Saturday, 12 December 2015

BAB 5 : BILA PAPA JATUH CINTA -CIK D


BAB 5
Perbualan Dinie terhenti saat Irfan mula melangkah, mahu segera masuk ke balai pelepasan untuk percutian bersama rakan-rakan sekerjanya.
“Ingat tau!” ulang Dinie, tak tahu untuk kali yang ke berapa dia berpesan pada Irfan. Macam-macam yang dikirim.
“Iyalah sayang busuk, balik nanti Angah bawa seketul koala bear. Oh! Adik nak kangaroo, kan? Angah bawa balik hidup-hidup!” Irfan tak habis berseloroh. Melayan karenah manja si adik.
“Eloklah, Dinie nak yang paling besar tau! Yang bulat-bulat! Gemuk!” Dinie melayan, tak dibiar angahnya senang mahu berlepas.
“Boleh. Ni, nak pesan ni. Balik nanti elok-elok. Terus balik rumah, jangan melencong ke lain!” Jari telunjuk dia acu, sudah bersedia mahu meninggalkan si adik.
“Okey, angah pun hati-hati. Jangan nak cuba-cuba buka pintu kapal terbang bila dekat atas tu nanti!” Selorohnya tak mengagak, menjengilkan mata si angah yang tak terima dengan gurauannya itu.
“Agak-agak la kalau nak pesan tu. Okeylah, angah pergi dulu! Dinie tu, drive nanti elok-elok! Tak payahlah hantar angah ke atas, Dinie terus balik eh?” pesan Irfan sebelum dia berlalu. Meninggalkan si adik dengan senyum gembira. Gembira kerana mahu bercuti.
Lambaian terakhir Irfan dibalas dengan keluh halus Dinie. Menyaksi sahaja pemergian si abang. Dalam hati melonjak teringin, cuma belum mampu untuk terbang sejauh itu.
Matanya masih menyaksi Irfan hingga kelibat angahnya itu hilang dari pandangan. Malas mahu memulakan perjalanan pulang semula ke Melaka. Kalau ikutkan hatinya, mahu dia turut sama menyertai Irfan, tapi bila memikirkan banyak yang perlu dibayar memandangkan dia baru mula berkerja, dia menangguhkan dahulu hasratnya itu.
Tunggulah tahun depan, siapa tahu ada orang nak sponsor dia pergi honeymoon. Senyumnya mengiringi angannya tadi. Badan dikalihkan, mahu segera ke tempat letak kereta lapangan terbang, kerana tak mahu lewat sampai ke rumah. Risau kerana perlu memandu sendirian.
Baru setapak dia berjalan, mata dijamu dengan aksi romantik merpati sejoli. Si isterinya sedang asyik berpegangan tangan. Berjanji setia dengan jaket kulit dan but tersarung ranggi di kaki.
Habis berpegangan tangan, pipi si suami yang membelakanginya itu diusap. Pasti si isteri mahu berjalan jauh, tak pun nak outstation dan tak sanggup nak berpisah lama-lama dengan si suami. Sweet sangat kut! Puji dia dalam hati. Berfikir alangkah bahagianya jika dia berada di tempat wanita itu.
Beruntung. Puji dia lagi. Pasangan bahagia tadi tidak lagi diperhati dan dengan langkah longlai dia mula berjalan untuk turun ke tempat parkir kereta. Dan untuk ke tempat tersebut, dia harus melalui pasangan bahagia itu.
Hati kian debar, tak tahu apa puncanya yang menjadikan dia begitu. Mata jadi sayu saat teringatkan kisah pertemuannya bersama Dhani. Dan dalam masa yang sama mata menyaksi si suami kepada wanita yang mahu berlepas tadi. Si suami yang sedang  melambai si isteri yang sudah menarik beg mahu berlepas.
Tak ada bicara, tapi Dinie tiba-tiba jadi beku. Kaki cuba diseret, tapi seakan tidak berganjak dari situ.
Dia terus manjadi saksi kesedihan lelaki yang ditinggalkan itu. Dan bila lelaki itu memalingkan wajahnya,  Dinie terus kaku. Lelaki itu.... lelaki yang sama ditemuinya beberapa hari lepas.
Ya! Lelaki itu ialah Encik Dhani, bekas majikan ayahnya. Atau lebih tepat lagi, lelaki yang pernah berjanji setia dengannya. Lelaki yang pernah mengajar dia tetang erti cinta dan rindu.
Dinie kehilangan kata, bibir getarnya separuh terbuka. Dia tergamam, tak tahu apa yang patut dilakukan sekarang.
Pergi Dinie! Pergi! Jangan biarkan hati terus terhiris. Akal memaksanya untuk berjalan. Tapi dia tak mampu untuk membuka langkah. Sudahnya dia terus kaku berdiri menyaksi Dhani yang baru memulakan langkahnya.
Sekali lagi Dinie, kau dah ditipu! Jerit hati kecilnya, kecewa dengan sikap Dhani yang seolah masih memberi dia harapan.
Untuk apa Dhani masih mengingatkan dia soal hati, kalau lelaki itu sendiri dah serah hatinya pada wanita lain.

