kata Syed Arif yang lagaknya macam sempurna sangat.
        “Syed Arif,” sebut Farhah. Dia ingat sangat nama lelaki itu sebab Rin dua puluh empat jam suka menyebut nama tersebut. Boleh pula Rin syorkan Farhah pikat Syed Arif. Tak mungkinlah.
        “Kalau tak pergi blind date tu kan bagus. Tak perlu susah hati macam ni.”
        Farhah sempat mengeluh sebelum menyimpan cermin kecil tadi ke dalam poket seluar sukannya. Farhah mengeluh bukan apa, hatinya tergores bila dikatakan tidak cantik.
        Farhah bukan tak cantik. Farhah cantik. Cuma ada lagi perempuan di luar sana yang lebih cantik. Contoh terbaik si Katrina. Farhah memang kalah teruk kalau dibandingkan dengan Katrina.
        Kata hati Farhah terhenti bila seorang lelaki awal empat puluhan tiba-tiba saja mengambil tempat di sisinya. Semakin lama, semakin pelik Farhah lihat lelaki tersebut. Lelaki itu asyik menekan dada. Kemudian dia bernafas dengan amat payah. Jujur, Farhah mula tidak senang duduk.
        “Encik okey ke?” tanya Farhah. Mula risau melihat keadaan lelaki tersebut.
        Lelaki itu tidak menjawab, hanya terdengar bunyi nafas yang dihela dengan payah sekali. Sedar-sedar lelaki itu sudah tertiarap menyembah rumput yang menghijau.
        Bulat sungguh mata Farhah. Terkejut sangat melihat lelaki itu rebah.
        “Kenapa ni?” tanya Farhah kelam-kabut. Lekas-lekas dia membantu lelaki itu duduk semula.
        Wajah lelaki itu sudah mula bertukar sedikit kebiruan. Bunyi helaan nafas lelaki itu juga semakin kuat dan pendek.
        “Okey, tenangkan diri. Cuba tarik nafas macam biasa,” luah Farhah. Sempat juga dia mengerling ke kiri dan ke kanan. Besar harapan Farhah ada hamba Allah yang melalui kawasan tersebut.
        Namun Farhah hampa. Tasik Titiwangsa ini terlalu luas dan sekarang belum ramai lagi warga kota yang melakukan senaman ringan. Lagipun hari ini hari bekerja, bukan hujung minggu. Alamak… Masalah besar ni.
        “Encik ada bawa Bronkolidator tak? Ubat sedut tu.”
        Lelaki itu mengangguk meskipun sedikit kepayahan.
        “Kat mana? Encik simpan dekat mana?” tanya Farhah. Matanya sempat melilau kalau-kalau lelaki itu ada membawa sebarang beg.
        “Dalam kereta. Saya… Saya simpan dalam kereta.”
        “Dalam kereta? Kereta dekat mana?”
        Lelaki itu tidak memberi sebarang jawapan. Yang jelas, nafas lelaki itu semakin sempit. Hanya tangan lelaki itu saja menunjuk ke arah sesuatu yang tidak pasti.
        Farhah ikut menoleh arah yang ditunjukkan oleh lelaki tersebut. Dan mata Farhah sudah terbuka luas. Akhirnya ada seorang lagi lelaki melalui kawasan tersebut.
        Terima kasih Ya Allah sebab bawa seorang penyelamat ke sini!
        “Encik!” laung Farhah sambil melambai-lambaikan tangannya. Tidak cukup dengan itu, Farhah juga terlompat-lompat. Bila melihat lelaki itu masih tidak melihatnya, mulalah Farhah ketap bibir.
        “Encikkk!” laung Farhah sekali lagi. Begitu kuat dan panjang.
        Kalau lelaki itu tidak dengar lagi, Farhah memang bercadang hendak baling lelaki tersebut dengan kasut. Kalau terkena kepala lelaki itu lagi bagus. Cepat sikit dia sedar tentang Farhah yang melompat-lompat dari tadi.
        Barulah larian lelaki itu terhenti. Cermin mata hitamnya ditanggalkan sebelum mencari-cari arah datangnya suara yang begitu nyaring tadi.
        “Tolong! Dia kena serangan asma!” laung Farhah terus sambil menunjuk-nunjuk ke arah lelaki yang diserang asma tadi.
        Tidak sampai sepuluh saat, lelaki penyelamat itu sudah bertinggung di sisi lelaki yang diserang asma tersebut. Cuma Farhah yang masih berdiri kaku, langsung tidak bergerak-gerak. Mukanya pun sempat berubah menjadi seperti muka nenek kebayan.
        Sumpah, Farhah terkejut sampai hendak pengsan. Kenapa? Sebab lelaki yang jadi penyelamat itu ialah Syed Arif. Ya, Syed Arif yang buat kesimpulan kata Farhah tak cantik.
        “Dah berapa lama boyfriend you kena serangan asma ni?”
        Kalau tadi Farhah terkejut, sekarang dia bagaikan baru terkena kejutan elektrik mendengar soalan paling ‘indah’ Syed Arif.
        Your boyfriend...
        No. Dia bukan boyfriend I,” potong Farhah.
        Dalam juga kerutan di dahi Syed Arif mendengar jawapan Farhah. Sangka Syed Arif tadi, lelaki yang diserang asma ini teman lelaki Farhah.
        “Tadi dia tiba-tiba duduk sebelah I. Lepas tu dia jatuh. I cuma bantu dia duduk semula. Dan lepas tu I perasan dia kena serangan asma,” beritahu Farhah kelam-kabut. Percayalah, dia tidak mahu Syed Arif salah faham.
        Tapi kalau Syed Arif salah faham pun, Farhah peduli apa. Buat apa Farhah hendak susah hati.
        “I nak bawa dia pergi ke klinik, tapi I datang pun jalan kaki ke sini. I tak ada kenderaan. Lepas tu I nak papah dia, tapi I langsung tak boleh nak bangunkan dia,” beritahu Farhah lagi. Begitu bersemangat sekali memberi penerangan.
        Syed Arif masih sibuk memeriksa tahap pernafasan lelaki tersebut. Jadi cerita Farhah cuma masuk telinga kanan kemudian terus keluar ikut telinga kiri.
        Farhah terjenguk-jenguk mahu melihat bantuan perubatan yang diberi. Dia cuma melihat sejak tadi Syed Arif membetulkan cara duduk lelaki tersebut. Kemudian memujuk lelaki itu supaya bertenang.
        “Kalau setakat buat begitu, aku pun boleh jadi doktor,” gerutu Farhah. Begitu perlahan. Manalah tahu Syed Arif terdengar, payah nanti.
        “Dia tertinggal Bronkolidator dia dalam kereta. Tadi dia cuma tunjuk arah sana. I tak tahu nak cari kereta dia. Lagipun dekat sana ada banyak kereta,” ujar Farhah tiba-tiba. Biar Syed Arif sedar yang Farhah masih wujud di situ.
        “Tak apa, I ada bawa Bronkolidator. You buat tindakan bijak dengan beri bantuan kecemasan. Mana you tahu pesakit yang terkena serangan perlu didudukkan dengan cara begini tadi?” tanya Syed Arif sambil tangannya mengeluarkan ubat sedut.
        Terangkat-angkat kening Farhah bila dipuji begitu.
        “Arwah nenek I… Arwah nenek I pun pesakit asma. Kenapa you bawa Bronkolidator? You pun asma juga ke?”
        Syed Arif hanya geleng kepala. Kemudian sepi.
        Soalan Farhah memang berjawab tapi tanpa sebarang ayat sokongan. Serupa macam tak jawab juga. Kalau setakat angguk-angguk geleng-geleng, budak umur lima tahun pun boleh jawab.
        “Macam mana? Ada rasa okey sikit tak?Atau dada masih rasa sempit?” soal Syed Arif setelah hampir lima minit membisu.
        Lelaki awal empat puluhan itu mengangguk lemah.
        “Lain kali, jangan tinggal ubat ni dekat mana-mana. Bawa selalu,” pesan Syed Arif. Sempat dia mengukir senyum tipis sebelum kembali menoleh pada Farhah.
            “Tolong call ambulans. Dia masih perlukan rawatan lanjut.”

