Saturday, 7 February 2015

BAB 4: MISI MENCARI PENGANTIN LELAKI - ILLA SHANAHILA


AKU KELUAR DARI BILIK mandi dengan satu semangat baru. Segar dan bertenaga. Wajah kawan Abang Mazlan tadi terbayang-bayang di kepala. Kata Abang Mazlan tadi, Benjamin masih bujang dan baru memeluk Islam tahun lepas.
            Satu lagi fakta, Ben berasal dari Sabah rupanya. Patutlah pelat dia lain macam.
            Bibir aku mencipta senyum tanpa sedar.
            Sehelai t-shirt yang paling besar dan seluar panjang aku capai dari almari dan disarungkan ke badan. Sengaja aku pilih yang paling besar. Bagi nampak sopan sikit sebab ramai betul orang dekat rumah Makcik Rosnah malam ni.
Tuala yang sudah lembab dek rambut aku yang basah tadi dilemparkan ke atas katil. Aku senyum sendiri bila teringatkan Benjamin. Sebenrnya, bagi aku lelaki yang ada dialek ni nampak handsome. Tak kiralah dialek apa pun.
            Selesai menyikat rambut la kadar, aku terus keluar dari bilik untuk ke rumah Wanda. Mila dan Aiman, anak-anak Iqa masih lagi terpacak di hadapan TV.
Aku mencuit pipi Mila yang baru sahaja berusia 5 tahun. “Mama mana?”    
“Rumah Nek Ros.” Jawabnya pendek dan terus kembali menumpukan perhatian kepada cerita Upin-Ipin Pengembaraan Bermula.
Rasanya setiap kali aku balik kampung, cerita itulah yang empat lima kali diulang tanpa jemu.
Mila dan Aiman aku tinggalkan kepada abah yang berada di dapur. Mak dah lama hilang ke rumah sebelah, menolong apa yang patut. Abang Mazlan pula dari tadi ke hulu kehilir, sibuk menguruskan semua benda.
Sejak arwah pakcik meninggal, Abang Mazlan lah yang menggantikan tanggungjawab arwah pakcik.      
            Hanya beralaskan selipar jepun entah kepunyaan siapa, aku terus mengatur kaki ke rumah Wanda. Telefon bimbit yang aku bawa keluar dari bilik tadi dimasukkan ke dalam poket seluar tidur.
            “Norah, bila baik?”
            Baru sahaja sampai di bawah tangga batu, suara salah seorang makcik yang bersembang rancak tadi menegur.  Aku mencipta senyum segaris.
            “Maghrib tadi sampai.” aku menjawab sopan walaupun wajah makcik tadi samar-samar pada kotak ingatan.
            Mak Uda ke?
            Ataupun, Makcik Siti kampung sebelah?
            Tak pun, mak si Ain, kawan sekolah menengah dia dulu.
            “Lama tak nampak kamu,” tegur dia lagi.
            Aku hanya mampu tersenyum. Dah tak tahu nak balas apa sebenarnya. Memandangkan dah lebih sepuluh tahun aku jarang-jarang pulang ke kampung, jadi muka orang kampung aku tak cam sangat.
            Nak-nak yang kampung sebelah, kampung sebelah punya sebelah. Semua tak kenal.
“Saya masuk dulu makcik.” Aku terus memanjat tangga, sederhana besar itu dan terus ke ruang tamu. Ruang tamu yang luas itu kosong tanpa tuan. Rata-rata manusia kesana-kemari di halaman rumah dan dapur.
Lebar sengihan aku bila melihat pelamin yang terletak di sudut kiri ruang tamu.
Warna krim, merah jambu dan ungu. Simple and beauty.
Longgokkan bunga di dalam pasu-pasu hiasan yang yang tergantung membuatkan rumah kayu ini persis hotel lima bintang!
Belum pun kaki melangkah jauh, suara makcik tadi mula menyapa telinga.
            “Siapa tu Uda?”
Hah, betulla..Mak Uda…
            “Ala, anak perempuan Rohana yang sulung.”
            “La, Rohana ada anak perempuan lain?”
