AKU KELUAR DARI
BILIK mandi dengan satu semangat baru. Segar dan bertenaga. Wajah kawan Abang
Mazlan tadi terbayang-bayang di kepala. Kata Abang Mazlan tadi, Benjamin masih
bujang dan baru memeluk Islam tahun lepas.
Satu lagi fakta, Ben berasal dari Sabah
rupanya. Patutlah pelat dia lain macam.
Bibir aku mencipta senyum tanpa
sedar.
Sehelai t-shirt yang paling besar dan seluar panjang aku capai dari almari
dan disarungkan ke badan. Sengaja aku pilih yang paling besar. Bagi nampak
sopan sikit sebab ramai betul orang dekat rumah Makcik Rosnah malam ni.
Tuala
yang sudah lembab dek rambut aku yang basah tadi dilemparkan ke atas katil. Aku
senyum sendiri bila teringatkan Benjamin. Sebenrnya, bagi aku lelaki yang ada
dialek ni nampak handsome. Tak
kiralah dialek apa pun.
Selesai menyikat rambut la kadar,
aku terus keluar dari bilik untuk ke rumah Wanda. Mila dan Aiman, anak-anak Iqa
masih lagi terpacak di hadapan TV.
Aku
mencuit pipi Mila yang baru sahaja berusia 5 tahun. “Mama mana?”
“Rumah
Nek Ros.” Jawabnya pendek dan terus kembali menumpukan perhatian kepada cerita Upin-Ipin Pengembaraan Bermula.
Rasanya
setiap kali aku balik kampung, cerita itulah yang empat lima kali diulang tanpa
jemu.
Mila
dan Aiman aku tinggalkan kepada abah yang berada di dapur. Mak dah lama hilang
ke rumah sebelah, menolong apa yang patut. Abang Mazlan pula dari tadi ke hulu
kehilir, sibuk menguruskan semua benda.
Sejak
arwah pakcik meninggal, Abang Mazlan lah yang menggantikan tanggungjawab arwah
pakcik.
Hanya
beralaskan selipar jepun entah kepunyaan siapa, aku terus mengatur kaki ke
rumah Wanda. Telefon bimbit yang aku bawa keluar dari bilik tadi dimasukkan ke
dalam poket seluar tidur.
“Norah, bila baik?”
Baru sahaja sampai di bawah tangga
batu, suara salah seorang makcik yang bersembang rancak tadi menegur. Aku mencipta senyum segaris.
“Maghrib tadi sampai.” aku menjawab
sopan walaupun wajah makcik tadi samar-samar pada kotak ingatan.
Mak Uda ke?
Ataupun, Makcik Siti kampung
sebelah?
Tak pun, mak si Ain, kawan sekolah
menengah dia dulu.
“Lama tak nampak kamu,” tegur dia
lagi.
Aku hanya mampu tersenyum. Dah tak
tahu nak balas apa sebenarnya. Memandangkan dah lebih sepuluh tahun aku
jarang-jarang pulang ke kampung, jadi muka orang kampung aku tak cam sangat.
Nak-nak yang kampung sebelah, kampung
sebelah punya sebelah. Semua tak kenal.
“Saya
masuk dulu makcik.” Aku terus memanjat tangga, sederhana besar itu dan terus ke
ruang tamu. Ruang tamu yang luas itu kosong tanpa tuan. Rata-rata manusia
kesana-kemari di halaman rumah dan dapur.
Lebar
sengihan aku bila melihat pelamin yang terletak di sudut kiri ruang tamu.
Warna
krim, merah jambu dan ungu. Simple and
beauty.
Longgokkan
bunga di dalam pasu-pasu hiasan yang yang tergantung membuatkan rumah kayu ini
persis hotel lima bintang!
Belum
pun kaki melangkah jauh, suara makcik tadi mula menyapa telinga.
“Siapa tu Uda?”
Hah,
betulla..Mak Uda…
“Ala, anak perempuan Rohana yang
sulung.”
“La, Rohana ada anak perempuan
lain?”
“Iya, yang ni belum kahwin. Tinggal
dekat kolumpo sana.”
“Belum kahwin? Bukan si Iqa tu dah
ada anak dua?”
