Farhah menatap cermin muka sepintas lalu. Malas mahu menilik
lama-lama. Nanti mulalah Farhah terkenang segala kata-kata Syed Arif yang
lagaknya macam sempurna sangat.
“Syed Arif,”
sebut Farhah. Dia ingat sangat nama lelaki itu sebab Rin dua puluh empat jam
suka menyebut nama tersebut. Boleh pula Rin syorkan Farhah pikat Syed Arif. Tak
mungkinlah.
“Kalau tak pergi blind date tu kan bagus. Tak perlu susah
hati macam ni.”
Farhah sempat
mengeluh sebelum menyimpan cermin kecil tadi ke dalam poket seluar sukannya.
Farhah mengeluh bukan apa, hatinya tergores bila dikatakan tidak cantik.
Farhah bukan tak
cantik. Farhah cantik. Cuma ada lagi perempuan di luar sana yang lebih cantik.
Contoh terbaik si Katrina. Farhah memang kalah teruk kalau dibandingkan dengan
Katrina.
Kata hati Farhah
terhenti bila seorang lelaki awal empat puluhan tiba-tiba saja mengambil tempat
di sisinya. Semakin lama, semakin pelik Farhah lihat lelaki tersebut. Lelaki
itu asyik menekan dada. Kemudian dia bernafas dengan amat payah. Jujur, Farhah
mula tidak senang duduk.
“Encik okey ke?”
tanya Farhah. Mula risau melihat keadaan lelaki tersebut.
Lelaki itu tidak
menjawab, hanya terdengar bunyi nafas yang dihela dengan payah sekali.
Sedar-sedar lelaki itu sudah tertiarap menyembah rumput yang menghijau.
Bulat sungguh
mata Farhah. Terkejut sangat melihat lelaki itu rebah.
“Kenapa ni?”
tanya Farhah kelam-kabut. Lekas-lekas dia membantu lelaki itu duduk semula.
Wajah lelaki itu
sudah mula bertukar sedikit kebiruan. Bunyi helaan nafas lelaki itu juga
semakin kuat dan pendek.
“Okey, tenangkan
diri. Cuba tarik nafas macam biasa,” luah Farhah. Sempat juga dia mengerling ke
kiri dan ke kanan. Besar harapan Farhah ada hamba Allah yang melalui kawasan
tersebut.
Namun Farhah
hampa. Tasik Titiwangsa ini terlalu luas dan sekarang belum ramai lagi warga
kota yang melakukan senaman ringan. Lagipun hari ini hari bekerja, bukan hujung
minggu. Alamak… Masalah besar ni.
“Encik ada bawa
Bronkolidator tak? Ubat sedut tu.”
Lelaki itu
mengangguk meskipun sedikit kepayahan.
“Kat mana? Encik
simpan dekat mana?” tanya Farhah. Matanya sempat melilau kalau-kalau lelaki itu
ada membawa sebarang beg.
“Dalam kereta.
Saya… Saya simpan dalam kereta.”
“Dalam kereta?
Kereta dekat mana?”
Lelaki itu tidak
memberi sebarang jawapan. Yang jelas, nafas lelaki itu semakin sempit. Hanya
tangan lelaki itu saja menunjuk ke arah sesuatu yang tidak pasti.
Farhah ikut
menoleh arah yang ditunjukkan oleh lelaki tersebut. Dan mata Farhah sudah
terbuka luas. Akhirnya ada seorang lagi lelaki melalui kawasan tersebut.
Terima kasih Ya
Allah sebab bawa seorang penyelamat ke sini!
“Encik!” laung
Farhah sambil melambai-lambaikan tangannya. Tidak cukup dengan itu, Farhah juga
terlompat-lompat. Bila melihat lelaki itu masih tidak melihatnya, mulalah
Farhah ketap bibir.
“Encikkk!” laung
Farhah sekali lagi. Begitu kuat dan panjang.
Kalau lelaki itu
tidak dengar lagi, Farhah memang bercadang hendak baling lelaki tersebut dengan
kasut. Kalau terkena kepala lelaki itu lagi bagus. Cepat sikit dia sedar
tentang Farhah yang melompat-lompat dari tadi.
Barulah larian
lelaki itu terhenti. Cermin mata hitamnya ditanggalkan sebelum mencari-cari
arah datangnya suara yang begitu nyaring tadi.
“Tolong! Dia kena
serangan asma!” laung Farhah terus sambil menunjuk-nunjuk ke arah lelaki yang
diserang asma tadi.
Tidak sampai
sepuluh saat, lelaki penyelamat itu sudah bertinggung di sisi lelaki yang
diserang asma tersebut. Cuma Farhah yang masih berdiri kaku, langsung tidak
bergerak-gerak. Mukanya pun sempat berubah menjadi seperti muka nenek kebayan.
Sumpah, Farhah
terkejut sampai hendak pengsan. Kenapa? Sebab lelaki yang jadi penyelamat itu
ialah Syed Arif. Ya, Syed Arif yang buat kesimpulan kata Farhah tak cantik.
“Dah berapa lama boyfriend you kena serangan asma ni?”
Kalau tadi Farhah
terkejut, sekarang dia bagaikan baru terkena kejutan elektrik mendengar soalan
paling ‘indah’ Syed Arif.
“Your boyfriend...”
“No. Dia bukan boyfriend I,” potong Farhah.
Dalam juga
kerutan di dahi Syed Arif mendengar jawapan Farhah. Sangka Syed Arif tadi,
lelaki yang diserang asma ini teman lelaki Farhah.