            “Iya, yang ni belum kahwin. Tinggal dekat kolumpo sana.”
            “Belum kahwin? Bukan si Iqa tu dah ada anak dua?”
            “Belum jodoh la tu…”
            Suara-suara itu makin hilang dari telinga. Aku melepas nafas perlahan sambil menahan hati. Sabar ajelah wahai hati.
            Sabar.
            “Nora, you tolong I pegang ni boleh?”
            Aku terlompat ke hadapan, refleks. Wajah putih melepak dengan cermin mata bingkai hitam tebal tersengih di atas tangga besi.
            Benjamin!
            “Naurah.” Aku membetulkan sepatah. Jauh sangat Nora tu. “Abang Mazlan mana?” soal aku sepatah, menghilangkan rasa gugup sambil menyambut tukul yang dihulurkannya.
            “Oh, sorry, Norah.” Dia senyum nipis. “Lan pergi ambil beli ais untuk esok. Tadi petang lupa.” Ben menjawab tanpa memandang. Aku hampir tepuk dahi sendiri. Norah pulak dah.
Aku mendongak ke atas, memandang ke arahnya yang masih tekun bekerja. Kedua-dua tangan cekap membetulkan letak langsir pada tingkap rumah.
            Gaya macam dah pro buat benda-benda ni semua.
            …dan, gaya dah rapat sangat dengan keluarga Wanda ni.
            Dan sekali pandang, dah rupa Alex Yoong zaman muda-muda bertukang. Alex Yong versi cerah.
            “Norah, tukul.”
            Spontan mata dikerdipkan beberapa kali, tersedar. Depan aku ni Benjamin. Bukan Alex. Tangan terus melurus ke atas, menghulurkan apa yang diminta. Berkali-kali aku menyumpah diri sendiri di dalam hati dek buat hal pergi ternganga perhatikan anak orang.
            Anak teruna pulak tu.
            Aduhai…
            “Angah!”
            Dua kepala berpusing ke arah suara yang memanggil. Aku tersenyum lebar melihat Wanda yang berbaju lengan panjang, selendang lilit ala kadar di kepala dan kain batik!
            Senyuman aku masih belum mati. Wanda dah besar...
            Kalau dulu nak nampak budak Wan ni macam ni, memang gaya tunggu kucing bertanduk la…
            “Derhaka la tu, sampai-sampai tak singgah sini dulu.” dia berjalan ke hujung ruang tamu yang menempatkan barang-barang cenderahati. “Eh Ben, abang mana?”
            Aku hanya diam memerhati. Nampaknya memang Benjamin dikenali oleh setiap isi rumah ni. Aku aje yang tak kenal.
            “Beli ais.” Ben menjawab tanpa memandang. “Norah, tolong pegangkan lagi.” Dia kemudiannya menunduk, menghulurkan tukul tadi.
            “Angah balik mandi dulula. Nak datang sini terus dengan badan melekit. Angah balik kerja, kemas barang terus balik, tau.”
            Wanda ketawa perlahan. Baru sahaja dia ingin membuka mulut, suara Qila dari dalam bilik memenuhi ruang.
            “Wan oi! Apa basuh tangan lama sangat!?”
            Wanda mengekek ketawa sambil menarik tangan kanan aku. “Jom angah.”
            Kening aku terangkat tinggi. “Nak kemana? Angah nak tolong Ben pegang ni…”
            Wanda mencapai tukul tadi dari tangan aku dan terus diletakkan di atas salah satu anak tangga besi tadi. “Ben, you buat sendiri eh. Ni kerja lelaki.” Wanda sengih lebar sebelum mengalihkan pandangannya ke arah aku. “Kita pakai inai.” Keningnya diangkat beberapa kali.
            “Nakal la you ni Wan.” Benjamin menggeleng beberapa kali.
            “Ala…takkan you nak suruh angah I temankan kot.”
            Darah merah terus menyerbu ke muka. Wanda ni la…
            Benjamin hanya senyum tidak membalas. Dia mengambil tukul yang diletakkan oleh Wanda tadi dan mula menyambung kerjanya yang tertunda.