“Belum jodoh la tu…”
Suara-suara itu makin hilang dari
telinga. Aku melepas nafas perlahan sambil menahan hati. Sabar ajelah wahai
hati.
Sabar.
“Nora, you tolong I pegang ni
boleh?”
Aku terlompat ke hadapan, refleks. Wajah
putih melepak dengan cermin mata bingkai hitam tebal tersengih di atas tangga
besi.
Benjamin!
“Naurah.” Aku membetulkan sepatah.
Jauh sangat Nora tu. “Abang Mazlan mana?” soal aku sepatah, menghilangkan rasa
gugup sambil menyambut tukul yang dihulurkannya.
“Oh, sorry, Norah.” Dia senyum
nipis. “Lan pergi ambil beli ais untuk esok. Tadi petang lupa.” Ben menjawab
tanpa memandang. Aku hampir tepuk dahi sendiri. Norah pulak dah.
Aku
mendongak ke atas, memandang ke arahnya yang masih tekun bekerja. Kedua-dua
tangan cekap membetulkan letak langsir pada tingkap rumah.
Gaya macam dah pro buat benda-benda ni semua.
…dan, gaya dah rapat sangat dengan
keluarga Wanda ni.
Dan sekali pandang, dah rupa Alex
Yoong zaman muda-muda bertukang. Alex Yong versi cerah.
“Norah, tukul.”
Spontan mata dikerdipkan beberapa
kali, tersedar. Depan aku ni Benjamin. Bukan Alex. Tangan terus melurus ke
atas, menghulurkan apa yang diminta. Berkali-kali aku menyumpah diri sendiri di
dalam hati dek buat hal pergi ternganga perhatikan anak orang.
Anak teruna pulak tu.
Aduhai…
“Angah!”
Dua kepala berpusing ke arah suara
yang memanggil. Aku tersenyum lebar melihat Wanda yang berbaju lengan panjang,
selendang lilit ala kadar di kepala dan kain batik!
Senyuman aku masih belum mati. Wanda
dah besar...
Kalau dulu nak nampak budak Wan ni
macam ni, memang gaya tunggu kucing bertanduk la…
“Derhaka la tu, sampai-sampai tak
singgah sini dulu.” dia berjalan ke hujung ruang tamu yang menempatkan
barang-barang cenderahati. “Eh Ben, abang mana?”
Aku hanya diam memerhati. Nampaknya
memang Benjamin dikenali oleh setiap isi rumah ni. Aku aje yang tak kenal.
“Beli ais.” Ben menjawab tanpa
memandang. “Norah, tolong pegangkan lagi.” Dia kemudiannya menunduk,
menghulurkan tukul tadi.
“Angah balik mandi dulula. Nak
datang sini terus dengan badan melekit. Angah balik kerja, kemas barang terus
balik, tau.”
Wanda ketawa perlahan. Baru sahaja
dia ingin membuka mulut, suara Qila dari dalam bilik memenuhi ruang.
“Wan oi! Apa basuh tangan lama
sangat!?”
Wanda mengekek ketawa sambil menarik
tangan kanan aku. “Jom angah.”
Kening aku terangkat tinggi. “Nak
kemana? Angah nak tolong Ben pegang ni…”
Wanda mencapai tukul tadi dari
tangan aku dan terus diletakkan di atas salah satu anak tangga besi tadi. “Ben,
you buat sendiri eh. Ni kerja lelaki.” Wanda sengih lebar sebelum mengalihkan
pandangannya ke arah aku. “Kita pakai inai.” Keningnya diangkat beberapa kali.
“Nakal la you ni Wan.” Benjamin
menggeleng beberapa kali.
“Ala…takkan you nak suruh angah I temankan
kot.”
Darah merah terus menyerbu ke muka.
Wanda ni la…
Benjamin hanya senyum tidak
membalas. Dia mengambil tukul yang diletakkan oleh Wanda tadi dan mula
menyambung kerjanya yang tertunda.
“Apa pulak angah yang kena pakai?” aku mengikut sahaja langkah Wanda ke biliknya, meninggalkan Ben di ruang tamu.