“Tadi dia
tiba-tiba duduk sebelah I. Lepas tu dia jatuh. I cuma bantu dia duduk semula.
Dan lepas tu I perasan dia kena serangan asma,” beritahu Farhah kelam-kabut.
Percayalah, dia tidak mahu Syed Arif salah faham.
Tapi kalau Syed
Arif salah faham pun, Farhah peduli apa. Buat apa Farhah hendak susah hati.
“I nak bawa dia
pergi ke klinik, tapi I datang pun jalan kaki ke sini. I tak ada kenderaan.
Lepas tu I nak papah dia, tapi I langsung tak boleh nak bangunkan dia,”
beritahu Farhah lagi. Begitu bersemangat sekali memberi penerangan.
Syed Arif masih
sibuk memeriksa tahap pernafasan lelaki tersebut. Jadi cerita Farhah cuma masuk
telinga kanan kemudian terus keluar ikut telinga kiri.
Farhah
terjenguk-jenguk mahu melihat bantuan perubatan yang diberi. Dia cuma melihat
sejak tadi Syed Arif membetulkan cara duduk lelaki tersebut. Kemudian memujuk
lelaki itu supaya bertenang.
“Kalau setakat
buat begitu, aku pun boleh jadi doktor,” gerutu Farhah. Begitu perlahan.
Manalah tahu Syed Arif terdengar, payah nanti.
“Dia tertinggal
Bronkolidator dia dalam kereta. Tadi dia cuma tunjuk arah sana. I tak tahu nak
cari kereta dia. Lagipun dekat sana ada banyak kereta,” ujar Farhah tiba-tiba.
Biar Syed Arif sedar yang Farhah masih wujud di situ.
“Tak apa, I ada
bawa Bronkolidator. You buat tindakan bijak dengan beri bantuan kecemasan. Mana
you tahu pesakit yang terkena serangan perlu didudukkan dengan cara begini
tadi?” tanya Syed Arif sambil tangannya mengeluarkan ubat sedut.
Terangkat-angkat
kening Farhah bila dipuji begitu.
“Arwah nenek I…
Arwah nenek I pun pesakit asma. Kenapa you bawa Bronkolidator? You pun asma
juga ke?”
Syed Arif hanya
geleng kepala. Kemudian sepi.
Soalan Farhah
memang berjawab tapi tanpa sebarang ayat sokongan. Serupa macam tak jawab juga.
Kalau setakat angguk-angguk geleng-geleng, budak umur lima tahun pun boleh
jawab.
“Macam mana? Ada
rasa okey sikit tak?Atau dada masih rasa sempit?” soal Syed Arif setelah hampir
lima minit membisu.
Lelaki awal empat
puluhan itu mengangguk lemah.
“Lain kali,
jangan tinggal ubat ni dekat mana-mana. Bawa selalu,” pesan Syed Arif. Sempat
dia mengukir senyum tipis sebelum kembali menoleh pada Farhah.
“Tolong
call ambulans. Dia masih perlukan
rawatan lanjut.”
Farhah sempat
melopong bila menerima permintaan Syed Arif. Takkanlah dia hendak beritahu yang
dia tidak boleh membuat panggilan gara-gara kreditnya bernilai RM0.00. Malu!
“Buat panggilan
pun you nak berkira juga ke? Panggilan ni free.”
Betul juga,
memang panggilan kecemasan percuma. Tapi.. Tapi telefon bimbit Farhah terlebih
canggih. Farhah segan hendak keluarkan telefon bimbit Samsung GT-E1195 dari
poket seluar sukannya.
“Lebih bagus
kalau you yang buat panggilan. Nanti mesti mereka nak tanya fasal perubatan. You lebih expert. After all, you are the real doctor.”
Syed Arif
menyorot Farhah. Meneliti setiap inci wajah Farhah.
“I cuma pelukis
biasa-biasa. Tak sama dengan doktor. Kalau fasal berus, I tahulah beri jawapan
terbaik,” lanjut Farhah lagi. Itupun setelah puas mencari jawapan demi
melindungi telefon bimbit canggihnya daripada menjadi tatapan Syed Arif.
Kening Syed Arif
sudah terangkat sebelah. Namun dia tetap mengeluarkan telefon pintar iPhone
dari poket seluar joging yang dipakai.
Pada pandangan
Farhah, Syed Arif ini serupa juga dengan telefon pintar iPhone. Telefon pintar
iPhone mana boleh synchronized dengan
jenama telefon yang lain.
“I bawa Bronkolidator sebab sebelum ni ada kes.
Disebabkan tak ada Bronkolidator, I tak dapat selamatkan uncle tu. He passed away.
Sebab tu bila ke mana-mana, I bawa satu unit,” cerita Syed Arif setelah selesai
membuat panggilan kecemasan.
“It hurts
a lot when my patient passed away because I’m not competent enough. Seorang
doktor perlu standby twenty four hours.
I tak nak dihantui dengan perkataan ‘kalaulah aku macam ni’, ‘kalaulah aku
macam tu’. It’s a waste of time,”
cerita Syed Arif terus.
Kelu lidah Farhah mendengar jawapan Syed Arif.
Dia kagum sebenarnya dengan prinsip lelaki itu. Jadi dalam diam, Farhah pun
sudah menyimpan impian mahu punya prinsip hidup seperti Syed Arif.
Sediakan payung sebelum hujan. Barulah tidak
terdesak dan didesak.
No comments:
Post a Comment