            “Apa pulak angah yang kena pakai?” aku mengikut sahaja langkah Wanda ke biliknya, meninggalkan Ben di ruang tamu.
            “Sebab orang taknak pakai sebenarnya. Tapi Kak Qila paksa jugak. Lecehla… Kalau angah pakai, boleh jadi geng!”
            Aku mencubit lengannya yang tertutup dengan t-shirt, kuat. Ada ke… “Awak tu nak nikah esok. Pakai la. Naik seri nanti.”
            “Ala, bukannya wajib pun.” dia mencebik lebar. Tangan dilipat ke dada.
            Haah. memang tak wajib pun.  “Tak payah la buat corak bagai. Yang biasa je…”
            “Angah!” Qila menjerit sebaik sahaja daun pintu ditolak. Iqa yang sedang berbaring dengan majalah Pengantin di tangan tersengih.
            Laju aku menggeleng. Budak dua orang ni la… tak menjerit tak sah!
            “Jom angah, pakai ni. Sama-samalah kita menyerikan majlis.”
“Dah, korang pakai la benda tu. Angah nak buat hantaran ni.” aku duduk bersila, bertentangan dengan Qila dan Wanda. Bilik sederhana besar ini pun dah cantik bersolek. “Iqa, bagi aku majalah tu, nak cari ilham.”
Iqa bangkit dari baringan dan terus duduk di sebelah aku. majalah bertukar tangan. Barang-barang hantaran dan dulang yang terletak di hujung bilik aku capai satu-satu.
            Barangan yang aku beli dekat KL tadi pun aku tarik sekali.
            “Angah, bak sini resit. Lepas majlis orang ganti ya?”
            “Kau pakai ajelah inai tu dulu. resit semua ni kemudian.” Aku menjawab tanpa memandang. “Wan, kau ni dah kira langkah bendul, tau? Kalau angah mintak segala hantaran ni dikali dengan tiga, agak-agak Nick nak kasi tak?” aku mencipta sengih dihujung kata.
            “Adus, kenapalah aku tak terfikir!” Qila menepuk dahi sendiri. Inai tiub dikeluarkan dari kotak.  “Wan, apalagi…” keningnya diangkat beberapa kali sambil tersenyum meleret.
            “Ada ke…”
            Dan akhirnya kami berempat ketawa lepas.


AKU MEMEJAMKAN MATA beberapa kali, melawan rasa mengantuk. Wanda dah pun tertidur pulas di atas katil dengan tangan yang berbalut plastik. Qila pula tersengguk-sengguk dengan bunga di tangan. Aku tersengih tanpa paksaan.
            Iqa dah lama balik, nak tidurkan anak-anak dia. dah jadi mak orang, lain kisahnya.
Aku melepas nafas perlahan sambil membawa tangan ke belakang tengkuk. Mengurut perlahan.
Lenguh dek fokus pada dulang tanpa gagal sejak dua jam lepas.
Dulang yang terakhir. Mata semakin berat. Nampaknya kopi panas buatan makcik tadi tak terkesan langsung pada aku.
I need Nescafe. Nescafe…
“Homai!”
Dulang yang aku pegang tercampak ke depan. Pistol gam pun sama. Wanda yang tiba-tiba terduduk di atas katil aku pandang tak berkelip. Qila yang dari tadi tersengguk-sengguk turut sama memandang. Kerut pada dahinya jelas kelihatan.
Mimpi apa pulak budak Wanda ni?
“Kak, aku lupa nak bagi baju nikah Nick!” Wanda menjerit sebelum sempat aku dan Qila menyoal.
“Hah!?” suara aku dan Qila bergabung. Biar benar Wanda ni. Nikah esok pagi. Takkan baju melayu Nick masih ada dalam rumah ni.
Laju aku garu kepala. “Dah tu? Sempat ke nak ambil esok? Keluarga Nick bermalam dekat mana ni?” aku meletakkan dulang ke lantai. Tangan kanan sekali lagi dibawa ke tengkuk.