        Farhah sempat melopong bila menerima permintaan Syed Arif. Takkanlah dia hendak beritahu yang dia tidak boleh membuat panggilan gara-gara kreditnya bernilai RM0.00. Malu!
        “Buat panggilan pun you nak berkira juga ke? Panggilan ni free.”
        Betul juga, memang panggilan kecemasan percuma. Tapi.. Tapi telefon bimbit Farhah terlebih canggih. Farhah segan hendak keluarkan telefon bimbit Samsung GT-E1195 dari poket seluar sukannya.
        “Lebih bagus kalau you yang buat panggilan. Nanti mesti mereka nak tanya fasal perubatan. You lebih expert. After all, you are the real doctor.”
        Syed Arif menyorot Farhah. Meneliti setiap inci wajah Farhah.
        “I cuma pelukis biasa-biasa. Tak sama dengan doktor. Kalau fasal berus, I tahulah beri jawapan terbaik,” lanjut Farhah lagi. Itupun setelah puas mencari jawapan demi melindungi telefon bimbit canggihnya daripada menjadi tatapan Syed Arif.
        Kening Syed Arif sudah terangkat sebelah. Namun dia tetap mengeluarkan telefon pintar iPhone dari poket seluar joging yang dipakai.
        Pada pandangan Farhah, Syed Arif ini serupa juga dengan telefon pintar iPhone. Telefon pintar iPhone mana boleh synchronized dengan jenama telefon yang lain.
        “I bawa Bronkolidator sebab sebelum ni ada kes. Disebabkan tak ada Bronkolidator, I tak dapat selamatkan uncle tu. He passed away. Sebab tu bila ke mana-mana, I bawa satu unit,” cerita Syed Arif setelah selesai membuat panggilan kecemasan.
        It hurts a lot when my patient passed away because I’m not competent enough. Seorang doktor perlu standby twenty four hours. I tak nak dihantui dengan perkataan ‘kalaulah aku macam ni’, ‘kalaulah aku macam tu’. It’s a waste of time,” cerita Syed Arif terus.
        Kelu lidah Farhah mendengar jawapan Syed Arif. Dia kagum sebenarnya dengan prinsip lelaki itu. Jadi dalam diam, Farhah pun sudah menyimpan impian mahu punya prinsip hidup seperti Syed Arif.

        Sediakan payung sebelum hujan. Barulah tidak terdesak dan didesak. 

No comments:

Post a Comment