MELIHAT Juliana telah hilang dari pandangan, Dhani buka langkah gontai mahu meninggalkan kawasan yang sesak dengan keriuhan manusia itu.
Tapi, langkahnya mati saat matanya melihat sekujur tubuh yang sedang berdiri tak jauh dari tangga eskalator. Ringkas bert’shirt lengan panjang, berjeans hitam dan bertudung menyaksikan langkahnya saat itu.
Sekali lagi? Indah sungguh takdir yang tercipta untuk dia. Pertemuan demi pertemuan membuatkan Dhani bertambah yakin, masih ada ruang untuk dia memulihkan apa yang dulunya tercalar.
Dia angkat tangan dan melambai ke arah Dinie yang kaku berdiri namun tiada reaksi yang ditunjukkan.
Takkan marah sebab dia tak layan gadis itu waktu di kawasan sekolah kut? Tapi dia berbuat begitu atas arahan gadis itu juga. Dan sekarang ni bukan di kawasan sekolah, bermakna dia bolehlah usik-usik gadis itu, kan? Senyum nakalnya mengiringi langkahnya untuk mendekati si gadis.
“Dinie? Dinie buat apa dekat sini?” tegur Dhani yang sentiasa teruja dengan pertemuan mereka.
Tapi tidak pula bagi Dinie. Bicara teruja lelaki itu cuma dianggap sebagai angin lalu. Dibiar tak dibalas.
“Hantar kawan?” tanya Dhani lagi. Belum habis terujanya, mengajak Dinie untuk sama berbicara.
“Saya tak sangka boleh jumpa Dinie sekali lagi. Hebat betul kebetulan kita, kan? Dalam masa seminggu, dah banyak kali kita berjumpa, apa tandanya tu,” lanjut Dhani lagi dengan senyum menawannya, cuba untuk sekali lagi menawan hati gadis itu.
Dinie, masih sama. Sudah serupa patung cendana yang disumpah supaya tak boleh bergerak. Membiar manusia yang lalu-lalang dan dia masih tercegat di satu tempat. Pandangan tak lepas dari merenung lelaki yang belum surut senyumnya.
Senyumannya. Manis wajahnya. Tenang bicaranya. Sama. Kenapa masih sama seperti empat tahun dulu. Dinie terus menelek. Tak segan untuk terus meneliti wajah yang sudah dimiliki di hadapannya itu.
“Dinie nak pergi travel juga?” Dhani ringankan bibir. Belum jemu untuk terus bertanya. Dan lambat-lambat gadis di hadapannya itu membuka mulut.
“Hantar bakal suami outstation.” Dia tak mahu kalah. Dan kalau lelaki itu sudah beristeri, kenapa tidak dia ada bakal suami!
“Oh?” Kendur perlahan-lahan perasaan teruja Dhani. Kalau tadi dia kelihatan begitu teruja, kini kegembiaraannya itu bagai direnggut dengan jawapan balas gadis di hadapannya itu.
Jadi betullah, surat undangan tu untuk majlis perkahwinan dia. Fikir Dhani, kuat dan yakin ada majlis yang bakal meraikan gadis itu. Hanya mampu mengagak, kerana hati tak tergamak untuk membaca isi kandungan kad undangan yang diberi Encik Khir yang tiba-tiba muncul tempohari.
“Tahniah.” Ada ucapan serba tak ikhlas muncul dari bibir Dhani. Masih sesak dadanya mahu menelan kenyataan yang gadis dambaannya itu bakal dimiliki.
Apa mungkin penantiannya selama empat tahun itu satu yang sia-sia? Dia tertanya sendiri. Masih sama, saling berbalas renungan.
“Insya-Allah saya akan datang waktu majlis Dinie tu nanti.” Dalam terpaksa Dhani tetap berjanji. Semua demi menyembunyi rasa kecewa dalam hati.

Langkah Dhani atur, tak mampu untuk terus menyaksi seraut wajah itu. Membiar hati berteka-teki, tanpa dirungkai apa sebenarnya yang sudah berlaku.

No comments:

Post a Comment