“Dekat Hotel Katerina.” Wanda menguap perlahan. “Sebenarnya ingat nak suruh Abang Lan pergi hantar tadi. Tapi lupa… Nick SMS ni baru teringat. Homai, macam mana ni?” dia mengangkat handphone tinggi.
Aku geleng kepala. Homai…Homai.. ketuk kepala baru tahu. Benda besar macam ni pun dia boleh lupa. Heh.
Kalut dia tak berubah!
“Angah hantarlah kejap lagi. Tapi tunggu angah siapkan dulang ni dulu.” aku mencapai kembali pistol gam yang aku lemparkan tadi. lima enam minit siap la ni. “Qila ikut angah.”
“Ala…” laju Qila mengeluh.
“Dahtu, nak suruh angah pergi sorang? Baik punya adik!” bulat mata aku merenung kedua-dua nya. Wanda ketawa lepas.
“Dah dekat pukul satu ni…” aku memandang ke arah jam dinding yang tergantung pada dinding bercat kuning muda itu. “Tak kira, kau kena teman angah jugak.”
“Baju dah hantar belum?”
Tiga kepala serentak berpaling. Wajah Abang Mazlan yang berpeluh-peluh terjengul di hadapan pintu.
“Belum…” Wanda mencipta senyum senget. “Lupa, tadi nak minta abang hantarkan.”
“Kau ni pun…” Abang Mazlan bersuara keras. Marah. Mana taknya, dia dari tadi sibuk selesaikan itu ini, si Wan ni pulak boleh lupa benda simple macam tu. “Aku mandi dulu. Lepas tu baru aku hantar.”
“Eh, tak apa bang. Nanti angah pergi dengan Qila.” Pantas aku memotong. Kesian pulak tengok Abang Mazlan buat semua kerja. Along la ni. dah tahu rumah mak saudara sendiri nak kenduri, boleh pulak dia lupa minta cuti.
Dahlah duduk nun jauh di utara Malaysia. Malam ni bertolak balik, esok pagi pun belum tentu sampai.
“Angah dengan Qila je?”
Laju aku mengangguk. Qila yang mencebik aku pandang sekilas. Nak tak nak, dia kena ikut jugak.
“Abang suruh Ben ikut sekali. Dah dekat pukul satu ni… Ben!” Abang Mazlan hilang ke ruang tamu, mencari Benjamin. Aku menelan air liur. Nak suruh Ben ikut?
“Angah, angah pergi ajelah dengan Ben eh? Orang nak kemas bilik ni sikit. lepas tu nak mandi kejap…penatla…”
Aku mengeluh berat. Budak dua orang ni memang la… saja nak dera aku yang baru balik ke kampung halaman ni. “Angah ni perempuan, Benjamin tu lelaki. Sekarang ni dah dekat pukul satu pagi. Korang  gila?”
Lambat-lambat aku menuturkan. Ketawa Wanda dan Qila pecah serentak. “Boringlah angah ni. Orang nak suruh Ben masuk line pun tak boleh.” Qila bingkas dari sila dan mencapai sweater dari dalam almari milik Wanda. Tudung syria disangkut pada bahu.
Wanda sengih nipis. Dia kembali meletakkan kepala ke atas bantal. Nak sambung tidur.
Dulang terakhir aku letakkan ke atas lantai. Perlahan-lahan aku bangun dari sila sambil membetulkan segala urat yang bersimpul.
Lenguh!
Nak kena pergi bandar pulak. Pukul berapa aku nak tidur ni? Haih. Aku membuka daun pintu seluas-luasnya sebelum tunduk membetulkan letak kaki seluar yang sedikit terangkat.
“Jangan nak jadi sepupu derhaka sangat. Dah malam-malam ni, dibuatnya si Ben tu bertukar jadi Dracula siapa nak jawab?”
Badan terus membeku saat kepala diangkat. Mulut ternganga luas tanpa sedar.
“Siapa dracula?”
Bunyi suara Qila mengekek dari belakang tidak aku hiraukan. Mata masih lagi melekat pada orang yang sedang memegang kunci kereta dengan wajah yang tidak beriak.
Mati aku.

No comments:

Post a Comment