“Apa pulak angah yang kena pakai?” aku mengikut sahaja langkah Wanda ke biliknya, meninggalkan Ben di ruang tamu.
“Sebab orang taknak pakai
sebenarnya. Tapi Kak Qila paksa jugak. Lecehla… Kalau angah pakai, boleh jadi geng!”
Aku mencubit lengannya yang tertutup
dengan t-shirt, kuat. Ada ke… “Awak
tu nak nikah esok. Pakai la. Naik seri nanti.”
“Ala, bukannya wajib pun.” dia
mencebik lebar. Tangan dilipat ke dada.
Haah. memang tak wajib pun. “Tak payah la buat corak bagai. Yang biasa
je…”
“Angah!” Qila menjerit sebaik sahaja
daun pintu ditolak. Iqa yang sedang berbaring dengan majalah Pengantin di
tangan tersengih.
Laju aku menggeleng. Budak dua orang
ni la… tak menjerit tak sah!
“Jom angah, pakai ni. Sama-samalah
kita menyerikan majlis.”
“Dah,
korang pakai la benda tu. Angah nak buat hantaran ni.” aku duduk bersila,
bertentangan dengan Qila dan Wanda. Bilik sederhana besar ini pun dah cantik
bersolek. “Iqa, bagi aku majalah tu, nak cari ilham.”
Iqa
bangkit dari baringan dan terus duduk di sebelah aku. majalah bertukar tangan. Barang-barang
hantaran dan dulang yang terletak di hujung bilik aku capai satu-satu.
Barangan yang aku beli dekat KL tadi
pun aku tarik sekali.
“Angah, bak sini resit. Lepas majlis
orang ganti ya?”
“Kau pakai ajelah inai tu dulu.
resit semua ni kemudian.” Aku menjawab tanpa memandang. “Wan, kau ni dah kira
langkah bendul, tau? Kalau angah mintak segala hantaran ni dikali dengan tiga,
agak-agak Nick nak kasi tak?” aku mencipta sengih dihujung kata.
“Adus, kenapalah aku tak terfikir!”
Qila menepuk dahi sendiri. Inai tiub dikeluarkan dari kotak. “Wan, apalagi…” keningnya diangkat beberapa
kali sambil tersenyum meleret.
“Ada ke…”
Dan akhirnya kami berempat ketawa
lepas.
AKU MEMEJAMKAN
MATA beberapa kali, melawan rasa mengantuk. Wanda dah pun tertidur pulas di
atas katil dengan tangan yang berbalut plastik. Qila pula tersengguk-sengguk dengan
bunga di tangan. Aku tersengih tanpa paksaan.
Iqa dah lama balik, nak tidurkan
anak-anak dia. dah jadi mak orang, lain kisahnya.
Aku
melepas nafas perlahan sambil membawa tangan ke belakang tengkuk. Mengurut
perlahan.
Lenguh
dek fokus pada dulang tanpa gagal sejak dua jam lepas.
Dulang
yang terakhir. Mata semakin berat. Nampaknya kopi panas buatan makcik tadi tak
terkesan langsung pada aku.
I need Nescafe.
Nescafe…
“Homai!”
Dulang
yang aku pegang tercampak ke depan. Pistol gam pun sama. Wanda yang tiba-tiba
terduduk di atas katil aku pandang tak berkelip. Qila yang dari tadi
tersengguk-sengguk turut sama memandang. Kerut pada dahinya jelas kelihatan.
Mimpi
apa pulak budak Wanda ni?
“Kak,
aku lupa nak bagi baju nikah Nick!” Wanda menjerit sebelum sempat aku dan Qila
menyoal.
“Hah!?”
suara aku dan Qila bergabung. Biar benar Wanda ni. Nikah esok pagi. Takkan baju
melayu Nick masih ada dalam rumah ni.
Laju
aku garu kepala. “Dah tu? Sempat ke nak ambil esok? Keluarga Nick bermalam
dekat mana ni?” aku meletakkan dulang ke lantai. Tangan kanan sekali lagi
dibawa ke tengkuk.
“Dekat
Hotel Katerina.” Wanda menguap perlahan. “Sebenarnya ingat nak suruh Abang Lan
pergi hantar tadi. Tapi lupa… Nick SMS ni baru teringat. Homai, macam mana ni?”
dia mengangkat handphone tinggi.
Aku
geleng kepala. Homai…Homai.. ketuk
kepala baru tahu. Benda besar macam ni pun dia boleh lupa. Heh.
Kalut
dia tak berubah!
“Angah
hantarlah kejap lagi. Tapi tunggu angah siapkan dulang ni dulu.” aku mencapai
kembali pistol gam yang aku lemparkan tadi. lima enam minit siap la ni. “Qila
ikut angah.”
“Ala…”
laju Qila mengeluh.
“Dahtu,
nak suruh angah pergi sorang? Baik punya adik!” bulat mata aku merenung
kedua-dua nya. Wanda ketawa lepas.
“Dah
dekat pukul satu ni…” aku memandang ke arah jam dinding yang tergantung pada
dinding bercat kuning muda itu. “Tak kira, kau kena teman angah jugak.”
“Baju
dah hantar belum?”
Tiga
kepala serentak berpaling. Wajah Abang Mazlan yang berpeluh-peluh terjengul di
hadapan pintu.
“Belum…”
Wanda mencipta senyum senget. “Lupa, tadi nak minta abang hantarkan.”
“Kau
ni pun…” Abang Mazlan bersuara keras. Marah. Mana taknya, dia dari tadi sibuk
selesaikan itu ini, si Wan ni pulak boleh lupa benda simple macam tu. “Aku mandi dulu. Lepas tu baru aku hantar.”
“Eh,
tak apa bang. Nanti angah pergi dengan Qila.” Pantas aku memotong. Kesian pulak
tengok Abang Mazlan buat semua kerja. Along la ni. dah tahu rumah mak saudara
sendiri nak kenduri, boleh pulak dia lupa minta cuti.
Dahlah
duduk nun jauh di utara Malaysia. Malam ni bertolak balik, esok pagi pun belum
tentu sampai.
“Angah
dengan Qila je?”
Laju
aku mengangguk. Qila yang mencebik aku pandang sekilas. Nak tak nak, dia kena
ikut jugak.
“Abang
suruh Ben ikut sekali. Dah dekat pukul satu ni… Ben!” Abang Mazlan hilang ke
ruang tamu, mencari Benjamin. Aku menelan air liur. Nak suruh Ben ikut?
“Angah,
angah pergi ajelah dengan Ben eh? Orang nak kemas bilik ni sikit. lepas tu nak
mandi kejap…penatla…”
Aku
mengeluh berat. Budak dua orang ni memang la… saja nak dera aku yang baru balik
ke kampung halaman ni. “Angah ni perempuan, Benjamin tu lelaki. Sekarang ni dah
dekat pukul satu pagi. Korang gila?”
Lambat-lambat
aku menuturkan. Ketawa Wanda dan Qila pecah serentak. “Boringlah angah ni. Orang nak suruh Ben masuk line pun tak boleh.” Qila bingkas dari sila dan mencapai sweater
dari dalam almari milik Wanda. Tudung syria
disangkut pada bahu.
Wanda
sengih nipis. Dia kembali meletakkan kepala ke atas bantal. Nak sambung tidur.
Dulang
terakhir aku letakkan ke atas lantai. Perlahan-lahan aku bangun dari sila
sambil membetulkan segala urat yang bersimpul.
Lenguh!
Nak
kena pergi bandar pulak. Pukul berapa aku nak tidur ni? Haih. Aku membuka daun
pintu seluas-luasnya sebelum tunduk membetulkan letak kaki seluar yang sedikit
terangkat.
“Jangan
nak jadi sepupu derhaka sangat. Dah malam-malam ni, dibuatnya si Ben tu
bertukar jadi Dracula siapa nak
jawab?”
Badan
terus membeku saat kepala diangkat. Mulut ternganga luas tanpa sedar.
“Siapa
dracula?”
Bunyi
suara Qila mengekek dari belakang tidak aku hiraukan. Mata masih lagi melekat
pada orang yang sedang memegang kunci kereta dengan wajah yang tidak beriak.
Mati
aku.
No comments:
Post a Comment